Melayu wajib kuatkan PAS dalam PR
Tuan Guru Abdul Hadi Awang, | 06 Sep 2012 |
UMNO yang berkuasa dengan sokongan majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra'du, Ayat 11 yang bermaksud
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya."
Agama Islam
Walaupun Islam diletakkan dalam perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya Reid, tetapi mereka menerima dengan penafsiran bahasa dan fahaman mereka terhadap agama. PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal UMNO dengan iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung kemerdekaan. PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa tanpa terikat lagi dengan acuan pemikiran warisan penjajah.
Al Marhum Tan Seri Syed Ja’afar Al Bar menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia ; ”Adalah lebih baik PAS berada diluar BN membetul keadaan dan tidak bijak berada didalam." Tegas beliau ketika PAS berada dalam Barisan Nasional. Kenyataan ikhlas kerana melihat UMNO tidak mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai kemerdekaan.
Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan bahasa Al Quran, bukannya bahasa Inggeris. UMNO yang tidak membuat perubahan menyebabkan Islam terus berada ditahap yang tidak berdaulat, dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman penjajah. Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal UMNO dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.
Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orentalisnya, tetapi mereka menolak aqidah dan syariat yang sempurna. Adalah lebih mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan roh Islam dan petunjuk syariatnya.
Malangnya UMNO tidak mengorak langkah yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang. Para pemimpin UMNO lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-semata untuk menang pilihanraya. Tanpa dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya. Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah yang banyak. Keadaan ini menjadikan sehingga asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan, sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.
Al Marhum Maulana Abu Hasan Ali Al Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam bukunya : (Kembali Semula Kepada Islam ), menegaskan :” Pelaksanaan Islam dengan cabarannya berlaku dua cara pendekatan. Samada melaksanakan Islam secara Ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia dan akhirat, atau laksanakan Islam secara Jibayah, dengan mimilih secara akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan rakyat semata-mata “.
Yang kedua inilah yang dilakukan oleh UMNO sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dikalangan penganut yang jahil dan lebih lagi dikalangan bukan Islam. Apabila Islam dilihat bukan melalui kacamata ajarannya yang sempurna dan murni, tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin UMNO. Lebih merbahaya lagi apabila menunjukkan contoh negatif saperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk UMNO. Al Marhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan UMNO dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.
Peranan pengajian Islam kalangan umat Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan, diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekulerisme dalam masyarakat Islam. Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab dikalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat dibawah pemerintahan UMNO.
Seterusnya UMNO menggunakan media khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan salah faham terhadap Islam, seperti Isu Syariat Islam. Ia difikirkan boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti hukum poligami, pesaka, undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh, hak wanita, hiburan dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan untuk difahami.
Islam itu wajib diimani seluruhnya dan dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu sebagiannya adalah merosakkan iman. Beramal dengan sebahagian dan menolak sebagiannya pula menyababkan tasawur yang salah terhadap Islam dan menyebabkan celaka dunia dan akhirat.
Hak Istimewa
Kaum bukan Melayu yang faham tidak membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan masyarakat ciptaan penjajah. Mereka tidak membantah hak istemewa yang dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua kaum lain. Namun hak ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh UMNO demi agenda politik berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri, keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan bumiputera. Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.
Bahasa Kebangsaan
Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan masyarakat umum. Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba menjadi dagang terpinggir ditengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.
Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain, kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa bangsa.
Kedudukan Politik
Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya memperkasakan Melayu Islam. Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka.
Kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.
Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka. Melayu Islam dapat diperkasakan dengan PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan UMNO. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh. UMNO sanggup bermusuh dengan PAS dan kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain.
Mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam UMNO meninggalkan UMNO, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS. Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan UMNO sebagai kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli UMNO dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat .
Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.
Kata Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. “Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan “. Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut diatas.dan Firman Allah yang bermaksud
"Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
Melayu Tegakkan Islam yang sempurna, bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu Rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.
Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli UMNO kepada PAS.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
TMB Kedah: Zaman Umno BN pun tak buat
Harakahdaily, | 06 Sep 2012 |
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan
Abdul Razak berpandangan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan
Timbalan Menteri Besar di negeri itu bagi meringankan tugas Menteri
Besar seperti dicadang pihak tertentu.
Ini kerana katanya, jawatan itu juga tidak pernah dibuat ketika zaman pemerintahan BN terdahulu walaupun ketika bekas Menteri Besar,Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sakit.
“Masa BN dulu mereka tidak buat pun. Masa itu pun, ada kes sakit juga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung desakan Pemuda Gerakan Kedah yang mahu Kerajaan Negeri mewujudkan jawatan itu, ekoran masalah kesihatan beliau.
Mengulas lanjut, Ustaz Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menganggap semua Exco kerajaan negeri sekarang ini sebagai Timbalan Menteri Besar.
Menurutnya, sepanjang beliau bercuti sakit, semua anggota Exco menjalankan tugas dengan baik, bukan sahaja bawah portfolio masing-masing, termasuk membantu memantau portfolio yang disandangnya.
"Semua Exco adalah Timbalan Menteri Besar. Mereka buat kerja dengan cemerlang semasa ketiadaan saya di pejabat.
"Tiada perkara yang tertangguh sepanjang saya bercuti. Semuanya berjalan lancar kerana Exco tahu tugas masing-masing,” katanya.
Awal minggu lalu, Azizan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) di Alor Setar akibat keletihan kerana terlalu banyak menghadiri program sepanjang Ramadan.
Doktor juga menasihatkan beliau agar berehat di hospital untuk memastikannya mendapat rehat yang cukup.
Bagaimanapun beliau semalam hadir mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.
Beliau juga kelihatan ceria menjawab soalan wartawan senjang sidang media diadakan.
"Hari ni saya mesyuarat tadi mula jam 10 pagi, sekarang pukul dua. Empat jam, orang sakit buat mesyuarat empat jam?
"Itu jawapan saya kepada kamu," katanya kepada wartawan yang bertanya status kesihatan terkini beliau.
[LIHAT VIDEO]
Ini kerana katanya, jawatan itu juga tidak pernah dibuat ketika zaman pemerintahan BN terdahulu walaupun ketika bekas Menteri Besar,Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sakit.
“Masa BN dulu mereka tidak buat pun. Masa itu pun, ada kes sakit juga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung desakan Pemuda Gerakan Kedah yang mahu Kerajaan Negeri mewujudkan jawatan itu, ekoran masalah kesihatan beliau.
Mengulas lanjut, Ustaz Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menganggap semua Exco kerajaan negeri sekarang ini sebagai Timbalan Menteri Besar.
Menurutnya, sepanjang beliau bercuti sakit, semua anggota Exco menjalankan tugas dengan baik, bukan sahaja bawah portfolio masing-masing, termasuk membantu memantau portfolio yang disandangnya.
"Semua Exco adalah Timbalan Menteri Besar. Mereka buat kerja dengan cemerlang semasa ketiadaan saya di pejabat.
"Tiada perkara yang tertangguh sepanjang saya bercuti. Semuanya berjalan lancar kerana Exco tahu tugas masing-masing,” katanya.
Awal minggu lalu, Azizan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) di Alor Setar akibat keletihan kerana terlalu banyak menghadiri program sepanjang Ramadan.
Doktor juga menasihatkan beliau agar berehat di hospital untuk memastikannya mendapat rehat yang cukup.
Bagaimanapun beliau semalam hadir mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.
Beliau juga kelihatan ceria menjawab soalan wartawan senjang sidang media diadakan.
"Hari ni saya mesyuarat tadi mula jam 10 pagi, sekarang pukul dua. Empat jam, orang sakit buat mesyuarat empat jam?
"Itu jawapan saya kepada kamu," katanya kepada wartawan yang bertanya status kesihatan terkini beliau.
[LIHAT VIDEO]
Usah melatah isu Sang Saka Malaya
Ahmad Lutfi Othman, | 06 Sep 2012 |
Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".
Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).
Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.
Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.
Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!
Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.
Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).
Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu, secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....
Meneliti laporan media (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan Pakatan Rakyat.
Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.
Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.
Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".
Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.
Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.
Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.
Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.
Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").
Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.
Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"
Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.
"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.
Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.
Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."
Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."
Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.
Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.
PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.
Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".
Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."
Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."
Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.
Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?
Henti tuduh Suaram pelampau, agen asing
Anis Nazri, | 06 Sep 2012 |
Tuduhan itu disifatkan menyimpang berhubung kewajipan dan obligasi Malaysia sebagai negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Suaram, dalam satu kenyataan menyifatkan tuduhan yang dibuat kerajaan itu lebih kepada usaha menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman Suaram yang vokal dalam isu membabitkan skandal kapal selam Scorpene.
Pengarah Eksekutifnya, E. Nalini, berkata Suaram percaya gangguan itu disasarkan terhadap badan pejuang hak asasi itu bagi menutup segala pendedahan yang dibuat sebelum ini.
Difahamkan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan bertindak menggeledah, menyita dan menahan dokumen yang berkaitan Suara Inisiatif Sdn. Bhd.
"Usaha SSM itu telah disampaikan kepada setiausaha syarikat kami, dan ia menurut Akta S7C dan Akta S7D (1) Akta Syarikat 1965 untuk berbuat demikian," tegas beliau.
Kebelakangan ini, kerajaan mengambil berat berkaitan Suaram selepas badan hak asasi itu bertindak memfailkan kes untuk diadakan siasatan terhadap skandal pembelian Scorpene di Mahkamah Perancis.
Lombong haram: SPRM digesa bentang hasil siasatan
Salmah Mat Husain, | 06 Sep 2012 |
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri memerlukan laporan terperinci berubung perkara itu sebagaimana yang tersiar dalam akhbar arus perdana sejak Julai lalu.
Katanya, kerajaan negeri mendapat maklum SPRM menjalan siasatan lanjut berhubung perkara itu, namun hasilnya masih belum diketahui hingga hari ini, termasuk bagaimana pihak SPRM yang dikatakan telah diugut.
“Sebagaimana laporan akhbar-akhbar kita tengok seolah-olah telah berlaku pencerobohan yang tidak terkawal.
“Kerana itu kerajaan negeri ingin SPRM menghantar laporan khas berhubung perkara itu sebab sehingga hari ini kita tidak menerimanya,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini tengahari tadi.
Pada masa yang sama Takiyuddin turut memberitahu kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku termasuk SPRM.
Kenyataan itu berpunca dari maklumat yang mengatakan pegawai SPRM yang menjalankan tugas didakwa diserang oleh pihak terbabit (peneroka haram).
Media sebelum ini melaporkan berpuluh-puluh tapak perlombongan emas haram dikesan beroperasi di beberapa daerah di negeri ini.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti tersebut dipercayai berlaku di Kuala Krai, Gua Musang danTanah Merah.
Umno tidak akan menang dengan kejahatan
http://www.msomelayu.blogspot.com/, | 06 Sep 2012 |
SEBUKA MATA
Berbagai-bagai kejadian buruk dilaporkan berlaku dalam dunia politik negara kita ke belakangan ini. Kejadian-kejadian ini seperti satu strategi pula oleh pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa. Walaupun perbuatan jahat dan keji itu dilarang agama tetapi ia tidak dipedulikan. Cara mereka mengolahkan kejahatan ini seakan mereka sudah tidak mempunyai adat dan nilai-nilai kemanusiaan beragama lagi yang mementingkan soal hormat menghormati di antara satu sama lain.
Apakah kerana keadaan begitu terdesak maka cara tidak halal itu digunakan?
Barang kali tidak disenangi kalau dikatakan yang acap melakukan kejahatan ini adalah di pihak parti kerajaan sendiri. Maksudnya parti Umno dan sekutunya dalam BN. Sesuatu yang menghairankan kenapa sampai begitu sekali. Tidakkah parti kerajaan mempunyai berbagai kemudahan untuk membantu mereka mengekalkan kuasa. Jadi kejahatan dan kekejaman langsung dari mereka tidak diperlukan lagi dan jika dilakukan juga memburukkan parti pemerintah sendiri. Kejahatan dan kekejaman menjatuhkan marudah bukannya menaikkan martabat parti itu sebagai parti pemerintah.
Parti kerajaan ada tentera, ada polis hatta Rela, yang menjaga keselamatan parti itu. Walaupun tugas pasukan keselamatan ini untuk umum tetapi dalam tindak tanduk pasukan-pasukan keselamatan ini mereka seolah-olah bekerja untuk parti pemerintahan. Apakah tidak cukup dengan polis dan tentera maka Umno terpaksa menggunakan samseng?
Kejadian-kejadian buruk dan keji yang dilaporkan setiap hari tidak dapat dipisahkan dari perbuatan parti pemerintah UBN. Penglibatan ini tidak boleh disembunyikan lagi. UBN khasnya Umno menjelama dalam pelbagai rupa untuk melakukan pengkhinatan-pengkhianatan itu.
Dalam masa terdekat ini dua kejadian yang sangat keji dan tidak beradat. Satu kejadian menyerang bas dua tingkat PKR di Kelantan dan satu lagi menyerang masjid di kampung Pumpong Kedah. Ini adalah kesenimbungan kejahatan yang dilakukan ke atas pembangkang sejak zaman berzaman. Sebelum ini bermacam-macam kejahatan telah berlaku dan dilaporkan.
Makin hari nampaknya makin banyak dan kerap kejahatan dengan menyerang pihak Pakatan Rakyat. Apakah UBN sudah benar-benar terdesak sehingga hilang akal meninggalkan politik secara sihat dan berfikiran terbuka dan diambilnya politik mafia?
Di sini saya hendak menarik perharian para pemimpin UBN berhubung siri-siri kejahatan yang mereka cita dan lakukan dengan bersembunyi di sebalik puak-puak atau individu tertentu. Bahawa kejahatan tidak pernah memberi kemenangan kepada sesiapa atau mana-mana puak sekali pun. Atas apa juga tindakan jahat, kejahatan tidak akan disokong sebaliknya akan dikutuk.
Apakah Umno fikir dengan melakukan kejahatan, ugutan, tekanan itu mereka akan menang? Silap kalau itulah anggapan dan kepecayaan yang ada kepada Umno. Saya ambil contoh yang berlaku di hadapan mata saya sendiri bagaimana kejahatan dan kekejaman tidak membantu memenangkan Umno. Politik jahat tidak pernah menjanjikan kemenangan.
Di Kelantan Umno berlaku sadis dan kejam ke atas orang Pas sejak tahun 60-an lagi. Apa yang tidak dilakukan oleh Umno menerusi pemuda tahan lasak atau kumpulan samseng yang diupahnya terhadap ahli dan penyokong Pas. Apa yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin semuanya dilakukan oleh di Kelantan. Ugut, tangkap, penjara pemimpin Pas, pukul, tampar, sepak, teranjang dan segala macam dilakukan. Lebih dahsayat dari itu ada pemimpion Pas dibunuh. Ini menggambarkan akan kebobrokan politik negara ini.
Permis parti Pas dirobohkan dan dibakar. Orang Umno bertindak lebih kejam dari tentera Jepun yang menakluk Kelantan tahun 1942 dulu. Tetapi apakah hasil dari kejahatan dan kesadisan itu. Umno tidak menang rakyat tidak pernah takut dengan kejahatan sebalik kerja-kerja jahat itu dimurkai rakyat. Rakyat membalas kejahatan itu dengan tidak memangkah Umno. Kekalahan dan kegagalan Umno untuk menguasai Kelantan sejak 22 tahun lampau adalah disebabkan Umno mengamalkan politik jahat dan kejam.
Hari ini kejahatan yang berlaku dan dilakukan di hampir seluruh negara oleh Umno menerusi berbagai agensi samseng itu hampir menyamai kejahatan dilakukan di Kelantan dulu. Nampaknya kejahatan ini menjadi permainan dan senjata utama Umno dalam mempertahankan kuasa. Ingatalah dengan menoleh kepada apa yang berlaku di Kelantan Umno sepatutnya insaf; bahawa kejahatan tidak akan membawa kemenangan.
UBN harus kembali kepada politik secara sihat. Politik yang menyenangkan jiwa rakyat. Betapa pun Umno menabur wang dan berjasa kepada rakyat tetapi dalam masa sama kejam terhadap lawan dilakukan, rakyat akan marah dan tidak akan bersama Umno. Sebagai parti unggul menjadi kerajaan Umno sepatutnya mempelopori politik harmonis dan profesional bukannya menyuburkan bibit-bibit kejahatan.
Hari ini dunia semakin maju dan generasi semakin cerdik dan bebas berfikir dan memikir. Apa yang dicari oleh rakyat dan ana-anak muda kini ialah sesuatu yang logik pada akal mereka. Mereka mahukan kepada fakta di dalam politik bukan retorik. Kejahatan sama sekali mereka akan tolak. Kejahatan fizikal tidak pernah ada dalam minda politik moden. Kejahatan fizikal hanya akan laku sekiranya negara ini masih belum tamadun.
Makanya kalau Umno ingin mengekalkan kuasa serta dihormati rakyat jelata mereka harus hentikan politik jahat menggunakan fizikal yang merugikan semua pihak dan menjatuhkan martabat negara. Kejadian serang masjid, serang bas, serang rumah terbuka ataupun melemparkan kata-kata keji dan perbuatan jahat kencing gambar pemimpin, hendaklah dihentikan segera.
Ingin ditegaskan bahawa kejahatan tidak akan menjamin dan membawa kemenangan melainkan ianya dibenci sampai ke dalam hati. [wm.kl.9:11 am 05/09/12]
Wujudkan skim lindungi pelajar di luar negara
Muhammad Faeez Azahar, | 06 Sep 2012 |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS
Malaysia menyarankan pihak kerajaan mewujudkan skim perlindungan diri
kepada pelajar terutamanya yang belajar di luar negara.
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, skim ini bertujuan untuk membela nasib mereka jika kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menurutnya, ianya akan memberikan makna yang amat bermafaat kepada keluarga di negara kita jika sebarang kejadian menimpa anak mereka di luar negara.
“Kami merasakan kepentingan skim ini selain biasiswa dan pinjaman yang diperuntukan selama ini melihat kepada suasana yang sering berlaku kepada pelajar kita di luar negara.
“Sudah tentu skim ini amat berguna jika berlaku kejadian seperti kecurian, kemalangan, kebakaran dan sebagainya,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak berkata, kewajaran ini perlu diambil kira dalam belajawan negara nanti supaya nasib pelajar-pelajar tersebut terutama di luar negara sentiasa dibela.
“Tanggungjawab ini perlu disegerakan bagi menghilangkan keresahan pelajar-pelajar kita di luar negara serta ibubapa yang gusar akan keselamatan anak-anak mereka di perantauan.
“Kami berharap skim-skim perlindungan ini jika dilaksanakan wajar diberikan kepada semua pelajar yang berdaftar dengan kedutaan tanpa mengira samada mereka ini pelajar tajaan negara atau pun persendirian,” jelas beliau.
Beliau mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada ibu bapa dua pelajar Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Russia baru-baru ini dan berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan beban keluarga mangsa.
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, skim ini bertujuan untuk membela nasib mereka jika kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menurutnya, ianya akan memberikan makna yang amat bermafaat kepada keluarga di negara kita jika sebarang kejadian menimpa anak mereka di luar negara.
“Kami merasakan kepentingan skim ini selain biasiswa dan pinjaman yang diperuntukan selama ini melihat kepada suasana yang sering berlaku kepada pelajar kita di luar negara.
“Sudah tentu skim ini amat berguna jika berlaku kejadian seperti kecurian, kemalangan, kebakaran dan sebagainya,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak berkata, kewajaran ini perlu diambil kira dalam belajawan negara nanti supaya nasib pelajar-pelajar tersebut terutama di luar negara sentiasa dibela.
“Tanggungjawab ini perlu disegerakan bagi menghilangkan keresahan pelajar-pelajar kita di luar negara serta ibubapa yang gusar akan keselamatan anak-anak mereka di perantauan.
“Kami berharap skim-skim perlindungan ini jika dilaksanakan wajar diberikan kepada semua pelajar yang berdaftar dengan kedutaan tanpa mengira samada mereka ini pelajar tajaan negara atau pun persendirian,” jelas beliau.
Beliau mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada ibu bapa dua pelajar Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Russia baru-baru ini dan berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan beban keluarga mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan