Rabu, 5 September 2012

ALLAH LEBIH TAHU SIAPA YANG BIADAP...AKHIRAT CONFIRM KITA TAHU JAWAPANNYA

Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS – Bahagian II

Dr Ahmad Nabil Amir, 05 Sep 2012
Perjuangan

Pada dekad awal 30-an, Dr Burhanuddin telah memimpin referendum membantah pendudukan Palestin yang menyebabkannya ditahan oleh British kerana mempelopori gerakan memprotes Deklarasi Balfour yang diisytiharkan pada 1917. Tempoh antara tahun 30-an ini merupakan dekad yang penting yang menyaksikan kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia, yang dicetuskan dengan penggembelingan angkatan pemuda, dengan penubuhan Partai Nasionalis Indonesia (PNI) oleh Soekarno pada 1927 dan Ikhwanu’l-Muslimin oleh Hassan al-Banna, pemimpin Islam Mesir pada 1928.

Natrah

Pak Doktor terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan keadilan. Ketika kes Natrah (Maria Hertogh) dibicarakan di Singapura pada tahun 1950, yang telah meributkan seluruh gelanggang perdebatan di tanah air. Beliau bertegas mempertahankan akidah Islam dan bersama-sama Abdul Muhammad menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Natrah. Beliau bangkit membantah keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang menyebabkannya ditahan kerana didakwa terlibat dalam rusuhan.

Beliau ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada 28 Januari 1965 kerana dituduh bersengkongkol menjatuhkan kerajaan dan menentang pentadbiran yang sah dan terlibat mendirikan kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Penahanan tanpa bicara dan pendakwaan kejam itu tidak mematahkan semangat perjuangannnya. Setelah beliau dibebaskan tanpa syarat pada Mac 1966, Pak Doktor enggan menandatangi surat pembebasan kerana mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bersalah.

Pengalaman dalam sel itu dicatat dengan terperinci dalam bukunya Hari-Hari Aku Dizalimi, yang mengaitkan rencana jahat pemerintah dalam menuduhnya bersubahat dengan Dato’ Raja, Ishak Haji Mohamad dan Aziz Ishak. Turut dicatatkan tekanan dan layanan buruk serta fitnah yang dilemparkan dan direka-reka terhadapnya, dan dakwaan merancang kerajaan buangan dan memobilisasi gerakan subversif, yang menurutnya mencemarkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin dan tidak selayaknya dituduh kepadanya sebagai “seorang ahli politik yang telah lama di gelanggang politik dan berjuang cara Perlembagaan dari 1937 lagi”.

Hal ini seperti yang dilakarkan dalam bukunya: “Tidak pernah saya lakukan dan berniat melakukan perkara-perkara di luar Perlembagaan, peraturan kemanusiaan, hak-hak kemanusiaan dan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Segala tuduhan itu saya jawab bahawa saya tidak tahu dan mana-mana yang patut saya nafikan saya nafikan… saya merasakan dan mengira bahawa tekanan ke atas saya dengan segala tuduhan yang tidak betul adalah direka-reka semata-mata… Perikatan dalam ketakutan dan kebimbangan disebabkan bangkangan oleh saya.”

Memimpin PAS

Sejarah penubuhan PAS bermula daripada gerakan Parti Golongan Muslimin Malaya (Hizbul Muslimin) yang diasaskan pada 17 Mac 1948 oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Hizbul Muslimin tertubuh hasil daripada konferens Islam se-Malaysia pertama yang diadakan pada Mac 1947, di Madrasah Ma‘ahad al-Ehya al-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Konferens ini ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy yang dianjurkan untuk membincangkan permasalahan ekonomi umat Melayu-Muslim, dan mendirikan pergerakan Islam yang progresif dan memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah British.

Dr Burhanuddin diangkat sebagai Presiden PAS yang ketiga pada tanggal 25 Disember 1956 menggantikan Dr Abbas Elias.

Menurut Zainal Abidin Abdul: “Sebenarnya sebelum PAS lahir, perjuangan menerusi parti politik yang menekankan soal agama Islam telahpun dimulakan oleh Hizbul Muslimin pada tahun 1948. Tetapi umur Hizbul Muslimin adalah pendek kerana kebanyakan pemimpinnya seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, telah ditangkap oleh kerajaan British apabila darurat bermula. (Zainal Abidin Abdul 1978; “Semangat Perjuangan Melayu”. Seminar Sejarah Intelektual dan Perjuangan Kebangsaan Melayu, Universiti Malaya).

Perjuangan PAS ketika itu juga terikat dengan tuntutan politik Melayu, seperti dikemukakan dalam manifesto PAS pada pilihan raya 1959: “Mengembalikan hak kedaulatan Melayu dan memberi keutamaan kepada orang-orang Melayu dalam bidang kerajaan dan pentadbiran.”

Pembabitan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula sejak awal dengan usahanya memimpin parti dan melakarkan garis perjuangan yang mendasar bagi mendukung cita-cita politik yang besar ke arah membebaskan watan daripada cengkaman penjajah. Menurut Dr Ismail bin Said dalam tesisnya bertajuk Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan dari Tahun 1951 hingga 1970: “Ketiga-tiga tokoh ini (Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmy) bukan sahaja berjuang menuntut kemerdekaan dan membela nasib orang Melayu dan agama Islam, mereka juga menyuarakan kepentingan umat Islam sejagat terutamanya di Palestin, Selatan Thailand dan di Afrika Selatan… dengan kepimpinan yang diamalkan, mereka telah berjaya membangunkan PAS menjadi sebuah parti yang berjaya dalam tempoh dua dekad awal ini.”

Dr Burhanuddin diangkat sebagai Presiden PAS ketiga pada tanggal 25 Disember 1956 menggantikan Dr Abbas Elias. Kedudukannya yang kukuh dalam PAS telah memungkinkannya untuk melakarkan agenda perjuangan yang bermakna dalam menzahirkan gagasan mewujudkan sebuah negara yang makmur seperti diungkapkan dalam ucapannya: “Kita dari angkatan PAS akan melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya. Kita sama-sama bertolak beriringan aliran-aliran lain dan walaupun nasionalisme dan sosialisme telah sampai, tetapi Islamisme akan berlayar terus, menuju pelabuhan kita: Baldatun Taiyibatun Wa Rabbun Ghafur.”  (Burhanuddin al-Helmy 1957; Suara Islam)

Pucuk pimpinan PAS yang diterajui oleh Dr Burhanuddin sebagai yang Dipertua dan Prof Zulkifli Mohamad sebagai Timbalan yang Dipertua telah memperkasakan pimpinan, dan merobah corak perjuangan secara lebih agresif dengan kejayaan PAS merampas 14 buah kerusi parlimen di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya tahun 1959. Antara tahun 1956-1969 di bawah tampuk kuasa presiden yang baru, PAS telah menunjukkan pencapaian politik yang terbaik dengan kemantapan dasar yang dizahirkan, dan sikap keterbukaan yang tinggi dan aspirasi perjuangan yang progresif. Dan Pak Doktor, pejuang demokrat yang Islamis, meneruskan aspirasinya yang radikal untuk memimpin dan mengemudi perjuangan yang dahsyat itu.

Sumbangannya dalam menggembling jentera parti dan memperkuat saf kader dan merobah struktur dan strategi perjuangan adalah pencapaian yang terbaik dicatat dalam sejarah politik PAS. Mengulas perkembangan ini, Dr Farish Noor menulis: “For those who have studied the historical development of PAS, the years of Dr Burhanuddin al-Helmy’s leadership appear as the period when the party was led by the most progressive Islamist intellectual in the country”. (Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003).

Reformasi Kedua

Setelah berhasil menumpaskan penjajah dan meraih kemerdekaan pada 1957, maka perjuangan Pak Doktor diisi dengan gerakan membawa perubahan dan menegakkan cita-cita Islam dan menggarap idealisme dakwah, seperti yang diungkapkan oleh Prof Zulkifli Mohamad yang menggariskan khittah Islamiyah yang tuntas dalam pidatonya:

“Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS. Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Dengan lain-lain perkataan bahawa, tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan.”
Perjuangan yang dipelopori Dr Burhanuddin menzahirkan ideologi perjuangan yang praktikal dan realistik. Sumbangannya yang penting adalah dalam merealisasikan cita-cita Islamisme dan nilai perjuangan yang pragmatik, seperti yang ditegaskan dalam pidatonya:

“Saya berpendapat bahawa sebarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan, iaitu cita-cita menegakkan suatu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat… Ideologi nasionalisme atau kebangsaan ialah [bertujuan untuk] mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan sosial, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran dan rakyat bersih daripada sebarang pengaruh penjajahan… semua isme ini timbul daripada pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini. [Tetapi] ideologi Islam (atau Islamisme) adalah berbeza dan berlainan daripada isme-isme yang lain. Keistimewaan Islamisme ialah datangnya sebagai hukum ketetapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat di-ubah-ubahkan dan ditukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu sahaja. Islamisme tegasnya, adalah hukum Tuhan bagi seseorang dalam perhubungan dan masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.” (Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003).)

Perjuangan PAS adalah bersandar kepada tuntutan untuk menegakkan syari’at dan hukum. Inilah pijakan perjuangannya yang jelas, untuk mewujudkan “negara yang menghayati tuntutan Islam yang sebenar (al-din wa al-daulah) dalam segala bidang, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa… (yakni) sebuah negara kebajikan yang diasaskan atas prinsip syara‘” (PAS 2003; Negara Islam).
Inilah antara tasawwur perjuangan yang dilakarkan Dr Burhanuddin dalam harakah PAS, yang menetapkan iltizam dan kesediaan untuk mengharungi dan melompat ke tengah-tengah gelanggang dan tampil menuntut dan membela maruah agama dan bangsanya dan mempertahankannya habis-habisan. Merumuskan gerakan pembaharuan yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin, kita dapat menyimpulkan bahawa ketangkasan idenya telah mengangkat martabat perjuangan dengan sumbangan yang penting dalam

(1) memimpin perubahan
(2) mengangkat kedudukan PAS ke persada dunia
(3) menyiapkan golongan pelapis
(4) menggalakkan wacana demokratis dan terbuka, dan
(5) mencetak kader dakwah yang mendukung cita-cita keadilan dan islah.

Ketangkasannya mengatur aktiviti politik diperkukuh dengan kemantapan daya juang dan peranannya yang aktif dalam mengetengahkan agenda Islam dan mengangkat harakat bangsa, dan inisiatif yang strategik untuk mengemukakan isu-isu yang mustahak dan mendesak ke parlimen. Strategi perjuangannya direncana dengan tuntas. Beliau berhempas pulas memperjuangkan asas politik Islam berteraskan matlamat syari’ah yang menuntut “kekuasaan diselenggarakan dengan cara yang saksama”, menggembling masyarakat madani, dan membina kerangka pemerintahan berteraskan prinsip al-adl wa’l ihsan.

Setelah kewafatan Pak Doktor pada 10 Oktober 1969, kerusi presiden di ambil alih oleh Ustaz Mohd Asri Muda (1969-1982), Ustaz Yusof Rawa (1982-1988) dan Ustaz Fadhil Noor (1988-2002) yang telah menunjukkan daya kepimpinan yang luar biasa di kalangan pemimpin dan akar umbi PAS dan ABIM pada dekad-dekad 80-90 an. Kepimpinan Ustaz Fadhil (1937-2002) menyerlahkan kekuatan idealisme yang diasaskan oleh pejuang-pejuang PAS yang besar seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad dalam harakat politik. Kepimpinan PAS kini digalas oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang, yang menerajui perjuangan sejak 2002.

Faham Islamis Nasionalis

Dr Burhanuddin berjuang mengembangkan faham kebangsaan Islam seperti yang digagaskan oleh Sang Maestro, M. Natsir di Indonesia. Tema politik yang diangkatnya adalah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya seperti dijelaskannya:

“Saya berpendapat bahawa sebarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional”

“Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.” Dan dalam bukunya Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), beliau mengetengahkan pandangannya tentang dasar kebangsaan Islam: “Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat, bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat”.

Nilai asabiyyah sempit ditolak, ditempa dengan asabiyyah positif yang dibarengi oleh kesedaran, semangat persaudaraan dan solidaritas sosial yang tinggi seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, yang menolak fanatisme dan faham perkauman sempit dan menekankan ikatan masyarakat dan budaya yang kuat, keselarasan sosial, keadilan dan kebenaran sebagai kunci bagi melahirkan sebuah negara yang teguh dan asas yang menopang kebangkitan, seperti dihuraikan oleh Ustaz Haji Yusuf Rawa dalam ucapan dasar Muktamar PAS pada 1984:

“Kita yakin walaupun manusia dijadikan Allah terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan keturunan, tetapi bangsa dan keturunan tidak boleh dijadikan teras pembentukan suatu ideologi yang menentukan nilai-nilai dan pegangan perjuangan yang benar… kecenderungan menolong orang-orang Melayu dari kalangan pemimpin yang berbangsa Melayu, tidak seharusnya melampaui batas-batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman, pembaziran, perlindungan ke atas jenayah dan rasuah. Begitu juga pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan, tidak seharusnya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha-usaha untuk memperbaiki kehidupan orang-orang Melayu.” (Riduan Mohamad Nor 2008; Makkal Sakhti 2008: Analisis Pilihanraya Umum ke-12).

Menurut Ustaz Yusuf, faham asabiyyah ini telah mengasak dalam masyarakat yang tertindas dan merupakan warisan penjajah yang harus ditolak: “Orang-orang Melayu menjadi mundur kerana amalan sistem ‘asabiyyah yang zalim. Sistem yang zalim itu mestilah dihancur-musnahkan… kerana sistem ‘asabiyyah yang zalim itulah menjadi punca kemunduran dan penderitaan seluruh rakyat… fahaman nasionalisme asabiyyah di negara kita adalah warisan pemikiran penjajah yang dicorakkan mengikut acuan nasionalisme barat dan sikap permusuhan barat terhadap Islam. Perjuangan parti-parti asabiyyah ini tidak akan dapat mewujudkan pemikiran baru di kalangan rakyat Malaysia yang bebas dari pertentangan dan tanaqudat.”

Dalam artikelnya yang disiarkan oleh The Malaysian Insider bertajuk “Apa mesej PAS” Dr Mujahid Yusof Rawa menekankan: “Ketuanan Bangsa bagi PAS terpaksa tunduk kepada keadilan Islam, dengan cara itu orang Melayu akan selamat dan bukan Melayu akan terjamin. Inilah politik baru yang PAS cuba bawakan supaya negara ini tidak lagi terjerat dengan kitaran ketuanan bangsa yang UMNO perjuangkan selama ini.”

Penerus Perjuangan

Perjuangan Dr Burhanuddin ini akan terus dikenang oleh generasi PAS yang baru, yang terkesan dengan aspirasi yang dicetuskan dan digerakkannya, dan daya tahannya yang keras mengasak dan meniupkan idealisme pembaharuan. Tradisi perjuangan yang dimulakannya akan terus dinyalakan untuk menebus perjuangan bapa-bapa kemerdekaan yang cekal berjuang menuntut kebebasan. Harakat dan cita-cita perjuangannya yang keras akan terus dibakar dengan hasrat perjuangan yang lebih besar, seperti yang disingkap oleh sasterawan ulung A Samad Said dalam puisinya yang khusus dilakarkan untuk Dr Burhanuddin berjudul Tapak Yang Luhur:

“pagi ke malam berjuang tegap,
di tengah rakyat gigih bersikap…
menyala unggun zaman yang garang,
membakar tekad cekal berjuang.”

Kos bina, baiki rumah program IBU mencurigakan

Muhammad Faeez Azahar, 05 Sep 2012
IPOH: PAS Negeri Perak menggesa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tentang ketelusan kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Koodinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, ini berikutan kos baikpulih dan pembinaan rumah dalam Program Infra Bina Upaya (IBU) sangat mencurigakan.

Katanya, peruntukan awal daripada Bajet Kerajaan Negeri Perak sebanyak RM 4 Juta dan difahamkan peruntukan tambahan sebanyak RM 2 juta telah diberikan untuk program tersebut.

Menurut Salman, kenyataan Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad ketika pelancaran Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) baru-baru ini berkata, kos pembinaan 227 buah rumah setiap satunya bernilai RM35,000, manakala sejumlah 285 buah rumah turut berjaya dibaikpulih membabitkan kos lebih RM 13 juta.

“Jika dibandingkan kos tersebut, sebenarnya kos baikpulih telah menelan satu belanja yang terlalu besar iaitu RM 45,614.035 sebuah sedangkan polisi bagi tujuan baikpulih YBUDR hanya diperuntukan RM15,000 sebuah sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri berkata, persoalan timbul apabila berlaku pencanggahan kos baikpulih rumah yang telah dilaksanakan oleh yayasan tersebut.

“Sekiranya 285 buah rumah telah dibaikpulih dengan peruntukan dari YBUDR tidak melebihi RM 15,000 setiap satu maka jumlah keseluruhannya ialah RM 4.275 juta.

Kami sangsi dimana berlakunya ketirisan sebanyak RM 8.725 juta,” ujar beliau.

Justeru, beliau merasakan banyak persoalan sebenarnya telah berlaku dengan program tersebut yang perlu dijelaskan dengan segera.

“Kami menggesa SPRM menyiasat butiran tersebut kerana ianya membabitkan kewangan rakyat dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry perlu memberi penjelasan agar rakyat mengetahui perkara sebenar,” tegas beliau.

Tambahnya, penilaian ini berasas kerana YBUDR adalah badan berkanun kerajaan negeri yang tidak dilaporkan kewangannya kepada Ketua Audit Negara bagi menilai pengurusan kewangan yang sebenar untuk tatapan umum.

‘Kami mintak maaf, talian terputus’

Harakahdaily, 05 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pemanggil juga bertanyakan mengapa tiada tindakan diambil tentang insiden kencing di gambar TGHA dan TGNA dan berbagai-bagai lagi kejadian yang hampir sama berlaku.

Demikian ulasan http://greenboc.blogspot.com

Berikut ialah petikan daripada blog tersebut.

Kahkahkahkahkah......siapa tengok Hello Malaysia (4/9/2012: 10pm), dan topik yang dibincangkan adalah tentang BUDAYA BIADAP. Kemudian talian dibuka untuk orang ramai menyatakan pendapat dan memberi soalan.......menarik perhatian satu panggilan dari Sarawak yang bertanya tentang tindakan berat sebelah tentang kejadian insiden yang berlaku semasa malam 30hb.

Pemanggil juga bertanyakan mengapa tiada tindakan diambil tentang insiden kencing di gambar TGHA dan TGNA dan berbagai-bagai lagi kejadian yang hampir sama berlaku.

Boleh lihat dengan jelas bagaimana muka2 ahli panel ketika pemanggil sedang bercakap tiba-tiba .....tut...tut...tut~~~~~~ talian terputus.... dan pengacara mengatakan “KAMI MINTAK MAAF TALIAN TERPUTUS”......kahkahkahkahkahkahkah.....Nampak sangat tak dapat terima kenyataan.....

P/S : Sekarang ni zaman IT sekejap jer maklumat tersebar..... rakyat tak mudah ditipu lagi.....credit pada kawan admin sebab sampaikan berita ni... hehehehehe...

~ Pakatan Rakyat Supporters


Mengapa kuota haji Sarawak dikurangkan?

Jofri Jaraiee, 05 Sep 2012
Seperti petikan kenyataan akhbar baru-baru ini, umat Islam Sarawak amat kecewa dengan tindakan kerajaan pusat yang mengurus hal kuota haji mengurangkan kuota haji bagi Sarawak dari 800 kepada 633 saja.
Majlis Islam Sarawak (MIS) kecewa kuota haji bagi negeri Sarawak dikurangkan dari 800 kepada 633 pada tahun ini. Sebelum ini kuota haji bagi Sarawak lebih dari 800 orang dan pada tahun sebelumnya 1,000 orang lebih. Mengapa hampir setiap tahun kuota haji bagi Sarawak semakin berkurangan?

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan menaja 400 imam dan pengerusi JKKK untuk menunaikan haji pada tahun ini. Persoalannya, adakah 400 orang yang terpilih ini, mereka yang memang termasuk dalam senarai menunaikan haji pada tahun ini, atau 400 orang ini ada yang mengambil hak kuota jemaah lain yang sepatutnya pergi pada tahun ini?

Pihak kerajaan Arab Saudi telah setuju mengekalkan kuota seramai 28,000 jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Jadi kalau kuota haji masih kekal, mengapa pula kuota haji bagi Sarawak dikurangkan? Ini persoalan yang timbul dikalangan umat Islam Sarawak yang terpaksa menunggu lama sehingga 5 sampai ke 10 tahun barulah dapat menunaikan haji.

Umat Islam Sarawak juga semakin meningkat dan mereka juga perlu diberi keutamaan dalam menunaikan fardu haji. Kita tidak mahu kerajaan pusat mengambil kuota haji bagi Sarawak diberi kepada pihak tertentu saja seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini kerajaan menaja 400 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara untuk menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Mekah pada tahun ini.

Kita mendesak agar pihak kerajaan pusat mengembalikan semula hak dan kuota haji bagi Sarawak seperti dulu iaitu dengan mengekalkan 1 ribu orang. Jangan meminggirkan umat Islam Sarawak semata-mata untuk memenuhi keperluan dan kepentingan pihak tertentu saja dengan mengambil hak orang yang sepatutnya dapat menunaikan haji.

Harap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan pusat yang mengurus kuota haji bagi seluruh negeri dalam Malaysia agar umat Islam Sarawak tidak dipinggirkan dalam masalah kuota haji ini.

Berlaku adillah untuk semua, jangan anggap umat Islam Sarawak sebagai kelas kedua yang mudah diabaikan begitu saja. Tanpa Sarawak, Malaysia tidak akan wujud dalam negara ini.

Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2012

PAS Miri, Sarawak

Henti ancaman, tohmahan terhadap Janji Demokrasi

Harakahdaily, 04 Sep 2012
Gabungan Janji mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada orang ramai kerana telah tidak mempedulikan gangguan dan ancaman dari pihak polis dan hadir pada malam 30 Ogos 2012 untuk merayakan ambang Merdeka. Kedatangan orang ramai adalah bukti cinta  mereka kepada negara. Mereka hadir ke Dataran Merderka kerana mereka sedar banyak janji-janji kerajaan masih  tidak ditunaikan.
Gabungan Janji juga mengucapkan terima kasIh kepada semua yang memberi khidmat sukarela – pasukan perubatan, pasukan keselamatan Unit Amal, Majlis Peguam, Peguam Untuk Kebebasan, Pusat Guaman KL, SUARAM. Terima kasih dari Gabungan Janji kerana menyokong program ini.

Gabungan Janji ingin sekali kali memberitahu bahawa Janji Demokrasi  masih lagi menunggu janji-janji yang masih belum ditunaikan :

1 – Keluhuran Perlembagaan
2 -  Hukum Perudangan :
a)    menyokong hak kebebasan dan hak individu bersuara
b)    menghapuskan semua undang-undang zalim
c)    kebebasan media
3 -  Pilihan Raya yang Bebas dahn Bersih

Pada ambang Merdeka , warga Malayaia – anak semua bangsa -  telah membuktikan bahawa mereka berani berhimpun dan membuat tuntutan secara aman. Ini diakui oleh Ketua Polis  Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad.

Tetapi  peranan jahat untuk memulakan gangguan dan ancaman dimulakan oleh pihak kerajaan dan Utusan Malaysia.

Polis membuat kenyataan untuk menyiasat Datuk A.Samad Said kerana membaca sajak pada malam ambang Merdeka. Pak Samad adalah: Sasterawan Negara. Beliau juga pemenang hadiah Pejuang Sasterta (1976) , SEA Writer Award (1979), Sasterawan Negara ( 1985)  dan Sasterwan Nusantara (1999).

Pada 28 Ogos 2012 Pak Samad telah menulis sebuah sajak bernama Janji Demokrasi dan dibacakan pada malam ambang Merdeka 30 Ogops 2012. Gabungan Janji meminta pihak  polis dan kerajaan hentikan membuat perangai bodoh mengancam dan menggangu ini. Pak Samad membaca sajak kerana itu adalah hak kebebasan beliau.

Tentang SANG SAKA MALAYA – dua anak muda telah dengan gagah berani mengakui bahawa mereka mengibarkan bendera bersejarah ini. Ini bertujuan untuk mengingati kembali sejarah para pejuang kemerdekaan yang telah dilupakan.  Gabungan Janji menyeru semua ahli politik  dan media terutama Utusan Malaysia untuk memberhentikan perangai bodoh mengancam anak-anak muda yang berani ini.

Akhir sekali, Gabungan JANJI telah memberitahu media pada malam 30 Ogos bahawa kami tidak menyokong perbuatan memijak muka Najib dan Rosmah. Kami tidak bersetuju dengan Najib dan Rosmah – cara kami ialah melalui perbincangan. Kami harap memijak gambar ini tidak akan berlaku lagi. Sesiapa yang melakukannya wajib bertanggung jawab.

Gabungan Janji menyeru semua sektor – politikus, media dan pihak kerajaan agar tidak meneruskan perangai bodoh mempolitikkan pekara diatas. Janji Demokrasi datang ke Dataran untuk merayakan ambang Merdeka bersama orang ramai.

Terima Kasih.

Dikeluarkan oleh:

GABUNGAN JANJI

Dipersetujui oleh:
1.    Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
2.    Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)
3.    Kebajikan Rangkaian Veteran dan Bekas Angkatan Tentera – Army Veteran (KERABAT)
4.    Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
5.    Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
6.    EMPOWER
7.    Memacu Arus Perjuangan (MAP)
8.    Malaysian Civil Liberty Movement (MCLM)
9.    Jingga 13
10. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
11. Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS)
12. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI)
13. Pro-Mahasiswa Nasional
Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)
14. Asalkan Bukan Umno (ABU)
15. Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Pro-Rakyat)
16. KILL THE BILL
17. WARGA AMAN
18. SEED
19. Malaysian Youth and Democratic Movement (DEMA)
20. Angkatan Rakyat Muda (ARM)
21. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
22. HIMPUNAN HIJAU
STOP LYNAS COALITION (SLC)
23. Radio Bangsar Utama (RABU)
24. UBU - Universiti Bangsar Utama
25. Unit Ehsan Malaysia
26. Alumnus Sekolah Politik (ASP)
27. Agent of Change (AoC)
28. Akademi Pak Sako (APS)
29. Selamatkan Teluk Rubiah
30. Revolusi Anak Muda Malaysia (RAMM)
31. Gagasan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
32. Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perlis (PKR Perlis)
33. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
34. Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur / Selangor (KLSCAH)
35. Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI)
36. Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (GEGAR)
37. Solidariti Anak Bachok Daratkan Minyak (CABAR)
38. Majlis Permuafakatan Kampung Warisan KL/Selangor (MUAFAKAT)
39. Kumpulan AL-FATEH Rompin
40. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (ROYALTI)
41. Suara Makkal
42. Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS)
43. Malaysian Youth Care Association (PERHATIN)
44. Peoples' Welfare and Rights Coalition (POWER)
45. Malaysian Indians Transformation Action Team (MITRA)
46. Angkatan Nasional India Malaysia (AGNI)
47. Jaringan Sepadu Rakyat Malaysia (SEPADU)

Kenyataan yang menzahirkan kerunsingan

Khalid Samad, 04 Sep 2012
Suasana dan perkembangan politik dewasa ini sememangnya amat mencabar sehingga ramai pimpinan UMNO/BN sendiri yang menyatakan bahawa PRU ke 13 ini bakal menjadi PRU yang paling sengit yang pernah dihadapi oleh UMNO/BN. Ini sudah pasti menjadikan pimpinan utama runsing dan tidak nyenyak tidur. Di antara yang paling gusar sudah pasti Tun Dr Mahathir!

SYAITAN YANG DIKENALI

Mungkin inilah sebabnya mengapa beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang kurang bijak seperti peribahasa Inggeris yang berbunyi “The Devil you know is better than the Angel you don’t” atau “Syaitan yang anda kenali adalah lebih baik dari Malaikat yang anda tidak kenal”. Walaupun saya faham bahawa penggunaan istilah ‘Syaitan dan ‘Malaikat’ adalah merupakan kiasan semata-mata, tetapi hakikatnya ianya tetap merupakan pengakuan bahawa kerajaan UMNO/BN, dalam konteks ucapan Dr Mahathir, adalah kerajaan yang penuh dengan kejahatan dan penyelewengan. Itulah sebabnya dikiaskan dengan Syaitan walaupun bukan secara literal merupakan Syaitan. Hanya ‘bagaikan Syaitan!

Pada masa yang sama, kerajaan PR pula dikiaskan dengan ‘Malaikat’. Ini juga merupakan pengakuan oleh Tun Dr Mahathir akan imej dan reputasi baik yang ada pada PR berbanding dengan UMNO/BN. Walaupun PR bukan ‘Malaikat’ secara literalnya, iaitu makhluk yang dijadikan Allah tanpa nafsu dan mentaati Allah dalam setiap amalannya, namun PR dikiaskan sebagai Malaikat di atas sebab reputasi dan imej baiknya.

Setelah membuat pengakuan sebegini, maka pengajaran yang ingin disampaikan ialah bahawa kerajaan BN yang diakui jahat itu dikenali rakyat. Maka rakyat tahu tahap dan setakat mana ianya jahat dan oleh itu boleh bersedia untuk menghadapi kejahatan tersebut. Sedangkan, PR yang kelihatan baik, rakyat belum tahu lagi hati budinya yang sebenar! Setakat ini nampak baik, tetapi rakyat tidak kenal PR dan oleh itu mengambil risiko besar sekiranya menyerahkan kuasa pemerintahan pusat pada PR! Inilah mesej yang ingin disampaikan Tun.

Hakikatnya, adalah tidak benar bahawa rakyat tidak kenal PR dan parti politik yang menjadi sebahagian anggotanya. Begitu juga dengan para pemimpin yang menerajuinya. Parti politik yang menganggotai PR telah lama bergerak dikalangan rakyat sepertimana juga pemimpin mereka. Rakyat telah mengenali kami semua lebih-lebih lagi apabila PR diberi peluang memerintah beberapa negeri untuk tempoh 5 tahun bagi Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dan Kelantan selama 22 tahun. Malahan Perak yang diperintah selama 11 bulan juga telah memberi rakyat peluang untuk mengenali PR Perak.

Oleh itu rakyat sememangnya boleh membuat pilihan atas dasar tahu dan kenal. Maka, pengajaran yang hendak disampaikan tidak releven sama-sekali. Tetapi pengakuan Tun bahawa UMNO/BN ‘bagaikan Syaitan dan PR ‘bagaikan Malaikat’ adalah amat sangat dihargai.

Peribahasa Inggeris ini dari sudut semangatnya adalah teramat sangat negatif. Walaupun ianya merupakan nasihat supaya jangan terlalu gopoh menyerahkan amanah kepada orang yang tidak dikenali walaupun dia kelihatan baik demi menggantikan orang yang dikenali yang mempunyai kekurangan, namun ianya agak keterlaluan. Sekiranya sesebuah masyarakat bersikap sebegini, takut kepada perubahan dan ingin terus kekal dengan ‘yang dikenali’ walaupun jelas banyak kekurangan, maka masyarakat tersebut akan pasti terkongkong dan tidak mampu maju kepada keadaan yang lebih baik. Usaha untuk mencari yang lebih baik akan tersekat dengan keinginan untuk mengekalkan yang lama yang dikenali.
Mungkin atas sebab keyakinan inilah UMNO/BN menjadi pengamal rasuah yang tegar! Masa sudah tiba untuk rakyat Malaysia membuktikan bahawa mereka adalah rakyat yang akan berpuas hati dengan hanya yang terbaik dan tidak akan sanggup lagi menerima lanun dan yang ‘bagaikan Syaitan' sebagai pemimpin.

PR TIDAK LAYAK KE PUTRAJAYA

Satu lagi kenyataan kelakar Tun Dr Mahathir ialah PR tidak layak untuk ke Putrajaya kerana bukan mereka yang membinanya! Aduhai... nampak sangat ketandusan modal sehingga mengeluarkan hujjah Maharaja Lawak sebegini!

Hakikatnya, walaupun Putrajaya dibina oleh kerajaan BN tidak bererti ianya milik BN. Ianya dibina dengan duit rakyat! Maka jika rakyat sudah tidak mahu serahkan amanah pemerintahan kepada BN dan minta BN keluar untuk diserah pula kepada PR, maka BN perlu keluar sahajalah!

Kegusaran dan kerunsingan semakin jelas kelihatan di pihak UMNO/BN. Kemungkinan PR memerintah di Putrajya semakin cerah dan ini hanya menambahkan kegusaran mereka. Lagi banyak Tun Dr M bercakap, lagi menguntungkan PR. Terima kasih Tun.
WaLlahu 'Alam

Sejarah: Sang Saka Malaya wajar dimuziumkan

Salmiyah Harun, 05 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS Melaka mencadangkan bendera Sang Saka Malaya dimuziumkan kerana ia  mempunyai nilai sejarah tersendiri yang tidak diketahui umum.

Pesuruhjayanya Adly Zahari (gambar) berkata, ramai rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahui kewujudan bendera Sang Saka Malaya yang tersembunyi sebelum merdeka.

"Kita sendiripun tidak tahu pasal Saka Malaya. Kenapa Saka Malaya yang ada nilai sejarah tidak di Muziumkan atau kita memang tak pergi Muzium?" soalnya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau mensyorkan kerajaan Melaka boleh tempatkan Saka Malaya di salah satu Muzium di negeri itu

Tambahnya, ramai yang menyangka bendera yang dikibarkan oleh sebahagian anak muda pada Himpunan Janji Demokrasi tempoh hari adalah bendera Singapura.

Bagaimanapun katanya, warna merah putih adalah asas bendera Malaysia dan banyak parti politik sebelum merdeka menggunakan asas itu termasuk PAS dan Umno.

"Macam serupa tapi tak sama," ujarnya.

Tegasnya, Saka Malaya adalah sejarah dan ia seharusnya dijadikan bahan politik oleh sesetengah pihak.

"Kalau keturunan penjajah boleh dijemput untuk meraikan hari kemerdekaan, kenapa tidak sekadar mengibarkan Saka Malaya yang bersifat sejarah," katanya.

Malah beliau mengecam sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu menukar bendera Jalur Gemilang bagi menzahirkan niat agar rakyat membencikan Pakatan Rakyat.

"Isu yang sedang panas dan cuba direka-reka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab adalah Pakatan Rakyat mahu tukar bendera kalau berjaya menawan Putrajaya," katanya.

Justeru katanya, sejarah bendera itu perlu diceritakan kepada umum walaupun ia dari versi Prof Ramlah Adam.

Sebelum ini, sekumpulan pemuda mengibarkan bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang merdeka pada 30 Ogos lalu.

Tindakan mereka itu dipertahankan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tiada salahnya dengan tindakan itu kerana bendera itu asalnya dicadangkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

"Episod ini ada dalam sejarah negara ini, dan inilah bendera yang digunakan. Saya tidak rasa anak muda berhasrat menukar bendera Jalur Gemilang tetapi ia semata-mata untuk mengetengahkan suatu perkara dalam sejarah negara," katanya.

Tiada ulasan: