Selasa, 4 Disember 2012

KHUATIR DAH BUSUK LUAR DAN DALAM

Umum nama bakal PM selepas penamaan calon

Salmiyah Harun, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) mencadangkan agar Pakatan Rakyat mengumumkan nama bakal Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat selepas penamaan calon pilihan raya umum nanti.

"Waktu paling sesuai diumumkan secara rasmi siapa bakal Perdana Menteri ialah selepas penamaan calon, supaya rakyat ada 'clear choice' selepas itu," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Harakahdaily dan Harakah di Pejabat Harakah hari ini.

Cadangannya itu bagaimanapun katanya terletak kepada budi bicara pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Jelasnya, cadangan itu akan memberi semangat kepada penyokong Pakatan Rakyat untuk bekerja memenangkan calon masing-masing dalam pilihan raya umum nanti.

"Kerana untuk jadi Perdana Menteri mesti bertanding dalam PRU-13 dan mesti menang. Jadi selepas penamaan calon kita sudah ada nama bakal perdana menteri," katanya.

Namun katanya, soal siapa jadi Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat nanti akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi apabila sampai masanya.

"Walaupun pada waktu ini secara rasmi belum diputuskan siapa, saya lihat ia tidak ada masalah sebab tidak ada perebutan di dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Najib PM yang takut pada Mahathir

http://tukanglawan.blogspot.com, 03 Dis 2012
Najib Razak gagal menunjukkan keberanian sebagai pemimpin apabila hanya membiarkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan.


Orang di sekeliling Perdana Menteri mahupun beliau sendiri tidak suka dengan cara Mahathir campur tangan dalam (urusan) kerajaan, tetapi saya tidak fikir Najib berani bertegas.


“Sebab itu Mahathir masih panggil pimpinan Umno dan beri arahan kepada mereka,” kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib tidak boleh bertindak tegas terhadap bekas Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil (ketika terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation), jadi saya tak boleh bayangkan beliau boleh bertegas dengan Mahathir,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Anwar berkata, beliau tahu tentang pertemuan Mahathir dengan pimpinan Umno peringkat negeri dan meminta mereka menangguhkan rancangan menjatuhkan Najib sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ia disampaikan kepada hampir semua pimpinan Umno negeri. Sebab itu saya fikir Najib rasa kedudukan peribadinya dalam Umno tidak selamat,” kata Anwar.

Najib dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno memuji dasar Wawasan 2020 serta berterima kasih kepada Mahathir kerana ‘sukarela’ berkempen untuk Umno.

Ketika melancarkan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Rakyat (PPP) semalam, Najib dilaporkan turut mengakui Mahathir masih memiliki pengaruh kuat dalam pentadbiran Umno BN.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tawaran mega untuk rakyat Pahang 9 Dis

Khairil Abdul Rahim, 03 Dis 2012

TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) Pahang akan membuat pengisytiharan tawaran mega untuk rakyat negeri ini jika diberi mandat memerintah pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP), 9 Disember ini.


Menurut pengarah program Dr Hamzah Jaafar, dalam program pra Perhimpunan Sejuta Rakyat itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan Pusat untuk Rakyat Pahang.

Manakala ketiga-tiga pemimpin negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah pula akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini.

“Perisytiharan ini adalah suatu yang amat istimewa untuk warga Pahang kerana ia berkait rapat dengan keperluan dan tuntutan hidup mereka yang tidak diselesaikan oleh Kerajaan BN selama ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Pengerusi Biro Pendidikan PKR Pusat, Abbas Awang, Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng serta pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri.

Dr Hamzah berkata, dalam program HKRP Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau nanti, hadirin akan dapat mendengar ucapan bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia yang juga bekas Pengerusi syarikat televisyen Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang menyertai PAS di Johor kelmarin.

Tambahnya HKRP akan disemarakkan oleh konvoi 500 penunggang motosikal berkuasa tinggi seawal jam 11 pagi dari Jerantut ke tapak himpunan. Di tapak program, akan disediakan dengan pameran sejarah perjuangan ketiga-tiga parti.

“Pada sebelah petang anak muda akan dihiburkan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

“Kemuncaknya ialah pidato pemimpin daripada ketiga-tiga parti iaitu Anwar, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang,” ujarnya.

Dr Hamzah berkata, wakil-wakil NGO Anak, Hijau, Anti-Lynas, Bersih, Kerabat, Orang Asal Cameron Highland, Save Bukit Koman dan Royalti akan turut diberi laluan berucap.

“Pihak penganjur sangat yakin himpunan ini akan melakar sejarah baru dalam arena politik tanah air, khususnya di Pahang dengan kebangkitan rakyat yang secara jelas menolak segala bentuk dan sifat salah laku serta gagal urus tadbir negeri dan urusan rakyat,” katanya.

13 Mei: Dakwaan Shahrizat melampau, andaian jahat

Khairil Abdul Rahim, 03 Dis 2012

Shahril (tengah) menunjukkan laporan polis di hadapan balai polis Temerloh.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini membuat laporan polis di sini berhubung kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil di perhimpunan agung parti itu yang didakwa bersifat hasutan.

Dalam laporan polis oleh ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim, mahu polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan ekoran ucapan menghasut beliau ketika merasmikan perhimpunan sayap parti berkenaan di PWTC pada 28 November itu.

Memetik laporan tersebut yang turut disebarkan oleh media-media cetak dan elektronik, Shahrizat berkata jika Umno atau BN tidak lagi berada di tampuk kuasa kestabilan politik (negara ini) akan goyang seterusnya mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Dalam laporan polis itu, Shahril sebagai seorang warganegara Malaysia, berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat bahawa ia adalah berniat jahat bagi tujuan mendatangkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram, ugutan, menghasut dan seterusnya mendatangkan khianat kepada ketenteraman awam.

Justeru beliau membuat laporan bagi polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat di bawah mana-mana peruntukan seksyen 500, 503, 504, 505 dan 506 atau mana-man peruntukan undang-undang lain yang relevan atas alasan mengeluarkan kenyataan jahat yang mendatangkan khianat awam serta menggugat ketenteraman ekoran kenyataan beliau.

Sementara itu, Shahril dalam sidang medianya selepas itu menganggap kenyataan bekas menteri yang pernah terpalit dengan skandal lembu kondo  itu, sebagai tuduhan melampau dan andaian jahat jika Pakatan Rakyat (PR) menang.

“Walhal PR telah buktikan negeri yang dikuasai selepas pilihan raya lalu bukan saja aman tanpa rusuhan kaum, malah terus maju sehingga diiktiraf oleh Ketua Audit Negara.

“Sebab itu bagi Pemuda PAS, ugutan Shahrizat ini melambangkan ketakutan parti pemerintah berhadapan pilihan raya akan datang kerana bimbang dihukum rakyat lalu mengugutnya dengan tragedi berdarah 13 Mei,” tegasnya.

Katanya, pada hari ini Pemuda PAS negeri-negeri membuat laporan polis seluruh negara terhadap isu yang sama.

PAS Perak buat laporan polis terhadap Shahrizat

Muhammad Faeez Azahar, 03 Dis 2012

IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berbaur hasutan serta perkauman.

Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zawawi Hassan.

Zawawi ketika ditemui berkata, Shahrizat cuba mengugut serta menakutkan rakyat dengan mengatakan kekhuatiran beliau tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali jika Umno tidak lagi berkuasa.

Menurutnya, dakwaan tersebut sangat merbahaya dan boleh membangkitkan sentimen perkauman serta kacau bilau di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini.

Katanya, rakyat berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat ianya berniat jahat untuk menakutkan rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat.

“Beliau sengaja mewujudkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram di kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Bagan Serai menjelaskan, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas dan ianya dapat dibuktikan setelah Pakatan Rakyat dapat memerintah di beberapa buah negeri dalam keadaan yang aman tenteram.

Umno benar-benar habis modal – Presiden PAS

Aslani M | Foto Yusri Amin, 03 Dis 2012
KOTA BHARU: Umno dianggap benar-benar kehabisan modal apabila hampir keseluruhan ucapan dasar dan penangguhan Presiden pada Perhimpunan Agung parti itu menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, nampak sangat Umno seperti kehabisan modal bagi membincangkan masalah dalaman parti itu.

“Mereka sudah tidak ada modal lagi. Kalau kita perhatikan hampir keseluruhan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini memperlekehkan orang lain.

“Inilah saban kali kita saksikan setiap kali Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Sudah tidak ada modal lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena Kongres Dunia Islam di Balai Islam di sini malam tadi.

Perhimpunan Agung Umno kali ke-66 yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah Najib pada ucapan penangguhan yang dianggap sebagai ikrar Umno mendakwa satu undi kepada PKR akan membawa kepada kerosakan akidah dan umat, undi PAS untuk perpecahan, manakala undi DAP membawa kepada penindasan.

Ustaz Abdul Hadi juga berkata, Umno pun nampaknya sudah pandai membaca doa pada perhimpunan parti mereka.

Menurutnya sebelum ini Umno memperlekehkan doa dibaca pemimpin PAS, namun sekarang mereka sendiri pun membaca doa.

Ketika berucap sebelum itu katanya, Islam perlu kembali semula untuk pimpin dunia selepas banyak ideologi lain terbukti gagal menangani kehidupan umat manusia.

“Hanya Islam sahaja yang menerangkan segala aspek dalam kehidupan umat manusia. Sekarang anak-anak yang pernah mendapat didikan daripada barat pun bangkit mempertahankan Islam.

“Islam tetap bangkit biar pun cuba dihalang. Kita runtuhkan jahiliah untuk tukar kepada kerajaan yang adil.

“Umno nampak seperti mahu kekal sehingga kiamat,” katanya. Sebelum itu ceramah disampaikan Naib Presiden Institut Pemikiran Islam, Sheikh Dr Ahmed Totonji dan wakil Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Anang Sharifuddin.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Kongres Dunia Islam 2012 berlangsung 1 hingga 5 Disember ini bertempat di Hotel Grand Riverview membabitkan pembentangan 70 kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Najib silap tidak jawab dakwaan Deepak

Harakahdaily, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang gagal memanfaatkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang diberi liputan meluas untuk menjawab dakwaan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Ia hanya menambahkan keyakinan dan persepsi umum terhadap kebenaran dalam segala yang dinyatakan oleh Deepak.

“Sesungguhnya, rakyat menanti respons PM  dalam ucapan penggulungannya, namun sayang ianya langsung tidak disentuh oleh beliau di PAU. Jika peluang diambil untuk membuat penjelasan, sudah tentu ia didengari oleh kebanyakan rakyat kerana ucapannya diberi liputan begitu meluas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata perkara yang sama turut berlaku kepada Naib Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang enggan menjawab tuduhan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau mencampuri urusan pihak polis.

PAU kali ini, katanya terpesong tujuannya sebagai medan penting kerajaan bagi merangka dasar membela nasib bangsa Melayu dan perancangan masa depan negara, samada ekonomi, sosial dan agama.

“Persidangan kali ini diadakan seolah-olah sebagai pra-kempen PRU13 dengan menghentam PR dan medan Umno berkempen sesama ahli Umno,” kata Tuan Ibrahim.
Perwakilan Umno, kata beliau, langsung tidak memikirkan kepentingan negara kerana tidak berani menyoal isu Scorpene, kegagalan Najib menunaikan janji untuk menurunkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dalam pilihanraya negeri dua tahun lepas, isu royalti minyak, penghapusan kabotaj, isu tanah di Sabah dan Sarawak dan isu keselamatan negara.

“Lebih penting lagi, PM juga tidak menggunakan peluang untuk mengisytihar perang terhadap budaya rasuah yang melanda kerajaan pimpinannya.

“Namun bagi Umno, semua ini bukan isu besar ibarat kata sebilangan perwakilan Umno bahawa skandal RM40 juta yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melibatkan jumlah yang sedikit dan remeh untuk diperjelaskan,” sindir Tuan Ibrahim.

Kelemahan Umno dalam memerangi rasuah, kata beliau jelas terpapar di PAU Wanita Umno di mana ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terpalit dengan isu National Feedlot Corporation masih disanjung kerana ketiadaan tokoh lain dalam sayap tersebut.

“Yang ada di PAU hanyalah kebimbangan PM terhadap sabotaj dalaman parti bilamana akan ada yang tidak bersetuju  apabila mereka tidak dicalonkan. Kebimbangan PM menampakan bahawa isu cah keting sesama Umno bukan lagi cerita di sebalik tabir, tetapi ugutan secara terang-terangan,” terang beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut mempersoalkan mengapa ada ugutan kepada rakyat dan serangan khusus kepada PR di PAU tatkala Najib mengisytiharkan bahawa boleh menguasai majoriti besar dalam pilihanraya umum ke 13.

“Ternyata mereka sedar keadaan semasa adalah sebaliknya dan tindakan (serangan terhadap PR) itu adalah sekadar reaksi panik kebimbangan terhadap perubahan yang bakal berlaku,” katanya.


Tuan Ibrahim turut menyarankan agar seluruh jentera parti meningkatkan gerakerja berfokus kepada sasaran dan mengemaskini seluruh jentera parti di semua peringkat.

“Medium terbaik ialah bertemu pengundi secara terus dan berhemah bagi menjelaskan segala kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh media perdana. Kita perlu menembusi setiap rumah pengundi dengan maklumat yang jelas dan membina keyakinan mereka.

“Paluan gendang perang telah dibunyi. Jangan ada yang menghabiskan masa menimbulkan polemik dalaman. Jaga perangkap musuh dan elakkan diri daripada menjadi jurucakap bagi pihak musuh,” nasihat beliau.

Air percuma: Rakyat Johor gesa contohi Selangor

Harakahdaily, 03 Dis 2012
BATU PAHAT: Rakyat Johor mendesak kerajaan negeri ini memberikan air percuma sekurang-kurangnya 20 meter padu seperti dinikmati rakyat Selangor, kerana negeri Johor mempunyai sumber air yang banyak.

Menurut Presiden Kumpulan Air Batu Pahat, Syed Hamid Ali, amat malang nasib rakyat negeri ini kerana Johor mempunyai air yang banyak sehingga mampu membantu negara jiran iaitu Singapura, tetapi pada masa yang sama rakyat terpaksa membayar kadar tarif air dengan harga sangat tinggi.

Malah katanya, kadar tarif air di negeri Johor adalah paling tinggi di seluruh Malaysia dan langsung tidak mencerminkan slogan rakyat didahulukan seperti yang dicanang.

Kumpulan itu yang menggerakkan kempen Hak Air Untuk Semua (Haus) juga mendakwa kualiti air yang di bekalkan ke beberapa tempat di negeri ini juga kotor dan berbau.

Mereka turut tampil di pentas Himpunan Kebangkitan Rakyat Johor kelmarin dengan menyatakan beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri dan juga pusat.

Selain menuntut 20 meterpadu air percuma, mereka juga menuntut kerajaan menurunkan kladar tarif air ke peringkat 'mampu bayar'.

Mereka juga mahu sebuah Majlis Air Johor di nperingkat negeri, daerah dan mukim dengan penyertaan NGO dan orang ramai untuk memantau dan menegur perkhidmatan air oleh Syarikat Air Johor.

"Kita juga mahu setiap keluarga berhak mendapat bekalan air bersih dengan segera dan semua kawasan tadahan air di negeri ini diwartakan agar mengelak sebarang pencerobohan," kata Syed Hamid.

Ucapan "meneran" Najib, Deepak, Musa dan royalti Kelantan

Ahmad Lutfi Othman, 03 Dis 2012
Selepas mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu baru-baru ini, dan melihat dari dekat semangat serta komitmen perwakilan Parti Islam itu, khususnya untuk berdepan PRU13, saya harap dapat menyaksikan sepenuhnya Ucapan  Dasar Presiden Umno (tentunya disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen utama), pagi Khamis, 29 November lalu.

Sebagai pengamal media, walaupun menerajui organ parti, saya teruja untuk melihat sendiri situasi para aktivis dua organisasi politik terbesar, PAS dan Umno, di ambang pilihan raya paling sengit ini. Sekurang-kurangnya dapat juga membuat penilaian dan perbandingan lebih seimbang. Boleh sahaja membaca ucapan perasmian dan penutup Presiden Umno dalam akhbar esoknya, namun saya lebih gemar mendengar intonasi dan melihat lenggok badan secara terus.

Semasa sihat bugar dahulu, terutama semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, saya akan cuba mempastikan hadir di PWTC, terutama pada sesi penggulungan, pada hari terakhir persidangan Umno. Tentunya pidato Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Umno waktu itu, turut menjadi tumpuan. Anwar diakui mempunyai keistimewaan tersendiri, termasuk berupaya menyindir bosnya, Mahathir. Apa pun, saya kira ucapan Sanusi Junid selepas kalah pemilihan Naib Presiden pada 1993, mengenai gejala politik wang dalam Umno dengan mengaitkan lambang-lambang dalam setiap wang kertas,  terakam kukuh dalam ingatan.

Ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi, satu pembaharuan dibuat, iaitu siaran langsung sesi perbahasan persidangan oleh Astro. Ia langkah berani, mungkin bertujuan untuk mempromosikan lagi Umno kepada khayalak lebih luas, tetapi malangnya menerima padah dan kesan negatif kepada Abdullah. Banyak persoalan sensitif yang dilemparkan perwakilan telah menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu dan mungkin kemudiannya menjadi faktor mereka menolak BN dalam PRU12.


Namun, apa yang tidak dapat dilupakan, semasa mengikuti ucapan Abdullah menerusi TV, saya lebih banyak tersengguk dan terlelap walaupun sudah tersedia pen di tangan untuk mencatat butiran penting leterannya!

Menyedari perhimpunan agung Umno (PAU) 2012 mempunyai banyak keunikan (seorang rakan beranggapan, ia pertemuan terakhir ahli-ahli dan pemimpin parti itu berada di pihak kerajaan), saya menggagahi diri  mengikuti ucapan Najib walaupun terpaksa membatalkan temujanji rawatan rutin.  (Seorang penalis di TV, semasa menunggu lintas langsung, menegur singkatan PAU, yang dilihatnya memberi konotasi negatif).

Nada Najib cukup tinggi, penekanan suara begitu bersemangat, tetapi ia dibuat agak keterlaluan, dan seringkali menganggu tempo, serta tidak sesuai dan canggung dengan lantunan suara semulajadi Najib. Ada kalanya seperti mahu "meneran", meniru gaya Anwar. Retoriknya kadang-kadang tersasar dan tidak menjadi. Tetapi ...biasalah, ia disambut tepukan bergemuruh.

Masih dalam mood mukadimah, di awal ucapannya, Najib terus bersuara lantang: "Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda." (Terdengar juga ketawa perwakilan selepas Najib menyebut "kuda-kuda").

Tanpa sembunyi, Presiden Umno itu mengisytiharkan perang bagi mempertahankan Putrajaya, satu manifestasi Umno-BN berada dalam kedudukan defensif sehingga terpaksa menjawab satu demi satu serangan Pakatan Rakyat. (Apakah Najib bersedia berperang dengan rakyat yang tidak sabar-sabar lagi untuk bereksperimen -- melakukan perubahan menukar kerajaan?)

Sepatutnya, mendengar ucapan penuh bersemangat itu, dengan sorakan perwakilan yang bergema, saya tidak akan tertidur seperti ketika memasang telinga Abdullah menyusun hujah enam dahulu. Realitinya, beberapa kali isteri menegur, "tengok TV ke, TV tengok dia ni", apabila menyedari saya terlelap lama. Jadi, saya terpaksa menyemak semula teks ucapan Najib itu dalam akhbar esoknya.

Saya kira lebih ramai penonton dapat menyaksikan apa yang tersirat daripada yang dihidangkan oleh paparan kaca TV. Najib cuba menyembunyikan kegelisahan dan keresahan. Majoriti rakyat sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Rekod lebih lima dekad Umno sukar untuk dipertahankan lagi. Kebocoran tidak mampu ditampung; ketirisan menjadi-jadi akibat kecurangan dan salahguna kuasa berterusan pemimpin Umno-BN.

Ucapan Najib tidak lebih daripada ceramah politik berdegar-degar, yang hanya bertujuan membakar semangat ahli-ahli Umno dan langsung tidak menekankan isu-isu dasar-besar yang sepatutnya ditangani sebuah parti pemerintah, yang berkuasa selama lebih 55 tahun. Beliau hanya mengulangi mantera lama -- negara huru-hara, bankrap dan hancur berkecai jika rakyat memilih Pakatan. Daleh yang sukar diterima generasi yang terdedah dengan simpang-siur maklumat dan lebih bersedia berpartisipasi secara proaktif dalam politik.

Kalau dalam muktamar PAS, akan diadakan slot ceramah umum pada malamnya, dengan mengetengahkan tokoh-tokoh pemidato dan pemimpin kanan, dan bukannya dihamburkan dalam ucapan dasar seperti dilakukan Najib. Lucu juga menyaksikan lagak Najib bagaikan panglima perang mahu mengerahkan bala tenteranya turun bertempur. Dan ia dilakukan bukan kali pertama, malah berulang kali, tetapi masih belum berani mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong!

Sedangkan yang diperlukan dalam pilihan raya adalah lebih halus dan seni daripada itu (bukan seronok bertempik hinga hilang suara), yakni bagaimana mahu menambat hati, emosi dan pemikiran pengundi, serta usaha mempengaruhi "golongan yang boleh dipengaruhi" agar memberikan kepercayaan dan mandat untuk bersama-sama membangunkan negara tercinta ini.


Bagai dijangka, Dr Mahathir (ada pihak menggelarkannya ketua penerangan Umno tidak rasmi) menyifatkan ucapan Najib itu sebagai terbaik. "Ia satu ucapan yang fantastik," tegas Dr Mahathir, "beliau telah menjawab segala tomahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Umno."  Riak Mahathir, yang kelihatan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Najib, juga membayangkan kekhuatiaran Presiden Umno ke-5 berdepan perhitungan rakyat dalam PRU13.

Najib juga tidak dapat menyembunyi perasaan harap-cemasnya apabila meminta perwakilan Umno sama-sama berdoa  agar "apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, insya Allah kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah ..." Seolah-olah menjadi igauan dan mimpi ngeri bahawa PAU 2013 akan berlangsung muram dan suram ... ya, mesyuarat agung Umno buat pertama kali atas kapasiti sebagaai parti pembangkang!


II. Waspada dan cermati trend pengundi baru

Saya kira, banyak pihak dapat mengesan kebimbangan dan kegelisahan Umno terhadap pengundi muda atau yang baru pertama kali mengundi, selain  kebijaksanaan majoriti rakyat untuk membuat pilihan tepat.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 2,700 perwakilan Umno, Najib membentangkan hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Hampir 70 peratus daripada 29 juta penduduk tinggal di bandar, 80 peratus berumur kurang 45 tahun manakala separuh rakyat berusia bawah 25 tahun. Sejak Mac 2008, terdapat 2.9 juta pengundi baru telah mendaftar sebagai pemilih. Maknanya, setiap seorang daripada lima pengundi dalam PRU13  ialah pengundi baru atau yang pertama kali mengundi.

Pengundi baru dan generasi di bawah 45 tahun ini tidak lagi mudah dipengaruhi dogengan  usang Umno. Mereka juga tidak terikat dengan nostalgia yang sengaja dipasak, khususnya mengenai sumbangan Umno sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Kelompok ini lebih independen, sukar dikontrol dan tidak takut untuk melakukan "eksperimen" ataupun percubaan.

Dan ingat, anak-anak muda ini juga dikatakan tidak suka dikaitkan dengan mana-mana parti politik; hari ini menyokong parti A, esok mungkin berpindah parti B, atau boleh mengundi parti A di peringkat Dun, dan selektif untuk sokong parti B untuk kerusi Parlimen.

Kepada regim yang memerintah secara terus-menerus di peringkat persekutuan, seperti Umno, istilah "ubah", "tukar", atau "berani mencuba" cukup mengerikan.  Pemimpin Umno, apatah lagi Najib, amat faham benar, sekali gabungan parti yang diterajuinya hilang kuasa di Putrajaya, seperti nukilan Najib sendiri: "Kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri!"

(Agak kerap saya mengulas bagaimana Umno begitu takut dan ngeri jika ditakdirkan berada di posisi pembangkang, sehingga tercetus ungkapan "terbangsat dan merempat", sedangkan dalam negara demokrasi, bukannya sesuatu yang mengaibkan bagi mana-mana parti untuk bersilih ganti menerajui negara, seperti ditunjukkan dalam sistem dua parti di negara-negara maju, misalnya Amerika Syarikat).

Justeru, Najib, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir sendiri, kerap memberi amaran agar tidak menjadikan PRU13 sebagai medan untuk mencuba atau bereksperimen menukar kerajaan. Walhal sistem demokrasi memberikan ruang seluasnya untuk rakyat membuat pilihan -- tanpa gentar dengan sebarang ugutan dan ancaman -- termasuk untuk memilih pemerintah yang baru. Dan inilah, dalam PRU13, buat pertama kali, rakyat Malaysia membuat kesempatan terbaik itu, yang tidak pernah muncul sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.

"Pilihan raya bukan satu uji kaji," tegas Najib Khamis lalu, "lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan ... pelbagai kerosakan boleh berlaku."

Pada Himpunan Barisan 1Malaysia, juga di PWTC, pertengahan November lalu, di hadapan aktivis NGO yang menyokong BN, Najib dilaporkan berkata: "Kenapa nak baiki jika tidak ada yang rosak? Ia tidak rosak, malah jauh daripada rosak. Negara kita dicemburui oleh banyak negara lain." Kenyataan itu untuk menyanggah momentum rakyat yang mahu melakukan perubahan ataupun penambahbaikan kepada pelbagai kerosakan yang dilakukan pemimpin Umno-BN selama ini.


Ya, beberapa kali, dalam kolum ini,  saya  merakamkan perihal keghairahan rakyat biasa yang saya temui, misalnya pemandu teksi dan kenalan lama yang sebelum ini tidak begitu berminat dengan politik.

"Apa salahnya kita mencuba kerajaan baru. Kalau mereka juga menyeleweng daripada janji-janji, rasuah, pilih kasih, utamakan kroni, seperti dilakukan BN, lima tahun nanti, kita tukar pula, lagipun rekod empat tahun Pakatan perintah Selangor boleh tahan juga, tak ada yang pelik-pelik dan merugikan rakyat," ujar seorang pemandu teksi, dalam perjalanan menghantar saya ke Hospital UKM, Cheras.

"Ubahlah ... dan jangan bagi peluang kepada mana-mana kerajaan untuk terlalu lama memerintah. Regim yang begitu lama berkuasa amat mudah melakukan korupsi kerana cukup berpengalaman dan arif dengan lubang serta peluang berbuat jahat. Mereka juga cenderung bersikap kuku besi. Tukar ajalah, lima tahun bukannya lama sangat, selamatkanlah negara kita," kata jiran saya, seorang Cina-Katolik, yang sebelum 2008 sentiasa menyokong BN, kini giat berkempen kepada rakan-rakannya agar mengundi Pakatan.

Namun begitu, Pakatan tidak seharusnya mengambil mudah kompleksiti ragam pengundi baru ini. Segalanya tidak mudah dalam PRU13. Jentera BN pastinya menggandakan usaha mendekati mereka, dengan pelbagai pendekatan memikat. Gerakerja Pakatan juga harus lebih ke hadapan, dan anak muda sentiasa memerhati dan menghakiminya.

III. Isu bonus buat Pakatan Rakyat; cabaran buat Harakah

Seorang rakan lama, bekas wartawan ekonomi, seperti lazimnya, mengirim SMS cadangan kepada Harakah setiap kali mendapat inspirasi baru. Petang 30 November lalu, dia memaklumkan: "Pengakuan Deepak, pendedahan Musa Hassan dan pengesahan Petronas tentang tindakan kerajaan persekutuan 'mengsonglap' royalti minyak Kelantan mesti dimanfaatkan secara besar-besaran dan berterusan oleh Harakah, dalam tempoh 15 bulan ini sebelum PRU13. Bola tanggung untuk kuburkan Umno-BN."


Banyak pihak suka mengaitkan siri wawancara Deepak Jaikishan dengan laman-laman bebas, dengan tragedi pembunuhan Altantuya Shaariibuu, termasuk menghubungkannya dengan Najib dan Rosmah Mansor. "Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga kes Altantuya selesai dengan adil," kata Deepak kepada Harakahdaily.

Sidang akhbar bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang mendedahkan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein campur tangan dalam pasukan polis memang tidaklah menggemparkan. Namun ramai percaya, ia bukan terhenti setakat itu.

Dipercayai Musa mempunyai rahsia lebih besar, kemungkinan membabitkan kes-kes rasuah yang mempertaruhkan keselamatan negara dan hubungan baik di antara tokoh politik dan orang atasan tertentu dengan penjenayah yang ditangkap polis. Musa memberitahu media, terdapat pihak atasan yang menelefon pegawai kanan polis minta dilepaskan penjenayah tertentu

Mengenai isu royalti Petronas kepada kerajaan Kelantan, rakan saya itu meminta saya membaca tajuk muka 19, Utusan Malaysia, 30 November: "Petronas sudah luluskan royalti".

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas menjelaskan: "Petronas sedia maklum bahawa syarikat ini tidak pernah berhutang dan telah melunaskan pembayaran royalti kepada semua negeri dan kerajaan persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kepada kerajaan persekutuan. Terpulanglah kepada kerajaan persekutuan untuk membuat agihan itu sama da dalam bentuk royalti atau wang ihsan."

Ya, saya kira Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Husam Musa ada hujah menarik mengulas kenyataan Shamsul Azhar itu dan pastinya merimaskan Mustapa Mohamed, serta membantutkan terus angan-angan BN Kelantan!

Dan tepat sekali, Husam sehari selepas itu menyifatkan tindakan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan adalah satu jenayah pecah amanah: "Kerajaan persekutuan tidak menyampaikan pembayaran itu kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak juga memasukkan ke dalam Akaun Wang Yang diSatukan Kerajaan Persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957 serta membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta yang sama."

Husam mengingatkan bahawa Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada tahun 1975 dengan Petronas dan tidak ada sebarang perjanjian antara Kelantan dan Kerajaan Malaysia. Menurut perjanjian itu, katanya, Petronas, bukan Kerajaan Malaysia, berjanji membayar secara langsung kepada Negeri Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun bilamana pengeluaran bermula.

"Semua pihak yang bersubahat menggunakan wang ini secara salah, termasuk jawatankuasa Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Dato' Dr Awang Adek juga melakukan jenayah pecah amanah yang sama," tegas Husam.

Najib takut Deepak juga calon 'winnable' Umno

Abdul Aziz Mustafa, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak yang nampak benar takut menghadapi tuduhan Deepak Jaikishan juga akan menjadi calon 'winnable' Umno, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau juga menyifatkan istilah calon 'winnable' digunakan sebagai alasan kepada sistem kediktatoran baru Umno untuk memaksakan calon-calon yang dikehendaki oleh pemimpin parti itu.

"Kalau sesama ahli Umno pun bersifat diktator, dengan rakyat tentulah lebih teruk lagi jika Umno menang lagi dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mahfuz.

Dengan berdalihkan alasan calon 'winnable', Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya menerima sahaja calon 'winnable' yang ditentukan oleh pemimpin mereka.

"Dengan sistem kediktatoran terbaru Umno yang disolekkan dengan istilah calon 'winnable' itu, sesiapa sahaja yang dipaksakan oleh pemimpin Umno sebagai calon mesti diterima oleh ahli-ahli parti itu.

"Mereka dipaksa memikul biawak hidup. Kalau pemimpin Umno pilih pembunuh Altantuya Shaariibuu, usus busuk, pencuri tanah, perasuah, perompak, malah siapa sekalipun yang didakwa sebagai calon 'winnable', ahli-ahli parti itu mesti terima.

"Malah, lembu pun tak malu-malu mendakwa dia adalah calon 'winnable' Umno," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dengan alasan calon 'winnable' itu, kata Mahfuz, antara calon yang sudah pasti akan didakwa sebagai calon 'winnable' Umno tentulah termasuk Najib sendiri.

"Walaupun Najib nampak benar menikus dan membisu menghadapi tuduhan Deepak, tentulah beliau juga akan dibohongkan kepada rakyat sebagai calon 'winnable' Umno," katanya.

Sebab itulah, katanya, dengan mempunyai kekebalan atau 'immunity' sebagai calon 'winnable' Umno itu, Najib yakin beliau tidak perlu jawab atau memberikan apa-apa penjelasan mengenai tuduhan-tuduhan Deepak itu.

"Sebab itulah, Najib langsung tidak memberikan apa-apa penjelasan mengenai tuduhan Deepak itu kepada perhimpunan agung Umno kerana beliau sudah mempunyai kekebalan sebagaui calon 'winnable' dan siapa pun beliau yang sebenarnya, ahli-ahli Umno terpaksa menerima beliau sebagai calon," kata Mahfuz.

Dalam apa yang dilihat antara serangan paling tepat kepada Najib, antara lain Deepak mendedahkan bahawa akuan bersumpah kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Mahfuz mengingatkan rakyat bahawa mereka tidak boleh dilembukan seperti ahli-ahli Umno untuk menerima apa yang dibohongkan sebagai calon 'winnable' Umno.

Tubuh suruhanjaya siasat dakwaan Musa Hassan

Harakahdaily, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius terhadap pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencampuri urusan polis.

Musa Hassan dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya minggu lalu ketika menjawab pertanyaan wartawan mendakwa bahawa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campur tangan Hishammuddin.

Ketua DPPM, Nasrudin Hassanberkata, pendedahan tersebut tidak boleh dianggap satu pengkhianatan oleh bekas ketua polis itu tetapi maklumat yang wajar didedahkan dan disiasat dengan segera kerana ianya melibatkan persoalan integriti Pasukan Polis Malaysia.

Tindakan Hishammuddin itu menurut Hasan bersalahan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya beliau Ketua Polis Negara saja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahan.

“Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak agar satu Suruhanjaya Penyiasatan Bebas dapat diwujudkan segera untuk membuat siasatan dan dakwaan terhadap campurtangan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein terhadap pasukan polis yang dibongkarkan baru-baru ini.

“Sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan untuk membongkar segala kemungkinan penyelewangan dan salah laku yang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPM juga, katanya mendesak agar Hishammuddin Hussein bercuti sehingga siasatan yang di buat selesai.

Beliau berkata, Hishammuddin perlu bersikap “gentleman” dan mengikut jejak langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti ekoran skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang lalu.

Sehubungan itu, ujarnya DPPM berharap agar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak menjaga rakyat mengikut arus perundangan bukan menjaga parti politik serta mengikut arahan mereka semata-mata.

Acuan Umno tidak boleh dipakai lagi, tukar baru

Harakahdaily, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: “Saya mendapat puluhan sms dari perwakilan UMNO itu sendiri sambil mengejek-ngejek ucapan pimpinan besar mereka dalam perhimpunan agung itu sendiri,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.


Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana orang di luar UMNO hendak meyakini parti itu lagi.

Berikut tulisan penuh beliau di dalam blog http://aspanaliasnet.blogspot.com/ semalam.

UMNO bercanggah-canggah pemikirannya dan bercelaru arahnya. Perhimpunan agungnya yang tamat semalam akhirnya benar-benar menunjukkan parti itu sudah tidak boleh diterima kata-kata mereka yang bersalah-salahan maksudnya dalam satu ucapan. Pangkal ayatnya lain hujung ayatnya lain.

Pada keseluruhannya UMNO tidak mempunyai perkara baru dalam Perhimpunan Agungnya selain daripada mengugut dan menakut-nakutkan sesama sendiri sambil berucap bergegar-gegar sehingga hampir pecah Dewan PWTC itu. Perhimpunan itu sahajalah tempat UMNO mengumpulkan ahli-ahlinya kerana ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan tidak akan mampu mengumpulkan orang walaupun dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan masing-masing.

Dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan parti itu hampir 60% dari mesyuarat itu tidak cukup korum dan minit-minit mesyuaratnya tidak melambangkan keadaan sebenar dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Seperti biasa perhimpunan itu merupakan medan memaki hamun Pakatan Rakyat dan yang paling hebat dikutuk ialah parti DAP dan PAS. UMNO tidak dapat menerima kerjasama DAP dan PAS serta kehadiran Anwar Ibrahim di dalam politik tanahair yang mengamalkan sistem demokrasi, acuan Dr Mahathir itu.

Perhimpunan itu penuh dan sarat dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu kononnya jika Pakatan Rakyat mentadbir negara, orang Melayu akan hilang politiknya, akan hilang Raja-Raja Melayu, akan hilang agamanya dan akan hilang segala-galanya. Dalam beretorik mengakui UMNO sebagai parti untuk perpaduan nasional, tidak pula mereka (UMNO) dapat mengenepikan sikap suka memecah-belahkan perpaduan yang sedang giat diusahakan oleh PAS dan DAP serta peranan PKR dalam mencapai cita-cita murni itu.

UMNO masih memainkan lagu lama seperti menyanyikan lagu Momok Latif dari hari pertama sehinggalah hari terakhir perhimpunan itu semalam. Di Perhimpunan ini sahajalah Najib dapat bercakap besar tetapi Najib sendiri tidak berani bercakap dan berbahas dengan pihak pembangkang di ‘common platform’ untuk penyelesaian isu-isu yang berbangkit. Najib hanya bercakap di atas pentas yang PR tidak dapat menjawab isu-isu yang dibangkitkan serta merta. Najib hanyalah sebagai burung yang terbang dan hinggap di dahan kayu buat sementara meninggalkan tahinya di dahan-dahan tempat ia hinggap.

Isu Melayu akan hilang di dunia ini merupakan isu biasa yang disebut-sebut, kononnya Melayu akan hilang di dunia ini jika PR memerintah. Tetapi Najib tidak sedar yang Melayu telah hampir hilang dunianya, dan jika BN terus mendapat mandat, keadaan bangsa Melayu yang sepatutnya menjadi perjuangan UMNO akan hilang segala ‘competitiveness’ sedangkan bangsa lain telah jauh maju tanpa apa-apa masalah besar dengan parti atau badan siasah yang memperjuangkan hak mereka. Melayu akan terus terkongkong dengan penjara UMNO yang tidak mungkin membenarkan Melayu berfikir dan bertindak mengikut kemampuan mereka yang ada.

UMNO telah membunuh Melayu terus-terusan dengan tidak membenarkan Melayu menjadi ‘competitive’ dan hanya diminta mendagu kepada UMNO semata-mata. Najib tidak sedar yang UMNO mempunyai 3.2 juta ahli sedangkan orang Melayu mempunyai jumlah penduduk melebihi 19 juta orang. 15 juta orang Melayu dan Bumiputra tidak menjadi ahli UMNO tetapi mereka hidup juga di dalam dunia ini.
Laungan orang Melayu akan hilang segala-galanya tidak relevan lagi kerana UMNO itu sendiri sudah tidak relevan lagi. Laungan yang Melayu akan hilang tanpa UMNO itu merupakan isu meleset kerana di Kelantan UMNO boleh disifatkan parti yang sudah mati, tetapi orang melayu masih hidup segar bugar dan tidak pula kita mendengar di Kelantan orang Melayu mati bergelimpangan di Kota Bharu, Pasir Mas dan di daerah-daerah lain di negeri itu.

Sekarang di Kedah UMNO boleh dikatakan sebagai mati yang hampir pupus tetapi sejak PAS memerintah negeri itu adalah salah satu negeri yang mendapat pujian dari Ketua Audit Negara sebagai negeri yang ditadbir dengan baik dan orang Melayu masih bernafas malahan lebih lega dari masa UMNO memerintah negeri itu. Tidak payah kita sebut Selangor dan Pulau Pinang kerana semua orang sudah tahu yang kedua-dua negeri itu menjadi negeri yang paling maju dan kedua-dua negeri ini menyumbang 40% dari pendapatan Persekutuan kita ini.

Sebenarnya UMNO sudah kehabisan modal. Justeru yang hanya tinggal yang boleh dijadikan isu hanyalah dengan menakut-nakutkan orang Melayu sahaja.

Saya teringat bagaimana orang tua-tua dahulu menakut-nakutkan anak-anak dan cucu-cucu mereka, kononnya jika bersiar-siar di waktu petang yang menghampiri maghrib, kita akan berdepan dengan syaitan-syaitan dan hantu jembalang. Anak-anak muda semasa itu semuanya percaya. Tetapi hakikatnya orang-orang tua dahulu hanya mahu anak-anak mereka duduk di rumah waktu itu kerana tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan solat maghrib. Begitulah UMNO yang menakut-nakutkan orang Melayu dalam perhimpunan agung itu.

Sebenarnya mereka mahukan Melayu tetap mengundi dan menyokong mereka kerana takutkan kuasa yang ada di tangan mereka hilang dan terus merompak dan melanun khazanah negara kita ini. Itu sahaja. Itulah sebabnya dalam posting saya yang sebelum ini saya menyebut yang memisahkan kuasa dari UMNO itu ibarat memisahkan kulit dengan daging kita. UMNO amat perit untuk menerima hakikat yang parti itu akan tumbang dalam pilihanraya kali ini. Mereka tidak dapat menerima semua pihak berhak untuk mentadbir negara ini dengan dasar-dasarnya sendiri.

Maka itu sebabnya di dalam demokrasi rakyat berhak untuk menggilir-gilirkan pentadbiran negara mereka. UMNO tidak mahu rakyat tahu yang jika PR diberikan mandat kali ini, mereka boleh kembalikan kuasa kepada UMNO dalam pilihanraya yang berikutnya. Sebab apa UMNO takut? Jawapannya ialah kerana mereka takut tidak akan mampu untuk bangun kembali jika PR memerintah kerana UMNO merupakan parti pemalas dan tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri mereka walaupun jika parti itu sudah terdampar di hadapan mata rakyat.

UMNO tidak seperti PAS yang mana ahli-ahlinya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Itu sebabnya saya menganggap PAS seperti ayam kampung yang boleh mencari makan sendirian. Tetapi sebaliknya UMNO itu ibarat ayam daging yang sentiasa mematukkan makanan siang dan malam dengan senang. Itu sebabnya jika ayam daging dikeluarkan dari reban mereka ia akan mati dalam tempoh dua hari sahaja kerana tidak mampu mencari makanan sendiri.

Tindakan menakut-nakutkan orang Melayu oleh UMNO itu adalah taktik yang sudah tidak laku lagi walaupun di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Saya mendapat puluhan sms dari perwakilan UMNO itu sendiri sambil mengejek-ngejek ucapan pimpinan besar mereka dalam perhimpunan agung itu sendiri. Bagaimana orang di luar UMNO hendak meyakini parti itu lagi?

UMNO mesti bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik. Tetapi nampaknya UMNO sudah belajar menjadi pembangkang sekarang ini jika kita ikuti perhimpunan itu. Mereka mengata PR seperti pihak yang membangkang. Kalau sudah berlatih untuk menjadi pembangkang itu, insyaallah mereka akan menjadi pembangkang yang baik. Ciri-ciri sabagai pembangkang itu amat jelas terpapar di dalam perhimpunan agung parti itu dan kita akui yang UMNO akan menjadi pembangkang yang berguna di Dewan Legislatif Persekutuan dan DUN-DUN selepas pilihanraya ini.

Masalahnya UMNO kini dipimpin oleh mereka yang tidak tahu apa-apa tentang UMNO itu. Mereka berfikir inilah cara UMNO yang sebenarnya tetapi itu semuanya salah belaka. UMNO telah mengubah paksi perjuangannya sejak Dr M mengambil alih pimpinan dan acuan itu sudah menjadi acuan yang diguna pakai pada masa ini.

Itulah sebabnya rakyat terpaksa mengubah acuan kali ini kerana acuan itu sudah dimamah zaman dan perlu diubah.

Tiada ulasan: