Isnin, 3 Oktober 2011

MEMANG PENGANUT ISLAM KENA BERSATU UNTUK MENEGAK SYARIAT ISLAM...DILARANG MENAFIKAN SYARIAT ISLAM...IMAN JADI ROSAK...

Kelantan pelopori penggunaan baja organik
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Okt: Sehingga kini Kelantan dianggap kekal sebagai peneraju perubahan dalam melaksanakan program-program bagi kebajikan rakyat.

Tahun ini diperkenalkan skim Az Ziwaaj iaitu bantuan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 bagi pasangan yang kurang berkemampuan melangsungkan perkahwinan.

Selain itu turut diperkenalkan skim al It’aam, beras percuma sebanyak 10 kg kepada 8,100 penduduk miskin di seluruh Kelantan.

Dan tahun hadapan Kelantan akan menjadi pelopor penggunaan baja organik di mana peruntukan khas akan disediakan pada Belanjawan 2012 bagi meningkatkan hasil tanaman padi dan sayur-sayuran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, selain mendapat pulangan hasil pertanian, penggunakan baja organik juga lebih mesra alam.

”Kerajaan negeri berhasrat memperluaskan penggunaan baja organik yang ternyata boleh medatangkan manfaat besar kepada petani.

“Baja organik terbukti mesra alam kerana bebas bahan-bahan kimia. Selain itu tidak menjejaskan habitat lain seperti ikan dan belut.

“Langkah ini juga selaras dengan tema Bertani Satu Ibadat yang dilancarkan di Kelantan sejak dua tahun lalu,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2011, Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-1V, petang semalam.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Che Abdullah berkata, dianggarkan lebih 40,000 pengunjung mengunjungi Hari Peladang sejak diadakan pada 21 September lalu, berlaku pertambahan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, program tahunan berkenaan turut mendapat kerjasama agensi-agensi kerajaan Persekutuan.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohammad dan wakil-wakil rakyat serta pegawai kerajaan.


Pakatan bentang Belanjawan Sejahtera esok | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Pakatan Rakyat akan melancarkan Belanjawan 2012 versinya dengan nama Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 esok.

Belanjawan itu akan dibentangkan di Bilik Taklimat, Aras 2, Bangunan Utama, Parlimen Malaysia mulai jam 1 tengahari esok.

Antara yang akan menghadiri majlis pelancaran ini ialah YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan para Pimpinan Kanan Pakatan Rakyat.


PAS Kelantan ucap terima kasih kepada Abim
Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Okt: PAS Kelantan menyambut baik serta mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Abim yang menyokong perlaksanaan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadhli Hassan mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Abim semalam.

Mohamad Raimi Abdul Rahim menyatakan bahawa hasil dari wacana Hudud, Abim membuat rumusan bahawa undang-undang jenayah Islam itu wajar malah sesuai dilaksanakan di Malaysia.

"Terbukti bahawa PAS tidak keseorangan dalam memperjuangkan hudud ini. Ianya menjadi tanggung jawab semua umat Islam. Malah salah seorang ahli panel wacana tersebut, Dr Abdul Halim al-Muhammady juga telah menyimpulkan bahawa hudud adalah satu tuntutan syariat dan akidah dalam Islam," katanya.

"Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi NGO Islam dan mana-mana individu tampil menyokong perlaksanaan hudud ini," kata Fadhli.

Sebagaimana telah ditegaskan Menteri Besar Kelantan, perlaksanaan hukuman jenayah Islam ini hanya dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dengan itu, katanya, secara langsung orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang ini. Justeru itu tidak ada sebab untuk orang bukan Islam menentang perlaksanaannya.


RUU Kg Baru: PAS anjur Konvensyen Kota 2011 | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Seluruh penduduk di negara ini diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sandiwara Umno yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru (RUU PPKB) daripada dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan bermula hari ini.

Sebaliknya, setelah menarik rang undang-undang itu daripada dibentangkan pagi tadi, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membentangkan pula RUU PPKB yang baru petang ini.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, penarikan rang undang-undang itu daripada dibentangkan di Dewan Rakyat dibuat oleh pihak Umno secara tiba-tiba, pada hal sebelum ini pihak Umno sendiri telah mengakui mendapat sokongan majoriti penduduk Kampung Baru untuk dibentangkan rang undang-undang tersebut.

Menurut beliau, realiti sebenarnya, penarikan rang undang-undang itu daripada dibentangkan dibuat setelah mendapat bantahan keras penduduk, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, namun pada persidangan Dewan Rakyat petang ini, setelah mengumumkan penarikan RUU PPKB yang lama daripada dibentangkan pagi tadi, tiba-tiba Datuk Raja Nong Chik membentangkan pula RUU PPKB yang baru yang dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk Kampung Baru terlebih dahulu.

"Dengan itu, jelas tiada jaminan aset penting orang Melayu di segitiga emas ini akan kekal jika BN terus memerintah negara," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Katanya, PAS Wilayah Persekutuan juga memberi amaran kepada Datuk Raja Nong Cik selaku menteri bertanggungjawab bahawa isu Kampung Baru bukan sekadar akan membenamkan Umno di Titiwangsa, tetapi seluruh negara akan memberikan impak yang besar dengan penolakan terhadap BN khususnya di kawasan-kawasan Melayu yang ditandingi Umno.


Konvensyen Kota 2011


Rentetan daripada beberapa isu yang berlaku, menurut beliau lagi, PAS akan menganjurkan Konvensyen Khas berkaitan Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota 2011) pada 29 Oktober ini.

Konvensyen tersebut diadakan bagi membincangkan nasib dan masa depan warga Kuala Lumpur khususnya penduduk Kampung Baru, Kampung-Kampung tradisi dan penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berdepan dengan nasib malang di bawah pemerintahan BN.

Tujuan konvensyen itu diadakan, jelasnya, untuk merumuskan permasalahan yang berlaku dan menggerakkan usaha bersepadu mempertahan dan mengembalikan hak rakyat di ibu kota sebagaimana yang sepatutnya diterima.

"Kita menjemput semua pihak untuk menyertai Konvensyen ini yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada tarikh tersebut bermula pukul 9 pagi hingga petang," katanya.

Kepada orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang pertanyaan berhubung penyertaan bagi program itu, katanya, bolehlah menghubungan Hafiz menerusi telefon 017-3712598.

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak Umno untuk terus mempermainkan rakyat, tegas beliau, tidak boleh dibiarkan kerana ia telah berlaku sekian lama walaupun rakyat terus menanggung kerugian.

"PAS dan Pakatan Rakyat pasti akan terus melakukan apa sahaja tindakan untuk kepentingan rakyat dan orang ramai telah pun dapat melihat dengan jelas tindakan PAS dan Pakatan Rakyat berbanding Umno khususnya dalam hal ini," ujar beliau.


PAS kesal


Sementara itu, Harakahdaily hari ini melaporkan, PAS kesal dengan tindakan Datuk Raja Nong Chik membentangkan RUU PPKB yang baru tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk kampung terlebih dahulu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, meskipun pihaknya menyambut baik penarikan RUU PPKB yang lama itu, namun tetap kecewa dengan pembentangan RUU PPKB baru yang disifatkan sebagai membelakangkan pandangan penduduk Kampung Baru.

"Walaupun Rang Undang-Undang yang lama ini dimansuhkan pagi tadi tapi tetap menggambarkan sikap kerajaan yang tak mengambil kira pandangan penduduk apabila membentangkan Rang Undang-Undang baru.

"Tak sewajarnya Rang Undang-Undang ini dimasukkan tanpa menteri memanggil sekretariat bagi mendraf Rang Undang-Undang ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar seperti yang dilaporkan Harakahdaily hari ini mahu wakil penduduk Kampung Baru, khususnya Lembaga Pentadbiran Kg Baru dipanggil untuk membincangkan RUU yang baru itu.

"Kerajaan seharusnya sebelum membentangkan Rang Undang-Undang ini, seharusnya ia dirujuk kepada penduduk Kg Baru sebab ia khusus kepada penduduk Kg Baru.

"Kalau terus bentang di Parlimen yang akan bahas bukan orang Kg Baru, mesti tak dapat gambaran sebenar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.


Apa kata kita bersatu untuk syariat Islam
Nazimuddin Abdul Basi

Pertamanya, saya tidak tahu dimanakah kesudahannya hasrat ini. Walaupun begitu, saya lontarkan sahaja ia dikesempatan ini dengan harapan sekiranya didapati baik, ceduklah ia dan panjangkanlah ia. Sekiranya tidak, tinggalkanlah sahaja.

Berikut adalah pemerhatian dan pandangan saya:

Sudah sekian lama kita hidup bersengketa disebabkan fahaman politik yang berbeza. Kelihatannya, kita lebih suka memilih untuk bersengketa kerana mahu menegakkan fahaman dan pendirian masing-masing tanpa mengambil kira saranan Al Quran dan Hadith Nabi SAW menyeru umatnya bersatu diatas tali Yang Maha Kuasa. Apapun yang menjadi pendirian kita, adakah betul dan bijak untuk ia dijadikan sebab untuk kita terus bersengketa sehingga tidak nampak kesudahannya? Adakah kita masih ingin mengungkit kisah lama sebagai alasan untuk tidak bersama? Dimanakah jalan tengahnya? Adakah kita benar-benar berusaha mencarinya?

Dewasa ini, isu Hudud timbul semula. Gegak gempita bumi Malaysia ini keseluhurannya. Kita mungkin boleh berbeza jika ianya melibatkan hal ehwal kita sebagai manusia didunia tetapi adakah kita tidak dapat bersama dalam hal suruh agama kita? Kita boleh memilih angin badai melanda dan sindiran pedas berlada untuk menghentam lawan disebelah sana dalam menegakkan pendirian dan kepentingan kita, akan tetapi kita juga boleh memilih untuk mencari angin yang sepoi-sepoi bahasa dan kata-kata yang menyejukkan jiwa.

Walaupun isu Hudud ini nampaknya seakan menyerlahkan keretakkan sedia ada, tetapi kita juga boleh melihat ianya sebagai peluang untuk merapatkan jurang perbezaan diantara kita. Apa kata jika PAS dan UMNO bersatu dalam hal Hudud ini? Biarkan sahaja DAP dan MCA yang menggertak kita untuk keluar Pakatan dan Barisan, keluar sungguh kali ini, sekiranya itulah yang mereka mahukan. Mereka ini bijak berstrategi dan pandai meminta serta menggertak kena pada masanya. Kita pula terlalu berlembut, bertolak ansur lalu tunduk sahaja kepada kehendak mereka akhirnya. Kepentingan puak mereka sahaja yang akan untung dihujung cerita. Tiada ketegasan pada kita umat Islam inilah yang membuatkan mereka menjadi semakin berani sedemikian rupa. Terhakis sedikit demi sedikit kepentingan kita dek kelicikan mereka menari gendang politik ditambah dengan persengketaan dan perpecahan sesama kita. Insaflah, segelintir puak Ultra-Kiasu yang berada ditampuk kuasa itu sebenarnya boleh bersatu dalam senyap, baik DAP atau MCA/GERAKAN, dan sesekali tidak akan jumpa noktah kepada nafsu serakah mereka.

Aliran dan corak ini amat berbahaya jika dibiar berterusan. Ditambah pula dengan pemikiran serta jati diri generasi baru dan mendatang umat Islam ini yang semakin longgar pegangan agama dan adab resam budaya serta semakin jauh daripada sejarah silamnya. Sesuatu harus dilakukan oleh kita hari ini sebagai benteng persediaan untuk anak cucu kita dimasa hadapan kelak. Untuk itu, apa kata jika sekali ini kita gertak balik mereka tanpa menyentuh hal ehwal dan hak asasi serta kepercayaan agama mereka. Kita gertak mereka tanpa berkata apa-apa. Hudud ini hal kita dan suruh agama kita, kenapa mereka pula yang nak terasa? Kita tunggu sahaja dan lihat apa yang mereka nak kata pula. Benarkah mereka akan bertindak seperti yang dikata?

Kita menyarankan agar UMNO dan PAS mesti senada dalam menangani isu Hudud ini. UMNO dan PAS tidak perlu bersatu didalam satu parti sekiranya ia menjadi susah dan mengundang perbahasan yang panjang. Cukup sekadar bersatu didalam hal menegakkan syariat Allah SWT ini sahaja. Tetapi sekiranya kita dapat bersatu dibawah satu panji, alangkah moleknya.

Akan tetapi yang pentingnya disini adalah keduanya mesti berjumpa dahulu kepada suatu titik pertemuan. Langkah pertama yang boleh diambil adalah mewujudkan suatu platform melibatkan para ulama dan ilmuan daripada PAS/UMNO dan saudara kita diluar negara untuk berbincang mengenai Hudud. Segala persoalan mengenai Hudud dihalusi dan dibincangkan didalam platform tersebut dengan mengambil kira keadaan dan teknologi semasa. Suruhanjaya DiRaja dibawah payung DYMM serta Majlis Raja-Raja adalah platform yang terbaik bagi membentuk pemuafakatan ini. Sekiranya ahli-ahli pemuafakatan bercanggah pandangan, persembahkan ia kepada DYMM serta Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan muktamad kerana mereka adalah Ketua Agama dan kita semua kena patuh dan taat apa-apa yang diputuskan oleh Baginda. Sekiranya disiplin ini tidak diikuti, kita khuatir, permuafakatan yang hendak diusahakan akan menjadi sia-sia kerana akan mengundang perdebatan yang panjang berjela sehingga menyebabkan apa yang telah diusahakan hancur berkecai akhirnya. Selain daripada itu, isu Hudud ini akan berterusan menjadi duri dalam daging kepada perpaduan yang kita semua idam-idamkan.

Setelah sesuatu perkara disepakati, kita sebarkan ia kepada rakyat secara berperingkat dan dari masa kesemasa. Libatkan rakyat didalam proses perbincangan Hudud tersebut bagi merungkai segala persoalan didalam akal dan hati mereka. Tidak secara langsung rakyat ditarbiyah dan mendapat ilmu serta kefahaman daripada sumber muafakat yang sama disamping sebagai persediaan mental buat mereka. Tidaklah nanti rakyat marhaen dibawah ini berhujjah tanpa ilmu dikedai kopi dimana pihak disini menganggap dirinya seolah ulama muktabar dan disatu pihak lain disana menjadi proffesor serba tahu lagaknya.

Kita sebagai rakyat telah memberikan mandat kepada ahli-ahli didalam permuafakatan tersebut dan DYMM sebagai Ketua Agama. Tugas dan tanggungjawab kita hanyalah patuh dan taat sahaja apa-apa yang diputuskan nanti tanpa banyak soal bicara. Biarkanlah mereka sahaja yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT kelak. Kepada rakan yang bukan Islam pula, kita percaya mereka akan sedar keindahan hukum Allah SWT tersebut memainkan peranannya nanti. Bukalah ruang dan berilah peluang untuk diri kita dan mereka yang menentang untuk mendapat kefahaman. Siapa lagi yang lebih tahu apa yang terbaik untuk manusia kalau tidak Sang Pencipta manusia itu sendiri.

Kedua belah pihak telah menyatakan sesuatu yang amat baik sebagai permulaan. Kita perlu sambut dan mengambil isi serta roh kenyataan yang telah dibuat tanpa prejudis dan menterjemahkannya didalam bentuk gerak strategi yang komprehensif. Sekiranya ada golongan yang menentang cadangan ini, kita boleh anggap bahawa mereka ini adalah golongan yang masih kurang kefahamannya atau mempunyai agenda kepentingan peribadi dan politik ataupun tidak perihatin kepada nasib anak cucu dikemudian hari.

Saya menyeru untuk kita sama-sama melupakan persengketaan lalu. Sampai bilakah kita mahu hidup bersengketa. Bak kata pepatah orang tua, ‘Buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih’. Renungkanlah juga kata-kata hikmat Malcolm X @ El-Hajj Malik El-Shabazz ini..

"There can be no black-white unity until there's first some black unity. We cannot think of uniting with others until we have first learned to unite amongst ourselves. We cannot think of being acceptable to others until we have first proven acceptable to ourselves

Insyaallah, kita tak perlu bersengketa lagi dan yakinlah dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Allah SWT akan membantu kita semua kerana kita semua berusaha membantu agama DIA. Wallahualam.

Ikhlas,

25 September 2011

Tiada ulasan: