KOTA BHARU, 20 Okt: Pelbagai pihak di negeri ini meluahkan rasa terkilan dan menganggap sebagai tidak bertamadun di atas tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari. “Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza. “Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang. ”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar). Beliau yang juga bekas pensyarah kanan di UIA meluahkan terkejut di atas tindakan tersebut, sepatutnya ia tidak berlaku dalam masa begitu pantas. Semalam Dr Abdul Aziz dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada UIA berkaitan pandangannya sebagai seorang ahli akademik terhadap titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini. Ahli akademik yang agak lantang itu juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran laporan polis dibuat pemimpin Umno termasuk Senator Ezam Mohd Noor. Difahamkan juga Dr Abdul Aziz digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Selain itu menurut laporan Malaysiakini beliau juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak. Prof Dr Abdul Aziz berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu. Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tindakan dilakukan UIA itu merupakan satu langkah yang tidak bertamadun. “Ini jauh sekali daripada merelaikan setiap masalah yang timbul. Sepatutnya hujah akademik dibalas dengan pandangan yang sama bagi menggambarkan kewibawaan ilmu seseorang,” ujarnya. Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, apa yang dilakukan UIA terhadap Dr Abdul Aziz sebagai strategi dan proses ke arah 'melenyapkan' golongan intelektual yang berani menyatakan kebenaran. Menurutnya tindakan agresif tanpa siasatan rapi itu menjelaskan kepada rakyat, Umno dan BN sekarang mahu kemandulan intelektual terus berlaku di negara ini.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kerajaan menggunakan konsep ‘bangunan hijau’ bagi semua bangunannya sebagai langkah penjimatan tenaga dan lebih mesra alam. Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, konsep bangunan hijau lebih memberikan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang berbanding menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius. "Adakah kementerian mempunyai hasrat ataupun bersunguh-sungguh bukan sahaja penjimatan penggunaan tenaga tanpa kos yang hanya melibatkan kawalan penghawa dingin tapi bersedia membawa konsep bangunan itu secara menyeluruh yang dinamakan bangunan hijau. "Kalau kita tak fikir secara serius konsep bangunan hijau ini, kita akan terus menanggung kos jangka panjang. "Bangunan hijau ini meliputi reka bentuk yang mesra cahaya semula jadi, dapat mengurangkan kos penyelenggaraan. "Kemudian sistem pengudaraan yang mengurangkan penyerapan haba seperti penggunaan sistem penebat suhu yang lebih tinggi selain sistem kitar semula yang cekap penggunaan air hujan untuk penyiraman dan lanskap pembngunan itu sendiri dengan pokok-pokok yang boleh kuranglan kepanasan dan menyedut karbon dioksida," katanya. Beliau mencadangkan demikian setelah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Noriah Kasnon memberitahu pihak kementerian belum mengeluarkan surat pekeliling dan garis panduan mengenai arahan megawal susu pendingin udara di pejabat-pejabat. Mujahid dalam soalan asalanya meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan adakah surat pekeliling sudah dikeluarkan bagi memastikan semua bangunan kerajaan menggunakan suhu penghawa dingin di bawah 24 celcius bagi menjimatkan tenaga. "Perkara ini kita dah mesyuarat dan sekarang sudah masuk Oktober. Saya rasa ini perlu disegerakan kerana lagi lama kita tangguh dan hanya buat keputusan sahaja saya rasa kita terpaksa tanggung kos tenaga yang semakin meningkat," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengarahkan Semua bangunan kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung pensyarah Fakulti Undang-Undangnya, Prof Dr Abdul Aziz Bari. Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau. "Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya. Sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi esok. Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menggesa agar penggantungan itu ditarik semula. Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’, UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat. “Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik,” katanya. Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. “Kami menjangkakan 500 mahasiswa hadir memberikan sokongan esok,” katanya. Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu. Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat. Dipercayai mengulas sokongan mahasiswa itu, Saifudin juga melalui Twitternya berkata, terpulang kepada mahasiswa tersebut kerana itu hak mereka. "Sekiranya rakyat dan pelajar mahu memberi sokongan kepada Aziz Bari, itu hak mereka," katanya.
Rizal Tahir | KOTA BHARU, 20 Okt: Hansard ucapan Tun Abdul Razak di Parlimen pada 12 Oktober 1975 mengenai hak Kelantan ke atas royalti petroleum akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, hansard tersebut sebagai bahan bukti Kelantan layak mendapat royalti 5 peratus. Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2012 pada persidangan Dun petang tadi katanya, dokumen tersebut akan diserah pada 10 November ini. “Almarhum Tun Razak memberitahu royalti minyak adalah menjadi hak kerajaan negeri yang mana perairannya terdapat telaga minyak. ”Kalau Tun Razak yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berkata demikian, kenapa anak sendiri sanggup mengkhianati pula,” katanya. Semalam Abdul Latif mencadangkan hansard ucapan Perdana Menteri kedua itu berhubung royalti minyak perlu diserahkan kepada Perdana Menteri sekarang. Husam berkata, apabila seorang hamba Allah itu meninggalkan dunia, tiga perkara ditinggalkan iaitu amalan sedekah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. ”Oleh itu kita berharap Perdana Menteri sekarang tergolong dalam kategori anak yang soleh,” ujarnya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah pula melahirkan rasa kesal terhadap Mat Yusof Abdul Ghani (BN-Nenggiri) yang mendakwa peruntukan sebanyak RM72 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai membazir. Menurutnya, sebagai seorang Adun yang berilmu tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian. ”Ini kerana pendidikan Islam adalah unsur penting bagi pembentukan akhlak seseorang. “Kerajaan negeri sanggup membuat pelaburan besar semata-mata untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan beramal soleh,” ujarnya. Beliau juga berkata, kerajaan negeri bukan bersikap sombong tidak mahu menyerahkan sekolah di kelolaan Yik kepada kerajaan pusat kerana sekolah yang pernah diserah kerajaan BN sebelum ini diubah kurikulumnya. “Sekolah Menengah Agama Falahiah, Naimlilbanat dan Wataniah sudah diubah kurikulumnya di mana subjek agama dikurangkan,” katanya.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 20 Okt: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas) menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri. Tuduhan tersebut dibuat oleh Datuk Zulkifli Noordin dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu. Menurut beliau, perkara itu dirujuk pada Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat. "Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat. "Tetapi dalam hudud PAS, itu tak dikatakan liwat. Maknanya suami boleh berbuat begitu dalam hudud PAS walaupun ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam," kata ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. Dengan itu, menurut beliau, enakmen tersebut bukanlah undang-undang Islam, tetapi hudud PAS yang dibuat oleh mereka yang kononnya tidak faham dengan undang-undang Islam tetapi hanya berlagak pandai untuk kepentingan politik. Sebelum itu, Zulkifli mengatakan Enakmen tersebut kononnya bercanggah dengan Islam khususnya mengenai umur akhil baligh, apabila perlaksaan hudud hanya akan dikenakan ke atas mereka yang berumur 18 tahun ke atas. Menurutnya, dengan hanya akan melaksanakan Enakmen tersebut terhadap mereka yang berumur 18 tahun ke atas bermaksud PAS telah mengubah hukum Islam yang mengatakan seseorang lelaki akhil baligh setelah bermimpi, manakala perempuan pula setelah datang haid. Katanya, dari segi umur, setelah berusia 15 tahun tidak juga bermimpi atau datang haid bermakna mereka telah dikira mumayyiz dan sampai umur serta boleh dilaksanakan undang-undang Islam terhadap mereka. "Tetapi dalam hudud PAS akan dilaksanakan setelah berumur 18 tahun. Ini jelas bercanggah dengan Islam yang mewajibkan dilaksanakan hudud setelah seseorang itu mumayyiz iaitu yang telah mencapai usia 15 tahun," katanya. Kesalahan-kesalahan seperti itu, katanya, sengaja dilakukan oleh para pemimpin PAS untuk membolehkan enakmen tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana akan ditolak oleh Umno bagi meraih kepentingan politik. Dakwaan-dakwaan tidak berasas beliau memaksa ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat terutama dari PAS dan PKR bangun menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai yang sengaja dicetuskan itu sehingga menimbulkan kekecohan. Beberapa orang ahli Parlimen dari BN pula termasuk dari Kinabatangan turut bangun mempertahanlkan Zulkifli, manakala Zulkifli sendiri enggan memberikan laluan kepada ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat menjelaskan kebenaran. Sikap mereka menyebabkan persidangan menjadi semakin kecoh sehingga tamat tempoh masa Zulkifli dibenarkan berucap. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika bangun mencelah menyatakan Zulkifli ternyata hanya berlagak pandai walaupun tidak tahu tentang undang-undang Islam sehingga tergamak membuat tuduhan seperti itu terhadap PAS. Menurut beliau, dalam Al-Quran tidak dinyatakan had umur akhil baligh, tetapi seseorang yang telah sampai umur dirujuk kepada mereka yang telah mumayih yang tidak hanya berumur 15 tahun. "Enakmen Hudud dan Qisas Terengganu 2002 itu dibuat oleh hakim-hakim yang pakar dalam undang-undang Islam. Itulah sebabnya enakmen itu dihadkan perlaksaaannya ke atas seseorang berusia 18 tahun ke atas kerana faktor kematangan. "Mereka yang membuat undang-undang itu cukup faham tentang mumayyiz, tetapi dia (Zulkifli) tentang mumayyiz pun tak tahu, jadi macam mana layak bercakap tentang undang-undang Islam," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Manakala mengenai tuduhan hudud PAS membenarkan suami meliwat isteri yang dibuat oleh Zulkifli itu pula, beliau mengatakan dakwaan itu ternyata tidak berasas dan bohong sama sekali. Katanya, enakmen tersebut tidak bermaksud demikian tetapi Zulkifli yang tidak memahaminya kerana kejahilannya sendiri. Sebaliknya yang dimaksudkan dengan kecuali isteri dalam enakmen itu, katanya, seseorang suami tidak sekali-kali boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana perbuatan itu adalah haram dalam Islam. Sehubungan itu, beliau mengusulkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee agar membawa tuduhan Zulkifli itu kepada peraturan 26 (1P) bagi membolehkan ahli Parlimen tersebut dihadapkan kepada Jawatankuasa Tata Tertib Dewan Rakyat. Bagaimanapun, usul beliau ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat atas alasan tidak perlu. Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika bangun mencelah mengatakan Zulkifli ternyata berniat jahat terhadap PAS dengan tuduhan-tuduhan tidak berasasnya itu. Manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof dari PKR dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga dari PKR turut bangun menyatakan kebenaran. Mereka turut mengutuk keras tindakan Zulkifli kerana tergamak membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas sedemikian terhadap PAS dan enakmen tersebut.
M Faqih | KOTA BHARU, 20 Okt: Kejayaan Kelantan mengagihkan beras secara percuma setiap bulan kepada penduduk miskin sejak Febuari lalu, rupa-rupanya mengundang rasa cemburu pemimpin Umno. Bukan setakat cemburu sebaliknya mengugutkan pula pembekal dan pengilang yang membekalkan beras kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada penduduk miskin. Kesan tindakan tersebut menyebabkan program pengagihan beras yang sepatutnya sudah diadakan bulan ini sedikit tergendala. Isu tersebut hari ini dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) sehingga mendapat respon ramai anggota Dewan di kalangan penyokong kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknolologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, gangguan yang dilakukan terhadap pembekal beras menyebabkan program pengagihan bulan ini sedikit tergendala. ”Sepatutnya penyampaiaan bantuan beras itu diadakan minggu pertama setiap bulan, namun bulan ini agak lewat kerana ada tekanan diterima pembekal beras. ”Perkara itu berlaku kemungkinan selepas pihak pengilang dan pemborong beras mengakui pasaran beras tempatan melonjak tinggi selepas skim al It’aam dilancar kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2012 pada persidangan Dun hari ini. Skim al It’aam dilancarkan pada Febuari lalu di mana pada peringkat awal seramai 4,500 penduduk miskin menerima bantuan beras 10 kg setiap bulan. Bagaimanapun bermula Julai lalu jumlah penerima di setiap Dun ditambah kepada 80 lagi menjadikan 180 orang sekarang. Che Abdullah berkata, pemimpin Umno mahu berpolitik terhadap bantuan kerajaan negeri kepada penduduk miskin. Menurutnya biar pun alasan mereka kononnya beras yang dibekalkan diberi subsidi kementerian, namun beras tersebut diagih kepada penduduk miskin. ”Kita bukan bagi beras percuma kepada orang Bangladesh atau Indonesia yang bekerja di sini. Kita beri beras percuma kepada penduduk tempatan yang miskin. ”Biar pun cuba diganggu kita tetap akan teruskan program ini kerana ternyata ia dapat membantu penduduk miskin,” ujarnya. Mohamad Mustafa (PAS-Demit) menyifatkan tindakan pemimpin Umno menekan pembekal beras kepada skim al It’aam seperti cuba meninggikan lagi tempat jatuh mereka selepas ini. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Insan, Abdul Fattah Mahmood berkata, sejak skim bantuan Az Ziwaaj diwujudkan kerajaan negeri awal tahun ini seramai 2344 pasangan pengantin di kalangan penduduk miskin mendapat manfaatnya. Katanya, bantuan tersebut boleh digunakan sebagai wang hantaran bagi meringankan bebanan keluarga miskin melangsungkan perkahwinan anak. Ketika menggulung perbahasan bajet 2012 bagi jawatankuasanya kata beliau tahun hadapan akan dilaksanakan program ’Jurus’ membabitkan golongan belia dan beliawanis di satu tempat mengikut batasan syariat. ”Melalui program itu membolehkan mereka berkenalan dan dapat merancang perkahwinan lebih awal bagi mengelakkan gejala kurang sihat,” ujarnya. Menurutnya juga kerajaan negeri bercadang mewujudkan Ladang Belia di dua lokasi yang sudah dikenal pasti iaitu di Hulu Sat membabitkan kawasan seluas 38 ekar dan Dabong, Kuala Krai (377 ekar). ”Ladang Belia di Hulu Sat akan ditanam tanaman segera tuai, manakala di Dabong akan dijadikan sebagai tapak ladang. Pada peringkat awal seramai 67 belia akan ditempatkan di Ladang Belia Dabong. ”Setiap belia yang dipilih dengan syarat yang ketat akan diberi lot seluas empat hingga enam ekar setiap seorang,” katanya. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan