Khamis, 6 Oktober 2011

MEMANG PERNAH DIJAJAH...ITU SEBAB UNDANG2 KITA MENGIKUT UNDANG2 PENJAJAH....YANG MEREKA TELAH GUBAL...

Bawa penyeksa tahanan ISA ke muka pengadilan | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Kerajaan BN digesa agar tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilaan dan hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah dan kuasa yang melampau.

Kerajaan juga digesa membentangkan usul mansuhkan ISA di Parlimen pada sesi kali ini atau sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihanraya dan memansuhkan terus undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinat Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA).

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam desakannya turut menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ISA dan EO dengan serta merta atau mendakwa mereka di mahkamah terbuka.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga mereka.

Menurut beliau, semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, kerajaan, menteri berkenaan dan polis amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.

"GMI menggesa kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti pengganas dan melakar pelan jangka masa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.

"Kerajaan juga digesa patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political RIghts (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (Cat)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

GMI, menurut beliau, turut menggesa pembangkang di Parlimen untuk mendesak kerajaan untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu dalam membentangkan usul mansuhkan ISA dan EO dan seterusnya memansuhkan akta tersebut.

Kesemua gesaan itu terkandung dalam memorandum GMI yang diserahkan oleh beliau kepada Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Memorandum tersebut turut diserahkan oleh beliau kepada Ketua Pembangkang yang diterima oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagi pihak Ketua Pembangkang.

Dalam memorandum tersebut, beliau antara lain berkata, GMI yang dianggotai lebih 80 NGO menyambut baik perkembangan dalam Kerajaan BN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA dan E0.

"Kami berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat serta usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA sendiri yang berterusan membela diri mereka, walaupun berdepan dengan cabaran dan ancaman kerajaan dan polis yang mempertahankan kezaliman ISA," katanya.


Forum belanjawan Pakatan malam ini | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 5 Okt: Pakatan Rakyat akan mendakan forum mengenai Bajet yang mereka bentangkan semalam untuk difahami oleh khalayak umum.

Forum ini akan diadakan di Hotel Quality, Shah Alam bermula jam 8 malam ini (5 Oktober).

Ahli penal forum yang bakal dipengerusikan oleh Nurul Izzah Anwar (anggota parlimen Lembah Pantai) adalah Dr Dzulkefly Ahmad (anggota parlimen Kuala Selangor - PAS), Liew Chin Tong (anggota parlimen Bukit Bendera - DAP) dan Rafizi Ramli (Pengarah Startegik PKR).

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan cadangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di bangunan Parlimen.

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Ekoran belanjawan itu, pelbagai komen diberikan oleh pihak BN terhadapnya termasuk dari bekas PM, Tun Dr Mahathir.

"(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja," kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kelapan 2011 hari ini.

"Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya)," katanya.

"Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah," kata Dr Mahathir yang pernah menjadi Menteri Kewangan.

Antara janji Pakatan dalam belanjawan itu adalah Perdana Menteri tidak lagi akan menjadi Menteri Kewangan.

Turut dijanjikan adalah akan memberikan lesen dan permit teksi terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Kerajaan Pakatan juga akan mengesyorkan gaji minima RM1,100.

Di samping itu, elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan akan diberikan sebagaimana yang dijanjikan dalam Buku Jingga sebelum ini.

Ekoran janji dan teguran itu, forum malam ini dijangka akan merungkai segala persoalan itu.


PAS lapor polis kain rentang provokasi | Print |
Muhammad Faeez

BATU GAJAH, 5 Okt: Kain rentang yang tertera ‘DAP ganti PAS’ didakwa bersifat provokatif telah digantung sekitar kawasan Batu Gajah semenjak beberapa hari lalu.

Ekoran perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu, Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak, Rosdy Abdullah telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah, semalam kerana bimbang perbuatan itu boleh menggugat keharmonian antara kaum.

Ketika ditemui selepas membuat laporan polis, Rosdy percaya perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini merupakan satu fitnah jahat yang berbaur hasutan dan berniat untuk memburukkan dan mengaibkan nama PAS.

“Saya berharap pihak berkuasa terutama polis membuat tindakan yang lebih tegas dan serius dalam menangani masalah ini,” katanya.

Pihak PAS mendapat maklumat daripada masyarakat sekitar Batu Gajah tentang banner provokasi itu dan meminta petugas PAS menurunkan dengan segera sebaik sahaja ianya dikesan.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Gajah turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab jangan sekali-kali bermain api perkauman kerana ia boleh mengundang bahaya.


Muhyiddin akui Malaysia pernah dijajah | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat hari ini mengakui Malaysia pernah dijajah.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan pendirian tersebut sekaligus menafikan pandangan Majlis Profesor Negara bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

"Sama ada negara kita dijajah atau tidak, jawapannya, ya.

"Saya mengambil pendirian begitu walaupun ada beberapa pihak yang memberikan pandangan bahawa kita tidak dijajah.

"Kalau kita kaji sejarah, kita tahu bahawa kita sambut kemerdekaan setiap tahun takkanlah sia-sia... tapi kerana kita tahu kita dijajah. 54 tahun kita menyambut perayaan ini mestilah ada signifikannya.

"Penasihat British pada waktu itu sebenarnya memberikan nasihat kepada Raja, dalam konteks ini nasihat yang diberi harus diikut.

"Ia tidak bebas dan terpaksa mengikut apa yang dinasihat," jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan tambahan oleh ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin dalam soalannya meminta Muhyidin menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu yang didakwa menimbulkan kekeliruan rakyat khususnya pelajar sekolah.

"Masyarakat hari ini keliru, anak-anak di sekolah diajar Malaysia merdeka pada 31 Ogos, (tapi) ada tokoh sejarah kata Malaysia tidak pernah dijajah.

"Bulan depan anak-anak ini akan menduduki peperiksaan SPM. Sekiranya soalan ini dilontarkan kepada anak-anak maka anak-anak akan celaru.

"Maka sekiranya anak-anak ini gagal maka tanggungjawab Umno untuk memberikan penjelasan," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Panel khas kaji semula sejarah

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mengulangi cadangannya sebelum ini agar ditubuhkan Panel Jawatankuasa Khas bagi membincangkan kembali sejarah negara.

Ini katanya selaras dengan cadangan yang diambil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin yang mahukan subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta yang hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya 'Historical Fact and Fiction'.

Syed Naquid mempersoalkan mungkin terdapat beberapa sejarah penting tidak dicatit sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

"Perbahasan mengenai sejarah ini menunjukkan kita ada masalah kepada ketepatan fakta sejarah.

"Apa salahnya kerajaan dalam isu sejarah ini termasuk isu Mat Indera dibuat satu panel khas untuk membuat penilaian menyeluruh," katanya.


Lepas gas: Najib, Hisham mesti bertanggungjawab | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan polis melepaskan tembakan ke perkarangan Hospital Tung Shin ketika Perhimpunan Bersih 2.0, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Mahmood Adam) kata, anggota polis yang didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam serangan itu akan dirujuk kepada lembaga disiplin PDRM (Polis Diraja Malaysia).

"Kalau anggota polis sahaja yang diambil tindakan, itu tidak adil. Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri juga mesti diambil tindakan kerana cara mereka menangani perhimpunan aman itulah yang menjadi punca utama kepada serangan itu," kata beliau.

Banyak gambar dan video yang tersiar di laman-laman web dan rangkaian sosial yang menunjukkan anggota polis anti-rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan hospital swasta itu.

Menurut Mahfuz, kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejak dari awal lagi menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan cara yang keterlaluan dan salah.

"Cara kerajaan Najib mengerah polis seolah-olah mahu berperang sedangkan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Kerajaan BN dilihat menggunakan psikologi perang kerana mereka sangat terdesak dan ketakutan menghadapi tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya adil dan bersih," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz yakin, dengan psikologi perang sedemikian dan cara keterlaluan kerajaan mengerahkan polis untuk menghadapi perhimpunan aman itu, ia mengakibatkan tertanamnya mentaliti hendak berperang pada sebahagian besar anggota polis yang dikerah menghadapi perhimpunan itu.

"Tidak hairanlah kalau perkarangan hospital pun ditembak dan sebab itulah Najib dan Hishammuddin tidak boleh cuci tangan dan mereka mesti diambil tindakan dan bukan sekadar anggota polis sahaja yang diambil tindakan," tegas beliau.

Mengulas kenyataan Hishammuddin bahawa kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 juta dan menugaskan 11,046 pegawai dan anggota polis bagi menghadapi perhimpunan aman Bersih 2.0, Mahfuz berkata perkara itu adalah bukti bahawa kerajaan bertindak secara tidak wajar untuk menghadapi perhimpunan itu.

"Perhimpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan aman, bukan rusuhan. Adakah negara-negara maju pernah berbelanja begitu besar dan mengerah sebegitu ramai polis untuk menghadapi perhimpunan aman?

"Itulah bukti mentaliti mundur kerajaan BN, Tak hairanlah penerimaan kepada Najib jatuh merudum selepas rakyat melihat bagaimana mentaliti tidak bertamadun itu menangani perhimpunan Bersih 2.0," katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tinjauan Merdeka Center yang menunjukkan sokongan terhadap Najib merosot teruk antara lain adalah akibat dari cara kerajaannya menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katanya, tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Astro Awani, Dr Mahathir berkata, imej kerajaan jadi buruk kerana tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa.


Hudud: Majlis Fatwa digesa bertindak | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera membendung pihak-pihak tertentu khususnya kenyataan pemimpin yang beragama Islam yang telah memberikan tafsiran tentang undang-undang hudud mengikut selera pemahaman masing-masing tanpa merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar.

Demikian ditegaskan Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din ketika mengulas keberanian pihak-pihak tertentu yang mengulas berkenaan hudud tanpa suluhan ilmu dan nasihat daripada para ulama Islam yang muktabar.

“Apa yang kita bimbangkan sekarang ialah keberanian pihak-pihak tertentu khususnya yang beragama Islam memberikan tafsiran yang tidak tepat berkenaan hudud, akhirnya orang-orang bukan Islam keliru dengan hukum hudud ini, ”kata beliau.

Beliau merujuk laporan Bernama yang menyatakan bahawa MCA menolak hukuman hudud kerana ianya bercanggah dengan kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Kita memahami mengapa orang bukan Islam menolak hudud bahkan penolakan mereka sebahagiannya mungkin berkaitan isu-isu teknikal seperti pertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi apa yang kita bimbang ialah ulasan dan pandangan yang diberikan oleh pemimpin yang beragama Islam itu sendiri, tanpa panduan yang jelas daripada ulamak yang muktabar, ianya dibimbangi akan memberikan kesan perspektif yang negatif di kalangan bukan Islam,” tambah beliau lagi.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai satu institusi yang disanjung oleh umat Islam di Malaysia hendaklah mengeluarkan satu kenyataan untuk memberikan penjelasan berkenaan dengan undang-undang hudud.

“Diharap dengan penjelasan ini akan memberikan ingatan kepada pihak-pihak tertentu agar berhati-hati sebelum memberikan sebarang ulasan berkenaan isu agama kecuali setelah mendapat bimbingan dan panduan daripada ulamak yang muktabar,” ujar beliau lagi.


Belanjawan Pakatan ke arah timbang tara berkesan | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Belanjawan alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat merupakan langkah cemerlang ke arah sistem timbang tara yang matang dan berkesan.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengucapkan tahniah di atas pembentangan belanjawan itu oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, persoalan gaji minimum di dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat sebanyak RM1,100 bukannya RM1,500 akan dijelaskan malam ini.

Penjelasan itu akan dibuat pada Forum Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012, di Quality Hotel, Shah Alam bermula jam 8.00 malam.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Rafizi Ramli.

Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan Anwar Ibrahim semalam juga meletakkan persoalan gaji yang diterima oleh rakyat.

Persoalan gaji yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada dibangkitkan agar ia lebih bermaruah dan bertepatan dengan keperuan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa.

Anwar menjelaskan rakyat bukannya menuntut keistimewaan mahupun kemewahan tetapi ia adalah merupakan satu konsep hak asasi menusia yang diterima pakai di seluruh dunia.

"Setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

"Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah.

"Memenuhi kehendak rakyat gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan, PR akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada dan gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan," jelasnya.

Anwar memberitahu pengenalan gaji minima ini dapat dimanafaatkan oleh tiga ratus ribu orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100 sebulan.

Dalam pada itu tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing.

"Selain gaji minima, PR juga akan melaksanakan pembayaran elaun pendidikan sebanyak lima ratus ringgit sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga.

"Sebanyak RM5.9 bilion diperuntukan bagi melaksanakan penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan gaji minima dan juga janji Buku Jingga," katanya lagi.

Jelas Anwar lagi, PR akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh serta kedudukan awam dalam proses kerajaan.

Peruntukan tambahan RM1.3 bilion diberikan untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

"Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri.

"PR juga akan melaksanakan skim 'Bina dan Jual' secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai," jelas beliau lagi.

Tambahnya, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintahan yang sedia ada bajet PR juga akan menganugerahkan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon.

"PR akan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi," tambahnya.


Himpunan Kesyukuran Hudud esok | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 5 Okt: Kerajaan Kelantan akan menganjurkan program Himpunan Kesyukuran pada Khamis, 6 Oktober (esok) sebagai menterjemahkan rasa syukur di atas penerimaan rakyat negeri itu terhadap perlaksanaan Kanun Syariah Jenayah ll (Hudud).

Pengerusi Jawatankuasa Induk program, Datuk Ahmad Yaacob (gambar), ketika ditemui memberitahu, program berkenaan juga dianjurkan untuk melahirkan rasa syukur memandangkan rakyat di negeri ini sudah memahami berhubung perkara itu.

Jelasnya, sempena program berkenaan, diadakan wacana berhubung hudud bertempat di Dewan Teratai, Kota Darulnaim yang bakal disertai oleh kakitangan awam di negeri itu.

“Tiga ahli penal kita undang khas untuk menjayakan hasrat ini, Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Datuk Daud Muhammad, pensyarah, Aziz Bhari dan bekas anggota exco kerajaan negeri, Datuk Muhammad Daud,” ujarnya.

Pada masa yang sama, menurutnya jamuan rakyat khusus untuk seluruh rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa agama serta fahaman politik juga diadakan pada hari yang sama bermula pukul 5.00 petang di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu seterusnya memberitahu, pada sebelah malam pula diadakan solat Maghrib berjemaah, kuliah Maghrib akan disampaikan oleh Anggota Dewan Negara, Datuk Dr Johari Mat.

“Tiga penceramah yang tidak asing lagi diundang khas, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat Kelantan hadir pada majlis berkenaan.

Belanjawan Pakatan peruntuk RM220 bilion | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:

1 - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

2 - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

3 - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

4 - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

5 - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Menjamin Kelangsungan Wang Negara

Bagi menjamin kelangsungan wang negara, Belanjawan 2012 Pakatan Rakayat akan mengambil pendekatan berikut:

a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan beberlanja berlebihan oleh perdana menteri

b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.

c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.

d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM1.2 bilion.

e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.

f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.

g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.

Membina keanjalan dan daya saing ekonomi

a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.

b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli laian untuk memecahkan monopoli.

c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.

d) Elauan penjagaan anak RM1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.

Kesejahteraan sekata dan seadilnya

a) Meminda Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan faktor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.

b) Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar

c) Peruntukan khas RM100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

Mengukuhkan arus reformasi rakyat

a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.

b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.

c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0

d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

e) Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama laporan Ketua Audit Negara.

f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

Tiada ulasan: