Khamis, 6 Oktober 2011

JAHIL SANGAT...MABUK KE...NAK ROSAK IMAN KE ...ALASAN MAJMUK...SEOLAH2 MENGATAKAN ALLAH TAK BIJAKSANA@BODOHLAH...CIPTA UNDANG TAK RELEVAN@TAK SESUAI LAGI...PANDAI LAGI MANUSIA DARI ALLAH...HINGGA CIPTAANYA LEBIH BAIK DAN SESUAI DARI ALLAH...ORANG BERFIKIR BEGINI NAK CARI NAHAS...NAK MASUK NERAKA ALLAH...

Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud
Sekretariat Bersama
Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit, juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif.

Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan kesedaran kewarganegaraan sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.

Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan.

Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam. Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya, meliputi segala bidang cakupannya.

Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat. Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.

Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na), menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil.

Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).

Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan. Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.

Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud) sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru, memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan, dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah). Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah. Berasaskan premis tersebut, bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak melaksanakan hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.

Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud.

Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah. Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk.

Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa. Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.

Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi. Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.

Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.

Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.

Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah).

Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at. Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru.

Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme, kompetensi dan integriti yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan, mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya.

Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang terkesan bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.

Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak: penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain.

Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.

Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah, tetapi mencakupi daerah yang lebih luas, meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah, adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan.

Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil kira konteks sosio-ekonominya.

Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan taraf hidup yang selayaknya (reasonable), wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.

Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku.

Gambaran tentang masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu.

Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, sementara hukuman hudud ke atas pencuri dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).

Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam, terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan. Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.

Islam tidak datang untuk mendera, tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!). Tanggapan negatif terhadap syari`at di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah. Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya (`aqidah dan syari`at Islam), sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing.

Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.

Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.

Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).


Usahkan royalti, hasil minyak tidak dimaklum
| Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 5 Okt: Kelantan bukan sahaja tidak pernah mendapat sebarang hasil royalti minyak dan gas yang telah dituntut oleh kerajaan negeri daripada Petronas sebelum ini, malah 32 telaga minyak dan gas dari Bumi dan Suria yang telah mengeluarkan hasil mutakhir ini juga turut disembunyikan.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa, berkata, gas dan minyak yang telah dikeluarkan dari 24 daripada 32 telaga masing-masing di Bumi dan Suria, tidak pernah dimaklumkan pada kerajaan negeri.

“Jangankan ingin membayar royalti pada kerajaan negeri yang dituntut sebelum ini, malah hasil pengeluaran mutakhir ini juga tidak pernah dimaklumkan.

“Tindakan ini amat tidak bermoral kerana telah mencuri hasil kekayaan kerajaan negeri,” ujarnya yang juga anggota exco kerajaan negeri selepas mesyuarat exco hari ini.

Beliau seterusnya berkata sebagaimana hasil yang telah diperolehi dari telaga-telaga minyak dan gas yang lain, dari Bumi (16) dan Suria (16) juga adalah milik kerajaan negeri.

Sambungnya, kedudukannya yang paling hampir dari Kelantan hanya memakan masa selama 35 minit melalui udara cukup membuktikan ianya berada dalam kawasan perairan Kelantan.

“Rakyat perlu mengetahui perkara ini dan rakyat juga perlu mengetahui Petronas dan kerajaan menafikan lagi hak mereka dan kerajaan negeri.

“Rakyat juga perlu tahu tindakan tidak bermoral kerajaan negeri masih berlaku sehingga kini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap bayaran yang serupa turut dibayar pada kerajaan negeri sebagaimana kerajaan Terengganu yang telah mendapat hasilnya sebanyak RM936 juta dari bayaran enam bulan pertama tahun ini.


Kalau untuk rakyat, sudah lama mansuh ISA | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan ISA didakwa bukan berasaskan kejujuran bagi kepentingan rakyat, tetapi untuk memancing undi bagi meraih sokongan orang ramai pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) berkata, sekiranya Kerajaan BN benar-benar bertindak untuk kepentingan rakyat, akta tersebut sudah lama dimansuhkan.

Menurut beliau, akta ISA dan lain-lain undang-undang yang bercanggah dengan prinsip keadilan sudah lama ditentang oleh PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa buah NGO di tanah air.

Malah, katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut menentang akta tersebut sejak tahun 2000 lalu kerana ia turut diakui sebagai akta zalim.

"Kenapa akta itu hanya baru nak dimansuhkan sekarang, pada hal sepatutnya dah lama dimansuhkan?" katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Disebabkan keadaan itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menegaskan, tindakan kerajaan berhubung perkara itu sememangnya boleh dipersoalkan kerana ia jelas bertujuan untuk kepentingan pihak parti memerintah.

Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini antara lain turut mempersoalkan sama ada Kerajaan BN benar-benar serius untuk melakukan perubahan untuk memansuhkan akta tersebut.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pada 3 Oktober 2010, dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri mengatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA dan EO hanya akan dilakukan pada bulan March 2012.

"Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan.

"Ini telah menimbulkan banyak persoalan di kalangan aktivis dan rakyat. Adakah Kerajaan Malaysia serius dalam melaksanakan perubahan ini," katanya ketika membacakan memorandum GMI yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, GMI agak terkejut apabila mengetahui kerajaan gagal untuk menjalankan kajian yang munasabah dan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum pengumuman itu dilakukan.

"Bukankah pengumuman dan janji pertama Perdana Menteri tentang ISA ini dilakukan pada 3 April 2009, lebih dua tahun yang lalu?" tegasnya.

GMI, katanya, berpendapat kelewatan yang diumumkan oleh kerajaan untuk memansuhkan ISA melemahkan proses pembaharuan yang dijanjikan dan ia sekadar gimik politik semata-mata untuk pilihan raya umum akan datang.


Hudud: Pemuda PAS jawab SIS
Dr Ghazali Hasbullah
Bagi pihak Pemuda PAS, kenyataan Zainah Anwar (dari Sister In Islam) dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 merupakan kekeliruan yang nyata dari seorang pemimpin NGO Islam yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam. Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman. Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih-sayang, agama yang halus dan lemah-lembut agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat.

Kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa masuk Islam nanti kena potong anunya (berkhatan). Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam? Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam. Kenapa kita tidak menjelaskan bahawa berkhatan itu adalah untuk mencegah dari kekotoran dan boleh membawa kepada penyakit kanser yang merbahaya, sebab itu Islam mahukan umatnya bersih dan bebas dari segala penyakit. Bukankah amalan berkhatan itu juga wujud sebelum Rasulullah SAW diutuskan membawa Islam lagi? Ia juga menjadi amalan biasa kepada kaum India yang menganut agama Hindu di Malaysia. Begitulah juga halnya dengan hukuman-hukuman yang terdapat dalam syariat Islam. Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima?

Menjelaskan tentang kebaikan akan hukum Islam secara akademik dengan sokongan statistik seharusnya menjadi keutamaan kerana Islam merupakan agama kesejahteraan. Sudah tentulah hukum-hakamnya untuk memelihara dan memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat. Selain itu Islam juga merupakan agama fitrah. Syariat dan hukum-hakamnya merupakan sesuatu yang selari dengan jiwa manusia. Sebagai contoh, apabila barang anda dicuri dengan jumlah yang besar (yang melayakkan hudud dilaksanakan), apakah hukuman yang anda harapkan dari pemerintah? Apakah anda berharap agar si pencuri itu hanya didenda dan dipenjara? Sudah tentu anda sangat gembira jika tangan si pencuri itu dipotong sahaja. Bagi seorang pemimpin masyarakat yang perihatin pula, apakah yang mereka harapkan akan hukuman yang patut diberikan kepada si pencuri itu? Sudah tentu potong tangan juga agar si pencuri itu tidak melakukannya lagi dan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut dengan perbuatan yang mengganggu keharmonian itu. Tapi perlu diingat, bukan semua perbuatan curi terpaksa dipotong tangannya. Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan.

Oleh itu, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah Anwar itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang, agama fitrah di mana segala hukum-hukumnya termasuk hukum jenayah (Hukum Hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat. Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah ia suatu keadilan yang tiada taranya dan membawa manfaat serta pengajaran yang besar kepada masyarakat seluruhnya.

Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu.

Negara

Kes Rogol Tahun 2002

Populasi Penduduk

Kes/Populasi x 1 juta

Kanada

24,350

33,465,300

727.62

Malaysia

1,431

27,730,000

51.60

Jerman

8,615

82,127,000

104.90

Arab Saudi

59

24,735,000

2.39 (LAKSANA HUDUD)

United Kingdom

13,395

61,186,000

218.92

Amerika

95,136

305,975,000

310.93

Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.

Justeru, seorang Islam yang mukalaf, malah beliau sedar bahawa kenyataannya itu merendah-rendahkan Islam seperti yang dilakukan oleh Zainah Anwar,
(“It’s okay to implement the hudud law because it doesn’t affect non-Muslims.” So it’s okay for Muslims to be brutalised? Ertinya : Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan non-muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?) boleh menjejaskan akidah. Oleh itu, Pemuda PAS menyeru agar Zainah Anwar kembali bertaubat. Malah kita juga bersedia untuk bermuzakarah secara terbuka atau tertutup jika beliau inginkan penjelasan tentang hukum Islam (Hukum Hudud).

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Permuda PAS Malaysia


Audit akui urusan kewangan Kelantan baik | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 5 Okt: Pentadbiran Kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS semakin ampuh, malah ianya turut mendapat pengakuan dari Jabatan Audit Negara sendiri khususnya berhubung sumber kewangan kerajaan negeri.

Bukan itu sahaja, empat agensi kerajaan negeri termasuk jabatan pula diiktiraf sebagai pengurusan kewangan negeri paling baik 2010, iaitu Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Majlis Daerah Gua Musang, Perbadanan Stadium dan PKINK.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, Jabatan Audit Negara menyifatkan kedudukan kewangan KNK 2010 begitu baik dan memuaskan.

Beliau berkata demikian, kepada media selepas mesyuarat exco di sini tengah hari tadi.

Menurutnya, pengakuan itu diperolehi berikutan beberapa kategori telah dicapai antaranya kumpulan wang yang disatukan meningkat sebanyak RM51.07 juta atau 52 peratus iaitu RM148.3 juta berbanding tahun 2009 sebanyak RM97.23juta.

“Manakala baki wang tunai pada tahun lalu pula meningkat 52.37 peratus, iaitu RM131.97 juta berbanding RM79.60 juta tahun 2009.

“Manakala 15 jabatan atau agensi kerajaan negeri yang lain pula dalam kategori baik, selain empat agensi yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya serahan Penyata Akaun 2011 juga dikategori memuaskan sehingga 31 Mei lalu di mana 18 penyata dari 22 yang telah diserahkan.

Husam seterusnya menambah, defisit belanjawan juga turut menurun berbanding tahun 2009 sebanyak RM19.46 juta berbanding 2010 sebanyak RM3.46 juta sahaja dengan peningkatan prestasi 2.2 peratus.


Jangan tunggu sampai hilang nyawa
Harakahdaily

SETIU, 5 Okt: Jambatan yang menyeberangi Sungai Setiu menghubungkan antara Kampung Banggol dan Kampung Che Mohid, Dun Permaisuri patah sehingga hampir runtuh kira-kira setahun yang lalu.

Sehingga hari ini belum ada tindakan pembaikian dilakukan oleh pihak-pihak berwajib walaupun kepentingannya kepada penduduk sekitar tidak dapat dinafikan lagi.

Tinjauan mendapati, walaupun keadaan kerosakannya sangat membimbangkan dari segi risiko keselamatan, masih ada pengguna yang 'buat-buat berani hati' menyemberanginya disebabkan kalau tanpa menggunakan jambatan ini, jalan alternatif pula terpaksa melalui jarak yang lebih jauh untuk menyempurnakan urusan seharian.

Penggunanya, tentu sekali rakyat kebanyakkan yang bekerja sebagai penoreh getah, pekebun kelapa sawit, petani, pesawah padi dan sebagainya.

Mungkin tidak ada kepentingan korporat dan kroni sehingga ia terus terbiar sebegini begitu lama.

“Kemalangan besar memang belum pernah berlaku, walaupun saya dimaklumkan ada dua beranak yang menunggang motosikal pernah terjatuh ke dalam sungai, tapi alhamdulillah sempat diselamatkan oleh orang ramai tanpa melibatkan kehilangan nyawa.

“Tapi apakah menjadi budaya kita untuk menunggu berlakunya kematian, baru mahu bertindak?” tanya Naib Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim.

Sepatutnya, kata beliau sebarang projek perlu dilihat keperluan dan keutamaan rakyat, bukannya keperluan kroni.

“Tentu sekali kalau jambatan ini menjadi laluan harian mana-mana 'orang besar' ianya tidak akan terbiar sebegini begitu lama,” katanya.

Soal peruntukan kewangan, beliau meyakini kerajaan negeri tidak mempunyai kesuntukan.

Katanya, dengan Bajet tahunan 2011 yang diluluskan sidang Dun Terengganu sebanyak 1.887 bilion ditambah lagi dengan Bajet tambahan RM360 juta menjadikan keseluruhannya berjumlah RM2.242 bilion, agak sukar untuk rakyat mempercayai peruntukan kewangan menjadi punca ketidakendahan pihak kerajaan terhadap masalah itu.


Ops Lalang: Dewan Rakyat kecoh | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencabar kerajaan khususnya ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman mendakwanya di mahkamah jika mendapati beliau mengeluarkan kenyataan menghasut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga enggan menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat bahawa Pemuda Umno menghasut orang Melayu menyertai himpunan sejuta umat Melayu pada tahun 1987.

Mahfuz membangkitkan perkara tersebut sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan menimbulkan kemarahan Tajuddin yang memintanya menarik balik dakwaan tersebut.

Beliau mendakwa Pemuda Umno ketika itu menghasut Orang Melayu menyertai himpunan tersebut dengan membawa senjata tajam untuk membasahkan darah Orang Cina dan membawa mancis untuk membakar rumah mereka.

Menurut Mahfuz, kejadian tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara ketika itu terpaksa menghalang himpunan tersebut dengan melakukan operasi lalang yang menyebabkan beliau dan beberapa yang lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Operasi Lalang tahun 1987 yang menyebabkan ramai yang menjadi mangsa ISA termasuk saya sendiri dan beberapa orang yang ada dalam Parlimen hari ini, ekoran ketegangan kaum yang berpunca daripada kenyataan Najib mewakili Pemuda Umno dan Lim Kim Sai mewakili MCA.

"Berlaku cabar mencabar hingga kepada peringkat nak mengadakan perhimpunan sejuta umat melayu, dibuat road show dengan membuat kenyataan hasut Orang Melayu hadir perhimpunan dan bawa senjata tajam untuk basahkan darah Orang Cina dan bawa mancis api untuk bakar rumah orang cina," katanya.

Tajuddin terus bangun meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut namun ditegur oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan menyuruhnya duduk.

Ekoran itu juga Tajudin yang kecewa dengan tindakan Speaker, keluar meninggalkan dewan.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz sekali lagi menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu kerana mempunyai bukti.

"Saya tidak menarik balik kenyataan saya dalam dewan tadi, sebaliknya kalau itu dianggap kenyataan menghasut boleh heret dan dakwa saya di mahkamah.

"Saya hanya menyebut sejarah bagaimana isu salah guna kuasa apabila Menteri Dalam Negeri diberi kuasa dan menyalahgunakan kuasanya," katanya yang pernah menjadi Ketua Pemuda PAS sebelum ini.


Bukan Islam makin fahami hukum hudud | Print |
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 5 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan melahirkan rasa kesal kenyataan pemimpin Umno dan pihak tertentu cuba menakutkan masyarakat bukan Islam terhadap hukum hudud.

Ketuanya, Lim Guan Seng berkata, isu hudud sengaja dibangkitkan mereka semata-mata bagi menimbulkan kekalutan politik terutamanya di Kelantan.

Katanya, biar pun pelbagai usaha dilakukan bagi memburukkan hudud, namun orang ramai terutamanya masyarakat bukan Islam semakin faham.

”Pada pandangan kami mereka sengaja mengungkitkan isu tersebut sedangkan sudah 18 tahun rakyat Kelantan diberi penerangan mengenai hudud,” katanya di sini.

Menurutnya juga DHPP Kelantan mengambil sikap proaktif mengadakan taklimat dan program-program penjelasan berkaitan hukum Hudud kepada masyarakat bukan Islam.

“Kami juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PAS dan mana-mana NGO bagi menjelaskan isu ini kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka tidak mudah dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab,” ujar beliau


Geran tanah: Jangan bagi madu, curah tuba | Print |
www.drazmanibrahim.com

Merujuk kepada laporan BERNAMA yang menyatakan Kerajaan Negeri Terengganu telah mengagihkan 158 geran tanah kediaman dan tanah pertanian di dun Batu Rakit kepada penduduk semalam.

Menteri Besar dipetik sebagai berkata, pembahagian lot-lot kediaman dan tanah pertanian itu adalah sebagai merakyatkan pentadbiran dan mendemokrasikan pembahagian tanah kepada rakyat.

Diberitakan bahawa daripada 158 lot tanah berkenaan, 114 adalah untuk lot tapak rumah manakala selebihnya untuk tanah pertanian.

Untuk berlaku adil, kita perlu berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said dengan keperluan rakyat walaupun tindakan yang diambil adalah sekadar ulangan apa yang pernah dilakukan di zaman pemerintahan PAS dahulu.

Apakah ini langkah terdesak pemulihan imej menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, atau memang kerana keikhlasan kerajaan untuk merealisasikan slogan merakyatkan pentadbiran? Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya.

Penilaian secara luarannya, memang boleh dipersoalkan. Kenapa program yang diadakan di Dewan Sivik, Maras itu disekalikan dengan penyerahan e-book kepada 454 murid yang tentunya mewajibkan kehadiran ibu-bapa dan guru-guru dan kenapa pula bendera Umno memenuhi kawasan program?

Penyampaian geran tanah adalah urusan kerajaan dan bukannya Umno, apatah lagi penyerahan e-book!

Tiada siapa pun yang menafikan keperluan rakyat kepada kediaman dan sebidang tanah pertanian untuk bercucuk tanam mencari rezeki. Atas keperluan inilah, Kerajaan pimpinan PAS Terengganu dahulu walaupun dalam usia singkat telah mengambil langkah bijak mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian dalam bentuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada rakyat yang berhak.

Agenda yang menjadi antara fokus utama Kerajaan Terengganu pimpinan PAS antara tahun 1999 – 2004 telah menyelesaikan agihan kira-kira 60 ribu lot tanah RTB untuk diagihkan kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk pemberian Lesen menduduki Sementara (LMS) di seluruh negeri sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan. Langkah Kerajaan BN Terengganu ini juga secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sebelum ini.

Perlu dimaklumi bahawa usaha murni peninggalan Kerajaan PAS Terengganu itu bukan hanya telah dimusnahkan oleh Idris Jusoh, bahkan Ahmad Said sendiri, disebalik cuba menampilkan imej prihatin dan cakna rakyat, beliau sebenarnya turut terlibat. Perampasan lebih 60 lot tanah RTB Kubang Labi, Banggol DUN Permaisuri untuk diserahkan kepada Syarikat Blue Archipelago Berhad dengan taraf pajakan selama 30 bagi dimajukan dengan projek kolam udang berlaku di zaman beliau sebagai MB.

Andainya pengagihan geran sebagai bukti kerajaan pimpinan Ahmad Said memang serius melaksanakan slogan merakyatkan pentadbiran, ianya perlu juga disertai dengan tindakan pembetulan kesilapan kerajaan terdahulu dan pengembalian semula hak rakyat yang dirampas. Tidak betul kalau MB bersikap sebelah tangan menghulurkan madu, sebelah lagi mencurahkan tuba.

Kalau sekadar tindakan untuk cuba memulihkan imej dengan menyalahgunakan program kerajaan, bermodalkan lagak prihatin dengan keperluan rakyat menjelang disaat hampirnya PRU 13, tentu ianya tak lebih dari sekadar ulangan gimik politik yang tak berkesudahan.


Perantau di Johor 9 Okt
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Setiausaha Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Suhaimi Embong berkata, Perantau akan meneruskan siri program makan nasi dagang dan bertemu serta beramah mesra dengan anak Terengganu di perantauan di seluruh negara.

Program akan datang ini adalah di Pasir Gudang, Johor pada hari Ahad, 9 Oktober jam 4.30 petang hingga 6.30 petang.

Katanya, kali ini Johor pula dipilih sebagai negeri kedua yang akan dilawati oleh Perantau untuk program jelajah seluruh negara ini untuk beramah mesra dan berdialog serta mendengar pandangan balas berhubung dengan hasrat PAS Ganti Umno di Terengganu.

Ini, katanya kerana Johor dipilih selepas Perak mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana Umno telah sebati dalam kehidupan masyarakat Johor.

Beliau berharap anak-anak Terengganu yang berada di negeri Johor dapat hadir memeriahkan majlis dan berdialog secara langsung dengan kepimpinan Perantau. Untuk mendapat maklumat lanjut, boleh hubungi Sdr Zul@Pok Zul (019-7550778) atau Sukre (013-4363159).

Turut serta dijemput sebagai rakan dialog adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang mewakili PAS Terengganu.

Tiada ulasan: