KUALA LUMPUR, 18 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didesak menubuhkan satu badan penyiasat atau jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian warganegara asing didakwa diberikan IC dengan mudah yang berlaku di Istana Dugang Country Resort, Sepang, Selangor pada 11 dan 12 Oktober lalu.
Bagi tujuan itu, semua pihak terbabit mesti dipanggil termasuk pengusaha Istana Dugang Country Resort, penganjur program, warga asing terbabit, pemandu bas, Pemuda PAS dan pihak polis.
Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam desakannya berkata, bagaimanapun pihaknya mahu satu jaminan bahawa semua pihak diberi kebebasan untuk memberikan keterangan kepada jawatankuasa bebas itu bukannya dipaksa menyatakan sesuatu yang tidak benar.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam jawatankuasa tersebut.
Menurut beliau, desakan agar ditubuhkan jawatankuasa tersebut dibuat berikutan kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada 12 Oktober lalu sehingga menimbulkan kecurigaan kepada Pemuda PAS berhubung beberapa perkara.
Katanya, kecurigaan pertama timbul ekoran kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa warga asing yang berkubu di resort itu bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi.
"Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dan resort itu. Malah warga asing itu hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas Pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Kecurigaan kedua, menurut beliau, tiada ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 KM pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing.
Katanya, ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini.
"Justeru, pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku itu," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.
Katanya, menurut saksi kejadian, terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa menggunakan mikrofon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan kepada warga asing itu dengan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.
"Menurut saksi kejadian, terdapat seorang wanita yang memakai jaket JPN telah menaiki bas dari hentian Rawat & Rehat (R&R) Kulai, Johor dan telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon, tetapi tidak bersama kumpulan warga asing itu semasa di resort tersebut.
Katanya, menurut saksi kejadian, arah perjalanan warga asing itu sering berubah-berubah, apabila mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya, kemudian ada ura-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor dan setelah sampai di Putrajaya, mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke resort itu.
"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR.
"Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini, bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan JPN," tegasnya.
Menteri Dalam Negeri juga, katanya, tidak mengetahui tujuan 240 orang warga asing itu berada di resort tersebut, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ.
"Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu," ujar beliau.
Harakahdaily | KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan sedang serius menimbangkan pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai melalui kerjasama dengan pihak swasta. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, ini berikutan sikap kerajaan Pusat yang dilihat tidak serius di dalam memenuhi keperluan rakyat Kelantan yang semakin mendesak termasuklah menafikan keperluan projek ini di dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10. “Justeru, cadangan membina lebuh raya sepanjang 63 kilometer ini sedang diteliti untuk dilaksanakan,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan negeri 2012 pada persidangan Dun Kelantan, sebentar tadi. Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa. Setakat ini, katanya kerajaan Kelantan sudah menerima banyak permohonan pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan projek itu. Beliau juga memberitahu, sebanyak RM29.65 juta telah disediakan kepada Jabatan Kerja Raya negeri untuk melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat berbanding tahun 2011 sejumlah RM12.0 juta. Mengenai usahawan, sebanyak RM2.50 juta diperuntukkan di bawah Program Usahawan Berdikari tahun ini berbanding RM2.0 juta tahun lepas yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan termasuk Program Galakan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Program Khas Siswazah, Skim Kerjaya Penganggur, Dana Belia Niaga dan Tabung Usahawan Wanita.
Abdul Aziz Mustafa | KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan. Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan. Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta. "Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara. "Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu. Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan. Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah. Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak. "Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata. Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu. "Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau. Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim. Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 18 Okt: Gerakan Kempen Mansuhkan ISA 2.0 dilancarkan di Parlimen hari ini sebagai tanda bermulanya desakan agar kontrak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dibatalkan kerana didakwa menimbulkan konflik dalam Felda. Kempen itu dilancarkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud dengan disaksikan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman dan wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai gerakan ini. Mengulas mengenai gerakan tersebut, Mazlan berkata ianya ditubuhkan kerana rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Isa sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang didakwa melanggar undang-undang kecil KPF. "Seseorang yang dilantik menjadi Pengerusi KPF mestilah seorang peneroka Felda atau anak peneroka Felda atau memegang jawatan tetap di dalam Felda. Tapi Isa hanya dilantik secara kontrak," jelas beliau pada sidang media sempena pelancaran gerakan tersebut di lobi Parlimen. Beliau juga mendakwa Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF bagi memudahkan usaha menyenaraikan Felda Holding Ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). "Warga Felda sebenarnya berasa terancam dengan penyenaraian ini kerana ekuiti saham mereka akan terjejas sebaliknya syarikat-syarikat besar yang menagut keuntungan," katanya. Sebelum itu, Mazlan mengetuai sekumpulan pemegang saham KPF ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia menyerahkan surat bantahan mengenai pelantikan Isa dan menuntut perbicaraan dilakukan tribunal mengenai perkara membabitkan kepentingan warga Felda ini. "Kita dimaklumkan tadi, Suruhanjaya Koperasi akan bersidang dalam masa terdekat melibatkan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan bagi menyiasat perkara ini," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat. Mazlan turut mencabar Isa membuktikan warga Felda menyokong pelantikannya seperti yang diperkatakan dalam wawancara dengan sebuah stesen televisyen minggu lalu. "Isa kata hanya segelintir menolak penyenaraian itu dan hanya segelintir yang tidak bersetuju dia sebagai Pengerusi KPF. Saya cabarkan Isa buktikan lebih kurang 23,000 kakitangan Felda, siapa yang bersetuju dengannya," katanya sambil menambah pelantikan Isa itu menimbulkan pertembungan di antara beliau dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab. Sehubungan itu, Mazlan berkata gerakan itu akan memulakan kempen mengumpul tandantangan warga Felda di setiap negeri dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum persidangan Dewan Rakyat berakhir. "Warga Felda akan turun padang dan berusaha habis-habisan menyingkirkan Isa dan sebelum sidang berakhir, kami akan serahkan tandangan yang dikumpul kepada Perdana Menteri supaya beliau mendengar suara hati warga Felda," katanya. Selain Anak, antara NGO lain yang menyertai gerakan ini ialah Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) dan Waris.
Mohd Nor Yahya | KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus untuk kali kedua dalam tahun ini yang akan dibayar kepada penjawat awam negeri pada Disember ini. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bonus yang diberikan tersebut adalah selari dengan kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pada pembentangan bajet 2012 baru-baru ini iaitu separuh gaji atau minima RM500 bagi semua penjawat awam. "Alhamdulillah, sekalipun dikatakan orang kantung negeri Kelantan selama ini kempis, namun kita tetap mampu memberikan penghargaan dalam bentuk bonus kepada kakitangan," ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini. Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa. Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menghargai jasa kakitangan di sektor awam dan pentadbiran dan kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan kakitangannya diambil berat. "Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada jentera pentadbiran negeri kerana pada pertengahan tahun 2011 boleh dikatakan semua jabatan telah mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan pada setiap pagi dan diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang masa," katanya lagi. Katanya, belanjawan yang bertemakan 'Kesejahteraan Bersama Keberkatan' itu, kerajaan berhasrat untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Husam berkata, bajet itu menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam serta pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta mereka yang memerlukan.
Berasaskan tema tersebut, ujarnya bajet negeri terus berpaksikan kepada strategi berikut iaitu memastikan hasil tunggakan keraajan negeri dapat dipungut dengan memantapkan jentera kutipan hasil, memberi fokus kepada aspek pembangunan negeri serta mengurangkan ketidakseimbangan sosio ekonomi terutamanya memastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar.
Begitu juga, ujarnya dengan memastikan perbelanjaan berhemah sepanjang masa, memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani dalam kerangka pembangunan insan yang komprohensif, memastikan kemudahan infrastruktur diselenggara dengan baik dan mewujudkan urustadbir yang baik dengan berlandaskan ubudiyah, masuliyyah dan itqan.
"Bagi merialisasikan tema bajet ini, anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2012 berjumlah RM513.49 juta berbanding RM464.13 juta dalam tahun 2011," ujar beliau.
Sementara itu, katanya anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2012 ialah RM430.27 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM88.49 juta, hasil bukan cukai RM196.24 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM145.54 juta.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 juta atau 5 peratus berbanding dengan anggaran hasil 2011.
Menurut Husam lagi, peningkata hasil itu adalah berpunca dari beberapa penyemakan semula hasi yang dibuat oleh jabatan dan hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM109.46 juta atau 25.44 peratus dari keseluruhan jumlah hasil.
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 18 Okt: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu pihaknya akan menghormati siapa juga calon yang diletakkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya nanti di Pulau Pinang. Beliau pada sidang media di parlimen hari ini, turut bersimpati dengan apa yang dialami oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dikecam agar melepaskan jawatan kerana reputasi parti tersebut di Pulau Pinang amat teruk pada pilihan raya umum 2008 yang lepas. "Saya bersimpati dengan apa yang dialami oleh Tsu Koon sekarang ini dan jelas kita lihat di media-media milik Umno wujud kempen untuk menjatuhkan beliau. "Kita tahu sekarang ini semua perancangan dikawal oleh Umno termasuklah siapa yang akan menjadi Ketua Menteri," jelasnya yang juga ahli Parlimen Bagan. Tambahnya lagi, beliau tidak mahu dijadikan sebagai buat catur dalam kempen menjatuhkan Tsu Koon. "Saya tidak mahu dijadikan buah catur dalam kempen tersebut, apa yang saya nyatakan jelas simpati serta hormat pihak lawan. "Sekarang Gerakan sudah mula menjadi pak turut kepada Umno, sebab itulah Umno melalui media mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Tsu Koon jatuh," sambungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, siapa jua mengetuai Gerakan nanti tetap diterima DAP negeri dan persiapan untuk pilihan raya sudah dibuat untuk melawan siapa calon pilihan BN bagi memastikan Pulau Pinang tetap milik Pakatan Rakyat.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kerajaan semalam memaklumkan projek loji jana kuasa IPP berkapasiti 1000MW di Tanjung Bin bukan diberikan secara tender terbuka, tetapi secara 'tender terhad' kepada Tanjung Bin Power (TBP) dan Jimah Energy Ventures (JEV).
Alasan 'penganugerahan' secara tender terhad itu menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dibuat kerana ianya perlu disiapkan segera untuk operasi mulai tahun 2016.
Kerajaan juga memaklumkan kadar tarif serta tempoh konsesi juga belum dimuktamadkan walaupun tender tersebut telah di anugerahkan.
Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) ketika mempersoal jawapan itu berkata jika ianya mahu disiapkan segera, kenapa hanya dua syarikat sahaja dipanggil mengambil bahagian dalam "tender tertutup" itu.
"Saya tak faham kenapa projek yang disifatkan "perlu disiapkan segera" ini, hanya dua syarikat dipanggil," soalnya pada sidang media di parlimen hari ini.
Turut dipersoal, kenapa tender tersebut diberikan dalam keadaan kadar tarif dan tempoh konsesi tidak dimuktamadkan.
Menurutnya, tidak hairan jika tarif elektrik negara ini masih tinggi berbanding di negara jiran walaupun kerajaan membelanjakan wang yang besar untuk subsidi kepada IPP ini.
"Gas asli dijual kepada IPP Malaysia pada RM13.70 mmBtu, manakala di negara Thailand dijual RM23.10 mmBtu.
"Tetapi rakyat Malaysia perlu membayar RM157.20 bagi penggunaan 500kW sebulan berbanding RM129.50 perlu dibayar oleh rakyat di negara Tahiland," soalnya.
Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pada sidang media sama turut menyelar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kononnya mengamalkan tender terbuka dan telus.
Katanya, komitmen Najib itu tidak lebih dari retorik kerana tradisi lama BN itu terus berulang dan tidak menampakkan sebarang perubahan.
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaaan (KPKK) memberitahu tindakan tidak menjemput pengamal media alternatif dan juga media atas talian (online) pada Majlis Perundingan Media (MPM) pada 25 Julai yang lalu adalah kerana unsur fitnah yang diamalkan oleh media terbabit. Timbalan Menteri KPKK, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz menyatakan demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) mengenai bagaimana pihak kementerian melantik anggota-anggota MPM serta mengapakah tidak merangkumi media portal atas talian (online). Tambah Tian lagi, kebebasan media di negara ini masih lagi berada pada peringkat yang membimbangkan. "Melihat pada kedudukan kebebasan media, Malaysia berada pada kedudukan 143 dari 196 ia memperlihatkan media Malaysia belum bebas sepenuhnya. "Dalam mengembalikan kebebasan media kenapa perundingan tersebut hanya melibatkan media arus perdana sahaja sedangkan media alternatif tidak dijemput sekali," jelas Tian. Dalam pada itu KPKK juga memberitahu perbincangan yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu masih lagi diperingkat cadangan dan beberapa faktor perlu diambil kira kerana terdapat tentangan dari pengamal media arus perdana yang tidak mahu campur tangan kerajaan. | | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan