Sabtu, 22 Oktober 2011

BILA RAKYAT TAK BOLEH DITIPU...SEBAB RAKYAT DAH CERDIK....

Fakta lawan fakta, bukan hujah lawan gantung tugas | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Negara kita sekali lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Terbaru, katanya pelanggaran ‘demokrasi ilmu’ yang sungguh sadis, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hanya kerana pengaruh kontroversi yang dicetus oleh media.

Menurutnya, Dr Abdul Aziz bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau.

“Sungguhpun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataan beliau masih dalam disiplin ilmu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding ‘disiplin ampu’.

Katanya, ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut masih terbuka kepada perbahasan cendikiawan.

“Kaedah umum ‘persilatan ilmu’ di mana-mana universiti dalam dunia ini ialah ‘hujah lawan hujah’ atau ‘fakta lawan fakta’ bukan ‘hujah lawan maki hamun’ dan ‘fakta lawan gantung tugas’.

Menurutnya, malang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan menggantung tugas Prof Dr. Aziz Bari.

Katanya, patutlah universiti Malaysia belum ada yang tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia.

“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti Auku, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini.

“Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan,” ujarnya.


Sampai bila 'Hang Nadim' mahu terus dibunuh | Print |
Harakahdaily

PETALING JAYA, 22 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menilai tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap Prof. Dr. Abdul Aziz Bari beberapa hari lalu – meminta surat tunjuk sebab dan menggantung tugas beliau - sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini.

“Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya, kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Katanya, sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIAM sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat.

Beliau berkata, UIAM sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya.

Seharusnya, kata beliau kenyataan Dr Aziz itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama.

“Ia perlulah dihormati, dihargai dan dinilai sebagai pandangan profesional semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau menambah, andainya ada pandangan yang berbeza, sewajarnya ia dikemukakan juga mengikut adab akademik sepertimana lazimnya demi perkembangan dan penyuburan budaya ilmu secara sihat dan utuh.

Katanya, adalah jelas bahawa kenyataan yang beliau kemukakan itu tiada langsung berunsur penghinaan mahupun cubaan mempersoal, apatah lagi mencabar kedudukan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Apa yang nyata berlaku, ujarnya adalah reaksi beliau mengenainya itu telah diputar-belit dan disensasikan oleh kelompok media yang bersekongkol dengan Umno dan gerombolannya.

Hakikatnya, tambahnya sebagai warganegara Dr Aziz mempunyai hak asasi menyuarakan pandangan dan dilindungi perlembagaan.

“Ketegasan beliau telah menjadikan UIAM lebih dihormati dan dipandang tinggi,” katanya.

Justeru, katanya lagi tidak harus timbul prejudis melulu seolah-olah jenayah akademik besar telah dilakukan sehingga ‘menjejaskan kepentingan universiti’.

Apatah lagi, ujarnya Dr Aziz telahpun secara profesional memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak yang menjalankan siasatan dalam isu ini - polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM).

Malah, katanya Dr Aziz bersedia memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan manipulasi mana-mana pihak yang tidak berniat murni.

Justeru, tegasnya PKR dengan ini menggesa agar UIAM perlu lebih profesional dan berkeyakinan diri dalam menangi persoalan seperti ini di masa hadapan.

Katanya, keputusan menggantung tugas adalah amat menyedihkan.

“Merit beliau selaku pensyarah paling kanan, telah berkhidmat selama 22 tahun dan sekaligus berjaya melahirkan ramai graduan yang menjadi kebanggaan negara dalam bidang ini telah dipertikaikan dan dipandang rendah.

“Lebih membimbangkan, pembelajaran lebih 100 siswa-siswi peringkat ijazah sarjana muda hinggalah doktor falsafah yang sedang mengikuti pengajian bersama beliau pasti akan terjejas,” ujarnya lagi.

Oleh itu, katanya PKR menuntut agar pihak penguasa politik segera menghentikan campurtangan mereka terhadap UIAM di dalam isu ini.

Tambahnya, tindakan penggantungan tugas terhadap beliau hendaklah ditarik balik dan segera memohon maaf maaf tanpa syarat kepadanya.

“Sehingga bilakah amalan ‘membunuh Hang Nadim kerana kecerdikannya’ ini mahu diteruskan dalam arena politik negara ini?” soalnya.


Rang Murtad boleh disokong | Print |
Subky Latif

HUKUM terhadap orang murtad iaitu orang yang meninggalkan agama Islam dan orang Islam yang terkeluar dari agamanya ada dalam Islam dan Islam pernah menguatkuasakannya.

Justeru itu tiap-tiap negara Islam patut ada undang-undang itu dan tidaklah sempurna pentadbiran Islam sebuah negara Islam kira-kira tidak ada peruntukan melaksanakan hukum itu.

Tanah Melayu sebelum dijajah oleh kuasa barat – Portugis, Belanda dan Inggeris – ada peraturan itu. Perlembagaan Reid yang disediakan oleh British untuk kemerdekaan Tanah Melayu tidak memperuntukkannya, mungkin kerana bertaklid perlembagaan itu adalah untuk negara baru yang merdeka itu sedang murtad itu adalah terletak di bawah kuasa Raja-Raja.

Kerana undang-undang murtad itu adalah satu dari seribu dari ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW, maka menjadi kewajipan bagi PAS menyokongnya tidak kira dari mana datangnya.

Kecuali jika dipastikan rangnya datang dari iblis. Jika rang itu dari iblis, kita sokong maka sokongan itu bukan kerana ia peraturan yang dituntut Allah, tetapi ia dibuat atas suruhan iblis. Mengikut perintah iblis adalah kufur.

Presiden PAS Ustaz Haji Abdul Hadi Awang semasa menjadi Timbalan Presiden dulu pernah membentang usul persendirian di Parlimen bagi menguatkuasakan undang-undang murtad. Rang usul itu dirangka oleh Almarhum Haji Idris Othman, seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang pernah menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Pesuruhjaya Hisbah semasa PAS memerintah Terengganu tahun 2000.

Percubaan PAS itu tidak pernah diberi laluan oleh Parlimen. Rang usul itu dimasukkan dalam jadual agenda sidang Dewan Rakyat berkali-kali. Tetapi ia tidak pernah dapat dibentangkan.

Disebabkan peraturan itu tidak ada, maka ramailah orang Islam yang murtad. Sekitar 20 tahun hampir setiap hari harian perdana brbahasa Inggeris menyiarkan iklan notis penganut Islam murtad. Semua notis itu diluluskan oleh mahkamah dan tiada cara jabatan pendaftaran dapat mengingkari keputusan mahkamah itu sekali pengarah pendaftarannya adalah orang Islam.

Sudah acap PAS sejak pimpinan Haji Yusof Rawa membangkit isu murtad itu hinggalah rang usul menghalang murtad itu dikemukakan untuk dibahas di Parlimen, kerajaan BN tidak pernah melayan malah tidak ada sedikit sensitiviti pun dari anggota UMNO yang berjuta itu tertarik dengannya.

Hanya selepas gereja diserbu Jais kerana ada orang Islam hadir dalam jamuan makannya bersemarak sedikit rasa anti murtad itu. Mufti Perak Tan Sri Harussani yang pernah membangkit isu beribu orang Islam murtad satu masa dulu, menggesa supaya akta murtad diperkenalkan.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri ialah cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh sebelum ia dibentangkan.

Adalah betul cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh. Bukan sesuatu undang-undang itu terus dibuat begitu saja apabila ada cadangan mengenainya.

Bukan sekadar rang murtad, apa jua undang-undang yang hendak dibuat di Parlimen mestilah dibincang secara serius dan menyeluruh. Parlimen Britian misalnya kadang-kadang mengambil masa bertahun membincangkan sesuatu isu dengan orang ramai dan semua pihak sebelum ia dijadikan rang.

Tidaklah seperti hendak mendakwa Dato Harun Idris, Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Di bawah peraturan mana dia hendak didakwa kerana dikatakan rasuah, maka serta merta rang pindaan undang-undang dibentang dan diluluskan.

Atas isu murtad ini, orang Islam yang sah menentang hudud dan berkata itu dan ini tentang undang-undang itu boleh jadi murtad. Jika undang-undang itu ada, tiadalah lagi orang boleh berdalih dan mempersenda undang-undang hudud, satu dari seribu ajaran Islam PAS cuba perkenalkan.

Jika rang itu hendak diperkenalkan maka secara terbuka PAS bertanggungjawab menyokong. Jika ada perbezaan pendapat antara PAS dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka perbezaan itu dibenarkan. Bolehlah masing-masing membuat pendirian sendiri tanpa mempengaruhi muafakat yang sudah terjalin.

Seperti isu hudud, sekutu Pakatan Rakyat bersetuju tentang perbezaan pendapat. Tetapi muafakat Pakatan tidak terjejas kerana banyak lagi yang mereka kongsi bersama.

Cuma yang menjadi perhatian ialah reaksi kerajaan mahu hal murtad itu dibincang secara menyeluruh dulu, tetapi ia mungkin tidak akan dibincang. Mungkin ia sekadar jawapan kepada pertanyaan media.


Liwat isteri jenayah takzir
Dr Khairuddin Razali
Menurut al-Imam al-Syarbini iaitu seorang tokoh Mazhab Syafie: “Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” (Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.)

Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani iaitu salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’i al- Sana’i :

“dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” (Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, hlm 24). Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.

Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.

Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. (www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)

Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“ (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)

Seksyen 14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. (Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/ )

Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.

Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal? Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud. Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.

Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negatif kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir. Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir? Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al- Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.

Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof iaitu salah seorang tokoh mazhab Hanafi. Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.

Kesimpulannya, tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

Artikel di atas adalah respons kepada kejahilan sesetengah pihak tertentu terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas).


Isu Aziz Bari, bahana malapetaka ciptaan Umno | Print |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
Umno-Barisan Nasional harus diberi peringatan, bahawa mereka bukanlah tuan kepada negara Malaysia, yang sesukahati boleh menguasai dan mencorakkan semua keadaan demi survival politik Malaysia.

Kuasa yang dinikmati sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun, menjadikan Umno-BN alpa. Dengan rakusnya mereka 'mencabul kehormatan' insitusi Parlimen, kehakiman, polis dan sebagainya, sehingga majoriti rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap semua institusi ini.

Kerakusan mereka tidak terhenti di situ. Selepas semua agensi dan badan berkaitan kerajaan dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik Umno-BN, kini institusi Raja hendak dicorakkan di atas kehendak Umno.

Buktinya jelas. Ada dua perbezaan yang amat ketara di antara perilaku hodoh pemimpin Umno Terengganu yang membuat demonstrasi di hadapan Istana Terengganu, yang dengan jelas menggelarkan Sultan dengan istilah 'binatang', berbanding dengan satu kenyataan umum Profesor Dr Aziz Bari terhadap Sultan Selangor.

Aziz Bari tidak menghina Sultan Selangor. Beliau tidak menggelarnya binatang seperti yang dibuat Umno Terengganu. Sebagai pakar perlembagaan dan perundangan Islam, Aziz Bari hanya mencadangkan supaya Sultan Selangor mengambil tindakan selaras dengan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam negeri, iaitu mengikuti tatacara Islam dalam menangani kes DUMC. Itu sahaja.

Adakah kenyataan Aziz Bari itu suatu penghinaan terhadap Sultan? Mengapa beliau harus disiasat polis? Mengapa SKMM menyoal siasat beliau? Dan mengapa UIA bertindak keras sehingga menggantung Aziz Bari? Apa kesalahannya?

Mengapa Umno-BN terlalu jahat untuk mengenakan tindakan tegas terhadap Aziz Bari, sedangkan kenyataannya itu hanyalah bersifat umum dan langsung tidak menjejaskan kemuliaan Sultan Selangor.

Apa yang disuarakan Aziz Bari, jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno Terengganu. Kenapa Umno Terengganu, khususnya juak-juak Dato' Seri Idris Jusoh boleh diampunkan? Umno Terengganu dan seluruh kepimpinan Umno yang merestui tindakan 'membinatangkan' Sultan, adalah penderhaka yang amat jijik dan jahat.

Kita berasa amat kesal kerana ada segelintir golongan istana, yang seolah-olah memejamkan mata dengan kejahatan Umno menghina Raja, dan bersikap keras terhadap mana-mana pihak yang cintakan keadilan, hanya kerana mereka pro-Pakatan Rakyat.

Semua institusi yang dipergunakan Umno-BN harus sedar. Kedurjanaan mereka dengan mencipta malapetaka suatu persatu hanya kerana hendak mengikut agenda Umno, untuk menyelamatkan masa depan Umno, akan dihentikan rakyat.

Kuasa rakyat yang bangkit hari ini (21 Oktober) di UIA, hanyalah permulaan daripada kebangkitan yang lebih besar. Soalnya bukan hanya Aziz Bari semata-mata, bukan hanya pencabulan kebebasan akademik yang dipertahankan, tetapi ke arah sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Kiat harus memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa bersuara dan seterusnya kita berjuangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ciptaan Umno yang mengongkong golongan mahasiswa sebelum ini.

Mahasiswa adalah peneraju kepada perubahan dalam negara. Ayuh bangkit bersama Pakatan Rakyat! Kita perbetulkan sistem akademik dengan mengembalikan martabat universiti dalam negara, kita rebahkan Umno-BN, agar semua institusi dan agensi kerajaan dibebaskan daripada belengu kerakusan orang politik.

Mahasiswa bangkit, negara merdeka!

Memartabatkan kedudukan pembangkang | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Saya cenderung untuk melihat sisi positif senario politik negara pasca pilihan raya umum ke-12, yang menyaksikan penampilan barisan pembangkang yang lebih bertenaga, sehingga menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, dan penguasaan Pakatan Rakyat ke atas lima negeri.

Ya, satu titik perubahan sejarah (historical watershed) telah tercipta, lebih dikenali sebagai tsunami politik dan situasi siasah negara kita pasti tidak sama lagi selepas ini.

Kewujudan oposisi yang kuat dan berkesan, dengan jumlah wakil rakyat lebih ramai dan berketrampilan, termasuk di negeri yang dimenangi Pakatan (Umno-BN cuba belajar untuk menjadi pembangkang berkesan), merupakan fenomena menarik dalam sistem demokrasi.

Dalam demokrasi, pembangkang menjadi prasyarat terpenting untuk menghidupkan "sistem terbaik" bikinan manusia ini. Pemerintah bukan sahaja harus menghormati-meraikan suara dan pandangan berbeda, tetapi perlu memartabatkan kedudukan pembangkang.

Bagi pengkaji politik, kematangan perjalanan pilihan raya yang adil dan bebas pada sesebuah negara, antaranya ditunjukkan melalui peralihan kuasa yang stabil di antara parti-parti yang bertanding. Justeru, Malaysia yang masih diterajui BN sejak merdeka, dengan tekanan berterusan ke atas pembangkang, dilihat tidak mengamalkan demokrasi tulen.

Tulisan saya minggu lalu, yang menyimpulkan "rakyat untung bila oposisi kuat", mahu menekankan manfaat besar yang dinikmati sekiranya sistem dua parti dapat dirintis dan disuburkan. Mana-mana parti pemerintah akan sentiasa berasa diperhati dan dihakimi daripada dekat kerana pada bila-bila masa kedudukan mereka boleh diganti. Mereka tidak boleh lagi sewenang-wenangnya memperbodohkan rakyat atau menganggap diri dan kelompok sahaja yang betul dan benar.

Suara rakyat, yang dianggap gema keramat, kini sukar untuk diremehkan, apatah lagi undi yang diperolehi gabungan parti yang menang pun, seperti BN pada Mac 2008, hanya mewakili sekitar 51 peratus. Maknanya kerajaan hanya mewakili sebahagian rakyat. Justeru, sebarang pembentukan polisi awam, dasar-dasar utama atau rancangan penting kerajaan perlu melibatkan pelbagai sektor masyarakat, termasuk mengambil kira kritikan pembangkang.

Kewujudan masyarakat sivil yang ditonjolkan melalui penyertaan aktif badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan pendesak makin merancakkan lagi sistem demokrasi. Tambahan pula ruang awam untuk perdebatan isu-isu berkepentingan ramai diperluaskan dengan kemajuan menakjubkan ICT, yang memunculkan media baru dan kuasa siber. Saluran maklumat tidak lagi boleh dimonopoli.

Suara-suara sumbang seperti pernah dizahirkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, misalnya slogan "pembangkang sifar" hanya akan diketawakan generasi muda yang celik politik. Hujah bahawa negara tidak memerlukan pembangkang ataupun tohmahan oposisi hanya merencatkan pembangunan negara -- apatah lagi suara pembangkang yang dikaitkan dengan pelbagai istilah negatif seperti pengkhianat, tidak patriotik, antinasional, malah dituduh subversif -- sudah boleh dibenamkan dalam-dalam.

Hinggakan Dr Mahathir Mohamad sendiri, menjelang kempen PRU12, walaupun atas motif peribadi untuk memalukan Perdana Menteri ketika itu,Abdullah Ahmad Badawi, turut menegaskan bahawa barisan pembangkang perlu diperkasakan. Mahathir berkempen di seluruh negara menyerang Pak Lah; saya turut mengikutinya ke Taman Melewati, Petaling Jaya, Alor Setar dan Kota Bharu. Secara tidak langsung, Mahathir mahu bilangan oposisi lebih ramai dan suara mereka diperkuatkan. Dan pengundi menyambut seruan Mahathir itu dengan positif sekali, terutama masyarakat Tionghua, dalam PRU13.

Secara peribadi, saya tidak begitu bersetuju dengan tanggapan bahawa penyokong kerajaan (termasuk di dalam sidang Dun negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat) juga boleh memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif. Biarlah fungsi "membangkang" itu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh pembangkang. Usah merendahkan tugas mereka yang penting itu.

Prof Dr Aziz Bari pernah menyentuh soal ini: "Sebagai pengikut dan penyokong parti yang memerintah, penyokong kerajaan tidak akan mengemukakan soalan yang memalukan kerajaan. Mereka akan bermati-matian mempertahankan kerajaan hatta sampai ke tahap menegakkan benang basah.

"Dan mereka tertakluk kepada ketua whip; penyokong kerajaan akan bercakap dan mengundi mengikut telunjuk whip mereka. Dari perspektif rakyat, pembangkang adalah lebih baik kerana ia boleh mengkritik dasar-dasar itu habis-habisan dan mungkin boleh menggantikan dasar itu dengan dasar lain jika mereka dapat membentuk kerajaan. Mereka juga menggantikan kerajaan itu dengan cara menumbangkannya melalui undi tidak percaya."

Dari sudut lain, demi meraih populariti dan sokongan, parti pemerintah dan pembangkang akan sentiasa berlumba-lumba menawarkan yang terbaik buat rakyat. Mereka juga sedaya mungkin cuba memperbaiki kelemahan yang didedahkan seteru masing-masing. Tentulah akhirnya yang untung adalah rakyat. Bajet 2012 adalah contoh terbaik apabila BN dilihat mencedok banyak tawaran menarik Pakatan Rakyat, yang kemudiannya menterjemahkan dalam bentuk insentif one-off.

Penduduk di negeri Pakatan juga mendapat keuntungan berganda. Kedua-dua kerajaan, negeri dan pusat, sentiasa mengambil berat kepentingan mereka. Dari sisi lain, badan-badan di bawah persekutuan, misalnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan pihak polis akan lebih proaktif mengesan "salah laku" pemimpin kerajaan negeri Pakatan. Natijahnya, walaupun atas "dendam politik", namun kesannya tetap positif bagi memastikan perasuah tidak terlepas dan kemakmuran negeri dapat dikongsi bersama.

"Jika pemimpin Pakatan Rakyat, atau sebelum ini Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, tidak diserkup SPRM, saya yakin mereka benar-benar bersih. Berbeda dengan pemimpin Umno-BN, walaupun mereka tidak dihadapkan ke mahkamah, ataupun 'dibersihkan' oleh SPRM bagi menangkis tuduhan pembangkang, kemungkinan mereka terlibat dengan amalan korupsi masih tinggi," kata seorang pemerhati politik.

Sesungguhnya kedudukan pembangkang di negara ini harus dipertingkatkan dalam kadar segera. Paling penting mengubah persepsi atau tanggapan kolot mana-mana parti pemerintah bahawa pembangkang hanya menganggu urusan mereka ataupun merasakan oposisi perlu ditekan setiap masa.

Misalnya, kita harus mengkaji elaun dan kemudahan Ketua Pembangkang di Parlimen sekarang, sekurang-kurangnya biarlah setara dengan anggota Kabinet. Elaun ketua pembangkang kita jauh lebih rendah daripada setiausaha parlimen, apatah lagi menteri. Begitu juga di peringkat negeri, berilah kemudahan dan kelengkapan seperti seorang exco.

Menurut Dr Aziz, pembangkang di negara maju diberi peranan rasmi. Di United Kingdom, jika kerajaan disebut Her Majesty's Government, pihak pembangkanmg dipanggil Her Majesty's Opposition. Di sana ketua pembangkang turut diundang di dalam upacara-upacara negara.

"Di Australia, salinan laporan mengenai perisikan keselamatan negara disalinkan kepada ketua pembangkang; ia tidak dianggap paria seperti di Malaysia. Para pemimpin seperti Lord Owen dan Lord Ashdown dilantik sebagai wakil Britain di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Malah secara tradisi di negara-negara maju, termasuk India, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) juga diisi ahli Parlimen pembangkang, bagi mewujudkan suasana "semak dan imbang". Selangor merintis jalan dengan mencadangkan jawatan itu di peringkat negeri disandang Adun BN Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias. Malangnya beliau menolak atas alasan pelantikan itu bermotif politik.

Saya tidak pasti adakah cadangan sama pernah dikemukakan dalam sidang Dun Kelantan, Perak, Kedah dan Kelantan. Alangkah baiknya jika kerajaan negeri Pakatan menunjukkan teladan unggul dengan memartabatkan kedudukan pembangkang, termasuk dalam segi kemudahan, elaun, penghormatan, tempoh sidang Dun dan lain-lain lagi. Kerajaan Pakatan harus terlebih dahulu menghormati pembangkang (BN) di negeri masing-masing dengan meraikan mereka dengan cara yang lebih baik.

Saya teringat keluhan seorang wakil rakyat PAS di Selangor sekitar tahun 2000, reaksi kepada tindakan PBT yang tidak menyediakan ruang parkir khas untuknya di kawasan bangunan majlis perbandaran berkenaan. Saya harapkan insiden seumpama itu tidak berlaku di era Pakatan memerintah, malah menyerlahkan lagi sikap terbuka meraikan kepelbagaian.

II.

Banyak pihak bimbang majlis Himpunan Sejuta Umat, 22 Oktober ini, yang bertujuan meningkatkan kewaspadaan tentang wujudnya serangan terhadap aqidah umat Islam, termasuk kristianisasi, akan diperalatkan untuk kepentingan politik kelompok tertentu.

PAS yang selama 60 tahun usianya istiqamah mempertahankan aqidah ummat daripada pelbagai gugatan dan serangan -- sehingga ditohmah mencetuskan situasi "kafir-mengkafir" -- tiba-tiba dilihat berada di kandang tertuduh. Seolah-olah jika ia tidak menyertai himpunan itu maka akan dituduh melepaskan prinsip perjuangan atau tunduk kepada parti sekutu dalam Pakatan.

Tidaklah sukar untuk ditelah motif politik individu seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali dan Ezam Mohd Noor, serta usaha terancang untuk melaga-lagakan PAS dengan rakan-rakannya yang menerajui kerajaan negeri Selangor.

Menyedari Azmi Abd Hamid, merupakan pengerusi bersama himpunan tersebut, ramai teman-teman bimbang -- tokoh yang berjuang tanpa mengira penat-lelah dan sakit-payah seperti Cikgu Mi akan diperalatkan.

Namun, selepas membaca emelnya, petang Selasa lalu, saya berasa lega, sekali gus mengkagumi bicaranya, yang turut merangkumkan pemikiran sekularisme dan perkauman assobiyyah sebagai gugatan terhadap aqidah, selain gerakan evangelis Kristian.

Tegasnya, himpunan itu "tidak akan dibenarkan dihijack oleh golongan yang berkepentingan politik dan beragenda melaga-laga antara kaum dan penganut agama mahupun antara parti politik." Dan bagi saya, kenyataan Cikgu Mi itu memudahkan PAS untuk membuat pendirian rasmi pada malam 18 Okt lalu.

Tiada ulasan: