Khamis, 20 Oktober 2011

NGO2 ISLAM...ATAU PARTI2....ATAU APA2 PUN...KITA SERTAI BIAR BERDASARKAN 'AKIDAH' BUKAN BERDASAR YANG LAIN...AKHIRAT NANTI SUSAH NAK JAWAB

Himpun: Saya mohon tampil berbeza
Mohamad Izzat Ghazali, UIAM

Pada 22 Oktober, seluruh umat Islam diseru untuk menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes-kes murtad yang dilaporkan di Malaysia.

Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini. Walaupun masih lagi dinaungi oleh NGO-NGO yang lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam Himpun ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.

Mengapa Himpun? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai-ramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam?

Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai, mencela penganutnya yang menganut Islam? Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?

Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan yang hadir ke Himpun hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak-puak yang masih hanyut, jauh di belakang. Target mad'u yang dilihat terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini.

Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad yang merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?

Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa yang orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati-hati orang Islam. Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad?

Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilai-nilai Islami dihentikan? Berapa konsert hiburan-hiburan yang berjaya dibatalkan?

Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah Al-Quran saban tahun?

Dan, benarkah kita percaya, dengan Himpun, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?

Saya berpendapat idea Himpun, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan Himpun, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia.

Pandangan saya, Himpun hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.


Wang pendahuluan dibayar, projek jalan tak buat | Print |
Aslani M

KOTA BHARU, 19 Okt: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini mendedahkan sebuah syarikat milik pemimpin Umno yang telah dibayar wang pendahuluan, namun projek belum dijalankan sehingga sekarang.

Syarikat terbabit dikatakan dibayar wang pendahuluan sebanyak RM5 juta pada Julai 2008 bagi membina laluan empat lorong dari Kota Bharu ke Melor.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, pembayaran pendahuluan dibuat JKR kepada syarikat tersebut selepas mendapat surat tawaran projek.

“Mengapa jalan tersebut tidak dibina lagi sehingga sekarang. Kalau tidak mahu buat duit pendahuluan itu hendaklah dikembalikan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Menurutnya beliau tidak berminat untuk mengetahui kemelut politik yang berlaku di sebalik syarikat berkenaan.

Oleh itu beliau berharap Mohd Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dun Kelantan membantu menyelesaikan masalah tersebut memandangkan projek jalan empat lorong sudah lama dilulus kerajaan.

Sebelum itu Alwi turut merakamkan ucapan tahniah di atas keberanian kerajaan negeri membina sendiri jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai selepas projek itu ditarik balik kerajaan pusat.

”Tahniah kepada kerajaan Kelantan yang berani dan berstrategi. Ia harus diteruskan. Projek jalan raya itu ditarik balik bukan disebabkan faktor politik.

”Sebaliknya masalah kontraktor yang diberi tawaran membina jalan tersebut sering menuntut tambahan kos pembinaan kepada kerajaan,” katanya.

Ketika menjawab soalan Datuk Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) Husam berkata, pembinaan jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai belum dimuktamad sama ada akan dikenakan tol atau sebaliknya.

Kata beliau kalau kerajaan negeri mempunyai kewangan yang mencukupi jalan raya itu tidak perlu dikenakan tol.

Menurutnya kerajaan negeri cuba menjimatkan kos pembinaan dengan memastikan laluannya di atas tanah milik kerajaan dan mengurangkan jumlah pembinaan jambatan.

Menjawab soalan tambahan Mohamad Mustafa (PAS-Demit) katanya kerajaan negeri mengambil keputusan membina sendiri jalan raya tersebut selepas lama dipinggirkan kerajaan pusat.

Katanya projek pembinaan jalan raya berkenaan sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) dan diluluskan pembinaan pada RMK-10.

Bagaimanapun projek tersebut ditarik balik dan menteri pula mengakui kerajaan pusat tidak ada peruntukan.

”Selama 15 tahun kita tunggu projek tersebut namun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang. Jadi projek yang kita rancang dengan kerjasama swasta tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13.

Malah katanya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak awal mentadbir Kelantan menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan lapan projek yang perlu dilaksanakan di Kelantan.

Antaranya menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, membina pelabuhan dan lebuh raya.

Pada pembentangan Belanjawan Kelantan 2012 semalam, Menteri Besar berkata, kerajaan serius menimbangkan pembinaan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dengan kerjasama swasta.

Ini kerana kerajaan pusat dilihat tidak serius termasuk menafikan keperluan projek tersebut dalam RMK-9 dan RMK-10.

Katanya, banyak permohonan diterima daripada pihak swasta yang berminat bagi melaksanakan projek lebuhraya sepanjang 63 kilometer itu.


Pakatan tubuh jawatankua​sa kaji laporan audit | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah membentuk jawatankuasa untuk mengkaji isi kandungan Laporan Audit Negara yang belum diterima oleh Dewan Rakyat sehingga hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, jawatankuasa tersebut melibatkan lima wakil Pakatan Rakyat, bagaimanapun belum menamakan invidu-individu tersebut.

"Buat pertama kali kita tubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji segala aspek dalam laporan audit yang sudah hampir dua minggu lewat daripada waktu sepatutnya ia dikeluarkan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan mengemukakan pandangan Pakatan Rakyat tentang laporan audit yang akan dikeluarkan dan mencari sebab kenapa ia lambat dikeluarkan.

"Jawatankuasa ini bukan sahaja untuk mengkaji isi kandungan semata-mata tapi kita nak kemukakan pandangan kita sebagai satu pandangan daripada pembangkang untuk lihat kenapa berlaku kelewatan yang sangat ketara ini," katanya.

Menurut beiau juga, jawatankuasa tersebut akan mengkaji dan membuat perbandingan Laporan Audit Negara dengan laporan-laporan lain termasuk laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan laporan GLC.

"Kita akan maklumkan penemuan daripada jawatankuasa ini walaupun penemuan itu baik kepada kerajaan atau sebaliknya, kita akan maklumkan," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Isnin lalu, Ahli Parlimen Salahuddin Ayub mengemukakan usul di Dewan Rakyat meminta Speaker menjelaskan tentang kedudukan laporan audit tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menjelaskan pihak Parlimen sehingga waktu itu masih belum menerima Laporan Audit Negara dan menyifatkan parlimen juga senasib dengan Ahli Parlimen yang lain.


Anwar sambut baik anjuran debat dengan Najib | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan debat terbuka antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Anwar, ia perlu disegerakan sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, berakhir bagi penggal ini, lapor KeadilanDaily.

“Saya menyambut baik, mana-mana badan NGO yang ingin menganjurkan perdebatan tersebut. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” kata Anwar pada sidang media di Parlimen.

Hari ini, sebuah Akademi Penulisan yang dinamakan Akademi Pak Sako, bersedia menjadi penganjur debat antara kedua tokoh itu membincangkan soal ekonomi dan Belanjawan 2012.

Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu juga membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Anwar mencabar Perdana Menteri yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentangkan, 7 Oktober lalu.

Belanjawan berjumlah RM232 bilion itu menerima kritikan hebat, berikutan pendapatan negara pada masa ini tidak dapat menampung hutang kerajaan yang mencecah RM437 bilion.

Pakatan Rakyat juga percaya berdasarkan realiti ekonomi, sasaran pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang disasar Najib juga sukar untuk dicapai.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula terbatas disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) kepada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Enggan menerima hakikat itu, Najib sebaliknya menyelar Belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat keseluruhan, meskipun belanjawan sebanyak RM220 bilion yang ditawarkan berupaya mengekang defisit negara pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Belanjawan Pakatan mampu menjimatkan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK, dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah.

Sebelum ini, Najib enggan menerima pelawaan debat Anwar bagi menjawab kritikan beliau terhadap Buku Jingga, satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang menawarkan faedah ekonomi kepada rakyat terbanyak.

Exco kesal Teman jadi markas politik Umno | Print |
M Faqih

KOTA BHARU, 19 Okt: Belum pun Terminal Agribisnes Negara (Teman) di Tunjung yang baru beroperasi dirasmikan, tiba-tiba Umno Kelantan menjadi pusat perniagaan itu seperti markas politik pula.

Sedangkan kerjasama kerajaan negeri meluluskan tanah untuk membangunkan pusat pemasaran pertanian itu digunakan bagi mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian di kalangan petani tempatan.

Namun baru-baru ini Umno menganjurkan program penerangan perdana yang dihadiri Naib Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi di Teman.

Isu penyalahgunaan premis kerajaan yang dikendalikan di bawah Fama hari ini dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteklogi, Che Abdullah Mat Nawi meluah rasa kesal di atas tindakan Umno menggunakan premis terbabit bagi agenda politik.

“Kita amat kesal kerana Umno menganjurkan program parti di tempat tersebut, sedangkan tujuan asal kewujudan Teman bagi memajukan pemasaran hasil pertanian di Kelantan.

“Cukup malang sekali dengan apa yang berlaku itu. Kita tidak mahu Teman di sini tidak membuahkan kejayaannya seperti berlaku terhadap Teman di Ipoh. Teman di Ipoh yang pertama di negara ini dikatakan tidak menunjukkan kejayaan,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang).

Menurutnya membiarkan Teman yang diwujudkan kerajaan bagi memasarkan hasil pertanian dijadikan markas politik boleh menggugatkan peranan sebenar kewujudannya.

”Saya cukup kesal dengan apa yang berlaku itu,” ujarnya.

Sebelum itu Abdul Latif yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan mendedahkan Teman yang baru disiapkan sudah dijadikan markas Umno apabila mengadakan program parti di tempat tersebut.

Operasi Teman dilancar Ketua Pengarah Fama pada 30 Julai lalu mendapat sambutan menggalakkan petani dan peniaga tempatan sehingga urusniaga dijalankan mencapai matlamat ditetapkan.

Che Abdullah berkata, kompleks Teman sebenarnya belum siap sepenuhnya dan dijangka dapat disiapkan bulan hadapan.

Menurutnya juga biar pun Teman sudah beroperasi hampir tiga bulan, namun ia tidak menjejaskan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh.

PKR juga tidak sertai Himpun | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Okt: PKR mengambil pendirian sama dengan PAS iaitu tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya hanya tidak terlibat dengan perhimpunan itu namun teguh mempertahankan prinsip Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan segala usaha mempertahankan akidah umat Islam harus ditingkatkan.

"PKR juga mengambil sikap sama (dengan PAS dan beberapa NGO) untuk tidak menyertai perhimpunan itu.

"Dari segi kedudukan Islam, adalah menjadi keperluan kita memperkukuh akidah, untuk meningkatkan dakwah, kita tekankan itu perlu ditingkatkan," kata Anwar pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

PAS dalam mesyuarat lajnah politiknya malam tadi memutuskan tidak menyertai Himpun atas dasar menghormati kehendak penganjur yang tidak mahu ia melibatkan parti-parti politik.

PAS bagaimanapun mengingatkan pihak penganjur agar tidak menimbulkan polemik perkauman dan agama yang akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pihaknya gusar Himpun diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan suasana tegang di antara kaum.

Ketua Pembangkang itu sebaliknya menegaskan, masalah moral yang kebanyakannya berpunca daripada longgarnya akidah umat Islam harus diberi penekanan.

"Saya berpendapat isu akidah, akhlak dan dakwah umat itu tanggungjawab yang kita kena laksanakan.

"Yang menggalakkan judi, arak, yang kuasi syarikat besar itu tiada kaitan dengan kristianisasi...itu masalah umat.

"Masalah kepincangan sosial, rasuah berleluasa, masalah kezaliman...itu juga isu yang dekat dengan Islam. Kalau itu tidak ditangani, itu bukan cara dan pendekatan dakwah yang baik.

"Lebih-lebih lagi timbul kecurigaan pelbagai pihak tentang muslihat kemungkinan ketegangan yang ditimbulkan pihak tertentu terutamanya daripada Umno," tegasnya.

Selain PKR dan PAS, NGO Wadah turut mengundur diri daripada menyertai Himpun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, PKR mengambil pendirian tersebut atas dasar toleransi di antara kaum seperti yang dibuktikan sejarah Islam.

Mengambil contoh pemerintah Islam di Sepanyol dan India yang mempunyai pemerintah berlainan agama, beliau berkata tidak timbul masalah pentadbiran jika mengamalkan sikap hormat-menghormati.

"Kalau seseorang pemerintah benar-menghayati Islam dia akan mengamalkan tolenrasi, memahami dan tak melihat pengganut agama lain dengan prejudis.

"Kita ambil pendirian dalam konteks politik pelbagai kaum dan agama dan komitmen kita dalam dasar bersama, kita terjemahkan pendirian kita yang berasaskan sejarah toleransi Islam," ujarnya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Menurutnya, dalam tradisi Khalifah Umar Al-Khatab ketua audit negara zaman itu seorang Kristian.

Dalam sejarah di India pula, sewaktu pemerintahan Sultan bernama Tipu Sultan angkatan panglimanya juga seorang Kristian


Tiada ulasan: