Rabu, 26 Oktober 2011

DALAM KITA ADAKAN HIMPUNAN ANTI MURTAD..DALAM MASA YANG SAMA MAJLIS MAKSIAT TAK DISEKAT MALAH DIANJURKAN MAJLIS YANG ADA BERCAMPUR GAUL DENGAN BEBAS...JANGANLAH KITA BERPURA2 DENGAN MANUSIA DAN ALLAH...HUKUM HUDUD TIADA@TIDAK DIJALANKAN...MAKA HIMPUNAN TAK ADA BERMAKNA...

Hudud: Kelantan temui PM selepas segalanya selesai | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 25 Okt: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, Kerajaan Kelantan akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan tentang perlaksanaan hukum hudud setelah segalanya selesai.

"Kita sebenarnya sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk bertemu beliau membincangkan tentang perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"Tetapi sebelum kita bertemu dengan beliau, kita perlu dapatkan keputusan dari Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah 2 barulah perkara tersebut kita dapat bentangkan dengan lebih baik," jelasnya pada sidang media selepas program wacana di Kompleks Karangkraf di sini, petang ini.

Katanya, pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.

“Manakala untuk jawatankuasa teknikal kita tidak meletakkan tempoh masa kerana kita tahu dalam usaha untuk kita melaksanakan hukum hudud ini kita memerlukan tempoh masa bukannya dalam keadaan tekanan.

"Selesai semuanya kita akan bertemu dengan Perdana Menteri dan nyatakan hasrat kita, apa jua persoalan yang timbul kita akan jawab dengan sebaik mungkin, kalau boleh biarlah Kelantan ini melaksanakan hudud serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain," jelasnya.

Dalam keadaan berseloroh, beliau memberitahu jika terlalu susah untuk pemimpin di atas meluluskan perlaksanaan hudud, secara yang mudah ialah mengubah sahaja kerajaan yang ada sekarang pada pilihan raya yang akan datang.

Jawatankuasa Teknikal Enekmen Jenayah Syariah 2 telah ditubuhkan secara rasmi semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan mempunyai 19 ahli jawatankuasa dari pelbagai latar belakang termasuk agensi penguatkuasa negara.

Antaranya Ketua Polis Kelantan, Datuk Jaluluddin Abd Rahman, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Abdullah Yakob, Peguam Hisham Fauzi, Ketua Hakim Syarie Datuk Daud, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Pengarah Penjara Kelantan, Presiden Peguam Syarie Malaysia dan Senator Mumtaz Md Nawi.

Mohd Amar juga memberitahu sebenarnya Kelantan sudah bersedia dari peringkat asas dalam perlaksanaan hudud yang mana rotan dan juga pegawai yang ditugaskan untuk melaksanakan hukuman sebat juga telah disediakan.

"Rotan untuk hukuman sebatan kita telah simpan di Penjara Pengkalan Chepa begitu juga dengan pegawai yang ingin melaksanakan hukuman tersebut juga telah ada, asas kepada hukuman telah ada hanya tunggu perlaksanaan.

"Kita tidak mahu perkara yang sama berulang pada kes yang lepas di mana mahkamah telah memutuskan hukuman sebat tetapi tidak ada rotan, siapa yang akan lakukan dan juga di mana ia ingin dilakukan. Keadaan ini amat memalukan kita, jadi secara dasar Kelantan sudah bersedia sepenuhnya," sambungnya lagi.


FAM gelojoh naik harga tiket
Syed Abdullah Syed Osman

Tidak patut dan tidak wajar bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) naikkan harga tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan Sabtu ini dan nampak agak gelojoh apabila tidak semena-mena harga tiket hanya RM30 selama ini dinaikkan RM50 dan jangan alasan yang diberikan pula kerana harga barang naik atau gaji sudah naik.peminat Negeri Sembilan pula.

Pihak FAM mesti ambil kira pertamanya sukan ini adalah sukan 'kegilaan' rakyat di emua peringkat umur dan kemampuan seseorang itu.Keduanya bayangkanlah perbelanjaan untuk ke stadium lagi dan mungkin kos penginapan di hotel-hotel bagi mereka yang datang jauh dari negeri Terengganu dan tempat lain juga. Ketiganya janganlah hampakan hati peminat yang selama ini beransur-ansur telah dapat dipujuk kembali setelah kecewa dengan FAM dalam pelbagai kerenah selama ini dan keempat berhati mulialah FAM.

Walaubagaimanapun memandangkan Kerajaan Terengganu telah bersetuju untuk memberikan subsidi RM25 kenapa tidak Kerajaan Negeri Sembilan mengikut langkah yang sama kerana harga tiket RM50 adalah berat bagi peminat dan penyokong bola sepak 'Hobin Jang hobin' yang sentiasa tetap setia itu.


Kembara Angkasawan Negara ke China
Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Program Kembara Angkasawan Negara direka untuk masyarakat Malaysia khasnya yang inginkan melancong sambil menimba pengalaman menarik yang dimiliki Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Angkasawan Negara.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Premier Aims Sdn. Bhd. bersempena Program Kembara Angkasawan Negara dengan Majlis Belia Malaysia (MBM), Usahanita Johor, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan Malaysia Franchise Association (MFA) sebagai rakan niaga yang akan memberikan sokongan padu terhadap program itu serta memeterai perjanjian bersama keseluruhan dengan nilai RM43.78 juta diadakan di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Dengan adanya persefahaman itu akan memberikan manfaat kepada setiap agensi atau persatuan yang terlibat.

Program itu juga amatlah sesuai untuk semua golongan masyarakat seperti kaum wanita, usahawan, pelajar dan belia.

Sebagai permulaan, program kembara akan menjelajah benua Negara China pada November ini dan destinasi pertama ialah Shanghai dan Hangzhou.

Destinasi pertama ini memang menarik kerana ianya merupakan destinasi pelancongan yang indah, pusat membeli belah yang murah, budaya masyarakat yang peramah, makanan yang halal, perusahaan dan perindustrian serta mengenali warga Islam tempatan antara yang teramai di dunia iaitu sekitar 40 juta orang dan amat sesuai untuk perkongsian dengan penduduk Islam di negara ini.

Hanya RM199 seorang yang merangkumi pakej 5 hari 4 malam termasuk penginapan di hotel bertaraf 4 bintang, makanan halal, pengangkutan serta akan diketuai oleh pemandu pelancong yang mahir di Shanghai dan Hangzhou yang diuruskan oleh Cuti Bagus Holiday Sdn. Bhd.


Kelantan adakan Silang Budaya tahun depan
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Okt: Kerajaan Kelantan akan mengadakan program Silang Budaya tahun hadapan sebagai acara sempena sambutan Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK 12).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata program berkenaan melibatkan empat buah negara, Acheh, Singapura, Brunei dan Jepun.

Bagaimanapun, katanya persembahan kebudayaan Cina dan Thai dari negara-negara terbabit juga akan diadakan.

Menurutnya, kerajaan Singapura memberi kerjasama yang padu untuk membuat promosi pelancongan di tempat mereka selain negara Brunei dan Jepun yang turut memberi kerjasama yang baik.

Ketika memberitahu Harakahdaily beliau seterusnya berkata, sempena TMK 12 juga kerajaan negeri akan menyediakan beberapa program lain sebagai produk pelancongan di negeri itu.

“Pada masa yang sama kerajaan negeri turut mengadakan hubungan yang baik dengan mana-mana negeri yang juga mengadakan tahun melawat di negeri-negeri lain di negara ini.

“Selain tempat pelancongan, tempat-tempat menarik untuk menjamu selera juga akan diperkenalkan pada pelancong sewaktu mereka mengunjungi negeri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, program khas menyambut pelancong pada 1 Januari tahun hadapan akan diadakan dibeberapa pintu masuk ke Kelantan, antaranya Bukit Yong, Jeli, Pengkalan Kubur dan beberapa tempat lagi.


Bukan tengok batang getah tapi perempuan bergetah | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 25 Okt: Pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman mahu masyarakat sedar bahawa murtad bukan saja beratur di mahkamah untuk tukar agama tetapi juga melibatkan persoalan tauhid dalam diri seseorang sebagai tunjang.

Selebriti yang lebih dikenali sebagai Bob Lokman itu, berkata malangnya ramai yang terpengaruh dengan istilah ‘Melayu itu Islam’ sehinggakan tidak pernah untuk menilai semula tauhid atau pun menuntut ilmu.

“Saya baru 9 bulan berada di atas jalan pulang yang benar...tau kenapa setelah umur 47 baru sedar? Sebab kesilapan paling besar saya lambat ialah kerana selama ini saya terpengaruh dengan istilah Melayu itu Islam.

“Pegangan itu membuatkan saya rasa sentiasa selesa. Sepatutnya semua kena sedar bahawa murtad bukan saja beratur di mahkamah untuk tukar agama tetapi persoalan tauhid pun jarang dibicarakan, sedangkan tauhid itu tunjang,” katanya.

Tambahnya, sebahagian besar keluarga Melayu rasa tidak kisah jika pergi konsert buka, aurat dan pergaulan bebas, semuanya kerana selesa dengan pegangan Melayu itu Islam.

Bob Lokman berhujah demikian dalam forum wacana ilmu bertajuk ‘Belia: Antara Seni dan Maksiat’ sempena Karnival Belia Muslim di Taman Kubang Gajah di sini malam tadi.

Turut menjadi panel ialah Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman dan pendakwah Ustaz Mujiburrahman Ishak.

Menceritakan pengalamannya sebagai artis apabila ditanya oleh pengerusi majlis, Bob Lokman menyindir bahawa pakcik-pakcik yang bekerja menoreh getah tidak pernah naik syahwat apabila melihat pokok getah.

“Tapi saya bekerja sebagai pelakon banyak bergaul dengan perempuan. Maknanya saya bukan tengok batang getah tapi saya tengok perempuan yang bergetah yang boleh menimbulkan syahwat,” katanya sambil diiringi derai ketawa kira-kira 1,000 yang hadir.

Bob Lokman mengingatkan, budaya suka berhibur sehingga melalaikan (hedonisme) sebenarnya sengaja dicucuk oleh Yahudi ke dalam masyarakat Islam tanpa disedari.

“Malangnya kalau dulu persembahan konsert dianjurkan syarikat perniagaan, tetapi sekarang ini konsert dianjurkan oleh jabatan kerajaan dan parti pemerintah sendiri kerana nak ajak orang datang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Shahril Azman berkata jika kita mahu melihat bagaimanakah sesebuah negara pada masa akan datang lihatlah keadaan belianya pada hari ini.

“Jadi jika semua pihak mahu melihat negara baik pada masa akan datang maka semua pihak mesti berusaha menjadikan belia hari ini kekal baik.

“Namun Islam datang bukan untuk menyekat hiburan yang menjadi kegemaran naluri manusia, tetapi Islam datang untuk mengawal. Sebab itu kerajaan yang bertanggungjawab dia mesti kawal,” jelasnya.

Mujiburrahman pula berkata seni dan hiburan tidak salah tetapi telah dipesongkan cara berhibur dan pergaulan.


Najib hanya bersandiwara tarik balik kes Aziz Bari | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hanya bersandiwara baik dengan mengarahkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin menarik balik penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari, semalam.

Walaupun penggantungannya telah ditarik balik, Dr Aziz masih terus menghadapi pelbagai tekanan termasuk terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia yang menemuinya di rumah dan dipelbagai tempat.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, selain itu, Dr Aziz turut mengalami kepayahan kerana terpaksa mengajar tanpa peralatan penting, khususnya laptopnya akibat diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan penyiasatan.

Menurut beliau, dalam keadaan seperti itu, sesiapa pun dapat bayangkan betapa rumitnya keadaan Dr Aziz yang terpaksa meneruskan kembali tugasnya untuk mengajar para pelajarnya yang akan mendudukui peperiksaan tidak lama lagi.

Katanya, tindakan pihak kerajaan terhadap pakar Perlembagaan itu tidak ubah seperti berhadapan dengan penjenayah kerana terus disiasat tanpa batasan masa terutama oleh dua agansi terbabit walaupun penggantungannya telah ditarik balik.

"Dengan itu, tidak hairanlah jika Dr Aziz Bari sendiri turut bertanya, "kenapa aku terus disiasat? Adakah aku ini penjenayah?" yang jelas menggambarkan tekanan yang dialami olehnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Berdasarkan fenomena yang berlaku, menurut beliau, orang ramai pasti tertanya sama ada arahan Najib supaya penggantungan terhadap Dr Aziz itu ditarik balik bertolak dari sikap baiknya sendiri atau mempunyai tujuan tertentu.

Katanya, yang jelas kelihatan kepada orang ramai, arahan Najib itu bukan berpunca dari sikap baiknya sendiri, tetapi hanya untuk menunjukkan kebaikannya kepada orang ramai bagi melepaskan diri dari tekanan yang dialaminya ekoran penggantungan terhadap Aziz.

"Datuk Seri Najib sendiri cukup faham, tindakan penggantungan terhadap pakar Perlembagaan itu telah menimbulkan kemarahan para mahasiswa dan orang ramai sehingga boleh menjejaskan Umno BN.

"Untuk menunjukkan dia baik dan melepaskan dirinya dari tekanan akibat tindakannya yang tidak popular itu, Najib terpaksa mengarahkan Rektor UIA menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz Bari, tetapi dalam masa yang sama meletakkan Dr Aziz terus berada dalam tekanan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kini setelah penggantungan itu ditarik balik, menurutnya, Dr Aziz terpaksa membeli kumpoter khususnya laptop lain untuk keperluan mengajar, tetapi laptop barunya itu tentunya ketiadaan data-data yang diperlukan yang disimpannya sendiri untuk mengajar.

Surat penggantungan tugas yang diberikan oleh UIA kepada Aziz baru-baru ini, katanya, jelas membuktikan ahli akademik itu akan terus disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Multimedia secara berpanjangan dan pada bila-bila masa serta tempat walaupun penggantungan terhadapnya telah ditarik balik.

"Ini meletakkan Dr Aziz Bari terus berada dalam tekanan hanya disebabkan pakar Perlembagaan itu mengeluarkan pandangan akademiknya baru-baru ini berhubung suatu isu," ujar beliau.

Dr Aziz Bari, tegas beliau, merupakan pihak yang menjadi mangsa kesilapan tindakan Kerajaan BN, manakala untuk membolehkan pemangsa pulih tidak semudah hanya dengan menarik balik hukuman penggantungan tugas terhadapnya, lebih-lebih lagi apabila beliau terus dikenakan tekanan yang tidak sewajarnya.

Pensyarah kanan yang telah 22 tahun berkhidmat di UIA itu, katanya, adalah pakar Perlembagaan yang cukup dihormati di dalam dan luar negara dan tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian setelah mengeluarkan pandangan yang baik dari sudut akademik bagi mengulas sesuatu isu untuk kepentingan negara.

Tiada ulasan: