Sabtu, 8 Oktober 2011

BILA AKHIR ZAMAN..MAKSIAT DAN KEMUNGKARAN SERTA KESALAHAN BERAMAL BERTAMBAH BANYAK..BEGITU SIHIR@PENGUNAAN JIN PUN BANYAK..BERTAQWALAH...BERTAUBATLAH

Suami rimas didekati isteri | Print |
Datuk Dr Haron Din

Soalan

Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting.

Aniza,
Kuala Lumpur

Jawapan

Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini.

Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.

Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir.

Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai.

Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib.

Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65

Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” - Surah al-Jinn, ayat 26.

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s.

Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102.

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri.

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini.

Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu.

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan.

Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya.

Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya.

Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita.

Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus.

Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir.

Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan.

Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya.

Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

"Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis riwayat A'ishah r.anha)

Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286.

Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan.

Wallahua'lam.


Bolehkah berkahwin dengan orang bunian? | Print |
Datuk Dr Haron Din

Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.

1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?

Halimatussaadiah
Bota, Perak

Jawapan 1

Puan,

Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya): "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T."

Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.

Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).

Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya.

Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara.

Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis).

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."

Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.

Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.

Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya):

"Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya".

Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan.

Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.

Jawapan 2

Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.

Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT.

Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?

Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Wallahu a'lam.


Mangsa polis Bersih 2.0 wajar dibayar pampasan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) tidak boleh menerima kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang menyatakan bahawa isu keganasan polis semasa perhimpuanan Bersih 2.0 diperbesarkan dan pihak polis tidak boleh disalahkan sepenuhnya.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, dalam insiden itu, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu meminta maaf dengan segera di atas kekerasan polis terhadap peserta himpunan Bersih 2.0.

Katanya, kerajaan juga perlu membayar pampasan dan ganti rugi terhadap semua mangsa keganasan polis termasuk keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan tersebut.

“Kami mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM22,855.76 termasuk kos penggunaan 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom pemedih mata (TS Grenades) untuk menyuraikan peserta perhimpunan aman Bersih 2.0,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan tersebut adalah satu penyelewengan duit rakyat dan amat tidak professional.

Menurutnya, penggunaan senjata sebegitu jelas melanggar hak rakyat untuk bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia.

Selain itu, ujarnya kerajaan juga melanggar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam penggunaan kekerasan dan senjata api.

“Kami inginkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara, kenapa wujudnya perbezaan jumlah orang yang ditangkap di mana mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah yang ditangkap adalah 1,509 orang padahal kenyataan polis menyatakan sebanyak 1,697 orang.

Katanya, Suaram berpendirian, KDN dan Ketua Polis Negara perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kekerasan polis yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Tambahnya, tindakan memberikan alasan yang tidak munasabah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan oleh polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 akan mengecewakan rakyat dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai kehendak politik untuk menambahbaikan institusi polis seperti yang diinginkan oleh rakyat jelata.

Fungsi Biro Tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia dalam menangani anggota polis yang melanggar garis panduan operasi polis (SOP) sememangnya tidak cukup kerana tidak telus dan laporan tatatertib adalah sulit.

“Kami menyeru kerajaan pimpinan Najib Tun Razak untuk segera menunaikan permintaan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

“Hanya dengan kewujudan suruhanjaya tersebut yang adil dan bebas yang membolehkan institusi polis untuk ditambahbaik dengan berkesan,” katanya.


Mencari makna di sebalik pesta konvokesyen
Mohamad Iqbal Ab Wahab

Kira-kira dua minggu yang lalu, saya ditanya oleh seorang wartawan berkenaan perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Soalan itu cukup mudah, namun memberi satu impak kepada diri saya untuk mencari jawapan yang tepat dan sebenar tentang istilah perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen. Pesta Konvokesyen UIAM kali ke-27 yang berlangsung selama satu minggu bermula 8 Oktober 2011 hingga 15 Oktober 2011 harus mempunyai tarikannya yang tersendiri, bukan sekadar kegairahan untuk memeriahkan suasana konvokesyen di UIAM.

Asasnya, pesta konvokesyen ini bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan segulung ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di menara gading ini. Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu ada keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta merintis jalan untuk melebarluaskan jalur intelek dan etika dalam masyarakat secara amnya.

Namun, apabila sesuatu proses atau perkara itu mengalami pengulangan dan dilihat sebagai suatu adat atau kebiasaan, maka objektif asal kewujudan perkara tersebut seperti pesta konvokesyen misalnya, semakin kabur dan kadang-kadang tidak jelas. Lantaran itu, timbullah idea-idea pelaksanaan yang meminggirkan kesucian nilai akademia dan intelektual yang menjadi fungsi penting bagi sesebuah universiti. Lantas, terdapat kesalahfahaman bahawa pesta konvokesyen ini harus diisi dengan hedonisme dalam usaha untuk mencipta dan mewujudkan suatu momentum kemeriahan dalam pesta.

Apakah ini yang seharusnya diyakini oleh keseluruhan mahasiswa dan masyarakat tentang pelaksanaan pesta konvokesyen? Apakah jenis pemikiran ini harus menjadi asas kepada refleksi modal insan yang menjadi harapan nusa bangsa kelak? Persoalan-persoalan inilah yang secara tidak sengaja diutarakan dalam benak fikiran saya sewaktu memikirkan jawapan bagi pertanyaan oleh wartawan tersebut. Oleh itu, saya melihat pendekatan dalam pesta konvokesyen harus melalui proses penjenamaan semula melalui pelaksanaan program sewaktu pesta berlangsung.

Seharusnya, pesta konvokesyen perlu didasari dengan semangat percambahan ilmu lebih-lebih lagi, universiti sepatutnya bertindak sebagai pusat penyaluran ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat di dalamnya, malahan golongan yang berada di sekitarnya juga. Di Turki dan Indonesia misalnya, pesta konvokesyen penuh dengan pesta jualan buku.

Lantaran itu, pesta konvokesyen UIAM cuba menerapkan kesedaran ilmu melalui program-program seperti National Seminar serta Seminar Penulisan (SerumpuN). Dalam masa yang sama, tidak dipinggirkan juga elemen kemeriahan melalui program-program yang lebih santai seperti Chocolate Fair, Grand Exhibition, Islamic Performance Night dan Fit for Fun Race. Sekurang-kurangnya, pengunjung boleh mendapatkan sesuatu yang bermanfaat melalui aktiviti-aktiviti tersebut lantas memberi impak yang positif dalam menjustifikasikan fungsi universiti sebagai pusat ilmu dan pembinaan masyarakat dalam konteks akademia dan pembangunan modal insan.

Saya juga berpandangan, objektif penubuhan universiti itu sendiri perlu mendasari segala aktiviti termasuklah pesta konvokesyen. Universiti sebagai suatu institusi yang mengembangkan potensi dan mentaliti masyarakat dari sudut kekuatan intelek dan rohaninya harus dijadikan batu asas kepada sebarang bentuk perbincangan dan pelaksanaan. Contohnya di UIAM, misi Triple ICE iaitu Integrasi (Integration), Pengantarabangsaan (Internationalization), Islamisasi (Islamization) dan Kefahaman Menyeluruh (Comprehensive Excellence) seharusnya menjadi pemangkin dalam usaha untuk mencetuskan inspirasi kepada seluruh warga universiti mahupun sekitar. Kesannya, universiti akan lebih bersifat inklusif dalam mendekatkan seluruh masyarakat dengan budaya keilmuan.

Di kesempatan ini juga, tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang bakal menerima segulung ijazah sama ada kedoktoran, ijazah sarjana mahupun sarjana muda. Semoga produk-produk yang terlahir setelah melalui pengalaman ilmu di universiti mampu untuk disebarluaskan dalam kalangan masyarakat seterusnya menggunakan kemahiran yang dilalui sepanjang proses pencerahan ilmu di institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan mentaliti masyarakat supaya mampu berdaya saing di persada antarabangsa.

Penulis ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA


Hanya rumah asal dan Masjid Kg Baru sahaja kekal | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) bersama penduduk Kg. Baru menolak Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober lepas kerana tidak mendapat mandat sepenuhnya dari pemilik dan pewaris tanah di Kampung berkenaan.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dilihat begitu terdesak memaksa parlimen meluluskan akta baru itu sebelum pilihan raya ke-13 bagi memastikan pihak kerajaan dapat menguasai tanah-tanah penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, walaupun melalui akta itu, status tanah di Kg. Baru bertukar dari tanah poertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersial (CCC), namun penduduk terikat kepada kuasa pentadbiran pihak perbadanan dan situasinya nanti pasti sama seperti di Putrajaya di mana pemilik tanah tidak boleh melakukan pembangunan sesuka hati.

Malah, ujarnya melalui akta itu pihak perbadanan mempunyai kuasa merampas mana-mana tanah dengan membayar gantirugi yang nilainya ditentukan oleh oleh pihak lembaga yang dilantik oleh menteri.

Menteri secara keseluruhan, tambah beliau mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap perbadanan yang bakal ditubuhkan.

“Beliaulah yang akan memilih dan melantik ahli-ahli lembaga dan secara tidak langsung boleh mempengaruhi sebarang keputusan lembaga termasuk dalam pemilihan syarikat kontraktor yang akan melakukan pembangunan di Kg. Baru,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, apa yang paling dirisaukan oleh penduduk adalah bentuk pembangunan yang ingin dijalankan oleh pihak perbadanan kerana sehingga ke hari ini pihak menteri masih gagal memberikan reka bentuk pelan pembangunan sebenar.

“Bila ditanya wartawan baru-baru ini beliau hanya menyatakan pembangunan Kg. Baru akan mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dan keislaman,” ujarnya.

Justeru itu, katanya tidak mustahil yang kekal nanti hanyalah beberapa rumah-rumah asal penduduk yang dijadikan tempat pelancongan dan Masjid Kg. Baru sahaja, sedangkan rumah-rumah lain dan premis perniagaan akan diroboh dan digantikan dengan kondominum mewah serta lot-lot perniagaan bernilai tinggi untuk dijual kepada pelabur asing dari luar negara.

“Lihat sahaja kawasan di sekeliling KLCC yang telah dibangunkan dengan unit-unit kondominium mewah yang majoritinya dimiliki dan dihuni oleh bukan warganegara.

“Warga tempatan khususnya orang-orang Melayu dipindahkan ke kawasan pinggiran pusat bandar,” ujarnya.

DPPM juga, ujarnya melihat pindaan kecil terhadap senarai ahli lembaga perbadanan dengan melantik seorang wakil penduduk Kg. Baru sebagai timbalan pengerusi sebagai gimik politik kerana yang bakal dilantik nanti sudah pastilah kalangan orang-orang Umno yang menjadi barua kepada menteri yang berkuasa.

“Kalau pun penduduk diberikan hak memilih wakil mereka untuk duduk di kerusi ini, tetapi kuasa dan suara hanya terhad sedangkan majoriti korum lembaga adalah orang-orang yang dikuasai dan dilantik oleh menteri.

“Oleh itu, DPPM akan terus bersama penduduk menolak akta baru ini dan dari semasa ke semasa akan bersama penduduk mempertahankan hak mereka,” katanya.


سُوۡرَةُ البَقَرَة
وَٱتَّبَعُواْ مَا تَتۡلُواْ ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلَىٰ مُلۡكِ سُلَيۡمَـٰنَ‌ۖ وَمَا ڪَفَرَ سُلَيۡمَـٰنُ وَلَـٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَرُواْ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحۡرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلۡمَلَڪَيۡنِ بِبَابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ‌ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنۡ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحۡنُ فِتۡنَةٌ۬ فَلَا تَكۡفُرۡ‌ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنۡهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ بَيۡنَ ٱلۡمَرۡءِ وَزَوۡجِهِۦ‌ۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنۡ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡ‌ۚ وَلَقَدۡ عَلِمُواْ لَمَنِ ٱشۡتَرَٮٰهُ مَا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَخِرَةِ مِنۡ خَلَـٰقٍ۬‌ۚ وَلَبِئۡسَ مَا شَرَوۡاْ بِهِۦۤ أَنفُسَهُمۡ‌ۚ لَوۡ ڪَانُواْ يَعۡلَمُونَ (١٠٢)

Surah Al-Baqara
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. / (102)

سُوۡرَةُ یُونس
فَلَمَّآ أَلۡقَوۡاْ قَالَ مُوسَىٰ مَا جِئۡتُم بِهِ ٱلسِّحۡرُ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ سَيُبۡطِلُهُ ۥۤ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُصۡلِحُ عَمَلَ ٱلۡمُفۡسِدِينَ (٨١)
Surah Yunus
Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata: Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan. (81)



Tiada ulasan: