Petang Selasa lalu, saya sempat menghadiri majlis pelancaran buku biografi Tan Sri Ainuddin Abd Wahid, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu, garapan Fatini Yaacob, yang disempurnakan Dato' Seri Najib Razak.
Saya turut ditemubual oleh penyelidik buku ini, pada Ogos 2009, selepas pertemuan yang dirancang Fatini di pejabat Harakah gagal berlangsung. Mungkin nama saya timbul ekoran kontroversi pemecatan saya pada 1986 dan pembabitan dalam gerakan pelajar 1985-86. (Ahmad Lutfi bergambar di ruang pameran mengenang jasa Ainuddin.) Ainuddin, yang popular dengan gelaran "bapa Tan Sri" oleh warga UTM, memang dikenali sebagai tokoh pendidik yang kental semangat Melayu-Islamnya. Seingat saya, ketika kampus lain kadangkalanya bergolak dengan bantahan pelajar Islam terhadap kegiatan mungkar dan maksiat, UTM tetap "aman damai".
Kampus Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) menjadi saksi bagaimana ketegasan Ainuddin membendung pengaruh budaya liar, dengan peraturan yang mungkin dilihat kolot, seperti tidak membenarkan aktiviti budaya membabitkan mahasiswi di atas pentas. Begitu juga dengan pengasasan subjek pendidikan Islam sepanjang kursus (setiap semester bagi tempoh tiga tahun untuk diploma dan lima tahun, ijazah).
Meskipun terpalit dengan beberapa isu seperti pemecatan pelajar purdah pada 1985 (semasa saya menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM) dan penyingkiran Ustaz Fadzil Mohd Noor (tanpa diberi peluang membela diri), namun jasa besarnya semasa mengetuai Maktab Teknik, bermula Ogos 1969, seterusnya bertukar nama Institut Teknologi Kebangsaan, 1972 dan UTM, pada 1975 tetap terakam kukuh dalam sejarah.
Ainuddin mungkin selamanya akan dikenang kerana "kedegilannya" mahu memastikan setiap anak Melayu diberi "peluang dan bimbingan" untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Masakan tidak, dalam masa lima tahun, beliau menggandakan jumlah pelajar Melayu daripada skala 10:90 kepada 90:10.
Malah ada rakan sebaya saya, yang mendapat keputusan SPM menghampiri gred tiga, tetapi masih ditawarkan pengajian di UTM dalam kursus sarjana muda (pelajar gred pertama pun lebih selesa mengikuti kursus diploma) dan beliau lulus sebagai jurutera lima tahun kemudiannya.
Meskipun bercanggah dalam beberapa isu tertentu yang diperjuangkan PMUTM, saya masih ingat, semasa bertemu Ainuddin di pejabatnya, kami lebih banyak berbicara soal masa depan anak-anak Melayu. Beliau terpaksa "berdegil" mempertahankan kuota pelajar Melayu walaupun diasak pihak menteri.
Ada kalanya beliau meluahkan rasa tertekan dengan kehendak orang-orang politik dan saya percaya tindakan pemecatan pelajar purdah pun disebabkan arahan langsung Perdana Menteri, yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan sering melintasi kampus UTM saban minggu. (Najib, Fatini dan Naib Canselor UTM, Prof Zaini Ujang semasa majlis pelancaran buku.) Selepas saya keluar UTM, dan beliau telahpun bersara, saya mengunjunginya beberapa kali. Rumahnya tidak jauh daripada kediaman saya di Ampang. Kali pertama berjumpa, untuk mengadakan wawancara, selepas belasan tahun tidak bertemu, saya membawa senaskhah Harakah.
"Saya dah ada Harakah, jarang saya terlepas," katanya. Elok saya panjangkan kisah Ainuddin ini dalam kesempatan lain.
II. Pendebatan sejarah
Perdebatan isu sejarah kemerdekaan negara masih belum selesai. Perbahasan mengenainya berterusan. Sambutan pula di luar dugaan. Bayangkan, kalau dahulu program membicarakan soal sejarah cukup membosankan, kini hadirin memenuhi dewan!
Bermula kontroversi Mat Indera dan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, seterusnya pengiktirafan kepada setiap pejuang yang menentang imperialis, disusuli dakwaan Majlis Profesor Negara bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Pakar sejarah, Prof Dato' Mohamad Abu Bakar, buat kali kedua (pertama di Wacana Merdeka Universiti Malaya, kemudiannya di pejabat Sinar Harian), secara tidak langsung merakamkan penghargaan di atas peranan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang disifatkan sebagai fenomena "Sabuisme", kerana mencetuskan minat luar biasa kepada sejarah.
Bagi saya, biarkan saja debat ini. Biarkan masing-masing berhujah, mencari dalil, mengemukakan bukti, menyelongkar dokumen lampau. Ya, ia sesuatu yang positif dan dari satu sisi boleh memantapkan tradisi keilmuan.
Daripada bertelingkah hal remeh-temeh yang lain, bukankah lebih baik bergelut meneliti teks sejarah? Justeru, agak ramai tertarik dengan pandangan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, melalui kertas kerjanya, "Status Negeri-Negeri Melayu Pada Era Pentadbiran British", yang saya kutip dalam tulisan minggu lalu.
Benar, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang cacat penglihatan itu, menampilkan dokumen dan fakta, sekali gus menyanggah dakwaan MPN. Tulisan 34 halamannya sarat dengan rujukan dan nota kaki, dimulai dengan penjelasan mengenai kategori negeri-negeri jajahan British.
Taktik licik dimulai oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke melalui Perjanjian Pangkor 1874, yang memperluaskan pengaruh British ke Negeri-Negeri Melayu (NNM). Antara tahun 1874-1895, Residen British di empat NNM muncul sebagai orang paling berpengaruh.
Senario ini merupakan rangkaian penguasaan yang sememangnya distrategikan lantaran menjadikan NNM ini ditadbir bagao sebuah jajahan meskipun kononnya dari segi undang-undang NNM ini berstatus Negeri Lindungan British.
Rangkaian itu berjaya dibentuk memandangkan residen yang ditugaskan di NNM perlu bertanggungjawab kepada Gabenor British di Singapura dan gabenor ini pula perlu bertanggungjawab kepada Setiausaha Tanah Jajahan di Lindon.
Begitu juga dengan penguasaan Residen British melalui Majlis Mesyuarat Negeri (MMN); walaupun ditubuhkan sebagai Majlis Penasihat namun ia adalah badan legislatif dan eksekutif negeri, juga dalam kes tertentu bertindak sebagai mahkamah tertinggi.
Sultan tidak lagi dibenar mengeluarkan titah atau sebarang arahan pemerintahan di luar MMN. Sebarang perintah di luar MMN dianggap tidak sah. Satu cara digunakan residen bagi memastikan Sultan tidak mengeluarkan perintah di luar MMN ialah dengan menyimpan cap mohor Sultan di pejabat residen.
Cap mohor hanya boleh digunakan dengan izin residen. Fungsi dan perjalanan MMN juga dikawal oleh gabenor di Singapura. Terdapat kelulusan yang diberi perkenan Sultan diarah ubah oleh gabenor. Manakala kuasa eksekutif residen jeneral begitu besar sehingga menghakis kuasa MMN, apatah lagi Sultan.
Penubuhan Persidangan Residen-Residen British pada 1896, diikuti perjanjian 20 Oktober 1909 yang melahirkan Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) memperuntukkan kuasa sebegitu luas kepada Pesuruhjaya British. Keahlian Raja-Raja Melayu dalam MMP tidak melebihi ahli biasa.
Baginda tidak mempunyai kuasa veto, tidak boleh mempengerusikan majlis, tidak diberikan undi kedua, tidak berkuasa melantik sebarang ahli, tidak boleh menentukan tarikh dan lokasi mesyuarat, tidak boleh menentukan agenda mesyuarat dan paling menghinakan ialah ketidakhadiran mereka tidak menjejaskan proses kelulusan undang-undang.
MMP menjadi instrumen sangat mustajab dalam memastikan segala keperluan kuasa dan kewangan yang diperlukan British dipenuhi. Misalnya pada 1912, ahli-ahli MMP berjaya dipengaruhi bagi meluluskan peruntukan $20 juga sebagai modal permulaan membina sebuah kapal perang untuk dihadiahkan kepada British.
Pada 1916, MMP digunakan bagi meluluskan undang-undang percukaian perang, bagi membantu Britain yang terbabit dalam peperangan di Eropah. Dalam tempoh 1915-18, MMP meluluskan 39 enakmen berkaitan perang.
Saya tidak bermaksud untuk menyendatkan minda anda dengan fakta-fakta sejarah. Sekadar mengungkapkan kembali tulisan Dr Ahmad Kamal, bagi menyerlahkan sikap sebahagian ahli akademik kita, seperti kata Prof Mohamad Abu Bakar, sebagai "pro-establisment professors yang akur terhadap segala apa yang diluahkan pemerintah".
Ayuh, berdebatlah dengan disiplin ilmu sebebasnya tetapi amatlah memalukan sekali apabila pandangan sarjana kita hanya dikeluarkan untuk menyokong penguasa, demi kepentingan sempit politik mereka.
III. Akta Mesin Cetak
Sebagai wartawan-penulis yang berdepan langsung pelbagai tekanan pemerintah, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), saya amat mengharapkan Perdana Menteri mengotakan janjinya, bukan saja memansuhkan ISA, juga menyediakan ruang kondusif untuk pengamal media.
Pindaan AMCP 1984 yang diumumkan pada malam Hari Malaysia, tidak menyentuh perkara pokok kebebasan akhbar. Isu utama seperti kuasa mutlak menteri (untuk melulus dan menolak permohonan, juga menggantung atau menarik balik permit) yang tidak boleh dicabar di mahkamah, penghapusan semakan kehakiman dan penyingkiran hak pendengaran belum disentuh.
Meskipun internet tidak dibatasi oleh AMCP namun tidak bermakna peraturan "lapuk dan karut-marut" itu wajar didiamkan sahaja. Rakyat perlu bersuara dan membantah; usah hanya menunggu akta drakonian ditelan sejarah secara semulajadi. Ahli-ahli politik pula mesti proaktif membenamkan semua undang-undang zalim.
Harakah antara akhbar paling teruk ditekan KDN, selain Suara Keadilan yang diharamkan terus. Syarat-syarat (terutama mengenai penjualan, pengedaran dan kandungan) yang dipaksakan ke atas Harakah memang bersifat "karut-marut" terutama dilihat dalam konteks dunia siber.
Tanpa sedar, syarat-syarat itu menyudutkan Harakah daripada dapat bersaing di atas padang permainan sama rata dengan akhbar milik Umno-BN yang lain. Bagi saya, untuk PRU13 ini, media tradisi seperti akhbar (apa lagi televisyen dan radion), masih kekal berpengaruh dan bakal menentukan siapa pemenangnya.
Sementara kami cuba memperbaiki penampilan dan kualiti Harakah, misalnya dengan mengemukakan "wajah baru" mulai edisi Jumaat 30 September 2011, penggerak parti wajar menyebarluaskan rangkaian pengedaran dan penyebaran akhbar-akhbar alternatif.
Saya mendapat maklum balas betapa masih banyak kawasan atau lokasi yang belum dijenguk Harakah, apatah lagi di Sabah dan Sarawak, yang dikira"simpanan tetap" BN. Begitu juga dengan kampung-kampung tradisi dan penempatan tanah rancangan, yang selama ini diakui kubu kuat Umno.
Selain mengharapkan inisiatif rasmi pihak pengedaran Harakah, saya beberapa kali menyarankan agar aktivis PAS memikirkan pendekatan praktik agar ia dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca.
Mungkin nilai RM2 senaskhah boleh dijadikan sumbangan tetap bagi membeli "satu lagi" Harakah sebagai hadiah. Apa pun, supaya dapat digerakkan dengan cepat kerana masa cukup mendesak sekarang, inisiatif ini harus digerakkan daripada atas, iaitu pimpinan parti sendiri,'kan?
Ahmad Lutfi Othman | SAH, isu hudud telah dipolitikkan. Umno dan media berbahasa Melayu yang dikawalnya, melalui siri serangan sejak dikecewakan dalam pilihan raya 2008, terus menekan PAS bagi menggambarkan parti Islam itu tunduk kepada DAP. Targetnya tetap satu, ingin menjauhkan pengundi Melayu daripada PAS.
Manakala bagi parti komponen bukan Melayu BN, terutama MCA dan media berbahasa Inggeris, yang dikejarnya adalah penonjolan komitmen PAS untuk terus melaksanakan hudud, bagi menjarakkan pengundi bukan Islam dengan PAS, sekali gus memalitkan imej buruk kepada sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.
Sambutan Hari Hudud di Kelantan, yang mencetuskan kembali isu ini, bukanlah program baru, tetapi kali ini Umno melihat ia boleh dimomokkan menjelang PRU13.
Untuk pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah itu, apa sahaja isu akan dieksploit, walaupun tanpa sedar akhirnya ia memerangkap Umno sendiri.
Malah bukan mengejutkan jika selama ini Umno seperti mahu meletakkan dirinya sebagai pihak yang “begitu terkilan” jika PAS “melepaskan” prinsip perjuangan Islamnya. Perhatikanlah, bagaimana riuh-rendahnya media Umno jika melihat agenda Negara Islam tidak lagi dicatatkan dalam manifesto PAS.
Ya... sayang sungguh Umno dengan perjuangan Islam PAS rupanya! Namun, kini Umno agak gelisah selepas dijelaskan bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 ke atas orang Islam (yang diluluskan sidang Dun Kelantan menurut prosedur yang betul dan menepati kehendak sistem demokrasi), terikat dengan komitmennya pula.
Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud diadakan setiap tahun. Lagi pun, sebelum kedatangan British, undang-undang Islam adalah undang-undang utama (law of the land) di Tanah Melayu, seperti Undang-Undang 99 Perak dan Hukum Kanun Melaka.
Ia bukan sesuatu yang asing dan ganjil de ngan masyarakat kita. Di Kelantan, dalam kerangka sistem sedia ada, tanpa perubahan total, enakmen syariah ini boleh diusahakan dengan kerjasama Umno di peringkat persekutuan.
Apa lagi daleh Umno untuk lari daripada tanggungjawab ini? Untuk membolehkah Mahkamah Syariah membicarakan keskes hudud, sekurang-kurangnya perlu memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), yang menyekat mahkamah ber kenaan daripada membicarakan jenis-jenis kesalahan yang bo leh dihukum dengan hukuman lebih berat. (Hukuman maksimum sekarang adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan).
Hudud memang merupakan tuntutan atau hasrat rakyat Kelantan, kata Prof Dr Abd Aziz Bari, selepas membuat tinjauan ke negeri itu dan mendengar sentimen akar umbi, di samping berbincang dengan MB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Apabila MCA mengugut akan ke luar BN jika Umno mahu melaksanakan hudud, saya tergelak keseorangan. Bila pula Umno meletakkan hudud sebagai agenda yang dihasratkannya? Malah tiada pun kesungguhan untuk membuka seluas-luasnya pintu ke arah kebaikan dan menutup ruang kemaksiatan, iaitu situasi kondusif sebelum pelaksanaannya.
Dr Chua Soi Lek tidak perlu risau. Umno hanya mahu bermain politik dengan isu hudud. Selama ini langsung tiada inisiatif Umno bagi mewujudkan suasana selesa itu, termasuk mengadakan persiapan yang perlu. Masakan selepas 54 tahun memerintah negara, belum nampak apa pun usaha serius untuk melaksanakan undang-undang syariah.
II. Penjajah
Imperialisme linguistik Saya tertarik dengan kolum Sasterawan Negara ke-10, Dr Anwar Ridhwan, dalam Malaysiakini. Selain menyentuh isu-isu bahasa dan budaya, beliau turut menyinggung polemik bahasa, misalnya sama ada negara ini pernah dijajah Inggeris, atau hanya dinaunginya.
Saya kira pandangan bernasnya wajar dikongsi dengan audien yang lebih ramai. Dari sisi lain, kritikan berani beliau, sekurang-kurangnya tidak meletakkan A Samad Said keseorangan, sebagai Sasterawan Negara, untuk tampil menjuarai isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Melalui tulisan terbarunya, yang menyentuh debat bahasa yang masih tidak berpenghujung, Anwar mengungkapkan: “Dalam konteks Malaysia yang kelihatan cen derung untuk tunduk kepada imperialisme linguistik bahasa Inggeris, yang patut diperkasakan ialah modul serta kurikulum subjek bahasa Inggeris itu sendiri, bukan memparasit subjek-subjek lain – agar bahasa Inggeris yang dipelajari oleh anak cucu kita berkesan sebagai bahasa bagi tujuan fungsional atau profesional.
“Jika dasar PPSMI diteruskan, lama kelamaan akan timbul desakan agar lebih banyak subjek diajar dalam bahasa Inggeris. Pada hal jika subjek bahasa Inggeris itu kuat, dan modul serta kurikulumnya dapat diarahkan kepada tujuan fungsional dan profesional, ia tidak perlu mengambil subjek-subjek yang lain.
“Penerusan PPSMI yang akan meluas dari masa ke masa akan mengancam sekolah kebangsaan, kerana jika tidak dibendung mungkin wujud sekolah-sekolah bandar dengan PPSMI, dan sekolah-sekolah luar bandar, pedalaman, kepulauan dan Felda yang tanpa PPSMI. Ini akan menimbulkan jurang sosial yang berbahaya.”
III. Memali dan bekas polis
Memali dan bekas Ketua Polis Baling Nama bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim,pada 29 September lalu, tiba-tiba menjadi popular.
Beliau yang terlibat dalam tragedi berdarah Memali, 19 November 1985, kini seperti mahu “membetulkan sejarah yang terpesong”. (Rupanya bukan saja sejarah penentangan terhadap penjajah dan kemerdekaan negara perlu ditafsir semula, malah peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa, 25 tahun lalu itu juga wajar diteliti kembali).
Dalam bukunya Memali: A Policeman Remembers, beliau merumuskan bahawa pegawai atasannya di Bukit Aman untuk menangkap seorang tok guru, Ustaz Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai ‘tidak bijak’ dan dibuat de ngan campur tangan politik.
Assyahid Ibrahim ditembak mati dalam percubaan kali kedua polis untuk menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. (Beliau kini dikenang sebagai penentang utama ISA, bukan melalui memorandum atau demonstrasi, tetapi dengan darah dan nyawanya sendiri).
Muszaffar menulis, bahawa pegawai-pegawai tertinggi di Bukit Aman, termasuk pemangku Ketua Polis Negara ketika itu, sepatutnya tidak menuruti arahan daripada pemimpin politik mereka dan menolak permintaan yang tidak selaras dengan norma-norma atau prosedur polis.
“Budi bicara dan tindakan polis tentang bagaimana mereka harus melaksanakan tanggungjawab perlu mengikut situasi pada peringkat akar umbi,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini. Saya masih belum membaca buku karya adik Tunku Aziz, bekas aktivis Transparency International itu.
Apa pun, berdasarkan pengamatan langsung terhadap peristiwa hitam itu, yang pernah saya garap melalui dua makalah ringkas, Percikan Darah Syuhada dan Memali: Selepas 3 Tahun BN Bertaubat?, termasuk beberapa kunjungan ke Memali, kali pertamanya ketika mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sejurus selepas kejadian, maka pendedahan Muszaffar tidaklah mengejutkan.
Memali adalah isu politik dan sepatutnya diselesaikan melalui kaedah politik. Bayangkan natijahnya apabila pihak polis yang lengkap bersenjata berat dikerahkan bagi “merongkai” masalah politik Umno, khususnya di Baling.
Menteri Dalam Negeri, yang juga pemangku Perdana Menteri ketika itu, Musa Hitam turut mengakui desakan parti mendorong beliau bertindak, seperti kenyataannya kepada media bahawa “he was criticised twice in the Umno general assembly for his seeming inaction with regard to these activities.”
Di Parlimen, sehari selepas ke jadian, Musa berkata operasi itu adalah untuk menangkap tiga “penjenayah” iaitu Ustaz Ibrahim dan dua penyokongnya, Mat Ramli Che Mid dan Yusuf Che Mid. Ramli dan Yusuf tidak ada di rumah Ustaz Ibrahim ketika polis menggempur.
Namun, dalam pertuduhan terhadap 34 orang yang ditahan ISA ekoran tragedi itu, mereka didakwa terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara dan ke giatan pelampau agama “bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang sah dengan cara revolusi bersenjata.”
Lebih detailnya, KDN menyebut alasan perintah tahanan ISA sebagai “bertanggungjawab menyediakan senjata merbahaya iaitu jamur, buluh runcing, molotov cocktail, anak panah, lastik ... untuk menggulingkan kerajaan Ma laysia secara kekerasan dan revolusi bersenjata.”
Dua minggu sebelum Muszaffar melancarkan bukunya itu, sa ya sem pat berbicara dengan se orang bekas pegawai tinggi tentera, di majlis rumah terbuka Aidilfitri. Kami banyak menyentuh soal kontroversi Mat Indera dan pengiktirafan terhadap semua pejuang kemerdekaan.
Menyentuh soal banyak isu masa kini yang semuanya hendak dipolitikkan, beliau mengaitkannya dengan Memali: “Kenapa perlu serang dan tembak? Kenapa tidak mengadakan kepungan sehingga melemahkan Ibrahim Libya dan orang-orangnya. Jika dikendalikan dengan baik, tanpa sentimen politik, dan menyerahkan kepada pihak keselamatan untuk menguruskannya, mungkin tiada nyawa melayang.”
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 3 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menaruh harapan agar Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang akan dibentuk dapat menyelesaikan segala kepincangan proses pilihan raya yang menjadi perdebatan umum.
Ahli Parlimen Marang itu sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen di Dewan Rakyat hari ini berkata, segala pandangan yang dikemukakan samaada daripada pihak kerajaan mahukan Pakatan Rakyat harus diterima dan dinilai sebaik mungkin.
"Saya harap pembentukan jawatankuasa ini, segala isinya diambil secara positif, pandangan-pandangan hendaklah dihormati, jangan dibakul sampahkan sahaja," kata beliau.
Ini kerana katanya rakyat sangat mengharapkan pembaharuan dan pembersihan sistem pilihan raya termasuk di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.
"Kami mengalu-alukan pembaikan Suruhanjaya Pilihan Raya dan mestilah melibatkan semua pihak.
"SPR sendiri perlu melihat daftar pemilih yang masih bercelaru di mana jumlah pengundi yang tidak seimbang dengan penduduk dan jumlah kelahiran yang terlalu ramai dan terbukti adanya pendatang asing didaftarkan bagi menjamin kemenangan parti pemerintah," katanya yang juga ADun Rhu Rendang, Terengganu.
Undi pos tidak relevan
Beliau turut berpandangan, undi pos tidak lagi sesuai digunakan kepada anggota tentera kerana negara tidak lagi berada dalam suasana darurat.
"Mengenai undi pos, ini bukan lagi zaman berperang dengan komunis... tentera bukan dalam keadaan darurat. Mereka boleh dibawa mengundi di kawasan masing-masing, boleh diberi cuti tetapi undi pos terus digunakan," katanya lagi.
Ustaz Hadi turut kesal dengan sikap kerajaan yang berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya sedangkan di negara lain, ianya diketahui awal agar semua pihak dapat membuat persiapan rapi, bukan di pihak kerajaan sahaja.
"Undi berulang kali berlaku bahkan tarikh pilihan raya menjadi rahsia. SPR tidak boleh menentukan tarikh pilihan raya dengan sendiri. Banyak negara yang tarikh pilihan raya sudah diketahui awal tapi di negara kita tarikh pilihan raya menjadi teka teki, seolah-olah digunakan awal-awal lagi untuk diambil kesempatan oleh parti pemerintah sahaja," katanya.
Kawasan pilihan raya di negeri Melayu
Selain itu, beliau turut menggesa perubahan kawasan pilihan raya dilakukan agar jumlah pengundi seimbang di setiap kawasan.
"Antaranya perubahan kawasan pilihan raya, mengikut perlembagaan 8 tahun atau 10 tahun sekali diubah kawasan pilihan raya, ditambah kawasan di negeri-negeri.
"Bagi Terengganu, Kelantan, Kedah sudah puluhan tahun tak ada tambahan kawasan pilihan raya..yang ditambah di Johor, Sarawak dan negeri lain.
"Ada kawasan yang jumlah pengundi sampai 80 ribu... di Baling, Tumpat dan banyak lagi daerah tak dipecahkan kawasan ini.
"Mengapa proses tambahan tak dilakukan? Adakah untuk kepentingan dan menjamin kemenangan parti pemerintah?soalnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membentangkan Rang-Rang Undang Pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi memperbaharui sistem pilihan raya.
Ianya merupakan desakan Pakatan Rakyat Ogos lalu akibat penyelewengan dalam sistem pilihan raya antaranya proses pendaftaran penduduk tetap (PR) kepada warganegara dan didaftarkan sebagai pemilih.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS mendakwa kerajaan tidak serius untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen untuk memperbaharui sistem pilihan raya.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, ianya terbukti apabila kerajaan tidak dapat memberi jaminan pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh enam bulan jawatankuasa tersebut menjalankan tugasnya.
"Pakatan minta jaminan pilihan raya tidak akan diadakan sehingga selesai tempoh enam bulan jawatankuasa ini menjalankan tugas mereka.
"Tapi kerajaan tidak dapat beri jaminan dan (Datuk Seri) Nazri (Aziz) kata itu hak Perdana Menteri untuk nak bubar Parlimen dan adakan pilihan raya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seolah-olah menggunakan Parlimen untuk meredakan kemarahan rakyat yang sedar berlakunya penyelewengan dalam proses pilihan raya.
"Kerajaan main-main, menggunakan dewan ini untuk mempermainkan hasrat hati rakyat untuk melihat sistem pilihan raya yang bersih, sekadar nak redakan kemarahan rakyat," katanya.
Selain itu kata Mahfuz, kerajaan juga tidak dapat memberi jaminan segala keputusan jawatankuasa tersebut digunapakai walaupun melibatkan proses undang-undang.
"Satu lagi kita minta jaminan supaya rumusan dan cadangan jawatankuasa ini hendaklah diterima dan dibawa untuk memastikan proses pembaikan.
"Kalau sampai peringkat membabitkan undang-undang dan sebagainya kena diterima, selepas itu baru boleh buat pilihan raya," katanya.
Nada yang sama turut disuarakan seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Salahuddin sewaktu bangun mencelah ketika usul tersebut dibahaskan mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan jawapan yang konkrit mengenai perkara tersebut.
"Izinkan jawatankuasa khas bersidang dalam masa enam bulan dan tidak ada pilihan raya dan kalau ada keputusan penting, itu tanggungjawab kerajaan untuk menunaikannya.
"Adakah jaminan itu boleh diberi oleh menteri yang senior dan kami mengharapkan jaminan yang konkrit, bukan berdolak dalih," katanya.
Utamakan khidmat pelanggan - SUK Muhammad Yusri Amin | KOTA BHARU, 3 Okt: Kakitangan awam di negeri ini diingatkan lebih proaktif bagi mempertingkatkan prestasi perkhidmatan di samping mengutamakan pelanggan. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim berkata, sikap bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan melaksanakan kerja dengan ikhlas adalah sebahagian ajaran Islam. “Bahkan pekerjaan dilakukan itu merupakan satu ibadat. Jika dilaksanakan hanya untuk mendapat gaji semata-mata, maka wang sahajalah yang diperolehi. ”Dan jika pekerjaan itu dilakukan bagi mendapat pujian maka pujian sahajalah yang kita dapat. Namun kalau dilaksana dengan jujur dan ikhlas InsyaAllah mendapat ganjaran daripada Allah swt,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri di sini, baru-baru ini. Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Ketua Jajahan Kota Bharu, Adnan Hussin. Dr Zainuddin juga berkata, Islam amat mementingkan perpaduan, keamanan dan perdamaian di antara suku bangsa, ras, agama, warna kulit dan keturunan. “Kita dituntut saling kenal mengenali antara satu dengan lain, hormat menghormati serta kasih mengasihani. “Perbezaan anutan agama bukan menjadi penghalang terjalinnya persaudaraan sesama manusia, bahkan menimbulkan kesedaran akan tanggungjawab yang besar iaitu saling bertoleransi,” katanya. Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama JAHEAIK, jawatankuasa Jameiah Al-Asriah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, PERKIM dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam. Turut jadir wakil-wakil badan bukan kerajaan termasuk Institut Dakwah PERKIM dan penduduk pelbagai kaum. | | |
Mohd Nor Yahya | KOTA BHARU, 3 Okt: Isu hudud yang dicetus di Kelantan bukan sahaja menjadi polemik di kalangan pemimpin tempatan, malah turut menarik perhatian negara asing termasuk Kesatuan Eropah (EU). Hari ini Duta Kesatuan Eropah, Vincent Piket mengunjungi Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai isu tersebut. Ahmad berkata, duta terbabit diberi penjelasan mengenai hasrat kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud di negeri ini, namun terhalang disebabkan tidak dilakukan pindaan perlembagaan persekutuan. “Nampaknya beliau faham situasi sebenar mengapa Kelantan tidak dapat melaksanakan undang-undang tersebut. ”Ini kerana Kelantan merupakan sebahagian negeri yang bernaung di bawah kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut di pejabatnya petang ini. Isu hudud heboh diperkatakan selepas Kelantan gagal melaksanakannya setelah dilulus pada persidangan Dun 1993 kerana halangan pemimpin Umno dan perlembagaan. Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui pentadbiran negara pernah menghantar surat amaran kepada Kelantan sekiranya melaksanakan hukum hudud. Timbalan Menteri Besar berkata, Duta Kesatuan Eropah nampak berminat mengikut perkembangan semasa yang berlaku di sini sehingga sanggup datang bagi mendapatkan gambaran sebenar. Selain itu katanya, perkembangan tuntutan Bersih 2.0 bagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak adil dan telus turut mendapat perhatian duta berkenaan. ”Hasrat rakyat negara ini yang mahukan keadilan dan ketelusan dalam proses pengendalian pilihan raya turut disentuh pada pertemuan tersebut,” ujarnya. Menurutnya juga Kesatuan Eropoh turut berminat mendekati perkembangan industri batik yang berpotensi dipasarkan ke negara-negara Eropah. Hadir sama pada pertemuan itu anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Okt: Gabungan Pertubuhan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) bersetuju dengan saranan Mufti Perak supaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dikukuhkan. Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, masyarakat perlu difahamkan bahawa Islam bukan sekadar agama rasmi, tetapi ia adalah agama bagi negara. Ini, katanya bermaksud kedudukan agama Islam mestilah sentiasa didaulatkan agar ia tidak mengelirukan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam di Malaysia. “Selama ini, rata-rata masyarakat Malaysia memahami bahawa Islam adalah agama ‘rasmi’,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Perkataan tersebut, kata beliau sebenarnya kurang tepat kerana perlembagaan negara jelas menyatakan bahawa Islam is the religion of federation, iaitu Islam adalah agama bagi persekutuan. Menurutnya, gesaan Kongres Majlis Agama Islam Malaysia yang dilangsungkan pada 26 dan 27 September baru-baru ini juga adalah tepat pada waktunya bagi memperkasa pelaksanaan agama Islam di negeri-negeri di Malaysia. Jelasnya, Islam bukan agama semata-mata untuk acara rasmi kerajaan. Islam, tegasnya adalah agama yang menjadi teras negara, justeru usaha untuk mencabar kedudukan Islam mestilah diambil tindakan serius agar ia tidak berlaku di dalam negara ini. Tambahnya, ACCIN juga berpendapat bahawa pernyataan Islam sebagai agama Persekutuan tersebut adalah selari dengan sejarah perundangan di negara ini di mana perundangan Islam pernah dizahirkan di dalam Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Kedah dan undang-undang di beberapa negeri lain di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. “Oleh kerana itu, isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan sebahagian masyarakat bukan Islam haruslah mengambil kira kedudukan agama Islam di Malaysia,” katanya lagi. Walaubagaimana pun, ujarnya kedudukan Islam sebagai agama yang rahmah tidak menafikan hak-hak perlindungan dan hak-hak yang harus diperolehi oleh masyarakat bukan Islam. “Hak-hak ini juga dijamin di dalam perlembagaan Persekutuan. “Akhirnya, ACCIN menggesa supaya pihak kerajaan mengambil insiatif mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan bagi meningkatkan kefahaman mengenainya di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya lagi.
Abdul Aziz Mustafa | KUALA LUMPUR, 3 Okt: Perdana Menterilah yang bertanggungjawab dan kerajaan patut berasa malu apabila aset Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi isu yang mencurigakan di luar negara, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Apabila kerajaan Australia mengambil tanggungjawab mengenai perkara itu di bawah Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen PBB menentang Jenayah Terancang Transnasional, ia amat memalukan negara ini," kata beliau sambil membangkitkan bahawa kerajaan Switzerland dan kerajaan German juga memberikan komitmen untuk menyiasat perkara yang sama.
Aduan mengenai tuduhan aktiviti rasuah Abdul Taib dan keluarga telah dirujuk oleh Menteri Luar Australia, Kevin Rudd kepada peguam negara itu.
Aduan tersebut dibuat oleh pengarah eksekutif Bruno Manser Funds (BMF), Lukas Straumann; editor Sarawak Report, Claire Rewcastle dan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.
Mereka melahirkan kebimbangan Abdul Taib dan keluarganya "mungkin menggubah dan melabur semula sejumlah besar hasil rasuah di Australia".
Salahuddin berkata, jika kerajaan Malaysia bertindak pantas, tanpa memihak dan bersungguh-sungguh terhadap pelbagai aduan yang telah lama dibuat mengenai perkara itu, perkara yang memalukan negara ini mungkin boleh dielakkan.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Abdul Razak) bertanggungjawab secara peribadi terhadap perkara ini kerana perkara ini telah lama dibawa ke pengetahuan kerajaannya.
"Beliau bukan sahaja tidak memperlihatkan keinginan untuk bertindak dengan sewajarnya, malah melantik semua Abdul Taib sebagai calon dan mengepalai Barisan Nasional (BN) di Sarawak dalam pilihan raya negeri itu April lalu.
"Najiblah yang bertanggungjawab sehingga negara dimalukan sebegini rupa," katanya.
Aduan BMF mengenai perkara yang sama juga mendapat reaksi Menteri Kewangan Kanada.
Salahuddin berharap usaha-usaha bersama dapat dilakukan dengan pelbagai pihak untuk menyedarkan lebih ramai rakyat Sarawak mengenai perkara itu.
Abdul Aziz Mustafa | KUALA LUMPUR, 3 Okt: Ketika hudud semakin menyerlahkan kemunafikan Umno, sekurang-kurangnya DAP tidak menolak hudud atas alasan Perlembagaan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"DAP sekurang-kurangnya menolak hudud dengan menggunakan hujjah Perlembagaan negara dan apa yang difahaminya sebagai prinsip sekularisme dalam perlembagaan itu.
"Tetapi, tanpa sebarang hujjah yang munasabah, malah berbelit-belit dengan dalih-dalih yang telah lama dipatahkan, Umno mengulang-ulang sikap menuduh hudud tidak sesuai dilaksanakan walaupun tidak berani lagi mencerca undang-undang hudud sebagai primitif dan sebagainya," kata beliau.
Mahfuz menekankan, sepatutnya para pemimpin Umno yang beragama Islam beriman kepada undang-undang Allah dan bukan mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan secara terang-terangan penghinaan mereka kepada undang-undang Allah kerana menyifatkannya tidak sesuai dan menggambarkannya tidak adil.
"Tidak mahu buat tidak memberikan hak kepada Umno untuk menghina undang-undang Islam.
"Kini, Umno tidak boleh lagi marah-marah kalau rakyat menuduh Umno bukan sahaja mengkhinati dan menjual bangsa, ugama Islam juga dihina dan dikhinati berulang-ulang kali," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengalu-alukan pandangan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari yang menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan. Menurut Dr Abdul Aziz, beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukum hudud.
Keperluan itu, katanya, tidak wujud sebab sebahagian hukum hudud sudah pun dilaksanakan dalam bentuk jenayah syariah.
"Contohnya zina dan murtad, cuma hukumannya tidak mengikut Islam," kata beliau.
Oleh itu kata beliau lagi, "logiknya mereka yang berkata hudud perlu pinda Perlembagaan (Persekutuan), maka apa yang ada itu, yakni jenayah syariah tadi, adalah tidak sah."
"Ini tidak masuk akal," kata beliau lagi. Dr Abdul Aziz juga menolak pandangan Majlis Peguam yang menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri. Wacana hudud adalah perkembangan sihat yang membuka minda kita, termasuk pengamal undang-undang. Kali ini umpamanya kita cuba melihat pelaksanaan di peringkat negeri; dalam kerangka jenayah syariah. Bukan dalam kerangka undang-undang jenayah konvensional di peringkat nasional.
"Ini merangsang minda; Majlis Peguam masih ketinggalan kerana melihat pelaksanaan itu dalam kerangka lama. Sebab itu, mereka kata ini retorik politik," kata beliau. Dr Abdul Aziz berkata, adalah sesuatu janggal kerana Majlis Peguam tidak memberikan prinsip federalisme satu pertimbangan dalam kenyataannya berkaitan dengan isu hukum hudud.
"Prinsip (federalisme) adalah penting dalam membebaskan sistem (perundangan)," katanya lagi.
"Apabila perlembagaan membisu ataupun ada konflik seperti ini, maka undang-undang akan memberi laluan kepada negeri." | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan