Khamis, 13 Oktober 2011

BILA RAKYAT DAH RAMAI YANG BIJAK...MATANG...TAHU SAPE PENIPU....PEMBELIT...RASUAH...AMBIK HAK RAKYAT...MAKA SUSAHLAH....NAK MENYAKINKAN LAGI

Rakyat untung bila oposisi kuat | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas Belanjawan 2010 berkata, terserah kepada mana-mana pihak untuk melabelkannya sebagai "belanjawan pilihan raya". "Kalau ada pihak yang mengatakan ini election budget, itu terserah kepada mereka ... bila election nak diadakan? Bila?" soalnya kepada wartawan.

"Jelas ia merupakan helah pilihan raya," kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa sebahagian daripada pengumuman dalam bajet itu dicedok daripada bajet Pakatan Rakyat. "Ini bukan cara sesuatu bajet dirangka," katanya yang turut membangkitkan bahawa isu ketelusan, rasuah, salahurus dan pembaziran tidak ditangani.

Tiada siapa dapat menafikan, bahawa apa sahaja gerak-tindak Dato' Seri Najib Razak mutakhir ini, pasti sarat dengan motif dan tujuan politik. Apatah lagi event sehebat pembentangan bajet, yang menjadi tumpuan seluruh rakyat, malah ia dianggap ucapan terpenting di Dewan Rakyat setiap tahun, tambahan pula Parlimen dijangka dibubarkan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Apa pun istilah yang mahu dikaitkan, sama ada "bajet pilihan raya", "bajet gelabah", "bajet tiruan" mahupun "bajet cedok", bagi saya, yang lebih penting adalah manfaat yang akan diraih rakyat terbanyak. Biarlah parti-parti politik bersaing secara sihat, dalam iklim demokrasi yang makin segar, menuju pembentukan sistem dua parti yang matang, yang mustahak, natijah akhirnya harus memberi keuntungan kepada setiap warga.

Contohnya, jika ucapan Mohamad Sabu mengenai pejuang kemerdekaan dan peristiwa Bukit Kepong 60 tahun lalu tidak dipersepsikan secara negatif oleh Utusan Malaysia (dengan dorongan strategis Umno-BN dan pihak polis), saya yakin nasib bekas perajurit zaman darurat tentu tidak akan mendapat perhatian serius pihak kerajaan. Mungkin pusara mereka yang terkorban di Bukit Kepong juga terus tidak terjaga.

Dan terbukti, dalam bajet Jumaaat lalu, kebajikan bekas anggota keselamatan merupakan antara yang menjadi prioriti. Najib mengumumkan, bagi mengenang jasa polis khas dan polis tambahan pada zaman darurat, kerajaan akan memberi insentif RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis, duda dan balu. Apakah anda yakin bantuan ini terfikir oleh kerajaan jika tidak timbul kontroversi Mat Sabu dan "Sabuisme"nya itu?

Sekiranya pembangkang kekal di takuk lama, sekadar memanaskan persidangan Dun mahupun Parlimen, tentunya kita terpaksa menunggu masa lebih lama untuk melihat pelbagai perubahan atau langkah transformasi dilakukan kerajaan. Tanpa suara desakan rakyat yang kuat, khususnya yang dilaungkan melalui siri demonstrasi besar-besaran di tengah ibu kota, usah berharap ISA dan PPSMI dimansuhkan, begitu juga dengan langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.

Kalau pengundi di Sabah dan Sarawak tidak membuktikan mereka sememangnya benar-benar menjadi penyelamat kepada BN dalam PRU12, janganlah bermimpi pemimpin Pusat akan memberi lebih perhatian, dan wakil-wakil rakyat di sana pula tidak akan menjadi "anak emas" yang sentiasa diperhatikan rengekan mereka.

Tidak terkecuali, sekiranya Pakatan Rakyat tidak mengemukakan "belanjawan bayangan" lebih awal daripada pembentangan Najib, atau pihak pembangkang tidak berjaya menampilkan keupayaan dan kemampuan untuk menggugat kedudukan BN, seperti dizahirkan pada Mac 2008, saya percaya tidak akan berlaku "perebutan untuk melakukan kebaikan" bagi menunjukkan kepada rakyat, siapa yang lebih prihatin dengan degup jantung masyarakat bawahan.

Berulang kali dinyatakan, PRU13 adalah pertembungan paling sengit, bagi menentukan siapa bakal menerajui kerajaan. Sepanjang 54 tahun merdeka, negara belum pernah menyaksikan pilihan raya yang mana pengundi benar-benar "mempunyai pilihan" seperti yang akan kita hadapi tidak lama lagi. Justeru, setiap undi walaupun daripada sektor paling kecil, pasti menjadi perkiraan setiap parti yang bertanding.

"Semua parti kini menjadi begitu kalkulatif, cukup 'berkira', dan tidak boleh meremehkan apa jua faktor, meskipun dilihat kecil, apatah lagi kesan atau impak daripada bajet 2012," kata seorang pemerhati politik. "Bagaimanapun, saya kira rakyat lebih cerdik dan matang untuk membuat penilaian. Najib dan BN belum lagi dapat melangkah ke zon selesa hanya kerana bajet yang banyak menawarkan faedah kepada rakyat ini," tambahnya.

Malaysian Insider memetik ulasan pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin yang berkata walaupun bajet yang diumumkan memberi faedah kepada rakyat, namun ia bukan penentu BN akan terus menerajui negara pada PRU13.

"Ia memanglah bajet tentang pilihan raya umum kerana semua dapat habuan masing-masing, kalau kita lihat kakitangan awam dapat bonus, pesara, warga emas, pemandu teksi juga dapat. Ia adalah bajet pilihan raya tapi ia bukan penentu kerana ia masih bergantung kepada saat-saat akhir sebelum pilihan raya umum tapi perkara ini boleh menjadi satu perkara yang baik kepada BN," katanya.

Pandangan hampir sama dilontarkan penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani: "Ia bukan penentu tapi kalau kita lihat ia positif kepada rakyat terutamanya golongan sederhana yang menjadi majoriti pengundi dan yang paling utama adalah kakitangan awam dan ia akan beri tempias positif kepada BN."

saya sendiri kurang pasti bagaimana bajet ini dapat membantu golongan rendah dan pertengahan berdepan dengan kegawatan peningkatan kos sara hidup yang berterusan. Dengan pengumuman bonus, kenaikan gaji, bayaran one-off dan beberapa insentif lain, dijangka ia akan disusuli kenaikan harga barangan, yang membebankan rakyat keseluruhannya, terutama yang tidak dapat menyerapnya kerana mereka tidak termasuk dalam golongan yang menerima faedah langsung bajet.

"Saya rasa pelik bila media sudah tidak bising lagi walaupun harga ayam mencanak tinggi, melebihi RM9.00 sekilogram. Apakah fenomena kos barangan dapur naik ini sudah dianggap biasa dan tidak perlu diperjuangkan lagi? Kasihanilah kami orang bawahan," demikian panggilan telefon yang saya terima dua bulan lalu. Pemanggil mahu Harakah dan PAS prihatin dengan kesusahan rakyat ekoran kenaikan barangan keperluan harian.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengulas bajet, mengingatkan: "Tetapi apa yang saya bimbang, banyak bantuan itu bersifat one-off. Apakah jaminan bahawa bantuan ini tidak akan ditarik balik selepas ini?"

Kekhuatiran serupa dilahirkan Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng: "Kita tidak tahu apakah ia hanya diberikan setiap tahun atau hanya lima tahun sekali. Hanya masa pilihan raya saja bagi, lepas itu tak ada bagi lagi. Bukan macam negeri Pakatan Rakyat, setiap tahun kita bagi tak kira ada pilihan raya atau tidak."

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua, turut menyinggung bantuan one-off ini: "Tak cukup dengan bantuan one-off. Lebih penting ialah kukuhkan institusi supaya pembahagian harta negara ini lebih telus dan adil. Kita juga tekankan kecekapan institusi kerajaan di mana rasuah dapat dikurangkan dan ketirisan dikurangkan. Ini tidak banyak ditekankan dalam bajet Perdana Menteri, contohnya pengukuhan SPRM, Suhakam, dan kehakiman. Ini tidak disebut."

Dalam hal ini, saya teringat luahan rasa tidak puas hati Najib terhadap sikap rakyat yang dilihat tidak mengenang budi atau berterima kasih terhadap segala bantuan BN. Masa yang sama Najib, dalam satu program politik di Selangor, merungut apabila melihat rakyat lebih menyanjung bantuan kecil daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Perkara sama turut diluahkan Dato' Seri Noh Omar, timbalan Najib dalam Umno Selangor. Najib dan Noh seolah-olah hairan mengapa rakyat teruja dengan bantuan kerajaan Pakatan yang nilainya jauh lebih kecil berbanding sumbangan kerajaan pusat. Masakan tidak, misalnya bantuan RM100 Pakatan untuk setahun diingati rakyat tetapi bantuan pusat RM300 sebulan dianggap sebagai hak yang sepatutnya diperolehi.

Dan saya yakin, situasi hampir sama mungkin dihadapi Najib dengan pembentangan Najib ini. Rakyat yang melihat bagaimana pemimpin Umno-BN, kroni serta suku-sakat mereka mengaut keuntungan besar daripada projek-projek kerajaan, khususnya yang diumumkan dalam bajet, semakin meluat dengan tindakan tamak itu. Dan jangan lupa karenah dan gelagat Rosmah Mansor yang "memualkan" itu, meskipun peruntukan untuk Permata tidak diselitkan dalam ucapan Najib.

"Rakyat hanya dapat kuah dan tulang, sedangkan elit politik sapu segala isinya," itulah suara hati rakyat. Bayangkan berapa banyak "keuntungan atas angin" yang dikaut melalui projek pembinaan jalan, pembinaan infrastruktur dan lain-lain atas nama kemudahan untuk rakyat.

Kos projek tidak lagi kompetitif dan ketirisan meleleh di mana-mana apabila tender terbuka tidak dijalankan. Di peringkat negeri, menteri besar ataupun ketua menteri bertindak bagai pengerusi lembaga tender, yang mengagihkan tender sesuka hati. Cubalah tanya pengalaman Dr Khir Toyo atau apa yang dilakukan Dato' Seri Mohd Ali Rustam sekarang.

"Lutfi, cuba kau bangkitkan isu gaji minimum yang langsung tak disentuh Najib. Lagi satu, apa sudah jadi dengan janji-janji sistem pengangkutan awam yang efisyen. Juga tentang bebanan hutang negara, kini dah melebihi RM450 bilion. Anak muda kini pula ramai menjadi muflis kerana berbelanja melebihi kemampuan terutama yang dibankrapkan akibat penggunaan kad kredit," seorang teman mengomel. Ya, rupanya masih banyak isu rakyat yang belum ditangani Najib dalam "belanjawan terbaiknya" itu.

II.

Mengingati anugerah khas PAS buat Pahlawan Umat, Dr Burhanuddin Al-Helmy, saya terbaca puisi khas Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, yang dilafazkannya di kongres 60 tahun PAS di Kepala Batas, baru-baru ini.

Tapak yang Luhur
(Istimewa buat Dr Burhanuddin Al-Helmy)

Bertapak atas batas yang luhur
bersumpah lidah sufi tersohor
disedarkannya lara bangsa
waja dirangsang tepis membantah.

Awal lagi semangat bernyala
dihembus bara merdeka bangsa.
Pagi ke malam berjuang tegap
di tengah rakyat gigih bersikap.

Bersilat atas bumi yang subur
bisik bersikap qalbu sejujur
menyala unggun zaman yang garang
membakar tekad cekal berjuang.

Bersama bangsa bangkitlah ia
tegas perkukuh asas merdeka.

Sambil membelek koleksi puisi SN Usman Awang, saya terpandang sajak ditujukan khusus buat gandingan Burhanuddin, iaitu Dr Zulkifli Mohamad:

Bintang di Langit Zaman
(Zulkifli dalam Kenangan)

Hanya semalam baru dijulang kemenangan harum
direnggut mengejut ketika teman dan lawan merasa kagum
meninggalkan terkulai dua hati yang masih muda
untuk berteriak dan memanggil-manggil nama yang telah tiada.....

Begitu pendek nafas ini berdetik dalam usia hidup
setiap manusia dalam perjalanan ke pintu maut
tapi kematian seorang berjasa lebih memberi erti
kerana kematian itu sendiri menyebabkan ia tidak mati
seperti sekarang kita menyebut-nyebut namanya, dan ia
telah menjelma menjadi bintang bersinar di langit zaman.


Lynas: Mahathir patut pindah ke Gebeng | Print |
Subky Latif

PROJEK dan pelaburan Lynas di Gebeng, Kuantan terus terawang-awang apakah ia bahaya untuk alam sekitar atau ia selamat untuk didiami oleh manusia?

Pakatan Rakyat menyokong Anggota Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh mahu projek itu dikaji semula tetapi kerajaan Pahang yang mendapat sokongan pusat tidak bercadang untuk menangguhkannya.

Tidak badan berwibawa dibentuk bagi membuat kajian atas projek yang dipertikai itu.

Apa pun isu itu telah menimbulkan rasa ragu setengah penduduk atas keselamatan mendiami kawasan itu.

Dr. Mahathir keluar dengan kenyataannya memihak kepada kerajaan Pahang, mengira ia tidak mengancam mesra alam dan selamat untuk semua. Tetapi tidaklah mudah bagi orang yang bimbang untuk menerima jaminan Dr. Mahathir itu.

Dr. Mahathir boleh jadi bercakap betul, tetapi tidaklah mudah bagi meyakinkan semua orang.

Jika pandangan Dr. Mahathir itu tepat, apa cara bagi meyakinkan orang-orang yang bimbang dengan keselamatan mereka?

Ada satu cara bagi merdakan keraguan setengah orang itu. Ia itu Dr. Mahatahir dan setengah pembesar Pahang pindah ke Gebeng. Beli rumah di situ dan tinggal di situ. Bukan pergi sekali sekala. Tetapi banyakkan masa tinggal di situ.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Adnan Yaakub dan keluarganya juga pindah ke kawasan itu.

Jika Dr. Mahathir bertindak pindah ke situ, maka ia boleh meyakinkan orang lain membenar projek itu dan menerima apa yang disangsikan.

Apakah Dr. Mahathir terpaksa bertindak begitu?

Tidak ada cara bagi menyakinkan orang lain, melainkan beliau terpaksa mengambil risiko menghadapi apa juga kemunginannya. Sekadar dia bercakap mengatakan selamat dan tidak bahaya tidak memadai. Tidak menyakinkan orang lain.

Sebagai pemimpin Dr. Mahathir boleh mengambil contoh dari tindakan Rasulullah SAW dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah.

Rombongan baginda disekat di Hudaibiyah. Tidak dibenarkan menunaikan Umrah. Rombongan sekitar 1,400 jamaah umrah terpaksa membatal niat umrah, terpaksa pulang ke Madinah. Hanya tahun akan datang baru boleh masuk Mekah bagi menunaikan umrah.

Baginda bersetuju dengan tuntutan musyrikin Mekah. Para sahabat yang kanan dalam rombongan itu semuanya tidak gembira dengan persetujuan Rasulullah SAW itu. Mereka kira ia satu kekalahan bagi baginda.

Musyrikin Quraisy menolak kalimah Muhamad Rasulullah dalam draf perjanjian Hudaibiyah yang ditulis oleh Saidina Ali kerana mereka tidak percaya baginda Rasulullah. Mereka menerima kalimah Muhammad saja. Baginda bersetuju tetapi Saidina Ali enggan memadam kalimah Rasulullah. Baginda mengambil draf itu dan memadam sendiri kalimah Rasulullah itu.

Sebelum berangkat pulang ke Madinah baginda memerintahkan sekaliannya supaya bercukur atau memotong rambut bagi membatalkan niat umrah itu supaya bolehlah pakaian ihram ditanggalkan.

Tidak seorang pun, termasuk Saidina Umar al-Khatab, melaksanakan perintah baginda. Ini menyebabkan baginda dukacita dan masuk berihak di khemahnya. Baginda menyatakan kepiluannya kerana perintah itu tidak dipatuhi oleh sekalian.

Isterinya lalu menasihatkan baginda supaya keluar khemah dan mencukur rambutnya dulu, nescaya sekaliannya akan mengikut apa yang dibuat oleh baginda.

Baginda pun keluar dan bercukur. Seluruhnya bercukur.

Buat kali itu sahabat tidak melaksanakan perintah baginda, maka baginda terpaksa menjalannya dulu, maka orang lain pun akan mengikut perbuatannya.

Dalam hal ini jika Dr. Mahathir mengikut contoh yang ditunjuk Rasulullah SAW itu, pindah ke Gebeng, berumah tangga di situ. Bersedia mengambil risiko walau pun apa yang terjadi.

Apabila dia pindah di situ berjamaah bersama penduduk setiap waktu, moga-moga percaya mereka, projek itu tidak mengancam keselamatan orang ramai.

Tetapi sekadar kata ia selamat, tak jadi. Ada yang percaya, ada yang tidak percaya.


Hudud kekal, Pakatan pun kekal | Print |
Subky Latif
Kekecohan atas isu pelaksanaan hudud antara PAS dan sekutu Pakatan Rakyatnya terutama DAP telah diselesaikan dengan baik mengikut semangat muafakat Pakatan Rakyat.

PAS kekal boleh meneruskan dakwahnya bagi memperkenalkan hudud kepada masyarakat seumumnya dan mengakui hak DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum itu.

Tetapi DAP yang tidak setuju itu pula mengaku hak PAS untuk memperkenalkannya yang menjadi cita-citanya sejak PAS ditubuhkan 60 tahun lalu.

Sekalipun terdapat perbezaan pandangan dan sikap atas perkara itu oleh kedua pihak, keduanya bersetuju, bahawa mereka tidak setuju atas satu perkara itu secara nyata tetapi mereka bersetuju dalam banyak perkara lain bagi menegakkan kerajaan bersama dan membina negara dan masyarakat yang adil dan kukuh.

Komponen Pakatan Rakyat dan penyokongnya berkongsi banyak yang boleh menjadikan Pakatan Rakyat satu muafakat politik yang kuat yang mampu mengambil alih tampuk pemerintahan dan sudah bersedia menjadi alternative kepada Barisan Nasional baik sebagai parti politik yang bertenaga dan sudah pun kerajaan yang menunggu.

Pada masa bersetuju mengadakan kerjasama pilihan raya menjelang PRU 1999 dulu dan membentuk Pakatan Rakyat selepas PRU 12 tahun 2008 dulu, DAP dan PKR sudah pun tahu bahawa hudud adalah satu cita-cita PAS sejak mula, dan PAS juga tahu bahawa DAP tidak tertarik dengannya lama sebelum kedua-dua pihak boleh duduk semeja.

Perbezaan itu telah wujud sejak awal tetapi perbezaan itu tidak menghalang kedua pihak untuk mengadakan kerjasama politik yang besar hingga kini Pakatan Rakyat berjaya melayakkan Malaysia menyamai negara-negara demokrasi dan maju di dunia mempunyai lebih dari satu kerabat parti poliltik alternatif yang kuat.

Britain dan Amerika ada parti pemerintah dan parti pembangkang yang menjadi kerajaan yang menunggu. Begitu juga Perancis, Jerman, Australia dan lain wujud lebih dari satu parti yang bergilir-gilir menjadi kerajaan atau menjadi pembangkang mengikut keputusan rakyat dalam pilihan raya.

Malaysia sejak merdeka tahun 1957 dan sejak pembentukan Malaysia tahun 1963 tidak ada kedewasaan politik yang kondusif seperti itu, hingga meletakkan BN yang dulunya Periktan parti yang monopoli kuasa dan menapikan hak rakyat membuat pilihan.

Sekalian ahli fikir dan penggiat politik tahu bahawa kuasa itu korap dan kuasa sepenuhnya terdedah kepada korap sepenuhnya. Sekalipun Tunku Abdul Rahman Putra dan Umno memperkenalkan amalan demokrasi kepada masyarakat negara, justeru monopoli politik yang tidak dapat dipecahkan, menjadikan negara dan kerajaan rasuah sepenuhnya dan menyeleweng seadanya.

Rakyat sedar segala kepincangan itu dan rakyat jugalah yang menuntut supaya diwujudkan satu pakatan alternatif yang kuat yang boleh mencabar monopoli kuasa itu. Rakyat juga yang menuntut supaya parti-parti pembangkang yang banyak dan tidak cukup tenaga itu mengenepikan perbezaan atau mengurangkan perbezaan bagi membentuk satu gabungan parti alternatif yang kuat yang berupaya memecahkan monopoli kuasa yang rasuah dan menyeleweng itu. PAS, PKR dan DAP telah menyambut cabaran rakyat itu. Mereka sudah melupakan berbezaan itu kecuali dalam satu isu iaitu hudud. PAS tahu DAP tidak setuju hudud dan DAP tahu PAS tidak setia mengggurkan hudud. Kalau tidak boleh bersetuju dalam semua perkara, janganlah semua perkara tidak disetujui.

Lalu mereka bersetuju satu dua perkara yang tidak disetujui, tidak menghalang mereka mengadakan pakatan kerana mereka sudah bersetuju dalam banyak perkara.

Yang tidak bersetuju dengan hudud itu bukanlah DAP saja. Umno telah menzahirkan tidak setujunya lama sebelum DAP dan PAS mengadakan muafakat. Umno menganut Islam tidak bersetuju dengan hudud dan ia juga tidak setuju dengan banyak perkara yang PAS perjuangkan. DAP tidak menganut Islam, maka ia tidak setuju dengan hudud tetapi ia setuju dengan banyak perkara yang diperjuangkan oleh PAS.

PAS mengemukakan konsep negara berkebajikan yang mendukung cita-cita dan ajaran Islam. DAP menerimanya. PAS mahu hisbah, DAP tidak menolaknya. DAP mahu sebuah pemerintahan bersih dari rasuah, reaksi PAS pula ia juga yang PAS cita-cita.

Jika PAS terus bercakap tentang hudud dalam kontek adanya kerjasama dengan DAP dan lain, bukan ia tidak pelayan pendirian DAP tetapi adalah untuk menerangkan kepada masyarakat umum dalam dan luar negara betapa indahnya hudud dan hudud tidak mengancam keamanan dan anutan mana agama lain.

Cara PAS dan DAP menyelesaikan perbezaan dalam isu hudud itu membayang cara dan keupayaan mereka mengatasi segala masalah yang berbangkit kiranya rakyat memberi mandad mentadbirkan Putrajaya nanti.

Bagaimana kerajaan DAP di Pulau Pinang melayan isu Islam dan orang Islam mencerminkan sikapnya jika Pakatan diizinkan membentuk kerajaan pusat, dan bagaiama kerajaan Kelantan dan Kedah melayalan orang bukan Islam membayangkaan keadilan yang akan serlahkan dalam kerajaan bersama di Putrajaya nanti....The Malaysian Insider.


Bajet 2012 manifesto PRU13
Mohd Nasir Zakaria

Menekuni Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan respon segera rakyat menjadikan kita percaya bahawa inilah bajet yang menentukan hidup mati Barisan Nasional. Lebih tepat ia adalah sebuah manifesto yang merupakan satu 'counter offer' atau tawaran balas terhadap bajet Pakatan Rakyat. Tekanan yang kerajaan pimpinan DS Najib hadapi apabila berdepan dengan tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah kayu ukur terhadap beberapa tindakan terdesak termasuklah pengumuman pemansuhan ISA dan bajet durian runtuh pada kali ini.

Bajet adalah instrumen utama dalam urus tadbir kewangan kerajaan yang melibatkan perancangan, unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Inti kepada belanjawan ialah cukai dan perbelanjaan kerajaan demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan, pengawalan inflasi dan pengurangan pengangguran. Sebagai anak muda, saya ingin membawa tulisan ini bagi melihat secara ringkas bajet ini berdasarkan pemerhatian sepintas lalu.

Pertama. Bajet ini kata DS Najib ialah Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. Kebanyakan tawaran bersifat 'one off' ini betul, boleh menggembirakan dan menghiburkan rakyat yang bersifat sementara. Sebanyak 1.3 juta rakyat yang terdiri daripada penjawat awam agak dilayan oleh Barisan Nasional. Sedangkan jumlah sebenar pekerja di dalam negara kita ialah kira-kira 12 juta. Apa nasib mereka yang terlibat di dalam sektor swasta dan pekerjaan tidak formal.

Kedua. Kesan langsung kenaikan gred sektor awam ini akan menyebabkan sektor masyarakat terbanyak yang terdiri daripada swasta dan pekerja tidak formal berdepan dengan inflasi. Contohnya bagaimana nasib, penoreh getah dan petani di Padang Terap Apakah insentif dalam bentuk polisi yang disediakan kepada khalayak ini. Kuasa beli semakin menurun.

Ketiga. Kerunsingan saya juga ialah berkaitan dengan golongan belia yang menganggur. Menanggung hutang pengajian daripada PTPTN ataupun yang terrcicir daripada pengajian. Golongan belia yang menganggur yang sudah menghampiri 100 ribu daripada golongan siswazah. Berdasarkan unjuran Bajet 2012, pengangguran dalam lingkungan 3.5 peratus. Ia mewakili hampir 400 ribu daripada guna tenaga rakyat Malaysia!!. Unjuran kerajaan itupun masih dipertikaikan oleh pakar ekonomi.

Keempat. Umur pencen yang dinaikkan oleh kerajaan kepada 60 tahun juga menimbulkan reaksi pelbagai. Pada persepsi saya, ia akan menyebabkan peluang pekerjaan baru kepada siswazah dan kenaikan pangkat akan terbeku selama dua tahun paling kurang. Janji Perdana Menteri akan mewujudkan peluang baru melalui sektor swasta adalah sangat subjektif berdasarkan unjuran angka pengangguran yang semakin membesar.

Kelima. Saya sangat gusar apabila bajet yang lebih populis ini hanya menyebut 'durian runtuh' kepada peneroka. Apakah sebenarnya polisi kerajaan untuk membantu anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA, FELCRA dan lembaga-lembaga seperti KEDA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain. Penyenaraian Felda Global Ventures yang diumumkan juga menimbulkan beberapa tandatanya termasuklah tentang keperluan Felda mendapatkan kewangan melalui IPO dan pembukaan saham Felda kepada orang luar Felda.

Keenam. Saya masih menunggu pelancaran kerajaan satu Skim Amanah yang patuh syariah. Seingat saya, daripada 10 skim amanah yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad, masih belum wujud walaupun satu Skim Amanah yang benar-benar patuh syariah.

Ketujuh. Peruntukan sekolah agama rakyat yang masih dikesampingkan lanjutan dendam politik sejak sekian lama. Tanpa mempertikaikan bantuan kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cinadan Tamil serta sekolah agama bantuan kerajaan dan mubaligh, Sekolah Agama rakyat yang berjumlah 161 buah dengan 20 764 orang murid masih tiada cerita. Manakala Sekolah Rendah Agama berjumlah 1132 buah dengan 208,000 pelajar masih terkebelakang.

Kelapan. Arahan khusus agar GLC menggunakan instrumen kewangan Islam dan menggunakan sistem perbankan Islam. Keperluan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan GLC menyokong perbankan Islam. Hanya sekitar 22 peratus penyertaan GLC.

Kesembilan. Saya kecewa apabila bajet ini tidak ditekankan peperangan terhadap rasuah dan ketirisan. Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira 28 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan dan rasuah pada 2008. Bajet durian runtuh ini akan mendedahkan lebih ruang terhadap berlaku ketirisan.

Kesepuluh. Saya menyambut baik bajet pembangunan fizikal untuk golongan belia. Namun program peningkatan iman, shahsiyyah masih lagi bukan keutamaan kerajaan. Gejala sosial yang parah termasuk kes zina, rogol dan bunuh yang menakutkan tidak akan mampu ditangani tanpa pembangunan bersepadu mental, jasad dan roh.

Kesebelas. Dalam kerancakan industri perbankan dan kewangan Islam Malaysia, kerajaan yang mendakwa ingin terus mengekalkan Malaysia sebagai antara hub kewangan Islam terbaik dunia meneruskan sokongan kepada sistem riba. Dana Perkhidmatan Profesional yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih dalam bentuk pinjaman mudah masih mengenakan faedah 4 peratus.

Kedua belas. Isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos sara hidup. Persoalannya adakah bajet kali ini memberi nilai sebenar kepada kos sara hidup rakyat. Fomca telah melaporkan harga makanan naik 83 peratus dalam masa 4 tahun..!!!! Harga gula naik 27 peratus manakala sayur naik 16 peratus, telur, dairy dan daging naik 10 peratus dan buah naik 9 peratus berbanding tahun lepas. Perbelanjaan isirumah utk makanan adalah 40-50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.
Justeru itu, saya masih melihat bahawa bajet ini masih bersifat satu langkah berbentuk populis, tak mengambil kira strategi khusus dengan memberi fardah langsung tanpa mengira impak ekonomi jangka panjang. Apapun Pakatan Rakyat telah memberi satu dimensi baru terhadap penyediaan bajet kerajaan dengan satu pilihan dan tawaran kepada rakyat. Bajet Pakatan Rakyat telah diberi satu perhatian serius oleh kerajaan dan saya percaya diteliti dengan penuh minat oleh rakyat.

Mohd Nasir Zakaria adalah Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah


Mampukah Bajet 2012 kembalikan kuasa 2/3 BN?
Dr Rosli Yaakop
Belanjawan 2012 cukup pemurah. Ada yang berlinangan air mata mengenangkan kemurahan hati Perdana Menteri Malaysia. Semua golongan mendapat habuan. Berjuta-juta orang murid sekolah yang belum layak mengundi pun mendapat habuan. Ibu penulis bakal mendapat RM3,000 sebab arwah ayahanda pernah menjadi AC di zaman penjajah.

Nampaknya, kerajaan UMNO-BN betul-betul mahu menjaga kebajikan rakyat – dan mesej itulah yang mahu diangkat setingginya - walaupun terpaksa bergadai bergolok dan dalam keadaan hutang negara semakin menimbun setelah masuk 14 tahun berbelanja boros. Ini betul-betul “Rakyat First” namanya. Hutang bertimbun tidak kesah. Bukan generasi ini yang akan membayar. Yang akan membayarnya generasi hadapan. Hai orang muda, tengoklah! Kerajaan UMNO-BN mewariskan kepada generasi hadapan hutang bertimbun bukan harapan segunung. Lihatlah negara Greek dan Amerika Syarikat. Akibat keborosan generasi lalu, generasi kini yang menanggung bebannya. Generasi lalu menikmati taraf hidup yang luarbiasa tingginya tetapi generasi kini hidup merempat.

Dalam tahun 2012, kerajaan UMNO-BN akan berbelanja RM232.8 bilion, 5.8% lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan tahun 2011 (RM220 bilion). Hasil dianggarkan RM186.9 bilion menyebabkan difisit belanjawan sebanyak RM49.4 bilion atau 4.7% daripada KDNK. Ini bermakna kerajaan terpaksa berhutang lagi. Tiap-tiap tahun kerajaan menambah hutang dalam tempoh 14 tahun kebelakangan ini. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu langsung mengambil iktibar daripada kerajaan Ireland, Greek, Itali dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berada di ambang keranapan disebabkan perangai suka berhutang.

Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, longgokkan lebihan belanjawan supaya lebihan ini boleh dibelanjakan semasa ekonomi merosot. Disiplin fiskal ini ditolak ketepi oleh kerajaan UMNO-BN. Mereka berbelanja boros sepanjang masa tanpa langsung mengambil kira betapa beratnya generasi akan datang hendak menanggung beban keborosan generasi kini. Ini adalah pengurusan fiskal yang tidak bertanggungjawab. Dalam tahun 2012 mereka akan berbelanja boros lagi kerana kononnya hendak melawan impak negetif ke atas ekonomi negara akibat tren kitaran menurun yang dihadapi ekonomi dunia sekarang. Sebenarnya, kerajaan UMNO-BN berbelanja besar untuk membeli undi dalam PRU13 yang akan diadakan sebentar sahaja lagi. Ambil “Pakej Rangsangan Khas” dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion sebagi contoh. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah dan membina bangunan tambahan, menaikkan taraf hospital, melaksanakan program tebat banjir, menaikkan taraf infrastruktur luar bandar dan membina rumah awam untuk golongan berpendapatan rendah dan nelayan. Setiap kali pilihanraya, inilah projek yang dilaksanakan.

Sayogia diketahui projek-projek ini semuanya tidak mempunyai “forward and backward linkages” yang besar dan tidak memberi impak terbaik untuk melawan kemelesetan ekonomi. Hakikatnyanya ialah, peruntukan ini hendak diagihkan secara segera kepada kontraktor-kontraktor kecil yang terdiri dari ketua-kutua cawangan dan bahagian parti tertentu sebagai “minyak pelincir” kepada jentera pilihan raya. Sudah 54 tahun kita merdeka, takkan rakyat tidak masak lagi dengan tipu muslihat kerajaan UMNO-BN ini? Jalan-jalan kampong yang diturap semula memang tidak berkualiti. Lepas tiga empat bulan ianya berlopak semula. Bangunan sekolah runtuh dan jambatan ruboh,

Belanjawan 2012 bukannya belanjawan satu Malaysia. Ia memberi kasih ke setengah-tengah wilayah dan mengabai dan menganaktirikan wilayah yang lain. Amalan pilih kasih yang keterlaluan oleh kerajaan UMNO-BN dalam pembangunan wilayah ini bukan perkara baru. Amalan buruk ini sudah sebati dan menjadi sebahagian dari perangai mereka. Contohnya, belanjawan 2012 memperuntukkan RM978 juta untuk membangunan lima gerbang wilayah - Lebuhraya pesisiran pantai Johor Baharu-Nusa Jaya di Iskandar, Johor, pembangunan pelancungan warisan di Taiping, skim agropolitan di Besut, Terengganu, projek gugusan industri sawit di Lahad Datu, Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Sarawak. Tidak ada peruntukan untuk pempbangunan projek seperti ini di Kelantan dan Kedah semata-mata negeri-negeri diperintah oleh kerajaan selain dari UMNO-BN. Layanan yang diberi seolah-olah menunjukkan negara-negeri ini bukan sebahagian daripada Malaysia.

Penulis teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perlandangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh kerajaan UMNO-BN ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Wahai kaum Melayu! Jadilah orang Yahudi yang membeli tanah bukan menjual tanah.

Sejarah memberi tahu kita bahawa tamaddun-tamaddun besar dunia – Greek, Farsi, kaum Ad, Thamud, Lut, Firaun dan lain-lain – ranap kerana keruntuhan akhlak. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah khususnya dalam hal membangunkan modal insan. Ia masih kekal di dalam mode lama membangunkan modal insan dengan mengabaikan aspek pembangunan akhlak dan rohaniah. Belanjawan 2012 memperuntuk RM100 juta untuk melahirkan insan cemerlang, kreatif dan inovatif. Tiadak ada langsung bahagian daripada peruntukan ini mahu dibelanjakan ke arah mencemerlangkan aspek akhlak. Tidak terperanjat kita sekiranya di masa hadapan negara Malaysia akan akan menghadap masalah gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak se kronik yang dihadapi negara-negara barat hari ini akibat dari kecuaian membina insan yang berakhlak mulia. Bila kita membangunkan negara dan ummat mengikuti model Barat maka kita akan tersungkur macam negara Barat juga.

Tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Tetapi ingat, janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Ingat, selama 54 tahun UMNO-BN memerintah, wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melain bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, boros dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain.

Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.”

Tiada ulasan: