Ahad, 9 Oktober 2011

'Budak-budak tak boleh pegang duit banyak'....TAKUT PULAK BAPAK GUNA@PINJAM DUIT ANAK...ANAK MELOPONGLAH...

6,000 berkampung di Taman Melewar 28 Oktober ini | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Seramai 6,000 pemuda PAS dari seluruh negara dijangka akan berkampung di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar, di sini, selama 3 hari berturut-turut, mulai 28 Oktober ini.

Perkampungan tersebut diadakan bagi menjayakan Ijtimak Tarbawi, anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang merupakan salah satu program besarnya sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menjelaskan, kesemua peserta ijtimak itu terdiri daripada kepimpinan pemuda PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan di seluruh negara.

Menurut beliau, ijtimak tersebut diadakan bagi memantapkan kekuatan pemuda PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, kesemua peserta ijtimak itu merupakan jentera utama pemuda PAS di seluruh negara yang amat perlu diberikan persediaan secukupnya dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi pilihanraya.

"Kekuatan pemuda PAS amat diperlukan oleh parti bagi menghadapi PRU Ke-13, memandangkan Umno atau BN kini berada dalam keadaan amat terdesak sehingga sanggup mempergunakan apa sahaja bagi menghadapi pilihanraya itu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Beberapa bukti yang jelas menunjukkan Umno BN berada dalam keadaan terdesak, menurut beliau, termasuklah tindakan tidak bertanggungjawab para pemimpin parti itu terhadap para mahasiswa dan para guru.

Katanya, untuk kepentingan politik, para pemimpin Umno telah mempergunakan mahasiswa dengan sewenang-wenangnya pada satu program parti itu di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

"Program tersebut pada dasarnya adalah program Umno bersama penduduk di kawasan itu, tetapi diselitkan pula dengan program untuk bersama mahasiswa bagi membolehkan mereka mempergunakan mahasiswa untuk pilihanraya," katanya.

Katanya, dalam masa yang sama, Umno BN turut memperkenalkan dan melaksanakan Auku untuk menyekat mahasiswa dan parti-parti lain menjalinkan kerjasama.

"Hairannya, jika mereka buat boleh, parti-parti lain khususnya PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh. Sepatutnya kalau mereka boleh bersama mahasiswa, parti-parti lain juga turut dibenarkan berbuat demikian," katanya.

Para pemimpin Umno BN, menurut beliau, jelas bersikap double standard dalam perkara itu dan tindakan seperti itu juga turut dilakukan oleh mereka pada program yang diadakan di Kuantan, Pahang, 28 September lalu yang melibatkan para guru.

"Pertemuan yang diadakan itu merupakan bengkel bagi menyusun strategi politik jahat mereka. 90 peratus guru-guru yang hadir pada program itu dipaksa untuk membelasah Pakatan Rakyat terutama PAS.

"Kesemua pengetua yang hadir dipaksa memastikan kesemua guru yang berada di bawah mereka menyokong Umno BN. Jika tidak, pelbagai tekanan akan dikenakan oleh mereka terhadap pengetua-pengetua dan guru-guru terbabit," katanya.

Tindakan seperti itu, menurut beliau, turut dilakukan oleh Umno BN di negeri-negeri lain termasuk di Pulau Pinang dan ia jelas menunjukkan parti itu sudah semakin kehabisan idea bagi menghadapi PRU Ke-13.

"Ini jelas menunjukkan Umno BN sekarang berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menang dalam PRU Ke-13 nanti, walaupun tindakan-tindakan mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan dan undang-undang," ujar beliau.


Bajet: 'Budak-budak tak boleh pegang duit banyak' | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Bajet 2012 seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti mana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, “budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak”.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Safwan Anang berkata, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang.

“Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, cadangan peringkat mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Belum lagi kita cadang supaya PTPTN diubah menjadi biasiswa! Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading,” ujarnya.

Ujarnya, boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja.

“Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus,” ujarnya.

Mana tidaknya, kata beliau sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit hingga mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu ‘orang kuat utang’.

Menurutnya, pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti.

Sebagai contoh mudah, ujarnya yuran internet dan ICT di sebuah IPTA sehingga mencecah RM100 untuk satu semester, dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100, tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan.

“Bas kilang pun percuma, ini pula bas universiti.

“Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa,” ujarnya.

Katanya, ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang.

Beliau bertanya, kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di IPT-IPT ini.

Tanya beliau lagi, bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Mana mahu guna emel tanpa internet! Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula.

“Malang sungguh mahasiswa di Malaysia, bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya.

“Jom ubah kerajaan sekarang!” katanya.


Himpunan bantah JPN 25 Oktober | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan khas bagi membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung Maykad klon pada 25 Oktober ini di bangunan Parlimen, bermula jam 11.00 pagi.

Himpunan tersebut akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, barisan kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Keadilan dan DAP dari Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menjelaskan, himpunan tersebut diadakan bagi membantah tindakan tidak bertanggungjawab dan penuh kekeliruan dari JPN berhubung kemunculan 170,000 Maykad klon yang dikesan oleh pihaknya.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya telah menghantar memorandum kepada pihak kerajaan berhubung perkara itu, tetapi jawapan yang diterima tetap tidak menyelesaikan masalah yang berlaku.

Katanya, dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia terpaksa bertindak tegas untuk mengatasi masalah itu bagi ketelusan proses dan perjalanan pilihanraya di negara ini.

"Himpunan yang akan kami adakan itu adalah sebahagian dari tindakan tegas yang akan kami lakukan ekoran masalah itu yang perlu diberikan perhatian serius oleh JPN dan Kerajaan BN," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Antara memorandum yang telah dihantar oleh pihaknya atau pihak PAS dan Pakatan Rakyat, menurut beliau, termasuklah berhubung Kg Baru yang turut didaftarkan sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan isu Mismah.

Katanya, selain itu pihaknya turut menghantar memorandum kepada pihak kerajaan berhubung masalah 750 kad pengenalan sama yang dimiliki oleh 2 individu baru-baru ini tetapi masih belum menerima jawapannya.

"Kesemua 750 nama pemilik kad pengenalan klon itu ada dalam daftar pemilih. Di samping itu, pihak kami juga turut mengesan kemunculan 10,000 kad pengenalan kembar yang dimiliki oleh mereka yang mempunyai identiti berbeza tetapi mempunyai kad pengenalan yang sama," jelasnya.

Kewujudan kad-kad pengenalan seperti itu dengan nama-nama pemiliknya turut terdapat dalam daftar pemilih yang dilakukan oleh SPR dengan kerjasama JPN, tegas beliau, merupakan sebahagian bukti betapa tidak bersihnya proses dan perjalanan pilihanraya di negara kita.

"Sehingga kini, pihak kerajaan masih lagi gagal melaksanakan 8 tuntutan Bersih, walaupun sebahagian daripadanya boleh dilaksanakan oleh pihak SPR sendiri kerana berada di bawah bidang kuasanya.

"Kesemua tuntutan itu adalah tuntutan rakyat yang tidak sepatutnya dipandang ringan oleh SPR atau kerajaan. Dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak SPR atau kerajaan BN agar melaksanakan segera kesemua 8 tuntutan itu," katanya.

Sekiranya tidak, tegas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menggerakkan supaya diadakan pula himpunan Bersih 3.0 tidak lama lagi, dengan penyertaan yang jauh lebih besar daripada pelbagai pihak berbanding Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Nampaknya sudah tidak ada cara lain lagi untuk mengajar Kerajaan BN supaya melaksanakan pilihanraya dengan bersih, adil dan telus di negara kita melainkan dengan cara seperti itu sahaja," ujar beliau.


Bekas pengarah pendidikan, pegawai TLDM sertai PAS | Print |
Muhammad Faeez

TAIPING, 8 Okt: PAS Negeri Perak menerima ahli baru daripada dua tokoh yang dikenali iaitu bekas Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Adnan Ibrahim dan bekas pegawai tinggi TLDM Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid.

Kedua-dua tokoh itu telah hadir di Program Pelancaran 'Jom Masuk PAS' di Markas Tarbiyyah PAS, Air Kuning di sini.

Adnan berkata, beliau menyertai PAS setelah mendapat hidayah untuk menyertai perjuangan PAS dan meninggalkan Umno selepas pulang dari tanah suci.

"Ketika saya berkhidmat dahulu, teruk saya maki dan memarahi guru-guru yang menyokong PAS. Saya ketika itu sangat benci dengan PAS dan memandang PAS ini sebagai parti yang mempergunakan agama demi politik," katanya dengan nada kesal.

Beliau mendakwa, Naib Presiden UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Husein dan pimpinan Umno memanggil beliau dan menasihatkan agar terus dengan Umno tetapi beliau berpegang dengan pendiriannya untuk bersama dalam PAS demi mendokong perjuangan Islam.

Bagi Mohamad Imran pula, beliau masuk PAS kerana tidak yakin dengan perjuangan Umno.

"Perjuangan Umno hanya retorik semata-mata. Kata memperjuangakan Islam tetapi sebaliknya," katanya yang ingin bersama dalam PAS hingga ke akhir hayatnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya berkata, beliau mengalu- alukan kemasukan dua tokoh besar masyarakat ke dalam PAS.

"Bekas pegawai tinggi TLDM dan bekas Pengarah Pendidikan pun boleh masuk PAS, kenapa JKKK dan penoreh getah tidak boleh masuk PAS?" soalnya ketika melancarkan Program 'Jom Masuk PAS' anjuran Badan Perhubungan PAS Perak.

"Sekarang ini, orang dah pencen semua nak masuk PAS setelah lama 'digari' . Mereka tidak percaya Umno. Umno tidak relevan lagi, Umno sudah busuk hingga ke usus," tegasnya lagi.


Cukai korporat dibela, cukai prabayar rakyat dikuatkuasa | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Belanjawan 2012 yang dibantang perdana menteri semalam dilihat lebih mementingkan pihak korporat berbanding rakyat kebanyakan.

Mempersoal fokus belanjawan itu Datuk Mahfuz Omar berkata, korporat-korporat gergasi di Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) mendapat pelepasan cukai, namun rakyat bawahan dan miskin yang guna telefon prabayar tidak dapat pelepasan cukai jualan.

Dalam ulasan awalnya terhadap Belanjawan 2012 yang disifatkannya sebagai "belanjawan sedap sekali sahaja" sebagai gula-gula Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mahfuz berkata, rakyat bawahan dan miskin terus menjadi golongan tertindas yang disasarkan bebanan cukai dalam belanjawan itu.

Menurut beliau, seperti gula-gula sekali bagi sahaja, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah memang mendapat bantuan RM500 tetapi selepas itu mereka terpaksa membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan lain-lain cukai.

"Dapat habuan sekali sahaja menjelang pilihan raya tetapi bila BN menang pilihan raya nanti, kena bayar balik hari-hari termasuklah GST.

"Contohnya, cukai jualan enam peratus kepada pengguna telefon prabayar tetap dikenakan kepada rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa.
Link
"Memang sekarang syarikat telekomunikasi tangguhkan sebentar perlaksanaan cukai itu ke atas rakyat yang menggunakan perkhidmatan tersebut, tetapi selepas pilihan raya nanti adakah mereka sanggup tanggung lagi cukai enam peratus itu?" kata Mahfuz.

Walaupun beliau tidak mempersoalkan pelepasan cukai kepada korporat-korporat besar di dalam belanjawan itu, seperti firma-firma di KLFID, tetapi Ahli Parlimen Pokok Sena itu kesal dengan belanjawan yang begitu jelas menutup kedua-dua belah mata terhadap langkah melaksanakan pelepasan cukai kepada rakyat bawahan.

"Memang nampak kononnya macam mesra sangat, maklumlah (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sendiri tak halang kita labelkan belanjawan itu sebagai "belanjawan pilihan raya".

"Tetapi, bukan sahaja inflasi yang semakin meningkat tidak kelihatan ditangani secara jujur dan bersungguh-sungguh oleh 'belanjawan sedap sekali' itu, malah belanjawan itu dengan jelas membuktikan bahawa tidak pernah terpadam keghairahan berapi-api BN untuk memaksakan pelbagai cukai kepada rakyat.

"Jangan lupa, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah menyatakan secara terus-terang keinginan kerajaan BN yang diketuainya untuk memaksakan GST selepas pilihan raya," katanya.

Mahfuz menyifatkan kerajaan BN seperti kecanduan untuk menyasarkan rakyat dengan bebanan cukai walaupun kutipannya tidak sebanyak mana.

"Umpamanya cukai jualan kepada rakyat bawahan dan miskin yang menggunakan telefon prabayar, saya difahamkan jumlah kutipannya tidaklah sampai RM1 bilion setahun, tetapi kerajaan nak gasak juga cukai itu sedangkan pada masa yang sama subsidi kepada syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang dilaporkan menjulang tinggi sehingga RM19 bilion tidak pula diusik.

"Begitu juga, kes-kes saman syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Malaysia Airlines (MAS) dan Danaharta kepada orang kaya seperti Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan jumlah wang yang sangat besar boleh pula diarah bagi pihak Perdana Menteri supaya ditarik balik, tapi cukai jualan kad telefon prabayar kepada rakyat bawahan dan miskin tetap hendak dipaksakan oleh kerajaan BN," katanya.

Beliau meminta rakyat jangan tertipu dengan belanjawan yang "sedap hanya sekali sahaja tetapi azabnya sampai ke mati" itu.


Bajet 2012: BN anak tiri 12 juta pekerja | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Kerajaan BN ternyata terus kekal dengan ketidakadilannya apabila menganaktirikan 12 juta pekerja yang juga rakyat negara ini menerusi Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam.

Menerusi bajet tersebut, kerajaan hanya mementingkan 1.3 juta pekerja sahaja yang juga para penjawat awam dengan kenaikan gaji RM500 sebulan mulai tahun hadapan, tetapi menafikan hak pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, dengan ketidakadilan itu, bajet tersebut ternyata hanya bersifat one off dan ia tetap gagal menyelesaikan masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat negara ini.

Menurut beliau, dengan itu, bajet tersebut jelas bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat bagi memancing undi pilihanraya, tetapi tetap gagal menyelesaikan permasalahan dan bebanan yang dialami oleh rayat dalam jangka masa panjang.

Katanya, ketidakikhlasan Kerajaan BN dalam membantu rakyat turut kelihatan apabila bekas polis dan tentera termasuk yang bertugas ketika zaman darurat sama ada balu, duda dan sebagainya hanya baru dibantu sekarang dengan sumbangan RM3,000 seorang.

"Pada hal mereka sepatutnya dah lama diberikan bantuan seperti itu. Kenapa baru sekarang hendak diberikan?" katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, kesemua pihak terbabit wajar menerima sumbangan tersebut kerana ia sememangnya merupakan hak mereka sendiri yang sepatutnya sudah lama diberikan oleh kerajaan.

Katanya, sungguhpun begitu, Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap meragui sama ada sumbangan tersebut benar-benar akan sampai kepada sasaran.

"Sejak dulu, BN sememangnya terkenal dengan masalah ketirisan dalam pengagihan sumbangan-sumbangan seperti itu kepada golongan sasar.

"Kali ini, pelbagai pihak turut meragui sama ada wang tersebut akan sampai sepenuhnya kepada sasaran atau tidak atau tetap terus tiris di tengah jalan juga seperti yang lalu," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan gula-gula BN itu kerana ia tetap tidak akan memihak kepada rakyat.

Katanya, bajet tersebut jelas merupakan bajet pilihanraya dengan pelbagai pemberian menarik daripada Kerajaan BN kepada rakyat untuk dinikmati dalam jangka masa pendek, tetapi terus membebankan orang ramai setelah selesai pilihanraya.

"Sebelum pilihanraya, mereka sanggup memberikan apa sahaja kepada rakyat dengan melibatkan peruntukan yang besar, tetapi setelah selesai pilihanraya dan kemenangan pula berpihak kepada mereka, rakyat pasti akan dikenakan pelbagai bebanan lain pula nanti.

"Jika dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dimenangani oleh BN juga, selesai sahaja pilihanraya, barangan keperluan utama rakyat pasti akan dinaikkan secara mendadak oleh kerajaan, di samping pelbagai jenis cukai," katanya.

Permainan seperti itu, menurutnya, sememangnya telah dilakukan oleh BN sejak dulu dan ia amat perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini agar tidak terus tertipu.

Malah sekarangpun, katanya, rakyat juga boleh menilai tentang permainan BN itu apabila banyak juga peruntukan lain yang disediakan itu jelas memberikan keuntungan kepada para pemimpin BN dan kroni-kroni mereka sendiri.

"Tindakan itu dilakukan menerusi pemberian subsidi tertentu kepada pihak-pihak terbabit, tetapi tidak pula ditambah peruntukan subsidi petroleum bagi menurunkan harga minyak untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang ramai," ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Ketua dan dua AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Adram Musa.


Ketidakseimbangan di dalam Bajet 2012 | Print |
Mohd Syahir Sulaiman

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Belanjawan Tahunan Kerajaan adalah instrumen utama dalam urustadbir kewangan negara yang memperincikan perancangan dan unjuran pendapatan serta perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Komponen utama sesebuah belanjawan adalah cukai (tax) dan perbelanjaan kerajaan (government spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan (growth), mengawal inflasi (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment). Setiap instrumen di dalam Belanjawan dirangka mengikut ideologi dan falsafah keutamaan sesebuah kerajaan dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa.

Walaubagaimanapun, pembentangan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi luaran.

Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik
berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.

Malaysia di ambang krisis hutang

Bagi menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan datang, sebarang belanjawan tambahan (supplemental budget) akan hanya menatijahkan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi kuasa ekonomi Eropah sekarang.

Mesra rakyat tetapi dingin pelabur

Dalam senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur dari Timur Tengah, dan China mula mengalihkan tumpuan kepada destinasi pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan, terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan perkhidmatan.

Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Bagaimana mengimbangi defisit

Teras utama dalam pengagihan belanjawan adalah mekanisma penyampaian oleh pihak kerajaan. Pastinya semua pihak, baik yang layak mahupun yang oportunis, ternanti-nanti agihan peruntukan besar oleh pihak kerajaan. Asas utama adalah amanah si pemberi dengan mengambil kira prioriti dan merit si penerima.

Pihak kerajaan mampu mengurangkan kadar defisit melalui beberapa transformasi dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan, khususnya melalui penambahbaikan sistem serahan dan kutipan cukai yang efisien serta peningkatan penguatkuasaan eksport-import di sempadan. Dalam aspek perbelanjaan, penjimatan boleh dicapai dalam kos perjalanan, penerbangan dan aktiviti latihan di luar negara serta meningkatkan kadar penggunaan aset kerajaan secara optima.

Rakyat berhak membuat pertimbangan

Dengan pembentangan Bajet 2012 ini, jelas sekali gendang pilihanraya telah dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan agenda propaganda pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13.

Justeru, pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri perlu menyatakan iltizam dan komitmen untuk merealisasikan budaya politik matang dengan memberi ruang lebih besar kepada rakyat berpatisipasi di dalam pilihanraya yang adil dan telus, demi menatijahkan lembaran baru di dalam sejarah Malaysia.
-------------------------------------------------------------------------------------
**Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: