Jumaat, 7 Oktober 2011

SYAITAN DAN MUSUH ISLAM TAK BERHENTI UNTUK MENJAHANAM IMAN@AKIDAH UMAT ISLAM...KADANG2 TAK SEDAR MEREKA JUGA SEBAHAGIAN TENTERA SYAITAN@PEMBUAT MUNGKAR...KADANG2 TAK SEDAR BERCAKAP MENGUNTUNGKAN PIHAK SYAITAN@MUSUH ISLAM...NI SEMATA2 KERANA BODOH@BUTA ISLAM...MALAS MENADAH KITAB...PERASAN DIRI TU DAH PANDAI SANGAT...MEREKA TERKEJUT BERUK MELIHAT INDAHNYA DUNIA....HINGGA LUPA AKHIRAT DAN NERAKA ALLAH....

Pelajar dipukul akibat wang jualan sayur



REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.
REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.
SEREMBAN: Seorang bapa tersentak apabila mengetahui anak lelakinya yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini, cedera dipukul pelajar lain berikutan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang jualan sayur, kelmarin.
Difahamkan, insiden antara mangsa, Redhuan Mohd Anas Shanker, 14, dan beberapa pelajar di padang sekolah berkenaan menyebabkannya menerima lapan jahitan di dahi selain cedera di muka. Menurut bapa mangsa, Mohd Anas Shanker Abdullah, 43, dia yang membeli sayur di pasar terkejut apabila menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan kejadian itu, pada jam 1 tengah hari.

“Guru itu memberitahu anak saya cedera dan dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. “Saya ke klinik berkenaan dan mendapati dahinya berdarah sambil dia menangis kerana menahan kesakitan,” katanya di sini, semalam.
Anas berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang lagi anaknya, Syuib, 15, yang belajar di sekolah sama.

“Dia (Syuib) memberitahu, beberapa pelajar menumbuk adiknya (Redhuan) di padang sekolah berkenaan. Ketika itu, Syuib cuba membantu, tetapi dia ditolak dan terjatuh ke dalam longkang namun tidak cedera.

“Selain itu, dia memaklumkan pergaduhan berpunca perselisihan faham membabitkan wang jualan sayur,” katanya.

Kata Anas, Redhuan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya yang cedera di kawasan sekolah. “Saya amat berharap pihak sekolah melakukan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rantau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Laman sosial DJ digodam

Oleh Muhd Izawan Baharin, Yusmizal Dolah Aling dan Shahrul Ridzuan Zulkifli
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: “Kalau dia seorang hamba Allah yang baik, dia tak akan menyusahkan orang lain,” kata penyampai radio popular Hot FM, Farah Fauzana selepas beberapa maklumat peribadinya didedahkan di laman web apabila e-mel dan akaun laman sosialnya digodam hujung bulan lalu.
Farah Fauzana atau nama sebenar, Farah Fauzana Mohd Fadzil berkata, laman sosialnya pernah digodam beberapa kali sebelum ini tetapi tidak seteruk apa yang berlaku sekarang.

“Saya sedar mengenai perkara ini semasa melayari twitter pada 23 September lalu selain turut mendapati akaun facebook (FB) dan e-mel turut diceroboh.
“Selain itu, banyak maklumat peribadi saya dan rakan penyampai lain turut dimuat turun penggodam itu tanpa memikirkan kesannya kepada kami,” katanya yang ditemui di Sri Pentas, di sini, semalam.

Selain Farah Fauzana, tiga lagi penyampai radio terkenal Hot FM iaitu Kieran (Mas Kiran Jakiran), AG (Muhammad Azmir Selamat) dan Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid (Aleya) menerima nasib sama sehinggakan pelbagai maklumat peribadi mereka didedahkan.

Penggodam yang menggunakan nama Jar Jar Binks itu menceroboh laman sosial milik mereka seperti twitter dan facebook sehingga mengelirukan peminat penyampai radio berkenaan.

Nombor telefon beberapa lagi penyampai radio stesen itu termasuk artis turut didedahkan malah beberapa blogger berkaitan dunia hiburan menyiarkan maklumat berkenaan di laman blog mereka.

Farah Fauzana berkata, penggodam itu tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab sehingga menyusahkan orang.
“Perbuatan itu mengganggu kerja kami, selepas ini kami terpaksa merehatkan sementara waktu beberapa akaun laman sosial akibat pencerobohan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian pencerobohan itu.

“Saya sangat kesal kerana butiran diri penyampai radio seperti nombor telefon, alamat dan salinan kad pengenalan didedahkan sedangkan ia sangat sensitif serta boleh memberi kesan tidak diingini kepada mereka.

“Saya tidak tahu siapa penggodam itu tetapi apabila dia mendedahkan butiran peribadi, ia bukan perkara main-main dan kami sangat memandang serius perbuatannya itu,” katanya.

‘Saya bingung’

Oleh Azahar Hashim
am@hmetero.com.my

KULIM: Walaupun nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri bersama teman lelakinya ke Nepal sudah diketahui selamat, seorang bapa kini buntu memikirkan bagaimana hendak menyediakan kos sebanyak RM10,000 bagi membawa anaknya itu pulang ke negara ini.
Mohd Rasul Kassim, 50, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini, perlu menyediakan wang sebanyak itu untuk tiket penerbangan dan lain-lain kos bagi membawa pulang anaknya, Noorshaherra, 21, yang lari mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Imatyaj Khan Paithan berusia 20-an ke negara berkenaan sejak 23 Ogos lalu.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk membawanya pulang. Kini saya buntu kerana dengan pendapatan sebagai pemandu bas, berapa sangatlah yang dapat saya simpan. Saya amat berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Harian Metro bulan lalu melaporkan Noorshaheera keluar rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya tetapi gagal pulang sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli keluarganya.

Gadis berkenaan akhirnya berjaya dikesan apabila dipercayai mengikut kekasihnya lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.

Berdasarkan maklumat, gadis berkenaan dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu, Nepal pada 23 Ogos lalu.

Kira-kira seminggu kemudian, gadis terbabit menghubungi ibunya, Siti Fatimah Yassin, 45, meminta keluarganya tidak bimbang dengan keselamatannya selain memaklumkan sudah berkahwin dengan lelaki Nepal berkenaan.

Minggu lalu, dia menghubungi kakaknya Nellie Shakira, 23, memaklumkan dia selamat selepas berlaku gempa bumi di kawasan India yang bersempadan dengan Nepal serta memaklumkan dia kini tinggal bersama keluarga lelaki terbabit di sebuah kampung di Nepal. Dalam pada itu, Siti Fatimah berkata, dia kerap menghubungi Noorshaheera melalui nombor yang diberi lelaki Nepal itu.
“Dia memaklumkan keadaannya baik dan menyatakan hasrat mahu pulang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M Thuraisingam berkata, pihaknya akan membantu keluarga terbabit dengan membawa pulang Noorshaheera dan perlu mendapatkan beberapa dokumen untuk memudahkan urusan membawa pulang gadis itu.

“Kita juga akan bekerjasama dengan kedutaan Nepal di sini dan kedutaan Malaysia di Nepal selain sebahagian daripada kos membawa gadis itu pulang,” katanya.

Rujuk pakar sebelum komen hudud



KUALA LUMPUR: “Saya sarankan kepada rakan artis supaya tidak memberikan pandangan mengenai hukum hudud berbentuk peribadi, sebaliknya rujuk kepada pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata pengacara TV3, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.
Itu antara luahan hati Wardina berhubung laporan sebuah akhbar bertarikh 25 Oktober lalu, apabila beberapa selebriti tempatan memberikan pandangan peribadi mengenai hukum hudud sama ada wajar atau tidak dilaksanakan di negara ini.

Antara artis memberikan pandangan mereka adalah Datuk Aziz Sattar, Ayu Raudhah, Enot, Alif Satar, Cat Farish dan Heliza AF.
Menurut Wardina, hukum hudud satu perkara sensitif yang seharusnya dirujuk kepada ulama dan pengamal undang-undang bukannya boleh dikeluarkan pandangan sesuka hati saja.

“Kita (artis) perlu tahu bahawa analogi hudud adalah perkara yang sangat teknikal dan sensitif yang mana sekiranya pendapat yang dikeluarkan salah, maka ia boleh menyinggung hati banyak pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, artis dan selebriti sewajarnya memberikan fokus hanya pada bidang yang diceburi mereka seperti pengalaman, seni, filem, muzik dan lakonan.

Hidup sentiasa dilindungi Allah

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

ALLAH memerintahkan setiap hamba-Nya taat dan memuliakan ibu bapa. Bergaul dan memenuhi hak kedua-dua ibu bapa menjadi satu keutamaan yang mesti dilaksanakan oleh anak, khususnya apabila mereka telah sampai kepada usia lanjut. Derhaka kepada ibu bapa bermakna seseorang itu telah menderhakai Allah. Begitulah besar dan mulianya darjat ibu bapa.
Apabila kita membaca al-Quran dan rajin meneliti maknanya maka akan terjumpa banyak sekali ayat yang memperkatakan perintah mentaati ibu bapa. Antaranya Allah berfirman, “Janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada ibu dan bapamu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 83). Tetapi dalam kehidupan zaman serba moden ini fenomena anak menderhakai ibu bapa semakin menjadi-jadi yang menggambarkan betapa ada manusia yang memandang remeh perintah Allah. Mereka bukan sahaja melukai hati ibu bapa malah ada juga sampai melukai fizikal mereka. Seseorang anak hanya dapat kedudukan sebagai anak yang soleh jika mereka mentaati dan memuliakan ibu bapa. Sebenarnya sifat menyayangi dan mengasihi orang adalah fitrah naluri manusia, malah haiwan pun Allah kurniakan naluri ini. Justeru, orang yang menderhakai ibu bapa dapatlah dianggap melencong daripada naluri fitrah insan. Kita apabila sudah besar dan mendapat pelbagai kesenangan hidup tidak boleh sama sekali melupakan jerih penderitaan dan pengorbanan ibu bapa, sebaliknya pada masa beginilah sewajarnya kita berbakti untuk memberikan kesenangan hidup kepada mereka serta menjaga bak menatang minyak yang penuh.

Anak yang soleh akan berusaha menyenangkan hati ibu bapanya kerana mengharapkan reda dan berkat hidup daripada Allah. Mereka tahu bahawa setinggi manapun kedudukan, pangkat atau pemilikan harta kekayaan semua tidak sama nilainya dengan kasih sayang terhadap ibu bapa. Selain itu, doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang baik lagi soleh akan mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan ini. Sabda Rasulullah s.a.w, “Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Malah, Rasulullah pernah menegaskan, “Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa Nabi untuk umatnya.” (Hadis riwayat ad-Dailimi). Dengan hal demikian, sewajarnya kita merebut peluang semasa ibu bapa kita masih hidup untuk berbakti kepada mereka di samping mengharapkan keberkatan doa. Doa ibu bapa akan menjamin keselamatan dan ketenteraman dalam kehidupan. Allah akan melindungi diri anak yang berbakti itu dengan kehidupan yang aman sejahtera. Cahaya hidayah dan ketakwaan akan cepat menusuk ke jiwa si anak. Petunjuk ibu bapa terhadap anak sama seperti petunjuk Nabi kepada umatnya. Jadi, anak-anak yang sentiasa memuliakan ibu bapanya tentu akan didoakan oleh ibu bapanya sebaliknya anak-anak yang derhaka itu sentiasa disunguti dan sebarang rasa sungutan mereka akan mendatangkan kemudaratan dalam hidup. Di samping itu, doa ibu bapa juga akan menjadi sumber kepada pembinaan kekuatan batin diri anak. Hal itu akan mempengaruhi sikap dan kewibawaan anak dalam menjalani kehidupan. Inilah keberkatan dan kehebatan doa ibu bapa terhadap anak. Oleh itu, kita mesti berusaha membahagiakan kedua-dua orang tua sedaya upaya yang termampu dan berkorbanlah sama ada masa, tenaga atau wang ringgit demi melihat mereka berada dalam keadaan terjaga rapi dan mendapat kasih sayang daripada kita.

Cerita daripada Saidina Ali bin Abi Talib ini seharusnya menyedarkan kita. Katanya, “Aku mendengar Nabi bersabda, ‘Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya.” Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya orang itu tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?” Sabda Nabi lagi, “Apabila mendengar kata-kata orang tua, jawablah, aku dengar dan aku taat, jangan berkata ‘ah’ dan janganlah membentak mereka dan katakanlah kata-kata yang baik.” Ini satu tunjuk cara yang dipandukan oleh Nabi kepada kita semua bagaimana untuk berinteraksi dan memuliakan ibu bapa.

Hebat ganjaran yang Allah sediakan untuk anak yang berbakti dan memuliakan ibu bapanya. Apabila kita memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang sudahpun Allah memberikan pahala dan keberkatan kepada anak-anaknya. Sabda Rasulullah, “Tidak ada seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya dan memandang wajah kedua-dua orang tuanya dengan perasaan kasih kecuali Allah menuliskan pahala ibadah haji mabrur baginya.” Ibnu Abbas bertanya Rasulullah, “Wahai Nabi, bagaimana sekiranya anak itu memandang wajah ibu dan bapanya sebanyak 100 kali? Jawab Nabi, “Lebih besar pahalanya. Sesungguhnya Allah Maha Besar lagi Maha Baik.” (Hadis riwayat al-Baihaqi ). Begitu hebat ganjaran pahala yang disediakan Allah buat anak-anak yang berakhlak mulia kepada ibu bapa.

Nabi Muhammad menegaskan Allah tidak menolak doa kedua-dua orang tua untuk anak-anaknya. Justeru, hendaknya kita sebagai ibu bapa sering bermunajat kepada Allah agar anak sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya dan meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Demikian juga kepada kamu semua wahai anak Muslim, selalulah mendoakan untuk ibu dan ayahmu. Alangkah indahnya hidup dalam sebuah keluarga yang hubungan akrab melalui mekanisme berdoa dihidupkan. Keluarga sebegini sudah tentu akan sentiasa mendapat cahaya hidayah Allah , penuh nikmat kebahagiaan hidup dan rukun damai.

Justeru, bersamalah kita bermuhasabah diri apakah selama ini kita sebagai anak sudah memenuhi hak kedua-dua ibu bapa kita. Sekiranya selama ini kita sentiasa prihatin dan mengambil berat soal ibu bapa bermakna hidup kita dalam lingkungan yang diberkati Allah. Namun, jika sebaliknya, kita wajib bertaubat dan kembali melakukan yang terbaik untuk ibu bapa. Jadikanlah diri kita sebagai anak yang soleh dengan memuliakan dan mentaati ibu bapa dan janganlah sampai kita tergolong sebagai anak yang sering menderhakai mereka.
Penulis seorang guru

Rela tolak pinangan

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my

TELUK INTAN: Seorang gadis sanggup melupakan hasratnya menaiki jenjang pelamin sebaliknya mengorbankan diri bagi menjaga ibu bapanya yang lumpuh.
Nor Azrin Mahmud, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual, menolak pinangan kekasihnya untuk memberi sepenuh perhatian kepada bapanya, Mahmud Bachik, 68, dan ibunya, Sangirah Salijam, 62.

“Buat masa ini saya langsung tidak memikirkan soal perkahwinan ataupun masa depan saya. Apa yang penting ialah memberi perhatian sepenuhnya kepada ibu bapa saya yang terlantar.
“Saya rela berkorban apa saja demi menjaga mereka berdua sehingga ke akhir hayat sebagai balasan ke atas pengorbanan dilakukan mereka sejak saya kecil sehingga dewasa,” katanya.

Nor Azrin, anak bongsu daripada sembilan beradik ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Tembak, di sini, berkata, buat masa ini dia bersama seorang lagi kakaknya, Wahidah Mahmud, 26, bergilir-gilir menjaga ibu bapa mereka.

“Kedua-dua mereka memerlukan penjagaan rapi dan berterusan. Saya bersemangat tinggi untuk melakukan semua ini kerana saya amat menyayangi mereka,” katanya.

Dia berkata, adik-beradiknya yang lain sudah berumah tangga dan mempunyai bebanan masing-masing namun mereka tetap menziarahi orang tua selain bertanya khabar.

“Saya tidak mahu mereka terlalu memikirkan masalah ini (kesihatan ibu bapa) kerana saya sanggup berkorban. Begitupun, semua adik-beradik yang lain amat menyayangi ayah dan ibu, namun saya berazam menjaga orang tua kami,” katanya.
Azrin berkata, bapanya, seorang bekas pemandu teksi di bandar ini, jatuh sakit sehingga lumpuh seluruh badan sejak Januari lalu.

Berikutan itu, dia perlu memberi sepenuh perhatian terhadap penjagaan kesihatan bapanya termasuk membersihkan badannya selain menyuapkan makanan serta minuman.

Keadaan tambah mendukacitakan apabila ibunya pula terlantar di Hospital Teluk Intan (HTI) akibat kencing manis sehingga terpaksa dipotong kaki kiri, minggu lalu.

“Akibatnya kedua-dua orang tua saya kini hanya terbaring di rumah dan tidak mampu lagi bergerak bebas,” katanya.

Menurutnya, urusan menjaga orang tuanya itu tambah sulit apabila dia mengalami masalah kewangan untuk membeli lampin pakai buang, kos perubatan termasuk mencuci luka serta susu khas untuk orang tuanya.

“Saya sangat mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban ditanggung keluarga,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai JKM Hilir Perak, S Selvaratnam ketika dihubungi berkata, kesempitan hidup keluarga Mahmud sudah dimaklumkan kepada pihaknya.

Jaga didakwa perkosa gadis



KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, Jun lalu.
Kamarul Nashikim Kamarulzaman, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hasbi Hassan.

Mengikut pertuduhan, Kamarul Nashikim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berkenaan di dalam sebuah bilik yang beralamat No 27, Jalan Rejang 10, Taman Setapak Jaya, Setapak di sini antara jam 4 dan 6 petang, 13 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim menawarkan jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membayar jaminan itu.

Mahkamah membenarkan Kamarul Nashikim diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 November ini untuk sebutan semula kes.

Lelaki OKU pukul isteri didenda

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya yang juga OKU dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Rama Pantai, dekat sini, bulan lalu.
Majistret Muhammad Hazri Hanafi, menjatuhkan hukuman itu ke atas pembantu kedai, Mustafah Akhbar Ali, 41, selepas beliau menimbangkan semua fakta, rayuan dan hujah pendakwa.

Muhammad Hazri turut menasihati tertuduh supaya menggunakan saluran betul iaitu melaporkan kepada pegawai Sulh atau merujuk kes ke Mahkamah Syariah apabila mendakwa isterinya berzina dengan lelaki lain dan bukannya mengambil hukuman di tangan sendiri dengan mencederakan isterinya akibat marah.
Mengikut pertuduhan, Mustafah dari Bachang didakwa dengan sengaja mencederakan Siti Zuraida Mohd Merry, 19, menggunakan batang pancing dan topi keledar di dalam bilik di sebuah rumah dekat Jalan Pengkalan Rama Pantai, kira-kira jam 8.30 malam, 25 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh mencederakan isterinya kerana selisih faham selepas mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Disebabkan isterinya menafikan perkara itu, tertuduh naik angin dan bertindak memukul badan, tangan serta kepala mangsa menggunakan batang pancing sebelum dia keluar rumah.

Apabila balik, tertuduh membawa isterinya ke rumah ibu mentuanya di Bachang dan di situ dia sekali lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum memukulnya dengan wayar kipas ketika berada di rumah disebabkan tidak puas hati.
Mangsa melarikan diri apabila tertuduh keluar rumah dan meminta bantuan kakaknya di Kampung Pulai Darat, Merlimau, yang membawanya ke hospital sebelum membuat laporan polis.

Siasatan polis, mendapati mangsa anak bongsu enam beradik pernah belajar di Sekolah Pendidikan Khas sehingga berusia 18 tahun kerana lembam.

Sementara itu, ketika merayu hukumannya diringankan Mustafah berkata, dia mempunyai kecacatan pada bahagian kaki dan miskin serta terpaksa menyara ibunya yang sudah tua.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hina nabi, umat Islam

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Siri lengkap cakera padat digital (DVD) selama 15 jam bertajuk ‘Perjalanan Purba’ mengisahkan hidup nabi dipercayai dihasilkan di Timur Tengah dalam Bahasa Arab, dikhuatiri boleh memesongkan akidah umat Islam negara ini berikutan ia melakonkan semula pengalaman dilalui pesuruh Allah ketika berdakwah.
Siri lengkap dengan sari kata bahasa Inggeris itu dipercayai menjalani penggambaran di Maghribi, Palestin dan Jordan, sekitar 2003 hingga 2006, dikatakan sudah berada di negara ini melalui pengedarnya yang dipercayai beroperasi di Kuala Lumpur.

Lebih mengejutkan, orang ramai boleh menonton sedutan filem itu melalui Internet yang menggambarkan kisah hidup dan dugaan ditempuh nabi dimaksudkan.
Antara tajuk siri itu termasuk Adam and Hawa (Dibalik Pintu Tertutup), Ishaak dan Yacoub (Dua Brothers), Nabi Nuh dan Bencana, Nabi Ibrahim (Janji) Nabi Yusuf (Sang Pemimpi), Nabi Musa (40 Tahun Kemudian), Nabi Daoud (Seorang Raja Warrior), Nabi Elia (Nabi Api) dan Nabi Samu’eel (Resah Satu). Dalam siri Adam and Hawa, ia melakonkan watak Nabi Adam dan isterinya, Hawa dihalau dari syurga selepas memakan buah ‘Khuldi’ yang dilarang Allah, namun tetap dilakukan hasil hasutan syaitan.

Mereka kemudian digambarkan sampai ke dunia melalui sebuah pintu sebelum pintu itu ditutup, menyebabkan kedua-duanya kekal hingga dikurniakan anak. Manakala siri Nabi Nuh dan Bencana menggambarkan usaha Nabi Nuh membina bahtera bagi menghadapi banjir selepas mendapat alamat daripada Allah.

Bagaimanapun, baginda mendapat tentangan daripada anak serta isteri yang menganggap perkara itu tidak masuk akal dan mengarut.

Mengulas kewujudan siri berkenaan, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut berkata, perkara itu dianggap satu penghinaan kepada rasul dan nabi serta umat Islam amnya, berikutan nabi dan rasul manusia istimewa di sisi Allah, insan kamil dan maksum serta tidak dicatatkan dosa dan terlalu bersih. Kerana itu, katanya, jika watak mereka dilakonkan ia seolah-olah berlaku penghinaan kepada batang tubuh, identiti, sahsiah nabi dan rasul itu sendiri kerana pemegang watak itu insan biasa.

Beliau menyatakan kekesalannya kerana tindakan itu dianggap memperdagangkan nabi dan tidak patut berlaku.
“Nabi utusan sempurna yang menyampaikan wahyu kepada umat Islam dan tidak boleh disamakan dengan manusia biasa dengan apa cara sekalipun. Lakonan dibuat mungkin tidak tepat daripada segi penyampaian sejarah dan fakta kerana nabi ciptaan Allah yang terpuji.

“Perkara boleh dipertikaikan pemegang watak itu sendiri, adakah dia seorang Islam sedangkan Muslim ditegah berlakon sebagai seorang nabi, ditambah lagi tahap keimanannya tidak boleh disamakan dengan mana-mana nabi atau rasul.

“Ini boleh jejaskan akidah umat Islam kerana risau ada perkara ditokok tambah atau dikurangkan untuk menyedapkan jalan cerita,” katanya.

Tiada ulasan: