Jumaat, 7 Oktober 2011

APABILA BANYAK KES...TERLEPAS BEGITU KERANA KUASA DISALAH GUNAKAN...

‘Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibukti bersalah’ | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Keluarga mangsa tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini ke Parlimen menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan dalam kes yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan dengan niat’.

Ia ekoran tidak ada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut meskipun mereka dengan bantuan pihak peguam sudah menyerahkan memorandum kepada pihak berwajib termasuk kepada Ketua Polis Negara sendiri.

Peguam Lawyer for Liberty (LFL) menuntut polis yang teribat dalam tembakan tersebut didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Mereka juga menuntut pihak polis membuat permohonan maaf terbuka kepada keluarga mangsa kerana laporan forensik menunjukkan mangsa sitembak dari jarak dekat.

Peguam N. Surendran berkata, berasaskan laporan itu, besar kemungkinan seorang mangsa, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung ketika ditembak.

“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak.

“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm," kata Surendran pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ibu allahyarham Syamil, Norhafizah Mohd Razali pula menggesa Peguam Negara mendakwa polis yang terlibat kerana sudah setahun pihaknya menunggu tindakan daripada pihak berwajib.

"Saya menggesa pihak KDN dan Peguam Negara ambil tindakan segera terhadap polis yang menembak anak saya. Dah setahun saya menunggu tapi belum ada tindakan.

"Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibuktikan bersalah?

“Saya boleh terima kalau anak betul-betul melakukan kesalahan tapi janganlah dibunuh," katanya sebak.

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, KDN dan polis seharusnya berani bertanggungjawab dalam kes melibatkan pembunuhan itu.

"Kita dah hantar memorandum ke Bukit Aman, dah jumpa KDN tapi kenapa tak diendahkan? Beginikah layanan mereka kepada rakyat?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.

Menurut Nurul juga, pihaknya akan berusaha menyerahkan memorandum kepada Menteri KDN, Datuk Seri Hishammudin Hussein sesegera mungkin bagi menuntut campur tangan beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk mahfuz Omar pula berkata, pihak polis seharusnya menimbang cadangan peguam agar ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis ( IPCMC).

"Dalam pada kerajaan mengumumkan NKRA polis meningkat, kenapa enggan tubuh IPCMC ini? Buktikan prestasi polis benar-benar bagus. Jangan bohong rakyat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar.

Ketiga-tiganya ditembak kira-kira jam 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.


Mufti Perak nasihat pusat benarkan Kelantan laksana hudud | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Taun Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.

“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia... saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.

“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi... benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.

“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali... Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.

Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.

Selain itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.

Pada 24 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Katanya, kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ekoran satu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum respons Najib itu, Nik Aziz memohon Najib agar menarik balik surat 1994 dan membenarkan kerajaan negerinya melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.


Ketua PAS cawangan Taman Selayang meninggal
Khaulah Azwar

(Perjalanan terakhir Mejor (B) Mokhtar Husain)

GOMBAK, 4 Okt: Pengerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Masjid Taman Amaniah, Mejor (B) Mokhtar Husain, 68 tahun telah kembali kerahmatuallah malam tadi.

Beliau yang meninggal setelah diserang sakit jantung ketika ingin mengambil wudhu untuk menunaikan solat magrib, meninggalkan seorang balu Hajah Wan Hasnah Wan Ismail, tujuh orang anak dan tiga belas cucu.

Arwah jenazah telah selamat disolat jenazah denan kehadiran kira-kira 3000 pengungjung yang terdiri sahabat seperjuangan dan sanak saudara, dan di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru petang semalam.


Arwah Imam Mokhtar merupakan merupakan Ketua PAS Cawangan Taman Selayang, Batu Caves. Bergiat aktivif di kawasan Gombak dengan menjawat jawatan sebagai Pengerusi Purnama iaitu Tabung Khairat kematian Ahli PAS.

Roslan Ahmad, timbalan ketua PAS Cawangan Taman Selayang berkata, perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada mereka.

"Setiap kali kami adakan program beliau lantang bersuara untuk menyebarkan dakwah dan isu-isu semasa kepada rakyat. Walaupun digertak oleh musuh-musuh namun beliau tidak takut dan sentiasa beri semangat pada semua ahli PAS untuk terus berjuang terutamanya apabila kami membuat culaan undi daripada rumah ke rumah," kata Roslan.


Kita mahu Bajet yang merangsang ekonomi | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 6 Okt: Kalau meneliti kembali belanjawan yang dikemukakan oleh kerajaan, kebanyakan yang disampaikan setiap kali pembentangan adalah mengulang kembali apa yang dilakukan tahun sebelumnya, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, jika konsep mengulang kembali belanjawan yang lepas, apakah kesan secara langsung akan diperolehi oleh negara.

“Kita mahu belanjawan yang dibentangkan itu akan dapat merangsang ekonomi negara dan dapat dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat.

"Jadi pada belanjawan PR ini seluruh tumpuan diberikan untuk menjamin agar pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua golongan melalui dasar dan kerangka yang menekankan peningkatan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor pada Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, semalam.

Beliau menjelaskan belanjawan yang dikemukan Pakatan Rakyat telah diperincikan dari pelbagai sudut bagi mencari satu garis belanjawan yang terbaik untuk rakyat.

"Dalam merangka belanjawan tersebut, Pakatan Rakyat telah meneliti dengan terperinci bagi mencari satu belanjawan yang terbaik untuk rakyat.

"Belanjawan adalah merupakan satu instrumen mikro ekonomi dan ia sangat penting bagi sesebuah negara dalam arus pembangunan. Apabila menyebut penting, maka untuk merangka belanjawan ini tidak seharusnya tertumpu ataupun ciplak dari apa yang lepas," jelasnya.


Husam: Memacu PAS perintah negara pada PRU-13
Husam Musa

Ketika Umno mendekati ajalnya, PAS muncul sebagai parti masa depan dengan pendekatan multi racialnya diambil dari Islam adalah agama universal milik semua bangsa. Ini tergambar dalam cogan PAS - ‘PAS Untuk Semua dan Negara Berkebajikan.’

“DAN Nabi Ya’kub, (Sebagaimana bapanya) Nabi Ibrahim telah mewasiatkan pesanan itu kepada kesemua anak-anaknya : “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama yang menjadi cara hidup dan mati ini untuk kamu, oleh itu, janganlah kamu mati kecuali sebagai seorang Islam.”

Sebagaimana Nabi Ya’kub berada di pertengahan antara Dato’ neneknya yang telah berjuang dan anak cucunya yang akan mewarisi perjuangan, kita kini berada di antara sejarah lalu PAS yang gemilang dalam keistiqamahannya dan sambungan perjuangan 60 tahun atau seratus tahun yang akan datang.

60 tahun yang lalu adalah sejarah pembinaan asas perjuangan PAS dan di atas binaan asas atau foundation ini, akan terdiri binaan menaranya.

PAS, seawal pilihan raya 1959 – 8 tahun selepas penubuhannya pada tahun 1951 – telah menjadi Parti Islam pertama di Asia mendapat kuasa melalui pilihan raya - Dengan Berjaya menawan hati rakyat sehingga mengangkat PAS mentadbir dua negeri - Kelantan dan Terengganu.

Satu fakta yang menarik – peranan berkesan gerakan muslimat dalam menyumbang kepada kemengan pilihan raya 1959. Melihat kejayaan dan pentingnya gerakan muslimat ini, Umno membentuk sayap kaum ibu mereka.

Dilihat dari sudut pilihan raya, PAS telah mencapai peningkatan kini, berbanding pencapaian pertama pada tahun 1959 itu. PAS bersekali rakannya dalam Pakatan Rakyat berjaya menerajui Kelantan, Perak dan Kedah – serta menjadi sebahagian kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang – tapak sambutan 60 tahun pada hari ini - selepas pilihan raya ke 12.

Tanpa BN ditumbangkan di Pulau Pinang, kita tidak mungkin dapat bersidang di Dewan Milenium ini pada hari ini.

Sekilas imbasan – PAS kini kian menghampiri Umno dari sudut kedudukan politik negara.

Di Pulau Pinang – pada pilihan raya 2008, selain satu kerusi yang dimenangi ada 4 kerusi Dun di mana PAS kalah kecil di bawah 1,000 undi. Jika PAS boleh menang kesemua kerusi Dun, peranan PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang tentunya akan lebih kukuh.

Kemenangan kelima kerusi Dun ini juga boleh membantu PAS mendapatkan dua kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

Di Perak – PAS memenangi hanya 6 kerusi Dun dari 20 kerusi yang ditandingi, namun berjaya menabalkan MB dari parti kita, dengan sokongan parti rakan.

MB Perak dari PAS yang dianggap berkesan, terbuka, cekap , dan berkebajikan – sehingga memaksa Umno menggulingkan kerajaan ini dalam masa singkat bagi menyekat PAS membina pengaruh dalam susunatur masyarakat majmuk yang mewakili model demografi Malaysia.

Di Perak – PAS kalah marginal di sembilan kerusi Dun lain. 9 + 6 = 15 kerusi. Jika PAS berjaya memenangi semua kerusi marginal tadi, insya-Allah boleh memulangkan Perak kepada Pakatan Rakyat dan PAS. Ini juga boleh membantu PAS menambahkan empat kerusi Parlimen di Perak.

Begitu juga di Selangor – 13 kerusi Dun – PAS kalah marginal dan ini memberi ruang PAS bertapak untuk jangka masa panjang di negeri Pantai Barat – menghilangkan momokan selama ini bahawa PAS adalah Parti Pantai Timur atau tapak PAS hanya di Kelantan dan Terengganu semata-mata.

Sekali lagi - ia boleh melonjakkan prestasi PAS di peringkat Parlimen dengan tambahan beberapa kerusi Parlimen dari Selangor dalam pilihan raya akan datang.

Terengganu adalah secara semulajadi di anggap sebagai tapak PAS. Insya-Allah , kita mampu mengembalikan Terengganu kepada PAS dan meningkatkan bilangan kerusi Parlimen kita.

Di Peringkat Persekutuan, sebenarnya PAS menghampiri sasaran 40 kerusi pada pilihanraya lalu - mengambil kira 15 kerusi di mana PAS kalah dengan majoriti hanya 5,000 undi ke bawah. Umno hanya berjaya mendapatkan 78 kerusi Parlimen seperti sekarang kerana menggunakan tayar spare - peneroka felda dan undi pos. Di Pekan sendiri , Kepala Batas, Jeli, Hulu Terengganu dan lain-lain dimenangi melalui pertolongan ghaib undi pos dan bukan sokongan besar rakyat jelata.

Alun membentuk gelombang


Sementara itu, Umno juga dibantu oleh adanya 133 rancangan Felda di 26 kerusi Parlimen yang ditandingi .

Hari ini Alhamdulillah sudah wujud alun yang akan membentuk gelombang di kawasan-kawasan felda ini, insya-Allah.

Sekalipun kekuatan Umno ditunjangi oleh undi Peneroka Felda, PAS tetap mempunyai sokongan asas yang agak besar iaitu purata pada 39 peratus.

Hanya dengan lonjakan 12 peratus lagi insya-Allah kita semua boleh mengubah landskap politik negara.

Ketika PAS berjaya besar dalam pilihan raya 1969, termasuk menewaskan Dr Mahathir – oleh Tuan Haji Yusuf Rawa - yang kemudiannya menjadi Presiden PAS ke 5 - sebagai bukti tidak ada gergasi yang kebal yang tidak boleh ditewaskan - Yang Dipertua Agung PAS masih ditahan.

Yang Dipertua PAS adalah Dr Burhannudin al-Helmi ditahan di bawah ISA bagi kali kedua dan kerana keuzurannya akibat layanan buruk dalam tahanan, beliau dirawat di hospital. Dari katil hospital, Mei 1969, beliau merangka pelan strategi pilihan raya tersebut. Beliau sendiri tidak dapat bertanding kerana perintah mahkamah yang dikenakan ke atas beliau. Lima bulan kemudian, beliau meninggal iaitu hanya sebulan selepas dibebaskan.

Dato’ Ahmad Boestamam, aktivis perjuangan kemerdekaan yang sangat gigih, seangkatan dengan Dr Burhanuddin memuji Dr Burhanuddin sebagai seorang yang tenang, terbuka dan matang.

Beliau menulis tentang pengalaman Dr Burhanuddin berdebat tentang tuhan dengan seorang aktivis berfahaman komunis. Kata aktivis itu, jika anda beriman Tuhan itu wujud dan berkuasa, mintalah Tuhan anda, berikan saya sepasang selipar getah.

Dengan tenangnya Dr Burhanuddin menjawab: Sememangnya tuhan itu ada. Tuhan telah menciptakan semua benda-benda besar seperti bumi dan langi.

Anda dan saya. Kalau hanya sepasang selipar getah, ia boleh dibuat oleh anda sendiri dan tidak perlulah mintakan Tuhan untuk membuatnya..... Demikian catatan Dato’ Ahmad Bosteman.

PAS ternyata terbuka sejak mula. Malah terlantiknya Dr Burhanuddin sendiri selaku Yang Dipertua Agung PAS sedangkan pada waktu itu beliau belum lagi menjadi ahli PAS, adalah satu dari bukti keterbukaan PAS itu.

Ia bermula apabila beberapa pimpinan kanan PAS telah mencadangkan supaya parti menawarkan jawatan itu kepada beliau kerana halangan tugas Dr Abbas Alias dan tawaran itu akhirnya diterima. Dr Abas pula secara terbuka memberikan laluan kepada Dr Burhanudin.

Untuk seribu langkah ke hadapan, pegangan PAS terhadap fundamental Islam dan pada masa yang sama bersikap terbuka dan bijaksana memilih keutamaan-keutamaan perjuangan yang bertahap-tahap dengan latar belakang komposisi penduduk yang beragam menjadikan PAS berbeza dengan Umno. Serentak. Pegangan Islam menjadikan PAS sebuah parti yang sentiasa utuh dan beridealisme tinggi.

Ketika Umno mendekati ajalnya, PAS muncul sebagai parti masa depan dengan pendekatan multi racialnya diambil dari Islam adalah agama universal milik semua bangsa. Ini tergambar dalam cogan PAS - PAS Untuk Semua dan Negara Berkebajikan.

Rahmat perjuangan PAS dinikmati oleh semua rakyat sebagaimana buah-buah yang enak boleh dimakan oleh sesiapa sahaja. Dari sana, Insya-Allah ramai akan tertarik untuk memahami Islam sebagai akidah yang benar dan agama yang sempurna.

Islam yang syumul atau komprehensif sekali lagi meletakkan perjuangan PAS tetap relevan dan seperti kata Syed Qutb, ‘masa depan adalah untuk Islam’, meletakkan PAS mempunyai tapak kekuatan yang sama sekali berbeza dengan lawan politiknya.

Memandang PAS sejak lapan tahun pertama penubuhannya telah berpeluang mentadbir, walaupun hanya di peringkat negeri, menjadikan ahlinya telah mempunyai minda berkerajaan sejak lama. Minda berkerajaan yang ada ini menjadikan PAS boleh menggantikan Umno dalam mentadbir negara dan pada masa yang sama mengekalkan keamanan dan kesejahteraan semua penduduk.

Bagi 60 tahun akan datang, pilihan raya ke 13 adalah sebahagian dari barometer yang penting. Kongres ini dianjurkan tepat menjelangnya tarikh penting itu. Terpulang kepada ahli samada mampu melonjak PAS seibu langkah ke hadapan dan memundurkan lawan kita seribu langkah ke belakang dalam pertarungan penting untuk meletakkan perjuangan kita ke persada utama negara.

----------------------------------

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.


Fasa kedua 60 tahun PAS | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Kongres Sambutan 60 Tahun PAS yang berlangsung pada 1 Oktober lalu di Pulau Pinang memang meriah dan bersejarah. Hadirin, saya kira 30,000 orang, sebahagiannya di dalam Dewan Milenium "berlagu lutut" pada majlis Rapat Umum Perdana di sebelah malamnya.

Pekan Kepala Batas sesak teruk. Saya terpaksa perlahan-lahan menapak agak jauh dari tempat letak kereta. Ramai lagi yang berpusing-pusing mencari parkir. Mujur perut sudah diisi nasi kandar di gerai berdekatan.

(Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di majlis Rapat Umum Perdana, sempena sambutan 60 tahun PAS, 1 Oktober.)

Seusai program, jam 12 malam, sekali lagi terpaksa menunggu lama disebabkan laluan kereta tersekat di celah-celah rumah kedai, 2km dari lokasi ceramah.

Di sebelah paginya, mood kongres nampak ceria dan bersemangat. Ucapan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan penganugerahan tokoh buat "putera terbaik Melayu", Dr Burhanuddin Al-Helmy menyuntik inspirasi baru buat petugas parti. Cerita mengenai kegigihan, istiqamah, ketekunan dan ketabahan berdepan tribulasi dan rintangan berpanjangan di atas jalan dakwah.

Yang nyata, selepas Mohamad Sabu menimbulkan kontroversi Mat Indera, berbicara tentang sejarah (apatah lagi mengenang jatuh bangun parti) sudah mampu menarik perhatian umum dan memaku tumpuan.

Saya sendiri melihat kongres itu memberi makna tersendiri, sehingga menggagahi juga turun jauh ke utara. Muktamar PAS pun bagi saya tidak seistimewa itu. Jun lalu, meskipun Taman Melewar tidak begitu jauh dengan kediaman saya di Bukit Ampang, saya tidak bersedia untuk bersesak di persidangan tahunan PAS.

Sayang, pengisiannya pada hanya sebelah pagi, dan tiada ruang untuk penyertaan aktif daripada perwakilan. Hanya ada dua pembicara, Dato' Kamarudin Jaffar dan Subky Abd Latif. Ramai yang mahukan sambutan 60 tahun itu diraikan di peringkat akar umbi, di seluruh negara, dan mengaitkannya dengan persiapan PRU13.

Semasa berucap, Ustaz Abdul Hadi kelihatan sebak sewaktu menyebut nama-nama Yang Dipertua Agung atau Presiden PAS sebelumnya. Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli PAS bersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.

"Marilah kita menjadi seperti mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya.

Pidato tengahari naib-naib presiden, Husam Musa dan Mahfuz Omar lebih menekankan keupayaan parti menempuh cabaran mendatang, dengan memanfaatkan pengalaman silam.

Husam membentangkan data-data menarik tentang PRU13, khususnya bagi menjayakan pelan kemenangan menguasai Putrajaya. Exco Kanan Kerajaan Kelantan ini menarik perhatian peserta dengan ungkapan "minda berkerajaan dalam PAS", yang dilihat mampu meletakkan parti Islam itu sebagai peneraju kerajaan alternatif berdasarkan pengalaman memerintah negeri.

"Bagi 60 tahun akan datang, PRU13 adalah sebahagian dari barometer yang penting. Kongres ini dianjurkan tepat menjelangnya tarikh penting itu. Terpulang kepada ahli sama ada mampu melonjak PAS seribu langkah ke hadapan dan memundurkan lawan kita seribu langkah ke belakang dalam pertarungan penting untuk meletakkan perjuangan kita ke persada utama negara," rumus Husam.

Mahfuz, yang berapi-rapi berucap, mengimbau konsep Melayu Raya yang diperjuangkan Burhanuddin, dan mahu ia dikembangkan dalam bentuk Malaysia Raya, dengan asas Islam yang kukuh. Baginya, fasa 60 tahun kedua PAS perlu dimantapkan lagi, terutama selepas terbukti Umno makin tersepit dengan asakan kesedaran rakyat yang ditunjangi PAS.

Sebelumnya, Tok Guru Nik Aziz menyampaikan tazkirah tentang hal-hal asas seperti solat dan membaca al-Quran, yang dikaitkan dengan pengalaman PAS berdepan pelbagai tekanan, termasuk mengharamkan simbol bulan bintang. Beliau juga menyentuh polemik hudud.

Tok Guru mengharapkan, satu hari nanti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan muncul sebagai "Parti Islam Se-Dunia" (PAS). Keuzuran sememangnya tidak pernah menghalang Tok Guru untuk terus menyampaikan nasihat, yang pastinya cukup bermanfaat buat bekalan melalui jalan berliku dalam perjuangan suci ini.

Tazkirahnya membekas di hati; ya, Tok Guru memang tiada duanya. Peringatannya begitu menyentuh biarpun mengulas tema biasa dalam kehidupan.

Sementara menunggu pidato umum malamnya, semasa menjamah nasi kandar di pekan Kepala Batas, seorang yang mengenalkan dirinya sebagai pembaca setia Harakah, merapati saya. "Bang, saya minta sangat-sangat, tolonglah tulis tentang penagihan dadah terutama di kampung-kampung, yang cukup tenat sekarang," nada suaranya cukup serius, di antara merayu dan mendesak.

"Bangsa kita punah kalau macam ini. Kerajaan dan polis memang tak serius tangani masalah dadah. Betul. Undang-undang berat pun tak guna kalau pelaksanaannya longgar," tambahnya. Beliau bercerita panjang, penuh emosi dan sekali lagi menggesa Harakah menimbulkan isu ini.

Sebenarnya hari itu, saya diasak satu lagi isu yang "membingungkan" apabila terbaca laporan Berita Harian, 1 Oktober, tentang kajian isu pembuangan bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM).

Kajian itu mendapati tiga daripada enam remaja berumur di antara 15 hingga 28 tahun, kebanyakannya lulusan universiti, melakukan hubungan zina. Seramai 1,922 daripada 5,016 responden yang diselidik mengetahui rakan mereka mengandung anak luar nikah. 76 peratus (3,812 responden) mempunyai rakan yang pernah menonton video lucah.

Semasa singgah di Taiping, tengahari Ahad, 2 Oktober, untuk menziarahi makam Pahlawan Umat, Dr Burhanuddin, di Masjid Lama Taiping, dan pusara Mat Indera, di Kg Jambu, tidak jauh daripada situ, kemelut gejala sosial yang membarah itu masih menganggu fikiran saya.

(Pak Akob [kiri] menunjukkan nisan pusara Mat Indera. Tulisan namanya masih timbul dengan jelas walaupun dikebumikan pada Januari 1953.)

Bagaimanapun, pelbagai cerita yang dikongsi daripada setiausaha masjid, Mohd Zamhuri Baharim dan penjaga kubur Mat Indera, Yaakob Din, dapat meringankan sedikit "sakit kepala" saya. Sayang kami tidak dapat memenuhi jemputan makan tengahari PAS kawasan yang disampaikan Bashir Ahmad, pegawai khas Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk Dun Sepetang.


II.

Selain pengumuman tawaran menarik oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 kepada media, 4 Oktober lalu, beberapa penekanan yang dibuatnya elok juga diberi tumpuan.

Di antaranya, Anwar menekankan: "Golongan maha kaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus-lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan maha kaya ini seronok melancong dan berbeli-belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

"Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35 peratus dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

"Statistik rasmi dari kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca-merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

"40 peratus rakyat Malaysia datang daripada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya dalam negara (termasuklah golongan maha kaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% kekayaan negara.

"Angka ekonomi negara rendah-rendah belaka, kecuali kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan harga gula melonjak 66%, harga 1 kilogram ayam melonjak 37%; susu bayi, 26%; teh tarik, 25%; dan roti putih, 20%.

"Unjuran angka inflasi membayangkan jika keadaan ini berterusan sehingga 2015 akibat kegagalan BN mengawal harga barang, rakyat akan menanggung kos barangan harian yang melonjak 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%."

Justeru, rakyat tiada pilihan selain bertindak menukar kerajaan. Pembolotan khazanah kekayaan negara mesti dihentikan. Rasuah yang membarah bagai tiada kesudahan. Undang-undang tidak mampu menyekat keserakahan nafsu pemimpin Umno-BN dan suku-sakatnya.

Pengalaman saya mengikuti beberapa kes rasuah berprofil tinggi membuktikan bahawa peluang untuk melakukan salahguna kuasa hanya dapat ditutup melalui undang-undang yang berat, penguatkuasaan yang tegas dan integriti diri yang tinggi.

Begitu banyak ruang dan peluang salahguna kuasa yang tidak mampu dikesan oleh undang-undang, apatah lagi dengan realiti Malaysia Boleh!

Dalam masa sama, Dato' Seri Najib Razak tentu tidak akan melepaskan peluang semasa membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini, bagi menarik sokongan kepada BN. Pastinya ia bajet terakhir sebelum PRU13 dan usah terkejut dengan tawaran-tawaran itu nanti.


Cincin RM72 juta sudah pulang? | Print |
Subky Latif

ADAPUN cincin ajaib yang diposkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah dipulangkan kepada yang mengirim.

Berita yang dibongkar oleh Cikgu Bard, seorang pemimpin ternama PKR betapa adanya cincin yang semahal sekitar RM72 juta dihantar kepada Rosmah secara pos dan terpaksa melalui pemeriksaan kastam itu adalah benar apabila Menteri Nazri Aziz mengesahkannya dalam Parlimen.

Menteri Nazri dalam jawapannya kepada soalan mengenainya di Parlimen memberitahu bahawa cincin itu telah dikembalikan kepada syarikat pemunyanya.

Apabila ia telah dikembalikan kepada sipengirim, bererti pernah dibawa masuk ke negara ini dan dihantar kepada Rosmah di alamatnya.

Bagaimana ia dibawah masuk telah didedahkan oleh Cikgu Bard. Bagaimana ia dipulangkan tidak pula diketahui.

Berita rasmi mengenai cincin ini hanya yang disahkan oleh menteri Nazri di Parlimen. Penjelasan menteri di Parlimen diterima sah. Anggota Parlimen tidak boleh membuat kenyataan palsu di Parlimen. Jika dibuktikan anggota Parlimen membuat kenyataan palsu di Parlimen, maka hilang kelayakannya sebagai anggota Parlimen.

Berita ia sudah dikembalikan itu boleh diterima. Tetapi penapian Rosmah betapa cincin itu dihantar kepadanya sebagai fitnah tidak dipercayai. Orang percaya cincin itu telah dihantar kepadanya dan telah diterimanya.

Jika diadakan penyiasatan telus di Jabatan Kastam, nescaya orang dapat tahu bagaimana cincin itu sampai ke Jabatan Kastam dan cara mana kastam mengendalikannya? Kastam juga tentu dapat menceritakan ke mana cincin itu dihantar selepas diperiksa kastam?

Yang menjadi misteri sekarang ialah bagaimana cincin itu boleh dihantar ke Malaysia dan kepada orang yang dikirim di alamatnya?

Adakah syarikat yang mengirimnya sekadar untuk menunjuknya saja kepada Rosmah?

Adalah tidak munasabah cincin yang semahal itu boleh dihantar begitu saja kalau tiada persetujuan atau permintaan dari orang yang dihantar?

Kalau atas tujuan untuk dipertontonkan kepada orang Malaysia dan kemudian dipulangkan balik, mengapa tidak dihantar kepada Raja Permaisuri Agong yang kedudukan baginda adalah lebih tinggi dari isteri Perdana Menteri?

Rosmah memang terkenal sebagai seorang yang lincah dan diketahui pula suka bermewah serta gemar kepada benda-benda yang mewah.

Jika cincin itu untuk tujuan pameran, tiada berita tentang pameran barang mewah termasuk cincin itu. Adalah mustahil pameran diadakan sekadar untuk menunjukkan sebentuk cincin itu saja.

Kalau untuk dipamer, tentulah tuan punya cincin itu sendiri datang kerana dia akan dapat menjawab semua pertanyaan para peminat tentang cincin itu. Adalah mustahil cincin itu dipamerkan tanpa kehadiran tuan punya bagi menjamin keselamatan cincin itu.

Agak ajaib jika cincin itu sekadar dipinjamkan kerana ia bukan benda yang murah. Apa jaminan jika cincin itu hilang?

Tiada jawapan yang dapat diterima bagi tuan punya melepaskannya kepada orang lain selain dari dijual.

Orang seperti Rosmah dipercayai tidak akan melepaskannya apabila ia sudah di tangannya. Sedaya upayanya dia akan menjadikannya hak miliknya. Setinggi mana pun harganya tidaklah penting sangat tetapi dia ada cara untuk menyelesaikannya dan dia ada cara bagaimana Perdana Menteri Najib dapat membantu mendapatkannya.

Kita tidak menyanggah penjelasan Menteri Nazri ia telah dikembalikan kerana kita menghormati kata-kata di Parlimen adalah benar dan tiada yang tidak benar.

Tetapi siapa saksi cincin itu telah beredar dari tangan Rosmah? Apa bukti ia sudah diterima semula oleh tuan punya?

Apa pun perkiraan antara kedua tuan punya dan orang yang menerima cincin adalah urusan dan transaksi kedua mereka.

Negara, kerajaan dan rakyat ada hak untuk mengetahui urusan cincin itu. Kita yakin Rosmah mahu memilikinya. Tuan punya tentu sudah diyakinkan urusan niaganya dan penyerahan cincin itu tidak mendatangkan risiko.

Tidak cukup duit gaji Najib dikumpul sejak mula jadi menteri hingga sekarang untuk membelinya. Maka Najib mesti menghilangkan keraguan orang tentang cincin itu supaya tiada wang negara disalahgunakan dan tiada urusan yang tidak betul melayakkan cincin itu boleh menjadi milik isterinya.

Sukar orang untuk mempercayai adanya urusan tentang cincin itu boleh dibawa ke sini.

Silap Rosmah ialah mengapa cincin itu tidak dipakai dan dibawa pulang sendiri? Tiada siapa tahu jika ia tidak dipos.


Jambatan terpanjang adalah Jambatan Asian di Miri?
Mohammad Arifiriazul Paijo

Di Malaysia seringkali dikatakan bahawa, jambatan terpanjang di Malaysia adalah Jambatan Pulau Pinang. Tetapi saya katakan bahawa jambatan terpanjang di Malaysia adalah Jambatan Asian di Kuala Baram, Miri.

Saya katakan demikian kerana tol bagi setiap pengguna Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya sejauh 15km adalah RM7.50 sementara tol yang dikenakan kepada pengguna Jambatan Asian adalah RM10. Secara logiknya Jambatan Asian ini semestinya lebih dari 15km.

(Jambatan Asian [yang tolnya] mahal giler nak mampus!!!, tulis satu blog foto)

Sedikit informasi berkenaan Jambatan Asian. Jambatan Asian merupakan jambatan yang menghubungkan Kuala Baram menghala ke Miri dan Kuala Baram menghala ke sempadan Malaysia-Brunei. Jambatan ini telah siap dibina pada awal tahun 2000. Jambatan ini merupakan laluan utama menghubungkan Miri, Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah.

Jambatan Asian ini telah di bina oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Shin Yang iaitu sebuah syarikat yang dikatakan sebagai proksi atau kroni kepada Ketua Menteri Sarawak sekarang. Dalam masa yang sama, syarikat yang sama juga telah membina jambatan yang hamper sama di Sibu iaitu di Lanang.

Tol yang dikenakan kepada pengguna Jambatan Lanang pula hanya RM3. Fakta yang lebih mengejutkan adalah kedua-dua jambatan ini panjangnya adalah hanya lebih kurang 400 meter.

Ini merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan dimana projek pembinaan jambatan ini semestinya projek kerajaan untuk rakyat dan seharusnya secara prinsip sesuatu projek itu sudah tentunya ada pembayaran diberikan kepada pihak pemaju daripada kerajaan.
Namun kenapa perlu ada pembayaran tol yang amat tinggi dikenakan kepada pengguna jambatan ini sementara jambatan yang hampir sama yang dibina oleh pemaju yang sama hanya mengenakan tol serendah RM3.

Sekiranya alasan penyelengaraan digunakan, kenapa Jambatan Pulau Pinang yang jauh lebih panjang hanya mengenakan RM7.50 untuk jambatan sepanjang 15km.

Penindasan ini bukan hanya membabitkan membabitkan pengguna jalan yang ingin ke negara jiran malah telah membabitkan penduduk-penduduk yang tinggal di kampong seberang Kuala Baram iaitu Kampung Masjid.

Penduduk kampung terbabit memberitahu bahawa mereka dikenakan tol RM1 untuk penggunaan sehala unutk jambatan terbabit. Jika inign ke pusat bandaraya mereka terpaksa membayar RM2 untuk perjalanan pergi dan balik.


Untuk mendapat kemudahan terbabit, penduduk kampong terpaksa pula berkunjung ke pejabat pemaju terbabit untuk membuat permohonan dengan menggunakan MyKad yang beralamat di kampong tersebut dengan sokongan ketua kampong.


Situasi ini amat merumitkan penduduk kampung sedangkan sebelum ini ketika perkhidmatan feri masih beroperasi penduduk kampung tersbut tidak dikenakan bayaran sekiranya memiliki pas laluan yang disahkan.

Sementara itu, jambatan tersebut akan berhenti beroperasi pada jam 12 tengah malam dan penduduk kampung seolah-olah hidup di dalam penjara dengan jadual perjalanan harian mereka keluar kampung terhenti pada jam 12 tengah malam dan akan hanya bermula pada jam 6 pagi.

Perkara ini benar-benar mengecewakan kita. Pertama, projek pembinaan jambatan ini yang sepatutnya menjadi kemudahan nilai tambah kepada rakyat sebaliknya menjadi projek tambah duit syarikat-syarikat kroni Ketua Menteri.

Rakyat berhak mendapat kemudahan awam dengan bebanan kewangan tambahan yang minima, namun sekarang terpaksa membayar sekali ganda berbanfing sebelumnya ketika perkhidmatan feri digunakan.

Kedua, kita amat risau dengan ketirisan duit rakyat dibawah jagaan pemerintah yang sedia-ada sekarang iaitu Barisan Nasional yang pada asasnya pembayaran terhadap projek terbabit sepatutnya telah diuruskan sebaiknya.

Namun bila mana rakyat terpaksa lagi membayar sejumlah tol yang cukup mahal bagi melalui sebuah jambatan yang hanya panjangnya 400 meter seolah-olah pembayaran untuk projek pembinaan jambatan tersebut hanya melalui pembayaran tol yang dikenakan kepada rakyat.

Ketiga, penduduk di Kampung Muhibah secara khususnya terpaksa menghadapi kesan secara langsung terhadap pembinaan jambatan tersebut.

Kesan yang diterima oleh penduduk di kampung tersebut bukan hanya terpaksa menampung perbelanjaan tambahan bagi pergi ke tempat kerja masing-masing di pusat bandaraya malah terpaksa hidup dalam kepungan di tempat asal sendiri.

Penduduk kampung terpaksa berada di kampung sebelum jam 12 malam dan pernah dikongsikan oleh wakil penduduk kampung bahawa pernah suatu masa, seorang penduduk kampung yang perlu dibawa ke hospital akibat kecemasan kesihatan tidak dapat dibawa ke hospital akibat daripada jambatan yang tidak beroperasi pada ketika itu.

Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat negeri Sarawak khususnya penduduk di bahagian Miri mendesak pihak kerajaan untuk:


1) Mendedahkan maklumat pembayaran projek pembinaan Jambatan Asian serta kos penyelenggaraannya semenjak ia mula beroperasi

2) Mendedahkan kepada masyarakat umum berkenaan perjanjian berkenaan dengan kutipan tol bagi penggunaan Jambatan Asian, kenapa harga tol yang dikenakan begitu tinggi berbanding tol di Jambatan Lanang dan berapa lamakah konsesi bagi tol Jambatan Asian tersebut?

3) Mengurangkan jumlah kutipan tol bagi penggunaan Jambatan Asian daripada RM10 kepada RM3 seperti mana yang dikenakan terhadap pengguna Jambatan Lanang yang memiliki kepanjangan yang hampir sama dan dibina oleh syarikat yang sama.

Sekali lagi saya menyeru pemerintah kerajaan yang ada sekarang iaitu Barisan Nasional untuk benar-benar melaksankan tanggungjawab dalam menguruskan kekayaan serta hak milik rakyat dengan sebaiknya.

Rakyat pastikan akan bangkit bagi memperbetulkan keadaan dan menghukum kerajaan yang gagal dalam menguruskan kekayaan negeri dan negara yang tercinta ini.

----------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak/Ketua Penerangan PAS Miri.

Bandar beracun: Syabas pakar UKM
Dzulfahmi Abu Bakar
Lajnah Pengguna & Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (LPAS DPPN Png) mengucap tahniah dan syabas diucapkan kepada pakar-pakar daripada UKM kerana berjaya mengemukakan hasil kajian mereka kepada umum tentang isu peningkatan pencemaran udara akibat daripada peningkatan kenderaan di atas jalan raya.

LPAS DPPN Png memandang serius kenyataan yang dipaparkan di muka hadapan sebuah akhbar harian pada 3 Oktober (Isnin) lepas yang bertajuk Pengeluaran asap kenderaan berlebihan cemarkan udara. Empat ‘Bandar Beracun’.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa penduduk di Shah Alam, Putrajaya, Nilai, dan Tanjung Malim diancam pencemaran udara akibat daripada asap kenderaan berlebihan dimana boleh mengubah status Bandar selamat kepada Bandar beracun.

Manakala Bandar yang membimbangkan ialah Seberang Jaya (Pulau Pinang), Kemaman (Terengganu), dan Johor Baharu. Tidak terkecuali bandaraya seperti Kuala Lumpur juga akan mengalami pencemaran udara kritikal menjelang 2020 berdasar statistic peningkatan jumlah kenderaan iaitu sebanyak 7% setahun.

Sudah sampai masanya kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan perlu mencari satu formula atau mekanisme dalam menangani masalah ini. Antara cadangannya ialah mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat kerja mahupun bersiar-siar semasa cuti hujung minggu.

Persoalannya adakah sistem penggangkutan awam di negara ini setanding dengan negara negara maju di dunia? Jika dilihat kepada standard pengangkutan awam di Malaysia, ia masih menggambarkan bahawa sistem atau kemudahan infrastruktur pengangkutan awam masih ditahap yang tidak memuaskan kepada pengguna jalan raya khususnya untuk orang awam berbanding negara-negara membangun mahupun dikalangan negara maju. Bagaimanakah Kerajaan Pimpinan Umno BN mahu merealisasikan impian Wawasan 2020 yang di ilhamkan oleh Tun Dr Mahathir sedangkan sistem pengangkutan awam masih lagi di dalam keadaan yang tidak teratur dan lemah?

Masalah sistem pengangkutan awam yang dikenal pasti khususnya di Pulau Pinang ialah:-

1) Perkhidmatan bas yang tidak tepat masanya ke setiap tempat atau lokasi yang dituju dan menyebabkan orang awam lewat ke tempat kerja masing-masing.

2) Kekurangan jumlah bas menyebabkan kepadatan penumpang ketika berada didalam bas mahupun semasa menunggu bas di setiap perhentian.

3) Perlu naik dan turun sebanyak 2 atau 3 buah bas sebelum sampai ke lokasi yang dituju. Contohnya seorang pekerja di Komtar perlu menaiki bas daripada rumah (seberang jaya) ke Terminal Feri (jetty) dan daripada jetty ke Komtar.

4) Sikap segelintar pemandu bas yang kadang-kadang tidak berhenti di perhentian yang disediakan untuk mengambil penumpang dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak sepatutnya.

Namun setiap kali belanjawan atau pengurangan subsidi minyak petrol (kenaikan harga petrol) diumumkan oleh Kerajaan Umno BN, alasannya ialah penjimatan duit subsidi minyak petrol dan suntikan dana semasa belanjawan adalah untuk ke pengangkutan awam. Tetapi sampai sekarang sistem pengangkutan awam masih di takuk yang lama.

Sebagai contoh, pada tahun 2006, kerajaan menaikan harga minya petrol sehingga RM 1.65 sen seliter. Ucapan yang dipaparkan oleh media upahan Umno BN, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu menyeru rakyat-rakyat berjimat cermat khususnya yang kerap mengunjugi kedai minum atau makan supaya mengurangkan daripada meminum teh tarik atau kopi daripada 2 hingga 3 kali ke sekali atau bancuh minum di rumah saja. Padahal pemimpin-pemimpin besar terus berboros jutaan ringgit untuk kepentingan individu atau kroni-kroni mereka.

Datuk Seri Najib juga menyatakan hasil daripada pengurangan subsidi minyak petrol. Kerajaan dapat berjimat sehingga 4 billion ringgit dan duit ini akan di salurkan untuk penambah baikan system pengangkutan awam kelak. Akan tetapi sampai sekarang janji Kerajaan Umno BN tidak di tunaikan lagi.

Yang hanya Kerajaan Umno BN tunaikan ialah kenaikan harga minyak petrol, diesel, gas dan barang-barang makanan keperluan asas tetapi dalam masa yang sama satu lagi akta yang menindas rakyat dilaksanakan iaitu GST.

Sememangnya pencegahan lebih baik daripada perawatan terutama nya akibat daripada penceramaran udara iaitu komplikasinya ialah penyakit lower respiratory infection track seperti broncholitis dan penyakit upper respiratory infection track seperti tonsilaitis. Sesuatu harus dilakukan agar bandar-bandar di Malaysia ini menjadi tempat yang selamat untuk diduduki dan ianya mestilah bermula dengan penguatkuasaan yang ketat tanpa unsur-unsur rasuah. Yang pastinya ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Umno BN dibiarkan terus menjadi pemerintah di negara ini.

Dzulfahmi Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang

Tiada ulasan: