KUALA LUMPUR, 13 Okt: Wakil Pakatan Rakyat bercadang untuk membawa usul mengenai kegagalan kerajaan menyerahkan Laporan Audit Negara kepada Ahli Parlimen, Isnin ini. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sudah empat hari mereka membahaskan belanjawan tanpa merujuk Laporan Audit Negara. "Kita cadang untuk bawa usul mengenai perkara ini kerana hari ini sudah masuk hari keempat berbahas, tapi laporan masih tiada," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Beliau juga mempersoal ketiadaan laporan tersebut sedangkan sesetengah negeri termasuk Kelantan sudah menerima laporan audit negeri masing-masing. Katanya, Jawatan Kira-Kira Negara (PAC) bertanggungajawab ke atas perkara itu, tidak seharusnya menunggu ianya dituntut. "Kalau di luar negara, PAC dipengerusikan wakil pembangkang jadi senang untuk menggesa kerajaan tapi di Malaysia PAC diketuai wakil kerajaan, sebab itu lambat bertindak," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar meminta Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan perkara tersebut. "Kita minta Azmi Khalid jelaskan perkara ini kerana ini sangat memalukan dah masuk hari keempat, masih belum ada laporan audit," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat. Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula berkata Jabatan Audit Negara sendiri terkejut apabila beliau memaklumkan ahli Parlimen belum menerima laporan tersebut. “Pegawai jabatan itu terkejut dan menyatakan Ketua Pengarah sendiri berpuas hati kerana laporan berkenaan kerana ia siap lebih awal (berbanding tahun) lalu dan lengkap. “Ini yang kita hairan. Di manakah sangkutnya laporan itu? Adakah di Parlimen atau berada di tangan menteri tertentu?” soalnya.
Cukai rokok dan arak: Pandangan Zahrain disanggah Mohd Sabri Said | PULAU PINANG, 13 Oktober: Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeAdiLan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin Mohamad yang mahu mempupolarkan semula membabitan syarikat 'rokok' dan 'arak' dalam urusan bola sepak negara.
Walhal 'rokok dan arak' kata mereka telah pun ditolak dalam arena bola sepak negara apabila Malaysia tidak lagi mengambil syarikat rokok 'Dunhill' untuk dijadikan penaja sukan sepertimana dulu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah membidas cadangan itu yang dianggap terkebelakang jika berfikiran bahawa hanya wang dari dua syarikat tersebut sahaja mampu meningkatkan prestasi serta sebagai punca dana oleh persatuan bola sepak negeri termasuk Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).
"Jelas sekali Umno tidak boleh memisahkan diri mereka dengan wang hasil penjualan rokok atau arak.
Kita tahu walaupun beliau ahli Parlimen bebas namun suara itu adalah suara Umno dan Barisan Nasional (BN), "ujarnya.
Sensitiviti umat Islam
Sementara itu, Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali pula menyifatkan Datuk Zahrin tidak ada hala tuju sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menghiris perasaan umat Islam.
Bola sepak katanya, bukan sahaja diminati oleh bukan Islam di Malaysia bahkan lebih ramai peminatnya terdiri daripada orang Islam maka kenyataan itu satu kenyataan biadap.
Sepatutnya beliau sebagai Pengerusi FAP harus mencari kaedah lain yang lebih efesyen bukan ortodok walaupun untuk menanggung kos pengurusan bola sepak.
"Beliau sendiri tidak boleh bertindak baik terhadap FAP yang juga tidak lekang dari menghadapi masalah kewangan.
Patut beliau lebih bijak bukan menjadikan hasil rokok dan arak sebagai harapan, " katanya.
Semalam, Zahrain mencadangkan supaya kutipan cukai dari arak dan rokok disalurkan untuk pembangunan sukan khususnya bola sepak.
Menurutnya, walaupun rokok telah diharamkan sebagai penaja utama dalam sukan, kutipan cukai oleh kerajaan boleh disalurkan semula untuk tujuan pembangunan bola sepak negara.
Salmah Mat Husain | KOTA BHARU, 13 Okt: Slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dianggap semakin pudar, apabila diskriminasi politik masih menebal. Dendam pemimpin Umno terhadap keberanian rakyat Kelantan menyingkir parti itu pada 1990 belum berpenghujung kerana deraan politik masih lagi subur dalam diari politik Umno. Kes terbaru di mana pengilang-pengilang beras yang membekalkan beras skim al It’aam untuk rakyat miskin di Kelantan pula diugut. Skim berkenaan mulai diperkenalkan kerajaan negeri bermula Febuari lalu, di mana seramai 8,100 penduduk miskin yang disenaraikan di bawah senarai e-Tegar mendapat bantuan beras percuma 10 kg sebulan. Bantuan beras percuma pada peringkat awal diperkenalkan Dun Wakaf Bharu tahun lepas, di mana seramai 225 penduduk miskin mendapat sumbangan Adun kawasan itu, Che Abdullah Mat Nawi. Malangnya selepas 10 bulan skim itu berjalan lancar, Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan mendedahkan pemilik kilang dan pembekal beras percuma pula diugut. ”Saya difahamkan pembekal beras kepada skim al It’aam diberi amaran agar tidak ikut serta menjayakan program berkenaan,” katanya di sini. Menurut sumber pengilang dan pembekal beras yang terbabit skim al It’aam diugut akan ditarik lesen sekiranya terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri. (ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Rakyat diberitahu seramai 820,156 orang mendaftar sebagai pemilih baru bagi tahun 2010 berbanding 276,621 pada tahun 2009.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, jumlah permohonan pendaftaran baru ini berbeza dari tahun ke tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih.
Selain itu katanya, ia juga berkait dengan sentimen keadaan politik semasa.
"Berdasarkan trend, jumlah permohonan adalah rendah dalam tempoh selepas berakhirnya pilihan raya umum dan akan berlakunya peningkatan yang ketara dalam jumlah permohonan apabila masyarakat umum menjangkakan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir," katanya yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.
Menjawab soalan Chin Tong mengenai bilangan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yabg ditugaskan di seluruh negara untuk memproses pendaftaran pemilih baru, beliau memberitahu SPR mempunyai 132 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap.
Di samping itu, sehingga Ogos 2011, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang terdiri daripada 2,845 wakil parti politik, 3,992 wakil jabatan, 779 wakil pertubuhan dan 2s9 wakil universiti.
Ianya untuk membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.
"Pelantikan ini adalah bagi tempoh tertentu dan penamatan boleh dilakukan pada pada bila-bila masa bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan SPR," katanya.
Sementara itu, peruntukan yang ditetapkan untuk tujuan pendaftaran pemilih berjumlah RM500,000.
Manakala tempoh bagi satu-satu permohonan yang diterima oleh SPR sama ada untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau pun memohon pertukaran alamat pusat mengundi, ia diproses dan diperakui mengikut tempoh suku tahun yang lazimnya mengambil tempoh masa antara tiga hingga lima bulan seperti berikut:
Suku Tahun Pertama (pendaftaran yang diterima dalam bulan Januari hingga Mac), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Mei.
Suku tahun Kedua (pendaftran yang dietrima dalam bulan April hingga Jun), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Ogos.
Suku Tahun Ketiga (pendaftaran yang diterima dalam bulan Julai hingga September), pengesahannya dijangkakan dalam bulan November
Suku Tahun Keempat (pendaftaran yang diterima dalam bulan Oktober hingga Disember), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Februari tahun yang berikutnya. | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan