KUALA LUMPUR, 28 Okt: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengupah orang asing untuk menaikkan imejnya adalah membazir, sia-sia dan tidak adil. "Jika benar Najib mengupah Alastair Campbell yang pernah menjadi ketua komunikasi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menaikkan imejnya dan wang rakyat digunakan untuk tujuan itu, ia bukan sahaja membazir dan sia-sia, malah amat tidak adil menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan partinya," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Sarawak Report sebelum ini melaporkan, Campbell kini menasihati Najib untuk memastikan kemenangan Umno Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang. "Mana pergi pakar-pakar tempatan yang hebat-hebat untuk menaikkan imej Najib setelah imej Umno BN jatuh merudum terutama di kalangan pengundi bukan Melayu? "Kita difahamkan ada pakar dari stesen TV terkenal diambil untuk menaikkan imej imej Najib dan partinya. Adakah pakar itu gagal menaikkan imej Najib dan memperbaiki imej (isteri Najib, Datin Seri) Rosmah (Mansor)?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan. Beliau berkata, Najib tidak perlu mengkaji pergi jauh-jauh dan mengikis wang negara mengupah konsultan luar untuk menyedari tahap penerimaan rakyat terhadap beliau dan kerajaannya. "Ambil perhimpunan Bersih 2.0 dan Himpun (Himpunan Sejuta Umat) sebagai contoh. Walaupun sebelum perhimpunan Bersih 2.0 media-media pro-Umno BN seperti kerasukan menghasut dan menakut-nakutkan orang ramai malah dengan pelbagai sekatan dan tindakan ganas terhadap perhimpunan aman itu, Kuala Lumpur tetap dibanjiri rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. "Malah terdapat ramai penganalisis yang menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 yang mendapat liputan seluruh dunia itu sebagai kebangkitan rakyat tanpa pemimpin," kata Salahuddin. Sebaliknya, kata beliau lagi, Himpun yang mendapat 'tacit approval' dari kerajaan Najib dan disertai pula oleh histeria media-media pro-Umno BN menyokong dan mendorong orang ramai menyertainya serta ditambah pula dengan sambutan mesra polis yang sebelum itu mengganasi Bersih 2.0, hanya 10,000 orang sahaja yang hadir. "Saya ambil angka 10,000 orang yang disebut oleh akhbar pro-Umno BN sebagai tanda simpati walaupun terdapat banyak laporan yang lebih dipercayai yang menyatakan bahawa kehadiran sebenar amat jauh lebih kecil dari itu," kata beliau. Perbezaan sambutan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan Himpun merupakan bukti yang sangat jelas tentang penerimaan mereka terhadap Umno BN, kata beliau. Malah, kata Salahuddin lagi, tidak cukup dengan tamparan hebat rakyat melalui perbezaan sambutan mereka terhadap Bersih 2.0 dan Himpun itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui imej Najib jatuh merudum akibat penangan Bersih 2.0. "Tak perlulah Najib membazir wang rakyat secara tidak adil untuk memulihkan imejnya dengan mengambil konsultan asing seperti Campbell, jika benar beliau berbuat demikian. "Saya bersetuju dengan pandangan yang menyatakan konsultan asing pun tak akan mampu menukar sang kodok menjadi putera raja," katanya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR 28 Okt: Hutang negara berkurang pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, namun melonjak selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kementerian itu. Sepanjang Anwar menjadi menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, beliau berjaya mengurangkan hutang negara dan menukar belanjawan kerajaan kepada lebihan pendapatan dalam masa dua tahun sahaja, lapor KeadilanDaily. Belanjawan itu berterusan sehingga beliau dipecat secara tidak adil pada 1998 oleh pentadbiran Mahathir. Sebelum pelantikannya sebagai menteri kewangan, Malaysia mengalami belanjawan defisit selama hampir 20 tahun, namun selepas pemecatannya, Malaysia sekali lagi berdepan Belanjawan defisit selama 14 tahun berturut-turut. Dapatan ini dikeluarkan badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) dalam satu analisa perbandingan antara pentadbiran Anwar dan juga Najib sebagai Menteri Kewangan. Kajian itu menunjukkan semasa pentadbiran Anwar, hutang domestik berjaya dikekang di bawah RM80 bilion sehingga tahun 1997 dan RM88.197 bilion pada tahun 1998. “Rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan amat impresif. Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berkurang antara tahun 1992 sehingga tahun 1996 selepas meningkat secara berterusan selama hampir 20 tahun. “Secara perbandingan, hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan meningkat secara tekal pada kadar lebih 10 peratus setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2008,” kata KPRU dalam analisa itu yang dibuat bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong. Menurut KPRU lagi, hutang negara yang meningkat secara berterusan itu diburukkan lagi oleh Barisan Nasional yang cenderung meluluskan belanjawan tambahan untuk menyorokkan angka hutang dan defisit negara yang terus meningkat saban tahun. Belanjawan tambahan itu, kata KPRU, sepatutnya hanya perlu diluluskan untuk perkara-perkara yang bersifat kecemasan seperti sekiranya berlaku bencana alam di Jepun. “Sebagai contoh, dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) dibentangkan Jun tahun ini, pentadbiran Najib dikritik kerana memanipulasi peruntukan emolumen RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan kerana emolumen sepatutnya tidak tergolong sebagai perbelanjaan di luar jangka,” kata KPRU. Ini menyebabkan hutang negara semakin meningkat setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, kata KPRU. “Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan adalah RM306.437 bilion pada tahun 2008 apabila Najib mengambil alih sebagai Menteri Kewangan, Ia meningkat kepada RM362.387 bilion pada tahun 2009 dan RM407.101 bilion pada tahun 2010. Ia diunjurkan mencecah RM455.745 bilion pada tahun 2011. “Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia pada 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan kini sudah mencecah RM437 bilion,” kata KPRU.
Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah Asraf Sharafi Mohd Azhar | Salam mahasiswa, Sebelum sampai hari berlangsungnya Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah 1.0, pada 29-30 Oktober 2011 ini,yang pertama kali dilakukan di Sabah, terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai semula mahasiswa. Penilaian yang disebutkan disini adalah dari sudut idealisme dan aktivisme mahasiswa itu sendiri, kerana dengan dua perkara ini jika diadun dengan baik maka akan melahirkan mahasiswa yang matang, progresif dan tahan uji. Selaku seorang mahasiswa, ramai berpendapat bahawa tugas kita disini hanya untuk belajar, mengejar CGPA yang paling tinggi. Adapun yang menyertai persatuan seperti perwakilan pelajar MPP atau JAKMAS demi mendapat cop pasport untuk kediaman semester hadapan. Ini adalah satu pemikiran dan tindakan biasa untuk mahasiswa di rata-rata universiti. Walaupun saya tidak pasti adakah universiti lain menggunakan kaedah yang sama untuk 'memaksa' mahasiswa menyertai aktiviti anjuran HEP atau MPP itu sendiri atau universiti saya sahaja menggunakan cara itu(cop paspot dan segala sistem yang sama). Mudahnya, mahasiswa menyertai persatuan untuk dirinya sendiri dan lebih cenderung untuk duduk selesa di bawah sistem.Ini juga pemikiran yang sebenarnya dibentuk oleh universiti, mungkin. Saya masih ingat ketika di tahun satu, saya antara mahasiswa yang rajin turun ke program demi mendapatkan cop pasport kerana saya dimaklumkan benda itu akan memastikan saya terus berada di dalam universiti. Selaku seorang mahasiswa daripada semenanjung, pastinya saya perlukan tempat di kolej untuk mengelakkan menyewa di luar yang kosnya sudah tentu tinggi. Jadi sudah tentu saya mengejar benda itu. Tidak dinafikan program yang disertai memang baik, tetapi lebih kepada suap menyuap antara pembentang/penceramah dan juga mahasiwa. Program yang mengajak mahasiswa membuka minda amat terhad dan boleh dikatakan tiada. Program ini hanya program biasa yang menjadi takwim tahunan tanpa ada penambahbaikan dari mana-mana pihak. Maka perkara ini menjadi persoalan berat. Sejauh mana budaya berfikir yang akhirnya membentuk suatu idealisme diterapkan di kampus? Kerana mahasiswa tidak pernah didedahkan untuk berfikir mengikut rentak mahasiswa itu sendiri, mahasiswa menjadi mahasiswa kaku. Sama saja dari tahun satu sehingga tahun akhir walaupun lambakan program membina modal insan. Natijahnya mahasiswa menjadi 'self-centered' dan tidak menyumbang. Saya tidak mempunyai statistik di sini untuk menunjukkan kepada anda berapa banyak mahasiswa yang keluar menjadi pendokong dan pencerah kepada intelektual masyarakat diluar sana, tetapi apa yang saya pasti mahasiswa apabila keluar tidak banyak yang menCERAHkan masyarakat. Terdapat juga mahasiswa yang telah disapa dan dibuka mindanya. Namun, perjuangan yang dilaungkan adalah bermusim. Apabila tiba PRK, maka dapat dilihat dua kelompok yang berbaju merah dan oren. Kerana terbiasa dengan paksaan agaknya, apa yang dihidangkan oleh pentadbiran, itu jugak yang dimakan oleh mahasiswa tanpa bertanya halal haram, relevan atau tidak, perlu tak perlu. Ini juga dimakan oleh kelompok yang sedar akan realiti semasa tahap intelektual mahasiswa. Ini lebih kritikal. Dan perlu muhasabah khusus bagi menampar yang sedang lena dibuai angin. Sangat malang apabila mahasiswa dengan segala keupayaan yang ada disekeliling kita, tiba-tiba memilih untuk tidak mahu berfikir dan berbincang lebih daripada hal yang ada di dalam kocek kita. Yang berbincang lebih pun mungkin pimpinan kampus tetapi bila kepada peringkat ahli, pudar perbincangannya. Masih berkira-kira dengan jadual sendiri. Kita memilih untuk redha kepada perkara yang tidak sepatutnya diredhai dan akhirnya yang terluka adalah negara. Ini memerlukan pencerahan yang sebenar. Mahasiswa adalah kelompok anak muda yang mempunyai tenaga dan minda yang masih segar. Idealisme yang dilaungkan adalah satu kemahuan yang jujur dari mahasisa yang inginkan negara mereka menjadi lebih baik. Gerak geri mahasiswa adalah yang boleh menggegarkan dunia jika kita berjaya membuka minda kita terhadap perkara yang benar dan perkara yang perlu. Tugas mahasiswa adalah untuk berfikir dan bertindak. Tatakala cabaran hidup sedang ruwet dan kondisi politik yang semakin tidak tentu arah sehingga menimbulkan jemu, kebejatan sosial yang membuncah, dan tekanan ekonomi akibat defisit negara yang semakin meningkat, idealisme mahasiswa sangat diperlukan. Bukan sekadar check and balance, tetapi menghasilkan solusi. Mungkin ramai yang akan katakan ini adalah penyataan yang terlampu idealist untuk mahasiswa, tetapi bagi saya ini adalah satu garapan kepada mahasiswa untuk sama-sama berfikir!Kekurangan yang paling ketara pada masa sekarang. Inilah perkara yang harus dicapai oleh mahasiswa, khususnya di Sabah. Sehubungan dengan kongres yang bakal diadakan, saya mengajak mahasiswa untuk membuka minda demi melihat arus kebangkitan anak muda negara. Diharapkan kongres yang akan diadakan dapat menyuntik idealisme kepada mahasiswa Sabah. Biarlah laungan 'Hidup Mahasiswa' terus bergema di kampus kita! Asraf Sharafi Mohd Azhar Pengerusi GAMIS Sabah 013-8995744 PAS Temerloh bantah Konsert Gegaria Khairil Abdul Rahim | TEMERLOH, 28 Oktober: PAS Kawasan Temerloh menghantar memorandum bantahan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang mengizinkan konsert sempena Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) di Taman Awam Kubang Gajah di sini, bermula hari ini sehingga 30 Oktober ini.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, Ahmad Zubir Omar kepada pihak MPT petang ini.
Menurut memorandum tersebut, konsert melibatkan artis seperti itu sudah terlalu acap diadakan di sini tanpa mengira keresahan penduduk serta acara yang dijalankan tidak langsung memberi kebaikan malah dikhuatiri memberi kesan negatif.
Menurut memorandum yang ditujukan kepada Yang Dipertua MPT itu, konsert tersebut bakal mencampur-adukkan remaja berlainan jantina bukan mahram yang sudah tentu mendedahkan kepada gejala kurang sihat seperti seks bebas, rogol, kecurian, minuman keras dan bertindak di luar sedar.
“Lokasi yang berhampiran dengan surau dan kawasan perumahan berdekatan dengan lokasi konsert tersebut pula bakal mengundang rasa tidak selesa, biadab, gangguan bunyi dan bakal mengganggu konsentrasi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
“Penganjuran aktiviti ini hanyalah mengundang kepada penularan gejala maksiat dan mungkar yang semakin berleluasa dan membarah di kalangan remaja, seolah-olah tiada rasa keprihatinan terhadap bala bencana yang menimpa negara-negara seluruh dunia dunia.
“Keizinan MPT menggambarkan persetujuan dan menggalakkan lagi gejala keruntuhan akhlak anak-anak muda tempatan pada masa akan datang kerana pada tahun ini sahaja sudah banyak aktiviti seumpama itu di situ. Sedangkan agensi kerajaan tidak boleh dilihat sebagai promoter kepada program maksiat.”
Memorandum tersebut akhirnya memohon dan mengharapkan MPT selaku tuan milik premis, tidak mengizinkan konsert berkenaan diteruskan demi untuk menghindarkan kemurkaan Ilahi tambahan hanya beberapa hari menjelang hari raya Aidil Adha
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Suhaizan Kayat meminta penjelasan yang sepatutnya dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pada 2 November nanti adalah pada satu forum khas mahupun di Parlimen bukannya pada Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya. Suhaizan juga memberitahu PSC bertindak untuk mendapatkan lapan tuntutan Bersih 2.0 bagi memastikan pilihan raya nanti bersih dan adil, tindakan Hishammuddin ingin memberi penjelasan pada PSC adalah tidak bersesuaian dengan apa yang beliau ingin terangkan nanti. "Sebagai seorang menteri beliau sepatutnya memberi penjelasan pada satu forum khusus atau pada sidang parlimen yang sedang berlangsung sekarang. kenapa beliau ingin memberi penjelasan pada PSC, kita mahu dalam satu suasana yang berbeza dan khusus jika hishammuddin tidak mahu memperjelaskan pada sesi perlimen," jelasnya. Dalam pada itu Suhaizan juga meminta pada penjelasan tersebut KDN perlu menekankan isu berhubung dengan kedatangan 240 orang warga asing di Istana Dugong Country Resort, Sepang Selangor pada 11 dan 12 Oktober lalu yang sehingga sekarang tiada penjelasnya diberikan. Beliau yang dihubungi juga memberitahu selain dari penjelasan tersebut Hishammuddin perlu menjawab bagaimana wujudnya kad pengenalan klon sehinggakan terdapat di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pemilik kad pengenalan mengundi di dua tempat berasingan. "Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah Menteri Dalam Negeri sepatutnya memberi tumpuan khusus kepada penjelasan mengenai 240 orang warga asing yang berada di Istana Dugong Country Resort, kenapa dan mengapa mereka berada di situ kerana sehingga sekarang kita tidak mendapat apa-apa penjelasan dari mana-mana agensi kerajaan mahupun kementerian. "Selain itu juga KDN perlu memberitahu kenapa wujudnya kad pengenalan klon sehinggakan seorang boleh mengundi di dua tempat berasing, apa tujuan sebenarnya dan siapakah yang bertanggungjawab, jika dikenal pasti apa tindakan yang akan dikenakan," jelasnya. Tambahnya lagi KDN perlu menyenaraikan secara terperinci tentang aktiviti di resort tersebut selain maklumat kad pengenalan klon ini sudah berapa banyak yang ditemui. Dalam pada itu beliau juga mempertikaikan tentang kod 71 yang wujud pada pemberian kad pengenalan baru yang diberikan kepada warga asing berjumlah melebihi 170 ribu orang. "Kita tidak pasti status sebenar Kod 71 ini dari masa asal mereka, tempat lahir dan juga mewakili negeri mana. Jawapan yang diberikan oleh Jabatan pendaftaran Negara (JPN) adalah tidak memuaskan dan kita mahu KDN memperjelaskannya kembali kerana ini membabitkan maruah negara ini," sambungnya lagi. Sementera itu, Hishammuddin pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2012 di Dewan Rakyat pada Isnin yang lalu memberitahu akan memberi penjelasan secara tererinci kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) yang dijadualkan pada 2 november nanti.
Harakahdaily | SEPANG, 28 Okt: Sekumpulan aktivis PKR diserang beberapa lelaki semasa membuat tinjauan terhadap satu operasi yang disyaki percubaan memberikan kad pengenalan kepada warga asing di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.
Turut diserang krew TV Selangor yang mengikuti tinjaun aktivis tersebut - gerakan 'Jingga 13'.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang semalam, sekumpulan lelaki didakwa menyerang dengan menghentak dan menendang kenderaan aktivis dan wartawan tersebut, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan, lapor TV Selangor.
Namun tiada sesiapa yang tercedera dalam kejadian jam 6.20 petang semalam.
Sebelum itu, Pasukan Pemimpin PKR dari cabang Sepang berkata mereka menerima maklumat dari sumber yang dipercayai berhubung operasi itu dan bertindak membuat tinjauan kasar.
Ketua Cabang Keadilan Sepang, Borhan Aman Shah ketika ditemui TvSelangor berkata operasi tersebut ada kaitannya dengan pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
"Hari ini ada empat buah bas yang dikenal pasti telah membawa warga Indonesia, saya telah menemu bual pemandu bas dimana beliau telah mengesahkan ada membawa kumpulan warga asing ini dari Greenwood, Gombak. Menurut pemandu bas tersebut, warga asing itu dibawa untuk satu kursus keusahawanan.
"Warga asing ini dikatakan dibawa masuk ke resort untuk mengikuti kursus keushawanan, persoalannya sekarang adakah golongan ini datang ke Malaysia untuk berniaga ataupun untuk bekerja, kalau benar mereka mengikuti kursus keushawanan, atas fakta apa mereka mengikutinya," katanya.
Borhan berkata sekiranya benar terdapat satu usaha untuk memberi IC kepada warga asing, mereka bukan sahaja menjadi warganegara malah akan layak mengundi pada pilihanraya umum akan datang.
"Ini kali kedua, sebelum ini tersebar luas di media dimana enam buah bas memuatkan warga asing masuk ke kawasan ini dan hari ini kita jelas ada empat buah bas.
"Saya tidak menuduh, tetapi perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku."jelasnya.
Ekoran daripada maklumat tersebut, Pasukan Jingga 13 bergerak ke resort itu bersama-sama krew TV Selangor untuk meninjau lokasi yang dimaksudkan.
Setiausaha Gerakan 'Jingga 13', Saifuddin Shafi Muhammad berkata tujuan mereka adalah untuk melihat sendiri sama ada dakwaan yang dimaksudkan itu benar.
"Waktu itu hujan renyai-renyai, kami berhenti seketika di dalam kawasan resort untuk membuat pusing 'u' (ekoran jalan terlalu sempit), kemudian kami diserang dan diancam oleh sekumpulan lelaki, saya menganggarkan lebih kurang lima orang lelaki.
"Tindakan mereka mengamcam kami dari awal membuatkan kami tidak selesa dan bertindak melarikan diri.
"Apa yang sempat kami rakam ialah imej seorang lelaki yang bertindak menyerang kami, saya juga percaya lelaki yang sama ini turut menendang kenderaan wartawan TvSelangor."katanya.
Ekoran kejadian itu, Krew TV Selangor yang terlibat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, manakala PKR Cabang Sepang telah membuat laporan di IPD Sepang. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan