KUALA LUMPUR, 12 Okt: Dewan Pemuda PAS Johor telah berjaya mengesan 7 buah bas yang dipercayai membawa warga asing menuju ke Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan. Kesemua mereka diyakini dibawa masuk ke negara ini oleh pemimpin Umno BN bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih untuk mengundi bagi pihak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang. Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kesemua bas tersebut telah dikesan dari Johor dan telah sampai ke Masjid Putrajaya pada jam 8 pagi tadi untuk mengambil IC mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Menurut beliau, tidak lama selepas itu, 3 dari 7 buah bas tersebut telah masuk ke JPM bersama sebuah kereta Perdana yang di dalamnya terdapat individu berpangkat datuk. Sebahagian bas lagi, tegasnya, telah diarahkan keluar dari Putrajaya menuju ke arah yang tidak diketahui disebabkan mereka menyedari Pemuda PAS mengekori mereka dan ini jelas merupakan helah penghianat negara. Katanya, setelah cerita mengenai 7 buah bas yang membawa warga asing untuk mengambil IC di JPM itu dimasukkan oleh beliau ke dalam Facebook, mereka telah lari masuk ke dalam hutan di Kajang. "Takut juga rupanya mereka. Saya ingat mereka berani sangat. Tindakan para pemimpin Umno BN itu ternyata satu pengkhianatan kepada negara," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini. Maklumat mengenai warga asing mahu mendapat kerakyatan mudah itu, menurut beliau, telah diterima oleh beliau sejak petang semalam lagi dan sejak itu Pemuda PAS Johor telah berusaha mengesaninya. "Malam tadi jam 1.00 malam, mereka singah di R & R Pagoh. Bermula di situ skuad pemuda PAS ekori mereka. Jam 6 pagi, mereka sampai di Masjid Putrajaya," katanya. Hasil pengesanan yang dilakukan oleh Pemuda PAS, jelasnya, didapati bas-bas yang membawa warga asing untuk mendapatkan IC itu telah diturunkan di Kajang, Selangor. "Ini jelas manipulator terancam yang dibuat ekoran pendedahan Pemuda PAS. Mereka ternyata pengkhianat yang pengecut," tegas beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sejak 3 jam lalu, katanya, kesemua warga asing yang mahu mendapatkan IC mereka itu telah ditempatkan di dalam hutan di Jalan Kajang - Istana Dugang Contry Resout. Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai yang mempunyai kelapangan masa berkejar ke tempat itu sekarang untuk beramai-ramai bertanya kepada mereka tujuan kedatangan mereka beramai-ramai ke Putrajaya itu. "Sekitar 30 minit lalu, penduduk di kawasan itu sedang mengepong kawasan warga asing yang mahu diberikan IC oleh JPN itu," katanya. Kini, menurutnya, bas-bas yang membawa warga asing itu pula telah keluar dari kawasan resort tersebut dan bas-bas tersebut didapati kosong tanpa penumpang. "Maksudnya, warga-warga asing tersebut telah ditinggalkan di dalam resort itu. Apa yang mereka buat?" tanya beliau.
Mohd Nor Yahya | KOTA BHARU, 12 Okt: Kecelaruan masyarakat bukan Islam dalam isu hudud bukannya datang dari ketidak fahaman mereka terhadap hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukuman tersebut tetapi ia adalah berpunca dari hasutan dan penyebaran maklumat salah oleh pihak tertentu kepada masyarakat bukan Islam terutamanya di Kelantan. Menurut Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan (DHPPK), Lim Guan Seng, perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah 2 di Kelantan hanyalah melibatkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang.
Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas tindakan Ketua DHPP Pusat, Hu Pang Chaw yang sering menimbulkan kekeliruan dalam menangani isu terutamanya melibatkan negeri Kelantan.
“Saya berharap beliau memahami dengan mendalam suasana Kelantan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana masyarakat bukan Islam di Kelantan lebih memahami hasrat kerajaan negeri,” ujar beliau. Sementara itu, Penasihat DHPPK Jeff Lee berkata sudah sampai masanya pihak parti MCA diajak berdebat dalam soal perlaksanaan hukuman hudud ini.
Beliau ditemui di sidang media bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Dun Kota Lama semalam. Turut hadir ahli jawatankuasa DHPP Kelantan.
“Kami mencabar MCA yang selama ini sering mempolitikkan isu hudud sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar,sepatutnya mereka mengambil usaha datang mengunjungi kerajaan Kelantan seperti mana mereka mendapat penjelasan dalam isu judi dulu,” kata beliau.
MCA turut dicabar membawa seberapa ramai ahli maupun masyarakat luar untuk mendapat penjelasan terus dari Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kalau nak harapkan pihak rakan mereka dalam BN seperti umno sudah tentu lah mereka tidak akan mendapat maklumat tepat kerana umno sendiripun menentang perlaksanaan hukuman ini,” katanya lagi.
DHPP Kelantan juga mengecam sikap pimpinan MCA yang mempolitikkan isu ini dan menimbulkan rasa takut dalam masyarakat bukan Islam di Kelantan.
Menurut beliau lagi berdasarkan pengalaman masyarakat bukan Islam di Kelantan kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam semua dasar dan aktiviti kerajaan negeri.
Lee juga berkata masyarakat bukan Islam di Kelantan telah menerima penjelasan berkaitan enekmen Kanun Jenayah Syariah 2 sejak ia diluluskan pada tahun 1993 lagi, Cuma ia digembar gemburkan oleh pihak yang dengki dengan keharmonian masyarakat di Kelantan sahaja.
“Saya juga berharap selepas ini tidak akan berbangkit lagi soal terima atau tidak terhadap perlaksanaan hukum hudud kerana ia hanya untuk masyarakat Islam sahaja, mengapa kita perlu takut, adakah kita sering melakukan kesalahan seperti mencuri dan berzina itu, yang saya hairan lagi ialah orang umno yang mengaku Islam sendiri pulak yang menentangnya dan ini adalah semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya lagi.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 12 Okt: PAS merakamkan takziah kepada keluarga penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), semalam. Pemergian allahyarham, menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, satu kehilangan besar kepada dunia hiburan negara. "Saya peminat nombor satu lagu-lagu allahyarham. Beliau telah memberi sumbangan besar dalam menghiburkan masyarakat dengan lagu-lagu dendangannya," katanya. Allahyarham Ahmad Jais, 75, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.20 pagi semalam dipercayai akibat masalah paru-paru. Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam semalam. Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Budi Setahun Segunung Intan’ yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas. "Kita doakan semoga roh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," ujar Mahfuz lagi. Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya, Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009. Persembahan terakhir allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mensasarkan 30,000 ahli menjelang akhir tahun ini. Komitmen ini dibuat oleh DHPP dalam mesyuarat pimpinan DHPP Pusat dengan pimpinan Jabatan Pilihanraya PAS (JPP) di bangunan Parlimen hari ini. Mesyuarat itu disertai oleh pengerusi DHPP Hu Pang Chaw, timbalannya N Balasubramanian, naib pengerusi Vincent Lee, setiausaha Letchumanan dan lain-lain pimpinan pusat dan negeri DHPP. Turut serta adalah lembaga penasihatnya iaitu Dr Mujahid Yusof dan pimpinan lain. JPP pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr Hatta Ramli serta ahli-ahlinya iaitu Mohd Firdaus Jaafar (anggota parlimen Jerai) dan Mohamad Husin (anggota parlimen Pasir Puteh). Hu Pang Chaw ketika dihubungi berkata, usaha akan dibuat dengan kerjasama JPP untuk mencapai sasaran itu. "Kita akan buktikan PAS sebuah parti yang relevan dan diterima pelbagai pihak dalam masyarakat majmuk Malaysia ini," katanya. Dalam mesyuarat itu juga DHPP dan JPP saling bertukar idea dalam usaha mereka mempersiapkan PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka juga mencapai kata sepakat usaha yang perlu dibuat untuk memenangi hati masyarakat di samping mengembangkan PAS.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sultan Brunei hari ini menitahkan agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera, serentak dengan undang-undang sivil di negara itu. Baginda yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di bangunan Majlis Undangan di sini berkata,perlaksanaan undang-undang itu tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada. Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia.
"Kita tidak harus melambatkan dan sebaliknya merebut petunjuk itu secara positif.
"Apa lagi di sana untuk menunggu? Kita sudah mempunyai bangunan mahkamah yang mengagumkan, ramai pakar telah dihasilkan dan bahawa negara telah mencapai kemerdekaan. Apa lagi?" soal baginda.
Menurutnya, setiap individu bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan baik yang merupakan permintaan dari Allah Maha Kuasa.
Sehubungan itu ujarnya,undang-undang Islam penting untuk mengawal semua masalah dalam hidup, agama, keturunan, minda dan kekayaan.
"Walaupun ia adalah tanggungjawab kita, ia perlu dipenuhi bagi Allah Maha Kuasa," titah baginda lagi.
Memetik laporan Brudirect.com, undang-undang Islam ujar baginda, adalah pengetahuan dan sistem yang unik dan sangat cantik dan sudah tentu akan dipilih apabila difahami, namun jika ia tidak difahami, ia akan dibenci.
"Tetapi sejak manusia tidak mahu memahami, undang-undang itu dilihat sebagai buruk dan menakutkan. Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa, kita dipandu oleh-Nya untuk melihat dengan jelas keindahan undang-undang Islam.
"Saya memberi mandat kepada agensi-agensi atau institusi yang berkaitan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Majlis Agama Islam, Negeri Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Mahkamah Syariah dan semua pihak untuk bekerjasama dan berurusan secara kolektif dan telus sehingga undang-undang ini mula membuahkan hasil," titah baginda lagi.
Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pg Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Brunei adalah badan tertinggi dalam membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dalam menegakkan kesucian Islam di negara ini.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman (gambar) hairan dengan tindakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menahan beliau setelah menjadi baik, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.
Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.
Menurut Bob, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh kelalaian.
Sehubungan itu, beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.
Katanya, sekiranya terdapat undangan dari pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu menghampakan pihak terbabit.
"Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk saya berceramah. Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya tak akan ikut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak Jabatan Agama Islam ke atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.
"Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.
"Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya mesti patuhi sekatan-sekatan itu, sedangkan yang saya sampaikan kepada orang ramai itu adalah perkara yang betul," katanya.
Malam tadi, Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.
Bob yang juga penulis lirik lagu kesukaan ramai 'Isabella' diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.
Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.
Mengulas perkara itu, Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.
Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang diarahkan itu merupakan suatu tindakan yang tidak perlu, malah hanya membuang masa dan wang.
"Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja untuk agama, tetapi untuk Umno," katanya.
Sebelum beliau ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan tersebut tidak dapat dijawab oleh kadi berkenaan.
"Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah.
"Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik. Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka bukanlah orang yang wajar saya hormati," katanya.
Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.
Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno BN.
"Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum berceramah.
"Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan berceramah.
"Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu," tegas beliau.
Ketika diminta hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat tengah hari ini, Bob Lokman turut sibuk ke Putrajaya untuk menyampaikan ceramah atas undangan pihak tertentu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa Umno terlibat dalam pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu. Antara jam 9.45 hingga 12 malam, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jais bersama 10 anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah melakukan pemeriksaan terhadap satu program iaitu "Thanks Giving Dinner" di Hall 3, GMDU Dream Centre, No 2 Jalan 13/1 Seksyen 13, Petaling Jaya. Sementara itu, Adun Meru yang Pesuruhajaya PAS Selangor, Dr Rani Osman dan Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad telah ditarik balik tauliah oleh Jais. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan