KUALA LUMPUR, 8 Okt: Belanjawan 2012 yang dibantang perdana menteri semalam dilihat lebih mementingkan pihak korporat berbanding rakyat kebanyakan.
Mempersoal fokus belanjawan itu Datuk Mahfuz Omar berkata, korporat-korporat gergasi di Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) mendapat pelepasan cukai, namun rakyat bawahan dan miskin yang guna telefon prabayar tidak dapat pelepasan cukai jualan.
Dalam ulasan awalnya terhadap Belanjawan 2012 yang disifatkannya sebagai "belanjawan sedap sekali sahaja" sebagai gula-gula Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mahfuz berkata, rakyat bawahan dan miskin terus menjadi golongan tertindas yang disasarkan bebanan cukai dalam belanjawan itu.
Menurut beliau, seperti gula-gula sekali bagi sahaja, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah memang mendapat bantuan RM500 tetapi selepas itu mereka terpaksa membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan lain-lain cukai.
"Dapat habuan sekali sahaja menjelang pilihan raya tetapi bila BN menang pilihan raya nanti, kena bayar balik hari-hari termasuklah GST.
"Contohnya, cukai jualan enam peratus kepada pengguna telefon prabayar tetap dikenakan kepada rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa. Link "Memang sekarang syarikat telekomunikasi tangguhkan sebentar perlaksanaan cukai itu ke atas rakyat yang menggunakan perkhidmatan tersebut, tetapi selepas pilihan raya nanti adakah mereka sanggup tanggung lagi cukai enam peratus itu?" kata Mahfuz.
Walaupun beliau tidak mempersoalkan pelepasan cukai kepada korporat-korporat besar di dalam belanjawan itu, seperti firma-firma di KLFID, tetapi Ahli Parlimen Pokok Sena itu kesal dengan belanjawan yang begitu jelas menutup kedua-dua belah mata terhadap langkah melaksanakan pelepasan cukai kepada rakyat bawahan.
"Memang nampak kononnya macam mesra sangat, maklumlah (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sendiri tak halang kita labelkan belanjawan itu sebagai "belanjawan pilihan raya".
"Tetapi, bukan sahaja inflasi yang semakin meningkat tidak kelihatan ditangani secara jujur dan bersungguh-sungguh oleh 'belanjawan sedap sekali' itu, malah belanjawan itu dengan jelas membuktikan bahawa tidak pernah terpadam keghairahan berapi-api BN untuk memaksakan pelbagai cukai kepada rakyat.
"Jangan lupa, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah menyatakan secara terus-terang keinginan kerajaan BN yang diketuainya untuk memaksakan GST selepas pilihan raya," katanya.
Mahfuz menyifatkan kerajaan BN seperti kecanduan untuk menyasarkan rakyat dengan bebanan cukai walaupun kutipannya tidak sebanyak mana.
"Umpamanya cukai jualan kepada rakyat bawahan dan miskin yang menggunakan telefon prabayar, saya difahamkan jumlah kutipannya tidaklah sampai RM1 bilion setahun, tetapi kerajaan nak gasak juga cukai itu sedangkan pada masa yang sama subsidi kepada syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang dilaporkan menjulang tinggi sehingga RM19 bilion tidak pula diusik.
"Begitu juga, kes-kes saman syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Malaysia Airlines (MAS) dan Danaharta kepada orang kaya seperti Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan jumlah wang yang sangat besar boleh pula diarah bagi pihak Perdana Menteri supaya ditarik balik, tapi cukai jualan kad telefon prabayar kepada rakyat bawahan dan miskin tetap hendak dipaksakan oleh kerajaan BN," katanya.
Beliau meminta rakyat jangan tertipu dengan belanjawan yang "sedap hanya sekali sahaja tetapi azabnya sampai ke mati" itu.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS tidak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 semalam kerana pemberiannya banyak bersifat one-off. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan akan dapat menampung pemberian one-off tersebut kerana tidak ada jaminan subsidi barang keperluan asas tidak akan dikurangkan tahun hadapan. Belanjawan ini, katanya sekaligus tidak dapat membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi. "Banyak perkara yang diumum bersifat one off. Semua itu dapat dicover balik oleh kerajaan kerana kerajaan tidak memberikan jaminan subsidi harga minyak dan keperluan asas yang lain tidak akan dikurangkan pada 2012. "Rakyat akan berhadapan dengan kos sara hidup dan belanjawan hari ini tidak menyelesaikan masalah seperti yang diwarwarkan iaitu hendak menyelesaikan masalah beban kos sara hidup rakyat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan petang semalam. Antara bayaran secara one-off ialah bantuan kepada bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) seramai 4,300 orang. Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata, Datuk Seri Najib Razak dilihat ingin "berlawan" dengan Pakatan Rakyat dengan cuba mempamerkan belanjawan yang lebih baik daripada yang dibentangkan Pakatan, Selasa lalu. "Kerajaan terdesak kerana ingin menunjukkan belanjawannya lebih baik daripada belanjawan Pakatan. "Nampaknya Najib berpegang pada konsep "perlawanan" dalam pembentangan bajet. Tapi apa yang penting, rakyat dapat apa yang diumumkan," katanya. Syarikat teksi untung Selain itu, mengulas mengenai pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, beliau berkata ianya lebih menguntungkan syarikat teksi daripada pemandunya. "Sepatutnya Najib mengumumkan penghapusan permit syarikat teksi dengan diberikan permit kepada individu," katanya. Ogos lalu, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor menganjurkan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat menuntut sepuluh resolusi bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Dalam pertemuan tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan seorang bekas menteri diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera. Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri.
Mengulas Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi salah tadbir negara.
"Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat.
"Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan.
"Bukan masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen.
Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya.
Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion.
Perjuangan Pakatan
Salahuddin dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.
"Mereka harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya.
Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan.
"Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya.
PAS sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British.
Namun Najib dalam pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang negara.
"Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya.
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 7 Okt: Kerajaan hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi perbelanjaan pembangunan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.
"Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.
"Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini,"jelasnya.
Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.
"PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu.
"Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya.
Persoalan besar
Dalam pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara.
"Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.
"Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi.
Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan.
"Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta.
"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.
"Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi.
Cedok bajet Pakatan
Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.
"Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi.
Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.
"Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi.
PM kata bentang bajet 'luar biasa'
| Abdul Rahim Sabri 6:40PM Okt 8 |
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga menteri kewangan berkata beliau telah membentangkan bajet yang disifatkannya sebagai "luar biasa" semalam. Katanya, ini kerana rakyat Malaysia pelbagai lapisan termasuk, yang berada di desa, bandar, murid sekolah dan rakyat pelbagai agama dan warna kulit mendapat manfaat daripada bajet 2012. "Sehingga pembangkang tidak terjawab dan tidak terkata (apa-apa)," katanya kepada hadirin yang membanjiri Pekan Rawang, dalam parlimen Selayang, bagi menyambut kedatangan perdana menteri ke situ. Perdana menteri berkata, bajet yang dibentangnya di Dewan Rakyat semalam adalah terjemahan gagasan dan falsafah 1Malaysia dengan mengambil kira pertimbangan semua kaum secara adil dan saksama berdasarkan perlembagaan dan Rukun Negara. "Ada negara di Eropah mempunyai kemampuan untuk membayar (gaji)kakitangan kerajaan untuk enam bulan. "Selepas itu, tidak ada wang dah. Sudah muflis... Kita bukan sahaja dapat bayar gaji kakitangan kerajaan, tetapi dapat naikkan gaji dan bonus setahun kepada anggota kerajaan," katanya. Beliau turut mengulangi kandungan bajet semalam bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah. Transformasi nasionalMalah katanya, pelajar sekolah akan diberikan RM100 pada tahun hadapan sebagai usaha meringankan ibu bapa sekaligus menegaskan agar pelajar mengikuti pelajaran dengan bersungguh-sungguh. "Inilah BN yang sentiasa memberikan perhatian yang berat. Rakyat didahulukan, (1Malaysia) bukan slogan, tapi diamalkan dan dihayati," katanya sambil mendapat tepukan hadirin. Dalam ucapan ringkas itu juga, beliau menyatakan harapannya untuk membina negara maju, moden dan progresif dari segi ekonomi, sosial dan politik. "Sebab itu kita perkenalkan Transformasi Nasional... Kita membawa perubahan politik termasuk akan memansuhkan ISA, akta kediama terhad dan akta buang negeri. "Ertinya kita menegakkan prinsip rule of law. Kita akan pastikan tidak ada (rakyat) ditahan atas syak wasangka tetapi (mesti) terbukti (sebagai) penjenayah," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap rakyat memberikan sokongan kepada BN untuk memastikan Malaysia menjadi contoh dan model kepada negara lain. "Beri sokongan kepada BN bila tiba masanya," katanya sambil melaungkan "boleh atau tidak". Hadirin yang berada di hadapannya menjawab: "Boleh". PM naib basSambut Najib kembali: "Bila tiba masanya... Kalau (pilihan raya) esok, esoklah. Kalau lusa, lusalah". Katanya-katanya kemudian diiringi dengan gelak ketawa dan tepukan hadirin dan mengakhiri ucapan ringkas selama 15 minit. Najib kemudiannya menerima memorandum rakyat daripada Ketua Umno Selayang Abdul Syukur Idrus dan beredar menaiki bas untuk menuju ke program beliau seterusnya di Gombak. Ribuan rakyat di Rawang membanjiri Pekan Rawang, dalam parlimen Selayang, bagi menyambut kedatangan perdana menteri ke pekan itu. Beliau tiba di pekan tersebut kira-kira 3.45 petang - sejam terlewat daripada masa yang dijadualkan sebelum ini, disambut dengan paluan kompang, tarian singa dan pukulan gendang India. Ketibaan beliau disambut kira-kira 2,000 orang khususnya daripada masyarakat India dan Cina di Pekan Rawang, yang kini diwakili oleh ADUN PKR Gan Pei Nei. Mereka bertolak-tolak untuk bersalaman dengan Najib yang juga presiden Umno yang mengadakan lawatan ke situ, selepas mengadakan kunjungan beberapa tempat sejak pagi tadi termasuk di Ijok dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kundang dalam DUN Kuang. Jalan menuju Pekan Rawang ditutup bagi lalulintas, menyebabkan ribuan rakyat berhimpun membanjiri jalan berkenaan. Memulakan ucapan beliau kira-kira 3.50, beliau memohon maaf di atas kelewatan beliau tiba pada masa yang dijanjikan disebabkan menghadiri satu majlis perkahwinan yang mana pengantin tiba lewat, berbanding beliau. Bagaimanapun, katanya, rakyat masih berhimpun di situ sejak jam 1.30 petang bagi menunjukkan sokongan kepada BN.
| | |
Muhammad Faizal | SHAH ALAM, 8 Okt: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang ditemui pada satu program di Shah Alam menjelaskan bajet yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam merupakan satu bajet yang tidak berhemah.
Beliau berkata tindakan tersebut jelas kerana melihat kepada pengurusan kewangan yang dilaporkan itu lebih terjurus kepada amalan defisit yang tinggi.
"Secara keseluruhan ini adalah tahun ke 14 di mana kerajaan Barisan Nasional mengamalkan bajet defisit," katanya.
Tambahnya lagi, walaupun keadaan ekonomi global pada hari ini membolehkan pengurusan dijalankan di dalam bajet defisit tetapi Najib perlu beri tumpuan kepada beberapa prinsip iaitu tata kelola yang baik atau lebih kepada "good governance".
Selain itu juga kerajaan haruslah mengamalkan pengurusan yang cekap tanpa ada ketirisan serta mengamalkan prinsip 'value for money'.
"Namun kesemua prinsip tersebut tidak ditangani serta dinyatakan pada bajet kali ini," sambungnya.
Azmin memberitahu, melihat kepada peruntukan yang diberikan iaitu sebanyak RM232.8 bilion itu sebanyak RM181.6 bilion diberikan kepada perbelanjaan mengurus manakala 51.2 bilion ringgit pula kepada perbelanjaan pembangunan.
"Ini menunjukkan pengurusan kewangam yang tidak berhemah di mana peruntukan pembangunan mengucup begitu mendadak dan kos operasi serta mengurus itu terlalu besar.
"Kita juga dilaporkan tadi bahawa kutipan hasil pada tahun hadapan berjumlah RM186 bilion daripada kutipan hasil tersebut RM181 bilion digunakan untuk mengurus maknanya untuk pembangunan itu diuruskan secara defisit.
"Maka tidak ada lebihan untuk pembangunan dan ini bagi saya satu pengurusan yang tidak berhemah," jelasnya lagi.
Sambungnya lagi, Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada eksport memerlukan satu usaha untuk menjana ekonomi dalaman tetapi kalau rakyat tidak mendapat imbuhan gaji yang lebih baik dan selesa bagaimana mereka boleh berbelanja.
"Sebab itu Pakatan Rakyat dalam belanjawan yang dibentangkan menegaskan sasaran adalah menetapkan gaji minimum dan perkara ini harus ditangani terlebih dahulu untuk meningkatkan pendapatan mereka.
"Apabila pendapatan itu munasabah barulah rakyat boleh berbelanja, bila adanya perbelanjaan di sini timbulnya aktiviti ekonomi. Ini adalah prinsip asas tapi kalau tidak ada pendapatan yang mencukupi dengan kos kehidupan yang tinggi bagaimana kita hendak mengharapkan perbelanjaan yang boleh menjana ekonomi negara," tegasnya.
Azmin juga berpendapat bajet ini adalah merupakan bajet pilihanraya dan dalam masa yang sama beliau bimbang kerana tidak ada keyakinan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan secara berpanjangan.
"Pandangan awal pada bajet tersebut memang nampak cantik tetapi sebenarnya ia tidak dapat diterjamaahkan dalam bentuk tindakan yang lebih baik, rakyat akan sentiasa tertipu dengan helah kerajaan itu," ulas Azmin lagi |
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 8 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kesal dengan insiden gangguan pada program anjurannya di Dataran Cikgu Mala, Tenang, malam tadi meskipun ianya mendapat permit.
Kemeriahan Program Pelancaran Kempen Mansuh Hutang Peneroka dan NGO baru di bawah Anak, Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda (Bangkit) itu dicemari gangguan melampau sekumpulan remaja bermotosikal sehingga menyebabkan kecederaan di muka seorang anggota Jabatan Amal Johor.
Difahamkan, kira-kira 50 penunggang motosikal itu muncul secara-cara tiba dan berlegar-legar menganggu orang ramai yang hadir mendengar ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Mereka mengacukan rantai besi dan membaling objek keras ke arah orang ramai di kawasan ceramah. (Gambar: Amer cedera dimuka terpaksa menerima tujuh jahitan) Presiden Anak, Mazlan Aliman ketika dihubungi hari ini mempersoal sikap polis yang seakan-akan 'melepaskan' mereka membuat gangguan di tempat ceramah. "Saya sangat dukacita dengan gangguan malam tadi dalam pada program itu dapat permit polis.
"Bagaimana polis menjalankan tugas sehingga kumpulan bermotor itu dapat masuk dengan senang sedangkan sekatan jalan raya diadakan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat. Ada dalang Tanpa mengetahui motif gangguan, Mazlan yakin ada dalang di sebalik insiden tersebut.
"Saya yakin ianya dirancang dan kita boleh cari siapa dalangnya tapi saya serah kepada pihak polis untuk menyiasat," katanya.
Dua laporan polis dibuat iaitu oleh mangsa sendiri yang hanya ingin dikenali sebagai Amer, 29, dan satu laporan lagi daripada petugas Jabatan Amal yang lain kira-kira jam 1.40 pagi tadi.
Akibat serangan itu, Amer yang dikejarkan ke Hospital Segamat terpaksa menerima tujuh jahitan di bahagian muka.
Mazlan dalam pada itu meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan pihaknya tampil berbincang, bukan membuat serangan sedemikian.
"Kalau nak buat bantahan atau nak serah apa-apa memorandum kepada kami, silakan sebab PAS bersikap terbuka.Jangan gunakna budak-budak buat kerja tak sihat begini," katanya.
Beberapa hari lalu, insiden serangan turut berlaku di program ceramah Mohamad Sabu di Rembau.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 8 Okt: Setelah mendengar Budget 2012, akibat keceluparan mulut Mat Sabu, para bekas anggota tentera sama ada balu, duda dan sebagainya akan mendapat 'durian runtuh' sebanyak RM3,000 setiap keluarga secara one-off. Begitulah antara pandangan yang dilontarkan oleh rakyat Malaysia di dalam beberapa blog selepas pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak petang semalam. “Itulah jasa Mat Sabu kepada bekas-bekas pejuang yang kalau tak ditimbulkan isu ni, aku confirm depa-depa ni tak merasa duit pampasan ni. “Dan mereka ini PATUT BERTERIMA KASIH kepada Mat Sabu kerana mengutarakan isu Bukit Kepong dan secara tak langsung nasib mereka terbela,” tulis seorang yang menghantar komen di dalam Tranungkite online yang ditulis perkataan penuh Harakahdaily. Seorang lagi menulis, Kanang Anak Langkau pun dapat pingat kali kedua baru-baru ini atas jasa sebagai perwira negara, mungkin kebetulan kot atau ada agenda di sebaliknya. “Bajet kununnya menghargai pejuang...dah 54 tahun baru nak ingat bagi...berapa orang yang dapat...berapa orang yang tak sempat dapat?” satu lagi pandangan yang dilontarkan. Najib mengumumkan petang semalam bahawa kerajaan akan memberi sumbangan RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka, kesemuanya hampir 62,000 orang untuk membantu meringankan kos sara hidup. "Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. "Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout,” kata Najib. Komen yang disiarkan melalui Malaysiakini pula, ada pandangan yang mengatakan kerana marahkan Mat Sabu, akhirnya bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat mendapat faedah. “Di sinilah pentingya Malaysia mempunyai pembangkang yang kuat. So, sebelum marah Mat Sabu, perlu fikir sejenak,” tulisnya. Pandangan lain pula: Yg tu baru Pakatan sound melalui Mat sabu, kerajaan dah bagi insentif pd bekas anggota pasukan keselamatan. Blom pun kerajaan Pakatan memerintah lagi. Klau betul2 nak terbela nasibnya, undilah Pakatan! Insyaallah x ada siapa yg akan tercicir, semuanya terbela, termasuk bekas anggota pasukan keselamatan... Antara komen lagi: “Di sini mat sabu adalah hero. Tanpa dia jangan mimpi la depa nak pandang kat hampa. tu pun jangan, ada lagi yg dok marah kat dia. “Kepada bekas tentera, balu, duda tu ingat sikit......terima kasih kat Mat Sabu...kalau tak tak merasalah duit tu...”
Ketidakseimbangan di dalam Bajet 2012 Mohd Syahir Sulaiman
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)
Belanjawan Tahunan Kerajaan adalah instrumen utama dalam urustadbir kewangan negara yang memperincikan perancangan dan unjuran pendapatan serta perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Komponen utama sesebuah belanjawan adalah cukai (tax) dan perbelanjaan kerajaan (government spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan (growth), mengawal inflasi (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment). Setiap instrumen di dalam Belanjawan dirangka mengikut ideologi dan falsafah keutamaan sesebuah kerajaan dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa.
Walaubagaimanapun, pembentangan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi luaran.
Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.
Malaysia di ambang krisis hutang
Bagi menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan datang, sebarang belanjawan tambahan (supplemental budget) akan hanya menatijahkan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi kuasa ekonomi Eropah sekarang.
Mesra rakyat tetapi dingin pelabur
Dalam senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur dari Timur Tengah, dan China mula mengalihkan tumpuan kepada destinasi pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan, terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan perkhidmatan.
Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Bagaimana mengimbangi defisit
Teras utama dalam pengagihan belanjawan adalah mekanisma penyampaian oleh pihak kerajaan. Pastinya semua pihak, baik yang layak mahupun yang oportunis, ternanti-nanti agihan peruntukan besar oleh pihak kerajaan. Asas utama adalah amanah si pemberi dengan mengambil kira prioriti dan merit si penerima.
Pihak kerajaan mampu mengurangkan kadar defisit melalui beberapa transformasi dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan, khususnya melalui penambahbaikan sistem serahan dan kutipan cukai yang efisien serta peningkatan penguatkuasaan eksport-import di sempadan. Dalam aspek perbelanjaan, penjimatan boleh dicapai dalam kos perjalanan, penerbangan dan aktiviti latihan di luar negara serta meningkatkan kadar penggunaan aset kerajaan secara optima.
Rakyat berhak membuat pertimbangan
Dengan pembentangan Bajet 2012 ini, jelas sekali gendang pilihanraya telah dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan agenda propaganda pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13.
Justeru, pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri perlu menyatakan iltizam dan komitmen untuk merealisasikan budaya politik matang dengan memberi ruang lebih besar kepada rakyat berpatisipasi di dalam pilihanraya yang adil dan telus, demi menatijahkan lembaran baru di dalam sejarah Malaysia. | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan