Rabu, 12 Oktober 2011

ISTILAH 'BAIK' DIFAHAMI DALAM PENGERTIAN BERBEZA-BEZA..KADANG2 UNSUR BAIK DALAM AGAMA..JAHAT@TAK BAIK BAGI SETENGAH ORANG..JANGAN JADI KUNCU2 SYAITAN

RM1 juta untuk PM ke Kazakhstan | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kerajaan membelanjakan RM1,072,213.22 untuk lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan Jun lalu.

Dalam satu jawapan bertulis hari ni, kerajaan memaklumkan lawatan 5 dan 6 Jun itu di atas jemputan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazabayev.

Najib kemudiannya juga mengetuai deligasi negara ke Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-7 di Astana pada 7 hingga 9 Jun.

"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Kazakhstan adalah sebanyak RM1,072,213.22," jawapan itu dipetik.

Penjelasan itu diberikan kerajaan bagi menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang menanyakan Menteri Luar Negeri, apakah matlamat utama rombongan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada Jun dan Perth pada Hari Merdeka serta kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk rombongan itu.

Dalam jawapan itu juga turut menjelaskan Perdana Menteri juga turut ke Turkmenistan pada 11 hingga 12 Julai 2011 juga atas jemputan presiden negara itu.

Untuk lawatan itu pula, kerajaan memaklumkan telah membelanjakan RM323,268.19.


Teman penulis mengenang Almarhum Azizi | Print |
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Teman-teman penulis, termasuk Sasterawan Negara A. Samad Said, Dinsman, Asni Abas, Bara Jiwa dan lain-lain dai Seniman Paksi Rakyat telah mengadakan majlis sederhana memperingat Sasterawan Rakyat, Almarhum Azizi Abdullah di ‘Warung Rakyat’ berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Saya tidak dapat hadir malam itu kerana menghadiri dialog Bajet 2012 yang dianjurkan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS di sebuah hotel di Ibu Negara. Namun malam itu, hati saya sentiasa ingat akan majlis memperingati Almrhum Azizi itu, malah saya sudahpun menyiapkan ucapan pendek – tribute kepada Azizi – yang hendak saya sampaikan malam itu.

Tidak menjadi janggal kiranya saya perturunkan ucapan yang sepatutnya saya sampaikan pada malam itu justru ia gambaran penghormatan saya yang amat mendalam kepada Sasterawan Rakyat, Almarhum Azizi Abdullah.

Inilah ucapan saya itu:

Malam ini kita bertemu di majlis sederhana di ‘Warung Rakyat’ ini untuk mengingati kepergian sahabat kita yang dikasihi, Sasterawan Rakyat, Azizi Abdullah.

Kita memilih tempat ini sebagai simbolis kepada perjuangan Almarhum yang menggunakan penanya untuk membela rakyat baik di desa mahupun di kota.

Malam ini kita menghidupkan kembali semangat perjuangan Azizi kerana kita sedar kepergiannya adalah suatu kehilangan besar bukan saja di kalangan penulis bahkan lebih-lebih lagi di kalangan rakyat prihatin yang sedang mengharapkan kemunculan ramai penulis yang bersedia berada di barisan depan dalam memperjuangkan hak mereka.

Almarhum Azizi tidak hanya menjadi jurubicara rakyat pedalaman, pesawah dan nelayan, tetapi juga membela golongan miskin di kota, di kawasan gelandangan, kawasan rumah pangsa murah yang sempit.

Lebih 30 novel, ratusan cerpen dan puluhan esei yang dihasilkannya dengan memenangi pelbagai anugerah serta hadiah sastera termsuk SEA Write Award di Bangkok, menunjukkan ia adalah penulis besar rakyat yang berjejak di bumi nyata, walaupun tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Seperti kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, kalaulah tidak kerana pegangan politiknya, nescaya Almarhum sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Tetapi tidak mengapa, bagi saya Almarhum tetap besar justru kita mengingatinya pada malam inipun lebih disebabkan kepada usahanya menjadi besar.

Almarhum Azizi tidak hidup dalam sebuah bayangan dan terapung-apung dalam sebuah khayalan intelektual yang akhirnya terhempas di lembah kekeliruan, tetapi ia sasterawan yang benar-benar berjejak di bumi nyata, berada di tengah realiti mayarakat dan sekaligus menjadi jurubicara mereka.

Seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Almarhum Azizi hadir dan mengalir, subur dan berkembang, dengan berani mengungkapkan mengenai hak-hak rakyat. Semuanya ini menyebabkan Azizi bukan jenis penulis, yang kata A. Samad Said, semata-mata golongan ‘Carma’ – cari makan - justru Azizi tidak berlindung di bawah payung kekuasaan untuk mengelak dari di bakar matahari, tetapi dia berdiri sendiri di tengah panasnya.

Pada pendapat saya sudah sampailah masanya, para penulis kini muncul sebagai pembela rakyat melalui karya-karya mereka, seperti apa yang dilakukan oleh penulis-penulis ulung masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam dan kemudian dilanjutkan oleh Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan ramai lagi.

Rakyat tertindas sedang menanti pembelaan dari golongan penulis ini kerana mereka sedang berdepan dengan suatu kehidupan yang sangat sukar dan jauh dari sikap manusiawi yang penuh simpati dan adil.

Rakyat dihadapkan dengan perlakuan rasuah, kekayaan negara hanya dibolot oleh segelintir golongan yang berada di koridor kuasa, nilai-nilai agama dan moral hampir-hampir tidak mempunyai tempat sama sekali.

Inilah masalah rakyat yang diperjuangkan oleh sasterawan seperti Azizi dan lain-lain.

Kini Almarhum Azizi tidak lagi bersama kita. Paksi kehilangan seorang teman karib, namun karyanya akan terus hidup, dibaca dan dihayati serta dikenang lama oleh pelbagai pihak, terutama rakyat yang nasib mereka selama ini diperjuangkan oleh Almarhum.”

Walaupun saya tidak hadir di majlis mengenang Almarhum Azizi, namun jiwa saya hadir di sana. Saya dapat membayangkan suasana yang sangat menyentuh perasaan pada malam itu bagaimana perasaan teman-teman penulis mengenang Almarhum Azizi, seorang penulis yang sangat dekat di hati, justeru kehidupan dan karyanya adalah sebuah jiwa yang hidup, berakar kepada perjuangan.

Tempat yang dipilih pada malam mengenang Azizi itupun sangat simbolis, sebuah ‘Warung Rakyat’ yang jauh dari pusat kuasa dan mereka yang berkuasa. Sebab itu ia bebas dari udara ‘pertarungan politik dan kuasa yang keras dan bengis’.

Mudah-mudahan akan ada lagi malam mengenang bukan saja Almarhum Azizi tetapi juga mengenang sasterawan rakyat yang telah pergi, yang melalui karya mereka memperjuanhkan keadilan rakyat.

Saya yakin, akan muncul lagi sasterawan yang begini.

Al-Fatihah untuk Almarhum Azizi, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Kenapa saya ditahan setelah jadi baik - Bob Lokman | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman (gambar) hairan dengan tindakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menahan beliau setelah menjadi baik, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.

Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.

Menurut Bob, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh kelalaian.

Sehubungan itu, beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.

Katanya, sekiranya terdapat undangan dari pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu menghampakan pihak terbabit.

"Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk saya berceramah. Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya tak akan ikut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak Jabatan Agama Islam ke atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.

"Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.

"Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya mesti patuhi sekatan-sekatan itu, sedangkan yang saya sampaikan kepada orang ramai itu adalah perkara yang betul," katanya.

Malam tadi, Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.

Bob yang juga penulis lirik lagu kesukaan ramai 'Isabella' diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.

Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.

Mengulas perkara itu, Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.

Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang diarahkan itu merupakan suatu tindakan yang tidak perlu, malah hanya membuang masa dan wang.

"Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja untuk agama, tetapi untuk Umno," katanya.

Sebelum beliau ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan tersebut tidak dapat dijawab oleh kadi berkenaan.

"Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah.

"Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik. Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka bukanlah orang yang wajar saya hormati," katanya.

Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.

Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno BN.

"Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum berceramah.

"Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan berceramah.

"Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu," tegas beliau.

Ketika diminta hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat tengah hari ini, Bob Lokman turut sibuk ke Putrajaya untuk menyampaikan ceramah atas undangan pihak tertentu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa Umno terlibat dalam pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu.

Antara jam 9.45 hingga 12 malam, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jais bersama 10 anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah melakukan pemeriksaan terhadap satu program iaitu "Thanks Giving Dinner" di Hall 3, GMDU Dream Centre, No 2 Jalan 13/1 Seksyen 13, Petaling Jaya.

Sementara itu, Adun Meru yang Pesuruhajaya PAS Selangor, Dr Rani Osman dan Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad telah ditarik balik tauliah oleh Jais.

ISTILAH

Najib di luar negara pada Hari Kemerdekaan | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kerajaan hari ini mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan ke Perth, Australia sewaktu negara menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-54 pada 31 Ogos lalu.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu), kerajaan memaklumkan lawatan 'peribadi' Najib itu bermula 31 Ogos hingga 3 September 2011.

"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, lawatan YAB Perdana Menteri ke Perth, Australia pada 31 Ogos hingga 3 September 2011 merupakan lawatan peribadi," jawapan itu dipetik.

Tian Chua dalam soalanya sebelum itu menanyakan apakah matlamat utama rombongan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada Jun dan Perth pada Hari Merdeka serta kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk rombongan itu.

Dalam jawapannya, kerajaan memaklumkan kos lawatan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada 5 dan 6 Jun adalah RM1,072,213.22, manakala tiada sebarang kos dinyatakan untuk lawatan peribadi Najib ke Perth.

Isu Najib bercuti di luar negara pada Hari Kebangsaan lalu sebelum ini pernah didedahkan media dan blog.

Mereka mempersoal tindakan perdana menteri itu yang dilihat tidak wajar diwaktu rakyat disuruh menghayati semangat patriotik sedangkan beliau bertindak sebaliknya.

Memetik laporan Malaysiakini 2 September lalu, kali terakhir Perdana Menteri dikesan ialah pada 30 Ogos lalu di Istana Negara untuk acara rumah terbuka Aidilfitri dan Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Beliau didakwa hanya mengeluarkan kenyataan Hari Kebangsaan melalui Facebook dan Twitter pada hari berikutnya.

Bagaimapun dengan bercuti di luar negara pada hari kebesaran negara seperti Hari Kebangsaan, Najib menjadi bidasan pelbagai pihak ketika pemimpin BN dan Umno berterusan menyerang pemimpin pembangkang yang didakwa tidak patriotik kerana mempersoalkan peranan dan sumbangan beberapa wira negara.

Guna pesawat khas RM9 juta

Najib juga didakwa menggunakan sebuah pesawat Airbus A319-11X yang memaparkan logo 1Malaysia di ekor pesawat berkenaan.

Web AviationWA melaporkan pesawat itu mendarat di Perth menggunakan ‘nama panggilan’ "November Romeo 1" atau NR1, yang kebetulan sama dengan pangkal nama perdana menteri.

Pada 4 Oktober lalu, dalam jawapan kepada soalan Nurul Izzah Anwar (PKR Lembah Pantai), kerajaan menjelaskan sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan bagi menyewa sebuah pesawat Airbus A319-IIX yang diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth Australia.

Pesawat tersebut disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kerajaan memberitahu kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara dengan kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta yang meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Tiada ulasan: