Jumaat, 7 Oktober 2011

BELANJAWAN 2012

Bajet BN lebihkan wakil rakyat dari rakyat | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri.

Mengulas belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi salah tadbir negara.

"Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat.

"Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan.

"Bukan masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen.

Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya.

Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion.

Perjuangan Pakatan


Salahuddin dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Mereka harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya.

Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan.

"Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya.

PAS sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British.

Namun Najib dalam pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang negara.

"Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya.


Bajet 2012: Najib cedok belanjawan Pakatan | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Kerajaan hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi perbelanjaan pembangunan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.

"Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

"Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini,"jelasnya.

Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.

"PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu.

"Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya.

Persoalan besar

Dalam pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara.

"Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.

"Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi.

Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan.

"Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta.

"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.

"Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi.

Cedok bajet Pakatan

Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi.

Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.

"Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi.


Bajet 2012: Bajet pancing undi PRU-13 | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Secara keseluruhan, Bajet 2012 yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya bajet pancing undi bagi memastikan BN terus kekal memerintah," kata Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, apa yang jelas dalam bajet itu hampir semua ransangan yang dibuat hanya dalam bentuk pembangunan fizikal, tidak ada penekanan dalam bentuk pembangunan rohani dan pemulihan akhlak masyarakat.

"Banyak perkara juga yang diciplak dari bajet Pakatan Rakyat.Tiada insentif yang banyak pada sektor swasta," katanya sebagai respon awal kepada Harakahdaily.

GST menunggu

Disebalik insentif yang bersifat "gula-gula" pilihan raya itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS mengingatkan rakyat agar tidak lupa cukai barangan perkhidmatan GST yang akan dibentang di Dewan Rakyat yang sekaligus akan membankan pengguna.

"Kita tidak nampak penurunan cukai kepada sektor koperat. Walaupun ada banyak cukai tak lansung diturunkan, namun rakyat jangan lupa cukai GST sedang menunggu akan diluluskan dalam sesi ini di Dewan Rakyat.

"Maka semua rakyat akan dikenakan cukai pada semua jenis perkhidmatan dan barangan yang bakal dilaksanakan lepas PRU 13.

Kelantan terus dipinggir

Beliau juga mendakwa, bajet pilihan raya Najib itu memperlihatkan kesinambungan peminggiran terhadap rakyat Kelantan.

Beliau merujuk kepada peruntukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) satu bilion ringgit yang diumum Najib yang hanya meliputi Perlis, Perak dan Johor sahaja.

Bagaimanapun beliau mengalukan semua bonus dan manfaat yang diberikan untuk rakyat, namun mempersoal kenapa ianya dibuat secara terpilih.


Hudud boleh dilaksana di Kelantan | Print |
Harakahdaily

KOTA BHARU, 7 Okt: Wacana Perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan semalam antara lain merumuskan bahawa Kelantan berhak dan boleh melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993.

Malah, menurut Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad salah seorang panel wacana itu berkata, undang-undang itu perlu dilaksana segera kerana sudah 20 tahun diluluskan tanpa perlaksanaan.

Tambah beliau lagi, bagi mencapai hasrat itu Kelantan perlu segera mewujudkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Syariah Khas tiga hakim dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas lima hakim.

"Bagi perlaksanaan hukum ini, pihak kami sudah bersedia dan hanya menunggu keputusan kerajaan Kelantan sahaja dan ia bukannya mudah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah kerana pesalah atau yang dituduh perlu melalui beberapa proses seperti saksi yang cukup dan sebagainya,” katanya di dewan Teratai Kompleks Darulnaim, di sini.

Selain beliau, wacana tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohammad Daud Iraqi dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abd Aziz Bari.

Tambah beliau lagi, Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) juga tidak wajar dijadikan halangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Mengulas dakwaan perlaksanaan hudud bertentangan dengan perlembagaan, Daud pula berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud.

Malah, ujarnya sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.

“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.


Tiba masanya mengharamkan asbestos di Malaysia
SM Mohamed Idris

Sejak tahun 2001, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan sepenuhnya segala bentuk asbestos. Gesaan tersebut dibuat berikutan peningkatan kes-kes penyakit yang dikaitkan dengan asbestos disebabkan penggunaan besar-besaran asbestos pada masa lalu, dan hakikat bahawa beberapa buah negara, termasuk Malaysia, masih terus menggunakan asbestos chrysotile.

Dalam perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 28 Mac lalu, satu persetujuan telah dicapai berhubung pengharaman asbestos, termasuk chrysotile. Bagaimanapun perwakilan dari APCO Worldwide membantah kemasukan chrysotile ke dalam pengharaman tersebut dengan alasan Malaysia akan mengalami kerugian ekonomi jika berbuat demikian. Mereka yang hadir dan DOSH sendiri menekankan bahawa penggunaan chrysotile sedang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat oleh industri terbabit.

APCO telah membuat bantahan supaya menghentikan pengharaman tersebut kepada DOSH dan kerajaan Malaysia. APCO juga membawa masuk Dr David Berstein, ahli toksikologi yang beribu pejabat di Switzerland yang telah menjalankan pelbagai kajian ke atas merokok dan asbestos chrysolite yang dibiayai oleh industri tembakau dan asbestos sendiri, ke Malaysia untuk meyakinkan kerajaan bahawa produk itu selamat untuk kegunaan.

Pandangan dari sudut saintifik adalah cukup jelas bahawa semua bentuk asbestos, termasuk asbestos chrysotile, boleh menyebabkan penyakit seperti mesotelioma, kanser paru-paru, kanser jenis lain dan asbestosis, dan penggunaan yang selamat adalah sesuatu yang mustahil. Tambahan pula, asbestos adalah salah satu karsinogen pekerjaan yang paling penting, membabitkan kira-kira separuh daripada bilangan kematian akibat kanser pekerjaan. Malah, ia membunuh lebih ramai pekerja di banyak negara berbanding kecederaan ketika bekerja.

Menurut WHO, di negara-negara yang telah mengharamkan asbestos sejak awal tahun 90-an sekalipun kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos terus meningkat. Ini disebabkan tempoh lama yang dikaitkan dengan penyakit tersebut. Dengan menghentikan penggunaan asbestos sekarang, kita berharap dapat melihat penurunan dalam kes-kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos cuma selepas beberapa dekad.

Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengadakan kempen secara global untuk membasmi penyakit yang dikaitkan dengan asbestos, dan ia dijalankan dengan menghentikan penggunaan semua jenis asbestos.

Lebih daripada 55 buah negara telah menyahut gesaan ini dan negara terakhir yang berbuat demikian ialah Thailand. Pihak berkuasa Thai mendapati bumbung rumah di bandar yang tidak menggunakan asbestos menambah kos pembinaan rumah sebanyak $65 atau ½ peratus kos membina rumah di Thailand. Memandangkan keadaan di Thailand dan Malaysia mempunyai beberapa persamaan, adalah selamat untuk mengatakan bahawa kerugian ekonomi yang disebutkan oleh APCO adalah tidak signifikan.

Sehubungan itu, Malaysia perlu turut menyertai kempen global ini iaitu ke arah mengharamkan penggunaan segala jenis asbestos dan tidak tunduk kepada tekanan kumpulan-kumpulan yang lebih mementingkan keuntungan daripada kesihatan orang ramai.

SM Mohamed Idris adalah Presiden CAP.

Bold

IMPLIKASI BELANJAWAN 2012 KEPADA KAUM GURU (THE NEW SALARY MATRIX FOR GOVERNMENT SERVANT)

IMPLIKASI BELANJAWAN 2012 KEPADA KAUM GURU (THE NEW SALARY MATRIX FOR GOVERNMENT SERVANT)

Pendahuluan

Pembentangan belanjawan 2011 dalam sesi parlimen petang tadi membawa beberapa penambahbaikan dalam sistem saraan kakitangan awam, termasuk untuk kira-kira 400,000 orang guru. Menerusi fokus keempat di bawah tema MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM, Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

Pengenalan SBPA dan Matrik Gaji Sebaris

SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;

Ketiga: Laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah juga dijangka akan lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan

Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, antara 7 hingga 13 peratus.

Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Lanjutan Umur Persaraan

Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, Malaysia ialah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti negara akan turut menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.

Kerajaan juga bersetuju bahawa penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Maka, umur persaraan wajib dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Kerajaan memberi jaminan bahawa pelanjutan berkenaan tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

Peluang Menyambung Pengajian

Usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.Bagi maksud ini, Belanjawan 2012 bakal memperuntukkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

Pada tahun 2012, kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Sebanyak 20,000 tempat pula bakal dibuka kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Sejumlah 80 juta ringgit diperuntukkan bagi tahun pertama. Dengan pendekatan ini, secara keseluruhan perjalanan kerjaya penjawat awam, termasuk guru akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.

Kesimpulan

Jika guru bersetuju menurunkan tanda tangan menerima dengan SBPA, mulai 2012, mereka bakal menikmati:

1 kenaikan gaji tahunan, dianggarkan sekitar RM150 - M200;

2 faedah kenaikan gaji pokok kira-kira 10 peratus daripada jumlah gaji semasa;

3 Usia persaraan wajib hingga tarikh ulang tahun kelahiran ke-60; dan

4 bantuan yuran pengajian ijazah tinggi di IPTA tempatan menerusi program separuh masa.

Selain bonus setengah bulan gaji yang akan dibayar bersekali dengan gaji Disember ini, mulai tahun depan tugas guru tingkatan "mengejar" murid membayar yuran SUWA akan tinggal sejarah. Hanya "derma" PIBG dan Muet tidak disebut. Perinciannya mungkin menerusi siaran JPA dan Kementerian Pelajaran..

Tiada ulasan: