HATI JADI MATI JIKA 40 HARI TIDAK MENUNTUT ILMU ISLAM DAN 3 HARI HATI JADI SAKIT...KERANA IA MAKANAN HATI...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ
Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُلاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم....
وَالـــــسَّلاَمُ عَلَيْكُـــمْ وَرَحْمَـــة ُاللهِ وَبَرَكَاتُـــهُ
KUALA LUMPUR, 26 Okt: Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu kelemahan pengurusan kewangan kerajaan adalah disebabkan oleh kerakusan Umno BN memerintah negara dengan secara boros, tidak berhemah dan berlaku penyelewengan kuasa yang serius sehingga menyebabkan kehilangan wang kerajaan.
“Kelemahan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.
Katanya, Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kerajaan selama ini sememangnya tidak pernah mengambil peduli terhadap perjalanan sistem pengurusan kewangan yang berhemah dan telus.
Ini, katanya kerana budaya kerja Umno BN telah membarah dengan budaya rasuah, kronisme dan nepotisme walaupun telah ditegur oleh Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini.
Selain itu, ujarnya disebabkan kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat juga memberi kesan terhadap syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kementerian Kewangan yang mana 19 daripada 47 syarikat mengalami kerugian pada tahun 2009.
Jumlah kerugian bernilai RM0.71 billion iaitu penurunan RM3.83 billion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 billion pada tahun 2008.
Terbaru, sebuah badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaannya.
Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.
Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.
Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.
Justeru, kata Sany, pihaknya meminta supaya pihak kerajaan menghentikan amalan pengurusan yang tidak berhemah dan boros dalam berbelanja.
Ini kerana, ujarnya akan menyebabkan negara menanggung hutang yang banyak dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang tersebut melainkan dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah.
Oleh itu, tambah beliau Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya supaya menolak Umno BN di dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana Umno BN terbukti gagal di dalam mengurus kewangan negara, mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan kroni.
"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.
Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.
Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.
Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.
Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis.
Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.
Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.
Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir.
Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan.
Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.
Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk yang buruk.
Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.
Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh.
Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.
Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.
Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan 1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.
Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.
Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.
"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.
"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau memberi alasan.
Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.
Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan.
Nanti orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjutajuta ringgit?
Macam mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu?
Apa Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan ringgit?
Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth?
Jika anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat miskin.
Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan tidak menjadi ini.
Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil? Dua perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati kebijaksanaan yang ditunjuk oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiyyah.
Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman kita ini diwarwarkan ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadari yang sudah hampir lenyap suaranya.
Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan Mufti, mewarwarkan ribuan orang melayu menjadi murtad dan masuk agama kristian dan hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis untuk disoal siasat. Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak dibawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan.
Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad.
Kesalahan Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdailog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas Al Quran dan Hadith.
Para ulama sqidah dan Syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang ,membatalkan Iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan. Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram. atau harus. Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakunan drama dan sebagainya.
Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.
Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim terhadap kaum lain. Slogan ‘Selamat Melayu Maka Selamat Islam’ menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.
Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.
Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.
PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.
PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan : Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang.
PAS tetap mengambil kira jasa Al Marhum Tunku Abdul Rahaman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengIslamkan tokoh-tokoh besar dizamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah dimana. PAS juga mengambil kira kejayaan Al Marhum Tun Datu Mustafa yang berjaya mengIslamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan USIA nya, dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Serawak .
PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna.
RANTAU PANJANG, 26 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengirim surat ‘tahniah’ dan rasa syukur di atas penarikan semula penggantungan pensyarah UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari dua hari lalu.
Menurut Tuan Guru, penarikan itu amat wajar memandangkan Aziz Bari adalah pakar perlembagaan seumpama guru dalam undang-undang perlembagaan.
Menurutnya, sebagaimana guru ilmu feqah yang mempunyai gurunya yang arif dan tersendiri, Aziz Bari juga demikian yang diibaratkan ‘guru perlembagaan’.
“Penggantungan sebelum ini terhadapnya memang melampau, tak kenal jenis orang macam mana, professional ke, ahli akademi ke, tahu nak sekat.
“Kita bagi kebebasan pada semua lapisan masyarakat untuk bersuara selagi ianya tidak melanggar peraturan dan bersalahan dengan dengan undang-undang,” ujarnya.
Namun apa yang berlaku, tambahnya adalah sebaliknya pula.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan projek perlombongan Interbumi Mining Sdn Bhd dan Majlis Penyampaian sumbangan sempena Aidiladha, di Rantau Panjang, dekat sini.
Bagaimanapun, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkeflyi Ahmad semalam mendakwa penarikan itu hanya sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan profesor itu masih menghadapi tekanan dalam siasatan.
Baru-baru ini, Aziz Bari digantung dari perkhidmatannya sebagai pensyarah kanan di UIA kerana mengeluarkan pandangan dari sudut akademik dan perundangan berhubung Sultan Selangor.
GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.
"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.
Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.
Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".
Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.
Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.
Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.
"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.
Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.
Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.
"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya.
KUALA LUMPUR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS menggesa rakyat di negara ini menjadikan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menilai kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, daripada Laporan Ketua Audit Negara 2010, didapati terdapat banyak kelemahan, kepincangan, ketirisan serta kepincangan dalam projek-projek pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.
"Di sebalik pembentangan Bajet ‘gula-gula’ pilihan raya 2012, yang dianggap ramai sebagai bajet rakyat kerana banyak peruntukan 'one off' untuk rakyat, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menceritakan segala-galanya.
"Tidak hairanlah, Laporan Ketua Audit Negara 2010 gagal dibentangkan pada masa yang ditetapkan iaitu semasa Bajet 2011 tempo hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan bahawa RM 160.7 juta yang telah diululuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer, namun hanya 2 buah makmal sahaja yang siap sementara peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan.
Kementerian Sumber Asli dan alam Sekitar pula mencatatkan pembelian barangan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.
Antaranya komputer riba dan pencetak dibeli dengan harga RM 11,845 berbanding pasaran RM3,428 iaitu 246% lebih mahal, LCD TV dan DVD Player dengan RM 16,100 berbanding pasaran RM 2,182 iaitu 638% lebih mahal, Radar X-Band dengan RM 47,725 berbanding pasaran RM 8,255 iaitu 478% lebih mahal, Bushnell Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 2,827, 1893% lebih mahal, Marine Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 1,940, 2805 % lebih mahal, Walkie-Talkie dengan RM 4,324 berbanding pasaran RM,1561, 177% lebih mahal.
Majlis Sukan Negara pula mencatat pembelian boros dengan membeli 23 ekor kuda baka khas untuk sebuah pertandingan dengan harga RM 5.66 juta.
Pembelian ini dibuat secara runding terus tanpa mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.
Namun, 18 ekor darinya tidak melepasi piawaian Federation Equestre International, hanya lima ekor sahaja lulus untuk menyertai pertandingan.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula mencatat pengurusan yang tidak telus dan tidak efektif kerana tidak membayar RM 110.67 juta insentif kepada 73 291 orang petani.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula gagal mengurus secara efektif kerana peralatan yang berjumlah RM 64.69 juta masih terbiar dan tidak dapat digunakan sehingga kini.
Akibat itu, sejumlah RM 0.44 juta lagi dibazirkan untuk kawal selia dan insurans bagi menyimpan peralatan tersebut.
Selain itu, terdapat 8 Syarikat GLC yang mengalami penurunan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut. Malah, ada syarikat GLC yang mengalami kerugian seperti Syarikat Prasarana Negara, Kertapi Tanah Melayu, Assest Global Network dan Indah Water Konsortium. Jumlah kerugian keseluruhan ialah RM 630.45 Juta.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata kesemua fakta yang diberikan hanya sebahagian daripada keseluruhan kelemahan dan kepincangan kerajaan dan ternyata saban tahun negara ditadbir oleh pemimpin yang tidak cekap, tidak amanah, efisyen dan konsisten.
"Amalan boros, membazir sudah seakan sebati dalam diri pemimpin negara hari ini. Harta rakyat seumpama harta ‘mak bapak’ mereka yang boleh diagih sesuka hati mereka.
"Cukuplah negara ditadbir oleh mereka yang kurang berkemampuan, dan berikan ruang pula buat Pakatan Rakyat mentadbir negara," tegasnya.
KUALA LUMPUR, 26 Okt: Ketirisan yang didedah Laporan Ketua Audit Negara 2010 menunjukkan betapa urus tadbir kerajaan BN perlu diganti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.
Beliau yang meyifatkan pendedahan itu sebagai "raja segala pembaziran" berkata, ia sekaligus menjelaskan bahawa tahap pentadbiran negera dibawah Barisan Nasional berada ditahap yang sangat buruk.
"Deretan salah tadbir urus kewangan negara jelas tersenarai dalam laporan tersebut, jadi tidak hairanlah mengapa dokumen itu lewat sampai untuk diserahkan kepada ahli parlimen," katanya merujuk laporan yang dibentang lewat 17 hari itu.
Menurutnya yang juga ketua penerangan PAS Perak, rakyat juga boleh menilai sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara bahawa jumlah miskin dan miskin tegar di Sabah dan Sarawak semakin bertambah.
Katanya, ini memberi makna bahawa program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN telah gagal sama sekali.
"Umno BN sebagai peneraju kerajaan pusat dan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap belanja “berhemah” ini pastinya telah menutup isu pembaziran besar-besaran ini dari terdedah ke pengetahuan rakyat melaui media pro mereka iaitu Utusan, TV3 RTM dan lain-lain," katanya lagi.
Selama Umno BN mentadbir Pusat ujarnya, situasinya bukanlah ketirisan, tetapi wang negara secara terang-terangan telah diambil oleh 'tangan-tangan hitam' dengan gandaan harga belian barangan untuk kegunaan badan kerajaan telah dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan.
Dalam laporan audit tersebut, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilaporkan membelanjakan wang untuk mendapatkan peralatan tertentu - seratus peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Ianya termasuk Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100, Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90, Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79, Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60.
Sementara itu juga laporan audit tersebut turut mencatatkan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang ‘binokular marin’ atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.
Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827.
Ia juga didapati ‘terlebih bayar’ RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.
Sehubungan itu kata Khalil Idham, segala ketirisan seperti yang dilaporkan oleh ketua audit negara tersebut hanya boleh dibendung dengan menukar kerajaan.
"Poket pencuri wang rakyat hanya dapat dikosongkan dengan memberikan undi anda kepada Pakatan Rakyat, undi kerajaan baru dari Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti bagi menjamin negara yang lebih telus dari segi pengurusan wang negara," katanya.
KOTA KINABALU, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia yang didakwa melibatkan anggota apprentices Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan, mendakwa terdapat hampir 1,000 anggota apprentices TLDM di bawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.
“Ramai anggota tidak diberikan pangkat petter officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka,” dakwanya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, semalam.
Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.
Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.
“Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.
“Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.
Beliau mendakwa penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.
“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,” katanya.
Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.
Dakwa Zulfikar, walaupun perkara itu berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan yang didakwa itu wajar dijawab oleh Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.
Dokumen penyelewengan tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen yang turut hadir pada sidang media itu.
Surah Al-Mulk Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (1) Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (2) Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? (3) Kemudian ulangilah pandanganmu berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang dia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). (4) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan dan Kami sediakan bagi mereka azab Neraka yang menjulang-julang. (5) Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (6) Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. (7) Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga Neraka itu kepada mereka: Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? (8) Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! (9) Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka. (10) Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli Neraka. (11) Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (12) Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (13) Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya! (14) Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). (15) Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)? (16) Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu? (17) Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu. (18) Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (19) Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya. (20) Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran). (21) Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: Boleh mendapat hidayat atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata? (22) Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (23) Katakanlah lagi: Dialah yang mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. (24) Dan mereka (yang ingkar) berkata: Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar? (25) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata. (26) Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!. (27) Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan) atau Dia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?. (28) Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): Allah Dialah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata. (29) Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?. / (30)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan