KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan Malaysia menyiasat dakwaan kononnya Malaysia telah mengambil tanah 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat. “Dakwaan ini telah mengakibatkan kemarahan kepada rakyat Indonesia dan akibatnya mereka mengadakan demontrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” ujar ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor. Justeru itu, katanya DPPM meminta kerajaan segera membersihkan namanya melalui kenyataan rasmi berhubung isu itu. Dakwaan itu, ujarnya amat serius dan ia berkaitan dengan kedaulatan negara Malaysia dan Indonesia walaupun ia tidak berasas. DPPM, ujarnya lagi tidak mahu negara Malaysia dikaitkan dengan skandal di peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, tambahnya kerajaan perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada kerajaan Indonesia agar jangan disalahtafsir atau menimbulkan persepsi buruk terhadap negara jiran. DPPM juga, katanya meminta pihak tempatan yang menyebarkan dakyah tersebut bertanggungjawab terhadap isu itu. Menurutnya, umum mengetahui hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama di mana kedua-dua negara ibarat saudara yang berasal dari suatu rumpun Melayu di Nusantara ini. Katanya, ramai warga Indonesia menetap dan bekerja di negara ini, malah ramai yang telah mendapat status warganegara Malaysia. “Kita berkongsi sempadan perairan dengan negara jiran. Permusuhan atas dasar apa sekalipun perlu dielakkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya kepada Harakahdaily. Oleh yang demikian, katanya DPPM mengharapkan isu itu mampu diselesaikan dengan baik di meja rundingan. Tambahnya, DPPM bersetuju kerajaan menghantar nota diplomatik meminta penjelasan kepada kerajaan Indonesia terhadap insiden itu. Katanya, Kerajaan Indonesia pula perlu memberi jaminan bahawa insiden itu tidak akan berlaku dan mengawal para demonstran agar tidak merosakkan peralatan serta kawasan kedutaan. Selain itu, ujarnya DPPM meminta kerajaan melindungi para diplomat serta rakyat Malaysia di Indonesia. DPPM, katanya bimbang mereka akan dicederakan di masa hadapan jika tidak ada kawalan keselamatan yang ketat terhadap mereka. “Jika keadaan ini berlarutan dan keadaan terus tidak terkawal, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk membawa pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan