50 Langkah Bestari Suami Mithali
under Fadzilah Kamsah, General by wizvax
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.
2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.
3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.
4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.
5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?
6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.
7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.
8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.
9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.
12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil ?
14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.
15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.
16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera
17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.
19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?
20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.
21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.
24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.
25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang.
Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.
27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.
28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.
29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.
33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.
37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.
39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.
40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.
41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.
42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.
44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.
45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.
46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.
48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.
49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.
50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.
8 Cara Menjadi Isteri Dambaan Suami
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam fitrah untuk semua sahabat yang sentiasa berhubung dengan kami di laman web ini.
Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri menuntut waktu kerja 24jam sehari
dan 7 hari seminggu. Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.
Sebagai seorang suami, ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.
1. Isteri yang cerdik
Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!
2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga
Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.
3. Manager dalam segala hal
Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.
4. Selalu di belakang suami
Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.
5. Menjaga perut suami dan anak-anak
Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.
6. Pandai jaga diri
Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.
7. Perunding imej
Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus
imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.
8. Menjaga keluarga mertua
Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.
8 Cara Menjadi Suami Terhebat
Assalamualaikum w.b.t.
Setiap isteri amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.
1. Imam Solat
Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.
2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.
3. Suami yang matang
Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.
4. Pandai Memasak
Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.
5. Suami yang ‘independent’
Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti!
6. Mempunyai prinsip dan pendirian
Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.
7. Menjaga anak-anak bersama isteri
Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.
8. Jadilah suami serba tahu
Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.
Bagaimana Memberikan Penghargaan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk memberikan penghargaan dan juga sebagai tanda kasih sayang yang tidak terhingga kepada sesiapa sahaja. Selalunya kita terlalu memikirkan cara untuk meluahkan penghargaan dan menyentuh hati sehinggakan kadang-kadang kita hanya berdiam diri kerana hanya memikirkan cara untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang kita sayangi.
Penghargaan Kepada Anak
- Selalu memberikan pujian yang ikhlas kepada anak
- Rangsang anak-anak untuk buat yang terbaik
- Berikan hadiah atas kejayaan anak-anak walaupun kejayaan yang kecil
- Selalu berikan pelukan dan ciuman
- Sekali sekala puji anak-anak di hadapan orang lain
- Hadirkan diri dalam acara atau pertandingan atau peraduan yang disertai oleh anak anda
Penghargaan Kepada Ibu Bapa
- Selalu telefon bila berjauhan
- Jangan lupa kirimkan wang walaupun sedikit (andai sudah bekerja )
- Berikan hadiah pada hari-hari penting (Hari Ibu, Hari Bapa & Hari Lahir)
- Cium tangan ibu bapa
- Bila anda sudah berkeluarga, selalu pulang ke kampung kerana selalunya ibu bapa kita rindu untuk bertemu dengan cucu-cucu mereka.
- Minta pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah
- Pulang apabila mereka sakit
Penghargaan Kepada Suami
- Selalu berikan senyuman
- Berhias di hadapan suami
- Masak masakan kegemaran suami
- Minta pandangan suami jika ada masalah
- Selalu urut-urutkan suami
- Menjaga maruah suami
- Puji suami di hadapan keluarga atau orang lain
- Berikan hadiah hari jadi
- Pandai mengambil hati suami
- Selalu memberikan sokongan bila suami ada masalah
- Membina hubungan baik dengan keluarga suami
- Minta izin suami sebelum buat sesuatu
- Mohon maaf dengan suami sebelum tidur
Penghargaan Kepada Isteri
- Ingati tarikh-tarikh penting bersama isteri (Hari Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Lahir)
- Ingati tarikh kelahiran anak-anak
- Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah (memasak, membasuh & jaga anak)
- Ungkapkan kata-kata cinta sebelum tidur
- Selalu berikan pelukan dan kucupan kepada isteri
- Membina hubungan baik dengan keluarga isteri
- Ucapkan terima kasih apabila bersama
- Selalu memberikan kejutan-kejutan yang menggembirakan
- Selalu berpenampilan segak (sebab suami kacak, orang akan puji isteri)
- Memberikan kemaafan dan memohon maaf andai tersilap
- Panggil isteri dengan panggilan yang manja
- Puji isteri depan anak-anak dan keluarga
- Berikan hadiah apabila isteri anda melahirkan anak
10 Cara Memenangi Hati Ibu Mertua
Assalamualaikum. Salam Fitrah untuk semua pengujung. Hari ini saya akan kongsikan 10 tips atau petua bagaimana memenangi hati ibu mertua.
Sebaik sahaja selesai diijab kabul, secara rasmi kita menjadi miliknya.Kalau dulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami/isteri yang sah. Namun kita sebenarnya bukanlah hanya berkahwin dengan dirinya, bahkan juga seluruh anggota keluarganya.
Bagi yang sudah biasa bertemu dengan mertua sebelum berkahwin, tentu tidak menjadi soal. Bagaimana bagi yang tidak pernah bertentang mata dengan keluarga mertua? Pasti diselubungi rasa bimbang, apatah lagi bila memikirkan cara untuk menyesuaikan diri dengan mertua.Bagi menangani masalah tersebut, pastikan anda menyiapkan diri dengan beberapa tips yang diberikan. Persediaan diri sebenarnya bukan hanya bermula selepas sah bergelar suami/isteri, seeloknya sedari awal pertunangan lagi. Kalau kena gaya dan caranya, tidak mustahil anda akan jadi menantu kesayangan.
1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya, mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.
2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai tanda kenangan.
3. Kenali sikap sebenar mertua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.
4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.
5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.
6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.
7. Apabila tiba hari-hari penting seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.
8. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.
9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut. Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk,kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.
10. Akhir sekali, cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi sekadar bertanya khabar.
Hingga berjumpa lagi di lain posting, wassalam.
Pentingnya mengurus emosi
ALAM rumah tangga ibarat belayar di samudera, dalam tempoh perjalanan yang belum pasti itu, tentu menghadapi pelbagai pancaroba dan ujian.
Ibarat gigi dan lidah, suami isteri tidak dapat lari daripada berselisih faham namun dalam sesetengah kes, ia berpanjangan dan memberi impak kepada rumah tangga.
Mulanya, mungkin masalah rumah tangga membabitkan soal remeh-temeh tetapi apabila bercampur aduk dengan emosi dan ego, ada yang gagal mengharungi ujian sepanjang perjalanan itu.
Justeru, apabila persengketaan tidak dapat diselesaikan, kebanyakan pasangan memilih jalan ‘cerai’.Apakah cerai penyelesai masalah rumah tangga atau jalan terakhir?
Walaupun Islam membenarkan manusia melafazkan perkataan cerai tetapi Allah amat benci kepada mereka yang bercerai-berai.
Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam kehidupan rumah tangga, perselisihan dan persengketaan memang lumrah.
Beliau berkata, ia proses semula jadi bagi membolehkan pasangan saling mengenali.
Ia mungkin mengambil masa setahun, dua tahun atau sehingga satu tempoh yang agak panjang mungkin belasan atau puluhan tahun.
“Cuma perkara yang perlu difahami ialah bagaimana hendak menguruskan emosi kerana hadis nabi ada menyebut, `jangan marah, jangan marah, jangan marah’, yang diulang sehingga tiga kali, supaya masing-masing mengawal emosi,” katanya.
Statistik menunjukkan perkahwinan di Malaysia dalam tujuh tahun kebelakangan ini semakin meningkat.
Bagi tahun lalu, daripada 129,545 perkahwinan di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak, kes perceraian juga agak tinggi iaitu 20,131 kes.
Perceraian itu berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya arus modenisasi yang menghakis nilai tradisional, mendahulukan material daripada menyelamatkan perkahwinan, tahap pendidikan dan pendedahan yang diperoleh membuatkan suami isteri terlalu objektif dalam menangani masalah.
Keretakan rumah tangga boleh berlaku apabila pasangan terbabit terlalu mementingkan kewangan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka, timbul rasa kecewa terhadap pasangan disebabkan gagal berbincang sebelum berkahwin, tiada kemahiran komunikasi, campur tangan pihak ketiga dan masalah sampingan seperti dadah.
Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, perceraian bukan perkara yang boleh dianggap remeh sebaliknya ia adalah jalan terakhir kepada sesebuah rumah tangga.
“Sebelum memikirkan dan melafazkan cerai banyak lagi kaedah lain yang boleh difikirkan, seperti perbincangan di antara pasangan suami isteri secara baik tanpa membabitkan pihak lain, jika tidak dapat diselesaikan baru dilantik wakil dari pihak ketiga untuk mencari penyelesaian.
“Jika tidak dapat diselesaikan juga walaupun dengan pelbagai kaedah, barulah difikirkan jalan terakhir itu,” katanya.
Satu hadis diriwayat Abu Daud dan al-Hakim, maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak.”
Perkahwinan bukanlah semata-mata satu ikatan yang menghalalkan perhubungan di antara dua jantina lelaki dan perempuan, tetapi kesinambungan institusi kekeluargaan.
Perkahwinan adalah suatu ikatan perkongsian hidup yang perlu kepada semangat kebersamaan, saling menghormati dan rasa penuh tanggungjawab, yang perlu dipertahankan dalam apa juga keadaan.
“Bergaullah dengan mereka secara baik dan mungkin kamu benci kepada isteri-isteri kamu. Mungkin kamu benci kepada sesuatu sedangkan Allah menjadikan padanya kebaikan yang baik.” (an-Nisa’:19)
Menurut Ahmad Shukri, sesetengah masalah tidak boleh dipendam tetapi perlu diluahkan bagi mengelak masalah lebih besar.
“Dalam rumah tangga, perlu ada konsep sabar dan muhasabah. Jika sewaktu bujang kita seorang pemarah, cepat melenting dan panas baran, apabila beristeri atau bersuami ubahlah sikap itu perlahan-lahan,” katanya.
Beliau mendapati banyak pasangan yang tidak tahu matlamat rumah tangga sehingga apabila bergaduh kecil pun mengungkapkan cerai.
“Justeru, perkahwinan memerlukan kepada beberapa unsur iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmat (kasihan belas).
“Ketiga-tiganya perlu digaul bagi menjadi makanan pasangan suami isteri sepanjang hidup bersama,” katanya.
Menurutnya, anak muda sekarang hanya tahu bercinta dan berkahwin, tetapi apabila memperoleh cahaya mata menjadi buntu seolah-olah anak menjadi beban.
“Anak memang satu beban tetapi ia juga amanah yang besar.
“Orang kita sesetengahnya apabila ada masalah mulalah jadi tidak menentu dan gelabah tetapi sedar atau tidak masalah yang dihadapi itu sendiri yang mematangkan diri,” katanya.
(Artikel ini dipetik daripada myMetro, kolum ad-Din – bertarikh 21 Mac 2008)
5 Perkara Yang Boss Selalu Terlepas Pandang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada semua Sahabat Fitrah yang dikasihi. Semoga hari ini lebih bermakna untuk menjadi motivasi hari esok.
Cuba anda semua perhatikan bagaimana personaliti dan perwatakan boss di tempat anda. Apa yang anda kagumi tentang boss anda? Di sini lima perkara yang selalu boss anda atau mungkin juga anda sebagai boss terlepas pandang untuk melaksanakannya.
1. Beri salam
Jarang sekali kalau kita perhatikan boss atau ketua di tempat kita yang mula memberi salam. Asyik-asyik anak buah boss juga yang kena mulakan memberi salam. Selalu juga berlaku anak buah yang beri salam, tapi boss tak jawap. Jikalau anda sebagai boss atau ketua di organisasi anda, apalah salahnya anda menghulurkan salam kepada anak-anak buah anda di pejabat. Percayalah mereka akan segan dan mula menyayangi anda.
2. Beri hadiah penghargaan pada hari-hari tertentu
Satu perkara yang mudah tetapi adakah anda sebagai boss atau boss anda lakukan untuk anda? Penghargaan yang tak seberapa tapi akan menyebab staf di bawah anda memberikan kesetiaan kepada anda dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Boss anda mungkin juga memberikan alasan susah untuk mengingati tarikh lahir staf yang ramai. Tapi itulah yang perlu boss lakukan untuk menjadi boss yang hebat.
3. Staf adalah famili di pejabat
Jangan hanya menganggap staf di bawah anda sebagai rakan kerja, tetapi mereka sebenarnya adalah famili kedua anda di pejabat. Jadi jangan hanya layan mereka sekadar rakan kerja untuk menyiapkan tugasan yang anda berikan. Anda juga perlu tahu masalah dan emosi mereka.
4. Turun padang
Banyak sekali yang berlaku, setiap kali majlis-majlis kecil atau program-program yang dianjurkan oleh staf anda, anda sebagai boss tidak hadir untuk meraikannya. Anda mungkin menyerahkan pembantu di bawah anda untuk hadir. Tetapi tanpa anda sedari anda telah mengecewakan mereka.
5. Berikan hak-hak staf di bawah anda
Bukan mudah untuk menjadi seorang boss yang hebat. Anda perlu tunaikan semua hak-hak mereka agar mereka lebih mengasihi anda. Hadirilah setiap jemputan yang melibatkan kenduri kahwin, majlis tahlil, atau ziarahilah keluarga staf anda sekiranya mereka ditimpa kesusahan. Hulurkan bantuan kepada mereka. Jangan hitung kuantiti yang anda beri, tetapi ambil kira kualiti yang telah anda lakukan. Perkara yang anda lakukan ini mungkin tak seberapa di sisi anda tetapi besar nilainya di sisi mereka. Percayalah bahawa anda bakal menjadi boss yang hebat sekiranya anda mengambil berat 5 perkara ini.
10 Sebab Anda Gagal Menyelesaikan Tugasan Di Tempat Kerja Dengan Baik
Assalamualaikum w.b.t.
Anda mungkin pernah mengalami masalah tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua dengan baik. Cuba anda semak kembali apakah faktor-faktor yang menjadi punca masalah anda itu, semoga dengan ini anda dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah anda itu.
1. Terlalu banyak gangguan
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja ialah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dan sebagainya.
2. Anda tidak mempunyai sumber yang lengkap.
Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu jugalah dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan kerja seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang memuaskan dan tepat pada masanya.
3. Anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi di tempat kerja, terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka. Samada tugasan yang diberikan itu tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua ( tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan baik ( anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).
4. Anda mempunyai terlalu banyak tugasan
Sesetengah orang mempunyai terlalu banyak kerja yang tidak mungkin dapat disiapkan walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi yang mempunyai pekerja yang sedikit. Akibatnya, kekecewaan akan berlaku apabila anda tidak dapat menyiapkan tugas kerana tidak mungkin akan dapat melakukannya.
5. Anda tiada kemahiran menguruskan masa.
Pekerja yang mempunyai kemahiran ini melakukan apa yang paling penting tetapi sebaliknya pula bagi yang lemah pengurusan masanya melakukan apa yang dilihatnya senang dan menyeronokkan.
6. Anda seorang yang suka bertangguh.
Kenapa harus menunggu esok jika perkara itu boleh dilakukan hari ini? Anda mungkin menangguhkan sesuatu kerja itu kerana anda khuatir hasil kerja anda itu tidak memuaskan hati. Sebagai contoh, sekiranya anda takutkan kegagalan dan khuatir akan menghasilkan kerja yang kurang bagus, maka anda akan membuka peluang untuk anda mengelak daripada melakukan apa-apa. Walaupun anda sebolehnya inginkan kesempurnaan dalam setiap hasil tugas yang anda lakukan, tetapi bos ataupun client anda lebih melihat kepada kerja yang kurang sempurna daripada anda tidak melakukan langsung kerja tersebut.
7. Anda rasa tidak dihargai
Sekiranya anda merasakan diri anda tidak dihargai ataupun anda memperolehi gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang anda lakukan, maka anda mungkin tidak dapat memberikan 100% komitmen dalam kerjaya yang anda ceburi. Secara sedar ataupun tidak kebanyakan pekerja cuba untuk menyeimbangkan antara ‘memberi dan diberi’ antara mereka dan majikan. Mereka akan melakukan kerja berdasarkan kepuasan hati mereka terhadap majikan. Pekerja yang merasakan mereka tidak dihargai akan menjadi kurang berusaha, kerap mengambil cuti, cuai dan sebagainya.
8. Keutamaan syarikat yang bertukar-tukar.
Anda sedang menyiapkan projek A, tetapi tiba-tiba majikan anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut dan memberikan tumpuan kepada projek B. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berfikir bahawa anda tidak menyelesaikan tugas anda, tetapi majikan anda berfikir sebaliknya. Setengah orang adalah flexible dan senang untuk serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugas yang baru tetapi ada juga sesetengah orang yang akan merasa kecewa apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu projek. Jika anda adalah orang yang kedua seperti disebutkan tadi dan bekerja di dalam industri yang sepanjang masa akan berlaku perubahan, maka anda perlu mempertimbangkan untuk menukar kerjaya anda.
9. Anda ‘Burned out’
Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja. Ia mungkin kerana suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bermusuh antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan. Kesemua ini adalah antara sebab dan punca berlakunya tekanan jantung dan sakit-sakit yang lain.
10. Ganjaran bagi tugasan yang telah anda siapkan.
Anda mungkin seorang yang hebat kerana dapat menyiapkan tugas sebelum ataupun tepat pada masanya. Namun peliknya, kebanyakan organisasi menghadiahkan pekerja yang rajin dan bekerja keras itu dengan tambahan kerja yang lebih banyak menggantikan bonus atau faedah yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku di dalam organisasi anda, tidak mustahil anda akan merasakan tidak termotivasi untuk bekerja dengan lebih keras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan