KUALA LUMPUR, 31 Okt: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat (LPTWPP) yang mana di dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Belanda telah dihidangkan dengan suasana demokrasi dalam erti kata yang sebenar. Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, ini apabila melihat sendiri bagaimana satu demokrasi aman berlangsung di hadapan Pejabat Perdana Menteri Britian, David Cameron di Downing Street pada 23 Oktober yang lalu. Katanya, perhimpunan aman yang menentang kekerasan dan kekejaman Negara China ke atas penduduk Tibet yang kebanyakannya disertai oleh wakil penduduk tempatan Tibet. Bagaimanapun, ujarnya warga tempatan London yang prihatin dilihat turut menyertai perarakan sejauh 3 kilometer sebelum mereka berkumpul di seberang jalan menghadap pejabat Perdana Menteri Britian di Downing Street. Mereka, katanya melaungkan slogan serta kata-kata semangat menggunakan pembesar suara. Menurutnya lagi, mereka juga mengedarkan risalah berkaitan isu tersebut. “Pihak polis dilihat mengawal suasana perhimpunan dan rata-rata penunjuk perasaan bertindak mengikut arahan pihak berkuasa. Suasana himpunan berlangsung dalam keadaan aman,” katanya kepada Harakahdaily. Ini, tambahnya berlainan dengan situasi dengan negara kita di mana pihak berkuasa bertindak kejam dalam menghadapi perhimpunan aman. Menurutnya, modus operandi mereka dalam menyuraikan himpunan seolah-olah mereka berhadapan dengan musuh yang ‘bersenjata berat’. Beliau berkata, lihat sahaja bagaimana mereka bertindak di dalam kes himpunan aman Bersih 2.0 yang mana Parlimen juga mengesahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2 juta wang rakyat. “Bukankah ini satu pembaziran sedangkan jikalau Malaysia benar-benar memahami erti demokrasi yang sebenar?” katanya. Justeru, katanya Malaysia harus belajar daripada negara yang menjadi rujukan mereka dalam membentuk undang-undang yang menjadi ‘kiblat’ mereka sejak merdeka. Katanya lagi, kalau mengikutkan ‘method’ yang ditunjukkan sebagai mana yang dicontohkan oleh pihak berkuasa UK, sudah pasti dapat menjimatkan kos. “Barangkali tidak memerlukan kos sama sekali memandangkan berhimpun secara aman ada termaktud di dalam undang-undang,” katanya. Justeru, pihaknya berharap agar dapat Kerajaan Umno BN mencontohi apa yang berlaku di UK. “Janganlah jadikan pihak berkuasa ‘perkakas’ peribadi demi kepentingan ‘survival’ politik mereka yang semakin ‘pupus’ dan pihak berkuasa juga harus mencontohi apa yang berlaku supaya pihak berkuasa lebih berintegriti dan dipandang mulia di sisi masyarakat,” ujarnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kejayaan menganjurkan Ijtimak Tarbawi 2011 yang bermula pada 28 Oktober sehingga 30 Oktober di Dewan KUIZM, Taman Melewar dengan kehadiran ribuan peserta yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat jentera parti. “Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga melahirkan rasa syukur dan bangga kerana dapat memberikan kerjasama di dalam menjayakan penganjuran ini bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan. Tambahnya, lebih-lebih lagi ijtimak itu telah dapat menghimpunkan tokoh-tokoh Gerakan Islam Antarabangsa seperti Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Dr. Mehdi Akif, pemikir Ikhwanul Muslimin, Dr. Kamal Al Helbawi dan wakil Hamas, Palestin iaitu Syeikh Ahmad Najjar. Tidak ketinggalan juga, katanya Al Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut sama meraikan program ini dengan memberikan kuliah ilmu dan taujihat tarbiyyah yang telah mencetuskan motivasi semangat jihad dan perjuangan kepada para peserta ijtimak. Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta ijtimak yang hadir daripada seluruh negara yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat selain penglibatan muslimat yang sangat dahaga dan mendambakan ilmu tarbiyyah gerakan Islam. “Semoga program pentarbiyyahan yang dilalui dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan akan dapat memberikan kesan dan membekas di jiwa peserta bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam menelusuri perjuangan gerakan Islam ini,” katanya. Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan misi Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui ijtimak tarbawi kali ini dengan tema “Mantapkan Tarbiyah Menangi Pilihan raya” telah mencapai matlamat penganjurannya dan berkeyakinan bahawa seluruh peserta ijtimak telah bersedia sepenuhnya dari segi jasmani dan rohani untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang mendatang.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 31 Okt: Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan masalah yang berlaku tetap sama, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. “Kita boleh andai sebelum Laporan dikeluarkan, antaranya harga kerajaan bayar beratus kali ganda daripada harga pasaran, projek tidak siap, belanja lebih,” ujarnya kepada Harakahdaily. Ini, katanya adalah skema yang ada kepada urus tadbir kerajaan BN selama ini, walaupun Perdana Menteri bercakap soal transformasi tetapi tidak ada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN. “Kenapa pegawai kerajaan yang dituding jari? “Adakah mereka berani lakukan jika tidak ada arahan,” soalnya. Justeru, ujarnya adalah tidak elok kalau hendak menyalahkan pegawai kerajaan sahaja, sedangkan bapa menteri boleh tidur lena. Menurutnya, musibah yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dalam kes tuduhan pecah amanah wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), patut diambil iktibar. Beliau berkata, Dr Aziz terpaksa turun naik ke mahkamah sedangkan menteri tidak diapa-apakan, hanya kereta menteri sahaja yang dirampas. “Patutlah Laporan Audit 2010 diberi lewat kepada ahli Parlimen, sehingga selepas didesak. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu,” katanya. Tambahnya, Laporan Audit Negara telah tenggelam bajet gula-gula pilihanraya. Menurutnya lagi, jika Laporan Audit 2010 mengekalkan rekod yang sama, apalah yang hendak diharapkan dengan Belanjawan 2012. Baginya, pemimpin BN cuba hendak bermain silap mata, dengan kenyataan yang keras supaya diambil tindakan terhadap penyelewengan. Inilah juga, katanya kenyataan yang dikeluarkan setiap tahun selepas laporan audit dikeluarkan untuk meredakan kemarahan rakyat. Tambahnya lagi, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran. “Jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer. Katanya, ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi. Katanya lagi, kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membayar set pen yang berharga RM1146 sedangkan harga pasaran RM60, lebihan RM986. Begitu juga, ujarnya jek kereta harga pasaran RM50, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM1,664, lebihan RM1,614. Begitu juga, katanya dengan laporan audit untuk kerajaan negeri Pahang pada tahun 2009 di mana minyak kereta kerajaan ada yang diisi RM100 untuk satu liter. “Macam mana Proton Perdana kapisiti tangki hanya untuk 64 liter tapi kereta Perdana kerajaan Pahang boleh diisi 130 liter, apakah tangki kereta jenis stokin yang boleh kembang?” soalnya. Beliau berkata, laporan juga ada menyebut kereta yang sudah lupus tetapi kad untuk isi minyak masih digunakan. “Ini hanya contoh-contoh kelakar Laporan Audit Negara. “Persoalannya, kenapa masih tidak ada penambahbaikan, apakah ini transformasi Datuk Seri Najib?” tanya beliau lagi. Katanya, sebab apa berlaku demikian, jawapannya ikan busuk di kepala.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 31 Okt: 37 daripada 47 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibuat kajian oleh Jabatan Audit Negara dikenalpasti tidak membayar dividen pada tahun 2009, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Dividen yang dikeluarkan oleh 10 syarikat terbabit bagaimanapun didapati lebih rendah, iaitu hanya RM30.03 bilion, berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM30.04 bilion.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, di antara syarikat yang tidak membayar dividen itu, terdapat syarikat yang mencatat keuntungan besar selama 3 tahun berturut-turut termasuk Malaysia Bio Teknologi.
Menurutnya, 8 syarikat lain yang turut dikenalpasti tidak membayar dividen termasuk Sarawak Hidro dan Khazanah Nasional Berhad.
Katanya, di antara syarikat yang tidak membayar dividen itu, 6 daripadanya melaporkan mengalami kerugian, tetapi membayar bonus sehingga 3 bulan gaji kepada kakitangannya.
"Antara syarikat yang tidak membayar dividen dan yang melaporkan mengalami kerugian tetapi membayar bonus 3 bulan gaji itu termasuk Prasarana dan IWK," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Disebabkan hanya 10 syarikat sahaja yang membayar dividen, menurut beliau, kerajaan hanya memperolehi pulangan sebanyak RM90 bilion sahaja.
Beliau kesal kerana pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan tidak menjawab pertanyaan yang dibangkitkannya berhubung kewajaran kerajaan membuat pelaburan dalam satu sektor sahaja.
Persoalan itu dibangkitkan ekoran soalan asalnya yang meminta Menteri Kewangan menyatakan kedudukan terkini tentang prestasi pelbagai GLCs yang telah mengalami program tranformasi.
"Khususnya, apakah faktor-faktor kekangan yang masih memerangkap pelbagai GLC yang sehingga kini gagal dibaik pulih atau diturn-aroundkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Harakahdaily | GOMBAK, 31 Okt: Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM, petang semalam. Menurut Pengerusi WUFI UIAM, Muhammad Hafizuddin, motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa. Tambahnya, tindakan itu dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari. "Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima. “Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya. Menurutnya lagi, tindakan itu juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering mengganggu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan Hujah TV9 dan Prof Abd Aziz Bari. Ugut Aziz Bari Dalam masa yang sama, ujarnya berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya. Katanya, tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia. Menurutnya, mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz. "Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini," katanya. Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respons selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 31 Okt: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang menuntut kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap bantahan orang ramai tanpa mengira parti atau pertubuhan terhadap konsert artis antarabangsa, Elton John yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Genting Highlands. Yang Dipertuanya, Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, ini kerana ianya akan memberi kesan kepada sosio budaya masyarakat setempat terutama remaja melayu Muslim. Katanya, seseorang yang telah menjadi ikon kepada golongan gay atau homoseksual yang sememangnya bertentangan dengan Islam dan nilai murni masyarakat bertamadun tidak harus dibenarkan untuk membuat pertunjukan konsert di negara ini kerana ianya akan menjadi ikutan atau idola kepada remaja yang kini dilaporkan menghadapi krisis kecelaruan identiti yang membimbangkan. Tambahnya, gesaan tersebut dibuat kepada kerajaan negeri kerana konsert tersebut akan diadakan di Genting Highlands yang berada dalam negeri Pahang yang sudah pasti pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa wewenang untuk menghalanginya daripada berlaku. “Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya bimbang kepada kebebasan bukan Muslim kerana majoriti bukan Muslim yang berpegang kepada agama dan nilai murni manusia bertamadun juga tidak akan suka muda mudi mereka terpengaruh dengan cara hidup gay dan mereka hidup dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, kebebasan beragama kepada yang bukan Islam dalam perlembagaan adalah berkaitan dengan upacara atau amalan agama bukan Islam tetapi bukan cara hidup songsang yang mengenepikan semua nilai agama. Beliau berkata, Isma Pahang menuntut supaya konsert tersebut dinilai semula dan diambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berulang sebanyak dua kali yang mana kali pertama diadakan oleh artis antarabangsa Adam Lambert pada tahun lepas. “Konsert yang dirancang daripada kumpulan artis gay ini menunjukkan seolah-olah ada pihak tertentu ingin membuat promosi gaya hidup songsang (gay) mereka ke negara Malaysia,” ujarnya.
Nazri Abdullah | GOMBAK, 30 Okt: Ijtimak Tarbawi 2011, Deawan Pemuda PAS Pusat yang berakhir petang tadi melabuhkan tirainya dengan satu komitmen untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.
Bercakap selepas menyampaikan ucapan penutup petang tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, anggota dewan itu hari ini pulang dengan semangat berkobar-kobar untuk berkerja seperti 'pilihan raya minggu ini'.
"Apa yang kita dapat dari ijtimak ini akan diteruskan bila balik ke kawasan masing-masing.
"Jentera pemuda akan fokuskan gerak kerja pilihan raya seolah-olah pilihan raya akan dilaksanakan minggu ini. Kita kena 'all out'," katanya kepada Harakahdaily.
Sementara itu, kira-kira 6,000 peserta dari seluruh negeri hadir ke ijtimak kali ini.
Mereka berkampung di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad selama tiga hari sejak Jumaat lalu dengan pelbagai pengisian tarbiah diatur penganjur.
Selain pemimpin utama PAS, peserta juga didedahkan dengan pengalaman jemaah Islam luar negara seperti oleh wakil Hamas dari Palestin dan wakil Ikhwanul Muslimin dari Mesir.
Menyifatkan ianya sebagai mencapai sasaran, Nasruddin berkata ianya akan dijadikan acara tahunan dewan itu.
"Ijtimak ini adalah untuk membentuk pelapis di kalangan pemuda yang utuh prinsip perjuangan Islamnya.
"Kita anggarkan cecah 6,000 yang hadir kali ini sekaligus mencatat sejarah paling ramai berbanding tahun lepas," katanya.
Untuk rekod, Ijtimak Tarbawi kali pertama tahun lalu diadakan di Terengganu. | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan