Rabu, 5 Oktober 2011

BILA PERBUATAN DOSA TIDAK RASA DOSA...SEBAB DAH BIASA..ADA RASA BUANG RASA DOSA ITU JAUH-JAUH...JADI BILA NAK BERUBAH

Hukum bercumbuan tanpa zina | Print |
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Soalan: Assalamualaikum..saya nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina? Adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? Apakah Allah akan mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua? Saya kurang jelas tentang hal ini..

Jawapan: Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu:

  1. Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
  2. Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
  3. Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
  4. Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
  5. Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
  6. Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.

Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;

  • Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
  • Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
  • Bertekad tidak akan mengulangi lagi.

Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516)

Wallahu a’lam.

Sumber: http://www.islamituindah.my


Kerja melibatkan bersalaman dengan wanita | Print |
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Soalan: Saya bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa yang melibatkan pergaulan dengan wanita dan kadang-kadang terpaksa bersalaman dengan wanita. Saya pernah tunduk untuk mengelakkan bersalaman namun bagi wanita asing mereka akan menimbulkan persoalan yang agak negatif.

Pertama: Adakah rezeki saya dikategorikan daripada sumber yang syubhah?

Kedua: Adakah terdapat cara terbaik untuk terus bekerja di syarikat seperti ini atau perlukah saya berusaha untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain?

Jawapan: Pergaulan antara lelaki dan wanita di tempat kerja sudah menjadi satu fenomena biasa pada hari ini, dan tergolong dalam kategori “umum al-balwa” (bahaya dosa yang sukar dielakkan). Namun begitu tidak semua jenis percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja itu jatuh dalam kategori haram. Jika pergaulan itu dapat dikawal sebaiknya, dosa masih boleh dielakkan. Apa yang penting, semua aspek komunikasi yang meningkatkan syahwat, menggoda, mendedahkan aurat, pandangan nafsu dan sentuhan adalah antara faktor dosa yang boleh berlaku di tempat kerja.

Walaupun begitu, gaji seseorang tidak semestinya menjadi haram disebabkan tingkah laku dosanya di tempat kerja kecuali apabila ia culas dan “mencuri tulang” semasa melaksanakan tugasan utamanya.

Sebagi contoh, seorang yang bertugas selaku pensyarah IT di sebuah universiti, tentu gajinya halal. Malah sekiranya dia culas dan melakukan maksiat seperti tidak solat, bergaul bebas dengan wanita di tempat kerja, gajinya masih halal. Hal ini kerana maksiat itu bukanlah bidang tugasnya, cuma perbuatan maksiat itu adalah dosa secara berasingan dan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada rezeki dan keberkatan pendapatannya. Namum jika si pensyarah ponteng daripada tugasan mengajarnya tanpa sebab munasabah, menyelewengkan anak muridnya semasa pengajiannya, tatkala itu gajinya boleh berubah menjadi haram.

Adapun isu berjabat tangan antara lelaki dengan wanita telah lama diperdebatkan dalam kalangan ulama. Majoriti mazhab dan ulama kontemporari berpandangan ia haram kerana ia tergolong dalam kategori perilaku yang boleh membawa kepada zina. Allah secara jelas telah melarang kita agar jauhkan diri daripada mendekati zina.

Selain itu, terdapat beberapa hadis lain yang menyokong ijtihad ulama ini seperti hadis bahawa Nabi tidak pernah menyentuh wanita bukan mahram hatta ketika berbalah. Ada hadis yang menyatakan besi di atas kepala lebih baik daripada sentuhan dengan wanita bukan mahram dan sebagainya. Namun, saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan berkenaannya dalam ruangan terhad ini.

Ada sebahagian kecil ulama khususnya ulama kontemporari, berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita dibenarkan tanpa syahwat, yang dimulai oleh orang lain (bukannya kita). Contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di hadapan orang ramai yang mana jika tidak disambut boleh mengaibkannya, dan beberapa syarat lagi.

Apa pun hujah kedua-dua pihak, berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat serta para solihin. Namun begitu, jika berlaku dalam kerjaya seseorang, kehalalan gaji seseorang tidak tertakluk kepada hal tersebut tetapi gajinya tertakluk kepada bidang tugas utama dalam kejayanya dan cara perlaksanaan yang dilakukan. Jika dilakukan secara “culas” dan sambil lewa, status halal gajinya akan terkesan.

Berkenaan sama ada perlu atau tidak berhenti kerja kerana hal itu, saya kira tidak perlu. Apa yang perlu dilakukan adalah cuba mengawal aktiviti yang melibatkan dosa itu dan elakkan daripada kekerapan berlakunya. Pada masa yang sama memperbanyakkan istighfar dan taubat secara berterusan. Namun, jika ada kemudahan dan peluang untuk mendapat kerjaya lain yang lebih minimum terdedah dengan hal sedemikian, sudah tentu ia lebih baik unutk berhijrah.

Sumber: http://www.islamituindah.my


Rais tidak harus berbohong macam Utusan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Datuk Seri Rais Yatim tidak seharusnya berbohong seperti Utusan Malaysia, sebaliknya harus membuktikan mana satu program rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dihadirinya mengenepikan Bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) berkata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu telah membuat kenyataan palsu yang berbahaya bahawa program rasmi yang dihadiri beliau di Pulau Pinang hanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Rais seharusnya tidak berbohong seperti Utusan Malaysia; sebaliknya beliau harus membuktikan mana satu program rasmi anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang meminggirkan Bahasa Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Lim mengesyaki bahawa program rasmi yang dirujuk oleh Rais adalah satu program di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang di mana beliau menjadi tetamu kehormat mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 September lepas.

Beliau mengingatkan Rais bahawa Kolej Han Chiang merupakan kolej swasta dan program tersebut dianjurkan oleh Han Chiang dan bukannya kerajaan negeri.

Katanya, kenyataan Rais bahawa beliau seorang sahaja menggunakan Bahasa Kebangsaan dan sedikit sahaja Bahasa Inggeris adalah tidak benar.

“Saya juga turut bercakap menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin.

“Mengapa Rais tidak menyebut bahawa saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia?” soalnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Katanya, jika Rais tidak berasa gembira dengan program yang dianjurkan oleh Kolej Han Chiang, mengapa beliau tidak menyampaikan rasa tidak puas hati tersebut kepada Han Chiang.

“Mengapa beliau tidak menuntut penjelasan daripada Han Chiang?” tanya Lim.

Sebaliknya, kata beliau Rais memilih untuk tidak berlaku adil dengan menyalahkan kerajaan negeri untuk program yang dianjurkan oleh sebuah kolej swasta.

Katanya, kenyataan palsu terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu jelas bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman kononnya Pulau Pinang tidak menghargai Bahasa Malaysia.

“Kenyataan sebegini tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional. Rais turut menggesa orang Melayu di Pulau Pinang supaya membangkitkan isu tersebut,” katanya lagi.

Lim menambah, jika Rais boleh membuktikan mana satu program rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dihadiri beliau tidak menggunakan Bahasa Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan bagi membetulkan kesalahan tersebut.

Walau bagaimanapun, ujar Lim sekiranya Rais gagal untuk membuktikannya, maka beliau harus menarik balik dan meminta maaf atas kata-kata tersebut.

Jika tidak, kata Lim lagi, Rais akan dituduh sebagai seorang yang tidak bermaruah dan yang bersikap perkauman kerana cuba membangkitkan sentimen perkauman.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan kekecewaan terhadap percubaan sistematik dan bersiri yang dilakukan untuk melemahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja berbau perkauman tetapi juga jelas merupakan satu pembohongan,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun pilihan raya umum dijangkakan menjelang tiba, pembangkitan isu perkauman bukan sahaja satu cubaan terdesak tetapi juga perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan masyarakat.

Walaupun BN mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, ujar Lim kemenangan itu harus bermaruah dan berdasarkan kebenaran, bukan pembohongan.

“Saya terkejut dengan serangan terbaru BN terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan peribadi saya sendiri.

“Saya tidak akan membalas serangan peribadi Rais terhadap saya,” tegasnya.

Serangan Rais itu, katanya mengekori laporan merapu dalam The New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia pada 2 Oktober lalu bahawa ada kemungkinan yang saya telah mendedahkan rahsia negara kepada pemimpin Singapura dalam satu majlis makan malam.

Menurut Lim, laporan tersebut turut mempersoalkan kesetiaannya kepada negara.

“Saya tidak faham mengapa kesetiaan saya kepada Malaysia turut dipersoalkan seperti mana yang dilaporkan dalam NST apabila saya tidak mempunyai status pemastautin tetap di negara Australia walaupun saya merupakan graduan lulusan Universiti Monash.

“Kenapa laporan NST tidak pula mempersoalkan kesetiaan pemimpin-pemimpin BN yang mempunyai status PR di Australia?

“Datuk Seri Rais, bola berada di gelanggangmu. Apa kata anda?” soalnya.


Buah diperam dengan carbide tidak selamat dimakan
SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.

Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal. Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.

Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan. Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ianya selamat.

Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.

Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah. Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.

Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.

Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi. Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma. Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.

Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Penulis adalah Presiden CAP.


Pakatan sedia RM1,000 kepada warga emas | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu perbentangan Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat menjelaskan selaras dengan tema 'Kesejahteraan Untuk Semua', Pakatan Rakyat (PR) sentiasa memandang tinggi dengan apa yang telah disumbangkan oleh golongan warga emas sejak sekian lama.

Beliau mengatakan PR akan melaksanakan bantuan-bantuan untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

"Kepada golongan warga emas kerajaan PR akan melaksanakan bayaran bonus sebanyak seribu ringgit setahun kepada mereka yang layak berdasarkan pendapatan kurang dari lapan belas ribu setahun.

"Ia dijangka akan menelan belanja sebanyak RM1.7 bilion setahun dan ia difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang," jelasnya.

Tambah Anwar lagi, selain seribu ringgit kepada warga emas PR juga akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak seribu ringgit kepada mereka yang layak dan ini akan mengurangkan bebanan keluarga serta mengalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Melalui bayaran kepada suri rumah sebanyak RM2 bilion diperuntukan," tambahnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

PR juga memperuntukan sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini dan ia dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

Dalam pada itu tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia terus sampai kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan disekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu.

Anwar menjelaskan penghapusan ini termasuklah subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan.

"PR juga akan menyediakan bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550 dan ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

"Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diselaraskan kepada RM550 sebulan dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan," katanya lagi.

Anwar yang membentangkan Belanjawan 2012 PR di Bilik Taklimat Parlimen itu menjelaskan realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa tapi hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

Jelasnya golongan mahakaya 'super rich' membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pence dan pendapatan mereka semakin mengecil.

"Golongan rakyat terpaksa mengikat perut sedangkan golongan mahakaya ini seronok meancong dan membeli belah beg-beg tangan dan cincin permata," selorohnya lagi.

Potong elaun PM RM10b

Dalam pembentangan itu dalam usaha menjamin kelangsungan kewangan negara juga mensasarkan pemotongan belanjawaan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion.

Katanya, pemotongan itu dapat mengembalikan peruntukan tersebut kepada kementerian-kementerian lain.

"Melalui pemotongan ini, peruntukan tersebut akan dikembalikan kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan dapat mengurangkan kecenderungan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri.

"Dalam pada sasaran juga diletakkan dalam mengekang desifit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012 berbanding sasaran-sasaran yang dilihat menyimpang sebelum ini," jelasnya di parlimen hari ini.

Tambah Anwar lagi, selain itu juga walaupun keuntungan Petronas dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat kenaikna harga minyak mentah, kadar dividen dari Petronas akan diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari yang di amalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Ini bertujuan untuk memastikan Petronas mempunyai sumber yang mencukupo untuk berkembang serta menjamin masa depan negara.

"Usaha untuk meningkatkan pertambahan pendapatan negara, PR akan melaksanakan penjualan lesen import (AP) melalui proses lelongan dengan jangkaan pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion," katanya.

Dalam pada itu konsep tender terbuka juga akan dilaksanakan oleh PR dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu-Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit.

Kementerian Pertahanan juga akan diperkasakan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara dengan menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata.

Anwar memberitahu PR juga meletakkan tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

"Kelangsungan kewangan dan defisit bukan hanya menegaskan persoalan melebarkan jaringan percukaian, ia perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu.

"Mengembalikan hidup sama rata, PR akan mengembalika cukai-cukai eksais dan duti yang telah dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah," sambungnya lagi.

PR berharap melalui pengembalian cukai tersebut maka soal kewangan negara dapat diperkemaskan kembali.


BN terus tindas Orang Asal | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan BN ternyata terus menindas Orang Asal apabila masih belum meminda sebarang undang-undang untuk menjaga tanah mereka, walaupun telah 54 tahun memegang tampuk pemerintahan di negara ini.

Disebabkan perkara itu, tanah-tanah Orang Asli boleh diceroboh dengan mudah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, memandangkan Orang Asli sendiri tidak mempunyai sebarang hak di sisi undang-undang untuk mempertahankan hak mereka.

Pesuruhjaya Suhakam, Jannie Lasimbang menegaskan, keadaan itu berbeza berbanding Orang Asal atau Orang Asli di Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai undang-undang khusus untuk menjaga tanah mereka di bawah undang-undang Tanah Adat.

Menurut beliau, ketiadaan undang-undang khusus bagi menjaga tanah Orang Asli di Semenanjung tidak sepatutnya berlaku kerana mereka juga sepatutnya mempunyai undang-undang tersendiri berhubung perkara itu seperti juga kaum-kaum lain di negara ini.

Kata, jika Orang Asli di Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang berhubung dengan tanah, memang pelik jika di Semenanjung Malaysia sebaliknya pula.

"Orang Asal atau Orang Asli di Semenanjung sememangnya telah lama sedar mengenai perkara itu dan mereka sering menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenainya kepada pihak Suhakam.

"Suhakam juga sedar perkara ini. Oleh itu, Suhakam telah pun memberikan cadangan kepada pihak kerajaan supaya menggubal undang-undang khusus mengenai tanah Orang Asli bagi menjaga kebajikan mereka," katanya pada sidang media di pejabat Suhakam, di sini, hari ini.

Ketiadaan undang-undang khusus terhadap tanah Orang Asli di Semenanjung, menurut beliau, menyebabkan tanah-tanah mereka semakin hari semakin banyak diceroboh oleh pelbagai pihak termasuk untuk pembangunan, pembinaan industri dan sebagainya.

Katanya, walaupun mereka berusaha menghalangnya, tetapi mereka gagal bertindak lebih jauh untuk mempertahankan hak mereka disebabkan tidak dapat dirujuk dengan sebarang undang-undang untuk mereka mempertahankan hak mereka.

"Bayangkanlah betapa rumitnya hidup mereka. Disebabkan perkara itu, tak mustahillah jika mereka sering merungut mengenai perkara itu.

"Jika Orang Asal di Sabah dan Sarawak yang ada undang-undang pun turut mengalami kepayahan kerana tanah-tanah mereka sering diceroboh, apatah lagi Orang Asli di Semenanjung yang tidak diberikan kebajikan dari sudut undang-undang mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasny Agam pada sidang media itu turut menjelaskan, ketiadaan undang-undang bagi tanah Orang Asli menyebabkan pelbagai kebajikan lain terhadap kaum itu terus terabai.

"Dengan itu, tidak hairanlah jika Orang Asli di negara ini termasuk dari Semenanjung masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain termasuk dari segi pelajaran dan ekonomi," tegasnya.

Perkara itu, jelas beliau, tidak boleh dibiarkan oleh pihak kerajaan kerana Orang Asli seperti juga kaum-kaum lain tetap mempunyai hak asasi mereka sendiri yang perlu dijaga.

"Selain memberikan hak asasi kepada mereka, setiap pihak perlu juga menghormati hak mereka itu kerana setiap pihak mempunyai hak asasi mereka sendiri yang perlu difahami oleh setiap pihak," tegas beliau.

Tiada ulasan: