Khamis, 13 Oktober 2011

UNDANG2 ALLAH DIRAGUI ATAU DISEKAT UNTUK DILAKSANAKAN...UNDANG2 DIBUAT SENDIRI TIDAK PATUHI...LANGGAR SEMACAM UNTUK KEPENTINGAN...ROSAK2 MEMANG ROSAK.

Peneroka diugut tarik balik saman Felda | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Lima peneroka Felda Palong 9, Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan supaya menarik semula saman mereka terhadap Felda.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Ladang Gedes Jempol, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Menurut Peguam T Kumar seperti dipetik KeadilanDaily, peneroka tersebut diugut tidak akan menerima bantuan daripada pihak pengurusan Felda, seperti surat sokongan untuk sekolah anak-anak jika tidak menarik balik saman tersebut.

“Dalam masa beberapa minggu, pihak pengurusan datang dari rumah ke rumah bersama dengan ketua cawangan (Umno). Amaran yang diberikan kepada peneroka merupakan ugutan secara tidak langsung dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada KeadilanDaily.

7 Julai lalu, seramai 113 peneroka memfailkan saman terhadap Felda kerana kecuaian pemberian tender menebang kayu getah.

Mereka menamakan sembilan defendan, antaranya Felda, pengurus Felda Palong 9, Saleh Muhidin, dan ketua kampung, Osman Parman yang juga ketua cawangan Umno.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, kumpulan itu berkata pengurus Felda dan anggota JKKR pada satu mesyuarat 16 Mac tahun lalu telah memutuskan projek untuk memproses pokok getah yang ditebang akan dianugerah menerusi tender terbuka dan diberi kepada pembida tertinggi.

Pegawai khas pengarah Felda, Datuk Ramli Ismail, juga hadir pada mesyuarat itu, kata kenyataan tuntutan mereka.

Bagaimanapun, kontraktor dilantik Felda, Syarikat LBJ Global dianugerahkan projek itu pada harga bidaan RM8,205 sehektar atau RM33,000 bagi setiap peneroka iaitu paras harga yang lebih rendah daripada harga siling yang dipersetujui.

Mereka mendakwa Felda telah abai dan cuai menjaga kepentingan plaintif-plaintif yang telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan kehilangan.

Malah mereka juga mendakwa Felda dan pengurusnya ‘membuat representasi dan salah nyata’ bahawa harga RM33,000 bagi setiap peneroka adalah harga paling tinggi dan berpatutan mengikut harga pasaran.

Setiap peneroka mempunyai kawasan seluas 10 ekar (empat hektar).


Cari dana bola sepak daripada GLC | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menyarankan kerajaan mencari dana daripada syarikat GLC untuk mengatasi masalah kekurangan dana bola sepak.

"Hari ini bola sepak negeri dan kelab menanggung kos begitu tinggi kalau nak dibandingkan pencapaian bola sepak tempatan, contohnya Liga Super hanya dapat RM500 ribu sedangkan kos yang ditanggung RM4 juta hingga RM5 juta menyebabkan pihak swasta tak berminat buat pelaburan dalam bola sepak tempatan.

"Kita minta FAM boleh cari dana khas seperti daripada GLC untuk beri penajaan utama," katanya yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan ahli Parlimen Bayan Baru, Mohamad Zahrain Hashim agar kerajaan menggunakan cukai rokok dan arak untuk membiayai sukan bola sepak sebagai cadangan terkebelakang.

Firdaus yang juga Timbalan Presiden Bola Sepak Melayu Kedah berkata, kerajaan tidak perlu menerima cadangan tersebut kerana mereka pernah menjalankan kempen ‘katakan tak nak kepada rokok’ dan ‘remaja sihat tanpa rokok’.

"Cadangan itu tidak perlu diterima kerajaan Malaysia kerana FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) telah menolak penajaan utama Dunhill yang ingin memberikan RM40 juta setahun disebabkan kempen katakan tak nak pada rokok dan remaja sihat tanpa rokok.

"Ini cadangan yang patah ke belakang, seolah-olah rokok dan arak sahaja boleh semarakkan bola sepak tempatan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Firdaus berkata, Zahrain mungkin memikirkan masalah bola sepak di negerinya memandangkan beliau merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Namun katanya, semua negeri mempunyai masalah kekurangan dana untuk sukan popular itu.

"Sebenarnya semua negeri berhadapan situasi yang sama cuma saya tak bersetuju untuk menjadikan hasil arak dan rokok untuk perbelanjaan bola sepak.

"Kita kena ingat budaya kita dan kita telah berjaya memisahkan rokok dengan penajaan sukan negara kita," katanya.

Zahrain pada sidang media sebelum itu meminta kerajaan menggunakan kutipan cukai rokok dan arak untuk meningkatkan pendapatan sukan tersebut.


Sedia pakar bedah seluruh negara | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Kerajaan BN, khususnya Kementerian Kesihatan, diminta lebih prihatin terhadap masalah kesihatan rakyat dengan menyediakan pakar bedah yang mencukupi di seluruh negara.

Ahli Parlimen Pkok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, sehingga kini negara kita ternyata masih kekurangan pakar-pakar bedah termasuk di hospital-hospital utama di negeri-negeri di seluruh negara.

Menurut beliau, realiti itu antara lain boleh dirujuk di Hospital Besar Alor Star, Kedah yang ternyata amat kekurangan pakar bedah sejak dulu.

Katanya, keadaan itu amat menyusahkan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan daripada pakar bedah sehingga menyebabkan mereka terpaksa mendapatkannya di hospital-hospital di negeri lain.

"Di Kedah katakan, disebabkan tak ada pakar bedah, takkanlah orang ramai mesti menyeberang Jambatan Pulau Pinang sepanjang masa untuk mendapatkan perkhidmatan pakar bedah di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian ketika mencelah ucapan Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bacaan kali kedua pada Persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Mahfuz, kekurangan pakar-pakar bedah itu pasti amat dirasai oleh rakyat, setelah mereka juga dikenakan bayaran setiap kali ke hospital-hospital kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan walaupun sebanyak RM1.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pula ketika bangun mencelah kesal dengan sikap isteri Duta Besar Malaysia ke Filipina.

Dalam satu kenyataannya baru-baru ini, menurut beliau, isteri Duta Besar Malaysia ke negara itu telah secara terang-terangan mengutuk salah seorang pejuang yang dihormati di negara itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, meskipun Duta Besar Malaysia Ke Filipina sendiri tidak melakukannya, tetapi isterinya yang terlebih sehingga tergamak mengutuk pejuang di Filipina.

"Sikap isteri Duta Besar Malaysia ke Filipina itu jelas menunjukkan beliau lebih berkuasa daripada suaminya sendiri. Di negara kita juga terdapat isteri yang lebih berkuasa daripada suami seperti itu," katanya kesal dengan nada menyindir.


Resort didakwa kumpul pendatang dapat IC dikepung | Print |
Nazri Abdullah

SEPANG, 12 Okt: PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa (gambar) berkata pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Kepung resort

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.

"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Sumber dalaman

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini.

"Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok.


Mahkamah lepaskan pemuda miliki baju T Bersih 2.0 | Print |
Aslani M

BACHOK, 12 Okt: Aktivis masyarakat, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0 pada Julai lalu hari ini dilepas tanpa dibebas Mahkamah Majistret Bachok.

Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor melepaskan tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wong memaklumkan mendapat arahan Jabatan Peguam Negara supaya tidak meneruskan kes itu.

Ekoran arahan tersebut majistret kemudian melepas tanpa membebas tertuduh. Hadir bersama di mahkamah ahli-ahli keluarga dan pimpinan Pemuda PAS Bachok.

Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff, Mohd Alami Lazim dan Mohd Abd Rashid Yah.

Mohd Amizul yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok didakwa mempamer baju T bertulis Bersih 2.0 di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Pauh, Mahligai, Bachok pada awal Julai lalu.

Beliau kemudian ditahan reman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok dan didakwa di mahkamah pada 5 Julai di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000.

Pendakwaan terhadap Mohd Amizul difahamkan merupakan kes pertama membabitkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Sebelum ini pada 26 September lalu seorang peniaga, Zakaria Che Will, 40, yang didakwa menjual sebanyak baju-T berwarna kuning bertulis Bersih di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu pada juga dilepas tanpa dibebaskan.

Perbicaraan kes tersebut diadakan di Mahkamah Majistret Tumpat di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor.

Zakaria diwakili peguam Hatman Abdullah, Mohd Ab Rashid dan Mohd Murtaza Mokhtar, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.

Pada akhir Jun lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussien menyifatkan orang yang memakai baju berkaitan Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu sebagai haram.

Sehingga akhir Jun lalu 85 individu ditahan atas dakwaan menjalankan aktiviti mempromosi perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.


Kaji semula undang-undang tangani jenayah | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Okt: PAS meminta kerajaan mengkaji semula undang-undang yang digunakan di negara ini dalam menangani masalah jenayah yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan undang-undang yang digunakan sekarang sehingga kadar jenayah, rasuah, dan maksiat seolah-olah tidak terbendung lagi.

"Dalam aspek keamanan dan keselamatan, kita melihat kadar jenayah meningkat, rasuah tak boleh diatasi, maksiat juga berlaku.

"Oleh itu kerajaan mesti mengkaji semula undang-undang yang diamalkan hari ini, mungkin undang-undang ini tidak berkesan," katanya yang juga ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sudah sampainya kerajaan memperkenalkan undang-undang yang mengutamakan syariat Islam melalui institusi agama yang ada di negara ini.

"Kerajaan perlu muhasabah dan kenalkan syariat Islam kepada masyarakat. Kita ada Ikim (Institut Kefahaman Islam Malaysia), ada mufti dan boleh perkasakan aktiviti mereka untuk atasi masalah jenayah kerana keamanan merupakan satu rukun penting dalam negara yang bertamadun," katanya.

Agih hasil sumber dengan betul

Selain itu, beliau yang juga Adun Rhu Rendang mendakwa kerajaan gagal menguruskan hasil bumi negara mengikut formula Islam yang akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

Memberi contoh pemberian royalti petroleum kepada negeri yang terlibat, beliau berkata kerajaan hanya memberikan lima peratus daripada jumlah hasil yang diperoleh sedangkan mengikut Islam ianya harus diberikan sebanyak 20 peratus.

"Ini menunjukkan di sana ada kebocoran dalam kita memanfaat hasil bumi yang dikurnia Allah. Amat malang negeri yang banyak hasil minyak sebagai contoh Sabah, Sarawak dan Terengganu tetapi kadar kemiskinannya tinggi.

Islam telah menganjurkan rumus iaitu 1 per 5 iaitu 20 peratus diberi kepada negeri yang punya hasil sebagai sumbangan untuk selesaikan masalah rakyat

"Kerajaan beri 5 peratus adalah tak cukup dan itu pun pengendalian tak betul, tak turun kepada rakyat walaupun Perdana Menteri kata BN menunjukkan satu amal kebajikan kepada rakyat," katanya.

Hapus riba

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan menghapuskan sistem riba yang didakwa akan menyebabkan negara terbeban dengan hutang.

"Saya mengalukan usaha memperkasa perbankan Islam tetapi dalam masa yang sama kita tidak berusaha ke arah menghapuskan riba yang diharamkan Islam yang berlaku dalam mualmalat dan kita kena sedar bagaimana mualamat inilah yang menjahanamkan ekonomi dunia," katanya.

Selain itu katanya, Islam menganjurkan kutipan cukai berdasarkan produktiviti dengan tidak membebankan rakyat miskin.

Namun katanya, apa yang berlaku kerajaan mengenakan cukai kepada semua golongan misin termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

"Cukai boleh melibatkan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat miskin contohnya tol jalan raya melibatkan paling banyak pengguna jalan raya.

"Bukan tidak perlukan tol tapi jangan naikkan sebaliknya berusaha untuk menurunkan tol dan sehingga boleh dihapuskan," katanya.

Tiada ulasan: