Sabtu, 29 Oktober 2011

TAKDIR KEDEPAN ALLAH SAJA YANG TAHU...CUMA MANUSIA MENJANGKAKAN..AGAK2 SAJA..INI DILIHAT DARI SIKAP KITA...TAK MENGENANG BUDI....

Ibrahim Ali akan tewas pada PRU 13 | Print |
Muhammad Yusri Amin
PASIR MAS, 29 Okt: Datuk Ibrahim Ali akan tumpas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti di parlimen Pasir Mas.

Justeru, jentera pilihan raya PAS kawasan tidak gentar walau siapa pun calon yang bertanding dari Barisan Nasional bagi Parlimen Pasir Mas.

Yang Dipertua PAS kawasan, Hanipa Ahmad berkata keyakinan itu disebabkan pada asalnya kawasan Parlimen Pasir Mas adalah ‘kubu’ PAS.

“Kita yakin kali ini kalau kita berhadapan dengan BN walau siapa pun calon BN, kita yakin insya Allah kita akan menang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Dividen Ladang Rakyat Kawasan Parlimen Pasir Mas di pejabat PAS kawasan di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Abdul Halim Abdul Rahman yang juga Adun Chetok dan Dr Muhammad Mat Daud yang juga Adun Tendong.

Hanipa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata parlimen Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum lalu ditandingi Ibrahim Ali dengan menggunakan tiket PAS dan itu kira ‘selesai’.

Beliau berkata, pimpinan PAS sentiasa patuh kepada arahan daripada pimpinan.

“Sekarang ini kita berkemungkinan besar dalam PRU-13 akan berhadapan dengan Datuk Ibrahim Ali yang akan menggunakan ‘dacing’. Itu kemungkinan besar.

“Jadi kita sudah bersip sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Kita telah membuat persiapan rapi, kita menguatkan jentera Dun masing-masing, di samping menguatkan jentera pilihan raya kawasan dengan mengadakan siri kursus tertentu,” katanya.


Demo mahasiswa jika UiTM gantung Khalid | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan amaran penggantungan pengajian oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam terhadap Khalid Mohd Ismath.

Penyelarasnya, Wan Farel berkata, ini berkaitan tulisan beliau dalam blognya yang "menghentam" pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari dan terlibat dengan demonstrasi aman kebebasan akademik di UIAM, baru-baru ini.

Katanya, sedangkan pihak pentadbiran UIA sendiri sudah melepaskan Professor Dr Aziz Bari membuktikan tindakkan UIA tidak berlandas kepada peraturan.

“Di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka?” soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil 'pembonsaian minda' terhadap mahasiswa.

Tambahnya, SAMM Segmentasi Mahasiswa berpendapat tindakan amaran penggantungan yang dikenakan kepada saudara Khalid Mohd Ismath adalah satu tindakan yang zalim dan tidak relevan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang terkandung dalam perlembagaan perkara 10(1)(B).

Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Menurut sumber tertentu melalui tulisan di blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai tidak patut memandangkan Prof Abdul Aziz digantung sebelum dibicarakan lantas Khalid mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan pentadbiran UIA Selasa lalu.

“Perkara ini membuktikan, hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan jelas telah dilacurkan oleh pihak Universiti atas tindakan memanggil Saudara Khalid dan mengarahkan beliau memadamkan tulisan di blognya,” kata Farel lagi.

Menurutnya, atas desakan pihak universiti Khalid terpaksa akur dan memadamkan tulisan yang ditulis di blognya.

Tambahnya, jika sebelum ini ada pihak yang cuba membangkitkan bahawa kuasa mahasiswa atau kehebatan mahasiswa tidak sehebat seperti era 70-an, namun sebenarnya yang “membisukan” suara mahasiswa adalah sikap pentadbiran seperti yang ditunjukkan UiTM dan juga Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang jelas masih mencengkam suara mahasiswa.

“Amaran keras buat pihak pentadbiran UiTM sekiranya mengambil tindakan terhadap Khalid, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran dan akan bekerjasama dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mendesak keadilan kepada Saudara Khalid,” katanya.


FAM layan peminat bola macam pengemis sukan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Walaupun diasak oleh peminat sukan tanah air terutamanya penyokong bolasepak kedua-dua pasukan finalis yang merebut Piala Malaysia iaitu Terengganu dan Negeri Sembilan malam ini, FAM selaku badan induk sukan bolasepak negara tetap tidak berundur dari keputusan meletakkan harga tiket dengan harga yang tidak munasabah iaitu RM50 bagi seorang penonton.

“Harapan peminat bolasepak tanahair supaya FAM pertimbang harga tiket hancur lebur apabila langsung tidak diendahkan malah peminat dilayan seumpama pengemis sukan.

“Sukan bolasepak adalah sukan rakyat, juga sukan utama bagi anak muda,” kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

SAMM, katanya selaku kumpulan anak muda penggempur apa jua kebiadapan entiti terhadap rakyat, memberi amaran kepada FAM supaya tidak terlalu ghairah mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat.

Menurutnya, peminat bolasepak tersepit di antara cinta terhadap sukan bolasepak dan tekanan kewangan dari FAM.

Tambahnya, tindakan FAM meletakkan harga RM50 adalah sama sekali tidak wajar.

Harga tersebut, ujarnya adalah di luar kemampuan rakyat terbanyak dan FAM seolah-olah menafikan harga yang lebih selesa buat penonton yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap sukan bolasepak negara, setelah banyak perbelanjaan lain seperti kos perjalanan termasuk petrol dan tol perlu dikorbankan peminat.

“Tidakkah timbul rasa kasihan FAM kepada penyokong bolasepak negara untuk mengurangkan sedikit kenaikan harga tiket berbanding harga tahun sebelumnya?” soalnya.


Pembangunan: Penduduk mesti diutamakan | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 hari ini berakhir dengan beberapa resolusi yang dicapai hasil pembentangan kertas kerja dan sesi dialog dengan wakil-wakil penduduk.

Resolusi yang dibacakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di akhir konvensyen di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu mengandungi beberapa desakan terhadap kerajaan untuk mengutamakan penduduk dalam setiap pembangunan yang dilakukan khususnya melibatkan kampung tradisi Melayu.

Penduduk harus diletakkan sebagai keutamaan dan pembangunan yang dirancang pula perlu bersifat menjaga kebajikan serta kualiti kehidupan penduduk.

Ia termasuk juga mewujudkan kampung tradisi khususnya di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar yang lain bagi mengelakkan kampung tradisi Melayu hilang ditelan pembangunan dan pemodenan.

Kerajaan juga perlu memberi hak milik kekal kepada penduduk yang mendiami perkampungan tradisi sebagai memastikan kawasan tersebut kekal terpelihara dan tanah rezab Melayu sekitar mesti dikekalkan.

"Perkampungan tradisi Kuala Lumpur perlu diisytiharkan sebagai perkampungan Warisan Melayu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membentuk sebuah jawatankuasa yang dipertangungjawabkan untuk merancang pembangunan kampung tradisi bersama wakil penduduk," katanya beliau sewaktu membacakan resolusi tersebut.

Selain itu, kerajaan diminta meningkatkan kualiti pengangkutan dan infrastruktur awam di pusat bandar dan pinggir bandar yang kini didiami sebahagian mereka yang bekerja di ibu kota.

"Hasrat kerajaan untuk menambah kapasiti penduduk kota kepada 2.2 juta menjelang 2020 perlu dihentikan selagi mana aspek pengangkutan dan infrastruktur awam yang memainkan peranan penting dalam konteks kepadatan ibu kota tidak diberi penambahbaikan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan juga perlu merangka satu agenda untuk membolehkan kampung tradisi dikekalkan dan bagi projek perumahan rakyat (PPR) yang disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah, perlu dilaksanakan polisi sewa beli untuk penduduk tanpa syarat yang terlalu ketat dan membebankan.

Manakala caj perlu dikenakan kepada pemaju yang gagal menyelenggaraan projek PPR dan diambil alih oleh DBKL.

Badan amanah Kampung Baru

Sementara itu, mereka mencadangkan satu badan amanah yang diwakili penduduk yang berkepentingan secara langsung ditubuhkan selain memastikan proses pembangunannya dilakukan dengan telus.

"Penubuhan tabung amanah akan mewujudkan kedua-dua jenis saham melibatkan saham tanah dan saham sewa. Ia alternatif terbaik menjadikan kawasan kekal hak milik Melayu sepenuhnya," jelasnya.

Penduduk juga mahu tanah lombong dan belukar yang belum dibangunkan dijadikan pusat kemudahan awam supaya boleh dibangunkan sebagai tanah kediaman untuk kawasan setinggan yang masih kekal.

Selain itu, kawasan kediaman sedia ada tidak perlu ditukar kepada kawasan perdagangan sebaliknya hanya memfokuskan kepada kawasan yang belum dibangunkan bagi mengelakkan terjejasnya tanah penduduk.


MPSP akan laksana dasar pro-pekerja Malaysia | Print |
Harakahdaily

SEBERANG PRAI, 29 Okt: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memperkenalkan dasar baru bagi membela kebajikan pekerja.

Ahli Majlis MPSP, Steven Sim berkata, perlaksanaan dasar-dasar itu akan bermula tahun 2012 dengan rombakan semula kontrak pembersihan MPSP.

Pada masa kini, katanya pekerja paling rendah dalam MPSP adalah dalam kategori “Pekerja Awam” bergred R1.

Menurutnya, gaji permulaan mereka adalah kira-kira RM1,200 termasuk elaun tetap bulanan.

“Pekerja dalam kategori ini adalah umumnya pekerja pembersihan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi membela nasib mereka, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengumumkan elaun khas bulanan RM150 kepada pekerja-pekerja pasukan 3D - mereka yang melakukan pekerjaan “dangerous, dirty, difficult”.

Ini, ujarnya termasuklah pekerja pembersihan am yang digaji oleh MPSP.

“Justeru, pampasan total (total compensation) para pekerja gred paling rendah di MPSP adalah sekurang-kurangnya RM1,350 sebulan,” ujarnya.

Di sudut yang lain, katanya MPSP kini mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja pembersihan yang digaji di bawah kontraktor-kontraktor pembersihan swasta.

Katanya, kajian ringkas menunjukkan bahawa pekerja-pekerja ini bergaji antara RM600 hinga RM750 sebulan dan kebergantungan terhadap pekerja migran amat tinggi, iaitu kira-kira 75-80% daripada mereka adalah warga asing.

Justeru, tambahnya pada tahun 2012, MPSP telah mewajibkan kontraktor-kontraktor pembersihan swasta di bawah kontrak majlis mengambil sekurang-kurangnya 70% pekerja mereka, warga negara Malaysia.

Menurutnya lagi, gaji pokok pekerja ini pula perlu sekurang-kurangnya RM800, tidak termasuk elaun yang berhak diterima.

Jika dikira elaun, katanya gaji bulanan pekerja-pekerja tersebut mungkin mencecah RM1,000 hingga RM1,100.

Kesannya, kata beliau MPSP akan mewujudkan lebih kurang 1,500 peluang pekerjaan kepada warga negara Malaysia dengan kadar gaji antara RM800-RM1,100 sebulan.

“Ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja migran tidak mahir dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembersihan, malah selaras dengan dasar pro-pekerja kerajaan negeri untuk mendukung masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang di masa keadaan pasaran kerja yang tidak memberangsangkan.

“Dengan adanya pekerjaaan-pekerjaan bergaji sederhana ini, maka masyarakat golongan terbawah sedikit sebanyak dilindungi daripada angin kencang krisis ekonomi global,” ujarnya.

6 aktivis PSM dilepas | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, dilepas tanpa dibebaskan pagi ini oleh Mahkamah Sesyen Butterworth daripada dakwaan memiliki bahan subversif.

Keputusan itu dibuat lebih dua minggu selepas hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan yang serupa terhadap 24 lagi ahli PSM yang menghadapi tuduhan yang sama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pertubuhan, lapor Malaysiakini.

Dalam keputusan tersebut, timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim mencadangkan mereka dilepas tanpa dibebaskan, dengan berkata kes mahkamah mengenai sama ada Bersih 2.0 sebuah pergerakan haram atau tidak, masih belum selesai.

Ketika dihubungi, Jeyakumar berkata, beliau berasa lega episod tersebut sudah berakhir tetapi tidak puas hati kerana menurutnya, mereka tidak sepatutnya pun ditangkap dan didakwa.

Beliau menggesa kerajaan menyiasat bagaimana tuduhan tersebut dibuat terhadap ahli-ahli PSM.

Peguamnya, tegas Jeyakumar, menuntut pembebasan penuh tetapi hakim tidak dapat lari dari penghakiman awal beliau terhadap 24 orang lain, kerana mereka telah didakwa bersama.

Lima orang lagi ialah M Sukumar, M Satukunadevi, M Kavitha, M Ravindran dan M Thivy Kumar, yang tidak hadir semasa keputusan awal dibuat pada 10 Oktober kerana ibu Sukumar meninggal dunia.

Sejumlah 31 ahli PSM ditangkap di tol plaza Sungai Dua di Pulau Pinang Jun lalu semasa menyertai kempen 'Udalah Tu, Bersaralah' kerana didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka kemudiannya dibebaskan tetapi Jeyakumar dan lima orang lagi ditahan semula di bawah Ordinan Darurat selama hampir sebulan dan mereka kemudiannya dikenali sebagai PSM6.

Tiada ulasan: