Sabtu, 22 Oktober 2011

TERPULANG NIAT BLOGGER...UNTUK WANG ...POLITIK ATAU APA....SEBAIK UNTUK ISLAM...SEMATA2 INGIN KEREDAAN ALLAH..PELBAGAI CARA TUK BERDAKWAH...

70 ahli Umno Kelantan masuk PAS | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam.

Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di Kota Bharu, semalam.

Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin difahami oleh orang ramai.

Katanya, sebelum ini sudah banyak ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi.

"Perjuangan PAS adalah perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS.

"Tentangan mereka terhadap PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Berucap pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata, realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran.

Katanya, itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw.

"Setiap ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki," katanya.

Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis, bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di bahagian penerangan.

"Setiap jawapan yang kita berikan dalam bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Mengambil contoh pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu.

"Sebaik memerintah Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba.

"Walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan mendorong rakyat menjadi malas.

"Tetapi akhirnya langkah yang baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya.

Sejak memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa memerintah negeri itu.

"Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan, kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja. Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya.

Menurutnya, pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan.

Dengan itu, katanya, falsafah bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan berzikir.


Media Baru perlu masuk ke segenap kampung | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kesemua ahli-ahli PAS yang terbabit dengan Media Baru diminta memainkan peranan lebih aktif bagi membolehkan maklumat-maklumat yang disampaikan turut dibaca bukan hanya di kalangan penduduk di kawasan bandar, tetapi juga di kampung-kampung di seluruh negara.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, PAS menempa banyak kejayaan di kawasan bandar dan pinggir bandar ekoran keberkesanan Media Baru dalam menyampaikan maklumat yang benar untuk dipertimbangkan oleh orang ramai.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan PAS di kawasan luar bandar, di kampung-kampung dan di kawasan pedalaman berpunca dari kegagalan orang ramai mendapatkan maklumat yang benar mengenai perjuangan PAS dan isu-isu semasa.

Menurut beliau, setiap ahli PAS khususnya mereka yang terbabit dengan Media Baru perlu sedar perkara itu bagi membolehkan kesemua pihak mengambil inisiatif bagi membolehkan Media Baru tidak hanya berligar di kawasan bandar, tetapi juga di kampung-kampung.

Katanya, Media Baru memainkan peranan amat penting dalam menjawab segala tuduhan dan perkara yang tidak benar mengenai PAS yang dilakukan oleh Umno BN dan ia merupakan satu peperamgan secara damai.

"Jadi ICT atau Media Baru merupakan senjata penting bagi PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13," katanya menerusi pesanan khas melalui video yang ditayangkan pada Persidangan ICT 2011 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, menurut beliau, setiap penulis dan bloger-bloger PAS perlu memainkan peranan dengan baik dengan hanya menyampaikan maklumat yang benar dan tepat serta menggelakkan diri dari menyebarkan fitnah.

Katanya, tanggungjawab setiap ahli PAS adalah menyampaikan syariat Islam kepada orang ramai, manakala menyampaikan syariat itu merupakan fisabilillah.

'Jadi tanggungjawab ini mestilah ditujukan kepada semua pihak termasuk kepada Umno bagi membolehkan mereka kembali ke jalan Allah, manakala yang bukan Islam pula turut memahami ajaran Islam.

"Untuk melaksanakan tanggungjawab itu, ia mestilah dilakukan dengan uslub supaya penyampaian kita itu benar dan kena kepada sasarannya," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Penekanan seperti itu, menurutnya, perlu dilakukan sepanjang masa demi kepentingan Islam dan ia pasti lebih mendesak dalam keadaan negara kita yang mengamalkan demokrasi tempang sekarang, sehingga seluruh media hanya dikuasai Umno BN.

"Disebabkan demokrasi tempang yang diamalkan oleh para pemimpin Umno BN, maklumat-maklumat yang benar tidak sampai kepada orang ramai terutama di kampung-kampung, kecuali di kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar yang dapat meniklmati kewujudan Media Baru," katanya.

Sekiranya Media Baru tidak sampai ke kampung-kampung, katanya, penduduk di kawasan luar bandar pasti akan terus gagal berpanjangan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar yang diperlukan untuk dijadikan pertimbangan dalam memilih parti yang akan memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, beliau mengingatkan setiap ahli PAS khususnya bloger-bloger parti agar ikhlas kepada Allah dalam melaksanakan tangguingkawab masing-masing kerana hanya dengan keikhlasan sahaja yang boleh menyebabkan maklumat yang disampaikan itu masuk ke dalam hati pihak terbabit, di samping dinilai sebagai ibadat oleh Allah.


Beri kebebasan ahli akademik berakademik - Nik Aziz | Print |
Nazri Abdullah

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober d untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.


PAS bawa kes Aziz Bari ke Parlimen | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: PAS akan membawa kes penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa ke persidangan Dewan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan 18(1) bagi membincangkan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Berikut adalah usul beliau bertarikah 21 Oktober kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pendikar Amin Mulia.

Saya Haji Salahuddin Bin Haji Ayub (Kubang Kerian) ingin mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan berkenaan penggantungan ke atas pakar Undang-Undang Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari disebabkan pandangan akademik beliau yang disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini.

Pada 13 Oktober 2011, Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah memberikan pandangannya berkenaan titah Sultan Negeri Selangor terhadap kes serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) ke atas Damansara Utama Methodist Church (DUMC) kepada portal Malaysiakini atas kapasiti selaku pakar Undang-Undang Perlembagaan khususnya berkaitan dengan kuasa dan fungsi Raja Berperlembagaan.

Akibat dari pandangan tersebut, media arus perdana dan pemimpin UMNO dan NGO pro-UMNO telah melancarkan kecaman bertubi-tubi ke atas Abdul Aziz tanpa memberikan beliau peluang mempertahankan dirinya. Kemudiannya beberapa laporan polis telah dibuat oleh ahli dan penyokong UMNO diseluruh Negara.

Kemuncak dari tindakan tersebut, Abdul Aziz bukan sahaja disiasat oleh Polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi juga telah diberikan surat tunjuk sebab oleh pengurusan UIAM pada 19 Oktober 2011 dan telah digantung perkhidmatannya berkuatkuasa serta merta. Justeru, usul yang dibawa ini adalah perkara yang tertentu.

Dewan yang mulia ini seharusnya memandang serius bagaimana seorang ahli akademik yang kepakarannnya diiktiraf diperingkat nasional dan antarabangsa telah ditekan, dimalukan dan dihukum hanya kerana memberikan pandangan beliau di dalam subjek yang memang menjadi bidang kajian beliau. Fakta ini jelas menunjukkan hal yang berlaku ini menyentuh kepentingan awam.

Episod ini menampakkan seolah-olah UIAM sebagai sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertaraf antarabangsa menuruti tekanan politik pihak-pihak berkepentingan tanpa mempedulikan tindakan sebegini boleh mencemarkan reputasi dan prestij UIAM di mata dunia. Pihak kerajaan dan universiti nampaknya tidak mempedulikan langsung jaminan kebebasan akademik terhadap ahli akademik/pensyarah yang terkandung di dalam suatu dokumen bertajuk “Recommendation Concerning the Status of Higher-Education Teachin Personnel” yang dikeluarkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Natijahnya menampakkan bahawa janji-janji keterbukaan dan transformasi politik yang acapkali dilaungkan oleh YAB. Perdana Menteri adalah hanya sekadar mainan di mulut sahaja tetapi realitinya semakin kuat tekanan dikenakan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan parti pemerintah. Jika Abdul Aziz terus digantung tanpa beliau didapati bersalah, ini amat menjejaskan nama UIAM dan Malaysia di mata antarabangsa di samping memberikan kesan kepada ratusan pelajar-pelajar terutamanya pelajar-pelajar Phd di bawah selian Abdul Aziz. Justeru, usul ini perlu disegerakan.

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadang.


Blogger, pengamal media baru jangan lempar fitnah | Print |
Muhammad Faizal

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.

"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.

Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.

Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.

"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah.

"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru.

"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca," sambungnya lagi.

Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.

"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca.

"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik Aziz lagi.

Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.

"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.

Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat.

Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

Tiada ulasan: