KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS Negeri Perak, khususnya PAS Kawasan Parit Buntar, buat julung-julung kalinya telah menganjurkan satu program santai secara besar-besaran bersama bekas-bekas artis terkenal yang dinamakan Mini Konsert & Talk Show di dewan Markas PAS Titi Serong, Parit Buntar, kelmarin. Program yang bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang itu dihoskan oleh Bob Lokman dan turut melibatkan dua bekas rockers terkenal, Mael dan Pak Long. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, program tersebut anjuran PAS Kawasan Parit Buntar dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar dan ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Menurut beliau, sebelum ini PAS Kawasan Parit Buntar pernah menganjurkan program santai seperti itu tetapi hanya secara kecil-kecilan dengan hanya melibatkan Mael dan Pak Long sahaja, berbanding program hari ini yang turut melibatkan bekas pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman. Katanya, program tersebut bagaimanapun bukanlah terarah kepada hiburan semata-mata sehingga membawa kepada kelalaian seperti yang dianjurkan oleh sesetengah pihak, tetapi ia tetap bertapak atas orientasi dakwah. "Program yang kami adakan pada hari ini, selain mengandungi persembahan hiburan daripada artis-artis tersebut, juga berbentuk 'talk show' yang disampaikan oleh Bob Lokman, Mael dan Pak Long untuk menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Antara mesej utama yang disampaikan itu, menurut beliau, PAS tidak menentang seni dan kegiatan seni dan PAS juga tidak pernah menyatakan hanya bentuk kegiatan kesenian tertentu seperti nasyid sahaja yang dibenarkan. "Sebaliknya, PAS turut memberikan perhatian kepada kegiatan kesenian untuk memberikan hiburan kepada orang ramai, asalkan ia disampaikan dengan cara yang betul, tidak melampau dan tidak terkeluar dari batasan syariat," tegasnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berharap agar orang ramai faham dengan perjuangan PAS termasuk pendirian PAS dalam soal kesenian supaya perjuangan PAS tidak disalahterima oleh pihak-pihak tertentu. Berdasarkan sambutan baik yang diberikan oleh orang ramai terhadap program itu, PAS Parit Buntar bercadang untuk mengadakan lagi program seperti itu pada masa akan datang, malah mungkin akan diadakan secara lebih besar, bagi memberikan hiburan yang berguna kepada orang ramai. "Bilangan mereka yang hadir ke program kami pada hari ini sekitar 500 orang sehingga memenuhi dewan. Artis-artis terbabit yang terdiri daripada Bob Lokman, Mael dan Pak Long juga kelihatan memberikan respon yang baik dan seronok menjayakan program itu," katanya. Pada masa akan datang, jelas beliau, pihaknya mungkin akan turut mengundang sama bekas pemain muzik terkenal, Sham Kamikaze bagi memeriahkan majlis.
Harapan mahasiswa pada Bajet 2012 Mohamad Iqbal Ab Wahab | Terdapat satu harapan yang cukup besar dalam kalangan rakyat untuk mendengar khabar gembira daripada pembentangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kakitangan awam, misalnya, ternanti-nanti ungkapan kenaikan gaji ataupun bonus diungkapkan sendiri daripada mulut Perdana Menteri dalam pembentangan bajet tersebut. Begitu juga dengan sektor-sektor lain yang mengharapkan khabar gembira yang mampu merangsang kembali pertumbuhan ekonomi secara mekar dalam usaha untuk mewujudkan sebuah Negara berpendapatan tinggi. Secara fokusnya, mahasiswa juga dilihat sebagai salah satu sasaran yang harus diketengahkan dalam pembentangan bajet. Walaupun dalam pembentangan Bajet 2011, sebanyakRM 10.2 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun dalam konteks realiti mahasiswa, peruntukan tersebut seolah-olah tidak dirasakan kewujudannya dalam bentuk nyata, apatah lagi masalah kenaikan kos sara hidup yang meningkat berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil terus-menerus menyebabkan perbelanjaan harian terpaksa dikurangkan terutamanya berkaitan dengan soal makanan, pengangkutan, sewa rumah dan buku-buku pelajaran. Kesannya, terdapat pelajar yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan semasa menyebabkan fokus kepada pelajaran semakin kurang. Oleh hal yang demikian, suatu strategi yang bersifat jangka pendek dan panjang harus dirangka. Strategi jangka pendek yang bersifat untuk menyelesaikan masalah semasa ialah fokus bagi menstabilkan dan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup disebabkan faktor global, manakala strategi jangka panjang pula adalah untuk menstabilkan rantaian dalam konteks masyarakat secara makro. Dari sudut strategi semasa, yang bersifat jangka pendek iaitu sepanjang tempoh pengajian mahasiswa, masalah yang terpaksa dihadapi oleh golongan ini adalah masalah peningkatan kos sara hidup yang bersifat semasa merangkumi keperluan asas seorang pelajar termasuklah makanan, pengangkutan serta buku teks. Suatu inisiatif perlu diikhtiarkan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara yang dicadangkan adalah berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang dituruti dengan distribusi kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Peruntukan subsidi yang telah dirasionalisasikan seharusnya diagihkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan pelajar mahupun mahasiswa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup. Teknikalnya, peruntukan tersebut mungkin boleh diagihkan melalui pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau pihak yang berkaitan sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban dalam konteks sara diri. Begitu juga, penggunaan pas pelajar juga dicadangkan dapat digunakan secara meluas bagi mendapatkan diskaun untuk pengangkutan dan pembelian buku-buku teks. Walaupun dalam Bajet 2010, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penggunaan kad diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi pelajar untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun, penggunaan kad tersebut dicadangkan digunakan secara meluas termasuklah penggunaan bas awam dan ekspres serta lain-lain. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga, spesifikasinya golongan mahasiswa, seharusnya galakan untuk membaca dilaksanakan melalui peruntukan khas bagi pembelian buku teks atau buku-buku akademik yang lain. Penggunaan pas pelajar bagi mendapatkan diskaun dalam pembelian buku juga merupakan salah satu usaha yang harus difikirkan dan dimasukkan dalam perancangan dan penelitian Bajet 2012. Tidak sekadar strategi jangka pendek sahaja difikirkan, strategi jangka panjang juga perlu dirangka secara bersama sebagai pelengkap bagi pakej yang berkaitan dengan konteks pelaburan modal insan ini. Isu berkaitan dengan kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun serta gaji minimum sehingga RM1,500 perlu dilihat dalam konteks yang lebih terkehadapan. Kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun akan mengurangkan bilangan pekerjaan bagi golongan mahasiswa yang keluar daripada universiti. Kesannya, kepakaran pekerja baru melalui proses pelaksanaan kerja melalui pengalaman akan semakin menurun. Impaknya juga, akan berlaku pengangguran dalam tempoh masa yang lama, apatah lagi, antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat kebanyakan menetapkan prioriti terhadap calon temuduga yang mempunyai pengalaman bekerja. Selain itu, cadangan kenaikan gaji minimum juga harus diperhalusi serta diambil kira dari sudut status hidup bagi membendung kemiskinan Bandar yakni pendapatan yang tidak setara dengan perbelanjaan keperluan asas. Maka, bajet 2012 harus membentangkan strategi yang jelas dalam usaha untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan siswazah. Peruntukan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kepada siswazah belum memberi sebarang jaminan kerja untuk golongan ini sedangkan seharusnya universitilah yang bertindak sebagai penyedia latihan bagi siswazah. Oleh itu, suntikan fiskal harus dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar memberikan latihan tanpa penciptaan peluang pekerjaan. Begitu juga, masalah ini makin meruncing apabila mereka terpaksa membayar hutang PTPTN yang harus dilangsaikan sedangkan mereka masih belum lagi mempunyai pekerjaan. Justeru, bajet 2012 harus memberi penekanan kepada aspek strategi jangka masa pendek dan panjang dalam usaha untuk mengatasi masalah peningkatan sara hidup khususnya golongan mahasiswa serta mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Modal insan yang telah dicipta tetapi tidak dimanfaatkan kerana kekurangan penciptaan peluang kerja hanya akan menyebabkan berlakunya proses pembaziran tenaga manusia dalam negara. Penulis adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA NGO: 75 peratus tentera kesempitan hidup Abdul Rahim Sabri Okt 3, 11 6:16am
Hampir 75 peratus dari anggota tentera dan bekas didakwa hidup dalam kesempitan hidup dan menghadapi tekanan emosi, kata presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Selain itu, katanya lagi, masalah kewangan semasa dan masa depan yang kabur menghantui mereka sepanjang perkhidmatan.
"Terdapat sebilangan besar anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan melalui ikhtiar hidup buntu dan ramai menumpang teduh di rumah pusaka atau tinggal menumpang kepada saudara mara terdekat," katanya.
Selain itu, Mohd Nazari juga mendakwa ganjaran gaji bulanan yang diperolehi khususnya oleh anggota tentera lain-lain pangkat (LLP) tidak setimpal dengan beban tugas, lebih-lebih lagi dengan harga barangan keperluan asas yang semakin mahal.
"Kebajikan yang ala kadar menjadikan kehidupan mereka menderita hampir sepanjang tempoh dalam kerjaya mereka khususnya bagi anggota lain-lain pangkat yang kerap ditugaskan di lokaliti terpencil berhampiran perbatasan yang daif dengan prasrana.
Sehubungan itu, beliau yang mengetuai NGO tentera - Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) malam tadi menyerahkan memorandum kepada Pakatan Rakyat.
Memorandum itu sebagai memohon bantuan agar kebajikan anggota tentera dan veteran yang telah berkhidmat mempertahankan negara dari anasir luar diperjuangkan jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.
Memorandum itu diserahkan oleh Mohd Nazari Mokhtar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Tertutup Subang Jaya di Serdang Jaya jam 9.30 malam yang hadiri kira-kira 300 orang termasuk bekas tentera.
Antara pemimpin Pakatan yang turut hadir, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, setiausaha oolitik menteri besar Selangor Faekah Hussin, ahli jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman dan pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman.
alam memorandum itu, Mohd Nazari berkata berdasarkan Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) bertarikh 29 Ogos 1973, setiap anggota tentera dan isteri dijanjikan hak memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak perumahan dari kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Kementah).
Bagaimanapun, dakwanya yang pernah berkhidmat dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) hampir 28 tahun - berdasarkan rekod Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) Kementah "tidak sampai 100 anggota tentera yang berjaya memperolehi tanah yang dimaksudkan dengan rekod yang sangat menjengkelkan".
Dakwanya lagi, kehidupan askar yang sentiasa berada di perbatasan sama ada di darat, laut atau udara menyebabkan kesukaran mereka meninjau perolehan tanah untuk dipohon. Ini diburukkan lagi dengan faktor birokrasi dari pejabat tanah tempatan yang menyumbang kepada kegagalan permohonan mereka.
"Termaktubnya PMAT 1973 yang memberi keistimewaan perolehan tanah ini telah tidak diurustadbir dengan cekap malah diabaikan oleh Kementerian Pertahanan.
"Akibatnya, hampir 150,000 tentera yang telah menamatkan tugas bakti kepada negara dengan jayanya sejak 1973, tetapi hak keistimewaan ini telah dibiarkan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang usaha dari kementerian bertanggungjawab.
"Ini adalah pencabulan hak asas kehidupan mereka sekeluarga untuk mendapatkan peluang memiliki tanah perumahan dan pertanian yang termaktub dalam akta dan diluluskan oleh kabinet," kata Mohd Nazari dalam memorandum itu.
Beliau yang juga timbalan yang dipertua PAS Tenggara, Johor berkata walaupun ada usaha veteran tentera menyuarakan masalah perkara itu melalui kumpulan atau persatuan tetapi keluhan mereka itu disifatkannya sebagai "anjing menyalak bukit".
Oleh sebab itu, Mohd Nazari mendakwa sebilangan besar pegawai dan anggota LLP ini "bercita-cita besar" untuk menamatkan perkhidmatan berdasarkan peraturan "semata-mata untuk merasai hidup tanpa tekanan, bebas dari ancaman undang-undang tentera dan adat resam budaya penjajah" yang masih menjadi amalan tradisi tentera.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan tuntutan tersebut, beliau mencadangkan lapan resolusi utama pemerkasaan kebajikan dan sosio-ekonomi anggota dan bekas tentara jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dalam tempoh 100 hari .
Lapan resolusi tersebut dibacakan oleh Mohd Nazari, antara lain memperkasakan NGO itu di bawah kerajaan pusat dan negeri serta bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat kepada kebajikan untuk mempastikan khidmat balas jasa dan kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) dan tanggungan.
Tujuh resolusi lain adalah:- - Mengambil alih dan memperkemaskan dasar dan urustadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT).
- Memberikan keutamaan kepada kebajikan tentera, veteran, balu-balu dan anak-anak yatim tentera khususnya dalam pemilikan tanah Felda Plantation dan rumah mesra rakyat.
- Melaksanakan bantuan pendidikan sepanjang hayat secara percuma kepada tentera, balu dan tanggungan mereka.
- Memberikan rebet 50 peratus untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman kepada tentera dan bekas tentera sepanjang hayat.
- Pelarasan kenaikan gaji dan pencen sebanyak RM500 sebukan kepada semua tentera dan veteran serta imbuhan khas sebanyak RM500 setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.
- Setiap anggota tentera dan pesara tentera dikecualikan dari cukai untuk pendapatan gaji dan pencen kerajaan.
- Memberikan peruntukan dana khas dan merancang plan dasar penempatan Bandar Baru Veteran yang lengkap dengan prasarana latihan medan tempur untuk bekas tentera agar ketrampilan kepakaran semasa berkhidmat dapat dikekalkan.
Ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Mohd Nazari berkata sejak ditubuhkan pada 18 Julai lalu, jumlah anggota tentera yang menyertai NGO itu setakat ini mencecah kira-kira 2,900 orang, khususnya dari Johor dan Perak Katanya, selepas ini pihaknya akan menjelajah dan memberikan penerangan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan