Jumaat, 28 Oktober 2011

BERSEDIA JUGA HISAB DARI ALLAH...PERTANYAAN2 ALLAH...APA YANG KITA BUAT DIDUNIA....JANGAN BUAT MUNGKAR SERTA PERKARA SIA2...

Umno terdesak, guna 3R tarik sokongan Melayu | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 27 Oktober: Umno sedang cuba menggunakan strategi “3R” iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja) bagi memenangi undi pilihan raya, kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu.

(Gambar: Mohamad Sabu menyampaikan Anugerah Tokoh PAS Pahang, Ustaz Idris Omar diwakili Pak Sheikh Hussin)

Beliau mendedahkan, serangan politik sedemikian digunakan setelah parti itu merasakan sukar dan tidak yakin untuk mendapatkan undi bukan Melayu dan bandar seperti keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

“Dalam keadaan politik sekarang untuk memenangi pilihan raya Umno mengharapkan empat komponen iaitu undi Melayu luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi daripada Sabah serta Sarawak.

“Untuk itu strategi mereka mempermainkan isu-isu bersifat 3R iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja). Manakala negeri utama sasaran mereka ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 pendengar sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Pahang, di Tapak Kompleks PAS, Kerdau di sini malam tadi.

Turut berucap Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pemangku Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Exco Pemuda PAS Pusat Kamal Ashaari.

Tambah Mohamad, dengan strategi 3R yang dimainkan itu membuat suhu politik negara menjadi panas mendidih, walhal semua itu dirancang Umno.

Beliau mengambil contoh mengenai tindak tanduk Umno cuba mengheret istana ke kancah politik dalam isu Lim Guan Eng dengan isu jenayah di Johor dan Dr Abdul Aziz Bari berkaitan titah Sultan Selangor.

“Nampak macam seolah-olah Umno mendukung raja. Tapi saya nak ingatkan pada tahun 1993 semasa saya menjadi ahli parlimen, pernah speaker menggantung peraturan Dewan yang menghalang menyentuh soal raja-raja. Masa itulah mereka ‘belasah’ raja-raja Melayu dalam isu kekebalan raja-raja dulu,” katanya.

Mat Indera dan Hang Jebat

Mengenai isu komunis yang cuba dikaitkan dengannya, Mohamad berkata itu merupakan isu baru yang mereka timbulkan untuk cuba bangkitkan kebencian sedangkan terdapat seorang bekas Menteri Besar (Umno) yang biasa melawat ke perkampungan bekas komunis di selatan Thailand untuk memberi bantuan.

Mohamad berkata, isu Mat Indera dan Bukit Kepong yang pernah dimainkan media satu ketika dulu hanyalah isu percanggahan pendapat tetapi sengaja dimainkan media untuk keuntungan politik.

“Contohnya macam ni... katakanlah ada seorang tu kata Hang Tuah hero, ada seorang lagi kata Hang Jebat hero. Sepatutnya bila timbul dua perbezaan pendapat begitu, berhujahlah secara ilmiah.

“Tapi apa yang berlaku apabila saya katakan Mat Indera yang menentang penjajah Inggeris itu sebagai pejuang kemerdekaan, saya dihentam dari segenap sudut sehingga ada yang cadang dilucut kewarganegaraan saya dan akhirnya didakwa di mahkamah,” katanya.


Guan Eng beri tempoh 48 jam kepada Umno Online | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap web Umno Online jika gagal memohon maaf dalam masa 48 jam.

Guan Eng berkata, ianya ekoran laporan web itu yang berterusan memanjangkan fitnah kononnya anaknya mencabul seorang remaja perempuan yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mahu web itu membuat permohonan maaf dan menarik balik artikel fitnah berkaitan anaknya itu dalam masa dua hari bermula hari ini atau berdepan laporan polis dan tindakan undang-undang lain.

"Selepas kami sekeluarga berbincang, kami dengan berat hati memutuskan terpaksa mengambil tindakan.

"Kami memberi tempoh 48 jam kepada Umno Online untuk menarik balik dan memohon maaf di atas permainan politik dan tuduhan terhadap anak lelaki saya atau kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan tindakan lain sewajarnya," katanya.

Menurutnya, web tersebut juga menyiarkan tuduhan yang kononnya memetik laporan akhbar Guang Ming Daily sebagai berkata, 'anaknya ditukar sekolah kerana masalah dadah'.

Sedangkan laporan tersebut katanya telah dinafikan oleh Guang Ming selepas itu.

Guan Eng juga turut kesal dengan tindakan pemimpin Umno dan MCA yang didakwa terus memainkan isu tersebut walaupun beberpa pihak yang berkaitan turut menafikan perkara tersebut.

Ianya termasuk dari penafian 'mangsa', Anya Corke sendiri yang mendakwa tidak pernah dilakukan seperti difitnah tersebut malah tidak pernah bertemu anak ketua menteri Pulau Pinang itu.

Penafian juga turut dibuat Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Encik Ahmad Tarmizi Kamaruddin seperti dilapor akhbar The Star pada 22.10.2011.

"Malah Bernama melaporkan bahawa Timbalan Perdana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyertai kontroversi menyerang anak saya, dengan menyatakan bahawa penafian sahaja tidak cukup dan mencabar saya membuat laporan polis," katanya.

Sabtu lepas, Muhyiddin mencabar Guan Eng supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak terhadap anaknya itu bagi membersihkan nama anaknya memandangkan penafian tidak mencukupi.

Cabaran sama turut diulanginya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan Kementerian Pelajaran pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.


Kek Enot pula cetus kontroversi | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Baru reda menerima kecaman akibat mengeluarkan kenyataan salah mengenai hukum Hudud, pelakon Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah sekali lagi menimbulkan kontroversi dan rasa tidak senang orang ramai.

Kali ini Enot, 32 yang menjalankan perniagaan kek bertindak "berani" apabila menghasilkan kek berbentuk tubuh wanita yang hanya berpakaian dalam.

Gambar kek tersebut dimuat naik di laman Facebook Enot sendiri beberapa minggu yang lalu dan mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif daripada rakan facebooknya.

Gambar tersebut seterusnya turut dimuat naik di beberapa laman blog beserta komen-komen yang tertera.

Ada yang menyokong ciptaan kek yang "lain dari yang lain" itu dan tidak kurang juga yang membantah dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak sopan.

Namun Enot yang terkenal dengan watak komedi itu tetap mempertahankan ciptaannya itu dan menganggapnya sebagai hasil seni yang kreatif.

"Ni makanan halal dik apanya yang haram?? Adik Tuhan ke tahu letakkan haram dan halal atas kerja seseorang. Jadi kalau tak suka untuk melihatnya delete fb akak dari jadi friend adik ok tq...kita manusia buat kerja kita tak payah nak sibuk buat kerja Tuhan," salah satu tulisan Enot di ruangan komen.

Awal oktober lalu, Enot mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang melakukan zina akan menerima hukuman sula sedangkan hukuman yang sebenar ialah seratus sebatan bagi yang belum berkahwin manakala mereka yang sudah berkahwin direjam sampai mati.

“Memang zaman dulu orang islam mengamalkan hukum hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina, hukuman sula akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang ia tidak sesuai lagi. Kalau hukum hudud dilaksanakan, pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya.” kata Enot kepada Sinar Harian.

Ekoran itu, Enot menerima pelbagai kecaman termasuk ada pelanggan yang membatalkan tempahan kek gara-gara tidak senang denagn kenyataannya.


FB, kuda dan Shahrizat | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Hujung minggu lalu, saya menghadiri dua program khusus mengenai media, di hadapan aktivis PAS yang kelihatan ghairah menanti tarikh pilihan raya umum ke-13. Pada 22 Oktober, Persidangan ICT dan Media Baru 20011, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, dan esoknya kursus kewartawanan, di Ipoh, Perak.

Membedah fenomena dunia siber -- dan kompleksiti media baru dengan segala perubahan yang begitu pantas -- tentunya bukan tugas mudah, apatah lagi dilakukan di hadapan mereka yang mahir ICT. Sebenarnya saya tertinggal jauh di belakang berbanding penguasaan dan kepakaran peserta persidangan terhadap teknologi media baru.

Di zaman internet "mendefinisikan" pergolakan politik antarabangsa, sehingga Facebook, twitter dan youtube dilihat mampu menjatuhkan sesebuah kerajaan dan menggulingkan regim, seperti ditunjukkan di Timur Tengah, saya cuba membawa perspektif agak berbeda, sambil mempersoalkan beberapa "tanggapan dan kepercayan" terhadap mukjizat kuasa siber.

Dalam konteks siasah tempatan, "padang permainan" kini hampir sama rata; tiada lagi monopoli maklumat sepertimana situasi 20 tahun lalu. Meskipun media konvensional, seperti akhbar, radio dan televisyen, masih dikongkong elit penguasa dengan pelbagai peraturan ketat, namun majoriti rakyat mempunyai pilihan dan akses terhadap media baru, yang menawarkan berita dan laporan lebih seimbang.

Faktor-faktor lain yang juga membantu kesedaran berpolitik, antaranya adalah kualiti pendidikan, meluasnya kelas menengah, pertumbuhan urbanisasi, peningkatan tahap ekonomi, celik IT, dan pengaruh globalisasi.

Namun, sewaktu masih ramai yang teruja, misalnya dengan pengaruh kejayaan revolusi rakyat 18 hari di Dataran Tahrir, Kaherah, yang difaktorkan oleh pencetusnya, Khalid Said dan Wael Ghonim, melalui sumbangan besar media sosial, kita wajar menekuni semasaknya gelagat dan kerencaman politik lokal. Malaysia harus ada formula tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan realiti dunia luar, tanpa memperkecilkan suntikan semangat dan motivasi di atas kejayaan mereka.

Khalid Said adalah anak muda Mesir, 28 tahun, dibunuh kejam Amin Daulah (unit khas polis paling ditakuti di Mesir) apabila mendedahkan komplot jahat polis bersama pengedar dadah, yang dimuat-turun dalam youtube. (Perhatikan pengaruh luar biasa video bergerak melalui youtube). Kepalanya dikatakan dihentak ke dinding dan tangga sehingga mati; mayatnya dicampak ke tepi jalan tetapi polis mendakwa beliau mati disebabkan terlebih mengambil dadah.

Wael Ghonim, eksekutif muda Google, membuka akaun Facebook, 'Kulluna Khalid Said' atau 'We are All Khalid Said', memaparkan gambar ngeri Khalid, yang kemudiannya menaikkan rasa amarah amat sangat rakyat terhadap Presiden Hosni Mubarak. Di peringkat awal siapa pun tidak menjangkakan jaringan laman sosial mampu mencetuskan revolusi rakyat secara aman yang bersejarah itu.

Tarikh 25 Januari diingati sebagai "Hari Melahirkan Marah". Wael ditangkap. Penahanannya tidak meredakan malah mencetuskan kebangkitan lebih hebat. Ramai nyawa terkorban. Rasa takut yang menyelubungi rakyat Mesir selama lebih 3 dekad hilang. Melalui youtube kita saksikan mereka berani mengasak kereta perisai tentera.

Laluan internet disekat, tetapi anehnya ia makin mendorong lebih ramai membanjiri Tahrir. Ya, daripada bersembang dalam FB dan merayau di alam maya, tekad mereka lebih serius untuk berkubu di lapangan, berdada langsung menuntut perubahan. Akhirnya Hosni tinggal keseorangan, "perkakas tradisinya" seperti tentera dan media "berpaling tadah. Beliau terpaksa berundur juga.

Realiti Mesir waktu itu diasak enam isu besar: Kadar kemiskinan tinggi, merebaknya rasuah, pengangguran tidak terkawal, inflasi melonjak, gaji rendah, Hosni mungkin bertanding presiden lagi atau memberi jalan kepada anaknya, manakala suara rakyat langsung tidak dilayan.

Secara kasar, isu sama turut melanda negara kita, tetapi perinciannya agak berbeda. Malaysia nampak ke hadapan daripada segi kebebasan bersuara, agihan kekayaan dan partisipasi politik. Sistem demokrasi dan perjalanan pilihan raya kita lebih maju dan tersusun. Penyelewengannya agak "sofistikated" dan tidak begitu menjolok mata seperti Mesir.

Dalam kedua-dua majlis, di Taman Melewar dan Ipoh, saya menekankan agar aktivis arif memahami kerencaman persekitaran dan budaya-sensitiviti lingkungan. Selain menguasai perkembangan ICT dan aplikasi media baru sepenuhnya, aspek modal insan mesti diperkukuhkan ke peringkat kecemerlangan. Meskipun internet seolah-olah dianggap semacam "agama baru" di abad ke-21 ini, tidak semudah itu pengaruhnya melempah, seperti yang kita hajatkan.

Saya tertarik dengan soalan seorang peserta, yang membangkitkan keberkesanan media baru dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak. Bagi saya, internet hanya satu alat atau medium berkesan untuk kita berhubung langsung dengan pengundi. Banyak lagi aspek lain wajar ditekuni.

Dalam konteks Sarawak, apakah rakyatnya dapat akses dengan media baru secara berkesan dan menyeluruh? Saya perhatikan, banyak pendedahan berfakta mengenai salahlaku dan penyelewengan Ketua Menteri, Taib Mahmud, bertaraf mega disiarkan beberapa laman, tetapi para pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Malah, dengan hambatan keluasan negeri, kemudahan perhubungan, tahap celik IT, dan politik ugut BN terutama di kawasan luar bandar, Sarawak memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan perubahan.

Dalam pada itu, asas penulisan dan kewartawanan perlu dihadam sebaiknya oleh aktivis dunia siber. Begitu juga selok-belok penggunaan bahasa yang baik dan indah, dengan etika terjaga. Memang internet telah menghapuskan segala hirarki dalam penerbitan media tradisi. Tulisan tidak perlu diedit dan disemak lagi. Dengan sekali klik atau tweet, kita dapat berkongsi sehingga jutaan orang. (Tapi ia tidak seindah disangka, hal jaringan ini perlu dianalisis lebih rapi).

Saya mengingatkan, tanpa kredibiliti, media (termasuk internet) akan hilang bisa dan pengaruhnya. Sedangkan, pembinaan dan pemantapan pengaruh merupakan perkara asas terpenting dalam proses reformasi. Jika akhbar pro-Umno, seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, semakin tipis pengaruhnya disebabkan hilang wibawa, maka laman-laman sosial turut terdedah kepada gugatan serupa.

Facebook atau blog tidak akan membawa impak positif jika ia hanya sarat dengan gosip dan khabar angin.

Justeru, program melahirkan lebih ramai penulis berwibawa harus digiatkan, termasuk di kalangan blogger dan 'facebooker'. Bahan yang terhidang dalam laman sosial mestilah berkualiti, baik dari segi hujah, idea, pendekatan mahupun susunan bahasa, serta dapat dipertanggungjawabkan dan mampu mempengaruhi khalayak. Biarpun lebih terdedah kepada generasi muda, mutu kandungan usah diremehkan.

Apa pun, tentulah pendekatan dan persembahan dalam laman sosial tidak perlu terikat dengan bentuk penulisan kewartawanan. Pastinya ia lebih padat tetapi santai, ringkas dan bersahaja, mudah difahami, selari dengan jiwa anak muda tetapi harus ada elemen "menggemparkan" sehingga ramai audien mahu berkongsi dan membuat pautan.

Sejumlah 12 juta pemegang akaun Facebook di Malaysia memang merupakan sasaran berpotensi, yang jika digerakkan dengan bijaksana, mampu membentuk gelombang dan menarik turun BN daripada Putrajaya. Tapi harus diingat, generasi yang bermaklumat tidak semudah itu dapat dipengaruhi. Mereka semakin bijak menilai dan menganalisis, serta menuntut pembuktian. Ya, jangan sama sekali perkecilkan minda anak muda ...

Saya kira, Facebook juga bergantung dengan capaian youtube dan ruang itu belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh aktivis Pakatan. Tidak banyak klip video mengenai senario sosio-politik-ekonomi, apatah lagi yang benar-benar kreatif, telah dihasilkan. Sedangkan "bahan-bahan mentahnya" mudah didapati di mana-mana. Klik sahaja enjin carian seperti Yahoo atau Google, segalanya di hadapan mata.

Misalnya mengenai pembentangan bajet Najib Razak dan belanjawan alternatif Pakatan. Begitu banyak fakta dan pendedahan menarik dikemukakan Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan yang lain, susulan daripada Buku Jingga, yang boleh dipakejkan dalam yotube. Tawaran Pakatan juga dapat diolah dalam bentuk animasi mudah.

Seorang rakan FB saya telah menunjukkan klip-klip video kempen parti-parti politik di Britain, yang dirakam untuk tayangan dalam masa hanya 60 saat. Malah ia mendedahkan fakta menarik, merujuk insiden-insiden tertentu yang berlaku dalam masa satu minit, misalnya jumlah kecurian atau pelepasan gas karbon disoksida di England. Mungkin ia boleh dijadikan rujukan sebagai persiapan kempen pilihan raya umum akan datang.

Jika pilihan raya 1999 menyaksikan ledakan laman-laman web reformasi, dan pilihan raya 2008 disendat dengan kemunculan blog dan youtube, tidak syak lagi perang PRU13 akan riuh-rendah dengan pertarungan "sengit tetapi santai" di laman-laman sosial.

Cadangan agar aktivis lebih didedahkan dengan aspek-aspek teknikal dan meneroka pengkhususan, seperti kaedah menaikkan ranking blog, wajar diberi perhatian segera. Mungkin bengkel-bengkel lebih kecil perlu diusahakan. Lagi pula, keajaiban dunia siber, khususnya berkaitan jaringan laman sosial, masih banyak misterinya. Kita belum benar-benar mengoptimumkan aplikasinya.

Apa pun, sewaktu kita begitu obses dengan media baru, usah lupa medium tradisi, yang sepatutnya menjadi pelengkap di antara satu sama lain. Internet bukannya alternatif tetapi lebih dilihat sebagai satu lagi medium untuk memperkukuhkan prasarana sedia ada. Janganlah diremehkan pengedaran risalah, pembikinan VCD, penerbitan buletin dan usaha menyebarluaskan Harakah itu sendiri.

II.

Saya belum sempat meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010. Meneruskan tradisi daripada tahun-tahun sebelum ini, pendedahan tentang pelbagai kelemahan, kepincangan dan penyelewengan bukan lagi satu kejutan.

Tiga tahun lalu, kita digemparkan (sekadar contoh kecil) dengan harga set screwdriver RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Selain itu, pihak Audit juga tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan 6 kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan!

Tahun ini, ia berulang lagi. RM56,350 dibelanjakan bagi sepasang teropong visi malam, iaitu 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940. Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 dibeli pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus).

Harga 23 kuda yang dibeli Majlis Sukan Negara berjumlah RM5.66 juta dan dibuat melalui rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih teruk, hanya lima kuda didapati layak dan dapat bertanding pada pertandingan World Endurance Championship.

Kita juga masih belum mendapat jawapan Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan ketua wanita Umno, di atas kegagalan Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, kepunyaan suami dan anak-anak Shahrizat.

Sasaran projek bernilai RM250 juta di atas tanah anugerah seluas 5,000 ekar itu bagi memenuhi 40 peratus permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan. Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran adalah 1,500 ekor sehari sedangkan jumlah lembu yang kini disembelih hanya 20 ekor sehari.

Bukan setakat Shahrizat, malah Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau perlu memberi respons segera.

Benarlah rumusan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man: "Kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan Audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada peti undi."

Ya, masakan saban tahun kita belum jelak lagi dengan paparan Laporan Ketua Audit yang hampir sama. Itu belum dikira rasuah atau salahguna kuasa elit pemerintah bersama suku-sakat mereka, yang tidak dapat dihidu SPRM ...



Gambar: Ahmad Lutfi dan Editor Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam bergambar bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Mohd Nuri Al-Amin Endut (duduk, tengah) dan jawatankuasa kursus kewartawanan, di pejabat Perhubungan PAS Negeri, 23 Oktober lalu.




Kes Mat Sabu akan dibicara 19 Dis | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Perbicaraan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu behubung isu kontoversi pejuang Bukit Kepong ditetapkan 19 hingga 23 Dis.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 9 Dis ditukarkan ke tarikh lain kerana pihak pendakwaan perlu menghadiri satu persidangan pada tarikh berkenaan, lapor Bernama.

Pada 21 Sept lalu, Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Butterworth dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.

Dia didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 23 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibuat setelah aduan dibuat oleh daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serang pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.


Audit: Bukti Umno BN gagal urus wang negara | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu kelemahan pengurusan kewangan kerajaan adalah disebabkan oleh kerakusan Umno BN memerintah negara dengan secara boros, tidak berhemah dan berlaku penyelewengan kuasa yang serius sehingga menyebabkan kehilangan wang kerajaan.

“Kelemahan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Katanya, Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kerajaan selama ini sememangnya tidak pernah mengambil peduli terhadap perjalanan sistem pengurusan kewangan yang berhemah dan telus.

Ini, katanya kerana budaya kerja Umno BN telah membarah dengan budaya rasuah, kronisme dan nepotisme walaupun telah ditegur oleh Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini.

Selain itu, ujarnya disebabkan kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat juga memberi kesan terhadap syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kementerian Kewangan yang mana 19 daripada 47 syarikat mengalami kerugian pada tahun 2009.

Jumlah kerugian bernilai RM0.71 billion iaitu penurunan RM3.83 billion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 billion pada tahun 2008.

Terbaru, sebuah badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaannya.

Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.

Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.

Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

Justeru, kata Sany, pihaknya meminta supaya pihak kerajaan menghentikan amalan pengurusan yang tidak berhemah dan boros dalam berbelanja.

Ini kerana, ujarnya akan menyebabkan negara menanggung hutang yang banyak dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang tersebut melainkan dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah.

Oleh itu, tambah beliau Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya supaya menolak Umno BN di dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana Umno BN terbukti gagal di dalam mengurus kewangan negara, mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan kroni.

“Tolak BN untuk selamatkan Malaysia,” serunya.



Bersiap untuk Ijtimak Tarbawi 2011 esok | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Bermula esok, 28 Oktober jam 4.30 petang hinggalah 30 Oktober, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi bakal melakar sejarah menelusuri episod perjuangan Islam di Malaysia, apabila anak-anak muda yang cintakan Islam, sahabat seperjuangan yang rindukan ikatan ukhuwwah Islamiah dan pejuang yang perlukan sentuhan tarbiah ruhiah harakiah dari para murabbinya akan berhimpun dengan penuh ‘persediaan’ untuk ditarbiyah aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar.

Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, sekurang-kurangnya ada tiga tumpuan yang perlu diberikan oleh setiap peserta ijtimak.

Pertama, katanya setiap pengisiannya yang terdiri dari taujihat, amanah, wasiat, kertas kerja, forum dan arahan pimpinan, antara cara memberi tumpuan ialah dengan rakaman audio, menulis dan menghafaz poin-point penting.

Di samping itu, katanya aktiviti dan amali sepanjang ijtimak seperti al-mathurat, solat jamaah, qiamulail, munajat, taaruf, makan bersama, rehat bersama dan pelbagai aktiviti yang bersifat secara langsung atau tidak secara langsung mestilah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk nilai tambah kepada pengisian yang kita perolehi melalui agenda dan tentatif yang telah disusun.

“Yang ketiga ialah ujian dan cabaran yang bakal dihadapi sepanjang program malah ia akan berterusan sepanjang masa perjuangan kita,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya jangan lepaskan peluang keemasan itu dengan menyerap sebijak mungkin hikmah dan ibrah (pengajaran) dari ujian dan cabaran yang ditempuh, lantaran ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang tidak dapat dibekalkan oleh sekretariat Ijtimak Tarbawi 2011 kelak.

“Sama-samalah kita berdoa agar Ijtimak Tarbawi 2011 yang bakal berlangsung esok, benar-benar berjaya, bukan sahaja penganjuran aktivitinya tetapi juga menepati matlamat dan objektif yang telah digariskan.

“Suatu yang saya mahu ialah lahirnya pemuda-pemuda yang ikhlas berjuang, gigih menunaikan amanah perjuangan, cekal menghadapi rintangan, berjaya mengurus diari gerak kerja yang menepati piawaian ansorullah,” katanya lagi.


Tiada ulasan: