SHAH ALAM, 28 Okt: Kerajaan Negeri Selangor bimbang dengan peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) yang tidak terkawal dan gagal dikurangkan walaupun pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mendakwa telah melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkannya. Pengerusi Jawatankuasa Petap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Elizabeth Wong (gambar) berkata kegagalan Syabas menurunkan peratusan NRW ke tahap yang memuaskan membuktikan syarikat konsesi air itu gagal menjalankan penyelenggaraan paip-paip air dengan baik seperti yang dikehendaki dalam perjanjian penswastaan air antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi. “Jika Syabas tidak mampu mengurangkan NRW pada tahap yang memuaskan, ia akan memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih untuk pengguna,” ujarnya dalam satu kenyataan. Menurutnya, mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syabas masih gagal mengurangkan kadar NRW kurang dari 30 peratus. Katanya, walaupun kadar NRW menurun pada kadar 32.38 % pada 2009 berbanding 38.43 % pada 2005, tetapi meningkat semula pada tahun lalu dan tahun ini malah SPAN meramalkan NRW terus meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020. Tambahnya, tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tidak mustahil krisis bekalan air bersih di Lembah Klang akan berlaku walaupun tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang mencukupi dan adakalanya berlaku limpahan. “Laporan Pengkajian Penilaian Aset Air Negeri Selangor oleh Ranhill mendapati, dua loji rawatan air iaitu Kalumpang dan Sg Sireh memerlukan penambahbaikan yang besar manakala 18 lagi loji memerlukan penambahbaikan,” katanya. Ini, ujarnya menunjukkan pengendali loji-loji berkenaan, Puncak Niaga telah gagal melakukan usaha untuk menambahbaik loji-loji rawatan air ini bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan pengguna. Justeru, katanya tidak hairanlah jika loji-loji ini berfungsi di bawah kemampuannya sedangkan ia mampu menghasilkan air bersih yang mencukupi jika loji-loji itu dinaik taraf. Menurutnya lagi, menteri-menteri Kerajaan Pusat lebih ghairah bercakap mengenai keperluaan membina Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2, bagi menutup kelemahan dan ketidakmampuan syarikat konsesi ini yang ada hubung kait dengan Umno. Beliau menambah, Langat 2 yang dipertahankan kerajaan Pusat dan syarikat konsesi ini hanyalah loji yang membawa air mentah dari Pahang tetapi pembinaannya tidak akan mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih kepada pengguna. Katanya, isu yang patut diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat ialah menyegerakan pengambilalihan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri Selangor yang sengaja dilewat-lewatkan dan dibelenggu masalah-masalah yang tidak sepatutnya timbul. Beliau berkata, pengurusan air akan lebih terjamin, terurus dan profesional jika kerajaan negeri diberi mandat untuk ambil alih dari syarikat konsesi kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding keuntungan, tidak seperti syarikat konsesi yang mana keuntungan adalah segala-galanya. “Jika kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air, kita amat yakin NRW berjaya diturunkan hanya sekitar 10 peratus dan tidak akan berdepan masalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 10 peratus setiap tahun,” ujarnya yang juga Adun Bukit Lanjan. Katanya, kejadian paip bocor berhampiran Lapangan Terbang Subang baru-baru ini menjadi contoh kepada ketidakcekapan Syabas dalam menyelenggara paip-paip ini. Tambahnya, ia bukan saja mengundang kesengsaraan kepada pengguna jalan raya malah menyumbang kepada pembaziran air bersih sekali gus meningkatkan peratusan NRW. “Syarikat konsesi gagal mempelbagaikan teknologi rawatan air seperti rawatan air dalam kontena yang lebih mudah, cepat dan murah berbanding membina Langat 2. “Teknologi ini juga boleh digunakan untuk merawat air hujan sehingga bersih dan selamat untuk digunakan,” ujarnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ijtimak Trbawi 2011 Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan bermula petang ini bukan sahaja untuk ahli dewan itu malah terbuka kepada semua khususnya anak muda dan juga muslimat.
Pengarah program itu, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz berkata, orang ramai khususnya belia dijemput hadir ke program itu yang akan berlangsung tiga hari sehingga Ahad ini bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar.
"Ianya terbuka kepada semua. Sebenarnya yang kita tumpu adalah anak muda.
"Muslimat pun boleh ikut serta. Kita juga menjemput Nisa' untuk hadir bersama," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat kepada harakahdaily.
Pihak penganjur juga ujarnya telah menyediakan pelbagai persiapan termasuk penginapan kepada peserta yang akan hadir.
"Kita sasar 6,000 orang akan menyertai ijtimak kali ini. Sehingga kini lebih 4,000 sudah menyatakan pengesahan untuk hadir," katanya yang tidak menolak kehadiran akan melebihi sasaran. Untuk menarik golongan muda hadir ke ijtimak kali ini juga, Dewan Pemuda PAS buat julung kalinya menerbitkan filem pendek bertajuk "Gua Ikut Enta". Filem yang dipecahkan kepada tiga siri itu disiarkan berperingkat-peringkat sejak minggu lalu dan mendapat respon positif dari banyak pihak.
Sementara itu, pendaftaran program tersebut akan bermula pada jam 3 petang ini manakala majlis perasmian dijadual disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz selepas Isyak.
Sebelum itu, Tuan Guru akan menyampaikan kuliah Maghrib kepada perserta program tersebut.
Ijtimak Tarbawi 2011 adalah program khusus Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai program tarbiah ruhiah harakiah dari para murabbinya, bagi mempersiapkan anak muda dengan ‘kemantapan aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka.
Selain pemimpin utama PAS, program tersebut juga bakal menampilkan tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara seperti Ikhwanul Muslimin dan Hamas untuk berkonsi pandangan mereka.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 28 Okt: Walaupun Kerajaan BN mendabik dada kononnya begitu prihatin dengan kebajikan rakyat, para penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutama di Kuala Lumpur terpaksa menanggung sekurang-kurangnya 9 jenis permasalahan yang sebahagiannya boleh disebut azab. Kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (KOTA 2011) mendapati permasalahan pertama membabitkan ketidakselesaan kepada para penghuni, apabila ribuan keluarga diletakkan dalam ruang yang sempit yang disusun padat sebagaimana buku-buku di rak perpustakaan. Pengarah KOTA 2011, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, keluasan rumah yang sangat sempit kurang 65 meter persegi, malah ada yang dibina di bawah paras minima keluasan rumah kos rendah yang sepatutnya iaitu 60 meter persegi sangat tidak sesuai untuk seisi keluarga, tambahan pula rumah dibina sehingga 17 tingkat ketinggiannya. Menurutnya, reka bentuk rumah yang rapat dengan tingkap bersebelahan dengan rumah sebelah atau tingkap berhadapan secara dekat dengan rumah berikutnya menyebabkan berlakunya pencerobohan hak-hak privasi. Katanya, sebab itulah tidak pelik banyak gejala sosial berlaku di PPR yang bukan sahaja melibatkan remaja, tetapi juga orang dewasa dan tua. "Reka bentuk rumah yang menyekat cahaya dan udara masuk ke rumah disebabkan pembinaan berlapis-lapis dan tingkap yang sedikit serta terpaksa dilangsirkan secara tertutup, turut mendatangkan masalah besar kepada penduduk. "Keadaan itu memaksa penduduk menghabiskan banyak tenaga letrik untuk bercahaya dan berudara lebih di siang hari dan malam hari. Jika tidak, rumah akan bergelap dan penghuninya kepanasan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Azab lain, menurut beliau, rumah-rumah tersebut dibina dengan bahan yang berkualiti rendah sehingga menyebabkan kerap berlaku kerosakan struktur rumah penduduk dan kawasan yang dikongsi bersama menyebabkan keselamatan penduduk terancam. Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan tindakan yang disengajakan oleh pihak-pihak terbabit bagi menjimatkan kos untuk meminimakan pebelanjaan dan memastikan ia cepat siap. "Akibatnya, berlakulah pula pembaziran wang untuk membaik pulih dan juga mendatangkan bahaya kepada penghuni," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan. Manakala masalah lain pula, menurutnya, para penghuni terpaksa berhadapan dengan masalah parkir kereta yang tidak mencukupi, apabila terdapat di antara PPR itu hanya menyediakan 30 peratus unit parkir sahaja berbanding jumlah perumahan. "Ini menyebabkan wujudnya parkir berlapis-lapis, suatu pandangan wajib akan kita lihat di kawasan PPR apabila kenderaan parkir berlapis-lapis sehingga ke jalan utama dan membayakan pengguna," ujarnya. Oleh itu, menurut beliau, PPR yang berlambak di Kuala Lumpur sekarang boleh diibaratkan sebagai penjara paksa buat rakyat, menjadikan perumahan yang dibina oleh kerajaan itu bukan sekadar gagal menyelesaikan masalah perumahan, bahkan mendatangkan kesan buruk berganda kepada rakyat. Perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK9) itu, katanya, bertujuan memastikan rakyat mendapat kemudahan perumahan yang mencukupi untuk dibeli atau disewa khususnya kepada golongan berpendapatan rendah. "Ia berterusan dalam RMK10 dan RMK11. Pada tahun 2012 akan datang, diperuntukkan RM443 juta untuk membina 8,000 unit PPR untuk disewa dan 7,000 PPR untuk dijual," katanya. Di Kuala Lumpur sahaja sekarang, jelasnya, terdapat 25 projek perumahan rakyat (PPR) yang melibatkan 32,762 unit yang dibina di Bandar Tun Razak, Pudu, Cheras, Lembah Pantai, Kepong dan beberapa kawasan lagi. Ia dibina untuk menggantikan perumahan setinggan yang dirobohkan di seluruh Kuala Lumpur dan juga perumahan rakyat berpendapatan kurang RM2500 buat masa ini. "Pada April 2010, kerajaan telah menawarkan penjualan 21,611 unit PPR di Kuala Lumpur kepada penghuni sedia ada. Daripada jumlah itu, hanya 10,159 sahaja yang layak membeli PPR ini, manakala bakinya bermasalah untuk mendapat kelulusan pembelian atas pelbagai sebab," tegasnya. Sebahagian masalah yang dinyatakan itu, tegas beliau, merupakan azab yang diterima rakyat yang terpaksa menghuni perumahan itu demi melindungi keluarga masing-masing. "Apa yang mengerikan, kesan besar kepada permasalahan ini akan menyebabkan runtuhnya institusi sosial dan menularnya gejala tidak sihat seperti perceraian, zina, ragut, rompak, penagihan dadah, pergaduhan sesama masyarakat dan pelbagai masalah lagi. "Ini disebabkan rumah yang sempit yang tidak menjadi tempat kondusif perlindungan seisi keluarga dan juga ruang privasi yang diceroboh," tegasnya. Rentetah itulah, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menganjurkan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur 2011 (KOTA 2011) esok, 29 Oktober bermula jam 9.00 pagi di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, bagi membincangkan masalah perumahan rakyat dan tanah di bandaraya Kuala Lumpur. "Sudah menjadi satu desakan kepada kami, parti-parti politik, NGO, badan-badan bertindak perumahan dan persatuan-persatuan penduduk untuk bersatu dalam satu Konvensyen khas bagi merumuskan penyelesaian berpanjangan kepada permasalahan yang disebutkan. "Bukan sekadar masalah PPR, tetapi juga perumahan awam lain, masalah Kampung Baru, kampung-kampung tradisi dan setinggan akan menjadi tajuk perbincangan kami pada esok hari," katanya. Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh penduduk Kuala Lumpur dan luar Kuala Lumpur sama ada daripada NGO, parti politik, ahli akedemik dan orang perseorangan menyertai KOTA 2011. Mereka yang berhajat untuk menyertainya dan memerlukan maklumat lebih lanjut bolehlah menghubungi Khalil menerusi hand phone bernombor 019-4002609. "Semoga ada cahaya yang cerah di sebalik KOTA 2011 untuk masyarakat bandaraya ini," ujar beliau.
Muhammad Faeez | IPOH, 28 Okt: PAS Perak menyeru semua ahli di negeri ini turun ke program Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat negeri yang akan diadakan esok hingga 30 Oktober di Masjid Tinggi, Bagan Serai. Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir berkata, program itu amat penting untuk menyuntik semangat ahli untuk menawan kembali Perak pada PRU-13 nanti. “Saya sebagai pengarah program menyeru semua ahli di seluruh negeri Perak supaya turun ke program ini bagi memeriahkan lagi sambutan yang julung-julung kalinya diadakan ini,” tegasnya. Sambutan akan dihadiri oleh pimpinan utama termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu, dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai program yang akan diadakan diadakan seperti Konvensyen Negara Berkebajikan, wacana kemerdekaan, gerai jualan, pameran sejarah, sukan Pasti dan sukan rakyat, pertandingan pidato, persembahan kesenian rakyat dan banyak lagi.
Subky Latif | UNTUK kesekian kalinya UMNO dan Barisan Nasional bercakap tentang perlunya calon yang boleh menang diletakkan dalam PRU 13 yang bila-bila saja sekarang. Pengajaran yang dialami UMNO/BN dalam PRU 12 Mac 2008 dulu banyak mempengaruhinya membangkitkan isu calon yang boleh menang itu. Mungkin ia satu muslihat bagi memudahkan BN dan UMNO mengatasi perebutan calon sesama UMNO dan sesama parti kerabat BN. Apa cara BN untuk menolak lebih ramai calon MIC dalam pilihan raya akan datang atau untuk mengenepikan tuntutan PPP supaya diberi tambahan calon buat partinya? Atau ia juga boleh dijadikan satu muslihat bagaimana UMNO hendak mengambil kerusi-kerusi yang diberikan kepada bukan UMNO di kawasan yang majoriti Melayu. Dengan tektik ini memudahkan pimpinan UMNO meletakkan calon yang mereka kehendaki. Mana-mana calon yang tidak dikendaki mudah diketapi atas alasan bagi memastikan calon yang boleh menang saja yang dipilih. Mana-mana ketua UMNO Bahagian yang tidak terpilih dan mana wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula nanti logiknya mereka diragui boleh memenangi pilihan raya itu. UMNO dan BN dengan sendirinya terpaksa menerima keadaan itu kerana masing-masing mahu memastikan Barisan bukan saja dapat mempertahankan kerajaannya yang ada bahkan dapat merampas semula kerajaan yang hilang dulu. Isu ini bukan baru bagi UMNO tetapi sudah berbangkit menjelang Pilihyan Raya Kecil Hulu Selangor dua tahun lalu. Pemimpin MIC ketika itu, Samy Vellu mempertahankan supaya Timbalan Presidennya, Palanivel yang kalah di situ tahun 2008 dicalonkan semula. Tetapi UMNO Hulu Selangor yang mahukan kawasan itu diberi kepada UMNO memberikan alasan Palanivel yang sudah kalah itu tidak boleh menang lalgi. Komprominya Palanival ditolak tetapi kerusi itu dikekalkan untuk MIC dan menggantikannya dengan calon lain. Kamalnathan dipercayai boleh jadi calon boleh menang. Benar dia menang. Ini menguatkan hujah UMNO supaya calon yang boleh menang saja yang letakkan kali ini. Jika UMNO mahu memastikan ia menang semula, maka UMNO mesti menerima teori itu. Ini juga bagi memudahkan BN menolak permintaan PPP mahu satu calon di Kelantan. Kalau UMNO pun payah menang di Kelantan, maka apa lagilah PPP sekali pun calonnya Melayu. Apa juga tektik UMNO untuk menghadapi pengikutnya, ia adalah masalahnya. Tetapi isu calon boleh menang saja yang dipilih adalah menandakan gelabah parti itu untuk menghadapi pilihan raya masa akan datang. Ia menandakan UMNO tidak lagi perkasa. Dulunya UMNO itu adalah perkasa seperti besi waja. Ia boleh letak siapa saja. Di zaman keagungan UMNO dulu, ia letak batu dan kayu sebagai calon, ia boleh menang. Dalam tahun 1959 di kampung saya di Sitawan. Perikatan meletakkan seorang MCA yang tidak terkenal, cakap Melayu tidak boleh dan cakap Inggeris pun tak boleh. Bagaimana dua hendak bercakap di Parlimen atau DUN? Dia bukan calon yang disenangi MCA. Tetapi UMNO mahu dia. Kerana UMNO memang kuat, tunggul pun menang. Seperti Nik Abdullah Arshad ADUN PAS di Kelantan yang ditahan di bawah ISA awal tahun 1960. Dia bertanding dari khemah tahanan. Tukang kempen membawa songkoknya di setiap ceramah. Hanya membagi tahu Nik Abdullah tidak dapat datang kerana ditahan. Hanya songkoknya yang boleh didatangkan. Dia menang. Mengapa? Partinya kuat. PAS bawa beberapa calon dari luar Kelantan. Ramai pengundi tak kenal mereka. Tetapi kerana PAS kuat, sekalian mereka menang. Masa itu sudah tidak ada pada UMNO. Tetapi PAS di Kelantan dipercayai dapat mengekalkan calon dari luar. Mereka dipercayai masih boleh menang. BN dipercayai sukar menjadi calon MCA dan Gerakan yang boleh menang di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tiada sukarelawan MCA sedia ke Pulau Pinang. MCA dan MIC lebih senang dicalonkan di kawasan majoriti Melayu. Dengan UMNO yang belum pulih sekarang adalah satu risiko meletakkan MCA dan MIC bertanding di kawasan Melayu. Kalau UMNO tidak dapat memastikan calon Melayu sendiri boleh menang di kawasan majoriti Melayu, dalam suasana perkaum begitu mendadak dalam UMNO dan MCA, payah diduga MCA dan MIC boleh menang seperti dulu. Inilah sebabnya UMNO memberi isyarat awal calon yang boleh menang saja yang akan dipilih bertanding.
Malapetaka bagi negara Ini Dr Mujahid Yusof | Semasa berita penggantungan Prof Aziz Bari tersebar, wartawan menghubungi saya dan meminta komen. Saya mengatakan dalam bahasa yang mudah "ia adalah malapetaka bagi negara ini" dalam sesebuah negara perkembangan intelektual menjadi antara tunggak utama dalam membentuk negara yang bermaruah dan bertamadun. Apabila golongan intelektual dinafikan hak mereka untuk memberi pandangan dalam bidang kepakaran mereka, kepada siapakah lagi yang kita harapkan untuk dirujuk? Pepatah Arab ada mengatakan: "Orang yang tiada tak akan dapat memberikan apa-apa" Walaupun bukanlah Prof Azizi Barri satu-satunya pakar di negara ini tetapi dengan mengenakan tindakan penggantungan, pihak Universiti tidak mengirimkan isyarat yang betul kepada perkembangan intelektual di negara kita.
Usaha-usaha kerajaan BN hari ini tidak konsisten dalam membuat transformasi dan kebebasan bersuara, walaupun digembar-gemburkan bahawa negara kita akan menuju kepada era Transformasi tetapi kes Prof Aziz Barri telah menggagalkan usaha-usaha ini khususnya dalam membentuk budaya kebebasan intelektual yang menjadi pra-syarat kepada kemajuan sesebuah negara. Setiap kita berhak untuk mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas Profesor yang pakar dalam bidang perlembagaan itu. Selagi seseorang itu bergelar ilmuan dan pakar ia bukan lagi masalah universiti, ia adalah juga masalah masyarakat yang menumpang keupayaan intelek mereka dan keilmuan mereka. Apatah lagi Prof. Aziz Barri adalah tokoh yang banyak mempunyai pengaruh dalam menyedarkan masyarakat isu-isu keperlembagaan yang menjadi dokumen resmi seluruh rakyat Malaysia. Apakah tanggapan orang ramai, jikalau seorang pakar diambil tindakan hanya kerana pandangan kepakarannya?
Kejayaan mana-mana universiti bukan sahaja terletak kepada kejayaan penyelidikan tetapi kebebasan intelektual adalah asas yang menjamin usaha-usaha penyelidikan dan inovasi berterusan. Dengan penggangtungan Prof Aziz Barri oleh pentadbiran UIA satu isyarat telah terbentuk dalam benak orang ramai bahawa kebebasan intelektual tidaklah sebenarnya bebas. Ia juga seolah-olah satu ancaman kepada masyarakat intelektual di menara gading bahawa mereka harus berhati-hati dalam menyuarakan pandangan mereka jikalau tidak mereka akan dikenakan hukuman. Keadaan ini tidak membantu perkembangan intelek yang sifatnya adalah bebas kongkongan dan berlegar di sekitar kepakaran masing-masing. Dengan kes awalan di UIA tentang kebebasan intelek, masyarakat intelek kini hidup dalam keadaan ketakutan untuk memberi pandangan seolah-olah mereka diperhatikan untuk berfikir!
Universiti seharusnya bebas dari kongkongan politik dan isu politik, walaupun isu penggantungan Prof Aziz Barri adalah di bawah kuasa pihak Universiti Islam namun isu dan pandangan yang diberikan oleh Prof Aziz Barri kemungkinan ditafsirkan sebagai menyinggung pihak tertentu. Saya tidak menuduh, tetapi jikalau UIA membuat keputusan kerana tunduk kepada tekanan pihak tertentu, ini adalah sesuatu yang amat malang kepada kepada pentadbiran universiti dalam membuat keputusan.
Saya menrima banyak aduan dalam Facebook yang diposkan kepada saya tentang nasib mereka yang di bawah seliaan Prof Aziz Barri di tahap post graduate. Mereka tidak tahu apa nasib mereka debgan penggantungan ini kerana ramai yang akan tergantung dengan penggantungan Prof ini. Keputusan UIA nampaknya tidak konsisten, setelah tekanan dibuat oleh pelajar pada hari Jumaat lalu dan setelah menerima feedback masyarakat di luar universiti, pihak pentadbiran seolah-olah cuba melembutkan keadaan bahawa ia bukan penggantungan, ia hanya surat tunjuk sebab. Walhal surat yang diterima menurut Prof Aziz Barri ialah menghalang Prof ini dari masuk ke kawasan Universiti melainkan denan izin universiti! Malangnya Prof kini menjadi orang buangan di tempat yang dia sendiri menjadi pendidik di dalamnya.
Ali Parlimen Kubang Kerian telah membawa usul tergempar untuk dibahaskan dalam Parlimen isu penggantungan Dr Azizi Barri, malangnya usul ini ditolak dalam kamar Speaker lagi. Saya, Yb Kuala Selangor dan Kubang Kerian mengadakan sidang akhbar pagi ini menyatakan kekesalan kami kepada apa yang berlaku ke atas Prof Aziz Barri, kami bersetuju bahawa kes Dr Aziz Barri adalah sejarah hitam kepada perkembangan intelektual di negara kita. Apabila golongan ilmuan dikenakan sekatan untuk memberikan pandangan mereka pastinya kebangkitan untuk perubahan regim semakin mendapat momentum. Ada hadis menyatakan : "Allah tidak akan menghancurkan sesuatu bangsa itu sehinggalah hilang orang yang ilmuan di kalangan mereka" Menyekat kebebasan intelektual adalah prose penghakisan golongan ilmuan.
**Dr Mujahid Yusof Rawa adalah AJK PAS Pusat serta Ahli Parlimen Parit Buntar
Bantuan RM500 tidak ikhlas? Majdan Dagang | 'Rumah siap pahat berbunyi', mungkin itulah peribahasa yang sesuai digunakan terhadap pembentangan belanjawan 2012 yang baru berlalu.
Pengumuman kerajaan bahawa setiap keluarga yang pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah akan diberi RM500 pada akhir tahun ini dinilai daripada pelbagai sudut oleh rakyat, ada yang gembira dan ada yang tersenyum sinis.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pemberian tersebut adalah salah satu usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.
Selain syarat pendapatan tersebut, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana manakala bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemberian RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit.
Tidak ketinggalan baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.
Dari satu sudut, memanglah, rakyat wajar mengalu-alukan pemberian seumpama itu. Sekurang-kurangnya dapat membebankan sedikit golongan sasaran.
Namun berdasarkan syarat-syarat yang diserikan, pasti akan ada golongan sasaran yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.
Yang pertama, syarat jumlah pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah. Syarat seperti ini bakal menidakkan hak sesebuah keluarga yang mempunyai pendapatan lebih sedikit daripada syarat tersebut. Bagaimana jika pendapatannya RM3,100? Adakah layak menerima bantuan ini?
Perincian syarat-syarat keluarga yang menerima bantuan ini akan menimbulkan pelbagai perbahasan lain, seperti; keluarga yang mempunyai lima orang anak yang bersekolah dan berpendapatan RM,3100 tentunya lebih layak menerima bantuan berbanding keluarga yang berpendapatan RM2,950 yang hanya menanggung seorang anak bersekolah. Jika syarat-syarat itu terlalu khusus dan ketat, maka makin ramailah rakyat yang tidak puas hati dengan dasar kerajaan tersebut.
Yang kedua, bakal penerima mestilah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bagaimana pula nasib rakyat lain yang tidak berdaftar tetapi pendapatan isi rumah mereka di bawah RM3,000? Golongan yang ramai berada dalam kelompok ini tentulah rakyat luar bandar yang bekerja sendiri – apakah mereka ada menerima bantuan dalam bentuk lain? Amat malang jika akhirnya kelompok inilah yang paling malang kerana terpinggir dan dipinggir secara terhormat oleh pemerintah.
Sehingga kini, kelompok inilah yang sering diabaikan dalam setiap kali belanjawan dibentangkan. Mereka hanya mendengar jumlah peruntukan yang berbilion ringgit untuk rakyat luar bandar, hakikatnya pengumuman itu terbang dibawa angin dan lesap begitu sahaja – hampir setiap tahun. Janji-janji manis itu sekadar menyedapkan telinga dan pengharapan yang tidak pernah kunjung tiba. Rakyat luar bandar masih jauh ketinggalan dalam banyak aspek terutama dari segi pembangunan.
Yang ketiga, jumlah pemberian tersebut tidak memadai dengan peningkatan kos sara hidup masa kini. Pemberian itu sememangnya diterima dengan tangan dan hati yang terbuka. Hal ini kerana, wang tersebut datangnya daripada pelbagai jenis cukai. Realiti suasana kos hidup yang tinggi pada hari menjadikan jumlah tersebut sangat kecil nilainya.
Sudahlah penerima dikenakan syarat-syarat yang menyukarkan, jumlah tersebut kurang pula dengan nilai semasa. Pada masa yang sama pemberian tersebut tidak menyeluruh dan mungkin menyebabkan jurang antara rakyat dan kerajaan semakin menjauh.
Dalam hal ini, masih ada cara yang lebih mudah dan semua rakyat mendapat manfaatnya. Rakyat tidak perlu dikenakan apa-apa syarat dan kerajaan tidak perlu bersusah payah menggerakkan agensi di bawahnya untuk membuat kerja-kerja tambahan.
Yang rakyat keseluruhan mahu bukan sekadar pemberian tersebut, tetapi yang lebih penting ialah penurunan kos sara hidup. Jika kerajaan dapat menurunkan harga minyak dan gas ke tahap yang sewajarnya, maka segala kos barangan lain akan turut turun. Apabila semua nilai barangan dapat direndahkan, maka dengan sendirinya nilai pendapatan rakyat akan tinggi.
Tidak perlulah rakyat disogokkan dengan pemberian “wang ehsan” tersebut. Apabila kos hidup tidak tinggi, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 rakyat mampu memiliki rumah teres, kenderaan, dan menanggung persekolahan anak-anak dan sebagainya.
Itu lebih baik daripada bersusah payah memperjuang gaji minimun. Hal ini kerana, perjuangan menuntut gaji minimum tidak akan habis-habis selagi kos sara hidup meningkat dan terus meningkat.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang | Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil? Dua perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati kebijaksanaan yang ditunjuk oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiyyah. Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman kita ini diwarwarkan ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadari yang sudah hampir lenyap suaranya. Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan Mufti, mewarwarkan ribuan orang melayu menjadi murtad dan masuk agama kristian dan hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis untuk disoal siasat. Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak dibawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan. Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad. Kesalahan Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdailog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas Al Quran dan Hadith. Para ulama sqidah dan Syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang ,membatalkan Iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan. Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram. atau harus. Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakunan drama dan sebagainya. Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya. Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim terhadap kaum lain. Slogan ‘Selamat Melayu Maka Selamat Islam’ menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur. Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam. Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia. PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim. PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan : Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang. PAS tetap mengambil kira jasa Al Marhum Tunku Abdul Rahaman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengIslamkan tokoh-tokoh besar dizamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah dimana. PAS juga mengambil kira kejayaan Al Marhum Tun Datu Mustafa yang berjaya mengIslamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan USIA nya, dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Serawak . PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna. |
| | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan