Selasa, 11 Oktober 2011

PATUT BEGITU...SEBAGAI ORANG YANG BERIMAN...FAHAM BAHAWA HUDUD WAJIB DILAKSANA DENGAN SEGERA...

Sultan Brunei mahu undang-undang Islam dilaksana segera | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sultan Brunei hari ini menitahkan agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera, serentak dengan undang-undang sivil di negara itu.

Baginda yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di bangunan Majlis Undangan di sini berkata,perlaksanaan undang-undang itu tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada.

Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia.

"Kita tidak harus melambatkan dan sebaliknya merebut petunjuk itu secara positif.

"Apa lagi di sana untuk menunggu? Kita sudah mempunyai bangunan mahkamah yang mengagumkan, ramai pakar telah dihasilkan dan bahawa negara telah mencapai kemerdekaan. Apa lagi?" soal baginda.

Menurutnya, setiap individu bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan baik yang merupakan permintaan dari Allah Maha Kuasa.

Sehubungan itu ujarnya,undang-undang Islam penting untuk mengawal semua masalah dalam hidup, agama, keturunan, minda dan kekayaan.

"Walaupun ia adalah tanggungjawab kita, ia perlu dipenuhi bagi Allah Maha Kuasa," titah baginda lagi.

Memetik laporan Brudirect.com, undang-undang Islam ujar baginda, adalah pengetahuan dan sistem yang unik dan sangat cantik dan sudah tentu akan dipilih apabila difahami, namun jika ia tidak difahami, ia akan dibenci.

"Tetapi sejak manusia tidak mahu memahami, undang-undang itu dilihat sebagai buruk dan menakutkan. Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa, kita dipandu oleh-Nya untuk melihat dengan jelas keindahan undang-undang Islam.

"Saya memberi mandat kepada agensi-agensi atau institusi yang berkaitan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Majlis Agama Islam, Negeri Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Mahkamah Syariah dan semua pihak untuk bekerjasama dan berurusan secara kolektif dan telus sehingga undang-undang ini mula membuahkan hasil," titah baginda lagi.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pg Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Brunei adalah badan tertinggi dalam membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dalam menegakkan kesucian Islam di negara ini.

[Baca berita asal]


DHPP sasar 30,000 ahli menjelang akhir tahun | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mensasarkan 30,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

Komitmen ini dibuat oleh DHPP dalam mesyuarat pimpinan DHPP Pusat dengan pimpinan Jabatan Pilihanraya PAS (JPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Mesyuarat itu disertai oleh pengerusi DHPP Hu Pang Chaw, timbalannya N Balasubramanian, naib pengerusi Vincent Lee, setiausaha Letchumanan dan lain-lain pimpinan pusat dan negeri DHPP.

Turut serta adalah lembaga penasihatnya iaitu Dr Mujahid Yusof dan pimpinan lain. JPP pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr Hatta Ramli serta ahli-ahlinya iaitu Mohd Firdaus Jaafar (anggota parlimen Jerai) dan Mohamad Husin (anggota parlimen Pasir Puteh).

Hu Pang Chaw ketika dihubungi berkata, usaha akan dibuat dengan kerjasama JPP untuk mencapai sasaran itu.

"Kita akan buktikan PAS sebuah parti yang relevan dan diterima pelbagai pihak dalam masyarakat majmuk Malaysia ini," katanya.

Dalam mesyuarat itu juga DHPP dan JPP saling bertukar idea dalam usaha mereka mempersiapkan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka juga mencapai kata sepakat usaha yang perlu dibuat untuk memenangi hati masyarakat di samping mengembangkan PAS.


Bajet 2012 tiada peruntukan tangani gejala sosial
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoal Bajet 2012 yang tidak menyediakan peruntukan khas untuk menangani masalah sosial dalam masyarakat.

NGO terbabit antaranya Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudahatus Sakinah, Pertubuhan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Rumah Puteri Arafiah merupakan NGO Islam yang aktif dalam kerja-kerja mencegah dan merawat golongan yang terjebak dalam masalah sosial seperti hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.

Menyifatkan kerajaan sebagai tidak serius untuk menangani masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat, Pengerusi Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan untuk menangani masalah ini.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini hari ini beliau berkata usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang beramanah, berintegriti dan bertangungjawab dibimbangi akan lebih mendatangkan keburukan kepada negara.

"Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk menangani masalah sosial melalui langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan agar dapat dikawal.

"Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini," katanya yang juga Ketua Wanita JIM.

Namun tegas beliau, apa yang dituntut bukanlah bantuan kewangan semata-mata sebaliknya kerjasama erat di antara kerajaan dengan NGO tanpa banyak karenah birokrasi.

Justeru, mereka menuntut kerajaan meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas serta menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) kepada kelompok yang terjebak dengan gejala sosial.

"Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Jangan biar kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan bajet 2013. Itu pun belum tentu suara kami diambil kira," katanya sinis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet 2012 Jumaat lalu tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk NGO Islam sebaliknya mengumumkan peruntukan untuk "Anjung Singgah" iaitu pusat khidmat bantuan sosial untuk memberi perlindungan sementara kepada golongan gelandangan.

Kini terdapat 1,400 gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

Kerajaan tolong buka mata

Sementara itu, Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat menegaskan kerajaan harus membuang sifat ego mereka sebaliknya mengaku mereka tidak mampu melakukan semua perkara dan menyerahkan sebahagiannya kepada NGO yang berpengalaman.

Beliau berkata, bagi Perkid sendiri, amat sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan khususnya JKM dalam usaha memberikan bantuan kepada remaja bermasalah.

"Kerajaan selalu syok sendiri, buat program mengikut citarasa mereka tanpa meminta pandangan kami yang sudah lama terlibat dengan kerja-kerja pencegahan ini. Tapi apa kesannya? Masalah sosial makin berlambak.

"Mereka tak bagi bajet kat kita, tapi berapa kali kami dapat arahan supaya tutup pusat perlindungan. Sudahlah kami kutip bayi terbiar, kami pun terbiar sama," katanya yang menguruskan empat rumah perlindungan remaja bermasalah antaranya di Hulu Langat, Selangor.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia, Kem Modal Insan KEWAJA, Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah, Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA), Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi.


Unit cari jodoh dicadang guna Facebook | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 11 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan unit cari jodoh atau `Mahligai Sakinah’ menggunakan laman sosial facebook sebagai cara baru untuk menggalakkan penyertaan kaum lelaki yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, kaedah mengisi borang cara konvensional kurang mendapat sambutan menyebabkan berlaku masaalah kekurangan calon lelaki.

“Mungkin kaedah lama itu membuatkan golongan lelaki begitu malas sebab kena pergi ambil borang, isi borang kemudian hantar.

“Akibatnya hanya calon wanita sahaja mengisi borang, sedangkan calon lelaki kurang mengambil perhatian,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) kali ke-6 di Balai Islam, di sini.

Katanya, memandangkan zaman kini segalanya telah berubah kepada internet, ada baiknya ‘mencari jodoh’ juga digunakan dengan kaedah berkenaan.

Namun, tambahnya pihak penganjur perlu memantau dan setiap para ahli yang telah bertemu pasangan mereka perlu dilaporkan pada pihak penganjur terlebih dahulu.

Maklumat calon dirahsia

Tegasnya, ia tidak bermakna penganjur akan mengambil mudah mengenai hak rahsia peribadi calon dan akan membuat tapisan ketat bagi memastikan hanya yang layak dan serius sahaja diberi perhatian.

Sambungnya, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk mengelak sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku memandangkan laman social ini mudah terdedah pada keburukan selain kebaikkan.

“Semoga usaha murni ini tidak disalah ertikan serta mendapat hasil yang baik,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa ahli telah bertemu jodoh masing-masing sejak ianya ditubuhkan 2007 lalu dan ianya akan diaktifkan semula untuk mencapai hasrat tersebut.

Mahligai Sakinah yang diwujudkan kerajaan negeri sejak 2007, mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita bujang tetapi bilangan calon lelaki yang sedikit menyukarkan pihaknya membuat padanan.


Pembangunan: Mana janji PM sebelum ini | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mempersoalkan tentang janji yang telah diumumkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Beliau mempersoalkan Abdullah pernah berjanji ingin memajukan kawasan-kawasan di perbatasan negara atau sempadan dengan melihat kawasan-kawasan tersebut dapat menyumbang ekonomi kepada negara.

"Mana janji yang telah dikatakan oleh Abdullah dulu tentang pembangunan di kawasan perbatasan negara, waktu itu beliau mengatakan pembangunan kawasan tersebut dapat menyumbang sektor ekonomi kepada negara selain hubungan dua hala dengan Thailand.

"Adakah projek yang dijanjikan itu tamat begitu sahaja apabila jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh orang lain," jelasnya ketika membahaskan Bajet 2012 di Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pandangan pertama memang begitu cantik tetapi tidak kepada perlaksanaan.

"Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kehidupan rakyat, sepatutnya taraf kehidupan rakyat terus terbela apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang.

"Kita tidak mahu bajet 2012 ini pada pandangan pertama memang begitu cantik dipandang tetapi tidak pada perlaksanaan.

"Angka yang besar tetapi ia boleh diubah ikut kehendak pemerintah sedangkan rakyat di bawah yang tidak mendapat perhatian siapa yang mampu mengubah hidup mereka," tegasnya.

Beliau juga mahukan kerajaan dapat melaksanakan pembangunan ekonomi selaras dengan perkembangan ekonomi negara dan ini disebabkan kebanyakan rakyat sudah memperlihat bahawa negara ini sedang berada di ambang kemelesetan.

"Kesilapan pentadbiran kewangan negara akan membawa kita ke arah kemelesetan ekonomi, dan sekarang rakyat sudah mula berkata-kata dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Tanggungjawab yang besar perlu dilaksanakan dengan sempurna begitu juga hak rakyat pelbagai kaum dan jangan dijadikan bajet kali ini hanya untuk golongan tertentu.

"Selain itu juga kerajaan perlu menilai segala projek yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan termasuk yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini," ujarnya lagi.


Masakan royalti, dokumen pun tak bagi | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt: PAS menggesa kerajaan Pusat berlaku jujur dalam isu tuntutan royalti Kelantan yang sehingga kini masih dinafikan pembayarannya.

Bercakap sewaktu membahaskan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat semalam, Salahudin Ayub (PAS- Kubang Kerian) berkata, penemuan terbaru menunjukkan Kelantan sememangnya berhak menerima pembayaran 5 peratus royalti itu.

Beliau merujuk kepada penemuan terbaru yang mendedahkan bahawa dua lagi kawasan zon minyak ditemui di Medan Bumi dan Medan Suria yang tidak masuk dalam kawasan bertindih Joint Development Area (JDA).

"(Medan Suria dan Medan Bumi) Bukan masuk JDA. Tidak lagi bertindih dengan Thailand. Kalau JDA, okey. Itu kita beri dengan Thailand dan royaltinya kita dapat bersama tetapi yang paling baru ialah Medan Bumi dan Medan Suria," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Selain itu juga ujarnya, kerajaan Kelantan juga tidak diberitahu tentang kawasan bertindih dengan Terengganu di sempadan iaitu di Medan Lawit, di Medan Damar dan Medan Bintang.

"Apa yang lebih memedihkan dan menyayat hati ialah apabila kita minta Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk apa yang dikatakan document discovery.

"Tuan Yang di-Pertua bukan minta duit lagi, hendak minta didedahkan dokumen itu, berapa banyak, berapa luas, berapa sebenarnya kuantiti hasil petroleum itu pun dinafikan hak Kerajaan Negeri Kelantan," katanya lagi.

Beliau juga menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam agihan Bajet 2012 'mengenepikan perbezaan politik kepartian' kerana yang akan menjadi mangsa kepada sikap itu adalah rakyat sendiri.

"Agihan mesti diluar daripada dendam kesumat atau dendam politik...

"Ini penting kerana itu ialah wang rakyat. Itu hak negara. Hak yang kita kongsikan bersama," katanya.

Tiada ulasan: