Rabu, 19 Oktober 2011

JANGAN KITA FIKIR YANG DIRANCANG MENGUNTUNGKAN KITA...TAPI KADANG2 IA MENIKAM SERTA MENYEBAB RAKYAT MENOLAK KITA....KERANA CARA ITU RAKYAT BERHATI2...

Umno sedia terima hudud daripada tolak rasuah! | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Siapa dapat menolak hakikat bahawa Umno-BN meraih kuasa dan kemudiannya mempertahankan takhta melalui proses "pembelian undi", dasar "patron-client (politik penaung-dinaung)" dan "rasuah" yang sudah berakar-umbi sejak zaman berzaman serta sukar untuk dicerai-tanggalkan lagi.

Boleh anda bayangkan Umno tanpa rasuah, salahguna kuasa, pembolotan kekayaan negara, monopoli tender projek yang memberi pulangan lumayan? Maaf cakap, pada hemat saya, Umno mungkin lebih bersedia menerima pelaksanaan hukum hudud daripada hidup tanpa korupsi dan nepotisme. Ya, hudud seperti diamalkan di Arab Saudi dan Pakistan ...

Justeru, biarpun Umno kalah di Kelantan sejak 21 tahun lalu, namun dengan agihan projek daripada pusat yang sarat dengan elemen habuan rasuah kepada setiap hieraki kepimpinannya di sana, parti itu masih nampak bertenaga. Malah, rasuah yang membusuk dalam usus Umno itu akan sentiasa menjadi penghalang daripada mereka kembali bertakhta di Kelantan.

Begitu juga dengan keadaannya di negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat; talian hayat Umno bergantung kepada naungan kerajaan persekutuan, yang turut melimpahkan materi untuk terus "merasuahkan" pengundi dengan niat untuk mengembalikan kuasa. Semangat kesukarelawanan sudah pupus. Lagi pun apa lagi yang mahu "diperjuangkan", 'kan?

Sekali lagi saya bertanya, bolehkah anda bayangkan bagaimana Umno mahu survive tanpa mendakap erat amalan rasuah, tumbuk rusuk atau makan suap itu? Bagi saya, tidaklah sukar untuk membayangkan masa depan Umno jika talian hayatnya itu diputuskan, terutama apabila kerajaan persekutuan bertukar tangan dan Putrajaya diambil alih.

Organisasi Umno sendiri akan menjadi pincang, tempang dan lumpuh jika tidak "dilicinkan" oleh "wang rasuah", yang disalurkan secara rasmi atau tidak rasmi, melalui tabung politiknya, yang dikutip "secara profesional" daripada sumber dana awam.

Bukan berita mengejutkan kita mendengar jutaan ringgit terpaksa "dilaburkan" untuk calon-calon yang bertanding di peringkat bahagian, apatah lagi pusat, memilih saf kepemimpinan Umno. Jawatan dalam parti menjanjikan keistimewaan, sama ada menduduki posisi dalam kerajaan, syarikat berkepentingan kerajaan GLC, pihak berkuasa tempatan (PBT), selain peluang meraih kekayaan melalui penganugerahan tender projek-projek kerajaan.

Soal berapa ramai pemimpin Umno dicekup SPRM, seterusnya didakwa di mahkamah dan akhirnya kebanyakan mereka dibebaskan, bukanlah isu besar. Dalam Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP), terbitan Jabatan Perdana Menteri, halaman 154, dicatatkan: "Pendakwaan yang berjaya terhadap individu yang berkuasa juga jarang berlaku, menyebabkan orang ramai percaya bahawa kami melindungi ahli politik dan individu yang mempunyai hubungan politik."

Mengenali agensi pencegahan rasuah daripada dekat sejak lebih 10 tahun lalu, dengan pengalaman saya membuat pelbagai aduan rasmi membabitkan orang kenamaan (VIP), sudah cukup untuk membuktikan bahawa banyak kes salahguna kuasa bukan saja boleh terlepas, malah tidak mampu pun untuk dihidu SPRM. Mungkin ada kes dilihat salah daripada segi moral dan etika, tetapi "dibenarkan" oleh undang-undang.

Tidak keterlaluan apabila ada pihak secara sinis berkata: "Sistem sedia ada telah menternak perasuiah-perasuah besar." Malangnya, Pelan Integriti Nasional 2004 yang diharap berupaya menjadi formula penyelesaian terbaik masih belum mendatangkan hasil. Konsep integriti belum membudaya dalam diri atau personaliti, apatah lagi dalam sistem dan institusi.

Projek-projek kerajaan, khususnya yang bernilai dan berprofil tinggi, masih diuruskan secara tender rundingan, misalnya pembinaan Istana Negara yang baru. Bukan saja kos projek melambung tinggi daripada harga siling, malah kontraktor kroni yang dipilih langsung tiada pengalaman. Selepas mendapat kritikan hebat, kini banyak projek dianugerahkan melalui proses tender terhad (bersaing sesama suku-sakat) -- bukannya tender terbuka -- sedangkan ia masih terikat kuat dengan amalan kronisme dan pilih kasih.

Justeru, saya tertarik untuk melihat pembentangan bajet 2012 daripada aspek ini. Apakah ruang dan peluang rasuah, penyelewengan perolehan serta ketirisan yang selama ini menghanguskan RM28 bilion setiap tahun, telah ditutup ketat? Buku Jingga yang diterbitkan Pakatan Rakyat juga mencatatkan, tiga kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.

Usahlah tersilau dengan "kemilau" pelbagai insentif one-off, namun perhatikan juga habuan yang dibolot para kroni dan suku-sakat elit pemerintah, misalnya siapa yang mendapat kontrak pembinaan infrastruktur, penjenamaan semula projek yang gagal, pelepasan cukai kepada kerabat.

Misalnya, kes pemaju hartanah di KLIFD, yang projeknya bernilai RM26 bilion, telah diberikan pelepasan cukai sebanyak 70% bagi tempoh 5 tahun. Pada kadar cukai korporat 25%, sebanyak RM1.3 bilion wang rakyat, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara, akan bolos begitu sahaja ke tangan kroni.

Dengan itu, saya cukup bersetuju dengan penekanan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, 10 Oktober lalu: "Belanjawan 2012 ini tidak lebih daripada senarai hadiah-hadiah kepada kroni dan golongan berkepentingan. Ratusan bilion akan dibelanjakan semata-mata kerana kroni akan diterus didahulukan, projek-projek diberi keutamaan, kemudian sisa bakinya barulah diagihkan kepada rakyat."

Benarlah apabila Anwar merumuskan: "Belanjawan 2012 menzahirkan ketagihan BN kepada rasuah dan penyelewengan."


KDN diminta jawab kempen bantah Mat Sabu | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan mengenai keterlibatan pihak polis dalam kempen tandatangan membantah kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung isu Mat Indera.

Ini ekoran satu salinan surat diterimanya baru-baru ini yang ditandatangani bagi pihak Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut Mujahid, surat yang diterima daripada seorang individu yang tidak mahu dikenali itu mengandungi arahan bertarikh 14 September 2011 kepada pegawai awam, kakitangan awam, pesara polis termasuk isteri dan keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menandatangani kempen bantahan terhadap Mohamad.

Malahan format kempen tandatangan turut disertakan dan diminta dikembalikan selewat-lewatnya pada 22 September lalu.

"Maksudnya ini arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan polis.

"Saya bercakap di Parlimen, bukan di kedai kopi. Sebab itu saya minta KDN jawab. Kalau betul tidak ada, saya tarik balik dakwaan ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid sebelum itu membangkitkan tentang surat itu sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat petang tadi.

Dalam perbahasannya, beliau meminta PDRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas dan tidak mencampuri ususan politik.

Beliau seterusnya menunjukkan surat tersebut kepada dewan menyebabkan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bangun membantah diikuti ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin sehingga menimbulkan kekecohan dan terpaksa ditenangkan Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Zulkifli malah menuduh Mujahid mencipta sendiri surat tersebut untuk memburuk-burukkan imej polis.

Bercakap pada sidang media, Mujahid tidak menolak kemungkinan bantahan terhadap Mohamad atau Mat Sabu itu satu tindakan terancang.

"Kes Mat Sabu ini adalah kes betul-betul dirancang untuk menimbulkan masalah.

"Kenyataan Mat Sabu biarlah ahli politik yang jawab. Yang polis nak campur tangan buat apa. Mereka terima laporan sudahlah," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Ekoran kenyataan Mat Sabu dalam ceramahnya Ogos lalu bahawa Mat Indera ialah pejuang kemerdekaan sebenar, pelbagai pihak bangkit menentang dan kira-kira seribu laporan polis dibuat terhadap Mat Sabu.

Himpunan bantah JPN diubah pada 24 Okt | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengambil keputusan mempercepatkan penganjuran himpunan khas bagi membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung Mykad klon dan kad pengenalan palsu kepada 24 Oktober ini, Isnin, di bangunan Parlimen, bermula jam 10.00 pagi.

Sebelum ini himpunan tersebut dijadualkan pada 25 Oktober, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan yang turut dilaporkan Harakahdaily pada 8 Oktober lalu, tetapi terpaksa dipercepatkan sehari sebelum itu bagi mengelakkan kesulitan ekoran perayaan Deepavali.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, perubahan tarikh itu dilakukan dengan persetujuan Nasrudin sendiri hasil perbincangan yang diadakan baru-baru ini.

Menurut beliau, himpunan tersebut akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, barisan kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Keadilan dan DAP dari Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan oleh Nasrudin pada 8 Oktober lalu.

Katanya, perhimpunan tersebut diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussin berkaitan isu kad pengenalan palsu, MyKad klon dan tindakan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing oleh JPN bagi tujuan-tujuan tertentu.

"Memorandum itu akan diserahkan sekitar jam 11.00 pagi, manakala perhimpunan besar-besaran pula akan diadakan sebelum penyerahan memorandum dilakukan pada jam 10.00 pagi di bangunan Parlimen," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya berharap agar penduduk di kawasan Kuala Lumpur dan dari negeri-negeri lain di seluruh negara hadir pada perhimpunan itu bagi mendapatkan pendedahan lanjut berhubung isu tersebut yang jelas mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup serius dalam menangani isu berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing, MyKad klon, kad pengenalan palsu dan isu berkaitan kod 71.

Katanya, namun dalam menjawab persoalan-persoalan berbangkit berhubung isu itu pula, para pemimpin Umno BN kelihatan banyak memberikan kenyataan yang menyalahkan kenyataan-kenyataan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

"Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menghantar beberapa memorandum kepada pihak kerajaan berhubung perkara itu, tetapi jawapan yang diterima tetap tidak menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.

Katanya, dengan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia terpaksa bertindak tegas untuk mengatasi masalah itu bagi ketelusan proses dan perjalanan pilihanraya di negara ini.

"Himpunan yang akan kami adakan itu adalah sebahagian dari tindakan tegas yang akan kami lakukan ekoran masalah itu yang perlu diberikan perhatian serius oleh JPN dan Kerajaan BN," tegasnya.

Menerusi himpunan tersebut, kata beliau, pihaknya akan mendedahkan segala dokumen yang berkaitan dengan isu tersebut dengan jelas kepada para peserta dan pihak media untuk didedahkan kepada umum.

Katanya, tindakan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebenarnya sudah lama dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan-tujuan tertentu di negara ini.

"Antaranya termasuklah yang berlaku pada 11 dan 12 Oktober lalu di Istana Dugang Country di Sepang, Selangor yang melibatkan 240 orang warga asing," katanya.

Sejak tahun 2008 hingga tahun ini, jelas beliau, sebanyak 27,293 MyKad telah diberikan oleh JPN kepada warganegara asing dan perkara itu dijelaskan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz pada persidangan Parlimen baru-baru ini ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.


Pakatan kecam blogger Umno fitnah anak Guan Eng | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pakatan Rakyat (PR) mengecam tindakan blog milik Umno yang telah menyebarkan fitnah kepada keluarga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui pada sidang media di parlimen hari ini menjelaskan PR juga bersimpati dan harap Guan Eng serta keluarga dapat bersabar.

"Kita bersimpati dengan apa yang dialami oleh Guan Eng sekeluarga dan kita melihat inilah cara Umno melemparkan isu fitnah.

"Tindakan Umno menggunakan remaja yang berusia 16 tahun adalah cara yang amat jijik mengaibkan dan hanya melambangkan kepura-puraan pemimpin Umno yang mempersoalkan moral serta akhlak," jelasnya.

Anwar juga menyatakan PR mengutuk cara Umno dan meminta fitnah tersebut dihentikan segera.

"Nampaknya fitnah Umno sudah tidak ada batasnya sehinggakan mereka sanggup melempar fitnah kepada seorang tokoh malah melibat remaja yang masih muda.

"Kita berharap Guan Eng dan keluarga dapat bersabar menghadapi fitnah tersebut, kita ada keluarga dan anak menggunakan politik sedemikian adalah satu yang tidak masuk akal.

"Tindakan sedemikian hanyalah untuk memenuhi nafsu serakah politik yang memerintah," sambung Anwar lagi.

Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menjelaskan isu fitnah sebenarnya sudah menjadi budaya Umno setiap kali pilihanraya.

"Kita memang selalu menjadi bahan Umno untuk mereka menyebar fitnah terutamanya untuk mereka meraih undi simpati.

"Setiap kali pilihan raya maka akan ada isu-isu terbaru sehinggakan mereka sanggup melanggar perlembagaan negara.

"Kita berharap politik kotor dalam Barisan Nasional (BN) biarlah berlegar dalam politik mereka sahaja dan jangan melibatkan rakyat diluar serta parti-parti politik yang lain," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Tambahnya lagi, ini adalah merupakan penyakit di dalam Umno yang tidak dapat diubat serta telah merosakan senario politik negara.

Dalam pada itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan ke atas blogger tersebut.

"Ini menggambarkan kerja kotor Umno yang tidak bermaruah dan saya ingin meminta pendirian Najib dan juga Muhyiddin terhadap blog tersebut serta tindakan yang akan diambil oleh mereka.

"Sikap sedemikian menunjukkan kedudukan politik Umno yang sangat rendah," jelas Kit Siang.


Adun BN anggap peruntukan untuk Yik membazir | Print |
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 18 Okt: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan petang tadi agak kecoh seketika apabila Ketua Pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad mendakwa Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dikatakan tidak adil.

Bagaimanapun Timbalan Speaker mempertahankan tindakannya. Kehangatan timbul apabila Mohd Zaki meminta Alwi membuktikan dakwaan kononnya Islam Hadhari yang pernah diperkenalkan Tun Abdullah Ahmad Badawi ada dalam majalah Pengasuh.

Sebelum itu Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) mahu Alwi mencetak semula sebagai bahan bukti terhadap dakwaannya ketika mencelah semasa Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) berucap membahaskan bajet.

Adun Kemuning sebelumnya menyebut perjuangan PAS berlandaskan al-Quran dan Hadis serta tidak pernah merasuah syurga atau neraka kepada sesiapa.

“Berlainan berbanding Islam Hadhari, sebenarnya tak wujud kalau benar ia berada di landasan yang betul, kenapa tidak diteruskan dasar itu sebaliknya 1Malaysia pula dicanang sekarang,” ujarnya.

Alwi bagaimanapun mempertahankan Islam Hadhari dan menegaskan ia selari dengan syariat, malah Tok Kenali pernah mengeluarkan hujahnya dalam majalah Pengasuh.

Sementara itu Mat Yusof Abdul Ghani (BN-Nenggiri) ketika membahas bajet 2012 mendakwa peruntukan sebanyak RM71 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik) begitu besar dan membazir.

Katanya, walau pun pendidikan penting, namun defisit kerajaan negeri yang agak besar menyebabkan peruntukkan itu dianggapnya tidak sesuai.

Ariffabillah Ibrahim (PAS-Dabong) pula berharap kerajaan negeri membangun Dewan Undangan Negeri Dabong kerana berpotensi menjadi destinasi pelancongan terkenal.

“Gua Ikan, Gunung Stong yang dikatakan tercantik di Asia Tenggara terdapat di situ. Jadi amat wajar pembangunan perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya.


Fitnah Kelantan tidak bina masjid terjawab | Print |
M Faqih

KOTA BHARU, 18 Okt: Fitnah dilemparkan pemimpin Umno kononnya kerajaan Kelantan tidak pernah membina masjid sepanjang lebih 21 tahun di bawah teraju PAS, kini menjadi seumpama senjata makan tuan.

Ini kerana banyak masjid dibina kerajaan negeri juga digunakan mereka untuk menunaikan solat. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang atau lebih dikenali Masjid Beijing sekarang menjadi tumpuan pelancong.

Keunikan seni bina masjid yang bernilai RM9 juta itu tidak ada di tempat lain. Senibinanya menyerupai tokong Cina.

Begitu juga Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di Pulai Chondong, diimarakkan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz al Quran.

Penyokong Umno yang tinggal berdekatan juga menjadikan masjid tersebut tempat menunaikan solat Jumaat. Begitu juga Masjid Kota Darulnaim berhampiran kompleks Kota Darulnaim.

Manakala Masjid Keputeraan di Paloh 2, Gua Musang sedang dalam pembinaan. Ia dijangka menjadi destinasi persinggahan pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai apabila siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri juga merancang menyiapkan Masjid Keputeraan di Lojing dianggar membabitkan kos RM3.8 juta.

“Selain itu perancangan membina Masjid Sultan Muhammad V di Bandar Baru Tunjong. Masjid menyediakan medan kepada masyarakat dari sudut pembinaan akhlak, adab dan sakhsiah,” katanya ketika membentang Bajet 2012 pada persidangan Dun hari ini.

Teks ucapan belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Selain itu kata Menteri Besar peruntukan sebanyak RM3 juta disediakan bagi pembaikian masjid-masjid di seluruh Kelantan.

Menurutnya Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang berpotensi menjadi produk pelancongan.

Malah kata beliau sektor pelancongan kekal penyumbang utama menjanakan ekonomi negeri dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pada 2010 seramai 5.39 juta pelancong bertandang ke Kelantan, berbanding 4.8 juta orang pada 2008 dan 4.94 juta orang (2009).

“Pelancong menyumbang sebanyak RM1.8 bilion kepada ekonomi negeri. Sehingga Ogos lalu seramai 3.35 juta pelancong melawat Kelantan termasuk 941,319 pelancong antarabangsa.

“Kerajaan akan menjadikan 2012 sebagai Tahun Melawat Kelantan bagi meningkatkan lagi kunjungan pelancong,” ujarnya.

Bagi mencapai matlamat tersebut sebanyak RM2.5 juta diperuntukan bagi program galakan kebudayaan, kesenian dan pelancongan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi pembelaan rakyat miskin dan RM1 juta bantuan bekalan air dan elektrik.

Manakala sebanyak RM5.5 juta bantuan rumah Dhuafat bagi membolehkan rakyat miskin membaiki dan membina rumah. Jumlah itu bertambah sebanyak RM800,000 berbanding sebelumnya.

Program bantuan beras percuma skim Al It’aam diperuntuk sebanyak RM2.5 juta, manakala program Gerbang Azziwaj (bantuan perkahwinan) (RM2 juta).

Program Gerbang Azziwaj diadakan mulai tahun ini ditambah sebanyak RM500,000 lagi berbanding bajet tahun lepas.

Manakala program-program lain iaitu;

. Bantuan armalah - RM2.5 juta

. Bantuan anak yatim - RM2 juta

. Bantuan khas orang miskin - RM1 juta

. Bantuan Am (bulanan) - RM6.38 juta

. Aktiviti belia dan pembangunan sukan - RM5 juta

. Bantuan kepada badan-badan sukarela - RM150,000

. Kebajikan orang bukan Islam dan Orang Asli - RM1.7 juta

. Kebajikan dan pembangunan wanita - RM2.5 juta

. Program latihan belia dan wanita - RM500,000

. Program Perumahan Awam Kos Rendah dan Mampu Milik - RM4 juta


'Jangan heret anak saya yang tidak berdosa' | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Hanya kerana ketagihkan kuasa yang melampau, beberapa pemimpin dan blogger pro-Umno sanggup menggunakan fitnah jijik dan tidak bertamadun untuk memusnahkan kehidupan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam kes terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi mangsa oleh para pemimpin dan blogger Umno yang bersifat kebinatangan apabila anak lelakinya yang berusia 16 tahun difitnah kononnya telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan, lapor Roketkini.

“Jika anda mahu memusnahkan karier saya, lakukanlah terhadap saya sahaja, tetapi jangan heret anak saya yang tidak berdosa itu.

“Ahli-ahli politik Umno juga mempunyai anak dan DAP tidak pernah menyerang anak-anak mereka dan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

“Dalam zaman moden ini, adalah sangat sukar bagi anak-anak muda yang membesar, terutamanya apabila ayahnya merupakan seorang Ketua Menteri yang setiap hari menjadi sasaran media pro-Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu difitnah, dikecam dan diserang tanpa sebarang bukti oleh para pemimpin Umno dan blogger upahan mereka serta lidah rasmi Umno, iaitu Utusan Malaysia dan media umum yang dikawal oleh Umno-BN, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan mengingatkan agar ahli-ahli politik Umno memahami perasaan sebagai seorang ayah.

“Anak saya resah gelisah dan mengalami trauma kerana pembohongan ini. Dia juga sudah tidak ke sekolah dua hari. Saya sedih kerana gagal melindungi anak saya daripada pemimpin dan blogger Umno yang bersifat binatang ini,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Puteh berkata demikian sebagai respon terhadap kenyatan beberapa pemimpin Umno dan blogger yang menyebarkan fitnah tentang anaknya yang berpindah sekolah kerana kononnya meramas buah dada seorang pelajar.

Beliau menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku:

“Anak saya telah ditukarkan ke Sekolah St Xavier di Pulau Pinang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Heng Yee kerana saya telah berjanji kepadanya bahawa dia boleh berpindah sekolah mengikut pilihannya jika mendapat memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 6A dalam PMR.

“Apabila dia berjaya mendapat keputusan itu, dia telah dipindahkan pada awal penggal persekolahan tahun ini iaitu pada bulan Januari 2011.

“Anak saya juga mahu pergi ke St Xavier kerana dia tidak mahu rambutnya dipotong menjadi crew cut (seperti rekrut askar) yang diwajibkan terhadap pelajar-pelajar di Heng Yee,” katanya.

Guan Eng juga kesal apabila Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut terlibat dalam fitnah yang memalukan itu.

Dalam pautan twitter Khairy ada mesej yang berbunyi: “@PapaGomo Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada.” (http://twitter.com/#!/Khairykj/status/125841671102529536)

Menurut Guan Eng, Naib Pengerusi Umno Bahagian Bukit Gelugor, Dr Novandri Hasan Basri juga terlibat dalam penyebaran fitnah yang keji itu.

Katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengenakan tindakan terhadap pemimpin-pemimpin partinya yang menyebarkan fitnah tidak bermaruah itu yang bertujuan menjatuhkan beliau.

“Oleh itu, Umno perlu bertindak terhadap mereka yang cuba untuk menghancurkan hidup anak saya dengan melakukan pembohongan yang keji dan tidak bertamadun itu, hanya kerana mahu menjatuhkan kerjaya politik saya,” katanya.

Beliau mencabar mereka yang menyebarkan fitnah itu agar mencerminkan diri sebagai seorang ayah.

“Tanyalah (diri sendiri) sama ada mereka mahu anak mereka menerima trauma dari penipuan kejam itu,” katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng menjelaskan beliau dan isterinya akan tetap sabar dan berdoa serta cuba sedaya upaya memulihkan trauma anaknya itu, akibat kekejaman yang dilemparkan oleh pemimpin dan blogger pro-Umno itu.

Beliau berkata adalah haknya untuk mengambil apa-apa tindakan lanjut sebagai ketua keluarga yang akan sentiasa mempertahan dan melindungi keluarganya dari sebarang ancaman. – Roketkini.com

Himpun: Pakatan tunggu keputusan PAS | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pakatan Rakyat akan menunggu keputusan mesyuarat PAS malam ini sebelum membuat pendirian berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebenarnya tujuan himpunan tersebut.

"Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini.

"Kita sedang kumpul maklumat...adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan pendirian Pakatan Rakyat berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertujuan menentang sebarang gerakan Kristianisasi terhadap orang Islam, yang dijadualkan Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

"Kita juga tanya pandangan Abim (Angkatan Belia Islam), Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Islam) dan rakan-rakan yang lain..kita akan beri keputusan selepas PAS buat keputusan malam ini," kata Ketua Pembangkang itu.

Turut serta pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Agenda politik murahan

Tuan Guru Abdul Hadi pula menegaskan, mesyuarat PAS malam ini akan mengambil kira sejauh mana 'agenda politik murahan' pihak tertentu berselindung di sebalik himpunan ini sebelum parti itu membuat ketetapan.

"Isu ini dibangkitkan bila nak pilihan raya. Kita akan melihat sejauh mana agenda politik murahan ada dalam himpunan ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS tidak mahu program yang diatur itu lari dari landasan sebenar dan hanya mahu digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tak mahu program yang diatur lari dari landasan sebenar iaitu mempertahan akidah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mempertahan akidah umat Islam ini adalah Umno, kerana mereka sudah memerintah lebih 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat malam ini bagi memutuskan pendirian PAS sama ada mahu menyertai atau tidak dalam himpunan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

Tiada ulasan: