Rabu, 12 Oktober 2011

JADILAH KITA 'PERMATA' YANG MEMPERJUANGKAN AGAMA ALLAH@DA'I...BUKAN PERMATA BAGI TENTERA2 SYAITAN....

Isu Kampung Baru sebagai manifesto Pakatan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik hasrat Pakatan Rakyat untuk membatalkan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti.

“Bagi DPPM, kenyataan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia terutama Orang Melayu yang sudah tertipu dengan mainan politik Umno BN,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Katanya, Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 menjadi saksi dan bukti bahawa Umno yang selama ini melaungkan slogan membela Melayu kini menjadi pengkhianat Melayu.

Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh memaafkan kesalahan pemimpin Umno yang sanggup menggadaikan tanah warisan orang Melayu di Kuala Lumpur ini kepada Perbadanan yang akan menentukan nasib orang Melayu Kampung Baru.

“Jika masyarakat India boleh berbangga dengan adanya Little India di Brickfields, bangsa Cina boleh bangga dengan adanya Petaling Street khusus untuk orang Cina, apakah salah orang Melayu memiliki Kampung Baru?” soalnya.

Tambahnya, pemimpin Umno yang sebangsa dengan orang Melayu kini sudah tidak boleh menjadi pautan orang Melayu, sebaliknya Umno hanya membela golongan elit yang setaraf dengan mereka sahaja.

Beliau berkata, orang-orang Melayu pasti akan berduka memikirkan nasib mereka yang semakin samar dan tidak menentu.

Katanya, beberapa kampung di sekitar Kuala Lumpur bakal menjadi mangsa seterusnya ‘pembangunan’ hasil kegopohan sang penguasa.

Justeru, ujarnya tidak ada jaminan kampung-kampung Melayu yang lain tidak diambil alih dengan sewenang-wenangnya.

Beliau menambah, orang Melayu Kuala Lumpur dianggap merempat dan tiada nilai di sisi masyarakat.

Menurutnya lagi, mereka yang bersetinggan sejak sekian lama bukan setakat tidak dibantu, malahan habis dibersihkan.

Katanya, orang Melayu hanya layak duduk dikampung-kampung dengan mengusahakan kerja-kerja pertanian dan penternakan sahaja.

Justeru, tegasnya DPPM akan menjadikan agenda Kampung Baru sebagai agenda penting bagi menggerakkan kesedaran anak-anak muda bahawa rakyat Malaysia perlu berubah terutama dalam menghadapi PRU ke 13 nanti.

Katanya lagi, kepercayaan bahawa hanya Umno membela Melayu adalah suatu mitos yang boleh dihilangkan dari minda rakyat terutama anak-anak muda.

“Anak-anak muda perlu mengenali budaya politik baru Malaysia iaitu parti yang mengutamakan rakyat, bersih, adil, berkomitmen serta tidak rasuah adalah pilihan masa depan manakala parti yang korup, tidak bermaruah, rasuah, mementingkan diri sendiri, sarat dengan skandal adalah parti yang perlu ditolak,” ujarnya.

DPPM juga, katanya meminta pemimpin Pakatan Rakyat agar menjadikan isu Kampung Baru di dalam manifesto Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke 13.

Ini, ujarnya penting bagi membuktikan Pakatan Rakyat adalah parti yang melaksanakan kata-kata, bukan hanya beretorik semata-mata.


Pakatan sokong Khalid sebagai MB Selangor | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali hari ini menyatakan Pakatan Rakyat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor menyokong penuh Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) sebagai Menteri Besar.

Beliau menjelaskan isu yang dimainkan oleh media milik Umno itu hanyalah sebagai propaganda politik serta sebagai usaha memecah belah pemimpin di dalam Pakatan Rakyat terutamanya di Selangor.

"Ini adalah isu yang telah lama, selama ini pun telah berlaku di mana terdapat desakan Khalid agar meletak jawatan dan bagi saya perkara seperti tidak perlu ditimbulkan kembali.

"Kita menyokong seratus peratus dan tidak pernah ada pertikaian pentadbiran Khalid sebagai Menteri Besar, bagi saya ini semua kerja media Umno apatah lagi apabila hampirnya pilihanraya,"jelasnya.

Tambahnya lagi, pentabdiran Khalid telah menaikkan martabat ekonomi negeri dan segala pungutan hasil negeri semakin bertambah begitu juga dengan program-program merakyatkan ekonomi negeri.

"Pentadbiran yang dilakukan oleh beliau amat baik dari sudut ekonomi pendapatan selangor semakin bertambah malah kita lihat program merakyatkan ekonomi negeri semuanya berjalan lancar jadi tiada sebab untuk kita mendesak beliau letak jawatan. Kita sokong sepenuhnya.

"Berkenaan dengan memorandum yang mengatakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Khalid letak jawatan itu tidak benar dan saya sendir tidak mengetahui perkara tersebut dan semua ini hanyalah propaganda," kata beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada mesyuarat exco yang dijadualkan esok tidak akan membincangkan perkara tersebut.

"Kita tidak akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat exco esok dan bagi kita itu hanyalah permainan kotor Umno dalam usaha menjatuhkan serta memburuk imej Kerajaan Negeri terutama Menteri Besar," sambungnya lagi.


Lynas: Malaysia jadi ‘tong sampah dunia’ ? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pemuda DAP Kebangsaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘tong sampah dunia’ melalui projek pembangunan nadir bumi oleh Lynas di Kuantan, Pahang.

Timbalan Pengerusi Pemuda DAP Kebangsaan Jenice Lee (gambar) berkata, kempen yang telah dijalankan bersama penduduk-penduduk sekitar langsung tidak diambil peduli oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, lapor Roketkini.

“Pimpinan kementerian itu asyik tidur sahaja, malah respon mereka terhadap desakan kami hanya dibalas dengan kata-kata kononnya dengan pembukaan kilang Lynas itu ia akan membuka 400 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar,” katanya kepada Roketkini.

Justeru, beliau berkata, dengan ketidakprihatinan terhadap alam sekitar, kerajaan seolah mahu menjadikan Malaysia sebagai tempat longgokan sampah sahaja.

“Apabila kilang tersebut mula beroperasi, ia akan menghasilkan sisa-sisa yang tidak boleh dikitar semula dan kesan radioaktifnya tidak dapat diukur,” katanya.

Jenice yang juga Pembantu Exco Belia dan Sukan Selangor memberi contoh mengenai loji pemprosesan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah telah ditutup pada tahun 1992 berhubung beberapa kematian yang didakwa ada kaitan dengan leukemia dan keguguran.

Menurutnya, punca kematian yang tidak dapat dijelaskan itu melibatkan wanita muda yang sihat yang tinggal di sekitar kawasan loji.

“Malah, dalam pembentangan Bajet 2012 Barisan Nasional baru-baru ini isu pemeliharaan alam sekitar tidak tersenarai sebagai salah satu usaha pembangunan dan isu-isu seperti cyanide atau nadir bumi tidak disebut langsung,” katanya.

Jenice yang juga Adun Teratai berkata, walau pun pebagai kempen dan protes telah dijalankan, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri BN langsung tidak mempedulikan tuntutan rakyat Kuantan khususnya.

Beliau berpendapat, jika kerajaan benar bertanggungjawab terhadap rakyat, mereka harus menghentikan pembinaan kilang-kilang yang mengeluarkan produk-produk toksik dan berbahaya.

“Rakyat tidak akan mendapat apa-apa manfaat dari kilang ini, malah rakyat perlu membayar pula kos kesihatan dan pencemaran yang dihasilkan kilang-kilang tersebut,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, Pemuda DAP bersama kumpulan masyarakat madani dan penduduk tempatan akan memperluaskan lagi kempen itu ke peringkat kebangsaan agar seluruh rakyat Malaysia sedar akan bahayanya ancaman isu-isu radioaktif ini..

Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Teo Nie Ching berkata, kerajaan Najib telah melanggar janji rerformasi kebebasan politik apabila membiarkan pihak polis menyerang perhimpunan aman Himpunan Hijau 109 di Taman Gelora, Kuantan pada Ahad lalu.

Katanya, tidak sampai tiga minggu Najib menjanjikan kebebasan, tindakan keras polis terhadap perhimpunan aman itu yang membantah pembinaan kilang Lyna.

“Pihak penganjur telah mendapat permit polis untuk mengadakan perhimpunan aman itu tetapi polis menarik balik di saat-saat akhir atas alasan ada pihak lain akan mengadakan acara di tempat yang sama,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang kesal kerana janji Najib dan BN gagal menyedarkan polis tentang hak dan tanggungjawab mereka untuk melindungi rakyat dan menjaga keamanan dengan cara yang tertib dan betul. – Roketkini.com


BN bayar 200 cyber trooper? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Laman-laman web berita diberikan ingatan bahawa pemimpin BN telah melantik 200 cyber trooper untuk mempengaruhi pandangan pembaca laman web dan laman sosial termasuk Facebook.

Tugas mereka adalah mempengaruhi pandangan pembaca dengan komen-komen pro kerajaan melalui laman berkenaan walaupun ia tidaklah berasaskan kebenaran.

"Tujuannya adalah untuk menghasilkan persepsi bahawa Najib Razak dan kerajaannya mempunyai penyokong yang ramai di alam siber di samping mengacau pembaca yang lain," kata satu surat pembaca yang disiarkan oleh laman The Malaysian Insider hari ini.

Sebenarnya mereka dibayar melalui cukai yang dipungut dari rakyat Malaysia, kata penulis surat itu.

"Saya mencadangkan pemilik laman web berita ini tidak menyiarkan pandangan mereka kerena mereka hanya dibayar untuk berbuat demikian dan bukannya berasaskan kebenaran atau untuk kepentingan Malaysia," tulis pembaca yang menggunakan nama Gomen Man itu.


Ahmad Jais: Perginya sebutir permata seni | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dunia seni tanahair hari ini dikejutkan dengan berita kematian seorang penyanyi veteran yang mempunyai kelas tersendiri, Datuk Mohd Jais Ahmad, 75, (gambar) ataupun dikenali dengan nama Ahmad Jais.

Beliau telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) jam 9.20 pagi tadi.

“Ahmad Jais yang kita kenali terkenal dengan alunan suara yang menusuk serta lenggokkan nada Melayu yang terlekat disetiap atur lirik lagunya membuatkan lagu-lagunya sentiasa terpahat dijiwa setiap rakyat,” kata Pengarah Department Art, Culture & Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia, A Halim Ahmad.

Beliau berkata, allahyarham tidak hanya mengalunkan lagu-lagu cinta malah sikapnya yang patriotik turut ‘diterjemahkan’ di dalam bentuk lagu seperti lagu Bahtera Merdeka.

Katanya, siapa yang tidak melalui Hari Raya Eidul Fitri tanpa terdengar ‘kelibat’ lagu dendangan beliau.

Beliau menambah, lagu dendangannya juga sentiasa mengingatkan kita kepada Yang Maha Kuasa dan yang pastinya lagu Iman Dan Taqwa adalah antara yang paling menyentuh jiwa nurani kita.

“Begitulah Ahmad Jais. Walaupun dalam berhibur namun sentiasa mengingatkan kita supaya jangan alpa terhadap Allah SWT.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat buat rohnya. Semoga Allah SWT memberikan keampunan kepada allahyarham dengan berlandaskan amalan dan niat beliau semasa di dunia ini,” ujarnya.

Unifi dan Streamyx kenakan cukai 6% mulai 1 Januari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Hal ini disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka, lapor blog really.tigaline.com.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu.

Ini bermakna, hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.

(Klik untuk dengar rakaman perbualan dengan operator TM Net)

12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Tiada ulasan: