Ahad, 16 Oktober 2011

BATAL BUKAN SEBAB TERTENTU AJE...SEPATUT WAJIB BATAL PADA SEMUA ACARA YANG BERTENTANG SYARAK..IA SEOLAH2 MENGHINA HUKUM ALLAH....

Jabatan agama perlu fokus aqidah, bukan tauliah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru agar fokus dan keutamaan jabatan agama mesti terarah kepada usaha menyelamatkan aqidah ummat Islam berbanding dengan persoalan tauliah yang tidak ada syarat wajib dalam Islam untuk menyampaikan kebenaran Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, ini ekoran kedangaran suara yang tidak berpuas hati kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas tindakan terbarunya menahan Bob Lokman atas kesalahan memberi kuliah tanpa tauliah yang bercanggah dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Rungutan ramai ini perlu diambil perhatian kerana peristiwa ini sudah kali berikutnya setelah penahanan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pada tahun 2009 lalu,” katanya.

Katanya, jabatan agama itu seolah tidak mempunyai tugas yang lebih penting daripada menghalang untuk pendakwah menyampaikan kuliah dan nasihat agama kepada masyarakat.

Gamis, ujarnya berasa pelik dan hairan kenapa persoalan tauliah menjadi subjek utama dalam penahanan, bukannya isi penyampaian penceramah berkenaan.

Perkara ini berlainan terjadi kepada banyak kumpulan ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh majlis agama sebelum ini,” ujarnya.

Kata beliau, antara contohnya ialah Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya yang telah difatwakan sesat namun masih berleluasa sehingga hari ini di negeri Selangor.

“Saya pernah meninjau kawasan ajaran sesat ini dan mendapati pengamalan dan dan ajaran ini masih berleluasa dan tidak ada sebarang penahanan yang dibuat oleh jabatan agama.

Kumpulan itu juga, katanya tidak mewajibkan solat Jumaat dan pelbagai lagi aturan yang menyalahi syariat Islam secara nyata.

Menurutnya, “Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa” begitulah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengarah Jais yang lalu menunjukkan bahawa ada toleransi dan komunikasi yang baik dengan kumpulan yang telah disahkan sesat, namun pendakwah bebas pula terus ditangkap hanya disebabkan tauliah.

BN masih gagal bekal air, elektrik di pedalaman | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Kerajaan BN ternyata masih gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik bagi program bekalan air dan elektrik khususnya di kawasan pedalaman, walaupun telah lebih 50 tahun memerintah negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara disaran supaya melaksanakan audit keseluruhan bagi program tersebut untuk mengukur pencapaian yang telah diperolehi oleh kerajaaan sejak dulu hingga kini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, pihaknya menerima banyak aduan dari daripada pihak-pihak tertentu yang merungut mengenai kelemahan penyelenggaraan dari pihak kerajaan berhubung program itu.

Menurut beliau, antaranya, panel-panel solar dilitupi dengan lumut disebabkan kekurangan penyelenggaraan selepas kontraktor memasangnya.

Katanya, dalam masa yang sama pula, penghuni-penghuni di kawasan terbabit termasuk Orang Asli dan orang kampung tidak tahu apa yang patut dibuat kerana mereka tidak dilengkapi dengan kebolehan untuk menyelenggara alat-alat tersebut.

"Berdasarkan laporan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, hanya 20 daripada 28 mini hidro yang terdapat di Semenanjung Malaysia sedang berfungsi, manakala 8 lagi masih dalam pelan pemulihan.

"Sehingga kini tiada laporan mengenai status mini hidro di Sabah dan Sarawak. Kerajaan perlu merekod dan memantau semua kerja-kerja yang dilakukan dengan teliti untuk memastikan program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berfungsi dengan baik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman, menurut beliau, tidak seharusnya dipandang ringan oleh kerajaan kerana ia merupakan sesuatu yang penting bagi memastikan semua rakyat Malaysia tidak kira status mendapatkan kemudahan asas yang diperlukan.

Katanya, Awer telah mengkaji belanjawan bagi 2010, 2011 dan 2012 dan didapati terdapat peningkatan yang memberangsangkan dari segi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Dalam bajet 2010, kerajaan telah memperuntukkan RM530 juta bagi bekalan air untuk 16,000 isi rumah dan RM825 juta bagi bekalan elektrik untuk 30,000 isi rumah.

Manakala dalam bajet 2011 bagi program bekalan air dan elektrik, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan bagi negeri Sarawak, RM1.5 bilion bagi Sabah dan RM556 juta bagi Semenanjung.

Menerusi bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu, sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi bekalan air untuk 200,000 isi rumah dan RM1.1 bilion untuk bekalan elektrik bagi 39,000 isi rumah.

Katanya, walaupun berlaku peningkatan dalam belanjawan, ia tetap tidak mendatangkan hasil yang baik sekiranya tidak disusuli dengan langkah-langkah yang sepatutnya dan berkesan.

Oleh itu, pihaknya turut mencadangkan beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambahbaik pelaksanaan program air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Katanya, pertama, dengan mengadakan bidaan terbuka (open bidding) daripada pembekal teknologi untuk mengurangkan kos program-program seperti itu berbanding dengan harga yang dirunding.

"Kedua, kos penyelenggaraan patut disertakan semasa implementasi. Langkah ketiga, mendidik komuniti pedalaman untuk melakukan penyelenggaraan asas (ringkas) dan ini juga dapat mewujudkan pekerja separuh mahir dalam komuniti ini.

"Adalah penting untuk membenarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga untuk menyelia dan memastikan program-program ini dilaksanakan dengan berkesan di seluruh Malaysia," tegasnya.

Awer berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan cadangan-cadangan tersebut untuk memastikan program-program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berjalan lancar dan telus.


Kad kredit: Tidak pelik anak muda berstatus muflis | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang dan taraf hidup yang semakin tinggi.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak memastikan diri dan keluarga ‘berdaya saing’ demi untuk meneruskan kehidupan,” soalnya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu secara puratanya adalah dua orang setahun.

Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei 2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.

Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.

Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.

Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.

Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada ‘maslahah’ ini adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam jangka masa yang panjang.

“Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan dan boros di dalam berbelanja.

Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini.

“Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga terus meningkat.

“Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis,” katanya.

Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil kira sekiranya slogan ‘Rakyat Didahulukan’ dilaksanakan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga barang.

Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang juga turut menyebabkan ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang, digunakan untuk perbelanjaan hidup.

“Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus muflis,” katanya.


Keluarga Sarbaini tetap mahu Suruhanjaya Diraja | Print |
Harakahdaily
PETALING JAYA, 15 Okt: Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed sekali lagi menggesa agar Suruhanjaya Diraja diadakan untuk menyiasat kematian bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata keluarga Allahyarham Sarbaini sehingga kini tidak boleh menerima keputusan koroner, lapor The Malaysian Insider.

Surendran berkata keluarga Sarbaini tidak dapat menerima keputusan memandangkan koroner didakwa telah mengetepikan keterangan pakar bahawa rakaman CCTV yang diambil ketika kunjungan ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan telah dipadamkan dengan sengaja.

“Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Koroner mengatakan bahawa ia kesilapan manusia dan tidak memberi perhatian yang sebenar ke atas isu ini,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR. Turut hadir ibu Sarbaini dan adik-beradiknya.

“Tetapi apa yang penting ialah ada keterangan pakar polis dari makmal forensik polis di Cheras... yang dengan jelas mengatakan bahawa (rakaman) CCTV telah diusik oleh seseorang yang mahir,” katanya lagi.

Surendran berkata sukar untuk diterima apabila koroner menerima keterangan bahawa wujud elemen kesilapan manusia, yang disampaikan oleh pengarah SPRM Wilayah Persekutuan tetapi menolak pandangan pakar forensik yang layak.

“Siapa yang mengusik dan mengapa koroner tidak memberi tumpuan ke atas butiran ini? Mengapa beliau mengetepikannya? Sehingga kini, tiada penjelasan mengapa atau bagaimana rakaman CCTV diambil ketika Sarbaini mati dipadamkan,” kata beliau.

Dalam keputusannya akhir bulan lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.

Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.

Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.


Selangor Super 9 2011 batal
Harakahdaily

SHAH ALAM, 15 Okt: AJK Selangor Super 9 dengan dukacitanya ingin mengumumkan bahawa pertandingan bola sepak Selangor Super 9 2011 yang dijadual pada 19 dan 20 November depan di Kompleks Sukan Kelab SUK Selangor, Shah Alam terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak kami ingin mengesyorkan semua pihak yang berkenan bahawa pertandingan ini akan tetap diadakan pada tahun depan dan amat mengalu-alukan kerjasama dan sokongan untuk menjayakan Selangor Super 9 2012,” kata pengerusinya, Alex Hay dalam satu kenyataan.

Katanya, segala kerumitan akibat daripada pembatalan itu amat dikesali dan untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubunginya di talian di 013-2555793.


Akta Murtad, mujurnya kalau Umno sokong!
Mohd. Nasir Awang
Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang khusus menangani gejala murtad. Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad.

Ahli Parlimen PAS dari Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS telah memohon membawa usul yang dinamakan Rang Undang-Undang Persendirian (Murtad) di Dewan Rakyat. Malangnya, usaha sebegitu baik gagal disempurnakan. Ia ditolak sedari awal dan tidak diberi laluan untuk dibahaskan.

Punca utama ialah apabila ia tidak mendapat sokongan daripada walau seorang pun menteri, khususnya menteri dari Umno yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sedangkan menurut aturan dan peraturan diterimapakai Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak diterima untuk dibahaskan mestilah dikemukakan oleh seorang menteri dan disokong oleh seorang menteri lain.

Kes itu membuktikan betapa Umno sanggup mengenepikan kepentingan agama semata-mata demi menjaga imej dan maruah politiknya. Ia tidak bersedia untuk menerimapakai sebarang idea dan cadangan pihak pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya ia datang daripada PAS yang disifatkan sebagai ‘musuh tradisi’nya dalam meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam.

Keegoan politik itu telah menyebabkan Umno buta mata hati dan gagal membuat pertimbangan yang sewajarnya, walau pun apa yang dikemukakan PAS itu membabitkan soal menjaga kesucian aqidah dan kepercayaan umat Islam.

Sebab itu jika ada pemimpin Umno mendakwa mereka memperjuangkan kedaulatan Islam, rakyat jangan sesekali percaya. Malah jika dalam keadaan tertentu apabila dilihat mampu meraih markah politik, kerap juga pemimpin Umno mengatakan mereka tidak mementingkan soal fahaman politik.

Lebih-lebih lagi apabila keadaan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, Umno akan cuba melupakan rakyat tentang sikap dan pendiriannya selama ini yang amat berpilih kasih dalam melayan pihak yang tidak sealiran dengannya.

Seruan agar tidak mengutamakan sentimen atau fahaman politik hanya dikumandangkan Umno sebagai usaha mewujudkan persepsi kononnya parti lawan yang berperangai sedemikian. Sedangkan yang sebenarnya paling kuat beramal dengan sikap dan pendirian tidak demokratik itu adalah tidak lain daripada Umno sendiri.

Hari ini wajah dan suara hipokrasi itu menjelma semula di celah-celah kehangatan perbahasan mengenai isu murtad. Kesedaran masyarakat umum mengenai bahaya gejala kemurtadan umat Islam diulangsuara pelbagai pihak.

Media-media arus perdana yang diketahui menjadi talibarut Umno juga tidak melepaskan peluang. Ia bukan setakat menyuarakan sokongan terhadap harapan dan desakan khalayak yang cintakan kesucian agama Islam, malah secara terancang cuba menggambarkan betapa kerajaan dipimpin Umno juga mendukung hasrat serupa.

Justeru, suara-suara agar umat Islam bersatu mempertahankan kesucian aqidah dan mendepani pihak-pihak yang cuba menceroboh kepercayaan mereka kembali berkumandang. Sepertimana lazimnya, ia turut diiringi desakan dan cabaran keras kepada para pemimpin politik agar mengenepikan sentimen kepartian dan mengutamakan kepentingan agama.

Bahawa dalam menangani isu sebesar dan sepenting gejala murtad ini, para pemimpin Islam tidak sepatutnya terus bertelagah. Sebaliknya, mereka diseru meninggalkan perbalahan politik buat seketika untuk sama-sama mendukung agenda menyelamatkan agama.

Oleh kerana suara itu datang daripada pihak-pihak yang ada kecenderungan sangat jelas kepada parti pemerintah, walau atas apa jua nama pertubuhan yang mereka wakili, maka ia turut diiringi persepsi bahawa pihak yang paling dimaksudkan dalam seruan itu ialah para pemimpin politik beragama Islam dari pihak pembangkang.

Kononnya yang paling kuat berpegang kepada sentimen parti ialah pemimpin dan pengikut pembangkang. Sedangkan yang terbukti tidak simpatetik terhadap perjuangan pihak ketiga mempertahankan Islam selama ini ialah parti yang menunjangi pemerintahan negara ini sendiri.

Masakan tidak jika pengalaman lepas diambil kira. Usah disebut soal kelemahan pentadbiran agama yang acapkali dipertuturkan masyarakat. Tidak payah diperkatakan soal kegagalan kerajaan mengurustadbir wang zakat yang sebegitu banyak untuk menjamin kebajikan golongan kurang berkemampuan sebagai usaha membentengi mereka daripada dakyah agama lain.

Keadaan yang berlaku malah jauh lebih mendukacitakan. Umno bukan sahaja tidak bersedia mengakui kelemahan dan ketidakupayaannya menjaga kedaulatan Islam menerusi kuasa dimilikinya dalam pemerintahan, ia malah tidak bersedia memberi laluan kepada penambahbaikan pentadbiran agama. Ambil saja contoh bagaimana Umno menolak mentah-mentah sebarang usaha menggubal undang-undang berkaitan murtad tadi, hanya semata-mata kerana ia dikemukakan pemimpin pembangkang.

Usaha serupa bukan sekali, bukan dua kali dilakukan PAS. Tuan Guru Abdul Hadi mengulangi cubaan serupa pada penghujung 1999 setelah gagal lebih enam tahun sebelumnya. Malangnya cubaan beliau kali kedua itu juga tidak diberikan layanan lebih baik.

Ia kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pada 2006. Ketika itu perbahasan isu murtad sangat hangat, terutama apabila ia dikaitkan dengan kebebasan beragama diperuntukkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Usaha-usaha pihak tertentu mewujudkan justifikasi tindakan mereka mengembangkan agama mereka di kalangan umat Islam, beserta beberapa kes melibatkan wanita Islam menukar agama secara terbuka kepada agama lain, meletakkan negara dalam polemik agama agak panas ketika itu.

Ada konvensyen dianjurkan pihak berkuasa agama negara khusus membincangkan tajuk kebebasan beragama dan isu murtad. Para ilmuan Islam dan ahli akademik masing-masing membentangkan kebimbangan mengenai isu diperbahaskan. Para mufti turut bersuara agar diwujudkan undang-undang menangani gejala merosakkan aqidah umat Islam itu.

Pada tahun itu juga Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) ditubuhkan. Di tahun sama, Himpunan Sejuta Umat Islam Mempertahankan Aqidah dan Kesucian Islam dilangsungkan. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi himpunan itu menyaksikan kehadiran amat membanggakan.

Suasana sebegitu tegang dengan kemarahan umat Islam berada di kemuncak ketika itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk negara kita menghasilkan suatu undang-undang menjamin aqidah umat Islam. Sepatutnya segala desakan para ulama, mufti, pertubuhan bukan kerajaan berkepentingan Islam dan khalayak umum agar kerajaan berbuat sesuatu bagi membendung gejala itu berterusan sudah memadai untuk kita melihat wujudnya kini undang-undang dimaksudkan itu.

Namun segala harapan itu bagikan fatamorgana. Dari jauh ia dilihat amat meyakinkan, tetapi apabila tiba semakin hampir kepada realiti, ia sebenarnya hanyalah khayalan.

Kini isu murtad kembali mendapat perhatian umum. Himpunan Sejuta Umat Islam juga bakal diadakan buat kali kedua. Sepertimana siri pertama, ia juga dilaungkan sebagai himpunan tanpa sentimen politik. Ia untuk semua jiwa dan insan beragama Islam. Ia semata-mata di atas agenda mempertahankan aqidah dan melawan pencerobohan kepercayaan umat Islam.

Betul, ia tidak perlu melibatkan politik untuk memaut sokongan dan kehadiran semua pihak. Namun apakah kita hanya mahu kehadiran yang ramai sebagai penghujung agenda perjuangan? Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu, bahawa sebarang usaha sebegitu keras tidak akan mencapai hasil maksud tanpa campurtangan politik?

Di atas permis ia perhimpunan tanpa sentimen politik, himpunan itu nanti mungkin boleh memaut kehadiran yang besar. Tetapi tempik sorak, laungan takbir menyerakkan anak tekak dan gulungan resolusi menyendatkan fail tidak membuahkan hasil maksud apabila ia sewenang-wenangnya ditolak atau disepikan begitu sahaja oleh penguasa politik.

Pengalaman lalu sepatutnya mengajar umat Islam negara ini bahawa hanya dengan dokongan politik sesuatu usaha itu mudah direalisasikan. Untuk itu rakyat yang cintakan kesucian aqidah dan sayangkan kedaulatan Islam perlu tahu kepada siapa wajar mereka serahkan sokongan dan kuasa pemerintahan.

Begitu juga, setiap jiwa yang lantang memperjuangkan wujudnya undnag-undang berkaitan murtad ini, terutama dari kalangan penyokong tegar Umno seharusnya berhenti daripada terus memberikan kepercayaan kepada parti itu. Akuilah hakikat bahawa Umno bukannya pihak terbaik untuk diharap menyelesaikan permasalahan dihadapi umat Islam.

Bahkan, mengambilkira pengalaman lalu, rasanya para pemimpin Umno pun tersangat malu untuk menyokong sebarang usaha mewujudkan akta berkenaan. Jika tidak kerana keegoan politiknya yang terlampau mengutamakan sentiment kepartian, sudah lama akta tersebut menjadi realiti.

Justeru, mujur benarlah jika kali ini pemimpin Umno menyokong wujudnya undang-undang murtad!


Sambutan 60 Tahun PAS Wilayah 16 Okt | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Okt: PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan Konvensyen Sempena 60 Tahun PAS esok, 16 Oktober di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.

Pengarah program, Salbiah Abd Wahab berkata, seminar yang bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu diisi dengan pembentangan kertas kerja sebagai persiapan dan pengukuhan organisasi menghadapi pilihan raya.

“Kita serius untuk memacu kemenangan menuju ke Putrajaya.

“Oleh itu, kita harap ahli akan hadir dengan semangat dan membawa balik intipati untuk dilaksanakan dalam konteks amal jama'ie selepas program ini nanti,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Wilayah berkata, apa yang penting di akhir program ialah mahu mengukuhkan ukhuwah sesama ahli, memperkasa tarbiyah dan mengukuh tahap organisasi sebagai persiapan menghadapi PRU ke-13.

Katanya, program itu juga bertujuan mempamer kekuatan PAS kepada masyarakat umum bahawa PAS mampu mengambil posisi yang diperlukan di kotaraya Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, sempena sambutan 60 Tahun PAS itu juga, pihaknya juga ingin melebarkan jaringan persaudaraan di kalangan ahli dan masyarakat kota metropolitan, mengenali dan menyedari kewujudan PAS dan sejarah perjalanannya serta mengakui kewujudan PAS menjadi mercu-tanda di kota metropolitan ini.

Pada sebelah malam pula diadakan ceramah yang akan membariskan Naib Presiden PAS dan PKR, Salahuddin Ayub dan Tian Chua dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Noor Mohamad.

“Warga kota dan Lembah Klang akan berpeluang mendengar penjelasan Bajet morfin BN yang melegakan rakyat seketika dan selepas itu rakyat akan kembali perit kerana kenaikan harga barang,” ujarnya.


Agong ke-14: Tahniah Sultan Abdul Halim | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kedah mengucapkan tahniah kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (gambar) yang dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara, di sini, semalam.

“Saya mewakili ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kedah mengucapkan tahniah di atas pengisytiharan Majlis Raja-Raja memilih Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga berdoa agar ke bawah Duli Tuanku dipanjangkan usia untuk menempa sejarah menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua dalam hayat baginda.

“Patik juga berharap tuanku akan membawa lonjakan baru kepada Malaysia dalam semua bidang seperti lonjakan yang tuanku bawa kepada Negeri Kedah.

“Daulat Tuanku,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS dalam satu kenyataan ringkas, pagi ini.

Pemilihan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa 13 Disember depan bagi tempoh lima tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Dengan pemilihan tersebut, ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong selepas dipilih kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975.

Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.
Pemilihan itu dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.


Jangan lupa ‘road show’ Umno perkecil Raja-Raja | Print |
Fakhri Ali

SUNGEI PETANI, 14 Okt: Tidak mustahil Umno Barisan Nasional (BN) mencari jalan muslihat dan penipuan bagi memastikan kuasa yang ada tidak hilang.

Ini termasuklah penipuan dalam undi pos, sepertimana yang dibangkitkan acap kali.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata demikian ketika menyampaikan ceramah beliau di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungei Petani, malam tadi.

Menurut beliau lagi, BN menyedari undi popular yang berjaya diraih mereka di Semenanjung hanyalah sebanyak 46 peratus jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat sokongan sebanyak 52 peratus.

"Berdasarkan kepada kenyataan ini, BN terpaksa melakukan apa jua tindakan bagi memastikan kemenangan mereka berulang. Isu rasis dan agama akan menjadi topik penting untuk dipermainkan bagi meraih sokongan.

"Kita jangan lupa pada fakta dan sejarah 1993, di mana Umno membuat 'road show' dengan memperkecilkan kedudukan Raja-Raja. Begitu juga dengan fakta sejarah yang menyatakan Dr Burhanuddin Al Helmy adalah pejuang.

"Mat Indera yang mereka nafikan perjuangan beliau juga adalah antara fakta sejarah yang harus menjadi sandaran dan pemerhatian rakyat. Sejarah tidak harus dilupakan bagi membuktikan kebenaran, " ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan sumbangan skim kafalah sebanyak RM500 setiap waris keluarga warga emas yang meninggal dunia di negeri Kedah.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard serta kepimpinan PAS kawasan Sungei Petani.


Sindiket IC: Alasan 'kursus usahawan' tak munasabah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa ratusan warga asing yang ditemui di Istana Dugang Country Resort kelmarin menghadiri kursus keusahawanan disifatkan sebagai tidak munasabah.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, alasan itu sama sekali tidak dapat diterima rakyat kerana tiada keperluan mereka mengikuti kursus tersebut kerana mereka memang tidak dibenarkan berniaga di Malaysia.

"Apakah seorang warganegara asing yang datang ke negara ini atas permit pertanian dibenarkan berniaga dalam negara kita? Sejak bila pula kerajaan Malaysia membenarkan pekerja buruh daripada kalangan warga asing dibenarkan berniaga di negara kita? soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Suhaizan turut membangkitkan beberapa persoalan yang menimbulkan kecurigaan dan mengesahkan dakwaan pemuda PAS bahawa warga Indonesia, bangladesh dan Kemboja itu dibawa ke resort tersebut untuk mengambil MyKad.

Warga asing itu juga dipercayai akan didaftarkan sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13.

Katanya, layanan yang diterima mereka sangat istimewa sehingga diberikan perkhidmatan pengangkutan dan bas secara percuma.

"Tidak munasabah warga asing ini diberi layanan kelas pertama untuk menghadiri kursus keusahawanan. Mereka diberi perkhidmatan bas dan resort. Badan kerajaan mana yang begitu bermurah hati membenarkan mereka berkursus?" soalnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Apa yang lebih melucukan katanya warga asing itu datang dari Johor ke Selangor semata-mata untuk berkursus selama lima jam sahaja.

Ini kerana jelasnya, menurut perjanjian dengan pemandu bas, perkhidmatan mereka diperlukan sehingga jam 1 tengahari Rabu, sedangkan warga asing tersebut tiba di Putrajaya pada jam 6 pagi hari yang sama.

Tambahnya, jika benar mereka menghadiri kursus keusahawanan, kenapa dalam waktu yang singkat sahaja iaitu dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

"Jika benar mereka berkursus keusahawanan 5 jam sahaja dengan jarak 800 KM, pergi dan balik daripada Johor Baharu ke Putrajaya, mengapa mereka tidak berkursus di Johor Baharu sahaja. Mengapa begitu istimewa warga asing ini dilayan oleh pihak tertentu dalam negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak polis agar tidak bersubahat melindungi penyelewengan yang melibatkan kedaulatan negara.



Tiada ulasan: