Isnin, 24 Oktober 2011

SATU DEMI SATU BUAT KESILAPAN DAN KESALAHAN...MAKA RAKYAT MELIHAT...DAN TAK TERMAKAN RASUAH LAGI...RAKYAT TAHU RASUAH DILARANG DARI AGAMA DAN UNDANG2

'Jaga Melayu gagal, jaga rakyat pun gagal' | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 24 Okt: "Jaga Melayu gagal, jaga rakyat pun gagal", itulah kesimpulan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Sejak selepas pilihan raya 2008, seperti orang kerasukan Umno menjerit-jeritkan kepentingan Melayu.

"Tunjuk perasaan kononnya membela kepentingan Melayu dan mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas pilihan raya tersebut bermula di Pulau Pinang.

"Baru-baru ini gerombolan yang menunjuk perasaan itu mendapat habuan dan hadiah istimewa untuk mereka apabila (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kata Umno tak perlu dan tak ingin menuntut kerusi ketua menteri Pulau Pinang dari Gerakan sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Umno, kata Mahfuz, memang tegar mengetepikan kepentingan kuasa Melayu di Pulau Pinang.

Menurut beliau, dalam pilihan raya umum 1990, Umno memenangi 12 kerusi di Pulau Pinang manakala Gerakan hanya memenangi tujuh kerusi.

Keputusan itu membolehkan BN terus memerintah apabila mendapat 19 kerusi berbanding DAP yang hanya mendapat 14 kerusi.

Sepatutnya, kata Mahfuz, Umno yang mempunyai majoriti lebih besar di antara kedua-dua parti di dalam BN itu berhak mendapat jawatan Ketua Menteri. Bagaimanapun, Umno menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Gerakan.

Begitu juga, katanya lagi, dalam pilihan raya umum 1995 di mana Umno menang 12 kerusi, Gerakan 10 kerusi, MCA 9 kerusi, MIC 1 sedangkan DAP menang 1 kerusi saja.

Umno, kata beliau, tetap tunduk di bawah telunjuk Gerakan dan jawatan Ketua Menteri terus diserahkan kepada parti itu.

"Apa yang berlaku di PulauPinang itu dengan jelas menunjukkan Umno mengorbankan kepentingan orang-orang Melayu dan semua orang tahu nasib orang-orang Melayu Pulau Pinang di bawah pemerintahan Gerakan. Ia menjadi bukti sejarah," kata Mahfuz.

Beliau juga menyifatkan kerajaan Umno gagal memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga kepentingan rakyat apabila inflasi di Malaysia mendadak naik di luar jangkaan September lalu.

"Inflasi naik di luar jangkaan September lalu apabila harga makanan dan kos pengangkutan melonjak naik manakala ringgit yang semakin lemah pula mengakibatkan import lebih mahal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Pada bulan September, katanya, indeks harga pengguna terus kepada naik 3.4 peratus selepas naik kepada 3.3 peratus pada bulan Ogos.

"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa sebahagian besar inflasi dan kenaikan harga barang di negara ini diakibatkan pemberian lesen-lesen monopoli kepada kroni-kroni Umno dan BN.

"Lesen-lesen monopoli seperti beras, gula, permit import (AP) kereta, konsesi tol lebuhraya dan lain-lain diberikan kepada kroni-kroni Umno dan BN," kata beliau.

Penyalahgunaan kuasa Umno dan BN seperti itulah yang menjadi antara penyumbang utama kenaikan harga barang dan inflasi di negara ini, katanya.

Menurut Mahfuz, bila tidak ada persaingan sihat dan monopoli dijadikan bermaharajalela oleh kerajaan Umno, harga dinaikkan tanpa mempedulikan kesusahan pengguna.


Usul bincang penggantungan Aziz Bari ditolak | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) yang meminta isu penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari agar dibincangkan di parlimen.

Salahuddin memberitahu pada satu sidang media di parlimen bahawa usul tersebut telah ditolak oleh Yang Dipetua di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) yang mengatakan ia tidak perlu disegerakan.

"Saya telah mengemukakan usul pada Jumaat lepas yang meminta isu penggantungan Abdul Aziz dibincangkan di parlimen kerana ia melibatkan maruah pendidikan negara ini.

"Tetapi usul tersebut telah ditolak di dalam kamar dengan alasan ia tidak perlu disegerakan dan mengatakan urusan penggantungan terhadapa Abdul Aziz adalah merupakan urusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta menyatakan perkara ini dalam siasatan pihak universiti," jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya lagi, isu pengantungan ini sangat penting dan ia tidak boleh dipandang remeh oleh perlimen dan juga pihak kerajaan, selain itu juga beliau melihat pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Abdul Aziz itu telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh Abdul Aziz dari sudut perundangan adalah satu yang baik tetapi ada pihak-pihak tertentu mempolitikkan apa yang beliau nyatakan dan menyebabkan beliau menjadi mangsa pada keadaan tersebut.

"Pandangan beliau yang telah mendapat pengikhtirafan antarabangan tetapi di Malaysia ia menjadi satu kesalahan yang besar. Adakah adil bagi kita jika pendapatnya yang diiktiraf di luar negara tetapi negara ini bertindak menggantung perkhidmatan beliau.

"Kenyataan yang disentuh olehnya adalah berkisarkan kepada Raja Berperlembagaan dan ia berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan adakah itu menjadi satu kesalahan," sambungnya lagi.

Salahuddin juga memberitahu kalau kenyataan itu merupakan satu kesalahan besar kenapa sebelum ini pernah ada pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan yang amat teruk tidak dikenakan tindakan.

"Kita akan terus memberi pembelaan kepada beliau dan akan membawa isu ini di dalam parlimen melalui sesi perbahasan di peringkat jawatkuasa, Kita tidak mahu pendapat yang telah mendapat perhatian diperingkat antarabangsa tetapi di Malaysia ia menjadi satu kesalahan yang besar," tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu penggantungan yang dikenakan oleh UIAM kepada Abdul Aziz adalah umpamakan seperti kesalahan jenayah yang mana beliau tidak dibenarkan masuk ke kawasan kampus menyebabkan pelajarnya telah tergendala pembelajarannya.

"Kita tengok penggantungan beliau umpama satu jenayah besar, kalau penyiasatan ingin dilakukan ia boleh dijalankan tanpa pengantungan beliau.

"Pelajar sekarang berada dalam suasana peperiksaan dan kesan pengantungan ini menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan sepenuhnya tunmpuan kepada subjek yang diajar oleh Abdul Aziz itu," kata Dr Dzulkefly.

Beliau juga kesal kenapa Abdul Aziz yang merupakan seorang pensyarah serta ahli akedemik yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dikenakan tindakan sedemikian rupa.

"Intitusi pendidikan negara ini telah disekat dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam dunia pendidikan serta perlembagaan negara telah disekat dari menyatakan pendirian mereka sendiri," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut serta dalam sidang media tersebut menyatakan institusi pendidikan negara ini perlu bebas dari segala kekangan politik dan setiap ahli akedemik perlu ada kebebasan untuk menyatakan pendapat mereka tersendiri.

"Pendidikan negara perlu bebas tidak kira diperingkat pendidikan biasa mahupun peringkat tertinggi, usaha mengekang mereka yang berpengalaman dalam sesuatu bidang untuk menyatakan pendapat adalah merupakan budaya menggelapkan intitusi akedemik serta pendidikan negara," jelasnya lagi.


Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat skandal IC | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah menyerahkan memorandum bagi mendesak Kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz di bangunan Parlimen, dengan ditemani beberapa orang AJKnya termasuk Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu, Suhaizan Kaiat.

Penyerahan memorandum itu dilakukan menerusi Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sekitar jam 1.00 tengah hari.

Pada sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, di sini, hari ini, Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS Malaysia mempunyai bukti yang jelas mengenai 240 orang warga asing yang dirancang oleh pihak tertentu untuk diberikan kad pengenalan di Istana Dugang Country Resort di Kajang, Selangor pada 12 Oktober lalu.

Menurutnya, pihaknya turut mempunyai bukti terdapat 170,818 dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku kedua 2011 yang mempunyai kod negara "71".

Katanya, berdasarkan semakan yang dibuat oleh pihaknya terhadap laman web JPN, tiada kod "71" disenaraikan sebagai kod rasminya.

"Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod "71" adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya," katanya.

42.23 peratus atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran itu, jelasnya, adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23).

Katanya, 17.33 peratus atau 29,605 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran itu adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistan (328), Tamil (324), Tamil Sri Lanka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangladesh (10).

"Pengundi daripada bangsa Indonesia yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini dipecahkan kepada bangsa Indonesia (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872), Banjar (240) dan Boyan (58)," katanya.

Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula, katanya, Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941).

"Ini bermakna negeri Pakatan Rakyat termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 peratus atau 97,923 orang, iaitu satu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah," katanya.

Pemuda PAS, katanya, telah membuat siri-siri pendedahan manipulasi pilihanraya selama dua bulan kepada pihak media dan hasilnya didapati terdapat ribuan kes kad pengenalan berkembar.

Menurutnya, pihaknya mempunyai bukti yang jelas mengenai perkara yang dibangkitkan itu yang melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN.

"Kelemahan ini mungkin telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memanipulasi data-data JPN," ujar beliau.


Dunia Gaddafi telah tamat | Print |
Subky Latif
NASIB Muammar Ghadafi telah diketahui semua. Sebagai pemimpin dunia Arab dan Afrika yang terkemuka, dia mengakhiri pimpinan dan kuasa dengan cara yang tragis.

Dia dibunuh oleh rakyatnya yang memberontak. Azamnya untuk mati melawan hingga titis darah terakhir berlaku. Dia berlawan hingga akhir dalam negaranya sendiri.

Tetapi dia di saat dia berlawan. Dia sudah ditangkap hidup. Sebagai tawanan itulah dia dihukum.

Tamat dunianya. Tinggal dia dengan Tuhannya saja.

Tiada nampak sejarah akan mengingatinya sebagai seorang yang disukai termasuk oleh bangsanya. Tentangan tegasnya terhadap penindasan kolonialis barat dan zionis tidak cukup baginya untuk menjadi seorang yang dikenang.

Apa pun hukuman yang diterimanya, dia tidak lagi terpaksa menghadapi derita mental dan pysikal gara-gara kegagalannya mempertahankan kuasa dan regimnya.

Hukum yagng diterimanya amat tragis, tetapi dia tidak terpaksa menanggung beban dan siksaan sebagai orang kalah yang ditawan.

Dia tidak menglami lagi apa yang dialami oleh dua rakan sejawatnya dulu, Hosni Mubarak dan Zaine el Ebidene Ben Ali. Dia tidak dengar dan tidak alami kutukan penentangnya dan segala kesannya.

Tetapi dua rakan sejawatnya dari Mesir dan Tunisia yang sedang dihukum oleh rakyatnya sekarang terus menderita baik dari segi mental dan tubuh badan.

Sekali pun Ben Ali dapat melepaskan diri lari keluar negeri, tetapi kehidupannya sejak hilang kuasa adalah amat menderita. Sekali pun dia tidak mengalami deraan pysikal, tetapi tekanan derita mental oleh seorang bekas pemimpin negara adalah amat pahit untuk dilalui.

Pertama dia tidak lagi dilayan sebagai semasa berkuasa dulu. Banyak kepayahan terpaksa dilalui dalam hidup baru itu.

Aib dengan apa yang terjadi. Bagaimana hendak menghadapi semua orang yang ditemui? Segala cerca, maki hamun dan kutukan rakyat jelata datang tidak henti-henti.

Ancaman yang datang, sama ada boleh kekal dalam buangan atau akan dihantar pulang bagi diadili dalam negeri, sentiasa merawang dalam fikiran hingga menyusahkan untuk tidur dan jaga juga tidak senang.

Setiap kali terbaca apa yang dialami oleh Hosni Mubarak, akan tambah rasa derita.

Akan Hosni Mubarak pula, dalam usia yang lanjut dan uzur itu sepatutnya menjalani rawatan yang seadannya sesuai dengan khidmatnya sebagap pesara tentera dan pemimpin selama 30 tahun.

Tetapi sebagai pesakit tua yang dirawat, dia adalah tawanan yang terpaksa menghadapi segala masalah yang alami oleh seorang tawanan. Terpaksa brdepan dengan soal siasat terhadap segala tuduhan berat yang dikenakan.

Orang muda yang sihat pun akan terasa azab yang pedih dengan tekanan seperti itu, maka apa lagi bagi seorang tua yang uzur yang sepatutnya rehat sepenuhnya.

Derita di tempat dia ditahan tidak dapat dibayangkan, apa lagilah apabila dipaksa dihusung ke mahkamah bagi menjawab segala pertuduhan.

Dia mungkin dirasakan lebih teruk dari yang dialami oleh Ben Ali. Ben Ali tidak berdepan dengan penyiasat dan mahkamah, tetapi Hosni dipercayai dapat juga layanan isteri dan dapat melihat anak-anak yang juga ditawan sepertinya.

Ben Ali tidak diketahui dapat layanan keluarga terdekat.

Selagi kedua-duanya ada usia, tidak dapat dibayangkan segala serba susah dan tekanan fikiran yang dihadapi.

Ghadapi juga menghadapi berbagai soalan yang mengganggu ketenangan sebagai lapan bulan pemberontakan rakyatnya. Sekali pun tempoh pergelutan itu lebih panjang dari yang dihadapi oleh Ben Ali dan Hosni sebelum hilang kuasa, tetapi Ghadapi sepanjang tempoh itu adalah bertindak sebagai seorang panglima tentera yang sihat tubuh badan.

Tetapi payahnya banyak juga tetapi dia bergerak dari setempat ke setempat ssebagai pemimpin tentera. Sekalipun berakhir dengan kekalahan dan dia dihukum bunuh sebaik dia ditawan.

Dia tidak menghadapi segala tekanan seperti yang dihadapi oleh Hosni dan Ben Ali. Cerita dunianya sudah berakhir. Tetapi Ben Ali dan Hosni terus menghadapi azab dunia entah sampai bila.

Apa yang dihadapi di akhirat itu adalah antara dua dengan Tuhannya, tetapi siksaan di dunia sesama manusia amat menyukarkan pada pandangan manusia. Apakah Gahdafi lebih senang dari Ben Ali dan Hosni Mubarak? Tuhan saja yang tahu.


Laporan audit keluar selepas 17 hari Bajet | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Laporan Ketua Audit Negara akhirnya dikeluarkan hari ini, selepas 17 hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Belanjawan 2012 di parlimen.

Kebiasaannya, ia diberikan kepada ahli parlimen ketika pengumuman belanjawan sepertimana terkandung dalam Peraturan Mesyuarat 20 (1), di mana Dewan Rakyat, Speaker dan ahli mesyuarat mesti dibekalkan dengan laporan itu ketika Belanjawan berlangsung, lapor KeadilanDaily.

Kelewatan ini, menimbulkan kecaman ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat, yang menyifatkan ia sebagai usaha untuk tidak membahaskan dan menyorokkan maklumat kandungan laporan audit berkenaan.

Sebelum ini, Belanjawan 2012 juga dibentang tanpa meneliti laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara sepertimana kebiasaan.

Minggu lalu, Pakatan Rakyat buat pertama kalinya menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji kandungan laporan berkenaan dan punca kelewatan yang sangat ketara.

Jawatankuasa itu akan turut mengkaji dan membandingkan Laporan Ketua Audit Negara dengan laporan lain termasuk laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Layan secara akademik, bukan undang-undang | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik.

Presidennya, Amidi Abdul Manan menyatakan demikian sebagai respons kepada isu surat tunjuk sebab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ditujukan kepada pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) atas kenyataan yang dikatakan bertentangan dengan kepentingan universiti mengundang polemik yang berpanjangan dalam masyarakat.

Ini, katanya ditambah pula dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok yang boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

Menurutnya, UIAM mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia dan telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

Ujarnya lagi, UIAM juga mempunyai reputasi yang baik di peringkat antarabangsa sementara Dr Abdul Aziz adalah seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di Malaysia.

Beliau menambah, Dr Aziz telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan.

“Abim berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Maka, kata beliau sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik juga, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya.

Seharusnya, ujar beliau medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah dan tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

“Sekiranya perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu,” katanya lagi.

ABIM juga, ujarnya khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu itu.

“Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia academia di Malaysia.

“Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya lagi.


Kuburkan hasrat BN mahu rampas Selangor | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan kenyatan Timbalan Pengerusi BN Selangor yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Begitupun, ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) menegaskan pihaknya mempastikan hajat Noh ingin mengembalikan semula negeri Selangor kepada pentadbiran yang korup dan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, keuntungan kekayaan negeri berlegar di sekeliling pemimpin Umno serta kerosakan-kerosakan yang lain akan ‘dikuburkan’ di dalam pilihan raya umum yang akan datang dengan sokongan dan dokongan padu rakyat negeri Selangor yang bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan impian Noh Omar hanyalah angan-angan kosong kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor setakat ini walaupun baru sepenggal memerintah negeri Selangor telah menunjukkan pemerintahan yang mempunyai sistem urus tadbir yang jauh lebih baik, telus, bebas rasuah, cakna kebajikan rakyat serta telah meningkatkan hasil kerajaan dan simpanan negeri Selangor,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, rakyat negeri Selangor kini telah dapat banyak manfaat daripada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama-sama kepimpinan pemuda PAS di semua peringkat dan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat akan menjadikan impian Noh Omar sebagai ‘mimpi ngeri’ Barisan Nasional di negeri Selangor dengan izin Allah Taala, insya Allah,” katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya melahirkan rasa kebimbangan di atas keyakinan Noh Omar menzahirkan hasrat BN merampas negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat sudah pasti akan ada taktik dan teknik ‘kotor dan jahat’.

Katanya, Umno BN Selangor yang akan mengguna pakai cara jahat bagi mencapai maksud tersebut selain kemungkinan daripada kerja kotor yang dibuat oleh pemimpin Umno BN di peringkat Pusat dengan memberikan kerakyatan mudah kepada pemastautin tetap serta mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin seperti yang telah didedahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, dengan pertambahan pengundi baru yang cukup luar biasa untuk negeri Selangor bagi tahun ini kemungkinan berlaku penipuan adalah sangat besar seperti mana yang dilakukan oleh Umno BN semasa merampas negeri Terengganu dahulu.

Oleh itu, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat memperkasakan jentera pilihanraya di semua peringkat dengan memberikan khidmat terbaik dari segi penerangan terhadap kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja kebajikan kepada rakyat yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama.

Selain itu, katanya perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap sebarang taktik kotor Umno BN yang sedang terdesak untuk merampas kembali negeri Selangor.

“Seluruh rakyat negeri Selangor juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kecurigaan dan salah laku pemimpin Umno BN yang cuba untuk memberikan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin, pemastatutin tetap ataupun kepada mereka yang tidak layak bagi menjadi pengundi di dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: