Isnin, 3 Oktober 2011

BEZA SANGAT JAUH...BAS MEWAH DAN KHAS TUK PM DENGAN BAS BIASA...UNDANG2 SYARIAT MEMANG SESUAI DENGAN FITRAH SBB MANUSIA ALLAH CIPTA BUKAN PENJAJAH

Jangan tertipu bajet 'morfin melalaikan' | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Menyifatkan bajet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya sebagai ‘morfin yang melalaikan', Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyeru rakyat supaya sedar dan tidak ditipu oleh janji-janji pilihanraya dalam bajet yang tidak pernah kunjung datang.

Tahun ini, kata beliau ialah julung kalinya rakyat dapat melihat dua tawaran bajet – satu daripada BN dan satu daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Ambillah peluang ini untuk menilai bajet mana yang lebih menjamin kesejahteraan semua, daripada bajet yang sekadar menyuntik morphine untuk me’lalai’kan rakyat daripada kesakitan hanya sehingga selepas pilihanraya umum.

Selepas kesan morphine hilang, segala kenaikan yang diberi akan diambil semula dalam bentuk kenaikan harga barangan dan GST yang sudah semestinya akan dilaksanakan jika Umno-BN memerintah lagi,” saran Tuan Ibrahim merujuk kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diwar-warkan bakal dilaksana Umno-BN selepas PRU-13 jika menang pilihanraya.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakyat bahawa banyak janji BN semenjak Mac 8, 2008 ketika berlangsung pilihanraya kecil masih tidak ditunaikan dan menasihatkan mereka agar berwaspada dengan janji-janji baru yang bakal ditaburkan dalam bajet sempena musim pilihanraya.

“Sebahagian besar janji-janji tersebut masih belum ditunai lagi, bahkan sudahpun dilupakan… sungguhpun begitu, kerajaan yang tidak segan-silu menipu ini akan menabur janji baru kerana sudah tiba musim pilihanraya.

Jika ditanya mana janji yang lama, rakyat bakal mendengar kerajaan akan berjanji ‘janji yang lama’ akan dilaksanakan bersama ‘janji yang baru jika ‘rakyat bantu BN sekali lagi’ terlebih dahulu untuk menang dalam pilihanraya. Menang dulu sudah tidak dikira walaupun janji belum ditunaikan, itulah jenis kerajaan yang rakyat undi untuk 54 tahun,” sindir beliau.

Menjelang pembentangan bajet 2012 yang ramai menyifatkan sebagai bajet pilihanraya, Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.

Memberikan reaksi sinis kepada isi bajet tersebut, Tuan Ibrahim berkata “Alangkah baiknya kalau pilihanraya boleh diadakan tiap-tiap tahun, sudah tentunya kesengsaraan mereka, yang terutamanya yang daripada sektor awam akibat tekanan hidup boleh dikurangkan dengan mendapat bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap tahun.

“Alangkah seronoknya juga jika seseorang itu ialah peneroka kerana pelbagai bonus bakal diterima apabila tibanya musim pilihanraya.

Jika dibandingkan dengan derita orang kampung yang terbiar tak dipeduli. terkenang alangkah peritnya mereka yang bekerja sendiri di kampung, yang hanya dapat mendengar kenaikan gaji orang lain, tapi dirinya dilupakan kerajaan dan terus menderita dengan kenaikan kos hidup,” tambah beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Mengenai pembentangan bajet BN yang dijadualkan 7 Oktober ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang menyayatkan hati ialah ke’lalai’an rakyat dalam mendengar perisytiharan angka jutaan dan billion ringgit walaupun kebanyakannya hanya janji kosong sahaja.

“Ke’lalai’an itu bagaikan keseronokan menonton filem Hindustan pelakon lawa, rumah besar, kereta hebat, taman bunga cantik… namun segalanya hilang apabila filem tamat.

Sesudah bangun daripada ke’lalai’an khusyuk beberapa jam mendengar angka berjuta, berbillion yang kononnya akan sampai kepada mereka sebelum pilihanraya umum seterusnya… rakyat kembali ke ruang kini… di mana yang ada hanyalah realiti kehidupan rumah rakyat yang menunggu rebah, anak-anak yang kurus kekurangan zat makanan dan suasana bebanan hidup yang semakin berat,” kata beliau, sambil berharap agar rakyat dapat sedar dan keluar daripada cycle yang kejam yang muncul setiap kali musim pilihanraya bertambah dekat.

“Jalan keluar hanya ada satu iaitu dengan mengundi “apa-apa sahaja selain daripada Umno BN” pada pilihanraya akan datang,” nasihat beliau.


RUU Kg Baru ditarik balik | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Setelah menerima tekanan hebat dari perjuangan untuk membebaskan Kampung Baru dari Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru, bacaan kali kedua di Parlimen yang sepatutnya bermula hari ini, ditarik balik.

Perkara itu diumumkan pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, ia satu kemenangan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

(Dr Lo' Lo' ...perjuangannya untuk Kampung Baru diiktiraf)

“Perkara pertama hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan telah menarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru, Viva, kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan Allahyarhamah Dr Lo’Lo’,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Pelbagai pihak khasnya PAS mendesak agar rang undang-undang ditangguhkan dan bacaan kali keduanya hari ini ditarik balik.

Perjuangan ini, sebagaimana yang dinyatakan Tian Chua diperjuangkan dengan hebat oleh anggota Parlimen kawasan ini, Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Pemuda PAS sambut baik

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik langkah kerajaan yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini.

Ketuanya, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz (gambar) menganggap kejayaan ini sebagai hasil perjuangan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru sendiri yang berusaha daripada peringkat awal bagi memperjuangkan tanah hak milik mereka.

Dengan penarikan balik bacaan kali kedua ini menunjukkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengakui bahawa Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru sebenarnya tidak menguntungkan rakyat.

DPPKT mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang memainkan peranan besar dalam menyatukan penduduk Kampung Baru di samping memberi kefahaman yang jelas terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru terhadap penduduk kampung.

Bagi DPPKT, perjuangan SPKB selama ini berbaloi dan kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat yang tidak mahu melihat tanah warisan milik Orang Melayu menjadi korban pembangunan pesat Kuala Lumpur.

Tahniah juga diucapkan kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang berjaya sebagai pentadir Kampung Baru selama 111 tahun lamanya serta turut sama terlibat dalam memperjuangkan isu ini.

"Ini membuktikan peranan MAS diakui penting bagi menjaga hak pemilik Kampung Baru," katanya.

Selain SPKB dan MAS, peranan utama yang dimainkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa yang selama hayatnya tidak pernah merasa jemu dan letih turun padang bagi membela isu Kampung Baru, kata Suhaimi.

"Selama tempoh perkhidmatannya yang singkat ini, beliau berjaya membawa isu Kampung Baru sebagai isu nasional dan membela nasib penduduk Kampung Baru ke peringkat tertinggi. Ini menunjukkan prestasi wakil rakyat PAS dan Pakatan Rakyat sebagai pembela rakyat jauh lebih baik daripada wakil rakyat Barisan Nasional yang telah memerintah berpuluh tahun lamanya," tegas beliau.

Katanya, DPPKT mengharapkan penarikan Rang Undang-Undang ini bukanlah bersifat sementara sebagai gimik politik semata-mata bagi mengabui mata rakyat menjelang Pilihnaraya Umum ke 13, sebaliknya kerajaan perlu ikhlas dalam memastikan kebajikan dan hak rakyat terbela pada bila-bila masa.

Bantahan PAS

Sebelum ini, PAS mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru 2010 (RUU PPKB 2010) dan tidak meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sessi ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, RUU PPKB tersebut perbincangan semula membabitkan pihak yang benar-benar berkaitan dengan Kg Baru.

Menyifatkan RUU PPKB sebagai "tidak masak", dan "cacat", Salahuddin berkata cadangan bacaan kali kedua itu bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris Kg Bharu.

(Salehudin mengadakan sidang media khas 27 September lalu membantah RUU Kg Baru dan minta bacaan keduanya ditangguhkan)

"Penangguhan bacaan kali kedua sebelum ini membuktikan rang undang-undang ini tidak masak, tidak sempurna dan cacat maka satu perundingan yang serius perlu dilakukan yang perlu melibatkan wakil penduduk yang sah termasuk badan bukan kerajaan yang ada di Kg Bharu," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, 27 September lepas.

Salahuddin dalam pada itu turut menganggap kejayaan awal penentangan penduduk terhadap RUU PPKB hasil pengorbanan ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' yang berusaha keras memberi kesedaran kepada penduduk mengenai 'sesuatu yang tidak kena' dengan RUU tersebut.

Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) parlimen Titiwangsa menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) dengan tujuan membantu beliau meneliti, mengkaji dan memberikan maklumat penuh berkaitan RUU PPKB 2010.

LAPORAN SEBELUM INI

Penduduk Kg Baru diajak tolak rang undang-undang

PAS desak tarik balik Rang Undang-undang Kg Baru

Buktikan siapa yang sokong RUU Kg Baru


SPR tidak upaya laksana reformasi - Anwar | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar menuntut Perdana Menteri menyatakan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berupaya melakukan pembaharuan pilihan raya berdasarkan bidang kuasanya sedia ada.

Dalam soalan bertulisnya, Anwar membangkitkan kelemahan SPR seperti dinyatakan dalam tuntutan Bersih 2.0, sedangkan badan itu berupaya melaksanakan reformasi pilihan raya tanpa perlu cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC), lapor KeadilanDaily.

“Perkara ini (kelemahan SPR) menjadi isu besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi dibahaskan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam perbahasan pagi ini.

Merujuk Indonesia yang berkepadatan 270 juta penduduk, Anwar berkata, dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya di negara tersebut.

Justeru, SPR tidak mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan reformasi pilihan raya.

“Mengapa SPR yang diberi tanggungjawab besar mengambil masa yang begitu lama untuk menyelesaikan, antaranya isu dakwat kekal.

“Pakatan Rakyat sebelum ini telah pun menyatakan komitmen untuk menyertai PSC. Maka, Menteri perlu ada kaedah apa jua cara untuk mendesak dan memutuskan tindakannya terhadap SPR,” tegas Anwar.

Mesyuarat keempat penggal ketiga sidang Dewan Rakyat ke-12 bermula hari ini dan akan berakhir pada 1 Disember 2011.


Hudud sesuai dengan fitrah manusia | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) menggesa seluruh ahli agama dan rakyat yang beragama Islam agar memberikan sokong tanpa berbelah bahagi kepada perlaksanaan hukum syariah hudud.

Katanya, Dewan Ulamak PAS menyeru kepada seluruh agamawan termasuk NGO-NGO Islam agar memberikan sokongan secara berterusan kepada PAS untuk merealisasikan perlaksanaan syariat di negara ini

“Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam hendaklah memahami bahawa hasrat PAS bukannya untuk mengaut keuntungan politik tetapi ianya bertitik tolak untuk memastikan negara kita berada dalam keadaan stabil dan harmoni.

“Saya juga menyeru ahli Umno dan ahli Parlimen Umno yang beragama Islam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hasrat Kerajaan Negeri Kelantan ini, insya Allah, Allah SWT akan memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa menolong agama-Nya.

“Ingat, ini bukan isu politik tetapi ianya adalah isu yang berkaitan dengan kepercayaan dan keyakinan kita kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi.

Jelasnya, undang-undang hudud datangnya daripada Allah SWT, iaitu Tuhan yang mencipta seluruh umat manusia termasuk Arab, Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi.

Tambahnya, apabila ianya datang daripada Allah SWT, maka sudah pasti dan tanpa ragu-ragu lagi ianya sesuai dengan fitrah dan keperluan manusia sehinggalah ke hari qiamat.

“Undang-undang negara kita sudah tidak mampu lagi untuk menangani permasalahan jenayah secara berkesan, undang-undang ini sudah relevan lagi untuk kebaikan rakyat Malaysia.

“Jadi kami menyeru supaya PAS diberikan peluang untuk membukti keadilan undang-undang Islam yang bukan hanya terbatas kepada hudud sahaja tetapi meliputi seluruh penjuru kehidupan manusia,” ujar beliau lagi.


PAS lancar Hari Habitat Sedunia malam ini | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 3 Okt: Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat hari ini akan melancarkan Sambutan Hari Habitat Sedunia (World Habitat Day) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8.30 malam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Malaysia Zulkefly Mohamad Omar (gambar) yang menjelaskan pada satu sidang media program ini merupakan menifestasi serta hasil melalui Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diraikan oleh semua negara di dunia.

"Sambutan ini dianjurkan di negeri-negeri bagi meningkatkan komitment kerajaan negeri dan memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dengan badan-badan bukan kerajaan dalam pengurusan alam sekitar setempat.

"Objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dikalangan orang ramai serta mengalakkan kerjasama di antara pelbagau agensi," katanya.

Zulkefly yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut memberitahu melalui program ini juga ia dapat memberi kesedaran kepada agensi tertentu dalam membuat sesuatu perancangan atau penerokaan dengan lebih baik.

"Mewujudkan rasa tanggungjawab bersama bahawa bumi ini adalah tanggungjawab kita semua.

"Selain dari itu ia adalah mesej kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat sentiasa prihatin terhadap alam sekitar," jelasnya lagi.

Dalam pada itu beliau memberitahu program ini merupakan acara yang penting bagi Kerajaan Pakatan Rakyat terutama di negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Tambahnya lagi tema sambutan khusus di Selangor adalah 'Air Bolah Merubah Segalanya, Manusia dan Pembangunan' dipilih berdasarkan beberapa faktor dan isu yang dihadapi oleh kerajaan negeri.

"Tema ini kita pilih kerana air sebagai sumber kehidupan, sebarang pembangunan dan penerokaan kawasan tadahan air atau kawasan hutan simpan kekal mestilah dielakkan.

"Kesedaran rakyat dan pihak berwajib soal penjagaan dan pemeliharaan sungai-sungai dari dicemari oleh bahan-bahan sisa pepejal, berair, bergas yang mengandungi asid, toksid dan elemen radio-aktif mestilah dibuat secara berterusan.

"Dan yang paling utama isu air yang melibatkan kerajaan negeri dengan SYABAS dan Kerajaan Persekutuan mestilah diselesaikan segera demi kebaikan rakyat negeri ini," ulasnya lagi.

Beliau menyatakan kualiti air dan penemuan sumber baru serta penambahbaikan pengurusan pentadbiran bekalan air merupalan agenda dalam pembangunan sosial ekonomi rakyat.

Sebelum itu Sambutan Hari Habitat Sedunia turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Abd Khalid Samad dan juga Presiden Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) Che Shamsuddin Othman.

Malah ia turut di meriahkan dengan kehadiran penyanyi Ito Mohamad.


Berita bas Najib dan Nik Aziz paling ramai dibaca | Print |
Harakahdaily

(Gambar bas yang dinaiki PM dan MB Kelantan)

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Para peminat Harakahdaily meletakkan berita ringkas yang menggambarkan perbezaan antara bas yang dinaiki Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan sebagai berita paling popular minggu lalu.

Berita bertajuk 'Naik bas: Antara Najib dengan Nik Aziz' itu paling banyak dibuka oleh peminat Harakahdaily melalui laman Facebook.

Berita itu dibuka oleh 4,494 dari 202,802 fan Harakahdaily di Facebook. Jumlah itu tidak termasuk jumlah kilk yang dibuat langsung melalui laman Harakahdaily.net.

Berikut adalah berita paling banyak dibaca oleh peminat Harakahdaily melalui laman Facebook.


BERITA PALING BANYAK DI BACA MINGGU LALU MELALUI FACEBOOK HARAKAHDAILY ( 23 - 30 SEPTEMBER 2011)

1 Naik bas: Antara Najib dengan Nik Aziz

2 Orang agama jangan 'bantai' saja artis - Zed Zaidi

3 Hudud: Pemuda PAS Kelantan sokong Khairy

4 Imej mewah Rosmah guris hati rakyat - SAMM

5 Pertama kali Najib naik bas

6 Rugi: Pekerja MAS tidak maafkan Mahathir

7 Suami dan facebook isteri

8 Nik Aziz perjuangkan hudud bersama 1/2 juta fannya?

9 Ustaz Azhar di UIA: 'Tangan jahat' ganggu program

10 JWW Birch dibunuh kerana ganggu wanita istana

11 Utusan bersalah fitnah Khalid Samad

12 Ali Rustam burukkan Kelantan macam mana?

13 Anak muda perlu bangkit, kata Anwar

14 Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

15 Hudud: Antara ‘tidak menyokong’ dan ‘menghalang’


Wacana Abim tegaskan Hudud sesuai dilaksanakan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Wacana Isu Semasa Hudud: Sesuaikah Dilaksanakan di Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) semalam merumuskan bahawa undang-undang jenayah syariah tersebut sesuai dan wajar dilaksanakan di Malaysia.

Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim (gambar) menekankan usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus wacana tersebut yang membariskan tiga ahli panel terkemuka iaitu Prof Dr Aziz Bari (pakar perlembagaan), Dr. Abdul Halim El-Muhamadiy (Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), serta Musa Awang (Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia).

Ketua Biro Syariah dan Kewangan Islam Abim, Dr Zulkifli Hassan pula bertindak sebagai moderator.

Wacana ini diadakan sebagai respon terhadap polemik pelaksanaan hukuman Hudud yang diketengahkan di media-media arus perdana.
Sepanjang tempoh semenjak polemik ini tercetus minggu lalu, beberapa pihak telah mengkritik cadangan perlaksanaan undang-undang Hudud yang diketengahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

Selain bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang dikatakan bersifat sekular, Hudud juga di dakwa akan mengakibatkan diskriminasi


Perspektif syariah dan sejarah


Dr Abd Halim El-Muhammady menjelaskan secara umumnya, perlaksanaan hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam. “Perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

"Oleh itu proses dan usaha ke arah melaksanakan undang-undang hudud perlu diberikan perhatian serius,” jelas beliau sambil menambah walaupun tidak disepakati secara ijma’, perlaksanaan syariah Islam merupakan salah satu komponen atau ciri sebuah negara Islam.

Dari segi perspektif sejarah pula menurut Dr Ab Halim lagi, undang-undang hudud sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman Melaka.

Beliau merujuk kepada manuskrip undang-undang Pahang yang juga digunapakai di Perak dan Johor di sekitar abad ke-17 yang kini disimpan di London, ia telah membuktikan bahawa undang-undang hudud merupakan undang-undang yang telah dikuatkuasakan ratusan tahun dahulu.

Hudud dalam konteks perlembagaan


Prof Dr Abd Aziz Bari (gambar) mengatakan perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang istimewa.

“Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Perkara 3 yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan perlu juga dibaca dengan Perkara 11, 12 dan beberapa peruntukan yang lain jelas menunjukkan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Pandangan mengatakan perlembagaan Malaysia adalah sekular adalah tersasar dari pentafsiran sebenar perlembagaan,” jelas pakar perlembagaan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Abd Aziz menegaskan bahawa perlaksanaan hudud juga perlu melihat dari aspek kehendak masyarakat atau rakyat.

Dalam kes di Kelantan beliau berpandangan, sekiranya rakyat negeri tersebut telah bersedia dan bersetuju untuk perlaksanaan hudud, hasrat ini perlu disambut dan ditunaikan.

“Dalam soal perlembagaan, kita harus menyedari bahawa ia bukan sesuatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Ia boleh dipinda serta dimansuhkan. Namun begitu dalam masa yang sama, pindaan serta pemansuhan (perlembagaan) ini juga tidak perlu dilakukan kerana perlembagaan itu sendiri tertakluk kepada pelbagai tafsiran yang boleh menghasilkan perspektif-perspektif yang berbeza,” menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga mencadangkan agar satu referendum atau pungutan suara dilakukan untuk meninjau hasrat dan kehendak rakyat mengenai perlaksanaan hudud.

Sekiranya referendum itu positif, kerajaan Pusat seharusnya membantu kerajaan negeri ke arah perlaksanaannya dengan bersungguh-sungguh, tegas beliau lagi.

"Undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan dan lunas perundangan yang ada sekarang. Persoalannya ialah mahu atau tidak? ” jelas Prof Dr Aziz Bari yang juga merupakan penulis Islam Dalam Perlembagaan Malaysia.

Aplikasi undang-undang

Pengamal undang-undang syariah, Musa Awang undang-undang tidak seharusnya dijadikan halangan dalam merealisasikan hukuman Hudud.

“Walaupun diakui terdapat beberapa halangan dari sudut undang-undang umpamanya Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1988) yang menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah kepada hanya boleh mengenakan hukuman sebanyak 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan, halangan seumpaman ini sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan yang tidak membolehkan ianya dipinda atau dimansuhkan.

"Bahkan, pindaan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan oleh eksekutif tanpa perlu melalui proses mendapatkan mandat 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Beliau menambah, "Hatta perlembagaan pun pernah dipinda, undang-undang seumpama ini boleh sahaja dipinda atau dimansuhkan dengan adanya Political Will.”

Oleh itu menurut Musa Awang lagi, “Persediaan dari sudut yang lain, umpamanya kesediaan badan kehakiman, pengamal undang-undang, infrastruktur, badan penguatkuasa, badan pendakwa dan lain-lain juga perlu diambil perhatian sewajarnya dalam melaksanakan hukum hudud."

Dalam pada itu, Mohamad Raimi mengumumkan beberapa rumusan awal yang dicapai hasil daripada wacana ini yang meliputi:

1) Cadangan enubuhan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Perlaksanaan Hudud secara serius di Malaysia

(2) Menggerakkan 'Road Show’ atau Program Penerangan Undang-undang Hudud yang Berterusan.

(3) Mencadangkan satu referendum atau pungutan suara diadakan untuk memahami persepsi dan kehendak rakyat terhadap perlaksanaan hudud.

“Wacana hudud yang dianjurkan kali ini merupakan salah satu dari usaha Abim ke arah mendidik masyarakat untuk membincangkan sebarang isu yang timbul secara ilmiah berdasarkan hujah.

"Isu hudud yang dibicarakan dari sudut perspektif yang perbagai sama ada perlembagaan, amalan undang-undang, sejarah, syariah dan demokrasi. Wacana kali ini juga telah mengetengahkan beberapa isu yang sangat signifikan untuk diambil perhatian oleh semua pihak.

"Pihak Abim akan memperhalusi cadangan dan saranan yang dirumuskan dalam wacana hari ini dalam masa terdekat dan mengenmukakannya kepada pihak berwajib.

"Justeru, adalah menjadi harapan kami agar segala cadangan dan saranan yang disyorkan dalam wacana ini disahut oleh pihak yang berwajib dan setiap usaha ke arah perlaksanaan hudud ini perlu dilaksanakan secara berhemah.

"Yang penting, langkah ke arahnya harus bermula, dan ia harus bermula sekarang,” tegas Mohamad Raimi lagi.

Tiada ulasan: