Jumaat, 6 Mei 2011

TAHU TAK PE...BERSIH2...TAK ROCK LAH....CARILAH YANG BOLEH IKUT TELUNJUK...HINGGA HUKUM ALLAH PUN NAK IKUT TELUNJUK...

Rampas Selangor untuk baham khazanah negeri
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Pakatan Rakyat wajib mempertahankan Selangor dan Negeri Pakatan Rakyat yang dimenangi pada 8 Mac 2008, malahan mesti berusaha untuk memerintah peringkat kerajaan pusat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, kenyataan Datuk Seri Najib yang hendak merampas balik Selangor dengan alasan untuk membela kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang amat melucukan bagi mereka yang waras.

“PAS hendak bertanya kepada Datuk Najib yang juga pengerusi Perhubungan Umno Selangor, apakah amalan zalim apabila rakyat diberi air percuma?

“Apakah amalan zalim warga emas yang meninggal diberi wang kifalah RM2,500?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan apakah amalan zalim setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100, apabila berumur 18 tahun wang terkumpul sebanyak RM1,500.

Justeru, katanya PAS hendak menasihatkan Najib supaya bercakaplah terus terang kepada rakyat Selangor bahawa memberi kembali Umno BN mandat untuk memerintah Selangor supaya pemimpin Umno dapat membaham khazanah negeri.

Ini, ujarnya kerana pemimpin Umno sudah tidak bermaya dan kebuluran projek.

“Beri tahu kepada rakyat Selangor jika Umno perintah Selangor, kami (pemimpin Umno) akan pastikan masjid surau mati supaya rakyat tidak memahami Islam yang syumul,” ujarnya.


Judin teraniaya: Rekod hitam 120 tahun JKR
Anis Nazri

PAS menuntut Kementerian Kerja Raya memberikan alasan munasabah kepada umum berhubung perpindahan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Ir Dr Judin Abd Karim, ke satu jawatan yang lebih rendah, baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata penjelasan itu diperlukan memandangkan rekod perkhidmatan Judin dikatakan bersih, amanah dan bertanggungjawab selama menjalankan tugas beliau di JKR.

Beliau yang melahirkan rasa kesal dengan perpindahan tersebut, berkata kementerian sewajarnya berasa bangga memiliki pegawai yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas, bukan bertindak sebaliknya dengan memindahkan beliau ke jabatan yang lebih kecil.

Mulai 1 Mei lalu, Judin dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Meskipun mendapat bantahan awam dan protes senyap kakitangan JKR, kerajaan tetap berkeras "menghukum" Judin yang dikenali sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi.

"Saya difahamkan, Judin bersikap tegas memastikan setiap prosedur berkaitan tender kerajaan dipatuhi oleh kontraktor. Dalam kes kontroversi pembinaan Istana Negara (yang menelan belanja di luar jangka), beberapa keputusan Judin, termasuk untuk menamatkan khidmat kontraktor utama yang mempunyai prestasi buruk, menjadi punca beliau disingkirkan," dakwa beliau.

Tambah Mahfuz, tindakan kementerian itu turut bertentangan dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 2004 bagi meningkatkan integriti penjawat awam apabila berlaku peminggiran terhadap pegawai yang berintegriti seperti Judin.

Katanya, perpindahan itu menimbulkan pelbagai persoalan tentang kemungkinan berlaku pertembungan penyalahgunaan kuasa di peringkat kementerian untuk meminggirkan sesiapa pegawai yang tidak sealiran dengan 'pihak tertentu'.

Selain kesal dengan tindakan kementerian tersebut, kekesalan Mahfuz turut dilemparkan terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila tidak mempertahankan Judin, sedangkan beliau bertanggungjawab penuh ke atas pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.

"Adakah KSN turut terlibat dalam konspirasi ini, hingga mendiamkan sahaja perkara tersebut? Sedangkan pegawai seperti Judin inilah yang sebaik-baiknya untuk kebaikan dan pembangunan negara," kata Mahfuz.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap Judin itu menunjukkan kerajaan benar-benar tidak komited dalam mengembalikan dan meningkatkan integriti sistem pentadbiran negara.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan benar-benar komited dalam soal integriti ini, badan-badan seperti kehakiman dan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan-badan lain perlu diberi isyarat yang baik sekiranya pegawai mereka bertindak dengan penuh tanggungjawab.

"Tindakan ini seolah-olah menunjukkan kerajaan pimpinan Najib Tun Razak ini 'bermusuh' dengan pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas mereka dengan amanah dan bertanggungjawab. Persoalannya, apakah isyarat yang ingin diberikan kepada kakitangan kerajaan ini? Tindakan terhadap Judin ini hanya menunjukkan pertentangan amalan dengan PIN yang dilancarkan sebelum ini," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pegawai-pegawai awam ini sepatutnya diberikan kepercayaan atas keupayaan mereka menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, bukan 'dihukum' kerana bertanggungjawab.

Tambahnya, situasi ini akhirnya akan menyebabkan pegawai kerajaan akan dilihat menjadi penakut, tidak bebas dan sentiasa dilihat terkongkong, yang kemudiannya menyebabkan sistem pentadbiran negara tidak akan dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, Pakatan Rakyat akan memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku dan berusaha untuk mengembalikan dan memulihkan integriti badan-badan kehakiman dan penguatkuasaan yang selama ini mengundang persepsi negatif di kalangan rakyat.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, yang mula mendedahkan pertukaran mendadak Judin itu awal April lalu, turut mendesak Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberikan penjelasan segera.

"Shaziman seorang yang berpengalaman sebagai jurutera awam sepatutnya mempertahankan Judin daripada tekanan politik elit penguasa dan kontraktor bermasalah. Pertukaran Judin adalah satu pengkhianatan terbuka kerajaan terhadap kakitangan awam yang berintegriti tinggi dan beretika cemerlang," tegas Lutfi.

"Kes Judin tidak boleh dipandang remeh. Sikap berdiam diri Perdana Menteri, Najib Razak amat dikesali. Dia mesti memberi jawapan di atas pertukaran jelas yang mahu mengaibkan Ketua Pengarah Kerja Raya itu," tambah Lutfi.

Beliau menegaskan: "Ini merupakan rakaman hitam sepanjang sejarah JKR yang sudah berusia 120 tahun. Tidak pernah seorang Ketua Pengarah Kerja Raya ditukarkan ke jawatan lebih rendah walhal Judin dikenali ramai, khususnya warga JKR sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi dan teguh memegang prinsip kerja."

-------

Nyatakan sokongan anda kepada Dato' Seri Ir Dr Judin Abdul Karim dalam facebook Sokongan Judin Karim


Henti politik hina, selamatkan maruah rakyat
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 6 Mei: Para pemimpin dan ahli-ahli parti Pakatan Rakyat serta lebih 80 NGO, hari ini sebulat suara menzahirkan kemarahan mereka terhadap perkembangan dan krisis ekonomi, sosial budaya dan politik kotor yang semakin parah di tanah air.

Mereka dengan tegas mengutuk penularan gejala politik yang tidak sihat, budaya memfitnah dan mengaibkan seorang musuh politik, sehingga mengakibatkan maruah masyarakat dan seluruh negara telah tercela, malah semacam dijadikan tebusan untuk memenuhi nafsu serakah politik pihak tertentu.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka amat kesal kerana penyebaran bahan lucah dalam bentuk amat menjijikkan, ditambah pula dengan usaha penyebarannya secara meluas dalam media massa, sudah sampai ke tahap menjadi barah negara.

Menurut beliau, perkembangan tidak sihat itu jika tidak dibanteras akan mengakibatkan seluruh masyarakat menjunam ke gaung kehinaan.

Katanya, mereka ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia sudah mual dan sangat tersinggung terhadap mereka yang terlibat dalam kehinaan mengaibkan keperibadian seseorang, tidak kira siapa pun beliau, semata-mata hanya kerana bernafsu untuk mengekalkan kuasa.

"Rakyat Malaysia belum pernah dihadapkan dengan politik sehina seperti yang berlaku sekarang. Malah persaingan politik sepanjang mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu tidak pernah mencecah ke tahap politik kotor dan jahat keterlaluan seperti yang sedang dipaparkan sekarang," katanya.

Ketika berucap pada perhimpunan aman Hari Amarah Rakyat di dataran Masjid Negara dan di hadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini, beliau menyuarakan kekesalannya dengan penyebaran secara sengaja bahan-bahan lucah itu.

"Ia ternyata bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat, sehingga menyebabkan rakyat terpaksa melihat bahan murahan yang menghina pemikiran dan nilai budaya keseluruhan warga Malaysia," katanya.

Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh Gerakan Saf Anti Rasuah (Saf) dan turut disertai parti-parti politik serta lebih 80 NGO termasuk Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy), Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Perhimpunan yang turut mendapat kerjasama Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah di tanah air itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 1,000 orang dari seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Rozan, ketika berucap turut menzahirkan kemarahannya kerana ketika rakyat perlu berfikir jernih dan matang untuk memacu pembangunan negara segara secara sihat dan beradab, pemimpin negara pula membiarkan budaya politik lucah untuk menjadi santapan rakyat setiap hari.

"Akibatnya, persoalan-persoalan pokok negara yang sepatutnya ditumpu kini berkecai oleh politik murahan dan menjijikkan," katanya.

Manakala Pengerusi Saf yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid ketika berucap menyuarakan kekesalannya dengan seluruh institusi awam dan swasta dalam negara termasuk polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Agama Islam, institusi kehakiman, Menteri Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri.

Turut dikesali seluruh Jamaah Menteri Kabinet, institusi mufti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, media massa awam dan swasta kerana kini berada dalam kedudukan sangat tercemar, akibat kehilangan wibawa dan integriti untuk bertindak menangani isu politik lucah.

Katanya, mereka menyatakan kemarahan mereka kerana pihak berkuasa dilihat bersekongkol dengan mereka yang terlibat dengan amalan jijik itu, tanpa tindakan segera menangani isu penyebaran bahan lucah berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Kami menyatakan kemarahan kami lantaran pihak berkuasa yang diberikan mandat menguatkuasakan undang-undang qazaf yang diperuntukkan dalam Seksyen 41, Enakmen Jenayah Syariah 1997 Wilayah Persekutuan sehingga kini tidak dilaksanakan.

"Apakah yang menyebabkan pihak yang berkuasa ini seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak, malah hanya menjadi penonton sahaja kepada jenayah dilakukan secara jelas itu," tegasnya yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura).

Beliau menegaskan, mereka merasakan kemarahan rakyat adalah wajar kerana bukan sahaja agensi yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang Islam kini dilihat mandul, malah integriti dan wibawanya pun turut terjejas.

"Kami menzahirkan kemarahan kami kerana isu politik lucah ini sudah diabsahkan sebagai budaya politik yang akan diwarisi oleh generasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara," ujarnya.

Sebelum itu, beberapa orang pemimpin NGO ketika berucap turut menzahirkan kekesalannya kerana pernyataan ulama yang menegur supaya pihak berkenaan menghentikan amalan mengaibkan peribadi seseorang tidak diendahkan sama sekali oleh mereka yang terbabit.

Malah lebih parah lagi, ia disemarakkan pula oleh media arus perdana yang bertindak biadab dan menonjolkan budaya jahiliah kepada seluruh rakyat di dalam dan di luar negara.

Ucapan mereka turut diselang-seli dengan pelbagai laungan kutukan terhadap Umno dengan kata-kata "Hancur Umno" dan ucapan-ucapan lain, termasuk kutukan terhadap media tertentu yang turut memainkan peranan menyebarkan budaya politik fitnah dan lucah di dalam negara.

Sementara setelah penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan 10 perkara kepada pihak Jawi dilakukan, Dinsman turut menyuarakan kekesalannya dengan membacakan sajak.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hassan yang turut menyertai perhimpunan itu bersama sekitar 300 rakan pelajarnya, ketika berucap menzahirkan perasaan mualnya dengan budaya politik hina di tanah air sekarang.

"Kami selaku generasi muda dan golongan pelajar tidak boleh menerima sekali-kali budaya politik hina, jijik, lucah, fitnah seperti sekarang dan mendesak agar semua itu dihentikan segera demi kepentingan negara," tegasnya.

Sempena himpunan aman itu, turut kelihatan pelbagai sepanduk yang dipamerkan oleh para peserta yang kesemuanya mengutuk keras budaya politik fitnah, lucah yang sedang berlaku dengan berleluasa di tanah air kita sekarang.


Amerika didesak minta maaf bunuh Osama
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 6 Mei: Solidariti Ummah terdiri daripada wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh seminggu kepada Amerika Syarikat (AS) untuk meminta maaf secara terbuka kaepada seluruh umat Islam di atas pembunuhan kejam Osama bin Laden.

Sekiranya permohonan maaf itu gagal dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, gabungan itu akan mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah tindakan AS itu.

Perkara tersebut ditegaskan Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura), Azmi Abdul Hamid selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan AS, dekat sini hari ini (gambar).

"Media sudah menyaksikan memorandum itu diterima wakil AS, jadi kami beri tempoh seminggu kepada Barack Obama untuk minta maaf secacara terbuka kepada umat Islam.

"Jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran membantah tindakan ini," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Kedutaan AS dengan dikawal kira-kira 50 anggota polis beruniform.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil Kedutaan AS, Greg Chapman itu antaranya mengecam tindakan tentera AS membunuh Osama bersama isterinya dengan kejam, di hadapan anak-anak mereka.

Selain itu, memorandum yang diwakili 21 NGO itu turut membantah tindakan Presiden AS, Barack Obama mengarahkan tenteranya menceroboh Pakistan bagi memburu 'pengganas' yang dianggap musuh ketat AS.

Mereka mendesak tentera AS agar segera keluar dari Pakistan dan berhenti menyeksa rakyat Pakistan.

Azmi yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) turut menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama akan menjadikan dunia lebih aman.

"Perdana Menteri kita sendiri menerima secara positif kematian Osama.Kami membantah keras dan sebab itu bantahan di kedutaan AS ini juga sebagai tanda kami membantah kenyataan Perdana Menetri itu," katanya.

Sementara itu, AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi yang turut serta dalam penyerahan memorandum itu turut membantah keras pembunuhan Osama dalam keadaan tidak bersenjata.

Muslimat katanya, tidak dapat menerima kekejaman tersebut apatah lagi pembunuhan itu dilakukan di hadapan anak-anak Osama.

"Bagaimana Amerika Syarikat yang mendakwa mereka memperjuangkan hak asasi manusia termasuk kanak-kanak sanggup bertindak kejam begitu?

"Kami mendesak AS membebaskan ahli keluarga Osama kerana mereka bukan musuh AS," katanya.













Tiada ulasan: