Selasa, 24 Mei 2011

ALLAH SAJA YANG NIAT MASING2...IKHLAS ATAU TAK...ATAU NAK TUNJUK2 MUKA....BERMUKA2 ATAU SEANGKATAN DENGANNYA....TALAM DUA MUKA MEMANG MASIH ADA LAGI..

TANAH RUNTUH ANAK YATIM:BERITA yang tak akan masuk TV dan media massa perdana


Isteri MB dan YB Dr Halimah serta muslimat PAS depan pusat Taqwa
Ahad
23.5.11
Saya tengah bermesyuarat di Batu Caves, KL apabila mendapat berita tentang kejadian tanah runtuh yang melibat sebuah Pusat Penjagaan anak yatim AT TAQWA di BT 14 HULU LANGAT.Tidak lama selepas saya menerima sms tentang berita itu, saya menerima pesanan ringkas dari jauh iaitu daripada YAB MENTERI BESAR SELANGOR yang berada di USA.Beliau meminta YB Rodziah selaku EXCO KEBAJIKAN dan saya selaku EXCO PEMBANGUNAN MODAL INSAN SELANGOR untuk mengerakkan YAYASAN AMAL ke tempat kejadian.
Saya terus meminta YAYASAN AMAL MALAYSIA yang terkenal dengan pengalaman dalam keadaan bencana dan BRIGED AMAL SELANGOR ke tempat kejadian bagi memberi bantuan kemanusiaan.
Belum habis mesyuarat saya bergegas pergi ke tempat kejadian.Semakin hampir saya mula perasan bahawa saya juga telah ke tempat berhampiran itu semasa kejadian PUSAT TAHFIZ HAYAATUL ULOOM terbakar hingga mengorban satu nyawa Ramadhan yang lepas..
Saya bertemu dengan YB Rodziah di LEMBAH AZWEN yang menempatkan 20 orang anak yatim yang tidak terlibat dengan kemalangan kerana mereka tidak berada dalam khemah yang ditimpa tanah runtuh.
Rata-rata wajah mereka menggambarkan kepiluan dan trauma.
Saya sempat berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang sama tidak ceria.Tidak kurang ada keluarga yang berdebar berlinang air mata kerana anak mereka belum dijumpai.Entah hidup entah tidak.

YB DR HALIMAH berbincang dengan SUK SELANGOR,YDP MPKJ,PENGARAH JKR SELANGOR
Kemudian saya terus berjalan kaki daripada LEMBAH AZWEN RESORT hingga ke tempat kejadian.Air hujan menyebabkan tanah kuning yang becak,licin dan berlopak.
Saya bertemu dengan ahli UNIT AMAL dan BRIGED AMAL yang telah bermula daripada awal membantu pasukan penyelamat mencari mangsa.
DYMM SULTAN SELANGOR diberi taklimat

YB Dr Halimah bertanya dengan Ketua pasukan Perubatan HOSPITAL AMPANG
Saya melihat tempat tanah runtuh di belakang bangunan PUSAT JAGAAN ANAK-ANAK YATIM AT TAQWA.Kelihatan pasukan penyelamat mengorek tanah yang menimbus khemah dengan berhati-hati kerana dikhuatiri terkena mangsa yang akan cedera sekiranya terkena alat penyodok dan cangkul.
Anjing-anjing membantu mengesan mangsa.Ada yang tersepit kaki dan perlu dipotong. Ada tersepit tangan. Mangsa yang ditemui dihantar ke satu lokasi yang berdekatan dengan ambulans.Yang disah meningal diminta waris mengesan.Yang masih hidup dirawat dan dihantar segera ke hospital.
Ramai orang berpusu-pusu ke tempat kejadian walaupun hari hujan dan jalan agak gelap..Saya terlihat di surau pelbagai ukiran ayat al Quran yang menyejukkan mata serta mengingatkan saya kuasa Ilahi.
Pasukan bomba bergegas membawa chain saw.Ada mangsa yang mereka temui dan sukar dikeluarkan....

Banyak pengajaran bagi semua pihak dalam tragedi ini.Ia mengajar manusia merancang dengan baik.Ia juga mengajar kita supaya meneiliti ciptaan Allah seperti bukit dan gunung dan apakah tujuan ia dijadikan.
Ia mengingatkan kita supaya peka kepada alam sekitar kerana ia bersangkut paut dengan kesejahteraan hidup kita.
Ia latihan kesabaran.Ia menerangkan hakikat satu kehidupan dan satu kematian.
Kerajaan negeri menyumbang RM1000 kepada mangsa yang selamat dan Lembaga Zakat Selangor memberi sumbangan khas kepada semua dan RM100000 kepada PUSAT PENJAGAAN ANAK YATIM AT TAQWA.
Moga Allah swt melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada semua yang telah mencurah khidmat dalam usaha menyelamat dan rakyat yang prihatin










Mohd Nasir Awang

Kecelaruan minda para pemimpin Umno nampaknya sudah sampai ke tahap kritikal. Mereka bagaikan penasaran sehingga tidak lagi mampu berfikir secara rasional. Kerap kali mereka gagal membezakan apa yang benar dan salah, serta mana baik atau buruk pada sesuatu yang berlaku di depan mata.

Manakan tidak jika kenyataan-kenyataan mereka menyentuh beberapa isu kebelakangan ini diambilkira. Tidak perlu kita mengundur jauh ke belakang untuk meneliti kes-kes sebegitu.

Contoh terdekat ialah bagaimana Timbalan Presiden Umno, merangkap Timbalan Perdana Menteri, yang semakin tidak rasional melayani cadangan dan saranan pakatan pembangkang. Sikapnya yang hanya tahu menyalahkan parti lawan dalam setiap perkara membuktikan pemimpin nombor dua negara itu semakin sukar mengakui unsur positif disuarakan pembangkang.

Berpaksikan sentimen politik melampau Tan Sri Muhyiddin menjadikan tabiatnya untuk menggambarkan seolah-olah parti-parti pembangkang tidak ada sumbangan langsung dalam memperbetulkan perjalanan pemerintahan negara.

Beberapa isu membabitkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat dan cadangan kenaikan gaji kelompok guru tertentu baru-baru ini menyediakan contoh lebih spesifik.

Pakatan Rakyat sekali lagi menjadi bahan balunan Muhyiddin. Beliau menyalahkan pembangkang di atas bantahan dan rungutan meluas dalam masyarakat ekoran kenaikan harga gula, petrol RON97, serta ura-ura kenaikan RON95 dan tarif elektrik dalam masa terdekat.

Katanya, pembangkang hanya tahu memanipulasi isu-isu itu untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN). Sedangkan pembangkang sendiri tidak menyumbang apa-apa idea atau perancangan untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi.

Nampak sangat orang nombor dua Umno itu sudah tidak mampu berfikir secara rasional. Beliau malah sekaligus cuba mendinding pengamatan rakyat daripada hakikat yang telah diketahui umum, bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar bercakap kosong mengenai isu-isu terbabit.

Sudah berbuih mulut pemimpin pembangkang, malah tidak sedikit yang kehausan tekak-tekak mereka menyuarakan cadangan dan idea penyelesaian. Tidak cukup secara verbal, Pakatan Rakyat juga secara bertulis telah mengemukakan jalan yang dirasakan paling sesuai mengatasi masalah kenaikan harga bahan bakar dan makanan utama.

Rasanya semua pihak telah maklum bagaimana Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mencadangkan beberapa langkah menangani kenaikan harga petrol, tanpa perlu melibatkan pemotongan subsidi untuk dinikmati rakyat. Antaranya dengan memotong subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), yang mana idea ini nampaknya telah mula dirasionalkan oleh salah seorang menteri BN sendiri.

Ada pun perancangan membela kebajikan penjawat awam, Pakatan Rakyat antara lain mencatatkannya secara jelas di dalam Buku Jingga. Salah satu tawaran yang banyak diperkatakan ialah mengenai kenaikan gaji guru RM500 sebulan dalam tempoh 100 hari memerintah negara.

Ertinya, sekiranya pemimpin Umno tidak dilanda kecelaruan minda, sudah tentu tidak sukar bagi mereka mengakui bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar bercakap atau hanya tahu mengkritik BN. Kita juga sebenarnya telah mengemukakan penyelesaian alternatif, yang rasional dan realistik.

Kemudian datang pula Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno, menyamakan amalan pemberian subsidi kepada rakyat seperti ‘candu’. Dalam kenyataannya di London, 16 Mei lalu, Dato’ Seri Najib Razak berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” media memetik katanya.

Astaghfirullah al-Azim, inilah yang dikatakan celaru. Bagaimana seorang pemerintah tergamak menganggap tugas murninya menyempurnakan keperluan rakyat sebagai suatu amalan buruk dan wajar dihentikan?

Nampak sangat Umno kini cuba lari dari tanggungjawab memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat, bukan? Lalu bagi merasionalkan tindakan pengecut itu, mereka cuba menyamakan amalan subsidi (membela kepentingan rakyat) sebagai ‘candu’ (sesuatu yang membawa kesan buruk dan mesti dihentikan).

“Ketara benar BN semakin hilang punca dan mati akal memikirkan kaedah menyelamatkan kewangan negara. Yang mereka tahu nampaknya hanya menyalahkan rakyat, lalu memaksa rakyat menanggung beban itu,”tulis seorang rakan.

Menambahkan koleksi kes-kes membuktikan kecelaruan minda pemimpin Umno ialah tanggapan serong mereka terhadap himpunan anak-anak muda di Kota Bharu, hujung minggu lalu.

Media melaporkan, Himpunan 10 Ribu Jentera Pemuda PAS Kelantan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, pada 21 Mei lalu menggamit kehadiran lebih 15,000 anak muda. Sebahagian mereka adalah pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz di negeri itu.

Tidak mengapa jika Umno mahu menempelak PAS di atas kejayaannya menghimpunkan belasan ribu anak muda di stadium malam itu. Para pemimpin Umno boleh mengatakan apa saja untuk memperlekeh usaha PAS itu. Ia boleh diterima sebagai adat politik.

Namun untuk menganggap apa yang dilakukan PAS Kelantan itu sebagai ‘meracuni pemikiran’ anak-anak muda adalah suatu yang amat mendukacita, bahkan agak terlampau. Malangnya, itu lah yang seolah-olah menjadi kegemaran para pemimpin Umno. Mereka kelihatan amat selesa melontarkan tanggapan amat negatif terhadap aturcara yang berlangsung malam itu.

Di sinilah perlunya pemikiran dan penilaian lebih rasional dari semua pihak, khususnya para pemimpin Umno yang semakin tersumbat minda mereka itu. Walau pun majlis malam itu dianjurkan entiti politik dan tidak boleh disangkal memang disulami agenda politik, perlu juga diteliti apakah bentuk pengisian program malam itu.

Bagai dilaporkan kepada umum, ia dipenuhi ucapan-ucapan para pemimpin PAS yang selalunya memang berselit ayat-ayat al-Quran, seruan berjihad meninggikan agama Allah dan pesanan mentaati perintah agama.

Bagi sesiapa yang gemar membelek al-Quran, mereka akan bertemu dengan ayat: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah Allah), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh” (Fussilat 41:33).

Di majlis itu juga, anak-anak muda dilibatkan dengan agenda solat berjamaah, solat hajat, khatam al-Quran dan seumpamanya. Bergema sekitaran Bandaraya Islam itu dengan bacaan ayat-ayat suci.

Apakah Umno tidak mampu membezakan antara kemurnian kalimah suci dengan kebingitan tepik-sorak pentas hiburan yang melalaikan? Mereka bukannya dihimpunkan untuk menjayakan konsert 1Malaysia atau apa-apa anjuran yang tidak menjadikan kalimah Allah sebagai suara utama, sepertimana lazim ditaja Umno.

Ternyata minda pemimpin Umno amat celaru dan keliru sekiranya sanggup menganggap tindakan menghimpun anak-anak muda untuk membaca al-Quran sebagai ‘meracuni’ pemikiran mereka.

Sedangkan al-Quran sendiri mengesahkan bahawa pada ayat-ayatnya itu sebenarnya mengandungi penawar untuk pelbagai jenis penyakit manusia.

Alangkah jahilnya mereka. Astaghfirullah!


Kalau demo dalam stadium, baik tengok bola
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Pemuda PAS Pusat menolak cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar demonstrasi diadakan di dalam stadium atas alasan keselamatan awam.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tiada sebab KDN menghalang demonstrasi di tempat terbuka kerana penganjuran himpunan sebelum ini terbukti aman jka tiada gangguan polis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hishammudin bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa usul demonstrasi tanpa permit di stadium ke Kabinet, bagi mengelakkan penganjurannya oleh pihak-pihak tertentu mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pemuda memang tak bersetuju untuk (demonstrasi) buat di stadium. Kita bukan nak buat festival, bukan nak buat ekspo tapi kita nak buat himpunan yang berjalan untuk keadilan jadi kita akan bergerak dan tidak berkumpul setempat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang merujuk kepada beberapa siri demonstari aman sebelum ini berkata, keadaan menjadi huru-hara kerana pihak polis dan FRU menggunakan kekerasan dengan menyembur gas pemedih mata dan meriam air yang didakwa bagi 'meredakan keadaan'.

"Kita harap pihak kerajaan tidak mengganggu sebaliknya memberi kebenaran kepada rakyat dan kita jamin ianya aman dan tidak menyumbang kepada apa-apa kerosakan sebab kita dah buktikan pada Bersih 1 dulu kita berjaya melakukannya cuma kita minta tak ada sebarang provokasi daripada polis dengan menggunakan water canon menyebabkan keadaan kucar kacir," katanya.

Tambahnya, hasrat rakyat untuk menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara tidak akan tercapai sekiranya dibuat di tempat tertutup dan menyifatkan tunjuk perasaan sebagai satu 'seni halus' yang perlu ditangani secara halus juga.

"Konsep demonstrasi ialah tunjuk perasaan ertinya kita nak tunjuk kepada masyarakat apa yang kita bantah.

"Kalau buat tempat tertutup tak mencapai objektif dan kita bukan nak tunjuk kekerasan, 'gedebe' dan samseng tapi nak tunjuk persaan rakyat yang mahu keadilan dan ketelusan.

"Sebenarnya tunjuk perasaan seni halus yang perlu ditangani dengan lunak, bukan dengan jentera water cannon dan FRU sebab berkait dengan perasaan. Kalau tangani dengan ganas ia akan dibalas ganas juga," katanya.

Pemuda sedia untuk Bersih 2

Sementara itu, Nasrudin menyatakan komitmen seluruh pemuda untuk menyertai himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini bagi menggerakkan rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kalau PAS kata akan turunkan 100, 000 ahli, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah itu ialah pemuda," katanya.

Himpunan yang bertemakan "Walk For Democracy", menurut Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS Mohamad Sabu akan berlansung di Kuala Lumpur dan tempat yang spesifik akan diumumkan nanti.

"Tapi kalau buat di stadium kita tak mahu. Baik pergi tengok bola," katanya berseloroh.

WikiLeaks: Eskay rapat dengan pemberontak Thailand
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Dengan kerjasama bersama WikiLeaks, laman web Malaysia Today semalam meledakkan lagi satu kabel rahsia Amerika Syarikat, mengenai Datuk Shazryl Eskay Abdullah,(gambar) yang didakwa berhubung rapat dengan pemberontak selatan Thailand.

Kabel rahsia tersebut turut mendakwa Eskay, yang menjadi popular baru-baru ini kerana menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pelakon dalam sebuah video seks milik beliau, telah menyifatkan Malaysia kawasan selamat untuk pemberontak Melayu Thailand.

Ia diberitahu Eskay dalam satu sesi perbualan dengan pegawai-pegawai atasan di Kedutaan AS pada 5 Februari 2006.

Pendedahan ini dibuat hasil kerjasama antara Malaysia Today yang dimilki Raja Petra Kamarudin dengan WikiLeaks. Kedua-dua pihak menandatangani kerjasama di London baru-baru ini.

“Eskay berkata beliau melaksanakan tugas pada pemberontakan Thailand secara umumnya tanpa bergantung pada kerajaan Thailand mahupun Malaysia, dan mengekalkan hubungan secara terus dengan pemimpin separatis Melayu yang tinggal di Malaysia,” kata kabel yang didedahkan tersebut.

Dalam laporan itu juga disebutkan bahawa Eskay cuba berusaha untuk membuktikan identitinya berhubung beberapa dakwaannya bahawa beliau mempunyai hubungan langsung dengan sebahagian pemimpin separatis Melayu terkenal.

Beliau mengemukakan klip video yang dirakamkan beliau, dalam pelbagai pertemuan dengan mereka yang digambarkan beliau sebagai pemimpin separatis tua dan penggerak yang muda.

“Eskay telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin orang lama, pemberontak dan simpatisan dari selatan Melayu Thailand. Pandangan-pandangan beliau tentang pemberontakan adalah paling terperinci yang kami pernah dengar selama lima hari semasa lawatan ke utara Malaysia dan dikesan dengan baik dalam banyak perkara dengan informasi dan pandangan dari orang lain,” tambal kabel itu lagi.

Menyifatkan Eskay sebagai seorang peniaga yang berketurunan campuran Malaysia-Thailand, kabel itu turut menyatakan bahawa Eskay telah memberitahu Kedutaan AS tentang peranan pentingnya dalam dialog 2005-2006 dengan pemberontak Thailand yang memaparkan bekas perdana menteri, Tuan Dr Mahathir Mohamad.

“Eskay, yang telah menjadi fasilitator Malaysia yang menerajui dialog dengan pemberontak Thailand yang ditaja bekas perdana menteri Mahathir, telah berhujah bahawa pemberontak generasi tua, yang kebanyakannya bermastautin di Malaysia, masih relevan kerana mereka membekalkan perkhidmatan sokongan dan tempat perlindungan kepada pemimpin muda.

"Beliau turut mengenalpasti satu pemimpin generasi tua yang aktif memberikan arahan untuk menyerang, dan menjangkakan bahawa kumpulan jenayah dan perkhidmatan keselamatan Thailand bertanggungjawab atas 70 peratus daripada kekerasan yang baru,” tambah kabel itu lagi.

Menurut kabel itu lagi, Eskay juga telah berkongsi satu kertas kerja 12 muka surat mengenai pemberontakan dan pandangan Melayu Thailand, hasil daripada temuramah dengan pelbagai pemimpin separatis, yang telah disampaikan beliau ke Organisasi Perisikan Eksternal Malaysia (MEIO) pada Februari 1.

“Eskay telah meminta supaya kita tidak mengkongsikan kertas kerja tersebut dan kertas cadangan pengaman Februari 2006 kepada orang lain (kita telah menghantar dokumen tersebut dalam bentuk email rahsia ke EAP/MTS and Kedutaan Bangkok),” kata kabel itu lagi.

Di samping itu, kabel itu turut mendakwa beberapa orang sukarelawan Malaysia sangsi terhadap dakwaan Eskay tentang hubungannya dengan separatis Melayu dan mendakwa bahawa beliau pernah terlibat dengan transaksi perniagaan yang kontroversi pada masa yang dahulu.

Eskay adalah salah seorang daripada Trio Datuk T yang terdiri bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim yang melakukan jenayah baru-baru ini dengan mengaku memiliki dan menayangkan rakaman video seks yang didakwa mereka melibatkan Anwar kepada orang awam.

Meskipun begitu, sehingga kini, pihak polis masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.


Dr Hatta, Nik Amar tanding naib presiden
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah bersama Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli dijangka akan menyertai saingan naib presiden.

"Sedia untuk bertanding naib presiden," tulis Nik Amar kepada Harakahdaily jam 7.15 malam ini.

"Setakat ini tanding, tapi belum bagi jawapan rasmi lagi. Sedang meneliti perkembangan terkini," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily jam 6.32 petang tadi.

Keputusan Dr Hatta dan Nik Amar ini menjadikan tujuh tokoh dijangka menawarkan diri untuk jawatan ini sehingga kini iaitu Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Ustaz Idris Ahmad, AJK Datuk Husam Musa dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, bekas MB Perak.

Nizar bagaimanapun tidak mengesahkan sendiri hal ini kepada Harakahdaily tetapi difahamkan PAS Perak memutuskan beliau bertanding. Menurut pembantunya, pencalonan yang diperolehi oleh Nizar amat memberangsangkan untuk dibiarkan begitu saja oleh beliau.

Seorang lagi calon, Datuk Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah masih belum diketahui sikapnya.

Menurut Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid, Azizan akan membuat keputusan esok samada bertanding atau tidak.

Dr Hatta, anggota Parlimen Kuala Krai, dikenali sebagai aktivis parti yang sangat lasak di samping mempunyai latar belakang akademik yang baik iaitu memiliki master dalam kesihatan awam dan menjadi pensyarah perubatan di Univerditi Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum aktif dalam PAS sepenuhnya.

Nik Amar, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pernah menyertai pertandingan naib presiden sessi lepas tetapi tewas.

Tengahari tadi, Datuk Husam Musa mengesahkan penyertaannya untuk jawatan naib presiden manakala pagi tadi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan penyertaannya untuk jawatan timbalan presiden.

Muktamar PAS kali ini akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar bermula 3 hingga 5 Jun ini.

Pemilihan akan berlangsung di hari kedua muktamar iaitu Sabtu 4 Jun.

Muktamar PAS akan dirasmikan pada hari Jumaat jam 9 pagi dengan Ucapan Dasar oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah menang tanpa bertanding.

Pada 1 Jun, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa akan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda di Dewan MBSA Shah Alam.

Muktamar penuh ketiga-tiga dewan iaitu Ulama, Pemuda dan Muslimat akan berlangsung pada 2 Jun. Pemuda di MBSA, Muslimat di Dewan Jubli Perak, Shah Alam dan Ulama di Dewan KUIZM.


Husam tanding Naib Presiden PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Datuk Husam Musa mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar tahunan kali ini.

“Atas perkembangan dalam dan luar parti, saya dengan penuh rasa rendah diri mengumumkan untuk menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden.

“Kepada Allah saya bertawakkal dan bimbingan pimpinan dan ahli sangat saya harapkan kerana tanggungjawab dan tugas kepimpinan bagi parti Islam adalah berat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan pada mulanya hanya bercadang untuk bertanding untuk AJK Pusat sahaja.

Namun, katanya dengan perkembangan terbaru di mana Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan sikap mutakhirnya menawarkan diri untuk jawatan lebih tinggi, beliau terpaksa menimbangkan semula pendirian berpandukan pandangan kawasan-kawasan.

Sehingga kini, sudah empat termasuk Husam mengesahkan bertanding naib presiden. Yang lain adalah Ustaz Idris Ahmad yang paling awal membuat pengesahan, kemudian Salahudin Ayub, lepas itu Datuk Mahfuz Omar.

Datuk Seri Nizar Jamaludin juga difahamkan akan bertanding jawatan ini namun hingga kini Harakahdaily belum mendapat pengsahan dari beliau.

Dengan kelima-lima calon ini, sudah pasti pemilihan naib presiden PAS kali ini amat meriah. Yang belum membuat pengesahan ada;ah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Dr Mujahid Yusof dan Mazlan Aliman mengumumkan akan bertanding AJK sahaja.

Tarikh tutup pengesahan untuk jawatan ini adalah 26 Mei ini manakala calon yang akan bertanding akan diumumkan 27 Mei.


Tanah runtuh: Umno jangan berlagak hero
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat menasihatkan pemimpin Umno tidak mendabik dada berlagak kononnya mereka 'hero' dan paling awal membantu mangsa tanah runtuh di rumah anak-anak yatim Batu 14 Hulu Langat.

Ketika menceritakan kembali suasana sebenar hari kejadian beliau berkata, bantuan mula tiba seawal jam 3 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas kejadian berlaku.

Antara yang terawal tiba di sana menghulur bantuan katanya adalah penyelaras PAS bagi Dun Dusun Tua, Mohd Jan Sulung bersama beberapa rakannya yang mengeluarkan mangsa pertama jam 3.15 petang.

Beliau yang tiba kira-kira jam 3.30 petang kemudiannya turut membantu mangsa bersama Unit Amal dan Briged Amal PAS dengan kehadiran pihak bomba.

"Yang ditonjol media (Adun Semenyih) (Datuk) Johan (Abdul Aziz). Padahal dia datang dah pukul 4 dan tak boleh masuk pun.

"TV3 datang ambil gambar dia seolah-olah Umno lah buat semua," katanya pada sidang media sempena pelancaran Tabung Kemanusiaan Harakah untuk mangsa tanah runtuh tersebut.

Turut serta pada sidang media itu, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat tertimbus oleh runtuhan tanah ketika sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah bersebelahan cerun bukit.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

"Dari segi senarai yang membantu itu tidak nampak la di mana-mana Briged Amal dan Unit Amal.

"Sedangkan petugas kita hampir 250 orang dan paling ramai," katanya sedikit kesal.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh menyelamat itu, petugas PAS antara paling menonjol sehingga mereka lah juga terlibat semasa proses pengkebumian mangsa yang terkorban.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana sumbangan dari pihak PAS seperti dikesampingkan.

Pihak polis juga semasa memberi taklimat tidak menyebut penglibatan Unit Amal dan Briged Amal dan hanya menyebut agensi-agensi lain yang hanya sebilangan kecil terlibat.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, isu publisiti itu bukanlah perkara besar bagi mereka, namun sekadar memberi respon terhadap media yang menonjolkan BN kononnya 'hero' dalam isu itu.

"Saya bagitahu dengan sahabat-sahabat di sana, ini bukan masa nak cari publisiti, tapi masa untuk kita buat kerja selamatkan nyawa seramai mungkin," jelasnya.


Pemuda PAS ziarah mangsa tanah runtuh
Rosli Yasmin

AMPANG, 24 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasrudin Hasan At-Tantawi mengetuai rombongan Pemuda PAS menziarahi mangsa tragedi tanah runtuh di Hospital Ampang yang turut disertai oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Rombongan turut berkesempatan menjengah ke tempat kejadian tetapi tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana program bersama Perdana Menteri sedang berlangsung.

Nasrudin mengucapkan takziah dan berpesan kepada waris-waris mangsa supaya banyak bersabar dan berdoa untuk mangsa-mangsa yang terkorban agar dianugerahkan Allah ganjaran yang istimewa.

Sedikit sumbangan turut disampaikan sebagai tanda simpati DPPP kepada mangsa tragedi yang tidakdijangka itu selain memohon kepada masyarakat setempat untuk memberikan bantuan semampu yang mungkin untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

DPPP juga berharap agar kerajaan Selangor mahupun Malaysia membantu dan membaik pulih kembali rumah anak yatim tersebut.

“Sekiranya kawasan tersebut didapati tidak selamat untuk dihuni, maka kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan pertumbuhan sosial dan pendidikan ahli rumah anak-anak yatim itu terjaga,” katanya.

Tiada ulasan: