Rabu, 18 Mei 2011

BILA SERONOK CAKAP BERBELIT2...TAKUT NANTI MEMBELIT DIRI SENDIRI

Lebih 400,000 guru biasa kecewa dipinggirkan
Mei 18, 11 5:09pm

Kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng berharap kerajaan akan menangani rintihan dan masalah serta memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

"Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Lok juga meminta guru-guru yang dipinggirkan ini tetapi menjadi "teras" pendidik peringkat akar umbi supaya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa serta menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.

Ramai tak puas hati

Menurutnya, pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan "tonggak" pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah," katanya.

Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata, beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

"Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah," katanya.

Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.

"Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai," katanya.


PKR dakwa 'projek IC' akan berjangkit ke Semenanjung
Abdul Rahim Sabri
Mei 18, 11
5:02pm


Project IC' atau cubaan mendaftar warga asing sebagai pengundi dijangka akan berleluasa di Semenanjung Malaysia pula, seperti keadaan di Sabah sebelum ini.

Bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong berkata, hasil penyelidikannya selama 15 tahun -- yang dimuatkan dalam bukunya Lest We Forget -- menganggarkan kira-kira 600,000 pendatang haram diberikan kewarganegaraan bawah projek di Sabah.

Dr Chong - kini merupakan ahli PKR - mendakwa bahawa projek tersebut dilihat akan ditumpukan di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat - Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan negara tetapi juga (terhadap) isu tanah di Sabah.

"Saya tidak terkejut sekiranya mereka menggunakan modus operandi ini di Selangor atau negari Pakatan yang lain," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau juga mendakwa, usaha yang dikenali sebagai 'Projek Mahathir' yang didalangi Umno itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pendaftar Negara (JPN) dan ketua-ketua kampung.

'Pasukan petugas'

Sebagai contoh, dakwanya, terdapat pertemuan antara Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Megat Junid Megat Ayob dan JPN bagi mencari membincangkan perkara itu.

Menurutnya, seorang ketua kampung ketika itu Hasnar Ibrahim -- kini ahli PKR -- didakwa terlibat menandatangani dokumen tersebut.

Dr Chong juga mendakwa, sekitar tahun 1990-an Umno juga menubuhkan satu 'pasukan petugas' bagi memberikan kad pengenalan kepada warga asing yang diketuai Datuk Musa Aman yang kini merupakan ketua menteri Sabah.

Katanya, pemberian kad pengenalan tersebut bertujuan untuk menumbangkan PBS - yang belum menyertai BN ketika itu - dalam pilihan raya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Khalid Jaafar dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Khalid berkata, ekoran pengalaman menjatuhkan PBS di Sabah, beliau "nampak" ia akan berlaku di Selangor.

Malah pada 26 Mac lalu, Khalid berkata seorang ahli PKR membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi Sepang berhubung dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing dari Indonesia.

Mengulas berhubung peningkatan jumlah pengundi di Hulu Selangor yang mencecah 15,000 orang, Khalid mempersoalkan jumlah yang tinggi itu.

"Daripada mana datangnya (angka) ini. Jentera kita akan membuat siasatan daripada mana datangnya jumlah itu," katanya.


No 2 PAS: Tumpuan beralih pada Tuan Ibrahim
Jimadie Shah Othman
Mei 18, 11
4:39pm

Tumpuan untuk perebutan jawatan nombor dua dalam PAS kini beralih kepada naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula apabila ulama popular itu dilihat sebagai penentu kemenangan calon-calon yang bertanding.

Ditambah kelebihan sebagai anak saudara Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penceramah yang sering muncul di kaca televisyen sebelum ini, sebarang keputusan lanjut Tuan Ibrahim akan menentukan nasib dua lagi calon -- Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu.

Pemerhati politik berpendapat, sekalipun Tuan Ibrahim (kiri) terus menolak hasrat akar umbi PAS untuk bertanding, beliau masih mempunyai pengaruh dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun ini.

Ini kerana, ketika beliau berterusan menepis pujukan dan desakan, Tuan Ibrahim tetap mendapat jumlah pencalonan ketiga terbesar selepas Nasharudin dan Mohamad.

Ketiga-tiga mereka bersaing rapat dengan perbezaan tidak sampai sepuluh undi.

Walaupun jawatankuasa pemilihan PAS membuat keputusan tidak mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima setiap pihak, Malaysiakini difahamkan Mohamad mendahului dengan pencalonan dari sekitar 47 kawasan, diikuti Nasharudin (43) dan Tuan Ibrahim (39).

Perang dingin

Turut layak untuk bersaing Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden Salahuddin Ayob dan bekas naib presiden Husam Musa (pertama dari kiri).

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun difahamkan mendapat tidak sampai sepuluh pencalonan dan dipercayai tidak akan turut bersaing.

Keputusan pencalonan itu jelas menunjukkan hasrat luar biasa yang mahukan Tuan Ibrahim menyertai perlawanan merebut kerusi panas itu.

Kehadirannya dilihat sesetengah pihak sebagai penyelamat terhadap kemelut dua kumpulan berbeza pandangan dalam PAS -- yang kemuncaknya dilihat dalam pemilihan lalu apabila berlaku pertembungan terbuka antara 'kumpulan Erdogan' dan kumpulan pro-kerajaan perpaduan.

'Perang dingin' itu -- yang turut dilihat melalui cadangan Nik Aziz supaya dianjurkan muktamar khas bagi menyingkirkan pemimpin tertentu -- dilihat terus berlanjutan.

Walaupun tidak dapat dibuktikan, terdapat cakap-cakap bahawa kompromi Mohamad dan Husam -- yang dianggap pemimpin penting Erdogan -- berjaya mencapai kata sepakat kali ini.

Masalah teknikal di 15 kawasan?

Ia dinyatakan melalui pencalonan kawasan Kubang Kerian kawasan yang diketuai Husam kepada Mohamad sebagai timbalan presiden.

Isyarat itu menyebabkan Husam gagal meraih banyak pencalonan dan dikatakan hanya mendapatnya daripada tiga atau empat kawasan sahaja.

pas muktamar in kota bharuBagaimanapun, trend yang sama tidak berlaku pada Tuan Ibrahim.

Ini sekaligus menggambarkan kekuatan sebenar Tuan Ibrahim yang dalam senyap-senyap membuat kejutan sebagai naib presiden dengan undi tertinggi dalam pemilihan lalu.

Sementara itu, terdapat juga cakap-cakap bahawa berlaku kesilapan teknikal apabila 15 kawasan yang kemungkinan besar mencalonkan Tuan Ibrahim dikatakan gagal menghantar senarai pencalonon akibat tersalah tarikh akhir.

"Dipercayai kalau tidak berlaku kelewatan penghantaran pencalonan oleh lebih 15 kawasan kemungkinan besar pencalonan untuk Tuan Ibrahim akan melepasi 50 pencalonan," tulis pemerhati politik PAS Mohd Sayuti Omar dalam blognya hari ini.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa

Bagaimanapun, jika Tuan Ibrahim menukar fikiran, beliau dengan mudah akan mendapat tambahan undi daripada perwakilan daripada 15 kawasan tersebut.

Jika tidak, undi daripada lebih perwakilan di lebih 50 kawasan itu akan pergi kepada siapa? Nasharudin atau Mohamad?

Daripada 180 kawasan PAS, seramai 152 kawasan menghantar pencalonnnya kepada pejabat agung sebelum 15 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, difahamkan hanya 146 diterima manakala selebihnya ditolak kerana laporan tidak lengkap.

Keadaan sekarang amat menyulitkan kepada Nasharudin dan Mohamad seolah-olah ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Jika Tuan Ibrahim bertanding, undi Nasharudin -- yang berkongsi sokongan daripada tapak yang sama dengannya -- akan terjejas teruk.

Bagaimanapun, untuk berkompromi pula, berdasarkan pendekatan dan ideologi, Mohamad mungkin bukan calon yang mirip dengan Tuan Ibrahim.


'Anwar tak terlibat Projek IC Sabah'
Mei 18, 11 7:18pm

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Khalid Jaafar berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah terlibat dalam projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah suatu ketika dahulu.

Khalid (berdasi hitam) berkata, ketua umum PKR itu tidak pernah memegang atau memangku portfolio Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menguruskan pengeluaran kad pengenalan.

Bekas setiausaha akhbar Anwar itu sebaliknya mendakwa, beliau difahamkan, bekas timbalan menteri dalam negeri Tan Sri Megat Junid Megat Ayob dan ketua setiausaha negara ketika itu antara yang terlibat.

"Dan (urusan) dokumentasi melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain agensi yang semuanya bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Jadi Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan tidak pernah memangku jawatan timbalan menteri dalam negeri," katanya.

Sebelum itu, Dr Chong Eng Leong -- yang mendedahkan projek itu melalui bukunya Lest We Forget: Security and Sovereignty of Sabah -- ketika diajukan soalan sama meminta wartawan merujuk sendiri perkara itu kepada Anwar.

Ketika itu Anwar berada dalam kabinet yang dipimpin oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sidang media di ibu pejabat PRK di Petaling Jaya, Khalid berkata, menjadi amalan bahawa satu kementerian tidak boleh mencampuri urusan kementerian yang lain.

Khalid juga memberitahu sudah sampai masanya rakyat di semenanjung memahami betul-betul isu 'Projek IC' kerana berkemungkinan besar berjangkit ke semenanjung.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) telah bersumpah akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun.

"Saya melihat modus operandi yang dilakukan di Sabah - melalui sindiket pemberian kerakyatan kepada warga asing - adalah cara yang paling berkesan," katanya

Demo di Utusan: AMK tak gentar dengan PERKASA
Salhan K Ahmad
Mei 18, 11
4:15pm

Ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata pergerakan itu tidak gentar dengan ancaman daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang akan turut berhimpun di hadapan pejabat akhbar Utusan Malaysia.

Katanya, AMK juga akan meneruskan rancangan protesnya ke atas Utusan Malaysia pada Jumaat ini, namun mungkin dalam bentuk pertemuan dengan ketua pengarang akhbar berkenaan dan menyerahkan memorandum bantahan.

"Di sini kami ingin menegaskan AMK tidak gentar dengan cabaran PERKASA dan kami memohon supaya NGO-NGO berkenaan terutama Ibrahim Ali tolong jangan cari publisi murahan," katanya.

Rozan Azen berkata, langkah itu diambil memandangkan satu lagi protes yang lebih besar – ke atas Lynas Malaysia Sdn Bhd berhubung projek pemprosesan nadir bumi – akan diadakan pada hari yang sama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rancangan PERKASA untuk mengadakan perhimpunan berkenaan, dan juga dakwaan bahawa protes yang dirancang AMK merupakan tindakan "biadap" dan "tidak menghormati kebebasan bersuara" Utusan.

Dakwaan berkenaan disuarakan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Rozan Azen berkata AMK juga tidak akan tunduk dengan gesaan PERKASA supaya pergerakan itu disiasat kerana "gemar menimbulkan kekecohan setiap kali wujud isu yang tidak memihak kepada (ketua umumnya) Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Jelasnya, AMK tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan dalam protes berkenan.

"Kami tidak kata kami akan bakar Utusan. Kami hanya datang sebagai simbol protes, desak untuk bertemu dengan ketua pengarang Utusan dan hantar memo bantahan.

"AMK tidak gerun (dengan gesaan PERKASA) kerana kami matang dalam politik. Kami tetap akan hadir," katanya lagi ketika bercakap dalam satu sidang media di Wangsa Maju hari ini.


Ucapan Ibrahim menghasut? Dengarlah sendiri...
Mei 18, 11 8:21pm

Apabila presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bersedia melancarkan perang salib terhadap orang Kristian jika
mereka terus mencabar kedudukan Islam di negara ini, ia menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia, tetapi nampaknya tidak begitu halnya dengan pemimpin kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan cepat menegaskan bahawa pandangan Ibrahim itu tidak mewakili semua orang Islam di Malaysia.

Hishammuddin juga berkata ektremis juga wujud dalam masyarakat Cina, tetapi beliau tidak menamakan mereka.

Sementara itu, rakan kabinetnya, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pula memberitahu Malaysiakini semalam bahawa tiada tindakan boleh diambil terhadap Ibrahim kerana kenyataannya kini menjadi satu norma di Malaysia.

Menurut Nazri, walaupun kenyataan itu tidak disenangi, namun rakyat Malaysia perlu matang dalam berdepan dengan watak-watak seperti Ibrahim.

Bercakap dalam satu majlis anjuran Komuniti 1Malaysia di Kampung Kerdas dan Kampung Changkat, Gombak kelmarin, Ibrahim menuduh orang Kristian "mencabar posisi, kedaulatan orang Melayu Islam”.

Antara intipati ucapan Ibrahim pada malam itu ialah:

"... Sebenarnya, darah saya sekarang ini tengah panas ni. Ini bukan main-main. Darah saya tengah panas, bulu roma saya sedang tegak ni... sebab majlis terakhir (saya) di Kelantan tadi, saya istihar, di hadapan polis, saya sebut kepada kakitangan keselamatan, kalau nak sampaikan ini ke Bukit Aman, silakan. Tolong tape apa yang saya cakap."

"Kalau ada pihak di Pulau Pinang, terutama diantara paderi Kristian, yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, terus dengan agenda yang kita tahu, niat mereka ini, saya tawar... kalau nak perang salib boleh. Ini Salahuddin Ayyubi dari negara Malaysia," katanya merujuk kepada pahlawan terkemuka Islam."Sampai sekarang ini, usaha mencabar posisi, kedaulatan dan digniti kita umat Melayu Islam, terus menurus, dihayunkan di sana sini. Cabaran ke arah posisi kedaulatan digniti kita umat Melayu Islam, yang menjadi penduduk majoriti, yang menjadi penduduk dan ketuanan negara asal ini, mereka cabar terus menerus."

"Bermula dengan isu-isu bangsa, sekarang berjangkit kepada isu-isu agama. Bila berjangkit kepada isu agama, ertinya jihad."

"Mula mula bila tercetus berita ini, keesokan hari semua nafi, dan seolah-olah tuduh pula Utusan (Malaysia) tidak bertanggungjawab. Tanya setiausaha agung PERKASA, tanya rakan-rakan PERKASA... saya salah seorang awal-awal lagi saya kata 'sah, benda ini betul'."

Ianya walaupun pihak yang menghadiri pertemuan pastor itu menafikan ada ikrar seumpama itu. Ibrahim bagaimanapun merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli DAP, Mohamed Razali, yang turut hadir di majlis tersebut.

Walaupun Mohamed berkata beliau mempunyai versi yang berlainan, tetapi beliau tidak mendedahkan apakah yang sebenarnya berlaku di majlis tersebut.

Bagaimanapun, adakah ucapan Ibrahim itu menghasut? Anda hakimilah sendiri. Dengarlah sendiri ucapan penuh Ibrahim dalam klip video selama 45 minit pada malam tersebut




Utusan catat kerugian RM6.89 juta pada Q1 2011
Mei 18, 11 7:09pm

Kerugian sebelum cukai Utusan Melayu (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2011 meningkat kepada RM6.893 juta berbanding RM6.524 juta pada suku yang sama pada 2010.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Utusan berkata ia disebabkan peningkatan bahan mentah sebanyak 30 peratus.

NONEIa berkata perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM85.828 juta berbanding RM74.830 juta sebelumnya.

Utusan berkata peningkatan saingan untuk penguasaan pasaran perbelanjaan pengiklanan dijangkakan berterusan tahun ini.

"Bagaimanapun unjuran pertumbuhan positif dalam keluaran dalam negara kasar dan perbelanjaan pengiklanan bagi 2011 akan menyediakan peluang untuk kumpulan itu meningkatkan perolehan pengiklanan," katanya.

- Bernama


DAP sokong Anwar kekal ketua pembangkang
Mei 18, 11 1:27pm

DAP hari ini mengesahkan bahawa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap kekal sebagai ketua pembangkang meskipun telah diarahkan untuk membela dirinya dalam perbicaraan liwat II.

“Kami tidak akan menggantikan ketua pembangkang selagi beliau tetap adalah MP,” kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, selepas merasmikan Festival Georgetown di Kuala Lumpur hari ini.

NONELim berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada keputusan mahkamah yang mendapati kes prima facie ke atas Anwar yang didakwa meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan akan menjejaskan Pakatan Rakyat.

"Kita masih kuat dan akan meneruskan agenda pembaharuan,” katanya.

Anwar dan PKR dikatakan mengalami tamparan pada Isnin lalu apabila hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zabidin Mohamed Diah memerintahkannya membela diri kerana berpendapat Mohd Saiful adalah saksi yang “berkata benar dan berwibawa”.

NONEPerbicaraan hampir pasti menjejaskan Anwar, yang partinya kini pada tahap terendah sejak kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum Mac 2008.

Selepas beberapa siri paling tadah, PKR kini hanya mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat, - jumlah yang sama dengan PAS manakala DAP memiliki 29 kerusi.

Bagaimanapun Lim enggan mendedahkan sama ada Pakatan mempunyai “Rancangan B” sekiranya Anwar didapati bersalah.

"Kami akan membuat pengumuman apabila perkara itu berlaku,” kata Lim sambil tersenyum dan menambah beliau perlu berhati-hati membuat kenyataan berhubung Anwar kerana ia mungkin diputar belit oleh pertubuhan media milik Umno.

NONELim juga cuba mengelakkan diri daripada menjawap soalan sama ada kes prima facie ke atas Anwar telah menyebabkan kesan negatif kepada pembangkang.

"Kami masih tidak tahu bahawa ia impak positif atau negatif. Lagi ditindas, lagi tinggi menukar sesuatu krisis kepada peluang. Ia tidak semestinya negatif.”

[Baca berita penuh]Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor walaupun menghadapi pertuduhan liwat di Mahkamah Tinggi.

NONE"Tak ada kena mengena. Saya fikir peranan penasihat ekonomi berkaitan dengan kegiatan ekonomi dan kewangan tapi saya fikir dalam kes ini peranannya adalah berbeza sama sekali," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.

Beliau ditanya sama ada jawatan Anwar itu akan dikaji semula berikutan perbicaraan kes liwat yang dihadapinya dan isu rakaman video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang mirip Anwar.


'Jika dedah identiti, polis dituduh berpolitik'
Mei 18, 11 4:55pm

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata tiada keperluan dari segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan pemimpin sebuah parti pembangkang.

NONEKatanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada keselahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

"Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik."

"Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

zaid ibrahim quits pkr 191110 05Khalid berkata demikian selepas menghadiri majlis Sesi Percambahan Minda Bersama Pucuk Pimpinan Polis Kontinjen Johor yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Datuk Mokhtar Mohd Sharif.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim hari ini yang mendakwa kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Khalid berkata, polis telah pun selesai menjalankan siasatan terhadap kes mengedar dan mempamer video lucah itu dan kini terpulang kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

"Polis telah menjalankan siasatan, sama ada tuduh ke tidak itu bukan tanggungjawab polis, itu Jabatan Peguam Negara. Kita telah menjalankan apa jua arahan pendakwa raya tentang video lucah itu," katanya.

alleged four full sex videos on youtube 290411 07Mengenai sesi pencambahan minda hari ini, beliau berkata, ia merupakan usaha kontinjen Polis Johor berbincang untuk mencari pendekatan baru bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.

Katanya, tahun ini Polis Johor telah berjaya mengurangkan sebanyak 20 peratus kadar jenayah di kawasan-kawasan panas negeri ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Polis Johor yang telah mewujudkan 25 pondok khas polis di kawasan panas sekitar Johor Baharu dan Iskandar Malaysia, merancang untuk menambah 25 lagi pondok khas bagi membanteras jenayah, katanya.

- Bernama


Tiada ulasan: