Ahad, 22 Mei 2011

Sabar Menolak Kemungkaran Satu Cabaran ....Membuat kemungkaran@maksiat satu yg seronok dan melekakan...dan tak merasa jemu2...tambah2 duit masuk....

Jangan Putus Asa Dengan Berdoa


Alangkah ramai manusia yang bermohon kepada Tuhan supaya dimakbulkan segala yang diinginkan, namun tidak jua dimakbulkan. Kemudian manusia mengeluh dan bersangka buruk kepada Tuhan, lantas putus asa mencari keredhaan-Nya. Itulah hakikat manusia saban hari.

"berdoalah kepadaKu, dan berimanlah agar kamu memperoleh kebenaran."
(surah Al-Baqarah:186)

Kita tidak berdoa pun Allah sudah sedia mengetahui segala isi hati manusia.
"dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan."
(surah An-Nahl:19)

Jadi, mengapa masih perlu berdoa?

Berdoa sebagai tanda pengabdian diri kita sebagai hamba yang hina lagi dhaif kepada Allah, tidak ada tempat bergantung selainNya.

"cukuplah DIA sebagai tempat manusia bergantung harap dan tawakal."
(surah At-Taubah:129)

Tapi, mengapa masih tak termakbul juga doa?

Pandanglah diri sendiri, adakah kita lebih mencintai Allah daripada kesenangan duniawi? Cepat atau lambat dimakbulkan itu urusan Ilahi, kerana Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.

" dan apabila manusia ditimpa bahaya, Dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, Dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah Dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
(surah Yunus:12)

Sekiranya kita tidak dapat perkara yang dihajati, bersyukurlah dengan kondisi diri dinihari. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin hebat dugaan. Itu membuktikan Allah sangat kasih kepada sekalian hamba-Nya, agar kita benar-benar ikhlas dalam mencari keredhaan-Nya serta tidak termasuk di dalam golongan yang lalai dan terbiar diabaikan.

Manusia yang diuji sedemikian rupa akan merasa manisnya iman, seolah-olah syurga sudah tersedia di hadapan mata, tapi ingatlah firman Allah dalam (surah Al-Baqarah:214) yang bermaksud:

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, benarlah doa itu senjata orang-orang mukmin. Yakinlah dengan sepenuh hati. Dunia bukan syurga yang dicari, nikmat kesenangan dunia hanya setitis air di lautan sahaja.

kredit: gelang 2girl

Lambakan Gulongan Fasiq Islam Pada Masa Kini


Sekadar perkongsian bagi yang kurang mengerti. Dipetik dari Kuliah TG Nik Aziz berkaitan Sirah Nabawiyah. Bagi yg mengerti, jika ada tambahan ilmu, sila kongsi. Tidak rugi ilmu anda bila berkongsi. Percayalah. Jika anda ingin tahu ciri-ciri Org Fasik, Hukum Org Fasik, Definisi orang Fasik dan info ala-ala dalam buku teks, sila rujuk kembali buku Teks Pendidikan Islam anda atau cari dengan En Google, kita cuba hurai dari sudut pandangan lain kali ini.

Fasiq dari sudut bahasa adalah 'terkupas kulit luar'. Diguna masyarakat arab untuk menggambarkan sesuatu yg tidak sempurna apabila terkupas.

seakan kulit pisang terkupas, cepatlah rosak pisang itu,
seakan kulit durian terkupas, cepat rosak isi durian itu,
seakan makanan yg tidak ditutup dgn saji, cepat dihurung lalat sajian anda!

Begitu juga kita. Jika kulit luar (Islam) anda terkupas, mana mungkin isi dalam (Iman) itu sempurna, mungkin berkulat, mungkin dihurung lalat, malah mungkin sudah berulat!

Mana mungkin iman anda sempurna bila anda malas solat.
Mana mungkin iman anda sempurna bila anda tidak puasa.
Mana mungkin iman anda sempurna bila anda tidak berzakat.

Dari sudut manusiawi, yang luar itu islam, yang dalam itu iman. Apabila terang-terang terkupas islam diluar itu, rendah kebarangkalian yan dalam itu suci terjaga! Perbuatan dan penampilan zahir itu menggambar anda adalah seorang Islam atau tidak-solat anda, puasa anda, zakat anda, sedekah anda dan segala-gala yang berbentuk syiar. Yang mengesahkan anda adalah seorang islam.

Sebagai contoh, seorang islam tidak boleh ada tatu, maka jika anda terjumpa orang bertatu, maka automatik anda berpendapat orang itu bukan islam. Perbuatan batin itu susah ditafsir. Iman itu barang dalam, ia sama sekali tidak dapat ditafsir dengan mata kasar. Mungkin anda melaksanakan semua suruhan-suruhan Allah seperti diatas, tapi jika anda syirik dengan Allah, mana orang tahu!

Orang fasiq itu orang yg terkupas Islamnya.
Orang syirik itu terkupas iman dan akidahnya.

Sebab itu syirik itu jauh lebih mudarat dari fasiq. Tapi kita kena ingat, kemuliaan anda hilang bila anda fasiq. Amat payah untuk ke syurga bila iman itu berdaki dan rosak sifatnya. Kita akan dicelup dalam api neraka untuk membersihkan daki-daki dosa sebelum kita dibenar menjengah kesyurga. Seakan bijih-bijih timah yg perlu dimasak dalam relau untuk mengasingkan timah asli dan daki-daki bijih.

Daki-daki itu sedikitpun tiada nilai.
Yang dicari orang bijih timah yg tulen itu.

Dosa-dosa itu juga tiada nilainya. Nilainya adalah sebagai tiket untuk anda dicelup dalam api neraka yang panas amat. Yang dicari adalah iman yg tulen. Tiket ke syurga! Sanggupkah anda ke neraka? Sama-sama muhasabah diri, semoga rahmat Allah bersama kita. Semoga Allah masih sudi merahmati kita walaupun bergunung dosa kita.

kredit: chedet

Kubur Kita Taman Syurga atau Lubang Neraka


Pada satu hari, Rasulullah saw masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :

“Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, nescaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian.”

“Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, ‘aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing.”

“Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, ‘marhaban wa ahlan’ (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu.”

Sambung Nabi saw lagi ;

“Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke Syurga..”

“Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, ‘la marhaban wa la ahlan’ (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).’ Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu.”

Sabda Nabi saw yang maksudnya, “Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya.”

Rasulullah saw mengepal jari-jarinya lalu menyambung, ” Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab).”

Nabi saw bersabda lagi maksudnya :

“Kubur itu samaada sebuah taman Syurga ataupun sebuah lubuk api Neraka.”

kredit: cucutalib


Benarkah Lelaki Yang Baik Untuk Wanita Yang Baik?


Dua hari lepas, seorang adik rakan sekerja menanyakan; sejauhmanakah kebenaran fakta ‘lelaki yang baik untuk wanita yang baik, lelaki jahat pula untuk wanita yang jahat'? Terkejut juga bila soalan itu diajukan kepada saya pada awal-awal pagi. Sebelum jawapan saya berikan, saya tanyakan dulu kenapa soalan tersebut diajukan kepada saya. Menurut adik yang dikenali dengan nama Suci ini, seorang rakannya bakal berkahwin tidak lama lagi.

Ketika pertemuan baru-baru ini, rakannya tersebut meluahkan rasa bimbang dengan latar belakang gadis yang bakal dikahwininya.

Kenapa bimbang? Menurut ceritanya, rakan Suci adalah seorang lelaki yang agak liar sebelum ini, mengamalkan pergaulan bebas tanpa batas dan pernah mengamalkan cara hidup melanggar hukum syarak. Tapi itu dulu, suatu masa dulu dan kini rakan Suci dah pun berubah. Latar belakang dirinya yang jahat sebelum ini yang menimbulkan kerisauan; apakah gadis yang bakal dikahwininya mempunyai sejarah yang sama dengan sejarah hidupnya? Jawapan saya kepada persoalan Suci akan saya bincangkan di dalam resipi kali ini.

Hakikatnya, tak ada seorang individu pun di dunia ini yang suka kepada kejahatan atau suka untuk berkawan dengan orang yang jahat. Malah, individu yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat, tidak pernah merasakan mereka jahat. Apakah maksudnya? Ya!! Baik atau jahat itu adalah satu perkara yang tidak sama definisinya atau konsepnya kepada setiap individu. Bagi seseorang yang tidak sukakan individu perokok, tidak mustahil perokok adalah tergolong di dalam kategori jahat. Jelasnya, maksud baik dan jahat adalah bergantung kepada penerimaan seseorang.

Berkaitan persoalan Suci tadi, ya... di dalam al-Quran jelas menyatakan: "Perempuan-perempuan jahat untuk lelaki-lelaki jahat, lelaki-lelaki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk lelaki-lelaki baik, lelaki-lelaki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."

Menurut pengajian ulum al-Quran, ayat ini sebenarnya diturunkan oleh Allah SWT selepasnya meletusnya tuduhan dan fitnah terhadap isteri Rasulullah SAW, Saiyidatina Aisyah yang kononnya melakukan perbuatan jahat dengan seorang lelaki. Walaupun sekadar satu penafian terhadap fitnah tersebut, ayat ini juga difahami sebagai satu janji Allah SAW kepada hamba-Nya.

Saya yakin, anda biasa bertemu dengan kes seseorang ber'title' ustaz atau ustazah (yang sinonim dengan seorang yang baik) mengahwini individu yang biasa-biasa sahaja atau mungkin bagi sesetengah orang, agak kurang baik jika dibandingkan dengan pasangannya. Jika ayat tadi adalah janji Allah kepada hamba-Nya, kenapa jodoh sebegini tetap ada? Hakikatnya, setiap pasangan yang ditakdirkan bertemu jodoh adalah dengan kehendak-Nya juga. Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah mempunyai sebab dan hikmah yang tersendiri. Sama jugalah dengan jodoh seseorang.

Saya percaya, kebanyakan individu mempercayai dan mengharapkan pasangannya adalah yang terbaik untuk dirinya. Bererti, tercapailah maksud ayat, lelaki baik untuk perempuan baik. Namun, apabila berlaku ketidakadilan atau perlanggaran hak ketika melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang sewajarnya di dalam perkahwinan dan rumahtangga, sudah pasti akan menyebabkan timbulnya masalah.

Apabila pihak yang sengaja enggan melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya yang sewajarnya, tetap enggan biarpun telah diberikan teguran, selalunya akan menyebabkan berlakunya perceraian. Tika inilah janji kedua di dalam ayat tersebut, berlaku: lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat - bererti sudah tidak ada jodoh antara mereka disebabkan berlakunya perbezaan sikap di dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan perlu. Sama juga dengan kes suami isteri yang bertemu jodoh dalam keadaan sama-sama menggagalkan diri daripada menunaikan tanggungjawab yang patut dan wajar di dalam kehidupan Muslim dan rumahtangga.

Apabila seorang daripada mereka tersedar dan kembali cuba menunaikan tanggungjawab yang perlu, selalunya akan berlaku perpisahan, menepati janji termaktub di dalam ayat 26, surah an-Nur tadi.

Merujuk kes kawan Suci, hakikatnya sejarah hitam seseorang tidak perlu diungkit. Tambahan pula, kawan Suci dah pun bertaubat dan dek kerana kebaikan yang wujud di dalam diri kawan Suci tadi, dia bertemu jodoh dengan seseorang yang dianggap terbaik untuk dirinya tika itu. Kenapa nak fikirkan kisah silam sendiri atau bakal pasangan? Allah SWT Maha Pengampun malah seseorang yang melakukan dosa besar dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat adalah lebih mulia dan suci berbanding mereka yang seringkali melakukan dosa kecil.

Tak perlu bincangkan kisah lama kerana kita perlu hidup untuk hari ini dan masa depan. Paling penting, sentiasa berusaha untuk tingkatkan keimanan dan kebaikan di dalam diri sendiri dan pasangan kita. InsyaAllah, jika satu pihak yang baik ditemukan dengan yang kurang baik namun mahu dan sanggup berusaha ke arah yang lebih baik, maka akan jadi baiklah juga akhirnya./Suzana Ghazali

kredit: ahmadi


Islam Itu Mudah



Kita cenderung mengatakan bahawa dalam beribadah terkadang terasa berat dan ketika diberikan sebuah kepercayaan, kita juga merasa berat untuk melaksanakannya.

Tetapi ALLAH telah mengatakan bahwa islam ini sebenarnya mudah dan orang-orang yang menyulitkannya akan mendapat suatu timpaan azab yang cukup berat…

Sumber dari salah satu buku Aidh Al-Qarni “Sumber inspirasi orang-orang soleh” :

- Rasulullah bersabda . “Setiap muslim wajib bersedekah.” Seseorang bertanya , “Bagaimana jika tdak memiliki sesuatu yang akan disedekahkan?”, Rasul bersabda , “Hendaknya dia bekerja sehingga dapat memberi manfaat untuk dirinya sendiri, lalu dapat bersedekah.” Seseorang bertanya lagi , ” Bagaimana jika dia tidak mampu melakukan hal itu?”, Rasul menjawab , ” Hendaknya dia membantu orang yang sangat memerlukan.” Seseorang bertanya lagi,” Bagaimana jika dia juga tidak mampu melakukan hal itu?”, Rasul menjawab ” Dia harus mengajak orang lain ke jalan yang benar atau berbuat kebaikan.” Bagaimana jika dia tidak mampu juga melakukannya?”, Rasul menjawab “Dia harus menahan diri dari perbuatan buruk, kerana hal itu merupakan sedekah!”

Rasulullah SAW bersabda : ” Binasalah orang yang suka mempersulit masalah.” Rasulullah mengatakan hal itu sebanyak tiga kali.

Rasulullah SAW bersabda : ” Islam itu mudah. Seseorang yang mempersulitnya, tidak akan mampu melaksanakannya. Berbuatlah yang benar, berkatalah yang baik , berilah khabar gembira , dan mintalah pertolongan ALLAH dengan bersedekah berupa makan pagi dan malam, atau satu macam perhiasan.”

Rasulullah SAW bersabda : ” jika kalian mengantuk saat hendak solat, tidurlah hingga rasa mengantuknya hilang. Kerana jika solat dalam keadaan mengantuk, dia tidak dapat memahami bacaannya , sehingga dikhawatirkan ketika memohon ampun, dia malah mencaci dirinya sendiri.”

Hadis-hadis diatas telah mempertegas bahwa islam itu mudah. Mudah2an kita tidak termasuk orang-orang yang suka mempersulit agama kita.

Islam itu mudah. Seseorang yang mempersulitnya, tidak akan mampu melaksanakannya. Berbuatlah yang benar, berkatalah yang baik , berilah khabar gembira , dan mintalah pertolongan ALLAH

kredit: cucutalib


Sabar Menolak Kemungkaran Satu Cabaran


Cabaran besar kepada umat Islam pada hari ini ialah menolak kemungkaran yang berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu. Mungkin ramai yang boleh sabar dalam menempuh musibah yang melanda, tetapi mereka tidak boleh sabar untuk menahan rasa marah kepada orang yang menyebabkan musibah itu.

Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah sahaja yang mampu sabar dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah. Sesuatu yang sudah ditakdirkan tidak dapat dielak lagi. Demikian orang yang taat, tidak akan berasa susah untuk mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Tegasnya, orang yang mampu sabar itu adalah orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah :177)

Persoalannya bagaimana cabaran ini harus dihadapi oleh umat Islam yang rata-ratanya belum begitu benar-benar beriman. Bagi menyelesaikan semua itu perhatikan pecahan sabar yang harus dimiliki oleh umat Islam.

1- Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.

2- Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar.

3- Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.

4- Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut syaja’ah (berani).

5- Sabar dalam mengekang kemarahan. Sabar ini disebut lemah lembut (al-hilmu).

6- Sabar menyimpan rahsia. Sabar itu disebut katum.

7- Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.

Antara tujuh sabar itu, dimanakah tahap anda? Kalau anda seorang lelaki yang diundang oleh seorang wanita ke rumahnya, mampukah anda menolaknya? Apabila anda berduaan tentu terdedah kepada keinginan seks, mampukah anda dan wanita itu mengekang nafsu masing-masing sedangkan peluang ke arah itu sudah terbuka luas? Inilah cabaran yang harus mereka lalui sebagai seorang muslim.

Percayalah jika anda dapat mengawal nafsu syahwat anda dan terus bertindak keluar dari rumah wanita tersebut, maka andalah lelaki yang sebenar-benar bersabar. Inilah lelaki yang dipelihara imannya dan inilah lelaki dijamin syurga. Begitu juga wanita tersebut jika dia mampu bertindak melindungi tubuhnya daripada disentuh lelaki, itulah wanita penyabar yang sudah pasti dijamin syurga.

Lelaki dan wanita dalam keadaan itu bukanlah calang-calang manusia kerana mereka boleh bersabar walaupun hati dan nafsu terlalu meruntun. Dengan kesabaran mereka itu maka layaklah mereka memasuki syurga Allah tanpa hisab.

Anda boleh menilai tahap sabar anda pada pecahan sabar di atas jika anda mahu. Tetapi ketahuilah tahap sabar ini sangat berkait dengan sejauh mana tinggi tahap iman anda.

Imanlah yang menyebabkan anda boleh bersabar untuk menolak kemungkaran. Jadi, setiap orang Islam perlu memilki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini.

kredit: Ummu Waheedah

Tiada ulasan: