Selasa, 31 Mei 2011

BUKAN SESUATU PUAK@PARTI ATAU INDIVIU TERTENTU SAJA BOLEH MENTADBIR...PENTADBIR YG BAIK IALAH BERILMU DAN IBADAHNYA KUAT...AMANAH SERTA TINGGI AKHLAK

Elektrik: BN bela IPP, bebankan rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Barisan Nasional (BN) yang menguasai kerajaan sekarang terus membela syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, beban subsidi mereka kini ditanggung oleh rakyat dan pemain industri yang lain dengan kenaikan berterusan tarif elektrik secara puratanya sebanyak 7% .

Katanya, IPP yang ditubuhkan pada tahun 1996 menjadi pengeluar utama sumber bekalan tenaga elektrik negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula bertindak sebagai pemborong menyebabkan kos pengeluaran sumber tenaga ini begitu tinggi kerana margin keuntungan dikaut oleh dua pihak sebelum sampai kepada rakyat.

Ini, ujarnya belum termasuk lagi pemain industri lain yang dijangkakan akan menaikkan harga jualan produk mereka selaras dengan kenaikan tarif eletrik yang dikenakan ke atas kilang-kilang mereka.

Semalan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mengumumkan kenaikan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun (esok) sebagai sebahagian daripada pengurangan subsidi.

Menurut Herman, IPP menjana elektrik mengunakan janakuasa yang dioperasikan dengan gas asli yang dibeli dari Petronas dengan hanya perlu membayar sebahagian sahaja kosnya dan bakinya disubsidi oleh kerajaan mengunakan wang rakyat.

“Walaupun menerima subsidi yang tinggi namun IPP masih lagi menuntut kenaikan tarif. Kerajaan yang dalam rangka mengurangkan beban subsidi negara kini mengalihkan beban itu kepada rakyat pula,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenaikan tarif 7% mungkin kecil kepada pemimpin BN kerana bil mereka ditaja oleh Kerajaan Malaysia menggunakan duit rakyat.

Tambahnya, tetapi nilai itu amat besar kepada pemain industri dan rakyat yang mengunakan elektrik 301kW ke atas.

“Bagaimana pengusaha restoran dan peniaga-peniaga runcit pula?” soalnya.

Menurutnya, mereka juga antara pengguna sumber yang banyak kerana beroperasi lebih dari 12 jam sehari.

Maka, katanya tidak mustahil mereka akan meningkatkan nilai harga jualan mereka yang akhirnya rakyat sebagai pelanggan akhir juga terbeban.

Beliau menambah, pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan yang ditamat pada Disember 2011 pula akan menyebabkan sebahagian besar isi rumah dari 5.94 juta akan terkesan.

Katanya, rakyat masih boleh menerima kadar yang lebih rendah jika Kerajaan memberikan hak pengeluaran sumber tenaga elektrik terus kepada TNB dan menghapuskan IPP sebenarnya.

Tambahnya, untuk apa BN masih mahu terus menyara dan membela IPP sedangkan sebelum 1996, kualiti sumber elektrik negara tidaklah teruk sangat dan TNB pun telah menjalankan penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka.

Manurutnya, apabila pengeluaran sumber tenaga diberikan secara mandatori kepada IPP maka kos elektrik bertambah dua kali ganda dan sampai bila-bila pun rakyat akan terus menjadi mangsa.

Oleh itu, katanya DPPWP menuntut penjelasan Kerajaan berhubung nilai sebenar subsidi yang dibayar kepada IPP dan juga TNB.

“Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil alih aset dan kepentingan dalam IPP melalui TNB bagi mengurangkan kos pengeluaran,” ujarnya.

Katanya, dengan menghapuskan peranan IPP sahajalah tarif eletrik dapat dikurangkan dan rakyat mampu menerima kadar yang lebih murah dari hari ini.

“Rakyat hanya ada satu pilihan untuk mencapai impian menghapuskan IPP ini iaitu dengan menolak BN dan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat melaksanakan dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat,” katanya lagi.


Pakatan Rakyat mara, Umno cemas
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru belia agar mempertahankan Putrajaya di Himpunan Sejuta Belia, kelmarin membuktikan Umno BN cemas dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Umno BN berada dalam keadaan terdesak apabila kali kedua mengeluarkan seruan agar mempertahankan Putrajaya.

Kali pertama Najib membuat seruan tersebut dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno Oktober lalu.

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib yang juga presiden Umno.

Nasrudin berkata, seruan kepada belia itu menunjukkan Pakatan Rakyat mempunyai pelaung yang cerah untuk menawan Putrajaya.

"Kenyataan itu jelas menunjukkan mereka (Umno BN) benar-benar tersepit dan terdesak dan apa yang paling peenting, kemaraan Pakatan Rakyat jelas memberi kesan kepada mereka.

"Apabila Perdana Menteri sendiri mengeluarkan amanah sedemikian kepada belia yang hadir, beliau sudah merasakan bahawa kedudukan Putrajaya terancam dan membuktikan peluang Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya semakin cerah," kata belia ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas mengenai himpunan itu pula, Nasrudin berkata, anak muda sekarang sudah celik maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis kerajaan sedangkan isu sebenar seperti peningkatan kadar pengangguran di kalangan belia cuba ditutup.

"Belia kini telah matang dan mempunyai infomasi yang lengkap. Sebagai "generasi Y" mereka rata-ratanya mesra cyber menyebabkan mereka mendapat maklumat kedua dan ketiga sebelum membuat keputusan dan penilaian

Oleh itu Umno BN tidak lagi mudah untuk memperdaya dan mempergula-gulakan mereka dengan pelbagai bentuk janji dan tawaran," katanya.

Pada perhimpunan Sabtu lalu, Najib mengumumkan beberapa habuan untuk memikat golongan belia, antaranya memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya.

Beliau juga berkata kerajaan akan mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.

Sementara itu, Nasrudin mahu Umno BN sedar bahawa bukan semua belia ikhlas menyokong mereka.

Buktinya kata Nasrudin, kehadiran belia ke perhimpunan tersebut jauh tersasar daripada jumlah yang sebenar, sejuta orang.

"Himpunan sejuta belia itu hanyalah dihadiri sekitar lapan ke sepuluh ribu ertinya jauh daripada sasaran sebenar.

"Ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kerajaan Umno BN supaya baiki dasar dan juga polisi terhadap belia negara pada hari ini

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan harus mengutamakan isu-isu sebenar yang membelenggu para belia.

"Sebagai contoh dari sudut kos hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan, pentingnya belia ini dapat dibimbing untuk searas dengan pihak-pihak lain yang mengaut keuntungan dan kepentingan dalam negara kita.

"Sebagai contoh sektor kepimpinan negara, belia harus ditonjolkan dan diberikan peluang untuk menunjuk bakat dan berkhidmat untuk negara," katanya.


Risiko berganda menanti rakyat selepas PRU 13
M Faqih

KOTA BHARU, 30 Mei: Rakyat bakal berdepan risiko berganda sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) masih diberi peluang mentadbir negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Padah yang bakal ditanggung rakyat antaranya kenaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG biar pun kenaikannya ditangguh sementara sekarang.

Lebih membimbangkan lagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diketepikan sebelum ini akan dilaksanakan sepenuhnya apabila rakyat memberi kuasa politik kepada BN.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, bebanan besar bakal ditanggung rakyat akan menjadi kenyataan sekiranya BN masih diberi mandat pada pilihan raya umum nanti.

”Ini kerana keputusan kerajaan tidak menaikkan harga RON95, diesel dan LPG hanya sebagai taktik memenangi hati rakyat semata-mata.

”Pengumuman tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan BN tidak lagi menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor menafikan tindakan kerajaan tidak menaikkan harga RON95 ada kaitan dengan pilihanraya umum.

Azihan juga berkata, keputusan kerajaan BN menangguhkan kenaikan harga bahan api dan LPG sebagai menandakan pilihanraya imum ke-13 semakin hampir sekarang.

Oleh itu, AMK berhujah kenaikan harga barang pastinya tidak lagi terkawal selepas pilihan raya umum nanti apabila BN masih memiliki kuasa politik.

”Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda kenaikan harga RON95, diesel dan LPG sekarang. BN perlu dihalang daripada terus menindas rakyat,” ujarnya.

Menurutnya juga bebanan kehidupan rakyat semakin berat sekarang berikutan keputusan kerajaan sebelum ini menaikkan harga barangan keperluan harian termasuk gula dan memperkenalkan tarif baru elektrik.

”AMK mencabar Perdana Menteri supaya subsidi kepada syarikat besar penjana bebas elektrik (IPP) dimansuhkan bagi membolehkan subsidi itu digunakan untuk rakyat,” katanya.

Sekarang hampir 34 peratus warga pekerja di Malaysia yang berjumlah 4 juta dibayar gaji kurang RM700 sebulan, manakala 40 peratus rakyat berpendapatan kurang RM1500 sebulan.

Azihan juga berharap rakyat perlu bersatu-padu berjuang memastikan kuasa yang dimiliki kerajaan BN sekarang tidak lagi disambung hayatnya selepas pilihan raya umum ke-13.

”Rakyatlah yang akan menjadi tuan yang sebenar dalam menentukan situasi negara pada masa depan. Silap percaturan mereka akan menerima padah,” tambahnya.



Tiada ulasan: