Ahad, 15 Mei 2011

TEPAT...WAJIB BERGANTUNG KEPADA ALLAH....APA TAKUTKAN...KALAU KITA BETUL DAN BERMORAL SERTA BIJAK...TAK KAN BOLEH DIGUGAT OLEH ORANG TAK BERMORAL...

Sangat wajar Anwar mengadu terus ke hadrat Allah
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 14 Mei: Peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam.

AJK Majlis Fatwa Antarabangsa, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili berkata, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.

"Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral," tegasnya.

Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri, dekat sini, hari ini.

Ucapan beliau telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Wahbah juga menyatakan Al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.

Tegasnya. jika penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik.

Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya.

"Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya," tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.

Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar Ibrahim, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas.

Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden.

Malah, ujarnya, Majma' Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.

Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya.

"Umat Islam hendaklah mengambil Syariat Islam dalam menyelesailkan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka," tegasnya.

Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah SWT datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.

Beliau dalam lawatan ke negara ini selama empat hari berakhir esok.

"Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke Hadrat Allah SWT dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh temeh ini," tegasnya.


Muslimat perlu sedia pelan untuk ke Putrajaya
Salmah Mat Husain

PENGKALAN CHEPA, 14 Mei: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa menyarankan muslimat PAS negeri menyediakan pelan sebagai persiapan untuk ke Putrajaya.

Katanya, pelan yang lebih berstrategi perlu diatur bagi menawan Putrajaya untuk menggantikan pentadbiran negara yang semakin zalim, khususnya terhadap kerajaan Kelantan yang tidak pernah adil sejak 21 tahun lalu.

Husam seterusnya menambah, kejahatan kerajaan BN yang menafikan hak Kelantan seperti pembinaan lebuh raya di negeri itu, geran dari kerajaan Pusat untuk AKSB, penafian hak royalti dan lain-lain lagi perlu diubah oleh muslimat.

“Pada masa yang sama kita juga menyeru muslimat Kelantan yang terbukti berani sentiasa bermunajat kepada Allah agar kerajaan Pusat menyerahkan royalti pada kerajaan negeri.

“Usaha itu perlu dilakukan berterusan dan jangan hanya bila rasa perlu sahaja kerana tuntutan kita tidak bertentangan dengan syariat dan undang-undang negara,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan ke-38 di sini.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Kelantan mengukir sejarah baru apabila semua kepimpinannya yang lalu berjaya mengekalkann kedudukan masing-masing setelah mereka menang tanpa bertanding.

Kemenangan yang masih mengekalkan kedudukan ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya, Wan Ubaidah Omar dan naib, Rohani Ibrahim berlaku apabila tiada nama-nama baru dicalonkan untuk bertanding untuk merebut jawatan itu dari penyandangnya.

Bukan itu sahaja, 10 anggota jawatankuasa sesi lalu termasuk isteri Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, masih mengekalkan kedudukan mereka apabila nama-nama mereka dicalonkan sekali lagi.

Zailah ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dewan Muslimat ke-38, menyifatkan ianya suatu sejarah baru dalam politik di negeri itu.

“Ini juga membuktikan muslimat lebih menumpukan kemenangan pentadbiran Negara serta mengekalkan kedudukan kerajaan Kelantan berbanding perebutan jawatan apa lagi mewujudkan masaalah dalaman,” ujarnya.


Sudahlah tu, dalam Umno pun ada Kristian!
Ahmad Tajdid

MASIH ingat lagi John Ghani? Beliau ialah perwakilan Umno Sabah dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu.

John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera.

Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Penampang.

Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2).

Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli Bergabung Umno.

Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai Umno.

Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera.

Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan politik.

Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus jumlah penduduk.

Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan kehadiran penganut Islam.

Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai parti itu sebagai satu ancaman?

Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah.

Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak.

Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh menangkis hujah ini.

Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik Melayu Islam.

Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian.

--------------

Sabah Umno out to woo non-Muslim bumiputras

By RUBEN SARIO


KOTA KINABALU: Sabah Umno is setting up a special taskforce to attract more non-Muslim bumiputras from the state’s ethnic communities such as the Kadazandusuns and Muruts.

Penampang Umno chief Datuk John Ambrose, the party’s first non-Muslim division chairman, said the move was aimed at strengthening Umno in the state.

Opening the Penampang Umno meeting at Kampung Limbanak here on Monday, he said both party president Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi and his deputy Datuk Seri Najib Tun Razak had given the green light for setting up the taskforce.

“Sabah Umno is open to all races as the party fights for the rights of all bumiputras in the state. If Umno in Sabah is just serving one community, what would happen to the others?” he said.

John said Najib was scheduled to launch the taskforce in the remote interior district of Pensiangan soon.

He said Pensiangan was among eight of Sabah Umno’s 25 divisions where there were large numbers of non-Muslim bumiputras. The others were Penampang, Tenom, Papar, Kota Belud, Keningau, Kota Marudu and Kudat.

John said the primary objective of the taskforce would be to create awareness among non-Muslim bumiputras that Umno was open to them and that the party’s struggles was not merely for any particular community. - The Star Online, 28 Oktober 2008

PAS Selayang bertukar kepimpinan
Harakahdaily

SELAYANG, 14 Mei: Mesyuarat Agung PAS kawasan Selayang hari ini mengubah kepimpinan kawasan itu iaitu Yang Dipertua dan naib YDP tetapi mengekalkan timbalan YDP.

(Gambar: Perwakilan PAS Selayang beratur untuk mengundi)

Zaidy Abdul Talib dipilih menjadi ketua menggantikan Haji Mohamad Abdul Rahman, timbalannya kekal dimenangi Shafie Othman manakala naibnya Saudara Kamaruzaman Mohd Nor menggantikan Mohd Mokhtar Ruzaidi.

Ketua Urusan Ulamak juga bertukar tangan kepada Ustaz Syed Abdul Kadir Syed Husin Al-joofri.

Mesyurat agung yang sepatutnya berjalan bulan lalu telah ditukar ke hari ini apabila beberapa pihak tidak berpuashati dengan tatacara pengurusan mesyuarat agung.

Tarikh yang lepas juga iaitu 6 April bertembung dengan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Mesyuarat ini dirasmikan oleh Dr Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Krai.

Pemilihan hari ini dikendalikan oleh PAS Negeri Selangor dengan PAS Kawasan Hulu Selangor menjadi pengendali pemilihannya.

PAS Selayang adalah antara PAS kawasan yang terakhir mengadakan mesyuarat agung. Esok adalah tarikh akhir pencalonan untuk kepimpinan utama PAS. Selasa ini, PAS akan mengadakan satu sidang media khas mengenai pencalonan PAS ini.

Fokus kepada pengurusan masjid

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Hatta Ramli meminta semua ahli PAS di Selangor memanafaatkan sepenuhnya pengurusan masjid yang diserahkan kepada PAS untuk dikendalikan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Lima tahun lalu, kita sering berbincang, alangkah baik jika kita menguruskan masjid-masjid di Selangor. Kita akan makmurkan masjid.

"Sekarang ia sudah menjadi realiti. Kenapa kita tidak memanafaatkan sepenuhnya masjid-masjid ini," kata Dr Hatta.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, antara perkara awal yang dilakukan adalah pendemokrasian masjid. Melalui agenda ini, semua masjid diminta mengadakan mesyuarat agung dan memilih jawatankuasa masjid secara pengundian secara terbuka.

Ekoran itu, hampir kesemua masjid dan surau di Selangor dikendalikan oleh aktivis PAS kerana merekalah yang paling ramai datang ke masjid dan surau.

Sejak itu, semua masjid dan surau di Selangor benar-benar diimarahkan dengan pelbagai aktiviti khasnya majlis ilmu.

Arah hentam, Najib memang takut Buku Jingga
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Laporan Malaysiakini bahawa Pejabat Perdana Menteri memberikan arahan khas kepada, Utusan Malaysia, menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat jelas membuktikan bahawa Datuk Seri Najib Razak sebenarnya takut dan terancam.

Biarpun sebelum ini Perdana Menteri itu dan pemimpin Umno BN lain mendakwa rancangan yang dimuatkan dalam Buku Jingga itu bersifat populis, namun arahan kepada akhbar Umno untuk menghentamnya mendedahkan sebaliknya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas kenapa Najib dan pemimpin Umno BN begitu takut dengan rancangan 100 Pakatan itu, beliau berkata ia kerana buku jingga itu adalah penyelesaian praktikal untuk krisis dan kemelut sosio-politiko-ekonomi negara.

"Secara tepat saya tak tahu. Mereka lebih tahu. Yang jelas bagi kami, Buku Jingga adalah respons dan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari krisis dan kemelut sosio-politiko-ekonomi yang berpanjangan. Ianya menampilkan satu persaingan dasar dan polisi sebagai adalah penyelesaian alternatif.

"Betul ia adalah dokumen kecil, tetapi ia mengandungi penegasan dasar, pendekatan strategik," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malaysiakini semalam mendedahkan Utusan Malaysia diberikan arahan khas untuk menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Laporan itu yang memetik satu sumber itu mendakwa, arahan daripada Pejabat Perdana Menteri itu dikesan melalui nota seorang wartawan kanan kepada kepada pengarang dan pembantu pengarang berita Utusan Malaysia yang diletakkan dalam 'satu sistem' akhbar itu pada 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, semua akhbar, terutamanya Utusan Malaysia, diminta mendapatkan komen pelbagai pihak, antaranya pemimpin parti komponen BN, penganalisis ekonomi dan tokoh akademik, bagi menyokong kenyataan Najib itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata perbezaan ketara dasar Pakatan dengan BN yang ditonjolkan dalam Buku Jingga itu ialah “Political Economy” atau “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi”.

Tegasnya ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau dengan kata lain mudahnya “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali melakukan sesebuah kerajaan melakukan ‘Reformasi Politik’.

Katanya, selagi BN memerintah dengan dasarnya, penambahbaikan ekonomi negara tidak akan terlaksana dan rakyat akan terus tersepit dengan pelbagai masalah ekonomi.

"Ini pendekatan kami dan amat ketara kalau kita buka di muka surat 21, dalam 10 program 100 Hari Program Buku Jingga. Program 1 (reformasi institusi kritikal SPRM, SPRM, MCMC dll) dan 2 (bersabit dgn pemansuhan undang draconian ISA, OSA) dari 10 program 100 hari," katanya memberi contoh tawaran yang langsung tiada kaitan dengan ekonomi.

Beliau juga berkata pendekatan itu tidak sama dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Entry Point Projects (EPP) Najib yang disifatkan sebagai 'Pump-Priming' yang sehingga kini menelan pelaburan RM106 bilion, sedangkan rakyat tidak langsung menerima faedahnya.

Selain tidak merasai kesannya kepada rakyat, pendekatan itu juga gagal meningkatkan pendapatan per kapita negara dan juga tidak menyelesaikan isu jurang pendapatan kaya dan miskin.

"Seluruh program 100 Hari kami itu kalau dilaksanakan tak sampai pun menelan RM19 bilion," katanya.

Beliau turut mempersoal Model Ekonomi Baru (NEM) yang sehingga kini tidak boleh dilaksanakan ekoran wujud penentangan dari kalangan Umno sendiri, termasuk Perkasa dan kelompok Ultra-Melayu Umno.

"Tetapi kami dalam Pakatan Rakyat tidak ada kekangan seperti itu, sebab dasar-dasar kami kami diputuskan bersama dalam muafakat politik Pakatan," jelasnya.

Tiada ulasan: