Selasa, 10 Mei 2011


APA DIBIMBANGKAN LAKNAT DARI MANUSIA...PATUT BIMBANG LAKNAT DARI ALLAH...ORANG YG MELAKNAT TAK DE NAS IA MASUK SYURGA...YG DILAKNAT@DIKUTUK TAK DE NAS MASUK NERAKA...JANGAN YANG MENGUTUK LEBIH DAHSYAT DARI YANG DIKUTUK....KATA DULANG PAKU SERPEH....JIKA AKHIRAT NANTI MASUK NERAKA...ITULAH ORANG YANG BENAR2 BERSALAH...MEMANG MEREKA MANUSIA TERKUTUK SEMASA DIDUNIA....

Pemimpin menyusahkan rakyat jika tiada wang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Mei: PAS berpendapat tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram sebagai lambang kegagalan BN.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Alasan daripada kerajaan ia akan menjimatkan wang negara ialah RM116.6 juta setahun apabila gula dinaikkan 20 sen.

“Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara?” soalnya.

Nampaknya, kata beliau pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikkan harga petrol, gula dan tol.

PAS, ujarnya hairan kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup memberi peruntukan kepada Permata yang dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta untuk tahun 2011.

“Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja,” katanya.

Baginya, kerajaan memberi alasan yang dangkal untuk menipu rakyat ialah harga gula di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Begitu juga, katanya alasan kenaikan harga gula sebagai langkah untuk hidup sihat supaya rakyat mengurangkan pengambilan gula.


Benarkan rakyat menilai prestasi kerajaan
Diyana Kasim

Kerajaan mengumumkan bahawa mulai 1 Julai depan, ujian PTK bagi penjawat awam akan digantikan dengan penilaian berkonsepkan 360 darjah. Dalam konsep ini, prestasi setiap penjawat awam bukan hanya akan dinilai oleh penyelia masing-masing, malah mereka juga akan diperhatikan dan dinilai secara berterusan oleh rakan sejawat dan kakitangan bawahan.

Penilaian ini kemudiannya akan dipertimbangkan oleh panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi dan penempatan baru.

Saya ingin mencadangkan supaya sistem penilaian ini diperluaskan supaya merangkumi penilaian rakyat. Dalam erti kata lain, selain dinilai oleh penyelia, rakan sejawat dan kakitangan bawahan, rakyat juga seharusnya diberikan peluang bagi menilai prestasi penjawat awam.

Memang diakui bahawa rakyat tidak dapat menilai prestasi setiap seorang penjawat awam di Malaysia secara individu. Namun demikian, sudah tentu rakyat mampu menilai prestasi sesebuah badan kerajaan dan juga pengurusan tertingginya. Pada masa yang sama, pada peringkat individu, sebarang maklumbalas positif ataupun negatif (jika ada) mengenai seseorang penjawat awam perlu diambil kira bagi menilai prestasi penjawat awam berkenaan. Dengan demikian, barulah semua penjawat awam di Malaysia lebih terdorong bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Selain itu, penilaian ini juga tidak harus terhad pada penjawat awam semata-mata, malah perlu juga digunakan bagi menilai prestasi para menteri. Prestasi setiap menteri perlu juga dinilai oleh kakitangan bawahan dan juga rakyat.

Pandangan rakyat dapat dikumpulkan sepanjang tahun, sama ada secara terbuka ataupun dengan menggunakan format tertentu, dan dengan memanfaatkan semua saluran, termasuk surat dan emel.

Maka setiap akhir tahun, prestasi setiap menteri dan badan kerajaan akan dinilai dengan mengambilkira penilaian dan maklumbalas oleh rakyat jelata. Akhir sekali, hasil penilaian prestasi setiap menteri dan badan kerajaan akan diperhalusi dan diumumkan kepada rakyat oleh Jabatan Audit Negara.


Pandi kutty: Anwar kian panik

KUALA LUMPUR 9 Mei – Sikap sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini berselindung di sebalik topeng agama semakin terserlah apabila sanggup menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gelaran yang tidak sepatutnya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Anwar panik kerana rakyat sudah bijak menilai peribadinya dan semakin menolak kepimpinan beliau yang jelas tidak mempunyai prinsip dan hala tuju.

“Justeru, Anwar melancarkan pelbagai serangan yang boleh merendahkan keperibadian Perdana Menteri khususnya kepada penyokong tegarnya walaupun ia bertentangan dengan agama serta tatasusila peradaban manusia.

“Ia adalah usaha terancang dan berterusan Anwar demi melampiaskan nafsu politiknya, meskipun nyata beliau kini semakin kehilangan sokongan termasuk daripada pembangkang sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam ceramah dengan masyarakat India di Dewan Hamzah, Klang, Selangor Sabtu lalu didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang bermaksud anak babi dalam bahasa Melayu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor pula mencadangkan kerajaan agar mengambil tindakan tegas ke atas Anwar kerana ketua pembangkang itu sengaja mewujudkan suasana tegang.

“Anwar kini semakin terdesak, beliau bukan sahaja akan cakap kotor malah akan main kotor. Kerajaan perlu segera tangkap Anwar dan rampas pasportnya kerana saya dapat maklumat daripada sumber terdekat beliau merancang untuk cabut lari selepas menimbulkan huru-hara,” katanya.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula mengesyaki Anwar mengalami sindrom prahaid (PMS), kesan daripada kes liwat dan isu video seks yang sedang dihadapinya.

“Jadi, amat menyedihkan jikalau pihak pembangkang dalam sistem demokrasi negara masih berpaut kepada orang yang diserang PMS,” katanya.

Mengulas perkara sama, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Anwar merupakan seorang pemimpin yang sudah hilang martabat dan maruah diri jika benar beliau menggelar Perdana Menteri sebagai anak babi.

“Anwar kini dihantui dengan pelbagai masalah peribadi dan cuba menutup kelemahan diri dengan menyerang orang lain. Ternyata nilai Islam dan budaya Melayu dipijak sebegitu rupa. Jadi, pemimpin sebegini tidak ada nilai satu sen pun,” katanya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula berkata, Anwar ternyata ketandusan isu apabila sanggup menyerang Perdana Menteri dengan gelaran itu.

“Beliau (Anwar) telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin politik murahan dengan memaki-hamun orang lain terutama kaum sendiri di hadapan kaum lain,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Anwar boleh memanggil Najib sebagai pandi kutti tetapi hakikatnya rakyat tahu Perdana Menteri tiada sifat sebegitu.

“Yang ada sifat sebegitu adalah orang yang suka menuduh orang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula berkata, kenyataan kesat itu jelas membuktikan betapa rendahnya nilai moral Anwar.

“Orang yang sanggup mempolitikkan agama dan nama Tuhan sendiri akan sanggup lakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya,” kata beliau.


Pandikutty untuk politik jijik BN, bukan Najib
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan pandikutty berkaitan dengan politik kotor dan jijik yang diamalkan oleh Barisan Nasional, bukan ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Demikian penjelasan Naib Presiden PKR, N Surendran yang turut berada pada majlis bersama Anwar di sebuah majlis di Klang pada 7 Mei lalu.

Beliau merujuk kepada tuduhan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan akhbar Umno seperti Utusan Malaysia bahawa Anwar menggunakan perkataan pandikutty terhadap Najib pada majlis itu.

“Perkataan ini bermakna babi kecil. Saya berada di majlis tersebut dan mengesahkan di sini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan perkataan tersebut terhadap Najib,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sekali lagi, katanya suatu tuduhan yang palsu sama sekali telah dibawa terhadap Ketua Pembangkang oleh parti BN dan media massanya.

“Perdana Menteri sendiri telah mengulangi tuduhan palsu ini dalam komennya pada hari ini yang menyerang Anwar Ibrahim atas isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, adalah juga ironis untuk mendengar rungutan remeh seperti itu daripada parti BN yang telah melemparkan berbagai-bagai fitnah melampau dan jahat ke atas Ketua Pembangkang sejak tahun 1998.

BN juga, ujarnya tidak pernah teragak-agak untuk memperalatkan badan kehakiman dan polis untuk membawa tuduhan jenayah palsu terhadap Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain.

“Meskipun ini, Najib masih tergamak untuk menuduh ketua pembangkang mengamalkan politik tidak beretika dalam kenyataannya hari ini,” katanya.

Tambahnya, adalah jelas bahawa Barisan Nasional menganjurkan kontroversi palsu dan kosong seperti ini untuk cuba mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan pemerintahan BN dan kenaikan harga petrol dan barangan yang tidak wajar.

“Kami sekali lagi menuntut bahawa pemimpin BN hentikan politik kotor dan pengeluaran kenyataan palsu dengan segera,” ujarnya


Anwar biadab, kurang ajar, tidak layak jadi pemimpin

KUALA LUMPUR 9 Mei - Sikap biadab Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup secara celupar menggelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pandi kutty membuktikan ketua pembangkang itu tidak layak diangkat sebagai pemimpin.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, cercaan tersebut sangat kurang ajar dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin yang bercita-cita besar seperti Anwar.

Sehubungan itu, beliau mendesak Anwar menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi seluruh rakyat Malaysia.

"Ini satu perbuatan cukup biadab dan kurang ajar. Kenyataan itu menggambarkan keperibadian buruk Anwar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anwar dalam ceramah di Dewan Hamzah, Klang, Selangor, Sabtu lalu, didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang membawa maksud anak babi dalam bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Khairy percaya kenyataan biadab dan celupar yang keluar dari mulut Anwar sejak kebelakangan ini adalah kerana ketua pembangkang itu berada dalam keadaan tertekan.

Katanya, tekanan itu berpunca daripada pelbagai siri pendedahan mengenai masalah moralnya termasuk dikaitkan dengan aksi seks dalam rakaman video bersama seorang pelacur dari China.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam sidang akhbar di sini berkata, Anwar perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum menggelar Perdana Menteri dengan panggilan yang tidak masuk akal serta tidak bertamadun itu.

"Masalahnya dia (Anwar) tidak tengok dirinya dalam cermin. Dialah pandi kutty, bukan Perdana Menteri. Saya harap mereka (pembangkang) akan jadi semakin bertamadun. Tolonglah jadi matang. Kita matang bukan gila, jadi tidak payah layan dia," katanya.


Pandi Kutty - Anwar dakwa difitnah lagi

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi didakwa difitnah apabila dituduh menggunakan perkataan kesat “pandi kutty' terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu ceramah di Klang Sabtu lalu.

TV Selangor yang merakamkan ceramah penuh itu dalam laporannya hari ini berkata pita mereka langsung tidak menunjukkan Anwar menghamburkan perkataan kesat itu terhadap Najib.

Sebaliknya, dalam ceramah itu Anwar membidas Najib dan taktik kotor politik yang digunakan Umno untuk menjatuhkan beliau.

Katanya, Umno-BN sebagai parti terdesak yang menggunakan video lucah untuk mengaibkannya.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutti."

Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” katanya dalam ceramah itu.
Tak sebut siapa-siapa

Anwar juga dalam Twitter petang tadi menulis “Umno memfitnah. Saya sebut: Politik porno, zalim, rasuah seperti pandi kuty, tidak sebut nama siapa-siapa.....

Lajnah Tanah dapat pejabat tetap
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat hari ini mendapat sebuah pejabat rasmi yang akan digunakan untuk urusan berkaitan tanah termasuk tanah rancangan Felda dan Felcra.

Terletak di tingkat tiga Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, majlis pelancarannya disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang petang tadi.

Selain pejabat, lajnah tersebut di bawah pimpinan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) turut mendapat seorang kakitangan tetap, Fadhil Othman yang akan menguruskan kerja-kerja di pejabat termasuk menerima aduan orang ramai berkaitan masalah tanah.

Lajnah tersebut merupakan antara lajnah yang aktif turun ke lapangan masyarakat bagi mendengar dan menyelesaikan permasalah berhubung tanah terutamanya masalah peneroka Felda dan Felcra.

Terdapat lima badan bukan kerajaan (NGO) di bawah lajnah ini iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (Bapa) Alumni Bekas Kakitangan Felda Bela Tanah Rakyat Sabah, (Tabah) Hak Tanah Rakyat Sarawak (Hak).

Kelima-lima NGO ini dikenali sebagai NGO yang aktif memperjuangkan nasib golongan peneroka yang tertindas di bawah Felda dan Felcra yang dikendalikan BN.

Malah Anak dan Bapa sudah beberapa kali mengadakan beberapa himpunan warga Felda dan Felcra selain menyerahkan memorandum kepada menteri yang bertanggungjawab mengenai nasib peneroka yang tidak mendapat hak mereka yang sepatutnya.

Antara aduan yang dibuat adalah mengenai hutang sara hidup peneroka yang semakin meningkat akibat kelambatan anak syarikat Felda, Felda Plantation menguruskan kebun mereka di bawah skim tanam semula dan pemberian baja yang tidak berkualiti menyebabkan hasil kelapa sawit berkurangan.

Bagi merealisasikan tuntutan peneroka Felda berkaitan tanah mereka, perkara berkenaan Felda dimasukkan dalam program Buku Jingga Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada November tahun lalu.

Antaranya memansuhkan Felda Plantation yang mengaut keuntungan di atas titik peluh peneroka dan memberikan tanah sebagai hak milik kekal peneroka dan mewujudkan universiti di bawah Felda.

Mazlan ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, pemberian pejabat itu merupakan satu kesungguhan PAS meningkatkan usahanya membela rakyat.

"Ini satu anjakan daripada kerja-kerja yang dibuat PAS Pusat dalam lajnah tanah dan satu era baru yang tersusun bagi PAS dan kita harap ini akan menjadi satu medan kepada PAS untuk meningkatkan proses interaksi dengan masyarakat.

"Pegawai kita akan ditugaskan untuk menjadi pemudah cara yang berkaitan isu tanah membabitkan NGO-NGO kita dan melebarkan sayap bukan sahaja di Semenanjung tapi juga di Sabah dan Sarawak," katanya yang juga Pengerusi Anak.

Menurutnya, orang ramai boleh berurusan terus dengan Fadhil di pejabat baru ini berkenaan sebarang aduan yang ingin dikemukakan.

Selain itu, sebarang aduan boleh diemailkan terus kepada tanah@pas.org.my yang dikendalikan sepenuhnya oleh Fadhil.

Dalam pada itu, Mazlan turut mengingatkan mengenai Himpunan Perdana Warga Felda Negeri Pahang pada 27 dan 28 Mei ini.

Tegasnya, program itu sangat penting kerana Anak akan mengagihkan borang permohonan tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Terdapat tiga kategori penerima borang tersebut iaitu anak-anak peneroka, kakitangan Felda iaitu pegawai yang berpendapatan rendah dan bekas tentera.

Langkah ini tegas Mazlan sebagai persediaan awal Pakatan Rakyat melaksanakan tawaran 100 hari mereka yang terkandung dalam Buku Jingga.

Janji tersebut adalah untuk membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Selain Abdul Hadi yang akan mengagihkan borang tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri anwar Ibrahim juga akan melancarkan pelan Universiti Tun Abdul Razak.

Sebelum ini, Timbalan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memperlekehkan usaha Pakatan Rakyat memansuhkan Felda Plantation dan mendakwa ianya sekadar gimik politik.

Namun Ahmad sehingga hari ini masih mengelak apabila diajak mengadakan dialog dengan Anak bagi membincangkan kepincangan Felda dan masalah peneroka.



Lucah boleh, kata kesat tak boleh
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan dengan sikap akhbar Umno, Utusan Malaysia yang melaporkan kecaman terhadap Datuk Seri Anwar ekoran dakwaan menggelar Perdana Menteri sebagai 'Pandi kutty'.

Beliau mempersoal, bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.

(Gambar: Laporan muka depan Utusan yang menyiarkan bantahan pandi kutty yang tidakpun ditujukan kepada Najib tetapi tindakan pihak yang tidak betul)

"Saya terbaca tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, "Anwar Dikecam," kononnya kerana guna kata-kata kesat serang Perdana Menteri.

"Hairan saya, akhbar yang menyebarkan segala bentuk kelucahan dalam masyarakat hari ini menjadi juara adab sopan?"katanya di Facebook.

Utusan di muka depannya hari ini meletakkan tajuk 'Anwar dikecam' dengan membawa beberapa pandangan individu membidas sikap Anwar yang didakwa menggelar Datuk Seri Najib dengan gelaran Pandi Kutty.

Antara lain, akhbar Umno itu mengambil pandangan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Bekas Ketua AMK yang menyertai Umno, senator Ezam Mohd Noor.

Najib ketika mengulas laporan itu pula berkata, beliau tetap tidur lena (jenera) walaupun dituduh dengan perkataan itu.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, gesaan MCA agar Utusan dipulaukan, sangat tepat.

"Tepat sungguh gesaan MCA agar Utusan Malaysia dipulaukan,"tulisnya lagi.

Sebelum ini, Utusan juga dikecam banyak pihak ekoran tindakan keterlaluan akhbar itu menyiarkan di muka depan laporan serta gambar berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR. Turut dikecam dan dilebelkan sebagai media lucah adalah TV3.

Dalam pada itu, Anwar hari ini menyifatkan serangan terbaru isu Pandi Kutty terhadapnya itu adalah fitnah terbaru Umno BN.

(Gambar kanan: Utusan disifatkan akhbar lucah apabila menyiarkan gambar-gambar dari klip video Trio Umno yang mendakwa Anwar adalah pelakunya)

Menurut laporan TV Selangor yang merakam penuh ceramah Anwar di Klang, Sabtu lalu itu, ketua pembangkang itu tidak langsung menghemburkan perkataan itu terhadap Najib.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutty."

Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” katanya dalam ceramah itu.


Utusan: Hishammuddin, Rais perlu mohon maaf
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, diminta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung reaksinya terhadap laporan tidak berasas akhbar Utusan Malaysia.

Hishammuddin juga diminta mengambil tindakan menggantung penerbitan akhbar Utusan Malaysia, dalam tempoh waktu yang wajar, kerana menyiarkan berita palsu mengenai kewujudan golongan paderi yang mahu menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, ekoran respons mereka terhadap laporan tidak berasas itu, kedua-dua menteri terbabit ternyata telah menimbulkan suasana kehidupan tidak harmoni di kalangan penduduk negara ini.

Menurut beliau, pada hal berita yang disiarkan itu hanyalah berita tidak berasas yang diambil dari penulisan blog peribadi seseorang yang tidak selayaknya dijadikan sumber berita oleh akhbar Utusan Malaysia.

Namun, katanya, kedua-dua menteri itu tanpa menyelidik panjang telah mengeluarkan kenyataan bahawa laporan tersebut merupakan perkara serius lalu meminta pihak berkuasa melakukan penyiasatan.

"Datuk Seri Hishammuddin dan Datuk Seri Rais Yatim selaku menteri tidak sewajarnya memberikan respons seperti itu. Mereka sepatutnya bertindak meredakan keadaan, bukannya mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Tindakan kedua-dua menteri itu, menurut beliau, ternyata merupakan tindakan provokasi yang sekali gus telah mencetuskan ketegangan agama di kalangan rakyat Malaysia.

"Pada hal berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia itu bukannya berita benar. Perkara itu dinafikan sendiri oleh golongan paderi dan DAP. Berita itu ternyata bersifat provokasi yang boleh menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara.

"Disebabkan perkara itulah, akhbar Utusan Malaysia sepatutnya dikenakan tindakan oleh Hishamuddin dengan menggantung penerbitannya walaupun dalam tempoh waktu yang tidak lama," katanya.

Selain itu, beliau juga meminta Hishammuddin mengambil tindakan terhadap bloger yang bertanggungjawab terhadap penyebaran berita palsu itu bagi dijadikan pengajaran kepada kesemua pihak agar hanya menyebarkan berita-berita benar dalam penulisan masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Hishammuddin dan Rais berfikir lebih jauh dengan tindakan mereka berhubung perkara itu agar segera menghentikan tindakan-tindakan provokasi demi kepentingan negara.

"Hentikanlah provokasi-provokasi perkauman. Tunjukkanlah sayang kepada negara, bukan sayang kepada kerusi empuk," tegasnya.

Bagi menjernihkan kembali suasana dalam masyarakat angkara penyebaran berita itu, beliau mengajak kedua-dua menteri itu berdebat dengan beliau di pentas debat demi membolehkan seluruh pihak menilainya dengan lebih mendalam dan adil.

Isu agama rasmi propaganda jahat Umno

Harakahdaily

PETALING JAYA, 10 Mei: Setelah fitnah video seks ternyata gagal mencapai matlamatnya oleh Umno, maka isu yang berbaur agama kini direkayasa untuk memperdaya orang Melayu kembali menyokong mereka.

Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA) PKR, Ahmad Kasim menyatakan demikian sebagai mengulas muka hadapan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada 7 Mei lepas yang memaparkan tajuk ‘Kristian agama rasmi?’.

Katanya, tajuk tersebut secara terang-terangan cuba menimbulkan provokasi terhadap hubungan masyarakat pelbagai agama di negara ini.

“Hakikatnya sentimen agama digunakan untuk melaga-lagakan penyokong Pakatan Rakyat melalui congak politik kuno mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selepas melontar berita palsu, siri laporan polis oleh badut-badut Umno BN pula direncana untuk menunjukkan bahawa merekalah jaguh mempertahankan maruah orang Melayu dan Islam.

Tambahnya, setelah setengah abad diberi amanah mentadbir negara Umno BN sebenarnya telah gagal untuk memastikan kecemerlangan Islam sebagai agama rasmi.

“Nilai-nilai agama dalam masyarakat langsung tidak diberi perhatian, Sekolah Agama Rakyat dipinggirkan, gerakan dakwah dinafikan hak untuk memanfaatkan institusi agama seperti masjid dan surau,” katanya.

Jabatan-jabatan agama, ujarnya dijumudkan untuk kepentingan politik sempit mereka sahaja di mana akhirnya jenayah sosial di kalangan generasi muda Islam gagal dibendung.

Justeru, katanya PKR ingin menegaskan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sepakat untuk mempertahankan empat perkara pokok dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan, Hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera serta Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Jelasnya, DAP sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan berpegang kepada konsesus Pakatan Rakyat yang akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan penganjur program berkenaan (National Evangelical Christian Fellowship, bersama rakan-rakannya yang lain, Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship) dengan tegas menyangkal dakwaan blog-blog yang menjadi rujukan Utusan sebagai satu pembohongan dan tidak berasas sama sekali. Katanya, pertemuan tersebut sebenarnya membincangkan isu berkaitan rasuah dalam negara.

Menurutnya, rakyat yang celik maklumat sedar bahawa isu itu hanyalah propaganda jahat Umno BN untuk mengalih perhatian daripada kegagalan fitnah video lucah yang dilontarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, rakyat semakin muak dan bertambah bencia terhadap kebobrokan mereka.

Katanya lagi, Umno BN semakin kepanasan dan terdesak dengan kemunculan semula Anwar Ibrahim, Azmin Ali, R Sivarasa dan Karpal Singh di Parlimen pada 14 Jun 2011 nanti.


Tindakan Utusan jenayah, boleh didakwa- Aziz Bari
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?’ yang disiar 7 Mei lalu adalah perbuatan jenayah, kata Pakar Udang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

Menurutnya, laporan tersebut cenderung mencetuskan api perkauman dan pertelagahan agama di negara ini.

Sehubungan itu jelasnya, Utusan boleh didakwa sama ada di bawah Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan kerana menerbitkan berita palsu.

“Jelas apa yang dipaparkan oleh Utusan itu sebenarnya cerita bohong. Berita palsu dan tidak wujud.

“Ini semua menangani perlakuan jenayah. Apa yang dilakukan oleh Utusan pada saya prima facie satu perbuatan jenayah,” katanya kepada Keadilandaily.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan yang sehingga kini dilihat 'lepas tangan' terhadap jenayah Utusan tersebut tanpa ada sebarang tindakan terhadap akhbar itu.

"Laporan polis sudah dibuat tapi apa hasilnya?" soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Aziz Bari berkata, tulisan Utusan yang tidak masuk akal itu, merupakan bukti Umno panik untuk menarik simpati orang Melayu dan Islam terhadap parti itu yang dilihat semakin hilang sokongan.

“Lagipun apa isunya? Bukankah DAP dan sekutu Pakatannya telah pun mengisytiharkan bahawa mereka akan pertahankan perlembagaan?

“Bukankah Perdana menteri sendiri kata tahun lepas bahawa peruntukan yang dimaksudkan itu telah ‘dikunci mati’? Anehnya Najib cakap lain pula sekarang.

“(Menteri kebudayaan, Warisan dan Kesenian) Rais Yatim pun dua kali lima. Mereka dah lupa atau buat-buat tak faham perlembagaan,” katanya.

Dalam laporan 7 Mei lalu, Utusan mengambil sumber bloger Umno Zakhir Mohamed ‘Making Christianity the official religion’ yang mendakwa Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi telah menganjurkan pertemuan dengan paderi kristian di mana kumpulan berkenaan berdoa supaya Kristian dijadikan agama rasmi dan seorang kristian dilantik sebagai perdana menteri.

Jeff Oii turut membuat laporan polis terhadap Utusan dan blog berkenaan kerana cubaan memfitnah dan berniat jahat.

Beberapa laporan polis turut dibuat agar Utusan disiasat kerana didakwa cuba meniup api perkauman.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga sebelum ini berpendapat, tindakan Utusan itu sebagai permainan politik Umno menjelang pilihan raya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan seluruh ahli PAS tidak terjerumus dalam 'perangkap' politik itu seperti apa yang berlaku pada Operasi Lalang 1987.


Felda beli kilang ‘Raja Gula’?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Kerajaan didesak untuk mengumumkan jumlah transaksi pembelian Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok, lapor Keadilan Daily.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (gambar) mendakwa pembelian itu dilakukan menerusi anak syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).

“Felda ialah sebuah syarikat berkepentingan kerajaan. Mengapa jumlah pembelian tersebut tidak diumumkan secara terbuka?

“Agensi mana yang dilakukan untuk membuat penilaian aset dan liabiliti syarikat tersebut?” soal Azan.

Azan mendakwa, kerajaan seolah-oleh menyembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan rakyat, sehinggalah rentetan dari siri kenaikan barangan keperluan termasuk kenaikan harga gula sebanyak 20 sen yang diumum kerajaan semalam.

Menurut laporan media, FGVH turut membeli Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd, sebidang tanah seluas 5,800 hektar di Chuping, Perlis dan 20% pegangan Tradewinds (M) Bhd dengan anggaran jumlah RM1.5 billion.

Difahamkan kini, Robert Kuok, yang juga jutawan pertama di Malaysia kemudiannya membeli syarikat CSR Limited, iaitu pengeluar gula terbesar di Australia.

“Sekarang ini, jika Felda mahu mengimport gula dari Australia, agensi tersebut akan membeli dari syarikat yang dimiliki oleh Robert Kuok.

“Ini tidak memberikan makna kepada Felda kerana pada akhirnya nanti, sekiranya ada kenaikan harga gula di negara ini, maka Felda akan dipersalahkan.

“Sedangkan, keuntungan awal telah dikaut oleh orang yang sama, iaitu kroni Barisan Nasional dan pernah mendapat faedah dari monopoli gula selama puluhan tahun di negara ini.

“Felda belum tentu mendapat keuntungan, kerana gula adalah barangan kawalan. Jika ada pun, sudah tentu ia ‘disedut’ oleh pihak ketiga yang menjadikan nilai terkumpul tersebut sebagai dana pilihan raya bagi pihak Barisan Nasional,” tambah Azan.

Dalam pada itu, Azan Ismail mendakwa, kerajaan cuba mewujudkan suasana tenteram di kalangan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu dengan mendakwa, pembelian syarikat gula tersebut oleh Felda menunjukkan kerajaan prihatin terhadap agensi yang banyak memberikan faedah kepada orang Melayu itu.

“Orang Melayu jangan terperangkap dengan tindakan kerajaan ini. Pembelian kilang gula milik Robert Kuok oleh Felda tidak memberi jaminan bahawa nasib orang Melayu lebih terbela.

“Kita tidak tahu siapa yang berkepentingan di dalam transaksi tersebut yang akan mengaut keuntungan. Apatah lagi proses pembelian FGVH tidak diumumkan secara terbuka.

“Sebab itu, kita tuntut dokumen tersebut didedahkan kepada umum,” ujar Azan.

Keperluan ahli DHPP dalam JK PAS
Panah Hijau

PAS memang sebuah parti politik yang penuh berwibawa dan taat setia kepada konsep perjuangan dan persahabatan. Di saat rakan seperjuangannya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP sedang berhadapan dengan serangan dari Umno-BN dan sebuah akhbar harian yang menjadi mikrofon Umno atas isu ugama Kristian, pemimpin-pemimpin PAS telah menyuarakan pendapat mereka mempertahankan fakta yang benar.

Ia bukan merupakan semata-mata mempertahankan DAP, bukan begitu tetapi hakikatnya ialah menentang fitnah dan mempertahankan kebenaran.

Para pemimpin PAS mesti diberi penghormatan sebab berani bersuara dalam isu yang sensitif ini. Malah, ada setengah-setengah pemerhati politik yang berpendapat bahawa mungkin PAS akan kehilangan sokongan orang Melayu kerana dilihat sebagai mempertahankan DAP.

Jika itu yang berlaku, maka ini akan menunjukkan bahawa orang Melayu belum lagi matang dan cerdik dalam membuat analisis mendalam mengenai situasi politik di negara ini sebab apa yang dipertahankan oleh PAS bukanlah DAP tetapi fakta yang benar.

Begitu juga apabila para pemimpin PAS mempertahankan rakan seperjuangan mereka PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau telah terpalit dalam skandal video seks angkara Datuk T. Ia adalah satu helah musuh Pakatan Rakyat, dibuat dengan tujuan untuk menjatuhkan Pakatan, seperti juga apa yang telah dilakukan oleh 2 penulis blog itu terhadap DAP apabila mereka mendakwa DAP bersama dengan ketua agama Kristian hendak menggantikan ugama Islam dengan ugama Kristian sebagai ugama rasmi.

PAS mempertahankan kebenaran dan keadilan dan menentang fitnah dan politik durjana.

Sepanjang masa PAS berada dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak pernah terpesong dari jalan yang betul dan lurus walaupun telah diajak berkalik-kali oleh UMNO untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Inilah yang perlu diteliti dan diingati oleh para pengundi Melayu sebelum mengundi. Mereka harus ingat bahawa PAS adalah parti Islam yang tulen yang tidak akan berganjak dari pendiriannya untuk berjuang demi kebaikan semua golongan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Oleh itu, PAS adalah benar-benar sebuah parti yang adil yang memegang kuat kepada ajaran ugama Islam.

Selain daripada itu, saya berharap dalam pemilihan parti kali ini, sekurang-kurangnya seorang bukan-Melayu akan dipilih untuk mewakili orang bukan-Melayu dalam Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.

Ini bukanlah sesuatu hasrat yang luar biasa sebab sekarang orang bukan-Melayu sudah pun boleh menyertai PAS dengan adanya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Semoga dalam Muktamar dan pemilihan parti yang akan dilangsungkan bulan depan nanti, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, iaitu Khalil Idham Lim akan dipilih untuk mewakili orang bukan-Melayu dalam AJK PAS Pusat.

Saya berpendapat ramai ahli DHPP selain daripada saya akan berasa amat gembira dan teruja sekiranya ini berlaku sebab ini akan membuktikan bahawa slogan PAS Untuk Semua adalah satu slogan yang benar dan bukan sekadar retorik kosong sahaja seperti slogan 1Malaysia itu.

Saya berdoa PAS akan mengorak langkah maju ke depan dan bersama-sama dengan rakan seperjuangannya PKR dan DAP tidak akan mengenal penat-lelah dalam usaha menentang kezaliman yang sedang berlaku sekarang dibawah pentadbiran Kerajaan BN.

PANAH HIJAU
10hb Mei 2011



Tiada ulasan: