Isnin, 23 Mei 2011

BIASALAH...DAH TAK DE POWER...ORANG TAK KAN PENDULI LAGI....

PKR gesa S'ngor siasat binaan di cerun
Mei 23, 11 5:30pm

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan Selangor supaya menyiasat kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah rumah anak yatim di Batu 14, Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa pada Sabtu lalu.

Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri juga perlu menjalankan siasatan ke atas semua pembinaan bangunan di lereng bukit dan juga premis persendirian.

"PKR memandang tragedi ini sebagai satu peringatan kepada manusia terhadap kepentingan menjaga keselamatan di tempat tinggal, sekolah, hospital dan terutamanya tempat anak-anak yatim dan orang-orang tua.

"Sikap tanggungjawab terhadap ciri-ciri keselamatan mesti dititikberatkan agar kejadian sama tidak berulang... Sudah cukup negara ini berhadapan dengan kejadian seumpama ini," katanya lagi.

Isu melibatkan pembinaan di kawasan cerun sebelum ini menjadi tumpuan susulan siri kejadian tanah runtuh di sekitar Lembah Kelang, termasuk kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Disember 2008 yang menjejaskan sehingga 5,000 keluarga.

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang turut berpeluang menziarahi jenazah serta mangsa yang terselamat dalam kejadian itu turut menyampaikan rasa simpatinya kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Suasana sebak dan pilu menyelubungi hadirin yang hadir, apatah lagi bagi anak-anak yatim yang terselamat bila mengenangkan teman-teman yang terkorban.

"Pastinya trauma yang mereka alami memerlukan sedikit masa untuk sembuh dan bakal memberi impak dalam kehidupan mendatang.

"Kepada anak-anak yang gugur syahid kita doakan agar mereka ditempatkan bersama para muslimin beriman," katanya lagi.

Kesemua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat hari ini.


DAP: Kenaikan harga gula untuk tambah untung Felda
Mei 23, 11 5:07pm

DAP menuduh kerajaan pusat menaikkan harga gula untuk meningkatkan keuntungan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata kenaikan harga gula secara langsung akan
meningkatkan pendapatan Felda melalui pemilikannya dalam MSM Malaysia Holdings Bhd, iaitu cabang pengeluaran gula bagi Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.

Lim berkata, memandangkan MSM telahpun mencatatkan keuntungan sebanyak RM232 juta pada 2010, maka Felda mampu menyerap sebarang potongan subsidi oleh kerajaan.

Ini ekoran pengumuman Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bahawa kenaikan RM0.20 harga gula sekilogram, akan menjimatkan kerajaan perbelanjaan RM116.6 juta setiap tahun.

“Apakah RM116.6 juta berbanding dengan RM232 juta keuntungan yang diperolehi MSM tahun lepas?

“Daripada melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya membantu rakyat Malaysia, terutama orang miskin, Felda akan memberi faedah daripada RM116.6 juta tambahan yang akan dibayar rakyat Malaysia,” kata Lim.

Lim berkata, kerajaan pusat, jika ia perlu, boleh memindahkan dengan mudah RM116.6 juta kepada Felda, yang dimilikinya.

Sebaliknya, tegas beliau, selaras dengan dasar sentrik korporat BN membantu syarikat kaya atas penderitaan rakyat.


Arak: Malaysia lebih teruk dari negara bukan Islam
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Kemunculan Malaysia sebagai negara yang menduduki tangga ke-10 peminum arak paling ramai di dunia, jelas meletakkan Malaysia sebagai negara lebih teruk dari negara-negara bukan Islam di seluruh dunia.

Dengan kedudukan itu juga, jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno dalam mendidik rakyatnya tentang bahaya arak agar menjauhinya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) berkata, kejadian itu turut menjadi satu tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, memandangkan negara ini adalah negara umat Islam dengan Islam sebagai agama rasminya.

Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia turut melibatkan maruah para mufti sendiri di tanah air kerana Malaysia turut memiliki mufti yang ramai yang berjumlah 14 orang di seluruh negara.

Katanya, selain itu, ia turut memberikan tamparan hebat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam yang berada di JPM yang walaupun tidak mempunyai kementerian khusus, tetapi berfungsi sebagai menteri yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal Islam di negara ini.

"Memang amat mengaibkan. Dah lebih 50 tahun Kerajaan BN yang ditunjangi Umno memerintah negara ini, tetapi masih gagal mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar milik MCA, The Star semalam menyiarkan statistik tahun ini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia.

WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan beer di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita.

Menurut Ustaz Taib, para pemimpin Umno sepatutnya berasa malu dengan statistik itu, memandangkan sebelum ini mereka begitu bangga apabila Amerika Syarikat mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Antara pemimpin Umno yang jelas menyuarakan kebanggaannya dengan pengiktirafan Amerika itu termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri.

"Jadi sekarang apakah sudahnya? Patutlah Amerika mahu Malaysia jadi negara Islam contoh. Tidakkah para pemimpin Umno malu dengan apa yang berlaku itu?" katanya sinis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, walaupun secara dasarnya statistik itu melibatkan orang bukan Islam, tetapi kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan BN tahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan BN tidak sepatutnya membiarkan rakyatnya begitu bebas dengan minuman arak, tetapi mestilah ada dasar tertentu yang perlu dilaksanakan bagi kawalan dan pemantauannya.

"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar-dasar tertentu ke arah mendidik rakyatnya agar faham dengan bahaya minuman keras. Tetapi tanggungjawab itu ternyata gagal dilaksanakan oleh Kerajaan BN," katanya.

Beliau turut bimbang jika statistik itu juga turut membabitkan umat Islam sendiri, memandangkan di negara kita sememangnya terdapat anak pemimpin sendiri yang menjadi taukeh syarikat arak terbesar di Filipina, San Miguel, manakala bapanya pula asyik menghentam ulama kononnya dialah yang lebih pandai mengenai hukum-hakam.

Lebih jauh dari itu, katanya, walaupun umat Islam sendiri tidak meminumnya, tetapi kegitan itu juga pasti turut melibatkan umat Islam kerana persoalan arak itu sendiri melibatkan 10 perkara atau 10 pihak.

"Antaranya termasuklah pihak yang mengeluarkan lesen penjualan arak, orang yang menyediakan pembuatannya, orang yang menghidangnya dan orang yang mengangkutnya.

"Walaupun saya hanya menyebut beberapa perkara dari 10 perkara itu, tetapi dari yang saya sebutkan itu, tidakkah ia juga turut terbabit dengan umat Islam?" tegasnya.

Dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-10 peminum arak tertinggi di dunia, jelas beliau, ternyata menunjukkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak mengambil berat tentang perkara itu, walaupun ia akan mendatangkan kesan amat buruk kepada negara.

"Arak adalah ibu maksiat. Jika ia tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan mendatangkan masalah besar kepada peminumnya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, termasuk mempertingkatkan lagi kes-kes gejala sosial," katanya.

Menurut beliau lagi, tokoh gerakan Islam, Al-Syahid Syed Qutb di dalam bukunya "Fi Zilli Quran" menjelaskan, kelebihan kepimpinan Islam antara lain akan menjaga dan mendokong kedaulatan agama, dakwah dan akhlak rakyatnya.

"Dalam Umno BN ternyata tidak ada landasan itu. Ia amat berbeza dengan PAS. Inilah yang perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat, bagi membolehkan negara muncul sebagai negara yang diberkati Allah," ujar beliau.

t miskin, maka BN memilih untuk membebankan 27 juta rakyat Malaysia, sedangkan syarikat korporat raksasa seperti Felda atau MSM, memperolehi keuntungan besar.

Khairy: Masa Pak Lah sokong sekarang bantah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan bersandiwara ketika meminta Pemuda Umno membantah kenaikan harga barang.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, semasa berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dahulu, Khairy menyifatkan kenaikan harga barangan satu keperluan.

Beliau yang juga anggota Parlimen Machang mengulas ucapan Khairy yang antara lain menggesa Pemuda Umno seluruh negara membuat usul menentang kenaikan harga minyak kerana membebankan rakyat.

Beliau mencadangkan kerajaan menyemak semula perbelanjaan untuk program PLKN yang berjumlah RM600 juta dan mencadangkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan.

"Ucapan ini nampak seolah-olah lunak, tetapi sebenarnya tidak lebih dari sebuah sandiwara untuk berlagak jaguh rakyat terutama ketika pilihanraya umum semakin dekat.

"Ini kerana pada tiga tahun lepas, Khairy membuat kenyataan yang jauh sama sekali bertentangan dengan kenyataan beliau hari ini," kata Saifudin.

Beliau merujuk ucapan Khairy di Dewan Rakyat pada 23 Jun 2008 ketika membahas usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemuka Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam ucapan tersebut, Khairy direkod hansard sebagai berkata, "walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan".

Beliau juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan.

Beliau menambah, walaupun rakyat terpaksa memikul beban hari ini, penstrukturan semula subsidi ini membawa system yang lebih adi ldengan subsidi yang progresif.

"Harus diingat, petikan ucapan di atas adalah ketika bapa mertua beliau, Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri," kata Saifudin.

"Soalan saya, kenapa Khairy sebagai seorang pemimpin utama parti Umno mengubah pendirian prinsipnya hanya dalam masa tiga tahun,

"Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?" tanya beliau lagi.

Sehubungan itu, Saifudin percaya, sikap sebenar Khairy adalah ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri dan sikapnya tidak pernah berubah, kecuali untuk mengabui mata rakyat dan berlagak hero menjelang pilihanraya ke 13.


Forum Mampukah PAS Membuat Lonjakan malam esok
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Free Public Forum Malaysia (FPF) dengan kerjasama ILHAM Centre dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) akan mengadakan forum "Pemilihan 2011: Mampukah PAS Membuat Lonjakan?" jam 8 malam esok, 24 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Forum ini merupakan siri pertama kepada siri-siri forum yang bertemakan "Melakar Masa Depan PAS" yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

Ianya sebagai satu medan alternatif mencanai, berdebat serta membahaskan idea-idea kritis dan konstruktif dalam memacu perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Dalam siri forum ini, ahli-ahli panel akan dijemput untuk berbicara secara terbuka mengenai prestasi PAS yang sedia ada dan juga menggariskan visi mereka mengenai apa yang perlu dilakukan oleh PAS untuk mara ke hadapan.

Forum tersebut akan menampilkan pakar perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), serta tiga ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan akan dipengerusikan oleh wakil IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.

FPF memilih PAS sebagai subjek perbincangan dengan justifikasi PAS sebagai parti yang paling dominan dalam sejarah politik tanah air yang mengambil jalur pemikiran 'Islam' sebagai asas ideologi dan landasan perjuangan.


”Dipinggir selepas Ketua Bahagian kalah” – bekas PPM
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 23 Mei: “Saya bekerja keras untuk memenangkan Umno di parlimen Kota Bharu. Hasil kerja kuat itu saya dilantik sebagai Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Tanjung Chat.

”Tetapi setelah Datuk Mohd Fatmi Che Salleh kalah pada pilihan raya umum ke-12 saya dipinggirkan,” kata Mohd Nor Abdul Rahman, 55.

Beliau merupakan bekas Penyelia Mukim Tanjung Chat (sekarang dikenali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan) menyertai Umno sejak 1970.

Namun baru-baru ini beliau bersama rakan-rakan menyertai PAS kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan Umno yang kini dilanda pelbagai masalah.

Menurutnya Umno sudah semakin jauh perjuangan asal, di mana sekarang pemimpinnya berjuang untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Mohd Nor sekarang mengetuai PAS Cawangan Masjid Ihsaniah Sungai Keladi.

“Semasa saya memegang jawatan PPM, saya berkawan baik dengan semua orang tanpa memilih parti mana, tetapi ada di kalangan orang Umno dengki melihat saya rapat dengan masyarakat.

”Akhirnya saya dipinggirkan daripada jawatan PPM,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum itu beliau dikunjungi Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bertempat di Kedai Kopi Abe Nor Sungai Keladi.

Turut hadir pada kunjungan itu Bendahari PAS Kota Bharu, Ir Nor Shakiman Muhammad dan setiausaha kerja, Saifuddin Ibrahim.

Bekas Pengerusi Tetap Umno Cawangan Sungai Keladi Tengah, Anuar Md Ghazali turut mengakui pemimpin Umno sekarang lebih mementingkan keluarga dan kroni.

Beliau sekarang Setiausaha Penaja PAS Cawangan Masjid Ihsaniah Sungai Keladi yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan terus bertapak kukuh di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

PAS Cawangan Masjid Ihsaniah Sungai Keladi dijangka mempunyai 50 ahli baru tidak lama lagi apabila lebih ramai lagi bekas-bekas Umno menyertai parti tersebut.

Wan Abdul Rahim berkata, sebelum ini PAS hanya mempunyai satu cawangan di Sungai Keladi.

“Alhamdulillah dengan adanya cawangan baru saya berharap lebih ramai lagi golongan muda dan profesional menyertai PAS,” ujar beliau.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak atau langgani epaperharakah di http://epaper.harakah.net.my keluaran akan datang).


Tiada ulasan: