Selasa, 24 Mei 2011

MENYOKONG ISLAM SERTA MASUK GERAKAN ISLAM ITU WAJIB...BAGI ORANG ISLAM...NI BERSANGKUTAN DENGAN IMAN DAN AKIDAH..JANGAN AMBIK MUDAH..JGN JADI PENAKUT

Panduan pimpinan menghadapi cabaran perjuangan Islam
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
“Sempena Muktamar ke-57”

Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” (Surah Asy-Syams 91:8-10)

Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.

Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.

Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.

Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.

Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.

Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.

Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.

Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).

Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.

Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.

Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.

Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.

Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.

Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.

Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?

Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS.

Isyarat anak muda dari stadium
Mohd Nasir Awang

Sudah tiga hari perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan Terengganu dan Pahang berlalu. Namun cerita pertarungan dua pasukan tetangga itu masih hangat diperbualkan, khususnya di Terengganu.

Anak-anak muda dan para peminat bolasepak negeri ini seakan masih belum puas mengulang-ulangi cerita kejayaan manis pasukan mereka. Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Isnin lalu, pasukan tuan rumah berjaya menundukkan pasukan pelawat dengan dua jaringan tanpa balas.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, beberapa hari sebelumnya, Terengganu mempamerkan persembahan mengagumkan apabila bangkit mengalahkan pasukan tuan rumah 3-2 setelah ketinggalan 2-0 pada babak pertama.

Dengan kemenangan pada perlawanan timbal balas itu, Terengganu berjaya mengalahkan Pahang dengan agregat 5-2. Ia sekali gus mengesahkan tiket untuk Terengganu ke perlawanan akhir Piala FA bertemu satu lagi pasukan tetangga, Kelantan, pada 11 Jun nanti.

Ia dianggap catatan sejarah buat Terengganu. Kejayaan malam itu mengakhiri penantian selama tujuh tahun untuk kembali beraksi di final Piala FA setelah buat kali terakhir layak pada edisi 2004, di mana Terengganu tewas 3-0 kepada Perak.

Tidak syak lagi kemaraan ke pentas final kali ini menyemarakkan semangat khalayak peminat sukan, khususnya para penyokong bolasepak Terengganu. Turut dibuakkan ialah ‘sentimen’ kewilayahan yang kini bertukar ke arah kenegerian.

Sebelum ini cakap-cakap mereka banyak membungakan kebanggaan atas sentimen Pantai Timur. Mereka bangga, entah atas asas apa, bahawa arena bolasepak negara seakan dikuasai negeri-negeri Pantai Timur, apabila pentas separuh akhir Piala FA dikuasai ketiga-tiga negerinya – Pahang, Terengganu dan Kelantan. Hanya Selangor yang mampu mengisi satu lagi slot separuh akhir itu.

Kini, kebanggaan itu beransur diresapi sentimen kenegerian. Setelah sah Terengganu bakal bertemu Kelantan, dua pasukan yang secara tradisinya ‘bermusuhan’, para penyokong masing-masing sudah mula menyebarkan perang psikologi terhadap lawan.

Sejauh manakah pertembungan di luar padang itu bakal menggegarkan gelanggang pertarungan sebenar bulan depan, hanya Allah Ta’ala yang Maha Mengetahui.

Namun seperkara yang agak unik dan sedikit terkeluar daripada kebiasaan orang berseteru ialah wujudnya keadaan saling berbangga dengan tabiat dan gelagat para penyokong kedua-dua pasukan.

Tidak sukar dibaca komen-komen para penyokong Terengganu di media baru, terutama menerusi laman sosial facebook, yang memuji-muji tindakan sebahagian penyokong bolasepak Kelantan mengadakan solat berjamaah di atas padang sementara menunggu perlawanan bermula.

Gambar-gambar para pemuda berpakaian merah-putih mendirikan solat, termasuk sebahagian lain di celah bangunan dan di tepi stadium, dijadikan bahan perbincangan. Mereka memuji ketaatan rakan-rakan seperjuangan mereka terhadap perintah Allah.

Malah tidak sedikit antara mereka mengaitkan perubahan fenomena penghayatan memenuhi tuntutan agama di kalangan penyokong pasukan bolasepak Kelantan kini sebagai hasil tarbiyah dan keberkatan pemerintahan ulama di negeri itu.

“Nampak gaya kita (penyokong pasukan Terengganu) pun kena buat gitu jugok (bersolat sebelum perlawanan), baru berkat pasukan kita,” baca salah satu komen.

Nampak di situ sudah ada unsur-unsur politik? Ya, tidak dapat disangkal lagi betapa sentimen politik turut bersemadi kukuh dalam jiwa anak-anak muda itu, walau pun mereka dianggap khalayak yang taksub dengan agenda sukan.

Sebab itu tidak sukar juga dilihat komen-komen positif penyokong pasukan Kelantan terhadap rakan-rakan mereka di belah Terengganu pula. Antara yang menarik perhatian mereka ialah apabila ada kelibat bendera hijau-putih di celah-celah keriuhan stadium meraikan kejayaan pasukan Terengganu.

Secara logiknya, hanya penyokong tegar PAS yang akan tergamak mengibarkan bendera parti mereka di tempat sebegitu. Mereka bagaikan sudah tidak dapat menahan runtunan jiwa menzahirkan pendirian politik, lalu mengambil kesempatan mempamerkannya di stadium.

Apa yang berlaku dalam stadium di Kuala Terengganu malam itu bukan suatu yang luar biasa. Difahamkan kelibat penyokong pasukan Terengganu dan Kelantan menjulang syiar parti Islam itu di tengah-tengah sorakan penyokong bolasepak sudah semakin melumrah.

Namun, ruapan sentimen politik yang terluah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu bukan setakat kibaran bendera ‘bulan’. Ia malah telah melangkaui persefahaman biasa bahawa soal memilih parti adalah hak masing-masing.

Anak-anak muda di dalam stadium malam itu dikatakan telah menzahirkan sikap politik mereka secara serius. Manakan tidak apabila mereka sanggup menyorak dan mengejek rakan yang menaikkan bendera Umno?

Dikatakan di saat mereka bersorak-sorai kegirangan meraikan jaringan gol oleh pasukan Terengganu, sebilangan mereka mengibarkan bendera PAS. Namun sorakan mereka serta-merta bertukar cemuhan dan ejekan tatkala ada seorang yang menaikkan bendera parti Melayu itu.

Nasib baik yang mengambil sikap melawan arus itu rakan penyokong pasukan yang sama. Dapat dibayangkan betapa suasana akan lebih gamat dan hangat sekiranya yang menaikkan bendera Umno itu penyokong pasukan lawan.

Babak itu belum cukup menjadi bahan tawa dan ‘hiburan tanpa dirancang’ di kalangan penyokong. Apa yang menimpa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bahkan jauh lebih memalukan.

Dikatakan kehadirannya ke tepi padang meraikan para pemain turut menjadi bahan sorakan dan cemuhan penonton. Para penyokong Terengganu sendiri seakan ‘tidak mengalu-alukan’ kelibat pemimpin Umno itu.

Malah, ada antara yang berada berdekatan kumpulan yang bersorakan itu mengatakan, kedengaran tidak sedikit suara kutukan bersifat peribadi terhadap Ahmad, termasuk “Mat Said bodoh”, dan sebagainya.

Cemuhan mereka itu mungkin agak keterlaluan dan tidak boleh dijadikan kebanggaan buat parti disokong mereka. Bagaimana pun jika sikap penyokong itu diambilkira, agak ketara maruah Umno tidak ada tempat di kalangan mereka.

Sikap sama mereka tunjukkan di luar stadium. Kibaran bendera PAS mengiringi kegirangan mereka meraikan kejayaan pasukan Terengganu.

Ada kereta dibaluti bendera ‘bulan’. Ada penunggang menyelimuti badan mereka dengan bendera sama. Malah ada yang mengiringi kibaran bendera itu dengan laungan keramat ‘Allahu Akbar’.

Sayugia diingati bahawa sebahagian amat besar penyokong yang hadir ke stadium malam itu ialah kalangan anak-anak muda. Umur mereka antara akhir belasan tahun hingga awal 40-an.

Di dunia politik, kumpulan usia ini membentuk kelompok terbesar pengundi. Dalam perkiraan lebih luas, kelompok usia mereka ini juga yang memainkan peranan besar mencorakkan perubahan politik dunia mutakhir ini.

Jika luahan sikap politik anak-anak muda di stadium malam itu dijadikan isyarat, itu bermakna gelombang menolak Umno sudah semakin menyemarak dalam masyarakat, khususnya di Terengganu. Ia satu reaksi positif untuk slogan ‘PAS Ganti Umno’.


NORMALA SUDIRMAN: Bangkit Guru untuk Rakyat
Harakahdaily

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Perjuangan...

Saban tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, saya ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.

Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa. Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki. Justeru, profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita. Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah, kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.

Dewasa ini, gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan. Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melihat seolah- olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jati diri generasi pewaris masa hadapan bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang”.(Al-Maidah: ayat 56)

Nasib dan kebajikan para guru juga kian diabaikan dan tiada pembelaan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang paling menyedihkan, hanya kepada para guru seolah- olah dibebankan segala tanggungjawab ini. Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’ malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan. Manakala peranan pihak kerajaan, media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah-olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah tanggungjawab mendidik masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?

Justeru, penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat melalui kad ucapan, menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredhaan llahi.

Tema yang dipilih di peringkat Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat pada tahun ini ialah ’Bangkit Guru Untuk Rakyat’.. Tema ini dipilih berdasarkan hasrat, visi dan misi Lajnah Pendidikan DMPP untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global.Jika, pada tahun lepas, Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS telah memilih tema yang bertajuk “Guru Pencetus Transformasi Modal Insan”.Maka, tema yang dipilih pada tahun 2011 ini merupakan kesinambungan rantaian usaha untuk menyeru para pendidik terus ikhlas, sabar dan tabah dalam profesionalisme keguruan dan terus membela rakyat Malaysia menerusi bidang pendidikan iaitu dengan tema “ Bangkit Guru Untuk Rakyat.” Di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani”.

Tentunya, ’kebangkitan semangat guru untuk terus membela rakyat ‘ yang diperjuangkan oleh para guru di seluruh Malaysia bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru yang semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan ’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan dari segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan aktiviti pendidikan yang dikurangkan.Pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) mengenai tuntutan elaun guru yang berkursus dan masih belum lagi dibayar sejak Mac 2011 menimbulkan tanda tanya.Begitu juga dengan statistik lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 akibat kegagalan dalam membuat unjuran keperluan guru semakin menjadi persoalan.Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan dasar-dasar pendidikan yang bercelaru. Umpamanya kesan yang kini dirasai berikutan dasar PPSMI 6 tahun dahulu yang membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar.

Ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah hanyalah ’gula- gula’ yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan ’soft landing’ memakan masa yang lama. Persoalannnya, bagaimana pula dengan mudah RM100 juta dibazirkan untuk Program Permata Negara dan puluhan ribu dicurahkan kepada hanya 20 buah sekolah berprestasi tinggi? Pelbagai projek kononya atas nama dan slogan ’pendidikan anak bangsa dilaburkan dengan begitu mudah, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan kebajikan kaum guru adalah sangat dikesali.

Terkini, isu pertukaran guru yang menjadi mangsa kezaliman UMno Barisan Nasional tanpa sebab dan alasan menjadi pertikaian. Sebenarnya sudah sekian lama guru-guru yang dianggap cenderung kepada Pakatan Rakyat ditukar hanya kerana ‘dendam politik’ Umno Barisan Nasional. Demi mengekalkan survival politik Umno Barisan Nasional, mereka sanggup mengadai prinsip perjuangan mereka dan melakukan kezaliman untuk melemahkan daya juang penyokong Pas dan Pakatan Rakyat agar untuk memisahkan guru- guru ini dengan anak dan keluarganya.

Baru- baru ini, suami mantan Calon PRK DUN Tenang ,Pn. Normala Bt. Sudirman iaitu En. Maarof Bin Abd. Mutalib. telah ditukarkan ke SMK Tanjung Pengelih , Pengerang Kota Tinggi. Isu pertukaran ini , merupakan ‘pembongkaran isu’ yang telah sekian lama ‘membarah’ di Malaysia di mana para guru ditukarkan di Sabah ,Sarawak dan di pendalaman hanya semata- mata untuk memberi tekanan politik kepada ahli penggerak PAS khususnya. Spekulasi akhbar yang melakukan pembohongan agar masyarakat Malaysia percaya sebab pertukaran tersebut, hanyalah ‘retorik politik ‘ semata- mata. Kita percaya, mana- mana guru yang dizalimi akan mendapat pembelaan . .Doa insan yang difitnah dan dizalimi tiada hijab di sisi Allah swt.

Oleh itu, bangkitlah para guru demi perjuangan mendidik dan membela rakyat disamping menjaga kebajikan para guru. Jangan biarkan kita ditindas dan dizalimi hanya kerana dendam politik mereka.Para guru memiliki minda dan jiwa yang merdeka dan isu pertukaran guru dan kebajikan guru yang terabai merupakan ‘penghinaan’ kepada golongan pendidik di seluruh Malaysia.Bangkitlah para guru untuk membela rakyat!

Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.

Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya. Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

Sekali lagi, saya mewakili Lajnah Pendidikan DMPP ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru tahun 2010 kepada:

1. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli-ahli PAS

2. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh NGO Islam

3. Guru-guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

4. Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti)

5. Guru-guru/pensyarah/pegawai yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

6. Pesara atau bekas guru yang pernah berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Guru dengan tema ’Bangkit Guru Untuk Rakyat”.

Normala Bt. Sudirman (Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat)


Besarnya pengorbanan guru
Salman Saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengucapkan “SELAMAT HARI GURU “ dan “TERIMA KASIH Guru” atas mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara, sambutan ini diharapkan mampu meningkatkan lagi semangat guru-guru dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Sesungguhnya peranan guru sememangnya besar. Ini adalah kerana anak-anak yang diasuh, diajar dan dibimbing inilah yang akan menjadi insan-insan yang dapat mempamerkan akhlaq dan peribadi yang dikehendaki Islam selaras dengan Al-Quran dan Sunnah.

Bermacam-macam kes dan kejadian yang negatif yang kita semua dengar pada hari ini. Anak-anak yang menumbuk muka guru, menyimbah asid ke muka guru, memukul guru, merosakkan kereta guru dan bermacam-macam lagi kes yang melibatkan murid dan guru. Kita tidak mahu bilangan kes seperti ini meningkat dari masa ke semasa. Maka, DPPN Pk amat berharap agar anak-anak yang dikeluarkan daripada sekolah akan keluar dengan kualiti yang cemerlang dari segi akhlaq dan ilmu pengetahuan.

Sambutan Hari Guru ini juga sebenarnya adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru di kalangan masyarakat di Malaysia.

Gurulah yang menyebabkan kita semua mengenal A,B,C…. alif,baa,taa…. 1,2,3…dan sebagainya…. Jika bukan dari seorang guru, maka tidaklah lahir seorang peguam, doktor, orang politik, pegawai-pegawai, pengurus-pengurus dan berbagai-bagai jenis manusia yang bermula dari tahu membaca dan mengeja. Maka, sememangnya lah wajar untuk kita semua mengingati dan meraikan para Guru. Memang tidak boleh dinafikan betapa besarnya pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Kadang-kadang mereka mendidik anak-anak murid sehingga ada yang tidak sempat meluangkan masa untuk anak-anak mereka sendiri. Namun apa yang kita harapkan guru-guru semua ikhlas dalam pengorbanan tersebut.

Insya Allah, Allah pasti akan membalas dengan ganjaran yang setimpal, samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat-sangat penting kerana dari ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didik mendapat ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

Justeru, guru-guru perlu sentiasa mendidik jiwa, membetulkan niat dan mengikhlaskan segala pengajaran dan pengorbanan yang dilakukan. Guru-guru juga harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran mengajar.

Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang baginda lakukan memerhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang itu, sehingga nilai-nilai murni dapat ditanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik.

Kami penuh yakin dengan kewibawaan guru-guru dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi dan penuh cabaran ini.

Akhirnya, kami sekali lagi menyeru kepada semua guru supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama membantu meningkatkan dan melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam bidang agama dan pendidikan. Adalah menjadi harapan saya, semua guru akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…

Kau seperti lilin yang menerangi
memberi sinar membakar diri
agar insan jadi insani
tanpamu kosong tiada erti
tak mungkin kami berada di sini.

Terungkap citra seorang wira
dari huruf menjadi kata
dari bebal menjadi bijaksana
dari putih menjadi warna
pencorak kehidupan penyambung bangsa
melangkah jauh terasa nyata
visi mendatang mudah terlaksana.

Di saat buntu, dikaulah pembantu
memberi ilmu tanpa jemu
tak kira masa, tenaga dan waktu
jasamu itu ku kenang selalu
biarpun beranak berpinak cucu.

Sesekali melangkah pasti rebah
nasihatmu kuingat menghilangkan gundah
agar diri dan semangat menjadi gagah
daku pasti tak mungkin mengalah
ilmu dan pengalaman diberi sudah
setelah berusaha dan berdoa, terserahlah.

Duhai guru-guru yang dikasihi
Terimalah kasih dan sayang kami
Lantaran berbudi tidak berperi
Untuk satu perjuangan hakiki
Kami kini mampu berdikari.
Terima kasih guru.

SELAMAT HARI GURU

SALMAN HAJI SALEH,

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Insentif guru untuk sebilangan kecil sahaja dikesali

Afiq Hizami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman (gambar) menyatakan rasa kesal terhadap kerajaan pusat mengenai insentif yang akan diberikan kepada guru yang hanya menyenangkan sebilangan kecil guru sahaja.

Beliau juga merupakan bekas guru melihat insentif kenaikan pangkat bagi guru-guru seperti yang diumumkan Najib sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini, kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan bahawa ia hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

Normala, yang diwawancara Harakah menjelaskan pekara ini begitu menyedihkan kerana insentif guru bukan kepada golongan ratusan ribu guru biasa yang bertungkus-lumus di dalam bilik darjah yang berkelulusan diploma pada Gred DGA 32 ke bawah.

"Alasan pelaksanaan kenaikan pangkat, gaji, atau elaun secara berperingkat dilaksanakan kerana membabitkan perbelanjaan besar tidak boleh diterima kerana mengapa kerajaan terlalu 'berkira' untuk memberi pengiktirafan kepada golongan pendidik yang banyak berjasa kepada generasi masa depan negara sedangkan dalam masa yang sama kita melihat dengan mudah RM111 juta diberikan kepada projek Permata Negara dan projek-projek lain atas nama kononnya kepentingan anak bangsa," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menyatakan tidak dinafikan terdapat beberapa kesatuan guru dan pihak NGO tidak berpuas hati dengan pemberian 'insentif terpilih' ini yang hanya diberikan kepada golongan siswazah sahaja seolah-olah menafikan khidmat golongan berkelulusan diploma.

Justeru itu, beliau menyeru golongan guru supaya bangkit dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan serta memantapkan jati diri selaku pendidik daripada aspek pembangunan rohani dan jasmani.

"Beranilah menyuarakan pendapat melalui "lisan dan mata pena" demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki hala tuju yang jelas," seru beliau.

Bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Tenang itu juga turut bersetuju mengenai pengumuman insentif kepada guru itu adalah satu idea terdesak kerajaan kerana Umno-BN bimbang dengan tawaran 100 hari Pakatan Rakyat yang akan memberikan imbuhan RM500 kepada para pendidik di seluruh Malaysia.

"Tawaran Buku Jingga ini belum termasuk semakan dan penyelarasan gaji dan perkhidmatan yang kita percaya akan dilakukan dengan cara yang lebih adil, saksama dan telus oleh kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari apabila kita berjaya mentadbir Putrajaya selepas PRU ke-13 nanti," katanya lagi.

Teori cara Beng Hock bunuh diri

Subky Latif

DALAM sepanjang penyiasatan tentang kematian Teoh Beng Hock perkembangan yang tersiar mengaitkan dia membunuh diri.

Macam-macam teori dibuat cuba mengaitkan dia membunuh diri dengan terjun dari tingkat pejabat SPRM ke tingkat bawah yang dijumpai mati.

Oleh kerana tiada siapa yang melihat kejadian itu maka berbagai teori timbul baik tentang dia dibunuh dan dia membunuh diri.

Dalam semua penyiasatan itu saya belum terjumpa teori tentang cara dia terjun bagi membunuh diri itu.

Kalau dia dibunuh, maka tidak banyak yang hendak dibangkitkan bagaimana dia dicampakkan ke bawah dari tingkap di atas itu. Dia boleh dicampak hidup-hidup atau dia dilemparkan ke situ sesudah mati.

Tetapi dia terjun ikut tingkap itu macam mana. Saya terjumpa keterangan yang tersiar tentang teori dia melompak ke bawah.

Kalau dia melompat ikut tingkap tentulah dia memanjat tingkap di situ dan kemudian terjun dari tingkap itu ke bawah.

Bila dia memanjat tingkap tentu tangannya memegang mana-mana bahagian di tingkap itu baik di dinding sekitar bawah tingkap dan sebagainya. Biasanya kesan cap jari menjadi keterangan penting dalam banyak penyiasatan dan perbicaraan.

Mungkin ada tersiar hal ini tetapi saya mis atau tidak terbaca.

Apa pun saya percaya kalau dia membunuh diri dia mesti menjamah mana-mana bahagian tingkap itu dan kesan cap jari dan cap tangannya dapat membantu menyelesaikan parkara itu.

Tetapi jika kesan cap jari dan tangan itu tidak ada, maka bagaimana dia boleh terjun tanpa meninggal sebarang kesan cap jari dan tangan?

Adakah dia melompat dari lantai di bawah tingkap itu dan meloloskan dirinya melalui tingkap tanpa menyentuh mana-mana bahagian tepi tingkap itu?

Payah difikirkan ada orang berdiri di bawah tingkap boleh melompat ke paras tingkap dan meloloskan diri melalui tingkap.

Yang boleh dia berundur beberapa kaki dari tingkap dan kemudian berlari ke arah tingkap. Agak beberapa kaki dari dinding yang ada tingkap itu dia pun melompat melalui tingkap seperti yang selalu dilakukan oleh ahli sukan lompat tinggi.

Dengan cara itu dia boleh melompat tanpa menyentuh mana-mana bahagian tepi tingkap dan terus jatuh ke bawah.

Adakah boleh kita buat teori begitu? Dan orang dapat terimakah teori seperti itu?

Kalau dia memanjat tingkap sebelum terjun, dia misti pegang bahagian bawah tepi tingkap dan pegang bingkai tingkap baik yang di kiri atau di kanan. Dia tidak boleh berdiri di tingkap tanpa berpaut kepada bingkai tingkap. Kecuali dia berpaut kepada tepi bahagian bawah tingkap dan lonjak kuat-kuat dengan kakinya melepasi tingkap.

Apa pun kesan cap jari mesti ada di mana-mana di tepi tingkap. Kesan itu mungkin hilang atau padam disebabkan ramai orang kemudian datang berpegang pada bidang tepi tingkap untuk menjenguk bahagian lantai bawah tempat dia dijumpai mati.

Apabila ramai orang datang ke situ memegang tepi tingkap itu boleh menyebabkan kesan cap jari boleh hilang.

Tetapi pegawai-pegawai SPRM tentu peka tingkap yang dia dikira terjun dari situ tidak disentuh dan diraba kerana cap jari amat diperlukan dalam penyiasatan. Pegawai penyiasatan adalah lebih arif dalam kerja-kerja yang boleh menghilangkan kesan cap jari atau apa-apa kesan lain bagi dijadikan saksi keterangan.

Apabila kesan seperti itu hilang, maka payah hendak menguatkan satu-satu teori. Teori tanpa sokongan tidak menjadikan teori itu kukuh.

Kesan cap jari di sekitar tingkap itu amat perlu bagi menguatkan teori bunuh diri itu. Ia terpaksa bergantung kepada pendapat pakar dari isu-isu lain.

Apa pun kalau dia membunuh diri, maka cara dia terjun tingkap itu amat menarik dan semua orang mahu mengetahui bagaimana ia dilakukan. Memang ajaib bila kesan cap jari tidak disertakan kerana orang tidak terfikir manusia boleh jadi seperti burung terbang membolos tingkap yang terbuka.

Orang tidak tahu Beng Hock ada kepakaran kungfu boleh melompat jauh seperti yang disaksi dalam filem-filem Cina.

Angkara 'Madey kutty', 'pandy kutty' dan Big Dog

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
SEHARI dua ini negara Malaysia semakin dipopularkan dengan pelbagai istilah baru yang berkaitan dengan keburukan orang-orang politik dan juga beberapa gelaran yang sengaja dijadikan nama pena para bloggers tertentu.

Perihal gelar menggelar orang politik dengan nama-nama tertentu bukannya baru dalam politik Malaysia. Seingat penulis, gelaran yang ketara dibuat orang-orang politik kepada lawan politiknya, ialah pada era Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Gelar mengelar ahli politik dengan pelbagai nama yang buruk ini sebenarnya dimulakan oleh orang-orang Umno dan bekas orang-orang Umno.

Jika kita imbau kembali apa yang berlaku pada zaman 1980-an. Antara yang terbabit memaki hamun Dr Mahathir adalah di kalangan ahli politik parti haram Umno (diharam pada tahun 1988). Jika hendak dicatatkan di sini cukup ramai. Juga termasuk dengan bekas-bekas pemimpin muda KeADILan yang sudah mendapat laba yang besar dalam Umno.

Apa gelaran yang mereka tidak sebutkan sewaktu memaki hamun Dr Mahathir? Ada yang kata 'Madey Kutty' ada yang kata 'Mamak Tongkang' dan sebagainya.

Tercatat dalam sejarah PAS pernah bersama dengan pemimpin-pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (1989-1995), sewaktu di dalam ceramah, mereka menggunakan bahasa yang kasar lagi kesat terhadap pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir.

Begitu juga sewaktu era reformasi sehingga 2003, di mana ramai pemimpin muda KeADILan, yang bersama PAS di atas pentas ceramah, menggunakan bahasa yang teramat kesat, yang tidak sanggup diulang dalam ruangan ini.

Sebahagian besar 'kaki hamput' Umno ini 'sudah menjilat ludah mereka sendiri'. Mereka kini menjadi pengampu Umno nombor wahid, bagi menjilat segala dosa yang mereka lakukan terhadap Umno.

Sewaktu era Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM juga berlaku gelar-menggelar. Bekas PM, Dr Mahathir digelar 'beruk yang menggoncangkan pokok' oleh menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Lebih teruk lagi apabila Umno Terengganu dengan sikap yang amat kurang ajar menggelar Sultan mereka sebagai 'binatang'. Ini fakta berfoto yang dirakam dalam demonstrasi penyokong Dato' Seri Idris Jusoh di hadapan Istana Terengganu di Kuala Terengganu.

Jika ditanya balik kepada semua penceramah dan pendemonstrasi yang kurang ajar ini, mengapa mereka mengeluarkan kata-kata kesat, kasar dan kurang ajar ini? Bukankah kerana amarah yang sudah tidak terbendung? Bukankah kerana tekanan hebat yang diterima?

Justeru apa yang dihairankan jika terkeluar kali ini istilah 'pandy kutty' daripada mulut Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau anak-beranak dikecam, dimaki hamun dan dicerca dengan begitu menjijikkan oleh pemimpin Umno, media tali barut Umno dan macam-macam lagi.

Walaupun KeADILan menafikan Anwar menggunakan perkataan 'pandy kutty' kepada Dato' Seri Najib Razak pada satu majlis di Klang, tetapi hakikatnya ia terkeluar akibat daripada tekanan yang melampau dikenakan Umno-BN ke atas beliau.

Kata Naib Presiden KeADILan, N Surendran,"Perkataan ini (pandy kutty) bermakna babi kecil. Saya berada di majlis tersebut dan mengesahkan di sini bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan perkataan tersebut terhadap Najib.

“Sebaliknya beliau menggunakan perkataan tersebut berkaitan dengan politik kotor dan jijik yang diamalkan oleh Barisan Nasional,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Kata Surendran, "kami sekali lagi menuntut bahawa pemimpin BN hentikan politik kotor dan pengeluaran kenyataan palsu dengan segera."

Jadi soal gelaran anak babi ini benda kecil sahaja. Orang-orang Melayu, kadang-kadang kalau marah akan terpacul perkataan babi kepada orang yang dimarahi. Malah ada istilah dalam kamus Melayu disebut 'jahat macam setan (syaitan)'. Apa beza gelaran anak babi dengan syaitan jika diungkapkan kepada golongan yang jahat?

Penulis masih ingat sewaktu berada di sekolah menengah. Guru disiplin menangkap empat orang budak-budak nakal. Budak-budak yang nakalnya terlampau ini dibawa ke hadapan perhimpunan untuk dirotan.

Sebelum merotan budak-budak nakal ini, penulis mendengar dengan jelas celoteh guru disiplin terhadap mereka. Antara lainnya beliau mengatakan, "Kau orang ini, kalau syaitan jumpa kamu, mesti dia tabik kat kamu. Sebab kejahatan yang kamu lakukan, syaitan pun tak tergamak nak buat."

"Hahaha," gelak besar semua murid dan guru dalam perhimpunan tersebut.

Berbalik soal politik Malaysia, di sebalik gelaran-gelaran yang melampau ini, mutakhir ini tercetus pula polemik dalam negara apabila seorang blogger Zakhir Mohamed atau terkenal dengan gelaran Big Dog yang mencetuskan kontroversi isu negara Kristian baru-baru ini.

Zakhir menerusi blognya bigdogdotcom.wordpress.com mendedahkan, kononnya terdapat ikrar paderi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dalam pertemuan mereka di Pulau Pinang baru-baru ini.

Posting yang dibuat oleh Big Dog disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, sekali gus boleh mencetuskan ketegangan agama di antara umat Islam dengan golongan Kristian.

Oleh kerana akhbar Utusan Malaysia dijadikan pegangan akidah sebahagian besar ahli-ahli Umno dan golongan pelampau Melayu, apa sahaja yang dipaparkan, walaupun ianya berita bohong dan jijik, akan ditelan bulat-bulat mereka.

Akibat daripada akidah yang diciptakan Utusan Malaysia, maka golongan pelampau yang jahat ini, dengan api yang bersemarak di hati mereka, mula membuat pelbagai ancaman dan kecaman kepada golongan Kristian dan kaum bukan Melayu.

Selain daripada penegasan pemimpin Pakatan Rakyat, menolak agenda jahat Utusan Malaysia dan Big Dog ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, terus menyerang Zakhir dalam satu posting di laman sosial Twitter.

Khairy selaku Ketua Pemuda Umno tidak dapat menyembunyikan kemarahan beliau terhadap blogger Big Dog.

Penulis mendapat khabar, di sebalik serangan Khairy terhadap Zakhir, difahamkan, pertikaian antara kedua mereka sudah lama berlaku.

Zakhir sememangnya diketahui sering menyerang Khairy melalui tulisannya di blog dan Twitter dan tidak hairanlah jika Khairy mengambil peluang kali ini untuk memulangkan paku buah keras terhadap Zakhir.

Dalam satu posting di Twitter 12 Mei lepas, Khairy mengulas saranan pihak tertentu supaya Zakhir ditahan kerana menimbulkan dakwaan berkenaan.

Namun, secara sinis beliau berkata Zakhir tidak sepatutnya ditahan bawah ISA di pusat tahanan Kamunting kerana tindakan itu hanya akan membazirkan wang.

"Bazir je duit rakyat nak kasi anjing tu makan tiap-tiap hari kat Kamunting. Setakat sepinggan nasi mana cukup!

"Sudahlah nak cover line. Dah kantoi la Fats. Proven liar (dibuktikan penipu). Pi pig out (pergi mentekedarah) kat (restoran) The Loaf," kata Khairy dengan nada yang agak keras.

Dalam reaksi kepada laporan Utusan Malaysia, Dr Mahathir mendakwa desakan daripada ekstrimis agama meningkat kerana Kerajaan Persekutuan (Umno-Barisan Nasional) berada dalam keadaan yang lemah.

"Semasa saya menjadi PM perkara ini tidak berlaku, saya mendapat sokongan daripada semua Kristian, Hindu, Buddha, tiada apa-apa desakan," kata beliau.

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan mengulas lanjut kerana dakwaan paderi mahukan Kristian menjadi agama rasmi Malaysia, tidak ada bukti.

Apa pun jika kita fahami kata-kata mantan PM ini, jelas pada beliau, kerajaan yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Razak sekarang ini berada dalam keadaan yang lemah.

Akibat kelemahan Najib, diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan kontroversi dan polemik agama dan perkauman.

Ada andaian Umno-BN sengaja menciptakan polemik ini, untuk menarik perhatian rakyat, kononnya dengan kembali menyokong Umno-BN sahaja, polemik ini akan dapat diselesaikan.

Masalah besar yang dihadapi Umno bukannya polemik yang dicetuskan oleh pihak luar kerajaan, sama ada daripada golongan Kristian, Hindraf, DAP dan sebagainya.

Hakikat sebenar yang cuba diselindungkan adalah kepercayaan komponen BN terhadap Umno selaku ketua mereka sudah tidak ada. Komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC sering berpolemik dengan Umno dalam banyak isu berkait hak kaum dan agama.

Umno tidak boleh menyelesaikan perkara ini. Apabila Umno gagal, ia cuba mencetus polemik lain di luar kerangka BN, untuk menarik sokongan rakyat pula.

Sebaliknya Umno tidak sedar bahawa cara politik mereka sudah tidak boleh diterima rakyat. Politik 'menyembunyikan pekung' sudah tidak wujud kerana rakyat sudah menghidu bau kebusukan daripada pemimpin Umno.

Justeru, untuk menghilangkan kebusukan ini, kita tiada cara lain, selain menumbangkan Umno-BN dalam PRU yang akan datang.

Petrokimia: Kesan kepada manusia dan alam sekitar
Er Teck Hwa

Pendahuluan

Media Taiwan melaporkan sebuah syarikat Petrokimia Taiwan, Kuo Kuang Petrochemical akan membina kilangnya di Malaysia atau lebih tepat lagi Negeri Johor setelah Presiden Taiwan, Ma Ying Jeou menolak permohonan mereka untuk membina kilang di Negara tersebut. Laporan tersebut turut mendakwa bahawa kilang ini akan dibina di sekitar daerah Pontian atau Pasir Gudang.

Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mustapa Mohamad berkata Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) masih lagi belum menerima permohonan rasmi daripada syarikat tersebut. Namun begitu, berdasarkan kepada laporan Central News Agency, Taiwan, Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata Malaysia mengalu-alukan Syarikat Kuo Kuang Petrochemical Technology untuk melaburkan di Negara ini dan membina loji minyak dan naphtha cracking. Beliau turut dipetik sebagai berkata Kerajaan bersedia menawarkan persekitaran yang kondusif dan memenuhi kehendak industri petrokimia.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Daerah Pontian turut dilaporkan menyambut baik cadangan pelaburan ini walaupun belum menerima permohonan rasmi sehingga kini. Premier Taiwan, Wu Den Yih dalam satu kenyataan pada 23 April yang lepas turut mendedahkan bahawa beliau tidak menolak sebarang kemungkinan industri ini akan dipindahkan ke Malaysia.

Kesan terhadap manusia dan alam sekitar

Sebelum kita membuat keputusan untuk menyokong atau membantah pelaburan syarikat Kuo Kuang Petrochemical ini, kita seharusnya membangkitkan persoalan mengenai mengapakah Kerajaan Taiwan sendiri menolak rancangan pembinaan kilang petrokimia ini di Negara mereka?

Hal ini adalah kerana, kilang petrokimia ini akan melepaskan toksik berbahaya seperti Toxic Dioxin, Sulfida dan pelbagai lagi toksik kimia yang mengancam alam sekitar dan kesihatan manusia. Industri Petrokimia ini melibatkan penggunaan sumber tenaga, air dan pelepasan gas nitrogen dioksida yang sangat tinggi. Operasi kilang Kuo Kuang Petrochemical ini mengakibatkan tahap pencemaran udara yang tinggi di Taiwan.

Profesor Zhuang Bing Jie dari Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar, National Chung Hsing University, Taiwan mendedahkan bahawa penilaian risiko penyakit kanser semakin buruk ekoran dari pembukaan operasi kilang petrokimia. Hasil kajian beliau mendedahkan seramai 339 hingga 565 orang mati ekoran dari masalah jantung, kanser paru-paru dan juga peningkatan di dalam penyakit berkaitan pernafasan.

Indeks Pencemaran Udara mencatatkan bacaan PM2.5 zarah – zarah halus dilepaskan ke atmosfera sekitar Taiwan. PM2.5 ini kebiasaannya mengandungi Polycyclic Aromatic Hydrocarbon (PAH), Polychlorinated biphenyls (PCB), logam-logam berat, bahan radioaktif, sulfur dan nitrogen dioksida yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit. Menurut Prof. Zhuang Bing Jie, indeks pencemaran PM2.5 ini boleh mengurangkan umur rakyat sebanyak 23 hari.

Jenis Bahan Kimia

Risiko Kesihatan

Polycyclic Aromatic Hydrocarbon

Pelbagai jenis kanser

Polychlorinated Biphenyls (PCB)

Ruam, kerosakan daya imunisasi, kanser hati, penuaan, pertukaran jantina

Kadmium

Penyakit tulang, osteoporosis

Merkuri

Kerosakan sistem saraf, pertumbuhan terencat, kehilangan ingatan

Uranium, Radium

Kerosakan ginjal, anemia, kanser

Sulfur dan Nitrogen Dioksida

Penyakit bronchitis, asma

Pestisid

Mutasi DNA, penyakit barah, kerosakan imunisasi

Dunia turut telah mencatatkan kejadian-kejadian yang meragut nyawa manusia dan juga menjejaskan kesihatan ekoran dari industri petrokimia ini.

Hampir 10,000 orang yang mati disebabkan oleh kebocoran gas toksik daripada tapak petrokimia di Bhopal, India pada 3 Disember 1984.

Letupan petrokimia mengeluarkan bahan toksik ke dalam Sungai Songhua, Harbin di China pada 13 November 2005, dengan melepaskan 100 tan benzene, nitrobenzene dan bahan toksik lain. Pencemaran ini mempengaruhi kawasan sebanyak 80 km sepanjang sungai. Kira-kira 10,000 penduduk Jilin telah diminta berpindah dari kawasan tersebut.

Di Kaoshiong, Taiwan, sebanyak 171 kes penyakit leukemia telah didapati menjangkiti penduduk-penduduk yang tinggal dalam lingkungan 3 km dari kilang penapisan petroleum antara tahun 1997 dan 2003. Kejadian kelahiran bayi kurang matang menjadi kelaziman pada ibu-ibu yang tinggal berdekatan tapak penapisan minyak.

Letupan kilang petrokimia di Texas, USA pada 24 Mac 2005 telah membawa maut kepada sekurang-kurangnya 14 orang dan terdapat 70 orang yang mengalami kecederaan.

Letupan di kilang pembuatan ethylene Sasol di Secunda, Afrika Selatan telah membawa maut kepada 6 orang pada 1 September 2004.

Letupan kilang petrokimia di Gresik, Indonesia telah mencederakan berpuluh puluh orang.

Kesan pencemaran terhadap alam sekitar cukup membimbangkan oleh kerana bahan-bahan toksik ini boleh merencatkan pertumbuhan dan pembiakan sepsis hidupan laut yang sejurusnya menjejaskan rezeki golongan nelayan.

Di Sungai Mutiara, China, PCBs daripada penapisan minyak menyebabkan kesan yang buruk kepada kesihatan dan jelas mengurangkan populasi kupang hijau (Perna viridis), tiram (Crassostrea rivularis) dan udang (Penaus orientalis).

  • Di Tarragona, Sepanyol, paras kadmium, plumbum, vanadium dan naftalena adalah tinggi dalam tanah di mana ia akan mempengaruhi industri pertanian.
  • Di Lanzhou, China, kajian mendapati kodok yang didedahkan kepada bahan pencemar petrokimia akan mengalami kerosakan genetik.
  • Di Turkey, kajian mendapati bahawa industri penapisan petroleum mencemarkan Sungai-sungai Kizilirmark dan menyebabkan peroksidaan pada otot dan tisu hati dalam ikan.

Penutup

Projek pelaburan berkaitan petrokimia ini boleh membawa peluang perniagaan yang sangat besar, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan yang banyak, namun begitu, kita turut membayar harga yang sangat mahal apabila alam sekitar, perairan dan kesihatan terjejas ekoran daripada perlepasan gas dan sisa toksik yang berbahaya. Kerajaan Taiwan sendiri menolak permohonan syarikat Kuo Kuang Petrochemical untuk membuka kilangnya di Taiwan atas alasan berbahaya kepada alam sekitar dan manusia namun, dua Pihak Berkuasa Tempatan di Johor ini sanggup menerima dengan tangan yang terbuka. Persoalannya apakah kaedah Penilaian Awal Kesan Persekitaran (PEIA) yang digunapakai di Negara ini lebih rendah piawaiannya berbanding Taiwan sehingga membolehkan Pihak Berkuasa Malaysia menerima projek ini dengan berlapang dada?

Penduduk di sekitar Tanjung Bin, Pontian juga pernah menghantar memorandum bantahan kepada YAB Perdana Menteri berhubung isu pembinaan kilang petrokimia di kawasan mereka pada 10 Ogos 2009 namun, dengan pendedahan yang dilakukan oleh media – media Taiwan beberapa minggu yang lepas mengesahkan bahawa pihak Kerajaan sememangnya berminat untuk meneruskan projek petrokimia berbahaya ini tanpa mengambil peduli kemaslahatan rakyat.

Kerajaan seharusnya menolak sebarang rancangan pelaburan yang jelas boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar, menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan yang lebih teruk lagi mengancam kesihatan rakyat.

Er Teck Hwa,

Ahli Parlimen Bakri


Tiada ulasan: