Sabtu, 14 Mei 2011

BUATLAH APA2 KENYATAAN....JANJI KITA BAHGIA....AKHIRAT BAGI SETEL MANA2 YANG TAK SETEL....BIAR ALLAH YG SETEL SEADIL2NYA...

Hishamuddin: Laporan Utusan 'ada asas'
S Pathmawathy
Mei 13, 11
6:14pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata 'ada asas' dalam laporan Utusan Malaysia berhubung konspirasi bagi menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.

Hishammuddin berkata kenyataannya itu berdasarkan bukti baru dalam sebuah laporan polis yang dibuat di Pulau Pinang hari ini.

utusan malaysia kritsian agama rasmiSemalam, kementeriannya mengeluarkan surat teguran kepada Utusan berhubung laporan tajuk utama pada 7 Mei lalu yang berjudul 'Kristian Agama Rasmi?'

Surat berkenaan diserahkan kepada ketua pengarang kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak semalam apabila beliau diarahkan ke Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan laporan akhbarnya itu.

Hishammuddin berkata penjelasan Aziz adalah sama dengan laporan polis yang dibuat hari ini.

"Beliau (Aziz) berkata terdapat kebenaran mengenai apa yang dilaporkan dan hari ini saya dimaklumkan bahawa ada laporan polis (yang dibuat) yang menunjukkan ada asas (dalam laporan Utusan),” kata Hishammuddin kepada wartawan selepas melancarkan pusat pemulihan dadah di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Tidak beremosi

Hishammuddin juga menasihatkan semua pihak termasuk media supaya tidak beremosi dengan menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung laporan Utusan Malaysia itu.

jeff ooi lodge police report against utusan 080511 groupKatanya, polis juga telah diarahkan menyiasat perkara itu bagi mengetahui kebenaran laporan akhbar berkenaan.

"Jangan kita beremosi dalam isu-isu berhubung agama dan kaum, biar pihak-pihak yang berkenaan khususnya polis menjalankan tugas mereka untuk siasatan mengenai kes ini bagi kita mencari kebenarannya.

"Kalau kita ambil tindakan mengikut emosi dan kita mengikut sentimen rakyat di bawah tapi kita tak tahu apa sebenarnya berlaku, akan ada pelbagai andaian yang timbul," katanya.

Hishammuddin turut meminta semua akhbar termasuk akhbar berbahasa Cina dan Tamil memainkan peranan untuk membantu negara dengan menceritakan semangat-semangat yang membina dalam isu perkauman dan agama.

NONE"Saya tahu mungkin cerita ini tidak sensasi dan akhbar tak boleh jual, tapi kalau asyik cerita pasal perpecahan, negara kita boleh jadi huru-hara," katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan MCA hari ini yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan KDN yang hanya mengeluarkan surat teguran terhadap akhbar Utusan Malaysia itu, Hishammuddin berkata itu bukan satu isu, apa yang penting, perkara itu diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.

"KDN akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai," katanya.






Polis: Tiada keperluan dedah identiti pelaku video
Jimadie Shah Othman
Mei 13, 11
3:38pm

Tiada keperluan bagi pihak polis mendedahkan siapa pelaku dalam video seks yang mirip seorang pemimpin pembangkang walaupun sudah mengenalpastinya.

NONETimbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar (kiri) berkata ia hanya akan didedahkan sekiranya terdapat keperluan undang-undang.

"Saya tak perlu huraikan, kalau undang-undang kata perlu, kita dedahlah, kalau tidak, tidaklah," katanya.

Pada 26 April lalu, Khalid berkata polis tidak teragak-agak untuk mendedahkan "si pelaku" dalam video seks itu kepada umum sekiranya perlu.

Diajukan soalan yang sama oleh pemberita lain, beliau juga secara berjenaka berkata:

"Kalau dah... kalau dah... kalau dah video itu sahih, lain-lain tuan-tuan boleh buat andaianlah."

alleged four full sex videos on youtube 290411 02Beliau juga enggan mengulas lanjut sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikenakan tindakan sekiranya sah merupakan pelakunya.

"Kita akan tengoklah kemudian," jawabnya ringkas kepada pihak media.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid mengesahkan telah menerima laporan pakar luar negara yang mengesahkan kesahihan video itu, sekali gus mengukuhkan penemuan pakar dalaman sebelum ini.

Siasatan tahap akhir

Ditanya tentang keperluan polis menyiasat ketulenannya sedangkan kes disiasat berkenaan penayangan video lucah, Khalid berkata:

"Kita kena siasat adakah video itu video lucah. Jika bukan video lucah, bukan (Seksyen) 292 (Kanun Keseksaan)," katanya.

Video berkenaan kali pertama dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

NONETrio itu merupakan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.

Malah Shazry dengan ditemani dua rakannya itu melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul 29 April lalu menuduh Anwar sebagai pelaku video berkenaan.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, Khalid juga mengakui siasatan kes ini kini sudah sampai ke tahap akhir dan laporan dijangka dihantar kepada pejabat peguam negara tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan tarikh tepat bila ia dijangka selesai dan sama ada trio Datuk T sebagai pihak di belakangnya akan didakwa di mahkamah selepas ini.

Sementara itu, ditanya tentang penayangan di internet pula, Khalid berkata perkara itu memakan masa kerana maklumat berkaitan tidak mudah diperoleh.






SMS: Arah Anwar undur atau anak Izzah diculik
Abdul Rahim Sabri
Mei 13, 11
10:27am

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya.

NONEDalam laporan polis itu, beliau berkata SMS berbentuk "ancaman serius" terhadap anaknya diterima daripada seseorang yang tidak dikenali kelmarin.

"Ugutannya adalah bahawa anak saya akan menerima nasib seperti Sharlinie jikalau saya terus menyokong ayah saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR). Saya (juga dikatakan) tidak dapat menyelamatkan anak saya.

"Dia juga mengancam bahawa jika saya tidak mendesak ayah saya berhenti dari politik maka sesuatu akan berlaku kepada anak saya," tulisnya dalam laporan polis itu.

Sharlinie Mohd Nashar, 5, hilang pada 9 Januari 2008 dan sehingga hari ini masih belum dapat dikesan. Beliau mangsa penculikan kedua selepas Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati selepas sebulan diculik pada 20 Oktober 2007 dekat rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

dap pc on crime sharlinie campaign 280108 groupDalam laporan hari ini, Nurul Izzah berkata beliau menerima ugutan SMS kedua yang hampir sama semalam.

SMS berkenaan juga mengancam bahawa "sesuatu yang tidak elok" akan berlaku kepada anaknya kecuali jika beliau berhenti menyokong ayahnya.

Beliau membuat aporan polis itu di ibu pejabat polis Dang Wangi di ibu negara pagi ini dengan ditemani ibunya Datin Seri Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR dan diiringi tiga peguam dan tidak kurang 15 penyokong.

Nurul Izzah mempunyai dua orang anak - Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 3 tahun setengah dan Raja Ahmad Harith Raja Ahmad Shahrir Iskandar, yang berusia 1 tahun 10 bulan.

SMS penuh yang diterima berbyunyi seperti berikut:

“YB Nurul, berhati-hati, jangan terus menerus menyokong ayah YB, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang ada yg sakit hati nak jadikan nasib anak YB macam Sharlinie.

“Oleh itu sebelum apa-apa terjadi, YB bercakaplah benar walaupun pahit tentang ayah YB, dengan ini YB dapat selamatkan anak YB. disamping itu dapat halang ayah dari terus tipu rakyat, berhenti dari politik dan selesaikan masalah peribadi.

“Jadilah ibu yang penyayang dan anak yang bertanggungjawab.”

Dipercayai bermotif politik

Menurut Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Lembah Pantai beliau pertama kali menerima ugutan itu pada 5 Mei lalu daripada individu tersebut yang mendesak bahawa "ada sesuatu perkara yang penting" untuk diberitahu kepadanya

anwar speech at mpaj 050511 01"Dia juga meminta agar saya menelefon beliau dengan segera. SMS tersebut diulang dua kali pada hari yang sama," katanya.

Katanya, beliau amat bimbang terhadap keselamatan anak-anak dan keluarganya.

Beliau menyifatkan "ancaman" tersebut bermotif politik dan bertujuan untuk menamatkan perjuangan politik ayahnya.

"Saya percaya kesalahan serius telah dilakukan oleh penghantar SMS ini termasuk ugutan jenayah menurut seksyen 503, konspirasi jenayah di bawah seksyen 120A, dan konspirasi serta percubaan untuk melakukan kesalahan jenayah di bawah seksyen 364 iaitu menculik dengan tujuan membunuh dan/atau menyebabkan kematian," katanya dalam laporan polis itu lagi.

Semua peruntukkan tersebut di bawah Kanun Keseksaan.

"Ini bukan kali pertama keluarga saya diancam bermotifkan politik kerana sebelum ini ugutan fitnah video seks dan sabotaj terhadap kereta yang dipakai ayah saya pada 19 April 2011," katanya.





Negara Kristian: 'Variasi lain' dilapor pada polis
Jimadie Shah Othman
Mei 13, 11
4:22pm

Pihak polis menerima 'variasi lain' berhubung dakwaan terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dilaporkan kepadanya.

NONEBagaimanapun Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya memberitahu wartawan bahawa ia "berlainan dari yang diterima sebelum ini".

"Butirnya tak perlulah saya jelaskan. Saya difahamkan, sudah ada pun wartawan yang menemuduganya (pengadu) pagi ini," katanya.

Laporan itu dibuat di Pulau Pinang pada jam 8.50 pagi tadi.

Sehubungan itu, tambahnya, lebih ramai lagi saksi akan dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes yang diberi keutamaan ketika ini.

Penulis blog Big Dog (atau Zakhir Mohamed) -- yang dipercayai saksi utama bagi kes itu -- bagaimanapun belum dipanggil memberikan keterangan dan akan dipanggil "pada bila-bila masa" sahaja, kata Khalid.

azlanUtusan Malaysia pada Sabtu lalu, berdasarkan dakwaan dua penulis blog pro-Umno menuduh terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi selain memastikan perdana menteri daripada penganut agama itu.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menasihatkan supaya kes yang disiasat bawah Akta hasutan 1948 itu tidak dispekulasi dan diperbesar-besarkan.

Ini kerana, menurut Khalid lagi, kes itu masih dalam proses siasatan.

Sementara itu, kandungan sebenar laporan yang dibuat di Pulau Pinang itu masih menjadi teka-teki.

Di Pulau Pinang, ketua polisnya Datuk Ayop Yaakob juga enggan mendedahkan aduan baru itudengan alasan Khalid telah mengulasnya di Kuala Lumpur.





Nik Aziz: Kasihan Azizah, henti aibkan Anwar
Mei 13, 11 7:18pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga ketua pembangkang itu.

NONEMenurutnya, beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah yang begitu terseksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap suaminya sejak sekian lama.

"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Azizah semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.

alleged four full sex videos on youtube 290411 02Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.

Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.

“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya.


Pakar undang-undang ragui kesahan cadangan PPMM
Hazlan Zakaria
Mei 13, 11
3:33pm

Pakar undang-undang perlembagaan terkemuka Abdul Aziz Bari meragui kesahan atau kesahan cadangan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) supaya rang undang-undang berkaitan Islam tidak dibahaskan di Parlimen.

NONEPresiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mencadangkan
demikian dalam temubual yang disiarkan di Utusan Malaysia semalam yang memetik Artikel 11(3) perlembagaan yang memperuntukkan hak untuk menguruskan sendiri hal-ehwal agama, sejajar dengan undang-undang.

Ini, kata Zainul Rijal, ialah supaya "bukan Islam tidak campurtangan dalam hal ehwal Islam".

Bagaimanapun, Abdul Aziz (kiri) berkata, manakala artikel tersebut, secara umumnya, menjamin pengamal semua agama hak untuk mengendalikan sendiri urusan mereka, tetapi ia tidak membenarkan ekslusiviti seumpama itu bila membabitkan kelulusan undang-undang.

"Penggubalan undang-undang adalah sesuatu yang menjadi milik negara, maksud saya wakil rakyat, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan - kuasa tunggal untuk menggubal undang-undang," tegasnya.

Aziz berkata, perkataan sebenar artikel 11(3) apabila ia menyebut "hal-ehwal agama" hanya menyentuh penubuhan dan pengurusan institusi keagamaan dan kebajikan serta pemilikan dan pentadbiran harta.

Tidak disebut mengenai undang-undang atau perundangan.

Umno sasar menang 30 kerusi DUN Selangor
Mei 13, 11 8:04pm

Umno Selangor sudah bersedia menawan balik negeri Selangor dengan menyasarkan BN memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 ini.

NONETimbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata UMNO dan BN mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi pilihan raya umum itu dan yakin dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat negeri itu untuk memilih semula BN.

"Kita sudah bersiap sedia seolah-olah esok pilihan raya dan kita beri tumpuan penuh pada kawasan 'putih' dan 'kelabu' di Selangor yang kita yakin beroleh kemenangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.

Ketika ini, jumlah kerusi dalam DUN Selangor ialah 56 dengan Pakatan Rakyat mempunyai 35 kerusi manakala BN sebanyak 20 kerusi dan seorang ADUN bebas.

NONEBeliau berkata rakyat Selangor kini sudah mula melihat banyak kepincangan yang berlaku dalam kerajaan negeri di mana banyak janji-janji pilihan raya umum lalu masih belum dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu.

Mengulas program Gelombang Merah oleh UMNO Kelantan, Noh yakin program itu dapat mengembalikan semula Kelantan kepada BN pada pilihan raya umum nanti berdasarkan kepada sambutan rakyat terhadap program tersebut.

NONESementara itu, Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata semua kawasan Parlimen di seluruh negara kini mendapat peruntukan khas sebanyak RM100,000 bagi membantu golongan petani kecil.

"Saya serahkan peruntukan ini kepada semua Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen untuk mereka melaksanakan projek-projek kecil pertanian bagi membantu petani," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: